Sunday, May 3, 2009

Usah ambil kesempatan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan ambil kesempatan,” demikian amaran Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Tan Lian Hoe kepada mana-mana pemborong dan peniaga ayam agar tidak menjadikan isu wabak Influenza A (H1N1) sebagai alasan untuk sesuka hati menaikkan harga ternakan berkenaan.

Katanya, sungguhpun terdapat penurunan terhadap permintaan daging babi sejak berita mengenai wabak berkenaan dilaporkan saluran media, permintaan daging ayam tidak naik mendadak.

“Walaupun sebelum ini ada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga (ayam) kononnya ramai pengguna beralih membeli ayam kerana bimbang dengan wabak itu, sebenarnya permintaan daging ayam tidak naik mendadak menyebabkan kekurangan bekalan.

“Jadi, saya harap tidak ada pembekal atau peniaga cuba memainkan isu ini demi mengaut untung lebih,”
katanya selepas melawat mengejut di Pasar Datuk Keramat dan Pasar Pudu, semalam.

Mengulas lawatannya, Tan berkata, beliau berpuas hati harga ayam dijual dengan harga berpatutan iaitu RM6 sekilogram.

“Bagaimanapun, saya dapati ramai yang tidak meletakkan tanda harga barangan jualan mereka. Saya harap selepas ini semua peniaga meletakkan tanda harga, sekali gus berlaku adil kepada pengguna.

“Kementerian beri peluang peniaga dua bulan untuk letak tanda harga dan sekiranya gagal berbuat demikian pada 1 Julai ini, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan. Peniaga boleh didenda sehingga RM7,500 bagi setiap gerai mengikut Akta Perihal Dagangan 1972,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084045/Article/index_html

11 negara lapor WHO

Oleh Hayati Ibrahim dan Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Situasi penularan kes jangkitan Selesema Babi atau Swine Flu yang semakin meningkat di seluruh dunia terus mendapat perhatian apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bermula semalam secara rasmi menetapkan ia sebagai wabak dengan menamakannya wabak Influenza A H1N1 dan bukan lagi seperti nama yang digunakan sebelum ini.

Ini berikutan situasi semasa penularan wabak berkenaan seluruh dunia semakin meningkat dan terus merebak dengan cepat apabila lapan kematian dicatatkan sehingga kini selain dua lagi negara iaitu Switzerland dan Belanda turut melaporkan kes terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Ismail Merican, berkata daripada laporan yang diterima daripada WHO, sebanyak 11 negara melaporkan penularan wabak itu dengan bilangan kes terkini 331 kes membabitkan sembilan kematian.

Bagaimanapun, katanya tahap amaran penularan wabak itu masih lagi berada di Tahap 5 dan sehingga kini belum lagi ada sebarang sekatan dari aspek kesihatan, perjalanan dan perdagangan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu membabitkan mana-mana negara.

“Kami sentiasa berhubungan dengan WHO bagi mendapatkan maklumat terkini penularan wabak itu berikutan angka kes yang dilaporkan di seluruh dunia sejak kali pertama di kesan di Mexico mencatatkan peningkatan.

“Justeru, pelbagai usaha dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melakukan penyaringan kesihatan di semua pintu masuk utama negara terutamanya terhadap pelancong khususnya dari negara yang dilanda wabak Influenza A (H1N1).

“Setiap pelancong yang disaring diberi Kad Peringatan Kesihatan dan Borang Pengisytiharan Kesihatan bagi mengesahkan status kesihatan mereka itu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini semalam.

Menurutnya, sehingga Khamis lalu, saringan yang dilakukan ke atas 829 penumpang yang menaiki 16 penerbangan antarabangsa di negara ini menunjukkan perkembangan negatif berikutan tiada tanda jangkitan wabak itu dikesan.

Katanya, Bilik Gerakan peringkat Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri terus membuat pemantauan bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi semasa penularan wabak itu di negara ini selain memastikan tindakan proaktif diambil terutamanya jika menerima sebarang laporan berkaitan kes itu.

