Friday, February 6, 2009

MB baru angkat sumpah, BN terajui Perak


SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baru kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, hari ini. --fotoBERNAMA



KUALA KANGSAR: Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (gambar) dari Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak baru - yang ke-11 - di Istana Iskandariah sebentar tadi.

Zambry mengangkat sumpah di sebalik kegawatan politik yang melanda negeri itu sekarang.

Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin, wakil Pakatan Rakyat dan PAS, pula sehingga majlis angkat sumpah itu masih menganggap diri beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada Sultan Azlan Shah seterusnya mengangkat sumpah dalam upacara penuh istiadat yang berlangsung pada pukul 4 petang tadi.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor semalam diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pelantikan beliau itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, semalam.

Dengan pelantikan Zambry itu, Barisan Nasional (BN) hari ini secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

Majlis angkat sumpah tersebut berlangsung dalam keadaan Pakatan Rakyat masih enggan menerima hakikat bahawa ia tidak lagi berkuasa di Perak.

Kesemua 28 ADUN Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah hari ini manakala penyokong mereka pula mengadakan demonstrasi di luar Masjid Ubudiah, 300 meter dari istana, dan cuba menimbulkan kekecohan dengan membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.

Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat orang anggotanya keluar parti dua hari lepas untuk menyokong BN.

Sultan Perak dalam keputusannya semalam menolak permohonan kerajaan Pakatan Rakyat supaya membubarkan DUN Perak sebaliknya baginda menitahkan supaya Mohammad Nizar serta barisan Exco Kerajaan Negeri pimpinannya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan.

Mengikut Undang-undang tubuh Negeri Perak, jika Mohammad Nizar dan barisan Exco tidak berbuat demikian, jawatanjawatan itu dianggap telah dikosongkan.

Zambry, 47, adalah bekas anggota exco kerajaan negeri selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008 sebelum Perak jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

Berangkat ke istiadat itu adalah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional negeri turut hadir bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, selain dua bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Zambry lulusan ijazah doktor falsafah dari Temple University Amerika Syarikat dalam bidang politik kontemporari, merupakan seorang penulis yang aktif dan ahli politik pertama negara diberikan tauliah sebagai Leftenan Komander Kehormat Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM).

Majlis mengangkat sumpah barisan Exco Kerajaan Negeri yang baru akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 10 pagi Selasa ini.

Zambry mahu utamakan kestabilan, keharmonian kaum



KUALA KANGSAR: Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru hari ini, berkata beliau akan memberi keutamaan kepada mengembalikan kestabilan politik dan keharmonian di negeri itu dengan meningkatkan lagi hubungan antara kaum.

"Saya yakin dengan kematangan rakyat Perak, dan saya lihat mereka mampu mencapai satu peringkat persefahaman politik yang begitu baik berteraskan kehidupan rakyat pelbagai kaum," katanya di sini.

Zambry, 47, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, petang ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini.

Graduan bidang ekonomi, politik dan pemikiran Islam itu, berkata beliau yakin rakyat Perak sendiri ingin melihat suasana poltik yang stabil kerana jika ketidakstabilan politik berpanjangan, ianya tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua.

Zambry, anak kelahiran Pulau Pangkor yang menjadi anggota exco kerajaan negeri Perak selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008, juga berkata dalam keadaan suasana politik apa sekalipun "dengan riuh rendahnya serta jatuh bangunnya, kita dapat mengawalnya bagi memastikan kestabilan wujud di negeri ini". Mengenai keengganan kerajaan Pakatan Rakyat melepaskan kuasa walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak semalam, Zambry berkata : "Saya yakin rakan-rakan saya di pihak pembangkang memahami asas Perlembagaan, termasuklah hal ehwal yang berkaitan kuasa untuk melantik Mb, kuasa untuk membubarkan DUN terletak di bawah bidang kuasa Sultan."

Katanya beliau akan bersikap terbuka dan sedia mendengar teguran dan pandangan, dan akan meneruskan apa yang perlu dalam mentadbir negeri itu.

"Saya masih lagi seorang manusia biasa yang dipertanggungjawabkan dengan satu tugas besar untuk kembalikan keharmonian," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206190413&sec=mstar_berita

Exco PKR Kedah tidak 'hilang' - Anwar

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan desas-desus yang mengatakan Exco Kerajaan Negeri Kedah, V. Arumugam 'hilang', sebaliknya hanya 'bercuti' untuk beberapa hari.

Beliau berkata Arumugam ada menghubunginya bagi memaklumkan mengenai statusnya ketika ini.

"YB (Yang Berhormat) Arumugam tak hilang, dia ada telefon saya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu dikatakan gagal dihubungi hingga wujudnya spekulasi yang mengatakan bahawa beliau berkemungkinan akan lompat parti meninggalkan Pakatan Rakyat.

Anwar memaklumkan tindakan Arumugam menghilangkan diri adalah kerana beliau telah diugut oleh beberapa pemimpin parti politik supaya menyertai mereka.

