Tuesday, February 9, 2010

Serina Hamil, Suami Hadiahkan Percutian Ke Perth

Selasa Februari 9, 2010

Serina mengemudi program Jalan-Jalan Cari Makan Musim Ke-13. - Foto The star oleh NORAFIFI EHSAN

SINAR bahagia jelas terpancar pada wajah pelakon, pengacara dan model Serina Redzuawan yang kini sedang hamil lima minggu.

Orang pertama yang menerima berita gembira itu sudah tentu suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islam Salahudin Ghafar dan yang kedua adalah bapa tersayang, Chef Wan dan ibu, Norhayati Ayob.

Serina yang 'bunting pelamin' telah diijab kabulkan dengan Gavin pada 1 Januari 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan dan diraikan dalam enam resepsi.

Belum puas berkongsi rasa gembiranya dengan kaum keluarga dan rakan-rakan, Serina bertambah gembira menerima hadiah daripada suaminya berupa percutian ke Perth, Australia.

Wajah bahagia bakal ibu.

Pasangan bahagia ini akan terbang ke Perth mulai hari ini dan menghabiskan masa cuti selama seminggu.

“Selepas disahkan hamil, sebagai kejutan, saya memberikan kad ucapan kepada suami dengan menulis congratulations for your baby.

“Selepas itu saya menghantar SMS kepada ayah saya dan dia membalas dengan lima muka surat SMS termasuk meminta saya menjaga pantang larang dan mengambil vitamin untuk kesihatan.

“Saya rasa rezeki anak ini bukan sahaja menunaikan impian saya dan Gavin malah turut mengabulkan doa bapa saya yang mahukan cucu ketika meniup lilin kek hari jadinya yang ke-53 tahun pada bulan lepas di Restoran Subak, Bukit Lanjan,” kata Serina yang mula mengimpikan untuk mendapat bayi lelaki kelak ketika sidang media program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) Musim Ke-13 di ibu kota semalam.

Pelakon drama Akademi Polis dan Roda-Roda Kuala Lumpur ini berkata dia lebih teruja dengan bayi lelaki kerana sudah terbayangkan bagaimana aksi dia bermain bola sepak bersama anak lelakinya.

Walaupun kandungannya masih terlalu awal dan belum terkena apa-apa alahan, Serina berkata dia sudah mula mengidam makanan yang jarang disukai olehnya.

Serina dan Gavin dinikahkan pada 1 Januari lalu.

“Semasa baru-baru lagi, tiba-tiba sahaja saya menghubungi Domino’s Pizza dan memesan pizza dan Coca Cola sedangkan suami saya lebih teruja dengan makanan barat,” ceritanya yang gemarkan aktiviti lasak.

Namun begitu, tidak bermakna dia akan berhenti terus daripada menyertai aktiviti seperti sukan bermotor kerana tidak lama lagi wanita berusia 27 tahun ini akan menyambung penggambaran drama Roda-Roda Kuala Lumpur (RRKL).

“Saya boleh naik motor tapi tak boleh ganas-ganas macam dulu. Selain berlakon dalamRRKL, saya juga akan terlibat dengan banyak lagi program TV lain.

“Bagaimanapun, saya perlu mengutamakan JJCM. Saya akan teruskan penggambaran program ini mengikut kemampuan saya,” katanya yang telah selesai menjalani penggambaran sebanyak 10 episod.

Tidak guna kabel Chef Wan

Serina menggantikan pengacara asalnya, Maria Tunku Sabri dengan menggunakan konsep tersendiri.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini berkata dia mempertaruhkan bakat yang ada dan bukannya menggunakan kabel bapanya untuk mengendalikan program itu.

“Saya juga menjalani sesi ujibakat seperti orang lain. Lagipun, sebelum menyertai ujibakat program ini, saya tengok dulu sama ada karektor saya bersesuaian dengan program ini atau tidak. Selepas itu, semuanya saya serah kepada Allah,” jelasnya yang menggayakan rambut pendek demi program itu.

Selepas dua minggu pulang dari berbulan madu di Greece pada Januari lalu, terus Serina memotong rambutnya dan berharap imej barunya itu dapat menarik minat penontonJJCM13.

Walaupun begitu, Serina berkata dia tetap kekal dengan sikap semulajadinya yang ramah dan ‘gila-gila’ kerana tidak mahu hipokrit di hadapan penonton.

Kelainan yang diterapkan oleh Serina juga termasuk menjadikan program ini berbentuk infotainment di mana bukan sahaja menyelitkan hiburan malah maklumat yang berguna.