“Berdasarkan pemantauan kes seperti itu yang dilakukan di semua fasiliti perubatan dan kesihatan seluruh negara, kita mendapat maklum balas bahawa sehingga kini tiada kes penularan wabak itu dilaporkan termasuk kes yang disyaki.

“Malah, ujian dilakukan terhadap seorang pesakit yang ditahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini juga mengesahkan pesakit berkenaan bebas dari jangkitan wabak Influenza A (H1N1),” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084232/Article/index_html

Jerat cinta gadis genit

Oleh Salman Hamat 
salman@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sekumpulan gadis genit berusia belasan tahun menggunakan kebijaksanaan mereka mengatur ‘ayat cinta’ untuk memikat lelaki, sebelum menyamunnya dan melarikan diri.

Menurut sumber, kumpulan itu dipercayai dianggotai tiga gadis turut disertai lima lelaki akan melepak berhampiran sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota sambil memerhatikan lelaki yang dianggap sesuai dijadikan mangsa.

Mereka dikatakan bergerak dalam dua kumpulan berasingan untuk mengelak kegiatan itu disedari mangsa dan orang ramai di kawasan sekitar.

Episod penipuan kumpulan itu bermula apabila si gadis yang sudah mengenal pasti lelaki yang bakal dijadikan mangsa mengekori dan mula menyapa kononnya untuk berkenalan.

Melihat mangsa mula leka, gadis terbabit kemudian akan mengajak untuk bersembang serta bercerita mengenai hal masing-masing sambil satu lagi kumpulan akan memerhatikan dari jauh gelagat pasangan itu.

“Selepas menerima isyarat tertentu, kumpulan lima lelaki terbabit yang melihat pasangan baru berkenalan itu mula intim kemudian mula memainkan peranan mereka dengan berlakon mengaku sebagai suami, abang, teman lelaki atau saudara gadis terbabit untuk mengugut mangsa.

“Dengan wajah bengis dan garang, kumpulan lelaki terbabit berlakon seolah-olah bengang dengan tindakan mangsa yang didakwa bermain kayu tiga dengan lelaki lain atau si mangsa kononnya cuba merampas kekasihnya,” katanya. 

Mangsa yang kebingungan dan panik dengan kehadiran kumpulan lelaki itu kemudian diugut untuk dicederakan.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit bijak mengambil peluang apabila dikatakan mula menyamun mangsa ketika keadaan kelam-kabut itu sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084457/Article/index_html

Hanya mainan psikologi

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan terpedaya dan terperangkap dengan iklan, pujukan atau kata-kata manis ada pil boleh membuat seseorang itu kuat di ranjang...ia permainan psikologi saja,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, kebanyakan pil rangsangan seks berada di pasaran serta didakwa sebagai ‘ubat kuat’ sebenarnya hanya makanan tambahan dicampurkan bahan kimia termasuk dadah yang merosakkan tubuh badan seperti Deliphinol.

Liow berkata kementerian amat berhati-hati sebelum mengeluarkan kebenaran pemasaran pil rangsangan seks kerana ia memerlukan kajian terlebih dulu di Pusat Kesamaan Biologi (BE Centre).

Setakat ini terdapat tujuh Pusat Kesamaan Biologi di seluruh negara yang menjadi tempat kajian ubat-ubatan yang akan dipasarkan di pasaran tempatan.

“Kementerian mempunyai kaedah pendaftaran perubatan ketat bagi menangani lambakan pil atau ubat-ubatan membahayakan kesihatan termasuk pil seks.

“Malah, jika sesiapa ingin mendapatkan yang sudah diluluskan seperti Viagra digunakan lelaki menghadapi masalah ereksi pun perlu ada preskripsi doktor,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai pusat urut menawarkan ‘pil power’ rangsangan seks dipanggil ‘Pil Bollywood’.

Laporan memetik pil rangsangan berkenaan ditawarkan kepada pelanggan lelaki yang teruja selepas dipujuk gadis tukang urut yang mendakwa lelaki boleh menjadi gagah di ranjang selepas makan pil itu.