"Beliau diugut berulang-ulang kali oleh pemimpin-pemimpin tertentu termasuk Barisan Nasional (BN) yang memaksanya supaya masuk MIC," katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa Arumugam telah memfailkan dua laporan polis berhubung ugutan berkenaan.

"Dia dah buat dua laporan polis, tapi oleh kerana tidak ada sebarang tindakan, beliau bersama isteri dan anaknya pergi mencari ketenangan.

"Lepas satu atau dua hari beliau baliklah, tapi dia ada telefon, tak macam orang lain yang hilang tapi tak hubungi kita langsung," katanya.

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin


KOTA BHARU: Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin berkata 'keberanian' Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.

"Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya," kata Muhyiddin.

Katanya, pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.

"Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini," kata Muhyiddin.

Di TOKYO, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata hasrat Mohammad Nizar yang dilaporkan mahu menyaman Sultan Perak adalah satu tindakan kurang ajar dan tidak menghormati kedaulatan rajaraja Melayu.

Azalina, yang sedang dalam lawatan promosi pelancongan ke Jepun, berkata Pakatan Rakyat nampaknya tidak boleh menerima hakikat bahawa tampuk pemerintahan di Perak telah bertukar tangan kepada Barisan Nasional.

"Apa yang pembangkang bercakap di Parlimen, di Dewan Undangan Negeri dan di ceramah-ceramah mereka ialah hanya menanam tebu di bibir mulut, hanya bercakap manis sahaja tapi mereka tidak mahu menerima hakikat," katanya.

Azalina berkata kelebihan Barisan Nasional ialah ia meletakkan suara rakyat sebagai keutamaan dan menerima secara terbuka kemahuan rakyat memilih Pakatan Rakyat memerintah lima negeri pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

"BN kalah lima negeri tetapi kami menerima walaupun kami berasa sedih, marah dan tak puas hati," katanya.

Mengenai pelantikan Zambry, beliau menyifatkannya sebagai satu pilihan cukup baik bagi rakyat negeri Perak.

"Beliau adalah anak jati daripada Pangkor, dan Pangkor dikenali sebagai satu tapak pelancongan. Saya harap beliau akan mengerakkan pelancongan di negeri Perak secara lebih agresif," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206190646&sec=mstar_berita

Pemuda Umno PJ Utara buat laporan polis terhadap MB Selangor



PETALING JAYA: Pemuda Umno Petaling Jaya Utara hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri dan salah guna kuasa.

Laporan itu dibuat Ketua Pemudanya Latt Sharizan Abdullah, diiringi 20 penyokongnya di Balai Polis Damansara, kira-kira pukul 5.45 petang tadi.

Latt Sharizan berkata pihaknya mahu polis menjalankan siasatan terhadap Khalid kerana kepimpinan beliau dikatakan tidak mencerminkan sebuah kerajaan Selangor yang berintegriti dan bersikap telus.

"Kami juga mendesak Khalid meletak jawatannya sebagai Menteri Besar (Selangor) sekiranya terbukti terdapat penyelewengan.

"Perbuatannya menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi amat mendukacitakan.

"Contohnya seperti mengambil kesempatan menggunakan kereta sendiri dalam urusan kerja beliau walhal kerajaan negeri menyediakan kereta rasmi untuk urusan (kerja) itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Selasa lepas, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid menyalah guna wang kerajaan negeri sebanyak RM7,797 untuk kegunaan peribadi iaitu menyelenggara kereta Lexus miliknya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206213817&sec=mstar_berita

Nizar masih enggan letak jawatan



 IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak walaupun jawatan itu kini secara rasminya telah disandang oleh Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mohammad Nizar berkata demikian atas keyakinan yang beliau masih secara sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Kita tidak menolak titah Sultan tapi kita memohon kepada baginda untuk mengikut peruntukan di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Sultan bagi merayu baginda supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Mohammad Nizar berkata, ketika beliau menghadap sultan sebelum ini, beliau dititahkan supaya meletak jawatan dan sultan tidak berkenan untuk membubarkan DUN.

"Saya dengan rendah diri memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan yang 'Saya, sebagai Menteri Besar dan ketua Dewan, merayu supaya tidak perlu untuk meletak jawatan," katanya.

Mengaku terkejut melihat keadaan pejabat Menteri Besar yang kosong pagi tadi, Mohammad Nizar dan para Exco negeri mengadakan sidang akhabar serta merta untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

"Ini seperti menceroboh pejabat saya. Tidak ada sebarang notis untuk mengusir saya," katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau hanya menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim supaya memulangkan kunci pejabat, kenderaan rasmi dan lain-lain.

Beliau bertegas mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah di Perak dan berkata:" Sehingga berlaku undi tidak percaya terhadap saya, saya tidak akan meletakkan jawatan."

Karpal mahu saman Sultan, Nizar kata tidak tahu

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

PENGERUSI DAP, Karpal Singh menunjukkan kenyataan berhubung saman yang akan difailkan terhadap Sultan Perak, Selasa ini --fotoTHESTAR oleh LOW LAY PHON



KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa dengan Menteri Besar baru mengangkat sumpah hari ini.