“Saya ingin menunjukkan yang makanan boleh membuat orang gembira dengan membantu orang-orang susah. Jadi, saya cuba membawa anak-anak yatim untuk menjamah makanan yang sedap-sedap ini.

“Selain itu, saya juga pergi memancing ikan dan meminta kedai makan yang terpilih itu untuk memasak ikan itu. Pada masa yang sama, saya sebenarnya nak beritahu yang memancing itu bagus,” beritahunya.

Dalam seminggu, Serina telah menghabiskan masa di tiga buah restoran untuk mencuba dalam 40 jenis masakan pada setiap hari.

Biarpun begitu, Serina menegaskan dia langsung tidak takut jika badannya naik kerana dia akan menghabiskan masa untuk bersenam di gimnasium.

Saksikan JJCM13 mulai 14 Februari ini, setiap Ahad, pukul 12 tengah hari di TV3.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/2/9/mstar_hiburan/20100208212426&sec=mstar_hiburan

Perhimpunan Di Padang Mahsyar

Isnin Februari 8, 2010

Hadith :

Dari Abi Hurairah r.a ., bahawa Nabi s.a.w bersabda: “ Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya sehingga air peluh mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta dan menenggelami mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian:

1. Untuk menzahirkan tanda kesangatan murka Tuhan Yang Maha Adil terhadap orang-orang yang bersalah maka pada masa itu didekatkan matahari kepada kepala manusia dan dibawa datang Neraka jahannam ke padang Mahsyar serta diberikannya bercakap menyatakan jenis-jenis orang yang diserahkan kepadanya menjalankan hukuman azab seksanya.

2. Bagi orang yang beriman, mereka mendapat pertolongan Allah seawalnya

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2010/2/8/mstar_agama/20100208110458&sec=mstar_agama

Menilai Meja Kopi

Sabtu Februari 6, 2010

SAYA menulis artikel ini dalam keadaan yang amat letih. Petang Sabtu seperti biasa adalah waktu penamat untuk pengiriman artikel.

Pagi tadi (Sabtu) saya baru sahaja sampai dari London. Pergi ke sana hanya dua hari setengah. Sempat untuk mengisi dua ceramah.

Satunya khas untuk siswi dan satu lagi majlis yang agak besar. Majlis muzakarah bersama saya itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin politik tanahair.

Di samping itu, saya sempat berjumpa dengan beberapa sahabat karib yang sering bertukar-tukar pandangan. Mereka masih di United Kingdom. Antara mereka penulis terkenal dengan ketajamannya Saudara Maszlee Malik dan peguam yang ternama Saudara Ahmad Jailani. Mereka bakal mendapat Ph.D masing-masing insya-Allah.

Sahabat saya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda juga ada bersama. Berjumpa sahabat-sahabat yang saling memahami kadang-kala lebih membahagiakan dari berjumpa dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan tetapi hidup di alam yang berbeza.

Kami berjumpa seperti biasa. Itulah kami, setiap kali berjumpa berbagai-bagai tajuk akan muncul, dan tidak lupa juga masing-masing bertanya khabar buku atau karya ilmiah baru yang berkaitan. Saudara Maszlee agak jaguh mengenai buku-buku Barat ini.

Walaupun dua hari amat singkat untuk kami ‘bersembang’ kesemua tajuk yang membabitkan masa depan umat Islam, negara dan rakyat Malaysia namun seperti biasa ia satu kesempatan yang manis.

Memang jika kita duduk berbincang tajuk-tajuk sedemikian dengan jiwa yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan masa depan dakwah, umat dan rakyat, terlalu lazat dan enak rasanya.

Ia meresap dalam jiwa masing-masing. Pembentangan pemikiran, fakta dan penilaian amat mengasyikkan. Bagaikan dibuai angin yang sepoi-sepoi bahasa, waktu berlari selaju meter tajuk-tajuk yang dibincangkan.

Bilik sewaan MSD, meja kopi di Café Italy, Malaysia Hall dan kedai buku terpakai yang kami bertawaf dalamnya mengaksikan berbagai pandangan, impian, hasrat dan kerisauan tentang masa depan Malaysia. Senda gurau dan lawak jenaka menyulami perbincangan di sana sini.

Demikian kami dan sahabat-sahabat kami yang lain. Demikian juga saya yakin kebanyakan pembaca sekelian. Berbual dan bersembang bukan tiada faedahnya. Cumanya, apakah yang patut kita isi dalam perbualan dan pertemuan antara kita.

