Saturday, May 16, 2009

Hadi kekal presiden, 5 calon timbalan, 16 calon naib


Abdul Rahim Sabri | May 16, 09 12:04pm
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala lima orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 16 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 86 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Dan jumlah ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali adalah yang teramai dalam sejarah pemilihan parti itu.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya selepas menerima pencalonan 136 daripada 137 PAS kawasan.

Satu lagi kawasan - Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan - mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden.

Untuk layak bertanding bagi semua jawatan parti, setiap calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Bagi jawatan timbalan presiden, lima orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasaruddin Mat Isa.

Empat lagi yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din; Naib-naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasaruddin, Abdul Razak, Dr Harun turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden, bersama-sama tiga lagi penyandangnya, Husam, Mohd Sabu dan Ahmad Awang.

Pertandingan adalah untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS bulan depan. Sepuluh lagi calon naib presiden ialah:

1. Datuk Hasan Ali
2. Idris Ahmad
3. Datuk Kamaruddin Jaffar
4. Datuk Mahfuz Omar (ahli Parlimen Pokok Sena)
5. Nik Mohd Amar Nik Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan)
6. Mujahid Yusof Rawa (MP Parit Buntar).
7. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak)
8. Salahuddin Ayub (MP Kubang Krian)
9. Taib Azamuddin (MP Baling)
10. Datuk Ibrahim Tuan Man 

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Menurut Mustafa, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka bertanding.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 8 Mei lalu, manakala pencalonan bagi jawatan utama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS adalah pada 17 Mei ini.

Menurut Mustafa, senarai calon muktamad yang akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei depan.

Katanya, PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara dan 137 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama utama.

Tambahnya, 1,000 hingga 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar parti itu awal bulan depan.

http://www1.malaysiakini.com/news/104430

Gelagat pemabuk dirakam


GAMBAR lelaki mabuk bersandar pada sebuah kenderaan polis di Cardiff turut dirakamkan oleh Dakowicz.


CARDIFF - Seorang jurugambar Poland, Maciej Dakowicz merakam gelagat orang ramai yang mabuk pada malam minggu di sini sejak empat tahun lalu ketika budaya liar itu mendapat perhatian kerajaan Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Dakowicz yang mengumpul gambar-gambar itu dalam sebuah koleksi bertajuk Cardiff At Night (Malam Hari di Cardiff), pernah mengembara ke 20 negara di Benua Asia dan Afrika bagi mengembangkan bakatnya selepas mempelajari seni fotografi pada 2003.

Bagaimanapun, jurugambar amatur itu berkata, dia tertarik dengan budaya minum sampai mabuk masyarakat Britain setibanya dia di sini empat tahun lalu.


DAKOWICZ merakamkan gambar empat pengunjung pusat hiburan makan 
di sebuah pusat perhentian bas yang kotor di Cardiff.


"Senario malam hari yang begitu liar merupakan perkara baru buat saya dan mencetuskan inspirasi untuk saya merakamnya," kata Dakowicz yang berasal dari Bialystok, timur laut Poland.

"Saya merakam gambar manusia dan persekitaran di sini. Belum pernah saya melihat suasana liar seperti ini sama ada di Poland atau mana-mana negara yang pernah saya lawati," tambahnya.

Menurutnya, masyarakat Britain gemar berparti dan berseronok tetapi mereka kerap kali hilang kawalan apabila berada di bawah pengaruh alkohol.

"Masyarakat di sini minum arak dengan banyak dan pantas. Justeru, mereka cepat mabuk," jelasnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Gambar luar biasa matahari dirakam


GAMBAR kapal angkasa Atlantis (dalam bulatan) yang melintasi matahari di angkasa lepas berjaya dirakam oleh Legault.


FLORIDA - Seorang ahli astronomi amatur, Thierry Legault berjaya merakamkan gambar kapal angkasa Atlantis dan teleskop Hubble di depan imej matahari di angkasa lepas, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar luar biasa itu dirakamkan oleh Legault di Florida, 96 kilometer ke selatan Pusat Angkasa Kennedy di Amerika Syarikat.

Dia menggunakan teleskop biasan Takahashi berharga AS$12,000 (RM43,000), sebuah kamera Canon dan prisma solar Baader bagi memperoleh imej tersebut.


KAPAL angkasa Atlantis sebelum berlepas dari Florida.


Imej matahari yang dirakam itu berwarna kuning pudar kerana hanya lima peratus cahaya yang dapat menembusi prisma itu.

Gambar kapal angkasa Atlantis yang berlepas dari Cape Canaveral di sini pada Selasa lalu pula kelihatan seperti bayang-bayang hitam ketika dirakam.