Kegiatan penyeludupan pil rangsangan seks berkenaan dikesan sepasukan tiga pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan di sebuah rumah urut di Damansara, di sini.

Mengulas mengenai lambakan ubat seks di pasaran tempatan, Liow berkata ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna kelulusan daftar makanan tambahan KKM dengan melabel produk itu sebagai ubat.

“Ada kes penggredan asal diberikan sebenarnya produk makanan tambahan tapi ditukar ubat. Jika pihak berkenaan didapati melakukan penyelewengan, anggota KKM akan melakukan rampasan atau arahan penutupan kilang dikeluarkan.

“Andai ada maklumat salurkan kepada kementerian dan KKM sendiri akan memperhebatkan operasi membanteras pil seks lebih-lebih lagi membabitkan keselamatan dan nyawa,”
katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kewujudan pusat urut yang terlalu banyak mengundang masalah sosial.

Menurutnya, apa dibimbangkan ialah implikasi buruk kepada institusi kekeluargaan apabila ada di kalangan pengunjung mempunyai anak isteri di rumah.

“Lelaki yang berkeluarga tapi mengunjungi pusat urut yang menawarkan aktiviti tidak bermoral sebenarnya seperti ‘bermain api’.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084734/Article/index_html

Norish bercakap tentang dakwaan curang dan duit



NORISH KARMAN



HASHIMUDDIN pertama kali membuat kenyataan terbuka minggu ini.


TANGGAL 11 Januari 1998, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Negeri Sembilan, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, menikahi pelakon terkenal, Norish Karman atau nama sebenarnya Norashikin Karman, kini 34, di Perlis.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhamad Haqiem Amany, 9, Muhammad Hady Amieran, 5, dan Nur Hanyz Amanda, 4.

Namun setelah 10 tahun melayari bahtera perkahwinan, pawaka kemarahan melanda. Mereka bercerai pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.

Tiada komunikasi yang lancar, masing-masing menggunakan media sebagai medium perantaraan termasuk dalam konflik terbaru iaitu tuntutan nafkah oleh Norish.

Tidak mengalah dengan kisah pahit hidupnya, Norish menganggap semuanya sebagai ketentuan Ilahi.

Yang penting kini buatnya ialah harta sejati iaitu anak-anak yang ibarat nyawanya. Norish meluahkan rasa yang terpendam dalam dirinya kepada SensasiBintang semalam.

Apakah perasaan anda sekarang?

Okey, walaupun macam-macam benda berlaku. Saya masih menunggu sebutan semula kes tuntutan nafkah saya pada 16 Mei ini.

Bagaimanakah dengan anak-anak?

Saya takkan serahkan anak saya pada dia (Hashimuddin). Anak adalah nyawa saya. Saya minta janganlah ambil anak-anak saya.

Tapi anda tiada kerja tetap dan masih mengharapkan nafkah daripada bekas suami?

Ibu ialah orang yang paling berhak ke atas anak-anak, bukan bapanya. Anak-anak adalah milik ibu.

Berkenaan dengan nafkah, benarkah bekas suami anda sudah memberi apa yang sepatutnya?

Mana ada. Sepuluh sen pun saya tak dapat. Dengar ini. Saya hidup dengan duit berlakon dalam Spa-Q. Saya hanya diberikan RM700 setiap bulan. Itu pun untuk anak-anak. Bil elektrik, sewa rumah dan perbelanjaan untuk tiga orang anak, saya terpaksa cari sendiri bila duit itu dah habis.

Bukankah anda disediakan seorang pemandu dan orang gaji?

Pemandu hanya diarah untuk ambil dan hantar anak saya ke sekolah. Saya sendiri sudah diberitahu oleh pemandunya supaya jangan naik kereta tersebut. Tentang orang gaji, saya bayar separuh daripada gaji pembantu rumah tersebut.

Apakah perlunya anda tuntut kereta Nissan Murano seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini?

