Tuesday, August 11, 2009

6 mati terhidu gas ammonia

Ogos 11, 09 11:58am
Enam orang mati akibat terhidu gas ammonia yang bocor di Bagan Pasir, Tanjung Karang Selangor pagi ini.

Empat rakyat tempatan yang mati dikenali sebagai Lim Kean Chui, 35, Lim Kim Son, 54, Sia Liang Huat, 33, dan Gan Guo Yong, 27, manakala dua warga Bangladesh itu Sakender Ali Salam, 36, dan Mumin Mia, 20.

Mereka terkorban setelah terhidu gas dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di kampung tersebut, lapor Bernama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Zulkifli Joned dipetik berkata kejadian kira-kira jam 8 pagi sewaktu dua pekerja Bangladesh itu memunggah ikan dari sebuah dari empat kolah menyimpan ikan untuk diproses menjadi baja.

Semasa sedang memunggah ikan kedua-dua pekerja itu tiba-tiba rebah ke dalam kolah setinggi 2.43 meter itu, dipercayai kerana terhidu gas ammonia yang bocor.

Zulkifli berkata Kean Chui, adik pemilik bangsal memproses baja itu bersama tiga jirannya iaitu Lim, Sia dan Gan bekejar untuk mengeluarkan dua warga Bangladesh itu tetapi mereka turut pengsan.


Menurut agensi berita itu, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor pula dilaporkan menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Setibanya kami di tempat kejadian, didapati enam orang pengsan manakala lima lagi mengalami sesak nafas.

"Mengesyaki berlaku kebocoran gas ammonia, kami menjirus air ke kolah yang terbabit bagi melarutkan gas yang bocor,"
pengarahnya Soiman Jahid dipetik berkata.

Beliau berkata kakitangan bomba juga mengarahkan 15 keluarga yang tinggal kira-kira 100 meter dari bangsal berkenaan supaya beredar dari kawasan itu buat sementara sehingga keadaan selamat.

Bomba dan pasukan Hazmat kini menyiasat punca kebocoran gas ammonia itu, katanya.

ammonia -

1.a colorless, pungent, suffocating, highly water-soluble, gaseous compound, NH3, usually produced by the direct combination of nitrogen and hydrogen gases: used chiefly for refrigeration and in the manufacture of commercial chemicals and laboratory reagents.
2.Also called ammonia solution, ammonia water, aqua ammoniae, aqua ammonia, aqueous ammonia. this gas dissolved in water; ammonium hydroxide.

http://www1.malaysiakini.com/news/110291

18 didakwa sebar dakyah bertentangan Islam


DIDAKWA.. Sebahagian daripada 18 orang termasuk lima wanita berusia 20-an, yang dipercayai sebahagian dari ahli ajaran Negara Islam Indonesia (NII), ditahan polis dan pegawai dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) di Taman Perindustrian Oakland, Seremban kelmarin, dihadapkan di Mahkamah Syariah semalam. Sabit kesalahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003, mereka boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

18 didakwa sebar dakyah bertentangan Islam

SEREMBAN: Lapan belas orang termasuk lima wanita, kebanyakannya remaja, dihadapkan di Mahkamah Syariah di sini semalam kerana mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.

Mereka dibawa ke mahkamah dalam tiga kenderaan berasingan.

Dua lelaki yang berusia lewat 20-an dibawa ke pekarangan mahkamah lebih awal dan dikenakan pertuduhan di hadapan Majistret Hamizam Mohd. Nor.

Bagaimanapun pasukan pendakwa raya yang terdiri daripada Mohd. Sazrin Abd. Aziz dan Nora Md. Nazri memohon tarikh baru untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 kerana menyebarkan ajaran agama Islam yang tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, 16 yang lain termasuk lima wanita, awal 20-an, dituduh bersubahat dengan mereka. Kelmarin, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINA) telah menahan 20 anggota dipercayai dari sebuah kumpulan radikal Islam dalam operasi khas di Taman Perindustrian Oakland di sini.