Beliau berkata Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar.

Bagaimanapun Nizar ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut.

"Saya tak tahu mengenai perkara (saman) itu, saya akan hubungi Karpal sendiri untuk tahu apa yang sebenarnya beliau lakukan.

"Saya memang tak tahu mengenai saman-saman ini, nanti saya dapatkan kedudukan sebenar," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan Rakyat dan menitahkan Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan pada 2.15 petang semalam yang menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah telah menitahkan Nizar meletak jawatan setelah baginda berpuas hati Menteri Besar itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar daripada parti masing-masing untuk menyokong BN.

Menurut Karpal dalam satu sidang media di sini, hari ini, Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini jika BN mengambil alih kuasa.

Karpal berkata, Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang MB BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," katanya.

Karpal berkata, tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undangundang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undangundang tertinggi di negeri itu.

PAS tidak iktiraf kerajaan BN Perak


KOTA BHARU: PAS tidak akan mengiktiraf kerajaan baru negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya beliau berpegang pada pendirian bahawa pilihan raya patut diadakan semula bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahukan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS percaya perkembangan terbaru yang berlaku di Perak itu didalangi pihak tertentu.

"Saya harap perkara ini tidak berjangkit ke negeri lain termasuk Kelantan. Kalau nak tubuh kerajaan, hendaklah dipilih oleh rakyat, bukan main tangkap saja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di sini, hari ini.

BN hari ini secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat apabila Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Sementara itu, ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Selasa ini. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206210217&sec=mstar_berita

Polis tahan sembilan lelaki perhimpunan dekat istana



KUALA KANGSAR:Seorang warga Indonesia adalah antara sembilan lelaki yang ditangkap dalam perhimpunan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR) bagi menghalang majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-11 Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang berlangsung di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, lelaki berusia antara 22 dan 55 tahun itu ditahan atas dakwaan jenayah merusuh dengan senjata yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Bercakap pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, beliau berkata kumpulan yang berhimpun itu dipercayai penyokong PR dan mereka bertindak ganas dengan membaling batu dan pelbagai objek lain ke arah polis dan kereta yang membawa tetamu ke istiadat itu.

Kereta yang membawa Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah juga telah dibaling dengan objek termasuk cuba dihalang oleh beberapa lelaki yang berbaring di atas jalan, katanya.

"Beberapa buah kenderaan tetamu pecah cermin apabila dibaling...kita cukup kesal kerana anggota polis cuba mengawal keadaan dengan berbaris di tepi jalan supaya laluan lancar tetapi mereka baling anggota polis dan kereta yang lalu," katanya.

Beliau berkata, polis hanya bertindak menggunakan gas pemedih mata untuk menyurai apabila kumpulan itu cuba menghalang kenderaan dengan membaling pelbagai objek dan tindakan beberapa lelaki berbaring di atas jalan.

Perhimpunan berkenaan bermula selepas selesai solat Jumaat di Masjid Ubudiah yang terletak kira-kira 300 meter dari Istana Iskandariah apabila kumpulan yang membawa pelbagai sepanduk berarak menuju ke istana tempat upacara dijadual berlangsung pada 3.30 petang.

Polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya menghalang perarakan kumpulan itu apabila mereka menuju ke Jalan Bukit Chandan menghala ke istana.

Semua kenderaan yang membawa tetamu termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepasi kawasan berkenaan dengan selamat, kata Zulkifli.

"Kita kesal kerana kumpulan itu yang turut disertai remaja dan wanita menggunakan masjid untuk memulakan jenayah yang bertujuan menghalang majlis angkat sumpah berkenaan," katanya.

Zulkifli berkata, polis akan menyiasat pihak yang mendorong perhimpunan itu dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru hara dan mengganggu kententeraman awam. BERNAMA

Polis tahan sembilan lelaki perhimpunan dekat istana


KUALA KANGSAR:Seorang warga Indonesia adalah antara sembilan lelaki yang ditangkap dalam perhimpunan lebih 2,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR) bagi menghalang majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-11 Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang berlangsung di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, lelaki berusia antara 22 dan 55 tahun itu ditahan atas dakwaan jenayah merusuh dengan senjata yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Bercakap pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, beliau berkata kumpulan yang berhimpun itu dipercayai penyokong PR dan mereka bertindak ganas dengan membaling batu dan pelbagai objek lain ke arah polis dan kereta yang membawa tetamu ke istiadat itu.

Kereta yang membawa Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah juga telah dibaling dengan objek termasuk cuba dihalang oleh beberapa lelaki yang berbaring di atas jalan, katanya.

"Beberapa buah kenderaan tetamu pecah cermin apabila dibaling...kita cukup kesal kerana anggota polis cuba mengawal keadaan dengan berbaris di tepi jalan supaya laluan lancar tetapi mereka baling anggota polis dan kereta yang lalu," katanya.

