Tuesday, August 17, 2010

Umpan layanan baik

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA LUMPUR: “Saya ok, cuma tak berapa sihat... Jangan risau.” Demikian SMS terakhir Nur Dhiya Ain Rosman, remaja perempuan yang diperdaya sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kepada teman lelakinya beberapa jam sebelum ditahan pihak berkuasa Capetown, Afrika Selatan, Sabtu lalu.

Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, menerima SMS itu pada jam 11.23 malam daripada Nur Dhiya selepas bertanyakan keadaannya yang berlepas ke negara asing pada 9 Ogos, tanpa pengetahuan keluarga kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan.


Nur Dhiya atau lebih mesra dipanggil Baby di kalangan keluarga ditahan di lapangan terbang Capetown selepas dikesan membawa 1.2 kilogram (kg) syabu dan kini ditempatkan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan.


Nur Zakri berkata, sepanjang Nur Dhiya berada di Capetown, hanya dia yang dihubungi gadis itu menerusi telefon bimbit diberikan anggota sindiket dadah terbabit.


“Nur Dhiya tidak percaya dia diperangkap, sebaliknya meminta saya tidak berfikir yang bukan-bukan setiap kali menasihatkannya supaya segera menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui pada sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik tiba di Capetown pada 10 Ogos lalu, Nur Dhiya memberitahu dia ditempatkan di sebuah bilik hotel dan dilayan dengan baik selain sering disogok bakal menerima gaji lumayan sebagai pemandu pelancong.


“Dia juga memberitahu dibawa berjalan-jalan di Capetown dan dijamu makanan lazat, cuma pergerakannya diperhatikan beberapa lelaki serta hanya boleh berhubung menerusi SMS saja. Mungkin layanan baik sindiket itu menyebabkan dia percayakan mereka,” katanya.


Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia kini hanya mampu berdoa anaknya selamat di tempat orang.


“Saya cuma tidak berpuas hati dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak kerana saya sekeluarga membuat laporan kira-kira dua jam sebelum dia berlepas ke Capetown. Sepatutnya dia sempat ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi kelewatan itu menyebabkan dia menjadi mangsa sindiket dadah,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudah meminta pertolongan Wisma Putra menyediakan bantuan guaman kepada Nur Dhiya.


“Saya syorkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah keldai dadah ini umpama dasar proaktif pihak berkuasa di pintu masuk.

“Mereka boleh bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang mahu ke luar negara dan jika menimbulkan syak, kita boleh kekang isu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa ini dengan menyekat mangsa daripada keluar,” katanya. Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan Nur Dhiya kali terakhir menghubungi ibunya kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di KLIA untuk ke Capetown.


Berdasarkan maklumat gadis yang menghidap penyakit darah tinggi kronik itu melakukan transit di Doha sebelum mendarat di Capetown.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umpanlayananbaik/Article

'Tak sayang abah lagi'

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.

Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.


Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.


Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.


Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.


“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksayangabahlagi/Article

Pasangan muda mengaku buang bayi dalam tong sampah

2010/08/17

MELAKA: Sepasang kekasih yang ditahan beberapa jam selepas membuang seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.
MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.
Pada prosiding bermula kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh lelaki yang berusia 18 tahun dan pasangannya, juvana berusia 17 tahun 10 bulan, kedua-duanya berasal dari Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus ia dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.


Terdahulu, tertuduh lelaki yang memakai baju lokap, manakala juvana perempuan berpakaian baju kurung merah dan bertudung coklat tenang di dalam kandang pesalah serta sesekali dilihat bercakap sesuatu antara mereka.


Kedua-dua mereka yang bekerja di kilang sama tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazura Hamid dan kes didengar Majistret Mohd Fairuz Johari.


Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membuang seorang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 1 pagi pada 11 Ogos lalu.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Berhubung pengakuan bersalah tertuduh, Noor Hazura memohon tarikh sebutan baru bagi mendapatkan laporan akhlak bagi kedua-dua tertuduh yang juga pesalah muda di bawah umur 21 tahun.


Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 bagi membebaskan kedua-dua tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai.


Mohd Fairuz bagaimanapun membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh selepas menimbangkan rayuan bahawa mereka tidak mampu kerana berasal daripada keluarga susah.


Kes ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman serta laporan akhlak pada 28 September depan.


Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan kilang terkejut apabila mendengar tangisan bayi yang disangkakan nada dering telefon bimbit.

Selepas memeriksa, dia menjumpai bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg kain dalam tong sampah di hadapan pondok pengawal sebelum kedua-dua tertuduh ditahan polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pasanganmudamengakubuangbayidalamtongsampah/Article

Toreh muka, mulut isteri

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUANTAN: Cemburu melihat isterinya berbual dengan sepupu lelaki, seorang buruh bertindak kejam apabila menoreh muka, bahu dan mulut pasangannya itu sehingga mengakibatkan mangsa berlumuran darah di Kampung Jeram Batu, dekat Kuala Lipis.

Dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Khamis lalu, mangsa berusia 25 tahun terpaksa merangkak keluar dari rumah meminta bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut.

Turut cedera, sepupu lelaki mangsa berusia 25 tahun yang luka di tubuh akibat ditoreh ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian, mangsa bersama sepupu lelaki di rumahnya manakala suaminya keluar bekerja.

Menurutnya, mangsa berbual-bual dengan sepupunya di ruang tamu sementara menanti kepulangan suaminya untuk makan tengah hari bersama-sama.

“Suami mangsa yang pulang ke rumah secara mengejut melihat mangsa berbual mesra dengan sepupunya. Dia menengking mangsa menyebabkan dua bersaudara itu tergamam sebelum ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong ikan.

“Sejurus keluar semula ke ruang tamu, suspek menoreh muka, tangan, mulut dan bahu isterinya. Melihat mangsa cuba diselamatkan sepupunya, lelaki terbabit seperti singa kelaparan apabila melibas pisau ke arah sepupu mangsa mengakibatkan lelaki itu cedera di tubuh,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun melarikan diri selepas melihat mangsa dan sepupunya tidak bermaya serta bermandikan darah.

Katanya, mangsa bersama sepupunya mendapat bantuan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan akibat cedera di mulut, muka dan bahu.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sepupunya berhubung kejadian terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Nordin berkata, polis masih menjalankan gerakan memburu suami mangsa dipercayai masih berada di daerah Kuala Lipis selain meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan.

'Tiada Kes' Tapi Gadis Jadi Kaldai Dadah Ditangkap Di Cape Town

Published: Isnin Ogos 16, 2010 MYT 9:32:00 PM
Updated: Isnin Ogos 16, 2010 MYT 9:49:18 PM

KUALA LUMPUR: Tanda tanya tentang pemergian Nur Dhiya Ain Rosman ke Cape Town, Afrika Selatan, Isnin lalu terjawab apabila gadis berusia 19 tahun itu ditangkap oleh pihak berkuasa negara itu kerana memiliki dadah.

Paling kecewa apabila laporan kepada pihak bertanggungjawab diadukan, mereka menegaskan bahawa polis dan Wisma Putra dikatakan membeikan alasan 'tiada kes' yang akhirnya membawa kepada tangkapan gadis malang berkenaan oleh pihak berkuasa Afrika Selatan.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh yang turut kesal dengan 'kelekaan' pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan bagi menghalang gadis yang dipercayai diperdaya sindiket bagi dijadikan 'keldai dadah'

"Nur Dhiya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town kerana membawa 1.2 kilogram syabu dan kini berada di pusat tahanan Ravensmead.

Roslah Abdul Jani dan Musa Abu Chik menunjukkan foto Nur Dhiya Ain Rosman, 19, yang kini disahkan ditahan pihak berkuasa Afrika Selatan Sabtu lalu kerana membawa dadah ke negara itu di Kuala Lumpur. Gambar ini dirakamkan semasa Muhd Khairun Aseh (kiri) mengadakan sidang akhbar mengenai kehilangan gadis itu pada Khamis lalu. - Foto RICKY LAI

"Malangnya dia juga akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town," katanya pada sidang media di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, Isnin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi dari Interpol dan wakil Wisma Putra, Nur Dhiya ditangkap pada petang Sabtu lalu di Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Muhd Khairun menyatakan rasa terkilan dengan pihak berkuasa yang seolah-olah memandang remeh aduan yang dibuat oleh ibu bapa gadis terbabit.