JHEAINS turut menahan seorang lelaki berpakaian kemas dan berkereta mewah berusia 28 tahun, dipercayai ketua kumpulan itu.

Ketua Operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, kumpulan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan usia 20-an ditahan ketika menjalankan kuliah mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika anggota kumpulan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), yang didakwa berjuang menubuhkan sebuah negara Islam.

Katanya, anggota kumpulan itu ditahan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.

Menurutnya, kegiatan kumpulan itu dimaklumkan kepada mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah melakukan beberapa tangkapan terhadap anggota kumpulan itu di negeri itu.

Mohd. Zol berkatam anggota kumpulan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2003 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Katanya, kumpulan itu sudah mula begerak sejak 1998 tetapi hanya aktif pada 2003.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/11/mstar_berita/20090811100640&sec=mstar_berita


Arah siasat guru

MELAKA: Kementerian Pelajaran mengarahkan satu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung dakwaan seorang guru wanita yang mengalami trauma apabila menjadi mangsa gangguan seksual oleh guru besar sebuah sekolah rendah di negeri ini sejak awal Julai lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata beliau melalui Pengarah Jabatan Pelajaran negeri meminta pegawai pelajaran melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes membabitkan guru wanita dan guru besar berkenaan perlu disiasat terperinci dengan mengambil keterangan kedua-dua pihak.

“Saya mahu kes itu disiasat adil dengan memanggil kedua-dua pihak untuk memberi keterangan,” katanya.

Lari bogel 100 meter

GUA MUSANG: Remaja perempuan berusia 15 tahun yang parah dicurah cuka getah selain ditikam dengan pisau selepas dirogol bapa tirinya dalam kejadian di ladang getah Aring Enam, kelmarin, dikatakan terpaksa berjalan dalam keadaan bogel sejauh 100 meter sebelum diselamatkan anggota polis.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Ciku itu turut meraung kesakitan dengan wajahnya parah terkena cuka getah manakala badannya berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Aring Satu untuk menerima rawatan.


Rakan suspek, Suhaimi Che Salleh, 37, berkata dia melihat gadis itu lari dalam keadaan bogel kerana pakaiannya rosak terkena cuka getah dicurah bapa tirinya.

Menurutnya, dia bergegas ke ladang getah berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada seorang rakan lain memaklumkan suspek maut selepas terminum cuka getah.

“Sebaik tiba bersama seorang rakan kira-kira jam 1.45 tengah hari, saya mendapati suspek terbaring kaku berhampiran sebuah kolam kecil dengan mulut berbuih,” katanya.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa sudah diselamatkan anggota polis dan penduduk yang kemudian membawanya ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan.

“Saya terpaksa mengusung suspek ke Klinik Kesihatan Aring, tetapi sudah meninggal dunia,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090811070053/Article/index_html

Isteri masih sayang suami ganas

AMPANG: Tidak tahan menjadi mangsa belasahan suami, seorang isteri nekad membuat laporan polis, kelmarin dengan harapan suaminya akan insaf atas segala perbuatan yang dilakukannya.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu pada mulanya dikatakan berselisih faham dengan suaminya sebelum lelaki terbabit yang dikatakan naik berang bertindak memukulnya di rumah mereka di Hulu Klang, Sabtu lalu.

Menurut sumber polis, pada mulanya wanita terbabit enggan membuat laporan polis, tetapi mengubah fikiran itu keesokan hari semata-mata mahukan suaminya insaf.

“Wanita berkenaan yang juga seorang kakitangan awam terpaksa membuat laporan polis namun dia yang kasihankan suaminya berharap agar kes itu tidak dipanjangkan.

“Isteri malang terbabit mendakwa dia membuat laporan polis berkenaan semata-mata mahu suaminya berubah dan tidak bersikap panas baran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita berkenaan.

“Wanita terbabit sudah dihantar menjalani pemeriksaan doktor kerana dia mendakwa dipukul suaminya.

“Walaupun dia enggan memanjangkan kes terbabit namun kita tetap menyiasat berdasarkan laporan yang dibuatnya,”
katanya.