Beliau berkata, polis hanya bertindak menggunakan gas pemedih mata untuk menyurai apabila kumpulan itu cuba menghalang kenderaan dengan membaling pelbagai objek dan tindakan beberapa lelaki berbaring di atas jalan.

Perhimpunan berkenaan bermula selepas selesai solat Jumaat di Masjid Ubudiah yang terletak kira-kira 300 meter dari Istana Iskandariah apabila kumpulan yang membawa pelbagai sepanduk berarak menuju ke istana tempat upacara dijadual berlangsung pada 3.30 petang.

Polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya menghalang perarakan kumpulan itu apabila mereka menuju ke Jalan Bukit Chandan menghala ke istana.

Semua kenderaan yang membawa tetamu termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepasi kawasan berkenaan dengan selamat, kata Zulkifli.

"Kita kesal kerana kumpulan itu yang turut disertai remaja dan wanita menggunakan masjid untuk memulakan jenayah yang bertujuan menghalang majlis angkat sumpah berkenaan," katanya.

Zulkifli berkata, polis akan menyiasat pihak yang mendorong perhimpunan itu dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru hara dan mengganggu kententeraman awam. BERNAMA

Tindakan tegas termasuk ISA jika timbul kekacauan di Perak


JOHOR BAHRU: Tindakan tegas termasuk penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menghasut dan menimbulkan kekacauan yang boleh menggugat keselamatan di Perak.

Demikian amaran yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berhubung tindakan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati selepas kehilangan majoriti bagi mengekalkan tampuk pentadbiran di negeri itu.

"Pakatan Rakyat boleh membawa perkara ini ke mahkamah jika mereka tidak berpuas hati tetapi jangan sekali membawanya ke jalanan sehingga menggugat keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengisytiharan nama baru pasukan Polis Marin yang ditukarkan kepada Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Marin (Pulamar), Tampoi di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Syed Hamid berkata sembilan orang ditahan kerana menghasut dan terlibat dalam aktiviti berdemonstrasi bagi membantah majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.

Demonstrasi diadakan di luar Masjid Ubudiah, 300 meter dari istana, di mana mereka membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.

Katanya polis akan mengambil apa sahaja tindakan termasuk membawa anggota polis dari luar Perak bagi memastikan tahap keselamatan di negeri itu terjamin.

Sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, beliau menyambut baik perkembangan politik di Perak itu yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun katanya pada masa yang sama semua pihak dalam BN harus berhati-hati dan cuba untuk memenuhi kepentingan rakyat.

Mengenai tindakan empat ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing, beliau berkata pakatan yang terdiri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS itu memang mempunyai masalah dari awal lagi kerana mempunyai ideologi yang berbeza.

Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), kedua-duanya daripada PKR, dan Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas manakala Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) yang baru-baru ini menyertai PKR telah kembali semula kepada Umno.

Ditanya sama ada ada ADUN terbabit menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak berikutan tindakan mereka itu, Syed Hamid berkata polis akan memberi perlindungan kepada mereka dan keluarga mereka sekiranya ada menerima ugutan. BERNAMA

Pelantikan Dr Zambry sebagai MB Perak tepat - Najib


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru adalah tepat kerana beliau mempunyai pengalaman dan kelulusan dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pentadbiran dan politik.

"Saya yakin Zambry akan menjadi Menteri Besar yang dapat memenuhi harapan rakyat di Perak. Insya-Allah, kerajaan pusat akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri Perak yang baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Gabenor Bank Pusat Asia Tenggara di sini hari ini.

Majlis mengangkat sumpah Zambry, 47, sebagai Menteri Besar Perak ke-11 dijadual diadakan petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, manakala barisan exco kerajaan negeri yang baru pula dijadualkan pada 10 Feb ini.

Ketika diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak kononnya kerajaan Barisan Nasional akan mengabaikan kepentingan kaum bukan Melayu di Perak, Najib berkata, beliau telah meminta Zambry supaya peka bahawa kerajaan BN adalah untuk semua kaum dan akan memperjuangkan kepentingan semua kaum.

"Malah malam esok saya akan bersama dengan kaum Cina di Ipoh dalam sambutan Hari Raya Cina. Saya nak memberi jaminan bahawa tidak ada sesiapa di kalangan bukan Melayu yang harus merasa bahawa mereka akan terpinggir apabila Barisan Nasional mengambil alih kerajaan negeri Perak," katanya.

Ditanya mengenai sama ada BN melakukan kesilapan menerima dua ADUN Perak Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) yang menghadapi pertuduhan rasuah, Najib berkata kedua-duanya adalah ADUN Bebas yang menyokong BN.

"Pertamanya saya nak jelaskan bahawa dia tak masuk Umno. Anggapan dia masuk Umno tak betul, dia Bebas yang menyokong BN. Soal pertuduhan mereka di mahkamah itu, BN tak campur tangan," katanya.

Ditanya pemberita sama ada pilihan raya kecil patut diadakan untuk mengatasi kemelut politik di Perak, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keputusan mengenai perkara itu terletak di tangan Sultan Perak.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga menyifatkan pemilihan Zambry sebagai satu tindakan tepat dan sesuai dengan masanya.