Saya catat hal ini bukan untuk menunjukkan apa yang kami lakukan. Orang lain lakukan lebih baik dari kami. Cumanya, saya ingin ingatkan pembaca tentang kepentingan tajuk ini. Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial.

Kita inginkan teman dan rakan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, ‘sembang-sembang’ itu yang penting. Ramai orang membazir masa sahaja kalau bersembang.

Ya, bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menempah berbagai dosa. Namun berbual bersama teman, apatah lagi dengan insan-insan yang berilmu banyak faedahnya.

Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.

Diriwayatkan Al-Imam Abu Yusuf Ya’kub bin Ibrahim iaitu ilmuwan besar sahabat al-Imam Abu Hanifah ketika sakit hendak meninggal dunia masih lagi berbual tentang ilmu.

Ketika muridnya Ibrahim bin al-Jarrah menziarahinya di dapati beliau pitam kesakitan. Namun apabila beliau sedar sahaja dan melihat wajah muridnya itu, terus dia berbincang dengan muridnya tersebut mengenai hukum syarak.

Muridnya berkata: “Apakah pada waktu yang sebegini?”. Kata Abu Yusuf: “Tak mengapa, kita kaji, mana tahu barangkali menyelamatkan seseorang”. Selepas perbincangan, anak muridnya hendak keluar, tetapi apabila sampai sahaja ke pintu, beliau mendengar tangisan yang hadir tanda gurunya itu telah meninggal dunia. (Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda ‘Ulama, m.s 15).

Ini ilmuwan dan begitulah kita jika ingin mendapatkan ilmu. Sebab itu duduk berbual dan berbicara dengan ilmuwan merupakan perkara yang terpuji dalam agama ini. Pergi berjumpa ilmuwan, mendampingi mereka, mendengar pandangan mereka, mengambil faedah dari hikmah dan ketajaman minda mereka dapat membentuk dan membangunkan seseorang.

‘Auf bin ‘Abdillah pernah berkata kepada isteri sahabat Nabi s.a.w Abu Dardak iaitu Umm al-Dardak: “Apakah kami duduk bersama engkau menyebabkan engkau jemu?”. Jawabnya: “Aku telah berusaha agar setiap perkara menjadi ibadah. Tiada yang lebih mengubati jiwaku dari duduk bersama ulama” (Al-Nawawi, Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/953).

Perbualan boleh menjadi ibadah jika isi kandungannya mengingatkan kita kepada kebenaran dan kesabaran atas jalan Allah. Ia membangunkan minda dan jiwa. Sepatutnya, setiap kita ambil kesempatan ini.

Sekalipun jika tiada ilmuwan atau cerdik pandai besar dalam perbualan kita, kita mesti berusaha menjadikan perbincangan atau ‘meja kopi’ kita dihiasi dengan perkataan dan pandangan yang berusaha kepada kebaikan dan pembangunan pemikiran.

Setiap orang dengan kadar ilmunya berbicara kepada rakan apa yang dipelajari dan didapati dari bahan-bahan ilmu yang baik. Maka berfaedahlah waktu makan dan minum kita ketika bersama rakan dan sahabat handai.

Ramai dalam kalangan kita yang tidak menjadikan meja kopinya meja ilmu. Apabila duduk dengan teman dan rakan mereka jadikan perbualan kosong yang tidak membangunkan minda dan jiwa mencuri peruntukan umur yang diberikan kepada mereka.

Berbual dan bersenda bukanlah dilarang. Agama ini bukannya sempit dan jumud. Namun setiap perkara dengan kadarnya. Jika setiap kali duduk di meja kopi dipenuhi dengan perbualan kosong, atau dusta atau menyakitkan orang lain tanpa alasan yang benar adalah melampaui batasan agama.

Setiap kita patut meninggalkan meja yang seperti itu. Rosaknya sesetengah masyarakat melayu kerana ‘meja kopi’ yang menelan umur dan membazir hayat. Tajuk-tajuk perbincangan yang tidak memberikan faedah pada diri ataupun masyarakat bahkan merosakkan diri dan orang lain sering memenuhi kedai kopi kita.

Samada pada waktu pagi, ataupun ketika rehat bekerja, meja kopi menjadi tempat membazir pahala dan mengumpul dosa. Ada yang lupa hal diri dan keluarga sendiri, sibuk hal orang lain di kedai kopi.