Katanya, polis kini masih menunggu laporan perubatan doktor dan siasatan meliputi segenap aspek dan setakat ini, keterangan mangsa sudah diambil.

Metro Ahad kelmarin melaporkan seorang isteri mendakwa pernah berputus asa hingga tiga kali cuba membunuh diri kerana menjadi mangsa ganas suaminya sendiri dan dia akhirnya nekad membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Tujuannya membuat laporan polis ketika itu hanyalah sebagai perlindungan dan tidak menyangka suaminya ditahan sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Amah dijel 3 tahun

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MELAKA: Dia mendakwa baru lima hari bekerja di negara ini, namun dalam tempoh singkat itu tergamak menyiram muka majikannya dengan air panas kerana mendakwa wanita terbabit melempangnya sebelum itu.

Demikian situasi seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan mendatangkan kecederaan parah terhadap majikannya, Mei lalu.

“Puan, saya merayu hukuman diringankan kerana mempunyai anak yang masih kecil serta adik-adik yang masih bersekolah dan perlu ditanggung,” kata tertuduh, Sri Novtiani, 29, (gambar) dalam keadaan menangis ketika memohon hukuman ringan.

Selepas meneliti pertuduhan dan menimbang rayuan tertuduh, Hakim Mahkamah Sesyen, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Elesabet dalam penghakimannya, berkata mahkamah mengambil kira keseluruhan fakta kes, hujah Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md Nor dan rayuan tertuduh serta menetapkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan.

Mengikut pertuduhan, Sri Novtiani didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap majikannya, Goh Siew Eng, 51, dengan menggunakan air panas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah No 40, Jalan Emas 2, Taman Bukit Beruang, dekat sini, pada 24 Mei lalu, kira-kira jam 10.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Farah Wahida memberitahu bahawa fakta kes menunjukkan ketika tertuduh bekerja sebagai pembantu rumah kepada mangsa pada 24 Mei lalu, kira-kira jam 10.30 pagi, dia menyimbah wanita itu dengan air panas di bahagian ruang pintu masuk dapur memasak.

“Ketika kejadian hanya mereka berdua di rumah. Tertuduh memanggil mangsa ke dapur dan apabila mangsa sampai di pintu, tertuduh mengambil periuk berisi air panas lalu menyimbah muka mangsa.

“Tertuduh kemudian melepaskan mangsa yang merayu supaya dilepaskan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Mutakhir/20090811065239/Article

Dirodok sebab RM60

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fadly Samsudin
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hanya kerana wang RM60, seorang pelajar hampir kehilangan nyawa apabila dirodok dengan pisau Rambo di rusuk kiri sehingga terkena paru-paru angkara dua penjenayah jalanan yang merompaknya ketika melalui jejantas di kawasan stesen monorel Dang Wangi di sini, kelmarin.

Lebih malang apabila pelajar berusia 20 tahun itu yang diserang di kawasan awam tidak dipedulikan orang ramai walaupun berulang kali menjerit meminta tolong dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah.


Ng See Hoe, pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diselamatkan anggota polis yang tiba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Nyawa mangsa diselamatkan selepas menjalani pembedahan bagi menghentikan pendarahan selain menjahit semula luka tikaman berkenaan.

Ng yang ditemui ketika masih dalam keadaan lemah di HKL semalam, memberitahu dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sesi temu duga untuk memohon biasiswa bagi menyambung pelajaran di UKM.

“Saya berhasrat pulang menghadiri kuliah dengan menaiki LRT, tapi tersesat di Stesen Dang Wangi. Berikutan itu, saya segera turun di stesen berkenaan dan bercadang mencari stesen monorel terdekat untuk pulang ke kampus.

“Ketika melintas jejantas, tiba-tiba muncul dua lelaki yang saya perasaan dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, saya tidak peduli kerana mahu segera tiba di kampus,”
katanya.

Menurut Ng, firasat buruknya menjadi kenyataan apabila kedua-dua lelaki terbabit tiba-tiba menghampirinya sebelum seorang daripada mereka memaksanya menyerahkan wang.