"Dr Zambry merupakan tokoh muda yang berkebolehan," katanya.

Shafie berkata, pelantikan Zambry dijangka dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat serta memulihkan semula keadaan politik di negeri itu. BERNAMA

POLITIK PERAK: DETIK MENARIK HARI INI


BERIKUT adalah perkembangan politik di Perak sepanjang hari ini.


6.45 petang: Nizar dalam sidang medianya berkata, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengisytiharkan angkat sumpah Menteri Besar baru, Dr Zambry sebagai tidak sah.

6.05 petang: Penyokong-penyokong Pakatan meninggalkan kawasan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar. Bagaimanapun terdapat segelintir penyokong yang masih berada di sekitar Jalan Bukit Chandan di kawasan masjid tersebut berada.

4.30 petang: Nizar berkata, beliau enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak atas keyakinan yang beliau masih secara sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

4.15 petang: Upacara mengangkat sumpah Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak berakhir.

4 petang: Dr Zambry menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Sultan Azlan Shah dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan.

3.55 petang: Upacara mengangkat sumpah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang bary bermula di Istana Iskandariah.

3.35 petang: Speaker V. Sivakumar berkata, beliau telah menghantar dua pucuk secara peribadi dan faks kepada Sultan Perak memohon perkenan baginda untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar dan menangguhkan upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru.

3.30 petang: Jumlah penyokong Pakatan yang menyertai perhimpunan semakin berkurang. Bagaimanapun, terdapat segelintir yang enggan meninggalkan kawasan masjid walaupun selepas Setiausaha Eksekutif PAS, Khalid Rahman Abdul Samad merayu mereka supaya bersurai.

3.00 petang: Rombongan pengiring BN menuju ke Istana Iskandariah untuk upacara mengangkat sumpah Menteri Besar yang baru. Seorang kanak-kanak lelaki pengsan setelah terkena gas pemedih mata dan dikejarkan ke hospital.

2.55 petang: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menyembur gas pemedih mata kepada beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat di luar Masjid Ubudiah berhampiran Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. Pihak polis mula melakukan tangkapan.

1.05 petang: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar. Katanya, Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini jika kerajaan baru Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa.

12.35 tengah hari: Speaker DUN Perak, V. Sivakumar berkata, beliau akan menghantar surat kepada Sultan Perak pada pukul 3 petang ini bagi memohon perkenan baginda untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar dan menunda upcara mengangkat sumpah Menteri Besar baru.

12.15 tengah hari: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu wartawan, Pakatan Rakyat akan mengadakan kembara di seluruh negeri untuk memberi penjelasan berhubung situasi politik negeri itu dan berjanji Pakatan akan kembali berkuasa di Perak.

10.45 pagi: Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihak polis mengawal bangunan SUK seperti yang diminta oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan kelancaran peralihan kuasa.

10.40 pagi:Nizar meninggalkan bangunan SUK dan sebelum itu memberitahu wartawan yang beliau dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan negeri sehingga Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah pada pukul 3.30 petang ini.

10.15 pagi: Nizar diiringi keluar daripada pejabat MB yang kini kosong di bangunan tersebut oleh Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias yang turut menghalang Nizar daripada mengadakan sidang media di pejabat tersebut.

9.50 pagi: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh menggunakan kenderaan rasmi baru kerajaan negeri, Toyota Camry. Beliau dibenarkan melalui pintu masuk utama di jalan utama yang menghala bangunan tersebut pada pukul 9.50 pagi. Kesemua 10 Exco Pakatan Rakyat yang bersama beliau juga dibenarkan masuk.

BERITA TERDAHULU

Khamis, 5 Februari 2009

11.30 malam: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok.

8.00 malam: Perdana Menteri mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

6.30 petang: Perdana Menteri meninggalkan Istana Kinta bersama seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di sebelah beliau dalam kenderaannya.

5.53 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Azlan Shah. Beliau tiba dengan diiringi sembilan kereta.

5.40 petang: Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan.

5.10 petang: Menteri Besar Perak berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan meletak jawatan kerana masih berkuasa. Sebaliknya, beliau akan menghadap Sultan Perak sekali lagi untuk merayu supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri baru diadakan.

4.50 petang: Nizar dalam sidang akhbarnya memberitahu, Pakatan Rakyat akan merayu kepada Sultan Perak supaya memberi perkenan untuk membubarkan DUN negeri itu supaya rakyat Perak boleh membuat keputusan berhubung kerajaan seterusnya. Beliau bagaimanapun masih belum membangkitkan isu peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.

4.30 petang: Di Bagan Serai, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa BN akan memerintah kerajaan negeri Perak.

4.21 petang: Pasukan polis dan FRU mengambil alih bangunan Kerajaan Negeri. Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar dan semua Exco meletak jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada semua Exco memaklumkan kepada mereka untuk menyerahkan kembali harta negeri termasuk kunci, kereta dan sebagainya. Beliau turut pergi ke pejabat semua Exco dan meminta semua pembantu peribadi Exco meninggalkan bangunan dengan segera.