Angkasawan-angkasawan kini sedang membaiki dan meningkatkan keupayaan teleskop Hubble buat kali terakhir. Legault ialah seorang jurutera dari Paris, Perancis yang suka merakamkan gambar-gambar pemandangan angkasa lepas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Pengalaman tiga mangsa ragut

Diragut semasa tunggang motosikal

IDA Fatmawati Ghazali, 27, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), rugi kira-kira RM3,000 selepas diragut ketika perjalanan pulang ke rumah sewanya di Pandan Indah dari sebuah syarikat pengiklanan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 28 April dua tahun lalu.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa menunggang motosikal sendirian untuk menuju ke rumah sewanya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal lalu meragut beg tangan yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya.

Dia yang terkejut dan panik dengan kejadian tersebut menceritakan insiden itu berlaku sekelip mata. Ida yang kehilangan beberapa dokumen dan barang peribadi termasuk telefon bimbit, wang tunai, kunci rumah dan kad pengenalan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada hari kejadian.

Dia menasihati penunggang motosikal khususnya golongan wanita agar tidak meletakkan beg tangan di dalam bakul sebaliknya menggalasnya di bahu ketika menaiki kenderaan tersebut.

Diragut semasa guna telefon bimbit

SEORANG pensyarah wanita di sebuah universiti tempatan, Dorothy Misir, 31, tidak menyangka tarikh 3 Mac 2005 menjadi pengalaman hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa ragut sebaik sahaja keluar dari sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa ditemani dua rakan wanitanya baru sahaja keluar dari kompleks membeli-belah terbabit dan sedang leka berbual dengan rakannya melalui telefon bimbit. Tiba-tiba beg tangannya diragut oleh seorang pembonceng motosikal.

Dorothy mengakui sejak kejadian itu, dia tidak lagi menggunakan telefon bimbit sambil berjalan dan sentiasa memerhati keadaan sekitar ketika keluar bersiar-siar.

Diragut ketika tunggu teksi

SITI Salwana Mohd. Ragam, 21, seorang suri rumah sehingga kini masih trauma selepas beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal ketika menunggu teksi di sebuah perhentian di hadapan Hospital Kuala Lumpur, penghujung April lalu.

Ketika kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan.

Mangsa turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap orang ramai di tempat kejadian yang hanya 'membatu' dan melihat sahaja kejadian tersebut tanpa menghulurkan bantuan.

Dia menjerit meminta tolong ketika kejadian, malangnya usahanya itu hanya sia-sia apabila mereka yang berada di situ tidak mempedulikan dirinya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_03.htm

Kes kedua H1N1 disahkan

16/05/2009 11:58am

PUTRAJAYA 16 Mei – Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat mengumumkan mengenainya di sini hari ini. - Utusan


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

H1N1: 2 termasuk kanak-kanak dikuarantin

16/05/2009 12:13pm

PADANG BESAR 16 Mei - Seorang lelaki berusia 43 tahun dan kanak-kanak berumur empat tahun dikuarantin di Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk pemeriksaan kerana mempunyai simptom influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Ahmad Bakri Ali mengesahkan perkara tersebut.

Pemeriksaan termasuk sampel darah kedua-dua suspek telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk ujian lanjut. - Utusan


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Influenza H1N1 landa Malaysia


MANGSA kes pertama influenza H1N1 dipercayai terlepas saringan kesihatan di KLIA kerana dia hanya demam sehari selepas tiba dari New York.


KUALA LUMPUR - Selepas merebak ke 34 negara, mencatatkan hampir 7,300 kes termasuk 65 kematian, wabak influenza A (H1N1) akhirnya dikesan di Malaysia semalam dengan mangsa pertamanya seorang pelajar yang tiba dari New York, Amerika Syarikat pada Rabu lalu.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama 191 penumpang lain dengan pesawat MH091 Boeing B777-200 Penerbangan Malaysia.

Sewaktu tiba, dia dikatakan sihat tetapi mengalami demam dan sakit tekak selepas tiba di rumahnya. Dia kemudian dihantar untuk pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh kelmarin.


SUASANA di KLIA tetap seperti biasa semalam selepas negara dikejutkan dengan penemuan kes pertama influenza A yang menjangkiti seorang pelajar selepas dia tiba di lapangan terbang itu pada Rabu lalu.


Sebaik disahkan positif influenza A, dia terus dikuarantin dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa kesihatan bertindak mengarahkan perintah kuarantin rumah terhadap lima ahli keluarganya sementara usaha mengesan 191 penumpang lain dilakukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dalam penerbangan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan laporan kes pertama di Malaysia itu ketika dihubungi Bernama semalam.

Tiong Lai turut menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan jika berasa tidak sihat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Buang pundi hempedu elak batu karang

12/05/2009


pundi hempedu turut dibuang bagi mengelakkan daripada terhasilnya batu sekali lagi.


Contoh kes :

SETIAP kali selepas menikmati hidangan tengah hari, Rozita Amir, 40, akan mengalami sakit seperti senak di bahagian perut. Sakit tersebut memang mengganggu tugasannya kerana ia berlarutan sehingga sejam lamanya. Sangkanya, dia menghidapi gastrik namun setelah pemeriksaan oleh doktor pakar mendapati beberapa ketulan batu bersaiz guli terdapat dalam pundi hempedu Rozita.