Katanya, berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih, pihak berkuasa sepatutnya bertindak dan melakukan sesuatu bagi menyiasat, seterusnya menghalang pemergian remaja ke Cape Town.

"Pesawat berlepas sekitar pukul tiga pagi. Laporan pula dibuat sekitar pukul satu pagi. Malang sekali dia (Nur Dhiya) telah mengatasi sistem," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan dapat mewujudkan dasar-dasar lebih proaktif menangani masalah dengan membuat kekangan di pintu-pintu keluar masuk negara bagi mengelakkan rakyat negara ini daripada terus menjadi 'keldai dadah'.

"Umpamanya, jika beberapa soalan asas dilontarkan sebelum dia berlepas masuk, sudah tentu boleh timbulkan syak dan ragu. Maka kita oleh panggil pihak berkuasa untuk buat pemeriksaan lanjut. Tapi malangnya kita tak ada dasar itu.

"Pihak imigresen boleh tanya soalan berdasarkan kuasa. Jika diadakan lebih proaktif, saya yakin masalah ini akan dapat diatasi," katanya.

Susulan kejadian itu, pihak Pemuda Umno akan membantu keluarga gadis terbabit mencari jalan keluar untuk menyelamatkan gadis yang dipercayai ditipu itu.

"Sehingga kini, gadis terbabit belum diwakili mana-mana peguam. Kita juga akan membantu mengemukakan rayuan dengan meminta supaya hukuman diringankan jika sabit kesalahan," katanya.

Menurut Muhd Khairun, Nur Dhiya yang dipercayai diperdaya dan dijadikan pembawa dadah juga telah dijanjikan dengan pekerjaan sebagai operator pelancongan dengan tawaran gaji lumayan.

Hal ini diakui teman lelaki gadis itu, Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, yang menjadi satu-satunya rakan yang dihubungi Nur Dhiya dari Cape Town.

Zakri yang turut hadir pada sidang media berkata sepanjang berada di sana Nur Dhiya membuat panggilan beberapa kali dan selebihnya mereka berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Dia beritahu saya dia tak berapa sihat dan minta supaya saya tak risaukan tentang dirinya. Dia minta saya jangan fikir yang bukan-bukan kerana yakin tak akan ada perkara buruk akan berlaku pada dirinya di sana.

"Dia juga beritahu dia tentang duit yang dijanjikan sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia nanti," katanya.

Dalam masa yang sama, Zakri juga bertindak sebagai orang perantara bagi meyakinkan Nur Dhiya bahawa dia telah diperangkap dan bagi membolehkan lebih banyak maklumat diperolehi untuk tujuan siasatan kelak.

Perasaan terkilan dan kecewa turut dirasai ibu bapa gadis tersebut yang mahukan pihak berkuasa yang turut mendakwa pihak polis cuai dan membuat laporan untuk kali kedua atas dakwaan itu selepas laporan mengenai kehilangan anak mereka dibuat.

Roslah Abdul jani, 43 dan suaminya, Musa Abu Chik kesal alasan 'tiada kes' diberikan oleh pihak polis dan pihak Wisma Putra sebaik sahaja laporan dibuat sebelum anak mereka berlepas.

"Tiada guna kalau ada Wisma Putra dan kedutaan jika mereka tak boleh buat tindakan.

"Saya minta supaya anggota yang terlibat dikenakan tindakan," kata bapa mangsa.

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/8/16/mstar_jenayah/20100816213118&sec=mstar_jenayah

Berhenti nafas setiap kali tidur


GAMBAR menunjukkan Liam Derbyshire menggunakan alat menyedut udara semasa tidur.


FAREHAM, Britain - Seorang budak lelaki, Liam Derbyshire akan berhenti bernafas setiap kali dia tidur, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai sumpahan Ondine menyebabkan dia perlu menggunakan mesin sokongan hayat semasa tidur di rumahnya.

Keluarganya dari Gosport, Hampshire membelanjakan ribuan pound untuk membayar bil elektrik disebabkan penggunaan mesin berkenaan.

Menurut Dr. Garry Connett yang merawat Liam di Hospital Besar Southampton: "Ia sesuatu yang amat ganjil. Liam merupakan pesakit pertama saya kesan menghidap penyakit itu sejak saya bertugas di hospital ini 12 tahun lalu."