Saya tak pernah tuntut Murano. Kereta itu dah tiga empat tahun saya guna. Dah macam-macam masalah kereta itu. Jadi buat apa saya minta kereta itu. Baik saya minta kereta baru.

Betulkah anda punca keretakan rumah tangga yang dibina?

Selama 10 tahun saya mempertahankan rumah tangga ini walaupun hati saya hancur. Saya mengaku saya yang minta cerai. Tapi takkan saya sengaja nak minta cerai bila sudah 10 tahun kahwin. Mesti ada sesuatu yang melukakan hati saya. Fikirlah balik kalau sayalah puncanya.

Bagaimanakah dengan dakwaan anda curang?

Itu tidak benar. Lelaki dayus saja yang akan cakap macam itu. Saya tahu apa dia buat di belakang saya. Jangan ingat saya tak tahu.

Jadi apa sebenarnya hubungan anda dengan Luqman, lelaki yang dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga kalian?

Jangan babitkan dia lagi. Cukuplah, dia dah banyak bantu saya. Saya berterima kasih sangat pada dia dan saya harap dia tidak lagi diganggu.

Banyak perkara yang terjadi pada anda. Mungkin anda ada menyimpan dendam pada bekas suami?

Saya tak marah. Saya tak dendam. Tapi saya kasihan dan sedih dengan dia.

Bagaimanakah kehidupan anda sekarang tanpa kerja tetap?

Saya tak tipu bila saya cakap saya tak ada duit. Kadang-kadang nak pergi shooting pun kawan-kawan terpaksa ambil. Kalau tak, saya naik teksi. Bil elektrik pun belum bayar lagi sebab anak-anak perlukan duit belanja.

Saya sendiri sudah empat bulan tak ada kerja. Tapi saya seorang yang kuat. Saya harap orang di luar faham kesusahan yang saya alami. Orang ingat Norish Karman kaya, tapi bukan itu realitinya.

Apakah rancangan anda selepas insiden ini selesai?

Saya sedang berusaha menerbitkan sebuah album yang mengandungi enam buah lagu. Cuma saya perlukan pihak untuk mengedarkannya. Saya harap sangat ada pihak yang bermurah hati membantu saya.

Saya juga sedang merancang untuk sambung pengajian ijazah dalam bidang psikologi, selain buka galeri lukisan dan jual semua hasil lukisan saya.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Isu harga ayam ke Kabinet






KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Isu kenaikan harga ayam yang gagal diselesaikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, isu itu akan dibawa ke perbincangan jemaah menteri dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kita sebenarnya tak perlu untuk ubah dasar kalau penternak ayam ambil perhatian dan bantu kerajaan dalam meringankan beban pengguna.

"Sebenarnya kerajaan tak perlu campur tangan kalau semua orang jalankan tanggungjawab. Tetapi bila dah jadi begini, kerajaan tak ada pilihan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi Unit Ayam Daging Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Yap Kim Wah yang berpendapat kerajaan sepatutnya melantik pakar bagi mengkaji kos sebenar harga ayam sebelum mengeluarkan apa-apa arahan.

Kata Kim Wah, permintaan kerajaan yang memberi tempoh sehingga kelmarin untuk menurunkan harga ayam disifatkan terlalu mendesak dan boleh menjejaskan industri ayam kerana ketika ini penternak dan peniaga sudah menjualnya pada paras yang rendah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Enam tahun diganggu 'zombie'


SEBUAH klinik yang dipercayai menjadi tumpuan penagih dadah mendapatkan bekalan methadone di sebuah taman perumahan di Kuantan. Gambar kecil Abd. Mutalib.





KUANTAN - Sejak enam tahun lalu, kira-kira 7,500 penduduk di sebuah taman perumahan di sini sering dibelenggu perasaan tidak tenteram.

Perasaan itu semakin menjadi-jadi terutama setiap Jumaat dan Ahad menyebabkan mereka terpaksa mengutamakan keselamatan di kawasan rumah lebih daripada biasa.