Awas jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, kerana risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu agak tinggi untuk anda.

Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Nanda Kumar Rajendram, perubahan hormon dan mendapan kolesterol di bahagian hempedu antara punca mengapa bilangan wanita menghidap penyakit ini tinggi.

"Penyakit batu karang hempedu ini juga kerap dihadapi oleh wanita yang mempunyai anak ramai," jelas beliau ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Dr. Nanda Kumar menjelaskan, pundi hempedu menghasilkan hempedu iaitu sejenis cecair berwarna coklat kehijauan pekat yang mengumpul cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.

"Apabila seseorang makan, pundi hempedu akan mengembang dan menguncup serta menyerap kandungan kolesterol, lemak dan minyak daripada makanan yang dimakan itu.

"Akan tetapi, apabila cecair hempedu tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk batu keras yang dikenali sebagai batu karang hempedu. Saiznya pula bergantung, sama ada yang sekecil guli dan boleh jadi hingga sebesar bola golf.

"Apabila batu karang telah wujud di dalam hempedu, tiap kali anda memakan makanan yang mengandungi lemak, minyak serta kolesterol, pundi hempedu yang mengembang dan menguncup itu akan terasa sakit," terang Dr. Nanda Kumar lagi.

Beliau berkata, batu karang hempedu ini mungkin telah bertahun-tahun wujud di dalam hempedu seseorang tanpa disedari. Dan jumlahnya juga mungkin mencecah puluhan biji.

Faktor-faktor Risiko

Menurut Dr. Nanda Kumar, antara faktor yang menyebabkan risiko penyakit ini seperti faktor umur, jantina, berat badan dan diet yang berkalori rendah.

"Di KJMC, kami mendapati kebanyakan pesakit yang mempunyai batu karang hempedu adalah wanita yang berbadan besar, mempunyai ramai anak dan berumur 40 tahun ke atas.

Kebarangkalian individu menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia," tambahnya.

Simptom-simptom

Menurut Dr. Nanda Kumar, simptom penyakit batu karang hempedu seakan sama dengan penyakit gastrik. Pesakit akan berasa senak dan kadangkala sakit di bahagian abdomen. Adakalanya kesakitan itu disertai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan muntah.

"Biasanya rasa sakit tersebut akan menyerang selepas 15 minit seseorang makan makanan yang mengandungi lemak atau kolesterol.

"Rasa sakit itu pula pada mulanya sedikit dan kemudian senak kronik pada bahagian kanan perut dari ulu hati. Kesakitan biasanya berlarutan selama satu hingga dua jam selepas makan," jelasnya.

Diagnosis

Dr. Nanda Kumar memberitahu, disebabkan simptom penyakit ini lebih kurang sama dengan gastrik, maka pemeriksaan teliti perlu dilakukan.

Selain itu, disebabkan batu karang hempedu telah wujud sejak bertahun-tahun lamanya tanpa dapat dikesan oleh empunya tubuh, jadi ujian ultra bunyi berkomputer perlu dibuat untuk mengesannya.m hempedu anda.

Pembedahan

Dr. Nanda Kumar menasihatkan pesakit yang telah dikesan mempunyai penyakit batu karang hempedu untuk membuang pundi hempedu sekali. Ini kerana, pundi hempedu yang pernah menghasilkan batu akan berpotensi untuk menghasilkan batu sekali lagi.

Pembedahan yang amat disarankan untuk membuang batu karang hempedu dinamakan laparoskopik. Caranya dengan menggunakan laparoskop iaitu sejenis tiub nipis dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.

"Pembedahan yang dinamakan pembedahan minimal invasif ini hanya melibatkan empat tebukan kecil, dua lubang berdiameter 10 milimeter dan dua lagi bersaiz 5 milimeter.

"Prosedur mengambil masa selama lebih kurang sejam dan anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari," ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

Sebab Allah haramkan babi

15/05/2009

Soalan

Islam telah mengharamkan umatnya daripada memakan daging babi, apakah falsafahnya dan bagaimana ia boleh dikongsi dengan orang lain?

Jawapan

Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging babi. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga.

Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Wabak yang sedang hebat menular dan berjangkit tanpa memberitahu kepada mangsa. Influenza A (H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico kini sudah sampai ke negara jiran, Thailand.

Sebelum ini masyarakat Malaysia hanya menatap dan membaca serta mendengar mengenai virus ini di samping meluahkan rasa simpati kepada mangsa. Itu dua minggu lepas tetapi hari ini sudah berada tidak jauh dari rumah kita (Malaysia).

Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kampung kita ada babi baru boleh kena. Babi tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.

Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Persoalannya bagaimana manusia dijangkiti virus ini?

Jawapannya, manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini.

Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan babi atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia. Kalau begitu keadaannya, penyakit ini sudah ada vaksinnya? Jawapannya, setakat ini tiada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus ini.