3.30 petang: Perdana Menteri akan menghadap Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, petang ini.

3.00 petang: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya.

2.25 petang: Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan meminta Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Jika tidak, jawatan itu dianggap kosong.

12.45 tengah hari: MB Perak memasuki Istana Kinta.

12.30 tengah hari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Pakatan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Ipoh.

11.56 pagi: Najib memberitahu wartawan yang beliau telah memberitahu Sultan Azlan Shah bahawa BN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Perak. Katanya, Sultan akan menitahkan keputusannya tidak lama lagi.

11.55 pagi: Speaker V. Sivakumar meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan surat peletakan jawatan tiga ADUN sebagai sah dan kerusi DUN tersebut kosong.

11.50 pagi: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat Menteri Besar pada pukul 3 petang ini dan perhimpunan besar-besaran dijadualkan berlangsung pada pukul 7 malam di kediaman Menteri Besar.

11.38 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberitahu wartawan, beliau baru sahaja dipanggil untuk hadir ke Istana Kinta.

11.34 pagi: Najib meninggalkan Istana Kinta bersama empat ADUN.

11.21 pagi: Najib kembali ke Istana Kinta, kali ini bersama empat bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk menghadap Sultan Perak.

10.35 pagi: Ketua Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istana Kinta. Najib dijangka akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri bagi membincangkan calon BN bagi jawatan Menteri Besar Perak.

9.50 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datoh) memasuki Istana Kinta untuk mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi BN membentuk kerajaan baru di negeri itu.

9 pagi: Speaker, V. Sivakumar memberitahu wartawan yang beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi pada hari ini untuk mengisytiharkan surat letak jawatan tidak bertarikh oleh bekas ADUN PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan ADUN DAP, Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai sah. Tiga ADUN tersebut telah meletakkan jawatan daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas dan mengakui akan memberi sokongan kepada BN.

Boikot angkat sumpah, derhaka Sultan - Umno


Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Tindakan kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak untuk memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru hari ini disifatkan sebagai derhaka kepada Sultan Perak yang memperkenankan pelantikan tersebut.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata tindakan tersebut jelas memperlihatkan pemimpin pakatan pembangkang itu sengaja mengingkari titah sultan.

"Sebenarnya majlis angkat sumpah tetap dijalankan walaupun tanpa kehadiran mereka (ADUN Pakatan Rakyat) kerana ia mendapat perkenan Sultan Perak.

"Tapi apa yang nyata mereka ini derhaka kepada sultan kerana seolah-oleh tidak menerima keputusan yang dibuat," katanya kepada mStar Online.

Semalam Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Nizar dalam ceramahnya semalam yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar berkata beliau dan ahli exconya memutuskan untuk tidak menghadiri majlis itu dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah dan belum meletakkan jawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Menurut Ramly yang juga ADUN Manong, tindakan seperti itu juga menunjukkan Pakatan Rakyat tidak menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika mereka memboikot majlis angkat sumpah itu, maka kita boleh simpulkan bahawa mereka ini sememangnya tidak faham mengenai Perlembagaan dan undang-undang.

"Kalau mereka faham, mereka akan menerima titah sultan dengan hati terbuka," katanya.

Ditanya mengenai persediaan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru petang ini, beliau berkata semua 28 ADUN Barisan Nasional (BN) bersama tiga ADUN Bebas akan menghadiri majlis tersebut.

Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini.

Manakala upacara mengangkat sumpah exco pula akan diadakan pada 10 Februari pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Nizar masuk pejabat MB, diarah keluar


DATUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang akhbar di pejabatnya yang kini telah dikosongkan di bangunan SUK, Ipoh, hari ini.


IPOH: Sehari selepas dititahkan Sultan Perak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh pagi ini.

Beliau memasuki bangunan SUK menaiki kenderaan rasmi baru kerajaan negeri, Toyota Camry. Beliau dibenarkan melalui pintu masuk utama di jalan utama yang menghala bangunan tersebut pada pukul 9.50 pagi.

Kesemua 10 Exco Pakatan Rakyat yang bersama beliau juga dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, kira-kira 25 minit kemudian, Nizar diiringi keluar daripada pejabat MB yang kini kosong di bangunan tersebut oleh Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias yang turut menghalang Nizar daripada mengadakan sidang media di pejabat tersebut.

Kira-kira pukul 10.40 pagi, Nizar meninggalkan bangunan SUK dan sebelum itu memberitahu wartawan yang beliau dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan negeri sehingga Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah pada pukul 3.30 peatng ini.

Pintu masuk ke bangunan SUK yang telah ditutup pada jam 9.25 pagi tadi.

Hanya kakitangan awam yang bertugas di bangunan tersebut sahaja yang dibenarkan masuk.