Tanpa rasa malu pada diri, apatah lagi kepada Allah yang memberikan umur kepadanya sanggup pergi balik ke kedai kopi untuk mencari ‘rakan bual kosong’ bagaikan orang ketagihan candu. Di kampung-kampung orang melayu bukan sedikit hal yang demikian. Dari situ munculnya berbagai bisikan dan gossip dalam masyarakat kita.

Sudahlah taukeh kedai pun tidak untung seberapa dengan sekawan kopi tetapi duduk berjam-jam. Keluarga pula terabai. Masa yang dibazirkan di meja kopi itu jika dikumpulkan, barangkali orang melayu sudah mampu menguasai ekonomi negara ini. Namun, lawatilah kedai-kedai kopi di sesetengah tempat.

Di penuhi dengan ‘kaki-kaki lepak’ yang sebahagian sudah menjelang umur senja. Jika anak muda Melayu ramai yang suka lepak, orang tua-tua melayu yang suka lepak pun peratusnya pun bukan sedikit dalam masyarakat kita.

Sebab itu al-Quran melarang perbuatan lagha atau sia-sia dalam bicara yang berfaedah. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri dari yang lagha” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3). Kata al-Imam al-Sa’di dalam tafsirnya: “Lagha itu perkataan yang tiada kebaikan dan tiada faedah”.

Bersembang, berbual dan duduk di meja kopi bukan salah. Namun pengisiannya itu mestilah diislamisasikan. Jangan jadikan ia meja ‘lagha’ atau sia-sia. Jangan jadikan ia meja dosa. Jadikan ia meja pahala. Meja yang membangunkan minda. Menmbangunkan ilmu dan kebaikan, bukan membangunkan kejahatan dan mensia-siakan umur. Jika tidak mampu jadikan ia meja kebaikan, lebih tinggalkan sahaja!!

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/2/6/mstar_kolum_minda_mufti/20100206214648&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Ellen wanita istimewa

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
2010/02/08

BEGITU pantas masa berlalu. Dalam diam sudah 10 tahun Diddy atau Syamsul Hirdi Muhid, 25, dan kekasih hatinya Ellen Nor Azah Musa, 25, bercinta.

caption image
caption image
Meskipun dilanda pelbagai gosip termasuk konon putus tunang ternyata cinta Diddy-Ellen tidak mudah roboh

Biarpun pernah dilanda gelora fitnah dan kontroversi, namun atas dasar percaya, jujur dan saling menghormati, mereka tidak pernah putus kasih.

Malah, taat setia pada Ellen yang dipanggil 'Cinta' membuktikan janji yang ditabur tidak hanya ungkapan kosong sebaliknya mampu dizahirkan melalui perkahwinan yang berlangsung kelmarin.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 2006.

Bertempat di Masjid Datuk Jalil Hassan, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, dengan dua kali lafaz, Diddy kini bergelar suami kepada wanita yang paling dicintanya. Pada majlis yang cukup bermakna itu, Diddy membawa hantaran RM10,000 bersama tujuh dulang yang dibalas sembilan dulang oleh pihak pengantin perempuan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hilang itu turut memakaikan gelang di tangan Ellen ketika menyempurnakan acara membatalkan air sembahyang.

Ketika ditemui selepas majlis persandingan di rumah keluarga Ellen di Kampung Pasir Putih, kelmarin, Diddy yang segak berbaju Melayu rona merah jambu dan gangsa rekaan Hazwanie Osman Couture berkata, dia lega urusan pernikahan berjalan lancar dan Ellen sah menjadi miliknya kini.

"Pada malam sebelum pernikahan, saya langsung tidak boleh tidur kerana terlalu teruja untuk bergelar suami. "Namun selepas urusan akad nikah selesai, saya terus menarik nafas lega. Saya sangat gembira dan terharu akhirnya berjaya menyunting Ellen menjadi teman hidup saya," katanya.


Andai sebelum ini Diddy lebih suka menyembunyikan wajah Ellen daripada khalayak ramai dan peminat, namun pada hari berbahagia itu mereka tidak lokek bercerita mengenai kisah cinta yang dilalui hampir sedekad lalu.

"Ellen wanita yang istimewa dan saya selesa setiap kali bersamanya. Dia melengkapkan kehidupan saya dan amat memahami kerjaya seni yang saya ceburi.

"Kami saling memahami dan kami juga memilih untuk tidak tergesa-gesa mendirikan rumah tangga.