Ini semua gara-gara ramai penagih dadah berkeliaran di kawasan perumahan itu tanpa mengira siang dan malam mencari bekalan methadone atau dadah alternatif dari sebuah klinik swasta berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Sejak itu rata-rata penduduk mendakwa, banyak kejadian jenayah berlaku termasuk kecurian dan mereka mendakwa ia ada kaitan dengan penagih dadah yang 'berkampung' di situ setiap hujung minggu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu, Abdullah Mahadi berkata, pihaknya sudah lama bersabar dengan 'gelagat' penagih dadah terbabit yang bertindak sewenang-wenangnya di taman tersebut.

"Daripada pemerhatian yang dilakukan, beratus-ratus penagih dadah dari jauh dan dekat datang ke sini apabila tiba waktu mereka mengambil methadone.

"Sebagai wakil penduduk, apa yang kami risau ialah mereka bukan sekadar mengambil ubat methadone di klinik tersebut tetapi turut membawa bersama masalah lain kepada penghuni," katanya ketika ditemui wartawan Ronda-Ronda semalam.

Menurut Abdullah, antara masalah besar dihadapi oleh mereka ialah penagih dadah terlibat telah menjadikan kawasan itu sebagai tempat mereka berkumpul.

"Apabila sudah berkampung di sini, macam-macam kejadian jenayah terjadi sehingga boleh dikatakan berlaku setiap hari. Banyak harta-benda penduduk dan awam hilang seperti penutup longkang, tong gas, baju dan basikal. Kami percaya, mereka sanggup berbuat demikian untuk membeli methadone bagi melepaskan gian," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Kamaruddin Ibrahim pula mendakwa penagih terlibat dipercayai turut menjadikan kawasan itu sebagai lokasi mengedar dadah sesama mereka.

"Mereka dipercayai menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk menjual dadah yang dibawa dari luar selain turut melepaskan gian di sini sebelum meninggalkan jarum suntikan merata-rata tempat.

"Kami bimbang jika ada kanak-kanak yang menganggapnya barang permainan bermain dengan peralatan itu walhal ia mungkin membawa penyakit," katanya.

Seorang penduduk, Siti Rona Ismail memberitahu, wanita di kawasan itu kini takut untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta berkenaan kerana sentiasa dipenuhi penagih dadah.

"Bagaimana hendak mendapatkan rawatan jika melihat ramai penagih yang menyerupai 'zombie' atau mayat hidup sering berkunjung ke situ. Bagi kami, klinik tersebut tidak berfungsi lagi kepada penduduk tetapi lebih memberi manfaat kepada penagih," katanya.


ANTARA alat menagih yang ditinggalkan penagih dadah di dalam tandas sebuah dewan orang ramai di Kuantan.


Dalam pada itu, Penyelaras Skim Rondaan Sukarela di taman perumahan itu, Abd. Mutalib Yassim berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil.

"Ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif sendiri pernah menasihatkan pemilik klinik swasta itu supaya berpindah tetapi ia hanya dipandang sepi.

"Kami tidak menghalang klinik itu daripada beroperasi. Bagaimanapun, kami berharap agar premis tersebut dapat dipindahkan ke lokasi lain kerana ia amat mengganggu penduduk," katanya.

Tinjauan Ronda-Ronda di lokasi yang sama mendapati terdapat penagih dadah yang menunggu giliran di luar klinik itu bagi mendapatkan rawatan methadone manakala sesetengahnya berkumpul di beberapa lorong sekitar kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan yang sama di dewan orang ramai taman itu pula mendapati terdapat banyak bekas mengisi jarum suntikan kosong dan bekas ubat di bahagian bilik airnya, dipercayai ditinggalkan oleh penagih terbabit selepas melepaskan gian.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi berkata, perkara tersebut akan disiasat selepas pihaknya mendapat laporan.