Nizar pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh semalam mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206100611&sec=mstar_berita

Perubahan tidak mustahil berlaku di empat negeri Pakatan


SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (tengah) dan Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah (kiri) menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Hee Yit Foong di Istana Kinta di sini, semalam berikutan tindakannya keluar dari DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar dari parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. --fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, angin perubahan yang telah melanda Perak tidak mustahil akan berlaku di empat negeri lain yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, hal itu adalah disebabkan sikap pemimpin parti pembangkang yang hanya memikirkan soal politik berbanding melaksanakan amanah rakyat yang memilih mereka semasa pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selepas hampir setahun diberi mandat memerintah lima negeri, Pakatan Rakyat lebih banyak memberi tumpuan memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai mereka tetapi lupa tanggungjawab membela rakyat.

"Inilah akibatnya apabila hanya memikirkan politik semata-mata. Rakyat memberi kepercayaan untuk membela nasib mereka, tetapi amanah itu tidak ditunaikan kerana mereka hanya memikirkan cara hendak memujuk wakil rakyat BN melompat parti.

"Saya percaya, keadaan ini juga boleh berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang malah tidak mustahil Kelantan, kerana pemimpin mereka hanya memikirkan politik saja," katanya di di Kluang, semalam.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengingatkan wakil rakyat BN, bahawa apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat di Perak itu juga boleh berlaku kepada BN, jika mereka tidak berhati-hati dan mengabaikan tanggungjawab.

Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata krisis itu menjadi titik permulaan angin perubahan dan tidak mustahil akan turut berlaku di beberapa negeri lain yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Semua ini membuktikan BN dan Umno masih relevan untuk memerintah dan saya harap ia akan menjadi titik permulaan untuk turut membawa perubahan di negeri yang dikuasai pembangkang khasnya Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Ia juga menjadi iktibar dan petanda jelas yang perlu diambil perhatian oleh semua ahli dan pemimpin BN bahawa negeri diperintah pembangkang masih boleh diambil semula oleh BN," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini.

Abdul Azeez juga berkata, perkembangan yang berlaku di Perak juga harus dimanfaatkan oleh parti komponen BN khasnya sayap Pemuda.

Penganalisis: Politik di Perak belum tentu stabil

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan penubuhan kerajaan baru oleh Barisan Nasional (BN) hari ini membawa satu episod baru dalam lipatan sejarah negara.

Tindakan keluar parti empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat sekaligus menggulingkan kerajaan sedia ada dan memberi mandat kepada BN kembali berkuasa selepas 11 bulan 'kehilangan' negeri itu.

Keputusan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang tidak memberi perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan ternyata tidak berpihak kepada hasrat Pakatan yang mahukan rakyat diberikan kuasa untuk memilih semula kerajaan.

Dalam pada keengganan Nizar meletakkan jawatan, BN kini telah bersetuju melantik ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru yang dijadualkan mengangkat sumpah hari ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Ternyata hasrat BN untuk menerajui kembali kerajaan Perak bukan lagi cakap-cakap kosong walaupun pengambilalihan kerajaan tersebut dianggap sesetengah pihak sebagai tidak secara demokratik.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd Agus Yusof berkata, pengambilalihan BN menerajui Perak dengan cara ADUN daripada Pakatan Rakyat menyokong mereka adalah permainan politik yang tidak bersih dan tidak menunjukkan reformasi yang diuar-uarkan parti itu.

"Umno telah dapat berkuasa kembali di Perak dengan cara yang tidak meyakinkan rakyat bahawa mereka sedang melakukan satu reformasi yang dijanjikan.

"Ini langsung bukan reformasi dalam Umno kerana Umno sepatutnya parti yang perlu dilihat bersih.

"Adakah Umno dilihat mempunyai kredibiliti oleh rakyat kerana kerajaan seharusnya dipilih dengan cara demokrasi," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Mohd Agus berkata, kejayaan BN mengambil alih Perak tidak menjanjikan kestabilan politik di negeri itu memandangkan majoriti kerusi DUN antara dua parti yang tipis.

"Dengan majoriti yang tipis ini, bolehkah kita kekalkan kestabilan politik di Perak.

"Saya tidak yakin ia akan menyelesaikan konflik politik yang ada dan mampu mengembalikan kepercayaan rakyat," katanya.

Beliau berkata, persaingan politik yang wujud antara BN dan Pakatan sepatutnya sihat dan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Kita tidak mahu persaingan politik yang menimbulkan perpecahan dan kekecohan.

"Orang luar memerhati gaya politik kita. Politik kita sepatutnya menuju ke arah politik yang baru, lebih bersih dan sihat tetapi pengambilalihan kerajaan Perak oleh BN daripada Pakatan menunjukkan hal itu makin jauh untuk berlaku pada kita," katanya.

Beliau berkata, Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan berhubung kemelut politik yang melanda negeri itu.

Bagaimanapun katanya, hasrat Nizar untuk merayu keputusan Sultan Azlan Shah tidak salah jika diteruskan.

"Tidak ada masalah jika beliau mahu merayu, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan Sultan," katanya.

Bagaimanapun katanya, Nizar tidak sepatutnya membantah keputusan Sultan dengan enggan meletak jawatan, sebaliknya menjadikan ia sebagai satu pengajaran.