Islam mempunyai penyelesaiannya, Allah SWT yang menjadikan manusia dan yang menjadikan selain manusia telah mengharamkan secara qatie (pasti) bahawa daging babi tidak boleh dimakan.

Firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173).

Ulasan Sayyid Qutub menarik minat saya untuk dikongsikan di sini, beliau menjelaskan: “Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

Cacing yang sangat berbahaya

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging babi, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dalam surah yang sama Allah SWT mengajak manusia keseluruhannya supaya makan makanan yang halal lagi baik, firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168).

Seruan “Wahai manusia”, dalam ayat di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT yang Maha Agung Pencipta segala sesuatu yang bersifat Rahman, menyeru agar siapa sahaja dia sama ada mukmin mahu pun kafir, Dialah Pencipta mereka dan Dialah yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.

Dan makanan yang dimakan itu mestilah sifatnya halal dan baik. Halal dari sudut hukum dan baik dari sudut zatnya.

Anehnya manusia suka mendekati yang haram yang jelas mendatangkan mudarat sedangkan yang halal cukup banyak. Ingatlah yang haram hanyalah sedikit dan yang halal itu tidak terhitung oleh manusia.

Yahudi pinda kitab Taurat

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu.

Dan mereka pula berkata: "(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)". Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah SWT - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya". Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? (ali-'Imran: 78-80)

Al-Maraghi berkata: "Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang golongan ketiga daripada Ahli Kitab. Mereka adalah sebahagian daripada pendeta Yahudi yang berada di sekitar kota Madinah dan pendeta-pendeta lain yang seangkatan dengan mereka.

"Mereka telah melakukan suatu perbuatan khianat lain terhadap agama dengan mengaku bahawa Allah SWT berfirman tentang sesuatu, padahal sebenarnya tidak."

Sebab Nuzul ayat ke-78

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa golongan ini adalah orang Yahudi yang datang kepada Ka'ab Ibn al-Asyraf, seorang tokoh yang sangat memusuhi Rasulullah SAW dan banyak menyakiti hati serta mengganggu baginda.

Mereka inilah yang mengubah kandungan Taurat dan menulis sebuah kitab dengan mengubah keterangan mengenai ciri-ciri Nabi Muhammad SAW.

Buku yang mereka susun ini dijadikan pegangan oleh Yahudi Bani Quraizah, lalu mereka mencampuradukkan dengan kitab suci yang ada pada mereka. Ketika mereka membaca kitab, mereka membacanya dengan mengubah ucapannya, sehingga menimbulkan keraguan pada orang ramai bahawa yang dibaca itu adalah Taurat.

Ibn Jauzi menyebut, pendapat kedua bahawa ayat ini diturunkan kepada golongan Yahudi dan Nasrani seperti riwayat al-Dahaq daripada Ibn Abbas r.a.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka berkata dengan dusta. Ayat ini mencela keras perbuatan mereka dan menyatakan sifat mereka yang kurang ajar sekali. Mereka bukan sahaja mengatakan yang dusta itu secara samar-samar, bahkan secara terang-terangan hingga menggunakan nama Allah SWT.

"Ini kerana mereka tidak lagi berasa takut kepada Allah SWT dan beranggapan bahawa dosa apa pun yang mereka lakukan akan diampuni, kerana mereka adalah penganut agama Allah SWT".

ii. Hamka berkata: "Di dalam ayat ini disebutkan laiyan bin alsinatihim, yang bererti dengan memutar-mutarkan lidah mereka. Ada beberapa kalimat yang jika diubah walau sedikit akan berubah makna dengan ketara.

Umpamanya dalam bahasa kita di antara kembang dan kumbang, madu (manisan lebah) dengan bermadu (perempuan yang bermadu) dan lain-lain.

Ka'ab bin Asyraf dengan teman-temannya tergamak membaca kitab sucinya sendiri dan memutar belitkan perkara yang benar dan sahih serta memungkiri kerasulan Muhammad SAW. Beliau dengan berani mengatakan bahawa itu adalah isi Kitab Taurat.

iii. Al-Biqa'i dalam tafsirnya berkata: "Contoh sifat putar belit mereka dengan membaca ayat yang menjelaskan perubahan hukum terhadap yang berzina, iaitu kata farjumuhu yang bererti lemparlah ia dengan batu dengan farhamuhu bererti kasihanilah ia."

iv. Al-Sonhadji berkata: "Sekumpulan mereka yang disebutkan dalam ayat ini ialah orang-orang Yahudi seperti : Ka'ab bin al-Asyraf, Malik bin al-Soif, Huyai bin Akhtob dan Abu Yasir serta Syu'bah bin Amr, seorang penyair.

"Mereka adalah orang-orang yang sangat memusuhi Nabi SAW. Mereka menjadi kaki belit dengan membacakan isi kitab yang bercampur dengan karangan yang mereka tulis, lalu mendakwa kepada orang ramai itulah Taurat".