“Seorang daripada mereka terus mengeluarkan pisau Rambo dan cuba menikam saya dari arah hadapan. Namun, dalam keadaan cemas saya terus menepis dan menggenggam mata pisau berkenaan dengan tangan kanan bagi mengelak dia menikam tubuh saya.

“Dalam keadaan kesakitan dan tangan berlumuran darah, seorang lagi lelaki merampas dompet berisi wang RM60 dan telefon bimbit saya sebelum kedua-dua penjenayah berusia 20-an itu melarikan diri,”
katanya.

Menurut pelajar itu, dalam keadaan kesakitan, dia mengejar penjenayah terbabit sebelum membaling beg sandangnya ke arah seorang daripada mereka.

“Bagaimanapun, lelaki itu yang bersenjatakan pisau Rambo berpaling dan meluru ke arah saya lalu menikam rusuk kiri.

“Saya hanya mampu menjerit kesakitan sebelum tersungkur berlumuran darah. Ketika itu saya menjerit ‘Perompak! Perompak!...’, namun beberapa orang awam yang melalui jejantas itu enggan memberikan bantuan,”
katanya.

Ng berkata, nasibnya baik apabila selang beberapa minit kemudian sepasang kekasih yang melalui kawasan jejantas berkenaan bersimpati dan membantunya dengan menghubungi abangnya serta talian kecemasan (999).

“Saya tidak sedarkan diri dan hanya mengetahui dibawa ke Wad Kecemasan HKL dengan menaiki ambulans. Difahamkan, anggota polis peronda yang tiba ke lokasi kejadian segera menghubungi HKL sebaik mendapati keadaan saya yang kritikal ketika itu.

“Saya kemudian menjalani pembedahan. Keadaan saya kini stabil dan amat berterima kasih kepada doktor serta kakitangan hospital yang bertungkus-lumus menyelamatkan saya,”
katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Ng See Fai, 25, membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung kejadian rompakan berkenaan yang turut menyebabkan telefon bimbit adiknya bernilai RM350 dilarikan penjenayah.

“Saya terlalu sayangkan dia (See Hoe) kerana kami hanya dua beradik selain dia penghibur serta seorang yang bijak dalam akademik.

“Saya puji sifat kentalnya walaupun dalam keadaan lemah dia masih boleh bergurau dan bersemangat untuk kembali memulakan sesi pelajarannya di UKM,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Mutakhir/20090811070233/Article

Penangan bibik

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Biarpun sudah beristeri dua dan mempunyai tujuh cucu, seorang kontraktor masih tidak sedarkan diri sehingga tergamak mengabaikan keluarga, gara-gara dilamun cinta dengan amah Indonesia yang kini bekerja sebagai tukang sapu sampah di pejabat syarikatnya.

Akibat diserang ‘angau’, rumah tangga datuk itu porak-peranda sehingga kehidupan isteri keduanya menjadi tidak menentu, malah terpaksa berniaga kecil-kecilan bagi menampung tunggakan pinjaman rumah dan bil air serta elektrik.

Semuanya berlaku selepas suaminya yang mencecah usia 59 tahun lebih selesa menghabiskan masa bersama wanita warga asing berusia 40 tahun berkenaan.

Isteri kedua kontraktor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ann, 52, berkata suaminya diperkenalkan dengan wanita warga asing itu oleh serang rakan sekitar 2006.

“Wanita itu kemudian diambil bekerja sebagai pembantu rumah di rumah isteri pertama. Namun, tidak lama kemudian, kami menyedari suami kami menjalinkan hubungan sulit selepas anak kami beberapa kali terserempak mereka berdua-duaan dalam bilik setiap kali mempunyai kesempatan,” katanya ketika ditemui di Kota Kemuning di sini, semalam.

Menurut Ann, perbuatan suaminya semakin melampau sejak Jun tahun lalu apabila langsung tidak menjenguk anak kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama wanita terbabit.