"Polis akan meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian jenayah," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/cari_tarikh.asp

Nenek ke Malaysia selamatkan cucu

KUALA LUMPUR - Naluri keprihatinan seorang nenek berjaya membantu menyelamatkan cucunya daripada terus didera dan dikurung sejak empat bulan lalu di sebuah rumah flat di Sentul Pasar di sini.

S. Pushparatnam, 52, mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku ke atas cucunya, Dil Ruckshan, 14, selepas mendapati ejen di Sri Lanka yang sepatutnya membawa cucunya itu berjumpa dengannya di Switzerland menipunya.

Dia yang merupakan warga Switzerland memberitahu, sebelum itu dia mengupah sebuah syarikat di Sri Lanka untuk menguruskan kedatangan cucunya selepas mendapati kehidupan remaja tersebut tidak terjamin di negara asalnya.

"Saya telah membayar sebanyak Euro 8,500 (RM40,137) untuk urusan itu dan ejen berkenaan memberitahu saya hanya perlu menunggu cucu saya di lapangan terbang pada 21 Ogos tahun lalu dan tidak perlu risau apa-apa.

"Tetapi mereka rupa-rupanya membawa Ruckshan ke Malaysia sebagai transit sebelum diserahkan kepada seorang lagi ejen wanita yang didakwa sebagai rakannya," katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan MIC di Jalan Rahmat di sini semalam.

Pusparatnam yang terkejut dengan tindakan ejen tersebut yang kemudian memintanya membayar Euro 1,000 lagi untuk urusan visa dan tempat tinggal cucunya enggan berbuat demikian selepas menyedari dia ditipu.

Menurut Pushparatnam, selepas berbincang dengan rakan dan ahli keluarga, mereka mencadangkannya supaya segera ke pejabat MIC di sini dan datang seorang diri sebelum mengadu masalahnya pada 24 April lalu.

"Tiga bulan pertama ketika Ruckshan tiba di sini, saya masih dapat menghubunginya menggunakan nombor telefon bimbit tetapi selepas itu saya langsung tidak tahu mengenai keadaannya. Saya mula risau akan keselamatannya,'' kata wanita itu.

Ekoran aduan Pushparatnam, Ketua Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi Pemuda MIC Kebangsaan, T. Mohan berkata, pihaknya terus merujuk masalah wanita itu ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman sebaik sahaja menerima aduan tersebut sebelum dirujuk pula kepada polis daerah Sepang.

Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan dua suspek Ahad lalu. Polis seterusnya berjaya menyelamatkan Ruckshan daripada didera selepas dikurung selama empat bulan di sebuah rumah flat di Sentul Pasar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Remaja didera empat bulan


S. PUSHPARATNAM mencium Ruckshan ketika mereka bertemu di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Ketika dikurung selama empat bulan, saya dipukul dengan batang penyapu di kepala serta badan dan dipaksa melakukan kerja rumah seperti melipat baju, membasuh lantai serta pinggan mangkuk.

"Saya fikir saya tidak dapat diselamatkan dan tidak berpeluang untuk berjumpa dengan keluarga saya lagi.''

Demikian cerita Dil Ruckshan, seorang remaja Sri Lanka yang diselamatkan Ahad lalu selepas tindakan pantas polis menyerbu tempatnya dikurung dan didera selama empat bulan oleh seorang wanita. Ruckshan ditahan di sebuah flat di Sentul Pasar di sini.

Ruckshan, 14, dari Colombo, Sri Lanka, sepatutnya tiba di Switzerland empat bulan lalu untuk tinggal bersama ibu dan neneknya di sana tetapi dia dibawa ke negara ini selepas ditipu ejennya.

"Saya naik kapal terbang berseorangan dan sebaik turun, saya ingatkan saya sudah sampai di Switzerland. Saya pelik kerana fizikal penduduknya berlainan dan terus dibawa ke sebuah rumah oleh wanita tersebut.

"Sejak itu, saya dikurung oleh wanita berkenaan dan hanya diberi makan sekali sahaja, itupun sebagai upah saya melakukan kerja rumah,'' katanya yang mendakwa pasportnya turut dikoyakkan oleh wanita yang sama.