"Beliau patut belajar daripada hal ini. Beliau perlu belajar untuk menilai demokrasi dan menguruskan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan pengambilalihan kerajaan negeri Perak oleh BN sebagai 'demokrasi tidak langsung'.

"Tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan tindakan BN mengambil alih Perak dengan cara ADUN melompat parti sebagai tidak demokrasi.

"Walaupun tindakan wakil rakyat itu melibatkan mandat yang diberikan kepadanya kerana mereka diundi mengikut parti, namun rakyat memilih seseorang pemimpin itu berdasarkan kepercayaan mereka.

"Justeru, apa sahaja tindakan wakil rakyat itu adalah berpegang kepada mandat yang diberikan.

"Jangan setiap kali wakil rakyat lompat parti, beliau itu dianggap mementingkan diri. Beliau sebenarnya memikirkan keresahan dan rintihan rakyat," katanya.

Katanya, soal pengambilahan secara tidak berdemokrasi juga tidak patut timbul memandangkan negara tidak mempunyai undang-undang yang melarang mana-mana ahli politik untuk melompat parti.

"Dalam demokrasi sememangnya membenarkan wakil rakyat melompat parti. Mengapa pula ia tidak berdemokrasi sedangkan kita yang membenarkan ia berlaku," katanya.

Berhubung keengganan Nizar untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar, Ahmad Atory berkata, Nizar tidak sepatutnya bertindak demikian kerana Sultan mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

"Sultan Perak menitahkan perkara itu di bawah budi bicaranya di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Menteri Besar tidak harus bertindak demikian kerana itu sudah dikira menderhaka," katanya.

GALERI GAMBAR PERKEMBANGAN POLITIK PERAK


Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (berbaju Melayu) berhenti seketika di pintu pagar utama bangunan SUK pagi ini. Beliau kemudiannya dibenarkan memasuki pejabat Menteri Besar di bangunan tersebut. Di sebelah kanan adalah pegawai setiausaha negeri --fotoTHESTAR oleh SAIFUL BAHRI

Kereta rasmi kerajaan negeri yang membawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dibenarkan memasuki bangunan SUK pagi ini.

Kira-kira 3,000 penyokong Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhimpun di kediaman Menteri Besar, malam tadi.

Kenderaan rasmi Raja DiHilir Perak cuba melepasi perhimpunan penyokong Pakatan Rakyat di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berhimpun secara haram bagi membantah upacara mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru dari BN hari ini.

Pihak polis cuba menghalang penyokong Pakatan Rakyat daripada terus mara ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun ketika Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.


28 ADUN Pakatan pulau majlis angkat sumpah - Nizar


PENYOKONG Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hadir di ceramah khas di kediaman rasmi Menteri Besar malam ini.

IPOH: Kesemua 28 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru hari ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, kesemua mereka yang bermesyuarat petang tadi telah memutuskan untuk tidak menghadiri majlis itu dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah dan belum meletakkan jawatan.

"Saya telah diarahkan untuk meletakkan jawatan dan sekiranya saya berbuat demikian bermakna secara automatik keseluruhan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meletakkan jawatan.

"Niat buruk Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan negeri berpunca daripada perasaan takut selepas kekalahan dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu...pelbagai keadilan, ketelusan dan kebajikan yang telah ditunjukkan selama 10 bulan memerintah amat menakutkan mereka," katanya dalam forum khas yang diadakan di kediaman Menteri Besar di sini malam tadi.

Lebih 10,000 penyokong PR berkampung di kediaman ini selepas perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak gagal kerana stadium telah dikunci.

Pada majlis yang sama, Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, Nga Kor Ming berkata pimpinan tertinggi DAP menyokong 100 peratus kepimpinan Nizar.

"Kami menyokong Mohammad Nizar terus menjadi Menteri Besar Perak," katanya.

Nga turut menyelar sikap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim yang dikatakan bertindak biadab mengarahkan kesemua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengosongkan pejabat mereka termasuk menyerahkan kunci kenderaan milik kerajaan negeri.

"Kami sedang bermesyuarat pada pukul 3 petang dan tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada beliau mengarahkan kami mengosongkan pejabat sebelum pukul 5 petang," katanya. BERNAMA

Zambry MB Perak baru, janji kembali keharmonian

Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang lewat petang semalam.

Beliau berkata, Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini.

Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.

Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.

"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.

"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.

"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.

Sementara itu di IPOHBERNAMA melaporkan Zambry berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.

Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.

"Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan," katanya di sini malam tadi.

Zambry berkata, dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.

Nizar tidak pegang kepada janji


IPOH: Keengganan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada kenyataannya sebelum ini.

Mohammad Nizar semasa ditemui pemberita Rabu lalu mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.

Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini semalam, Mohamad Nizar telah mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.

Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.

Mohammad Nizar sebelum ini turut berkata beliau yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan "akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku."

Semalam beliau turut mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.

Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.

Sultan Perak semalam memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta di sini hari ini dan yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090205225854&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...