"Semoga rumah tangga yang baru dibina ini berkekalan sehingga ke akhir hayat. Apapun halangan dan dugaan, kami akan tempuhi bersama. Paling penting, kami sudah berjanji untuk saling setia dan mencintai," katanya.

Menambahkan lagi kemesraan suami isteri, Diddy panggil Ellen 'Cinta' dan dia pula dipanggil 'Sayang.'

Tatkala khabar angin putus tunang dibangkitkan, Diddy lebih suka meminta Ellen menjawab bagi pihak dirinya berikutan sudah banyak kali memberikan penjelasan kepada umum.

"Dalam tempoh empat tahun bertunang, dugaan paling besar gosip kami putus tunang.

"Walaupun sedar ia asam garam dalam kerjaya artis namun isu itu sedikit sebanyak memberi tekanan kerana membabitkan keluarga kedua belah pihak.

"Kami tidak pernah putus tunang. Bergaduh sikit-sikit itu adatlah orang dalam darah manis. Tetapi kami memang tidak pernah terfikir untuk memutuskan hubungan yang sudah lama terjalin.

"Biasanya kalau terbaca atau mendengar gosip berbaur kontroversi, saya akan ketawa dulu. Selepas itu, barulah saya hubungi Diddy untuk bertanya hal sebenar dan mendengar penjelasan dari mulutnya sendiri.

"Selepas berkahwin, saya akan terus menyokong karier Diddy kerana itu yang dia minat sejak dulu. Semoga dia lebih berjaya pada masa akan datang dan saya tiada hak untuk menghalang dia meneruskan perkara yang dia suka," katanya.

Diddy pula berkata, sikap Ellen yang perahsia dengan tidak suka bercerita siapa tunangnya kepada rakan termasuk teman serumah membuatkan dirinya sering tertawa sendiri.

"Adakala saya bimbang kerana dia tidak pernah beritahu dengan sesiapa dia sudah bertunang membuatkan jejaka sekeliling tidak berhenti cuba mengorat.

"Malah, rakan serumahnya baru saja mengetahui Ellen tunangan saya. Selama ini, mereka ingat Ellen peminat fanatik Diddy kerana biliknya dipenuhi poster saya selain memiliki pelbagai barangan eksklusif saya," katanya.

Dalam kegembiraan bergelar suami, Diddy terkilan kerana majlis bermakna itu tidak dapat dihadiri bapanya, Muhid Liman, yang meninggal dunia tahun lepas.

"Saya terkilan kerana bapa tiada pada hari pernikahan ini. Sebelum ini, arwah beria-ia hendak membuat persiapan majlis perkahwinan saya walaupun ketika itu masih belum ada sebarang perancangan.

"Rupanya arwah sudah menempah kanopi sebelum dia meninggal tanpa memberitahu ahli keluarga yang lain. "Namun saya reda dan berharap semoga perkhawinan kami kekal bahagia hingga ke akhir hayat," katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ellenwanitaistimewa/Article

Langgar tubuh toreh beg

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my
2010/02/08

MELAKA: Kegembiraan lima bersaudara membeli-belah bertukar pengalaman buruk apabila wang tunai RM1,000 dibawa hilang sekelip mata, selepas beg tangan disandang dipercayai ditoreh penjenayah di Jonker Street, kelmarin.

caption image
caption image
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, Tay Ah Gaik, 50, bersama tiga kakaknya dan seorang anak saudara perempuan mereka tiba di kawasan perniagaan itu, sebelum wanita berkenaan mahu ke tandas.


Sebelum itu, mangsa mendakwa mereka sempat membeli-belah di pasar raya di pusat bandar dan ke Jonker Street membeli barangan lain sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina.


Tay dari Taman Clonlee, Tampin, berkata ketika membeli-belah di pasar raya terbabit, dia tidak mengeluarkan wang tunai berkenaan daripada dompet, sebaliknya menggunakan kad kredit membeli beberapa barangan keperluan.


Menurutnya, dia bersama kakaknya berusia antara 54 dan 64 tahun dan anak saudara berusia 18 tahun ke kawasan Jonker Street kerana mahu membeli tat nanas selain barangan lain untuk sambutan Tahun Baru Cina, namun mahu ke tandas membuang air kecil.


Katanya, dua kakak dan anak saudaranya berjalan di depan, manakala dia bersama kakak berjalan di belakang dan kawasan itu ramai orang.