“Selepas hubungan mereka terbongkar, suami memindahkan pembantu rumah itu tinggal di sebuah flet berhampiran Kota Kemuning dan mengambilnya bekerja sebagai tukang sapu di pejabatnya.

“Sejak itu, dia semakin alpa dengan tanggungjawab. Jika dulu dia bergilir-gilir ke rumah isteri pertama dan saya, namun selepas berkenalan dengan wanita itu suami semakin kurang menunaikan tanggungjawab.

“Hutang pinjaman rumah tertunggak dan bil (air dan elektrik) tidak berbayar. Kebanyakan masa dihabiskan dengan wanita itu sehingga menjadi buah mulut penduduk setempat menyebabkan saya dan anak malu,”
katanya.

Ann berkata, hasil perkongsian hidup dengan suaminya itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, namun disebabkan penyakit angau yang menyerang lelaki berkenaan, kehidupan keluarganya kini langsung tidak dipeduli.

“Saya sebelum itu sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak lelaki, jadi saya tak terasa sangat apabila dia tak peduli anak tirinya kerana mereka sudah besar dan mempunyai kerjaya tapi apabila darah daging sendiri diabaikan sehingga menyebabkan pelajarannya terganggu, saya tidak boleh berdiam diri.

“Saya dan seorang anak lelaki pernah cuba bersemuka dengannya di pejabat syarikat, namun kami dihalang pekerja yang mengugut mahu memukul kami menyebabkan satu laporan polis dibuat,”
katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu sama ada suaminya terkena buatan wanita warga asing itu tetapi tidak menolak kemungkinan itu kerana perubahan sikapnya terlalu ketara.

“Sekarang dia bukan saja menggaji wanita terbabit, malah kaum kerabat wanita itu turut diambil bekerja. Pada masa sama apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti rumahnya disimbah cat, dia menuduh ia kerja anak saya,” katanya.

Ann berkata, disebabkan tidak tahan diperlakukan sedemikian, dia nekad mahu menyaman suaminya kerana mengabaikan tanggungjawab.

“Pada awal perkahwinan kami, dia berjanji macam-macam untuk menjaga keluarga saya, malah saya banyak membantunya membuka syarikat kontraktor miliknya sekarang. Kini selepas jatuh cinta dengan wanita itu, kami semua diabaikan malah setiap kali cuba meminta bantuannya, semua ‘kebaikannya’ diungkit seolah-olah kami sangat terhutang budi dengannya,” katanya.

Menurutnya, kes saman terhadap suaminya itu akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Klang 25 Ogos ini.

“Saya terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan keadilan di pihak saya dan anak yang terus diabai suami,” katanya.

Kristal yang menyakitkan




PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak.




Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya.

Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia(PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat.


INILAH fizikal batu hempedu yang dikeluarkan dari pundi hempedu yang gagal berfungsi dengan baik.


Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.

Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.




“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.

Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut.


BATU hempedu ditarik keluar dengan menggunakan endoskopi.


Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.

“Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan,” katanya.

Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna.

“Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat,”

“Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras,” jelasnya.

Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.

Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu.

Rawatan

Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik .

“Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan,” jelas Hairol.

Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas.

Pencegahan

Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu.

“Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi,” tegas Hairol.

Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini

Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat.

Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan.

Walaupun hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Kisah bekas pelarian Kemboja


KEKEJAMAN askar Pol Pot masih menghantui majoriti warga Kemboja biarpun rejim itu sudah lama ditumbangkan.


MELIHAT penduduk kampung dipukul hingga mati dengan mata cangkul, direndam di dalam kolam sebelum ditembak di kepala atau ditanam hidup-hidup antara kekejaman Rejim Khmer Rouge yang masih terpahat di kotak ingatan Fauzi Ismail, 47.

Selama tiga tahun sembilan bulan hidup di bawah pemerintahan rejim pimpinan Pol Pot, Fauzi menyifatkan kezaliman dan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Kemboja khususnya penganut agama Islam adalah satu kehidupan yang cukup getir.