Sebab nuzul ayat ke-79

Ibn Ishaq dan lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a, katanya: Ketika para pendeta Yahudi dan Nasrani dari Najran berkumpul di sisi Rasulullah SAW, dan baginda mengajak mereka kepada Islam, Abu Rafi' al-Quraziy berkata: Wahai Muhammad, apakah engkau ingin kami menyembahmu seperti orang Nasrani menyembah Isa a.s?

Lalu seorang lelaki Nasrani dari Najran berkata: "Atau seperti itukah yang tuan inginkan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Aku berlindung kepada Allah SWT, daripada menyembah selain Allah atau menyuruh manusia menyembah selain Dia. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini".

Abd al-Razzaq meriwayatkan daripada al-Hasanah katanya: "Telah sampai berita kepadaku, bahawa seseorang telah berkata: Wahai Rasulullah SAW, kami pasrah kepadamu, seperti pasrahnya sebahagian kami terhadap sesama kami kerana itu apakah kami boleh sujud kepadamu?"

Sabdanya: "Tidak, tetapi hormatlah nabi kamu dan kenalilah hak kepada ahli keluarganya kerana tidak patut seseorang sujud kepada yang lain selain Allah SWT". Lalu Allah SWT menurunkan dua ayat ini.

Ayat ini diturunkan kepada Kristian Najran ketika mereka menyembah Isa a.s. Inilah pendapat al-Dahaq dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Abbas r.a berkata, maksud 'manusia' itu ialah Nabi Muhammad SAW. Dan maksud 'kitab' ialah al-Quran. Kerana Abu Rafi' (daripada orang Yahudi) dan al-Saiyid (daripada orang Nasrani Najran) berkata: "Ya Muhammad! Adakah engkau mahu kami sembah, dan kami jadikan Tuhan?"

Jawab Baginda: "Allah SWT lindungkan aku daripada menyuruh kamu beribadat kepada-Nya".

ii. Ali bin Abi Talib berkata, golongan Rabbani ialah yang mengajar manusia dengan hikmah dan tarbiyah mereka.

iii. Ibn Abas r.a dan Ibn Jubair berkata, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mengajar manusia.

iv. Qatadah dan Ata' pula berpendapat, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mempunyai ilmu dan hikmah.

v. Abu Ubaid berkata: "Aku mendengar seorang lelaki berkata maksud Rabbani adalah ulama yang mengetahui berkenaan halal dan haram, perintah dan larangan".

vi. Ibn al-Ambari berkata, sebahagian ahli bahasa berpendapat: "Perkataan Rabbani dinisbahkan kepada Rabb, kerana ilmu daripada apa yang ditaati dengannya".

vii. Al-Maraghi berkata, barang siapa mengajak orang lain menyembah dirinya, bererti dia telah mengajak manusia menjadi penyembah selain Allah SWT, meskipun dia tidak melarang atau menyuruh mereka menyembah Allah SWT.

viii. Hamka berkata, di dalam ayat ini Rasulullah SAW disuruh menyampaikan kepada manusia hakikat kesetiaan Nabi-nabi termasuk diri baginda sendiri, nabi-nabi yang terdahulu termasuk Nabi Isa a.s.

Bahawasanya setelah menerima tiga kemuliaan dari Allah SWT iaitu diturunkan kepada mereka kitab dan diberi pula hukum untuk membezakan hak dan batil, adil atau zalim, dan dilengkapi semuanya itu dengan nubuwwat, lalu dia berlaku curang kepada amanat yang diturunkan Allah kepadanya itu, menyeru kepada umatnya menyembah selain Allah SWT dan disuruh menjadi hamba kepada diri sendiri.

Dalam ayat ini, Nabi Muhammad SAW mengatakan tidak mungkin dan mustahil bagi seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah bertindak sedemikian rupa. Ini kerana itu adalah pengkhianatan kepada yang Maha Esa dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Amat sesuai ayat ini dirangkaikan dengan ayat terdahulu bahawa pengkhianatan kepada janji adalah khianat yang paling besar.

ix. Mohamad Quraish Shihab berkata, mereka yang dianugerahi kitab, hikmah dan kenabian menganjurkan semua orang agar menjadi rabbani dalam erti semua aktiviti, gerak dan langkah, niat dan ucapan kesemuanya seiring dengan nilai-nilai yang disuruh oleh Allah SWT.

x. Seorang Rabbani menurut ayat ini paling tidak melakukan dua perkara. Pertama, terus-menerus mengajarkan kitab suci dan kedua terus-menerus mempelajarinya.

Pengertian terus-menerus itu, difahami dari bentuk kata kerja mudhari yang digunakan ayat ini untuk kedua hal tersebut.