“Pada masa mencelah-celah antara orang ramai, saya menyedari ada perempuan berambut panjang dan cantik melanggar dengan kuat, tetapi ketika dimarahi dia membuat wajah selamba sambil bercakap di telefon bimbit.


“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah ketika mahu mengeluarkan wang daripada beg untuk membuat bayaran masuk ke tandas apabila mendapati dompet hilang.


“Berikutan itu, perasaan saya bertukar menjadi panik sebaik mendapati ada lubang dengan kesan torehan pada bahagian tepi beg dan menyedari wang tunai bersama dokumen penting lain hilang,” katanya.


Tay berkata, dia terkejut dengan kejadian pertama kali berlaku terhadapnya kerana tidak menyangka menjadi mangsa penjenayah ketika berada di kawasan itu.


Menurutnya, ketika dilanggar dengan kuat di Jonker Street, dia memarahi individu terbabit, tetapi tidak mengesyaki sesuatu buruk berlaku kepada dirinya kerana menyifatkan mungkin suasana biasa.


Katanya, dia hairan kerana tidak merasai apa-apa ketika beg sandang diperlakukan sedemikian, tambahan pula kakaknya kebetulan berjalan di belakang tidak menyedari kejadian terbabit.


“Saya memang terkejut dengan kejadian ini kerana wang dibawa berkenaan hilang sekelip mata dan tidak sempat membeli barangan lain sebagai persiapan terakhir menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah berhubung kejadian itu.

Padah belasah isteri

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/02/08


AMPANG: Seorang anggota polis wanita yang tidak tahan kerana sering dipukul dan dibelasah suami hingga lebam seluruh badan hanya kerana kesilapan kecil bertindak nekad membuat laporan polis bagi mengakhiri penderitaannya.


Wanita berusia 20-an itu nekad selepas menerima satu lagi ugutan akan dibelasah suaminya menyebabkan dia membuat laporan polis Rabu lalu.


Akibatnya, suami wanita terbabit yang pernah bertugas sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberkas dan terpaksa bermalam dalam lokap untuk membantu siasatan.


Difahamkan, lelaki terbabit ditahan ketika berada di balai polis kerana mahu membuat laporan selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ketika itu mahu membuat laporan polis terhadapnya. Menurut sumber polis, wanita malang terbabit dikatakan kerap dibelasah suami hanya kerana kesalahan kecil dan sering berlaku perbalahan antara mereka.


“Pasangan itu dikatakan kerap bergaduh dan setiap kali berlaku pertengkaran, suami mangsa yang panas baran akan memukulnya.

“Difahamkan dalam pertengkaran baru-baru ini, suami mangsa bertindak mengugut akan memukul mangsa jika dia pulang ke rumah,” katanya.


Sumber terbabit berkata, kerana takut dengan ugutan itu dan sudah tidak tertahan menjadi belasahan suami, mangsa akhirnya nekad membuat laporan polis.


“Ketika bertengkar dalam telefon, mangsa memberitahu suaminya dia akan membuat laporan polis selepas menerima ugutan itu.


“Mendengar mangsa mahu membuat laporan polis, lelaki terbabit bertambah berang dan memberitahu akan membuat satu laporan polis lain dengan mendakwa mangsa sengaja mahu mereka-reka cerita,” katanya.


Bagaimanapun, polis yang menjalankan siasatan mendapati mangsa mempunyai kesan lebam dan bekas kecederaan lama dipercayai akibat dipukul suaminya sebelum ini.


“Bertindak daripada laporan dibuat mangsa, polis menahan lelaki terbabit yang berusia 29 tahun ketika dia berada di balai polis.


“Lelaki berkenaan direman empat hari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin, namun dia tidak boleh menghampiri dan mengganggu mangsa,” katanya.


Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada pertengkaran dan salah faham selain suami mangsa berang apabila mangsa sering curiga yang dia mungkin mempunyai hubungan dengan wanita lain.


Difahamkan, suami mangsa sebelum ini bertugas sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam TLDM namun dibuang kerja kerana mempunyai masalah disiplin dan kini bertugas sebagai jurulatih keselamatan.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahbelasahisteri/Article

Bapa pengantin pengsan

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
2010/02/08

BATU PAHAT: Bapa pengantin pengsan manakala pengantin perempuan berkurung dalam bilik selama tiga hari. Semuanya gara-gara SMS pembatalan majlis pernikahan pada saat akhir.