Fauzi yang berketurunan Melayu Champa lahir dan membesar di Phnom Penh. Sebagai rakyat biasa, mereka tersepit sebaik gerila Khmer Rouge merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Lol Nol pada tahun 1975.

Kebuluran

Bergelar pelarian, dia pernah meredah belantara pada tengah malam dan hanya berpandukan cahaya bulan dan hampir kebuluran. Namun semua itu dilakukan semata-mata untuk lari daripada kekejaman perang.

Fauzi masih berasa ngeri jika teringatkan peristiwa yang dialaminya. Dia yang kini memiliki perniagaan kain baju di Pekan Parit Buntar, Perak bersyukur kerana dilimpahi rezeki di sini.

"Bayangkan, jutaan nyawa dibunuh tanpa belas kasihan sepanjang Pol Pot memerintah. Boleh dikatakan setiap hari mesti ada penduduk kampung yang mati.

"Pelbagai cara dilakukan oleh rejim Pol Pot untuk membunuh. Ini termasuklah menyeksa secara tidak berperikemanusiaan seperti menghentak kepala mangsa dengan paku atau tukul.

"Malah, penduduk kampung yang diberi makan bubur nasi dibiarkan kebuluran selama berbulan-bulan, sebelum dijamu makan nasi dan lauk yang ala kadar beramai-ramai.

"Tidak sampai sejam atau dua jam, ramai yang mati kerana sakit perut akibat makan terlalu banyak. Ini kerana perut yang telah lama kosong tiba-tiba diisi makanan. Ada juga yang mati petang, malam atau keesokan harinya.

"Ini antara cara-cara mereka membunuh orang kampung tanpa melepaskan tembakan. Saya betul-betul bersyukur kerana dipanjangkan umur," ceritanya.

Dibunuh kejam

Dia juga masih terbayangkan wajah seorang lelaki yang mati dibunuh oleh gerila-gerila Khmer Rouge dalam satu kejadian di kampungnya sekitar tahun 1976.

Berusia 12 tahun, Fauzi ditugaskan mengembala kerbau oleh ketua kampungnya. Sewaktu pulang dari menambat kerbau di hutan, Fauzi ternampak seorang lelaki sedang menggali lubang sambil diperhatikan oleh beberapa lelaki bersenjata.

"Saya menyorok di balik semak kira-kira 100 meter dari situ. Nampak mangsa menangis sambil terbongkok-bongkok.


FAUZI kini menjalankan perniagaan kain dan pakaian yang kebanyakannya diambil dari Kelantan.


"Salah seorang lelaki yang bersenjata kemudiannya menghayunkan cangkul dan mengenai belakang kepala mangsa sebelum ditendang ke dalam lubang.

"Darahnya menyembur keluar. Saya dapat dengar suaranya mengerang macam lembu kena sembelih. Selepas itu, gerila tadi menimbus lubang sebelum pergi," katanya.

"Nyawa manusia tiada harga. Mayat bergelimpangan di sana sini. Ada gerila-gerila Pol Pot yang tanam mayat-mayat, tetapi diuruskan lebih kurang sahaja.

"Biasanya lubang dikorek separas lutut dan ditimbus. Seringkali kubur-kubur akan dikorek oleh binatang buas termasuk anjing.

"Bau busuk usah cakap. Kami semua sudah biasa. Penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dan menurut sahaja kata mereka," jelasnya.

Demi hidup, mereka sanggup melakukan apa sahaja. "Suatu hari, kerbau jagaan saya terlepas lalu menuju ke petak sawah padi.

"Bimbang tindakan kejam Khmer Rouge jika kerbau memakan padi, saya mematahkan rangka mayat buat penghalang kerbau," ceritanya.

Bahasa Melayu

Rejim itu akhirnya tumbang pada tahun 1979 setelah dikalahkan oleh pemberontak yang disokong oleh tentera Vietnam.

Bimbangkan keselamatan akibat perang saudara yang berterusan, dia dan penduduk kampung melarikan diri ke negara jiran, Thailand.