Liam mempunyai alat penyedut udara berkuasa bateri yang diletakkan di dalam kereta dan dibawa menaiki pesawat sebagai persediaan jika dia tertidur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

MAS rugi RM532.59j suku kedua

PETALING JAYA - Harga bahan api yang turun naik mendorong Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan kerugian pracukai RM532.591 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2010 berbanding keuntungan pracukai RM896.146 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehannya meningkat 26 peratus kepada RM3.2 bilion berbanding RM2.5 bilion manakala keuntungan operasi meningkat 33 peratus.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2010, syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian pracukai RM212.340 juta berbanding keuntungan pracukai RM189.904 juta.

Perolehan itu meningkat kepada RM6.5 bilion daripada RM5.3 bilion sebelum itu.

"Kami telah melaksanakan perkara yang betul dan ini dicerminkan di dalam prestasi operasi yang bertambah baik bagi suku kedua yang secara tradisinya suku kami paling lemah.

"Kami telah mengambil langkah tambahan untuk menutup kenaikan harga bahan api itu," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin semasa mengumumkan keputusan kewangan suku kedua itu di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Wook jamin RM2,000


WOOK mengiringi Mohd. Nor selepas membayar wang jaminan kes dadah suaminya itu di Mahkamah Majistret di Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - Demi perasaan sayang kepada Mohd. Nor Musa, 38, warga emas berusia 108 tahun, Mek Wook Kundur sanggup menghabiskan duit simpanannya sebanyak RM2,000 untuk menjamin keluar suaminya itu yang ditahan sekali lagi kerana kes dadah.

Menurut Wook, duit simpanan untuk sambutan Aidilfitri itu terpaksa dikorbankan demi untuk berpuasa dan beraya bersama Mohd. Nor yang baru sahaja dibebaskan dari pusat pemulihan di Sungai Besi, Kuala Lumpur bulan lalu.

Semuanya dilakukan Wook demi Mohd. Nor yang sekali lagi ditahan kerana dipercayai mengambil dadah dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis lalu.

Majistret Mahkamah Hulu Terengganu, Azman Mustapha membenarkan Mohd. Nor diikat jamin selepas kesnya disebut oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Tuan Rosmah Tuan Husain di sini semalam.

Selain itu, Majistret turut menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh pendakwaan kes tersebut.

Pada 7 Julai tahun lalu, Mohd. Nor pernah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atas kesalahan sama dan ditahan di Pusat Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi sebelum dipindahkan ke Puspen Besut.

Jelas Wook, biarpun dia kecewa dengan perbuatan suaminya itu, namun kerana sayang dan tidak mahu menyambut Aidilfitri dan berpuasa sendirian seperti tahun lalu, dia terpaksa mengorbankan simpanannya.

"Dia tetap suami tok dan tok tetap sayang walau apa pun yang dia buat.

"Tapi tok rasa sedih fikirkan apa yang dia buat sebab tok ingatkan dia dah insaf," katanya ketika ditemui dekat sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Wanita mangsa asid tekad mahu bercerai dengan suami


ZAIMAH medukung Mohd. Irfan sambil mengusap kepala Dahyatul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – “Kalau hanya saya seorang yang cedera mungkin saya boleh maafkan tetapi perbuatan dia (suami) telah memusnahkan masa depan anak-anak saya.”

Demikian luahan Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang tetap dengan keputusannya untuk meneruskan proses perceraian dengan suami yang telah menyebabkan dia bersama dua anak serta ibunya melecur terkena percikan asid.

Malah, dakwa wanita itu, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, yang melecur teruk dalam kejadian itu juga enggan memaafkan bapanya yang menyebabkan hidupnya menderita sepanjang hayat.

“Saya tanya adakah dia masih sayang ayah? Tapi dia hanya gelengkan kepala dan mengalirkan air mata,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu kelmarin, Zaimah dan dua anaknya, Dahyatul dan Mohd. Irfan Firdaus, 2, serta ibunya, Minah Omar, 56, melecur di beberapa anggota badan akibat perbuatan suaminya.

Kejadian berlaku apabila lelaki itu meminta wang daripada Zaimah dan enggan bercerai dengan Zaimah.

Sebelum ini, Zaimah berkata, Dahyatul sangat akrab dengan ayahnya sehingga makan serta tidur anaknya itu perlu ditemani suami.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...