Sebab nuzul ayat ke-80

Diriwayatkan daripada Ali Ibn Abu Talib r.a bahawa beliau berkata: "Dua golongan yang memberatkan punggungku, iaitu orang alim yang langgar larangan Allah SWT dan orang bodoh yang rajin melaksanakan ibadah. Ini kerana orang alim seperti itu menjauhkan manusia daripada mempelajari larangan-larangan agama, manakala orang bodoh pula akan membuat manusia menyukai kebodohannya yang tekun beribadah".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata, golongan jahil di kalangan pendeta dan guru yang sesat termasuk dalam celaan ini. Bersalahan dengan Rasul serta pengikut mereka di kalangan ulama yang beramal di mana mereka memerintah apa yang diperintah Allah SWT dan melarang apa yang dilarang oleh Allah SWT.

ii. Al-Maraghi berkata, apakah (Nabi SAW) pernah menyuruh kamu menyembah malaikat dan sujud kepada para nabi setelah mereka menyuruh mengesakan Allah SWT dan mentaati-Nya dengan ikhlas.

Jika benar baginda berbuat begitu, maka perbuatan seperti itu adalah kafir, hilang kenabiannya, dan lenyap imannya. Seseorang yang Allah anugerahkan al-Kitab, hikmah dan diangkat sebagai nabi adalah orang yang paling mengerti tentang Allah SWT.

Justeru, orang yang diberikan wahyu oleh Allah SWT, hanyalah orang yang jiwanya benar-benar bersih dan rohaninya benar-benar baik. Oleh itu tidak mungkin terjadi kenabian berkumpul menjadi satu pada diri yang mengajak manusia menyembah selain Allah SWT.

iii. Hamka berkata: "Dia (Nabi Muhammad SAW) tidak mengajak orang lain untuk bertuhankan dirinya sendiri, tidak pula bertuhankan Malaikat serta Nabi-nabi yang lain.

"Dia hanya mengajak manusia supaya mentaati Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malaikat adalah hamba Allah yang paling taat dan hanya mengerjakan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka.

"Di antara malaikat itu ialah Jibril a.s yang disebut Rasul Amin (Roh yang dipercayai), disebut juga Ruh al-Qudus (Roh yang suci), penghulu segala Malaikat, namun diapun tidaklah disuruh mempertuhankannya".

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, penyebutan para malaikat dan Nabi-nabi pada ayat ini hanya sekadar contoh. Yang dimaksud adalah selain Allah seperti bulan, matahari, atau leluhur.

Hanya malaikat dan Nabi-nabi yang disebut oleh ayat ini kerana itulah yang disembah oleh masyarakat jahiliah dan orang Yahudi serta Nasrani.

v. Al-Sonhadji berkata, perbuatan mereka yang sedemikian adalah serupa dengan perbuatan orang-orang kafir Quraisy dan al-Sobbin, yang mendakwakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah, juga seperti kaum Yahudi yang mendakwa Uzair anak Allah dan kaum Nasrani mendakwa Isa al-Masih anak Allah.

Allah memurkai mereka dengan menyatakan bahawa perbuatan sebegitu sangat keterlaluan kerana mereka menyeru orang berada dalam kekufuran sedangkan mereka berada di dalam keIslaman.

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kelebihan golongan rabbani yang memahami isi kandung kitab Allah serta mengamalkannya. Mudah-mudahan kita menjadi golongan seperti itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Buka pintu lepas setengah jam


Norman Hakim berjalan bersama Memey Suhaiza ketika menghadiri perbicaraan kes khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam – UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ


KUALA LUMPUR 15 Mei – Walaupun hanya berseluar pendek ketat paras paha dengan baju T putih dibasahi peluh, namun pelakon Norman Hakim tidak cemas ketika diserbu penguat kuasa agama.

Saksi pertama perbicaraan kes khalwat artis berusia 33 tahun itu, Abdul Rahman Lai Abdullah memberitahu, Norman juga dapat berkomunikasi dengan lancar.

Katanya, pada mulanya Norman enggan memberikan kerjasama dan mempersoalkan tindakan penguatkuasa serta tidak melayan pertanyaan yang diajukan.

Pasangannya, Memey Suhaiza Suhaimi, 21, yang ditangkap di tingkat bawah premis rumah kedai serta pejabat itu pula lengkap berpakaian dan berseluar panjang.

Menurut Abdul Rahman, kedua-dua artis tersebut tidak ditangkap di tingkat yang sama di premis pejabat di pejabat di No. 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini .

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini juga diberitahu, penghuni premis itu mengambil masa setengah jam untuk membuka pintu meskipun diketuk dan diberi amaran berkali-kali dalam serbuan kira-kira pukul 2.40 pagi, 30 Oktober 2008.

‘‘Bukan sahaja tiada sebarang respons diberikan oleh penghuni premis malah lampu pejabat juga tidak dibuka. Tetapi saya ada terdengar bunyi jeriji besi dilanggar sesuatu namun tidak pasti dari arah mana. Oleh itu, saya pasti ada orang di dalam.

‘‘Tidak lama kemudian, rakan saya, Khairul Azri Sulaiman dihubungi oleh pengadu (namanya tidak didedahkan) yang memaklumkan bahawa pasangan disyaki berkhalwat juga ada menyewa premis di tingkat atas,’’ kata Abdul Rahman.