Bagaimanapun, keluarga Nor Adriana Hairudin, 25, tetap meneruskan majlis kelmarin walaupun ia dilangsungkan dalam keadaan suram dengan kehadiran kira-kira 800 tetamu yang turut bersimpati dengan nasib menimpa keluarga berkenaan.


Menurut adik pengantin perempuan, Nor Azman, 23, keluarganya terutama kakak dan bapa paling tertekan dengan kejadian itu akibat sikap tidak bertanggungjawab teman lelaki kakaknya yang berasal dari Sarawak membatalkan pernikahan pada saat akhir hanya menerusi SMS.


“Sebagai adik, saya turut bersedih dengan kejadian ini ditambah pula melihat keadaan kakak. Dia hanya mengurungkan diri dalam bilik sejak Rabu lalu.


“Dia tidak mahu makan atau minum dan hanya akan keluar bilik apabila tiada orang dalam rumah atau selepas semua tidur pada lewat malam. Namun syukurlah, semalam (kelmarin) dia sudah keluar dari bilik dan tersenyum kepada kami selain keluar dari rumah bersama rakan sekolahnya untuk mententeramkan diri,” katanya.

Menurutnya, bakal suami kakaknya itu tidak sepatutnya hanya menggunakan SMS untuk membatalkan pernikahan, apatah lagi dia seorang anggota tentera yang terkenal dengan disiplin tinggi.


Katanya, selain sedih melihat kakaknya yang mengurungkan diri, dia sedih melihat bapanya yang sering termenung mengenangkan kejadian itu.


“Ayah terlalu tertekan dengan kejadian itu hingga pengsan ketika menyambut tetamu. Sebagai anak, saya hanya boleh membantu apa yang terdaya dan berharap semua akan pulih secepat mungkin,” katanya.


Wartawan Harian Metro yang berada pada majlis persandingan yang bertukar kepada majlis tahlil dan doa selamat itu mendapati sebahagian tetamu memberikan kata semangat kepada keluarga berkenaan.



>‘Hanya Tuhan tahu betapa malu kami’

BATU PAHAT: “Hanya Tuhan yang tahu perasaan kami...dia sepatutnya membahagiakan anak perempuan saya, sebaliknya dia menghancurkan harapan kami sekeluarga,” luah bapa pengantin perempuan, Hairudin Ahmad, 50, apabila bakal menantunya yang juga seorang anggota tentera membatalkan pernikahan yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu.


Sepatutnya, Nor Adriana Hanim, 25, yang juga seorang anggota tentera di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, bergembira menantikan saat bahagia bergelar raja sehari, namun semua itu menjadi sejarah hitam dalam hidupnya apabila perbuatan bakal suaminya menggunakan sijil kursus perkahwinan palsu didedahkan.


Hairudin berkata, dia dan keluarga tidak menyangka lelaki yang dianggap sebagai seorang yang baik serta bertimbang rasa itu akhirnya menjadi lelaki yang melukai hati dan memalukan keluarganya.

Malah, katanya, ketika masuk merisik pertengahan tahun lalu, lelaki itu menawarkan wang hantaran RM8,000, namun mereka menolak tawaran itu dan hanya menetapkan RM6,000.


“Saya berpendapat, lebih baik dia menggunakan wang itu untuk perbelanjaan mereka selepas mendirikan rumah tangga.


“Tiada gunanya mengadakan majlis perkahwinan besar tetapi selepas majlis mereka hidup susah. Jadi lebih baik saya mengeluarkan belanja lebih untuk kebahagiaan anak dan suaminya,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu sudah memasukkan wang RM4,000 sebagai wang hantaran, manakala bakinya dijanjikan sebelum majlis pernikahan.


Malangnya, hanya beberapa hari sebelum tarikh pernikahan, mereka mendapat cerita sebenar daripada pegawai agama kem tempat lelaki itu bertugas bahawa bakal menantunya itu belum pernah menghadiri sebarang kursus praperkahwinan, selain tidak memohon cuti untuk majlis pernikahannya.


“Saya berniat menjamu semua keluarga dan rakan selepas majlis pernikahan Jumaat lalu selain mengedarkan 1,500 kad jemputan bagi majlis persandingan, Sabtu lalu.


“Semua perbelanjaan sudah dilangsaikan tunai membabitkan makanan, khemah, andaman dan beberapa persiapan lain berjumlah lebih RM15,000.


“Kami bukan saja rugi, malah malu apabila diperlakukan begini. Kami hanya berharap kejadian ini dijadikan iktibar dan jangan sesiapapun lakukan perkara sama kepada mana-mana pihak,” katanya.


Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan selepas mengadakan perbincangan terpaksa menukar majlis perkahwinan Sabtu lalu kepada majlis doa selamat dan tahlil.


>Tembelang palsukan sijil kursus kahwin terbongkar

BATU PAHAT: Selepas tembelangnya memalsukan sijil kursus perkahwinan terbongkar, seorang anggota tentera hanya menghantar SMS kepada bakal ibu mentuanya bagi membatalkan majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu di rumah pengantin perempuan di Kampung Baru di sini.


Rahsia lelaki berusia 26 tahun yang bertugas di Kem Rejimen Pertama Armor Diraja, Kuantan, Pahang itu pecah apabila dia menghantar SMS meminta majlis pernikahan dan persandingan ditunda kepada 7 Februari berikutan kegagalannya menyerahkan sijil kursus perkahwinan dan beberapa dokumen lain yang tulen kepada bakal isterinya.


Ibu pengantin perempuan, Ramiton Maidin, 47, berkata dia menerima SMS daripada bakal menantunya itu ketika berada di tempat kerjanya di sebuah di kilang di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 1 Februari lalu.


Menerusi SMS berkenaan, bakal menantunya itu meminta majlis pernikahan yang dijadualkan pada 5 Februari dan persandingan pada 6 Februari ditunda kepada 7 dan 8 Februari dengan alasan tidak dapat menghantar dokumen yang diperlukan kerana masih berada dalam pegangan pegawai atasannya.


“Saya memberitahunya majlis pernikahan dan persandingan itu tidak boleh ditunda kerana banyak masalah akan timbul berikutan tarikhnya sudah terlalu hampir selain pelbagai persediaan sudah dilakukan.


“Namun dia menyuruh saya pulang ke rumah untuk menenangkan anak saya yang ketika itu sudah mengetahui hasrat bakal suaminya lebih awal menyebabkannya bersedih dan menangis,” katanya.

Ramiton berkata, pada keesokannya (2 Februari), dia bersama anak, Nor Adriana Hanim Hairudin, 25, dan suami, Hairudin Ahmad, 50, bertolak ke Kuantan bagi menemui lelaki terbabit pada jam 5.30 pagi dan tiba di kem berkenaan pada jam 9.30 pagi.


Bagaimanapun, katanya lelaki itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam kem bagi menemui pegawai atasannya yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.


Katanya, dia kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai agama kem berkenaan dan mengatakan dia sibuk menguruskan kes perceraian.


Gagal menemui kedua-dua pihak terbabit, Ramiton kembali ke Batu Pahat dengan hampa dan tiba kira-kira jam 6 petang sebelum menerima satu lagi SMS daripada lelaki itu yang berjanji akan menghantar dokumen diperlukan keesokan harinya.


“Bagaimanapun, tiada sebarang faksimili diterima sebaliknya, kami menerima panggilan daripada seorang pegawai tentera kem di Kuantan, bertanyakan pernahkah lelaki itu meminta majlis ditangguhkan sejak Januari lalu.


“Saya menjawab tiada dan menghantar SMS yang dihantar bakal menantu sebelum ini kepada pegawai berkenaan sebagai bukti.


“Keesokannya (3 Februari), kami sekali lagi ke Kuantan bagi menemui pegawai terbabit dan menerusi perbincangan kami dapati bakal menantu saya itu tidak pernah mengikuti kursus perkahwinan mahupun memohon cuti untuk bernikah,” katanya.


Menurut Ramiton, perkara itu turut dibuktikan dengan salinan sijil kursus perkahwinan yang pernah dikemukakan bakal menantunya itu kepada anaknya yang bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.


“Salinan sijil kursus kahwin itu sebenarnya palsu dengan tarikh pada 2003 dan ada kesan tampal pada nama peserta,” katanya.


Ramiton berkata, berikutan pendedahan itu, lelaki berkenaan sehingga kini gagal dihubungi selepas dia tidak menjawab panggilan dan SMS yang dibuat melalui telefon bimbitnya bagi mendapatkan penjelasan sebenar.


“Kami benar-benar kecewa, malah anak saya sendiri sudah tawar hati untuk berharap dan meneruskan hidup bersama lelaki itu sebagai suami isteri.


“Semuanya sudah dibatalkan, tiada majlis pernikahan, cuma kami mengadakan majlis doa selamat dan tahlil kerana tidak mahu membazir semua perbelanjaan yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapapengantinpengsan/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...