Ruckshan menyatakan demikian kepada wartawan pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan MIC di Jalan Rahmat di sini semalam. Turut hadir ialah neneknya, S. Pushparatnam, 52, yang datang dari Switzerland.

Cerita Ruckshan, dia juga dilarang menonton televisyen serta hanya dibenarkan membaca buku.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Warga New Zealand ditahan di hospital


NOTIS mengenai Influenza A (H1N1) yang ditampal di kaunter 
pendaftaran kecemasan Hospital Pulau Pinang semalam. - Bernama


GEORGE TOWN - Seorang lelaki warga New Zealand diletakkan di bawah pengawasan di wad pengasingan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di siniapabila mengadu demam dan sakit badan semalam dan keputusan ujian ke atasnya akan diketahui hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lelaki terbabit datang sendiri ke HPP petang semalam mengadu demam dan sengal-sengal di badan. Dia ditahan untuk tujuan pengawasan tetapi belum dikuarantin.

Sambil mengesahkan perkara itu, beliau berkata, sampel darah daripada lelaki berkenaan telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun dan berkahwin dengan rakyat negeri ini tiba di Pulau Pinang dari New Zealand melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 April lalu.

"Sampel darahnya telah diambil dan jika ujian mendapati dia menghidap selsema luar biasa atau non typeable flu baru boleh dikatakan dia disyaki dijangkiti penyakit itu dan akan dikuarantin," katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Dibelasah kerana tidak cantik



NADIA dipukul kerana rupa.


TIGA orang pelajar sekolah menengah perempuan merakamkan babak mereka memukul rakan mereka, Nadia Burrington, 14, sebelum memuat turun rakaman itu di laman web video YouTubeuntuk memalukannya.

Malangnya, video itu bukan sahaja disaksikan oleh mereka, malah keluarga Nadia kemudian melapor kepadaYouTube supaya rakaman video itu ditutup. Seterusnya, pihak sekolah dan polis turut diberitahu tentang kejadian itu.

Akibatnya, tiga pelajar perempuan itu telah digantung daripada persekolahan.

Klip video itu memaparkan aksi mereka menarik rambut, menumbuk dan menendang gadis malang itu hingga dia terbaring kesakitan di padang sekolah Avonbourne di Bournemouth, Dorset, Britain bulan lalu. Menurut Nadia, dia tidak disukai rakan yang membulinya kerana gemuk, hodoh dan badannya sering berbau. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kulit melecur di mesin salon



KEPUTUSAN Kelly bawa padah kepada dirinya.





KELLY THOMPSON, 10, sepatutnya ke pesta ria namun dia mengubah perancangan dengan mengambil keputusan untuk pergi ke salon menggelapkan kulit. Keputusan itu membawa padah kepadanya.

Walaupun tertera amaran pada mesin penggelap kulit itu yang melarang kanak-kanak bawah umur 16 tahun menggunakannya, Kelly tetap berdegil.

Dia memasukkan £8 (RM42) dalam mesin itu dan masuk ke dalamnya. Namun, selepas 16 minit berlalu, dia menanggung kesakitan apabila 70 peratus sel kulitnya melecur.

Lebih malang, doktor yang merawatnya di hospital memberitahu bahawa dia perlu menjauhi sinaran matahari selama 10 tahun kerana kulitnya rosak teruk serta berisiko mendapat kanser. Ibu Kelly, Sharon Hannaford, 34, jelas tidak berpuas hati terhadap kejadian yang menimpa anaknya.

"Mesin itu berbahaya. Seharusnya ada staf yang mengawasi dan menghalangnya. Saya mahu pusat pemanas badan itu ditutup," katanya merujuk kepada salon Electrik Avenue yang terletak di Port Talbot, South Wales, Britain.

"Kini dia tidak bersekolah selama seminggu. Malah pusat itu masih beroperasi seperti biasa. Saya khuatir kanak-kanak lain akan ditimpa perkara serupa seperti yang telah berlaku pada Kelly," ujarnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...