"Ketika itu saya berusia 14 tahun. Saya bersama tiga adik menyertai kira-kira 50 penduduk kampung meredah hutan belantara berpandukan cahaya bulan. Kami berjalan sehari semalam melalui kawasan yang ditanam periuk api, akhirnya kami sampai di sempadan Thailand.

"Setelah melepasi sempadan, kami dibawa anggota polis Thailand, lalu ditempatkan di kem pelarian di Kao Idang dan diawasi oleh pihak Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Selepas proses dokumentasi, kerajaan Malaysia melalui pegawai konsulatnya di Thailand membawa kami ke Cunburi dengan bas untuk ke Bangkok dan seterusnya ke Golok.

"Kemudian kami dibawa dengan bas melalui Rantau Panjang dan terus ke Kem Cherating, Pahang," katanya.

Sepanjang berada di penempatan pelarian Kemboja di situ, mereka diajar bahasa Melayu. Di samping pelbagai asas kemahiran seperti pertukangan dan jahitan sebagai persediaan meneruskan kehidupan di Malaysia.

"Setelah keluar kem, destinasi saya adalah ke rumah seorang ibu saudara di Tanah Kebun, Parit Buntar, Perak. Di sinilah saya mengenali dunia perniagaan dengan menjual kain pelekat, batik, baju dan sebagainya yang dibeli dari Kelantan.

Bersama tiga lagi rakannya, Fauzi membuka perkampungan di Permatang Tok Mahat dengan mengumpulkan beberapa kenalan demi sedikit. Kini jumlahnya meningkat lebih 200 keluarga Kemboja.

"Saya juga bertemu jodoh dengan sepupu sendiri, Faridah Salleh, 40. Kami bernikah di sini dan kini dikurniakan lapan orang cahaya mata. Tiga daripadanya ke menara gading,

"Semua rezeki yang dikurniakan ini cukup besar ertinya bagi kami sekeluarga.

"Daripada kehidupan susah di kampung di Kemboja, bertukar kepada penderitaan di bawah Rejim Pol Pot dan menjadi pelarian, saya tak sangka masih berpeluang mengecapi nikmat di sebuah negara bernama Malaysia," ujar Fauzi penuh kesyukuran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Kisah orang gemuk


URIBE kini mengikuti diet ketat dan juga sesi senaman ringan. Foto dirakam oleh AP semasa satu temu bual di kediaman Uribe di Monterrey, Mexico pada Mac lalu.


MANUEL Uribe, 44 pernah menggemparkan dunia apabila memiliki berat badan 597 kilogram. Berat itu telah melayakkannya untuk disenaraikan sebagai lelaki paling berat di dunia oleh Guinness Book of Records.

Lelaki tersebut menghadapi masalah obesiti yang serius sejak 1992 dan pernah cuba membunuh diri beberapa kali kerana kecewa dengan keadaan dirinya. Uribe dikatakan mula tidak menghiraukan berat badannya dan menjadikan makanan sebagai cara melepaskan tekanan selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Namun, lelaki yang pernah meminta pertolongan dunia untuk menurunkan berat badannya pada tahun 2006 itu sekali lagi mencatatkan namanya di dalam Guinness Book of Records sebagai lelaki yang kehilangan berat badan paling banyak.

Sehingga penghujung tahun 2008, Uribe telah berjaya menurunkan hampir 360 kilogram dan masih meneruskan usahanya untuk menguruskan badan.

"Saya bangga kerana tersenarai dalam buku Guinness Book of Records sebagai lelaki tergemuk dunia. Saya juga gembira kerana telah menurunkan berat badan dengan banyak," katanya.

Biarpun masih tidak mampu berjalan, Uribe mengakui bahawa dia berjaya mengurangkan berat badan setelah mengikuti program diet yang dikenali sebagai The Zone. Program itu bertujuan mengimbangkan hormon melalui pengambilan karbohidrat dan protein, selain menggunakan abah-abah untuk latihan angkat berat.

Sewaktu berusia 22 tahun, berat badannya mencecah 132 kilogram. Angka itu kemudiannya naik mendadak pada Mei 2006 sehingga mencecah 550 kilogram.