Ketika pihaknya hendak memotong mangga pintu gerigi besi, tiba-tiba muncul abang Norman, Mohamed Sofi Zaidon dan anggota penguatkuasa dapat masuk ke dalam premis setelah pintu dibuka oleh lelaki tersebut.

Katanya, beliau ternampak Memey sedang duduk di atas kerusi di depan kaunter masuk dan wanita itu ketika ditanya mengaku telah menghubungi Mohamed Sofi.

Sepanjang berada di situ, Abdul Rahman mengatakan, Memey nampak tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku dan tidak banyak bercakap.

‘‘Kami terus memeriksa bilik, salah satunya, terdapat set sofa dan ada tilam bersaiz bujang di atas lantai. Tetapi tiada sesiapa di dalam. Ada sebuah bilik pejabat dan satu lagi, bilik mesyuarat,’’ kata saksi.

Seterusnya Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah meninjau dan memanjat ruang laluan angin di bahagian belakang yang turut dipasang jeriji besi tetapi keadaan di situ gelap gelita.

Menurut beliau, pihaknya telah memotong mangga pintu premis bahagian atas kerana tiada kunci.

‘‘Premis tersebut gelap dan apabila lampu dibuka, kami memeriksa semua ruang termasuk bilik air. Ada sebuah bilik, banyak pakaian disusun dengan elok. Bilik tengah pula, ada banyak pakaian yang digantung kemas. Terdapat sebuah katil bujang tanpa tilam dalam bilik itu namun tiada orang.

‘‘Kami memeriksa satu ruang dipanggil yard dan saya mendapati tombol pintu berkunci dari dalam,’’ ujar Abdul Rahman.

Katanya sejurus tombol dipusing dan ditolak, tiba-tiba muncul Norman dari belakang daun pintu dalam keadaan berpeluh-peluh.

Belum sempat ditanya tujuan berada di ruang sempit itu, menurut Abdul Rahman, Norman mendakwa, dia terdengar bunyi bising di bahagian bawah dan hendak meninjau apa yang berlaku.

Sepanjang perbicaraan, Norman dan Memey duduk bersebelahan di samping peguam syarie mereka, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Selain kerap mengerling ke arah Norman, Memey yang sentiasa tersenyum acap kali berbisik ketika saksi memberikan keterangan.

Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm

Saksi: Norman berpeluh dalam bilik kecil dengan ‘boxer’

Jumaat Mei 15, 2009

Norman dan Memey ketika hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Saksi Abdul Rahman Lai Abdullah, Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Pejabat Daerah Gombak, yang menangkap aktor Norman Hakim berkhalwat dengan aktres Memey Suhaiza pada 30 Oktober tahun lalu tampil memberi keterangan di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata dia terjumpa Norman dalam keadaan berpeluh dengan memakai baju-t dan berseluar sendat seperti ‘boxer’ di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas manakala Memey yang berpakaian lengkap berada di kaunter tingkat bawah premis Norman di 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada pukul 3 pagi.

Abdul Rahman memberitahu Norman membela diri dengan menyatakan dia berada dalam bilik itu kerana ingin melihat apa yang berlaku di luar.

"Keadaan fizikal Norman berpakaian t-shirt berwarna putih, berseluar pendek ketat warna biru,seluar 'boxing'.

"Tidak pasti untuk renang dan tidak pasti nama seluar itu. Dia berpeluh-peluh tetapi masih mengawal diri," katanya.

Menurut Abdul Rahman, selepas mendapat laporan tentang kes khalwat itu, pihak JAIS terus membuat serbuan bermula pukul 2.10 pagi.

Norman ditangkap khalwat dalam keadaan berbaju-t yang basah dengan peluh serta 'boxer'.

Pada mulanya, dia cuba memanggil orang di dalam premis it selama 30 minit namun tiada jawapan.

Selepas tiada respons dari dalam, mereka cuba memotong kunci mangga, namun kira-kira pukul 2.40 pagi, datang seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai abang Norman lalu membuka pintu itu.

Pendakwa (P): Setelah pintu dibuka, apa yang kamu nampak?

Saksi (S): Saya nampak Memey sedang duduk di atas kerusi di bahagian depan pintu masuk. Macam ada di bahagian kaunter di depan tunggu kami masuk.

P: Apakah suasana semasa berada di dalam pejabat itu?

S: Suasana tenang. Bahagian depan tidak ada perkara yang mencurigakan.

P: Apakah yang kamu nampak?

S: Nampak dua buah bilik. Nampak dengan jelas. Ya, lampu di bahagian hadapan. Kaunter ada. Di bahagian lain, ada juga (lampu).

P: Kamu tengok Memey berpakaian bagaimana?

Memey pula didakwa berada dalam keadaan berpakaian lengkap.

S: Dia berpakaian lengkap.

P: Boleh kamu detailkan (perincikannya).

S: Dia berseluar panjang dan baju - tidak pasti.

P: Bagaimana keadaannya?

S: Dia amat tenang seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

P: Adakah dia berkerjasama?

S: Dia berikan kerjasama tetapi tidak banyak bercakap.

P: Selain tenang dan tidak banyak bercakap, apa yang dicakapnya.

S: Dia mengakui menghubungi abang suspek.

P: Selepas itu?

S: Saya tinggalkan Memey bersama Khairul Hazri dan Rezman Awang.

P: Kamu buat apa?

S: Saya bersama Khairul Nizam kemudian membuat pemeriksaan di tempat lain.

P: Berapa bilik yang ada dalam premis itu?

S: Saya tidak pasti. Satu bilik terdapat set sofa, tilam saiz bujang yang diletak atas lantai dan tidak ada sesiapa.

P: Bilik itu macam mana?

S: Lebih kepada bentuk pejabat.

P: Ada bilik lagi.

S: Ada satu bilik yang lebih luas. Boleh buat mesyuarat.

P: Apakah beza bilik itu dengan yang sebelumnya?

S: Ruang bilik ini lebih luas dan bahagian depannya boleh duduk ramai orang.

P: Apa yang anda perhatikan dalam premis itu?

S: Ada satu ruangan yang menghubungkan dengan rumah sebelah.

P: Ruangan apa?

S: Ruangan itu boleh menghubungi bahagian atas premis tersebut.

P: Apa yang ada dalam ruangan itu?

S: Ruangan itu macam ruangan angin.

P: Ruangan itu ada apa?

S: Ruangan itu ada pintu grill di bahagian atas.

Ketika itu, pihak pendakwaan menyampaikan tender gambar foto.

P: Ada tak kamu periksa?

S: Terdapat selak grill di bahagian atas. Periksa dari bawah, ia tidak berkunci.

P: Bagaimana kamu katakan bahagian bawah boleh hubungkan bahagian atas.

S: Saya menyuruh Khairul untuk memanjat ke atas dan berdiri atas rail. Dia terus melepasi selak pertama itu.

P: Kemudian?

S: Keadaan gelap kerana kami tidak membawa lampu suluh ketika itu.

P: Adakah Khairul Nizam dah panjat sampai atas?

S: Mengikut pemeriksaannya, untuk masuk juga terdapat gril dan selaknya dikunci mangga. Setelah lebih 2-3 minit, saya suruh dia turun. Saya dan Nafarul Azian cuba naik tingkat atas.

P: Kenapa?

S: Tingkat atas juga disewa oleh suspek. Dia disyaki bersembunyi di situ.

P: Macam mana kamu tahu?

S: Pengadu itu dah telefon dan memberitahu.

P: Seterusnya.

S: Saya ada tanya kepada abang suspek sama ada mempunyai kunci atau tidak untuk premis di bahagian atas.

P: Apakah respons Memey dan abang suspek?

S: Lelaki itu kata tiada kunci.

P: Apakah yang anda lakukan seterusnya?

S: Saya sendiri terpaksa potong mangga grill itu. Kami terus masuk kerana pintu kayu tidak dikunci dari dalam.

P: Boleh ceritakan premis di atas?

S: Keadaan adalah gelap-gelita. Kemudian, saya buka lampu.

P: Berapa orang ketika itu?

S: Tiga orang termasuk saya.

P; Apakah yang dilakukan selepas itu?

S: Dah buka lampu, kami terus periksa dari bilik ke bilik termasuk bilik air.

P: Berapa bilik yang ada?

S: Seperti bawah juga, tetapi satu bilik di bahagian tengah mempunyai banyak pakaian lelaki bujang disusun dan digantung elok-elok.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Memey dan Norman membantah apabila pendakwa mengemukakan tender gambar bilik semasa menyoal saksi.

Ini kerana, katanya, gambar itu beri kesan kepada keterangan saksi.

"Motif pihak pendakwa adalah memberikan tanggapan luar biasa.

"Pihak pendakwa perlu establish ... perlu seal untuk memastikan tiada perubahan. Saya tidak pasti punca gambar. Kalau gambar diambil selepas kejadian, maka ia tidak asli. Dan ia tidak berkaitan dengan semasa kejadian.

"Sebelum ditanda sebagai ID (tender untuk mahkamah), jurugambar perlu diambil keterangan terlebih dahulu ataupun premis diseal. Kita nak bukti masa kejadian dan bukan selepas kejadian tersebut." kata Fakhrul.

Pendakwa pula berkata, tender itu cuma untuk menunjukkan lokasi bilik dan ia tidak menjejaskan fakta.

Dalam pada itu, Norman menafikan dia tercabar dengan keterangan saksi selepas ditemui di luar mahkamah.

“Saya tidak tercabar. Itu memang prosedur mahkamah. Pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti,” katanya.

Sementara itu, Memey pula enggan memberikan komen kerana kes ini masih dalam perbicaraan mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 3, 10 dan 17 Julai ini untuk menyambung perbicaraan kes khalwat Norman-Memey untuk membolehkan saksi-saksi lain memberikan keterangan. Hari ini, hanya satu saksi yang memberi keterangan.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/15/mstar_hiburan/20090515154532&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...