CUBA bergerak aktif dengan menguruskan diri mengikut kemampuan.


Dia kemudian mencecah berat maksimum dalam hidupnya iaitu 597 kilogram. Dia berazam untuk mengurangkan berat badan bagi memastikan dirinya boleh hidup lebih lama dan menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Akhirnya, Uribe bertemu jodoh dengan balu kepada rakan baiknya iaitu Claudia Solis. Wanita itu begitu setia dalam membantunya meneruskan misi menurunkan berat badan.

Tidak pernah bangun daripada katilnya selama lima tahun, dia akhirnya boleh keluar rumah menggunakan kren khas dan dibawa bersiar-siar menggunakan sebuah van yang telah diubah suai.

Uribe juga sudah boleh menggerakkan badan, melakukan regangan serta senaman ringan. Bagaimanapun dia masih tidak boleh berjalan dan berhasrat untuk menurunkan berat sehingga mencecah berat badan normal mengikut ketinggiannya.

Sementara itu, wanita yang pernah mencatatkan sejarah sebagai wanita yang paling berat dunia, Rosalie Bradford juga memegang rekod sebagai wanita yang paling banyak kehilangan berat badan.

Dilahirkan pada tahun 1943, Rosalie mencatat berat badan tertingginya 544 kilogram pada tahun 1987. Menghabiskan masa lapan tahun terbaring di katilnya, dia mula bersenam mengikut kemampuan berikutan menerima sokongan daripada teman-teman dan seorang guru, Richard Simmons.

Biarpun pada awalnya hanya mampu menepuk tangan mengikut rentak lagu daripada video aerobik Simmons, dia berjaya menurunkan berat badannya pada sebanyak 90 kilogram pada awalnya.

Rosalie yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) bertarung dengan masalah obesiti sejak kecil lagi. Ditinggalkan oleh ibu bapanya ketika usia enam tahun, anak kecil itu kemudiannya dibesarkan oleh keluarga angkat.


URIBE masih sukar mengatakan tidak pada makanan.


Apabila ibu angkatnya meninggal dunia ketika usianya mencecah 12 tahun, Rosalie menjadikan makanan sebagai jalan penyelesaian. Ketika bersekolah di gred lapan, badannya sudah seberat 63 kilogram.

Setiap hari, dia mengambil 10,000 kalori termasuk kopi, 10 keping keju, lima keping lempeng, telur dan kepingan daging, separuh kek coklat, satu mangkuk kentang lenyek dengan daging khinzir, sandwich, piza saiz besar bersama keju dan banyak lagi.

Masalah berat badan Rosalie membawa kepada keracunan darah pada kaki yang menyebabkan dia terpaksa melalui 12 pembedahan dan memerlukannya berehat selama 18 bulan. Keadaan ini membuatkannya semakin tertekan dan menjadikan makanan sebagai 'penawar'.

Tidak dapat bangun dari katil menyebabkan semua aktiviti dilakukan di dalam bilik, termasuklah menyambut Krismas. Untuk memandikan Rosalie sahaja memerlukan masa selama dua jam kerana terlalu banyak bahagian badannya yang perlu dibersihkan.


ROSALIE BRADFORD


Rosalie pernah mencuba untuk menurunkan berat badan tetapi gagal. Sehinggalah seorang teman menulis kepada Richard Simmons pada tahun 1989 untuk meminta pertolongan.

Dengan bantuan Richard, dia berjaya menurunkan sebanyak 331 kilogram. Rosalie akhirnya pada tahun 1992 berupaya menurunkan berat badannya kepada 136 kilogram. Bermakna, dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak lebih 400 kilogram.

Malangnya, Rosalie menemui ajal ketika menjalani salah satu daripada lima sesi pembedahan yang dilakukan bagi membuang kulit berlebihan. Dia mengalami komplikasi ringan yang membawa kepada maut dan menghembuskan nafas terakhir pada 26 November 2006 pada usia 63 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...