Tuesday, May 26, 2009

Ancaman serius pemanasan global

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar 



DALAM beberapa tahun ini Malaysia seperti di negara lain sedang mengalami perubahan cuaca luar biasa yang berlaku dalam skala tidak pernah dialami sebelum ini. Kedah dan Perlis pernah mengalami kejadian banjir monsun yang teruk pada Disember 2005. Johor pula pernah menghadapi banjir terburuk dalam sejarah negeri itu pada Disember 2006 dan berlarutan hingga Januari 2007.

Negara kita turut mengalami cuaca panas kering berlanjutan beberapa bulan sehingga menyebabkan krisis air di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

Fenomena itu adalah bukti konkrit bagaimana Malaysia turut menerima tempias perubahan iklim ekstrem dan pemanasan global.

Mengapakah berlaku perubahan cuaca dan pemanasan global itu? Apa puncanya?

Saintis sepakat menyatakan pemanasan cuaca bumi sejak 50 tahun lalu disebabkan pelbagai aktiviti manusia dan bukan semula jadi. Sejarah menunjukkan bagaimana keadaan dan gaya hidup manusia berubah dengan pesat sekali selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah akhir abad ke-18 lagi.

Penebangan hutan bagi pembangunan sosioekonomi secara besar-besaran dan aktiviti pembakaran minyak fosil seperti petroleum, penggunaan metana dan gas menyebabkan penghasilan ‘gas rumah hijau’.

Gas itu bagaikan selimut besar membalut bumi, memerangkap haba daripada sinaran matahari lantas membawa kepada peningkatan suhu di muka bumi yang kemudian berlakulah perubahan iklim secara esktrem. 

Jurnal Nature ada memaparkan laporan mengenai perubahan iklim semakin meningkat dan menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Menurut jurnal itu, pemanasan global mempercepatkan lagi kepupusan lebih sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun. 

Negara luar yang turut mengalami cuaca ‘pelik’ ini ialah Afrika Selatan. Biasanya cuaca di negara itu beriklim panas tetapi pada 1981 berhadapan dengan kehadiran salji. 

Demikianlah juga di Perancis pada 2003, masyarakatnya terpaksa menempuh keadaan panas melampau sehingga dilaporkan sepanjang tahun itu, sekurang-kurangnya 15,000 orang maut.

Itali juga menghadapi cabaran cuaca melampau itu pada tahun sama dan dilaporkan 20,000 penduduknya mengalami pelbagai penyakit dikaitkan dengan perubahan cuaca ekstrem. 

Pada Jun 2007, Bank Dunia dalam laporan perubahan cuaca yang dikeluarkan sebelum Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara (G8) menyatakan peningkatan suhu global menyebabkan kemarau berpanjangan, hujan lebat luar biasa diikuti banjir dan ombak besar di kebanyakan negara. 

Sebenarnya, kesan pemanasan global sudah dirasai di Malaysia cuma dalam kapasiti sederhana tidak seperti di beberapa negara lain. Contohnya, pada Mac 2007, kerajaan Selangor mengadakan catuan air di seluruh negeri berikutan penurunan mendadak paras air di beberapa empangan takungan air di negeri itu.

Selepas kemarau, berlaku pula hujan lebat tanpa henti 2 Jun 2007 yang disertai ribut petir menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di sekitar Lembah Klang.

Ini semua kesan langsung daripada perubahan iklim dan pemanasan global.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 5 Jun 2007, menyatakan alam yang semakin panas berkait rapat dengan kesan rumah hijau. Kesan rumah hijau pula fenomena semula jadi kerana tanpanya, suhu bumi menjadi 30 darjah selsius lebih sejuk daripada keadaan normal.

Selanjutnya beliau berkata, bumi dipanaskan oleh pancaran matahari dan apabila panas, bumi akan memantulkan haba ke atmosfera.

Dianggarkan kira-kira 70 peratus tenaga matahari itu akan naik semula ke langit.

Namun, menurutnya, sebahagian daripada inframerah yang naik itu terperangkap dalam gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida, metana dan sulfur oksida. Haba terperangkap itulah yang menyebabkan pemanasan bumi.

Kesan rumah hijau menjadikan suhu bumi panas melampau yang membawa fenomena kemarau panjang.

Kegiatan penebangan dan pembakaran hutan dalam skala yang besar dalam tempoh masa panjang akan menaikkan suhu bumi.

Kedua-dua kegiatan itu semakin meningkat kebelakangan ini dan dilaporkan suhu bumi mengalami peningkatan sebanyak satu darjah setiap 25 tahun.

Sebenarnya, negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada pemanasan global melalui aktiviti perindustrian dan kenderaan.

Kita di Malaysia mesti mengambil iktibar daripada fenomena itu agar tidak terbabit sama menjadi penyumbang kepada berterusannya fenomena pemanasan global.

Kata Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Prof Khairul Maini Osman Salleh, berkata pemanasan global mempergiatkan proses cuaca sehingga menyebabkan pelbagai perubahan secara mendadak dalam tempoh tertentu.

Tidak dinafikan peningkatan suhu global boleh menyebabkan perubahan tabiat alam, termasuk peningkatan paras air laut dan cuaca yang ekstrem seperti banjir, kemarau, gelombang panas, ribut taufan dan puting beliung. 


Isu pemanasan global dibincangkan di peringkat dunia dalam pelbagai persidangan. Protokol Kyoto yang ditandatangani bersama oleh kebanyakan negara dunia maju dan membangun adalah usaha nekad dalam mengurangkan pembebasan gas rumah hijau yang menjadi punca pemanasan global.

Tetapi setakat mana keberkesanannya? Ini kerana kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, China dan India terus berlumba-lumba memajukan industri masing-masing. Kesan buruk pemanasan global bukan sahaja terkena pada manusia tetapi turut menjejaskan keutuhan biodiversti alam. Cuaca melampau itu akan menyebabkan banyak spesies flora dan fauna tidak dapat bertahan dengan situasi itu.

Contohnya, bilangan haiwan amfibia iaitu haiwan berdarah sejuk akan berkurangan secara drastik akibat perubahan cuaca dunia ini. Jika keadaan itu berterusan, kita akan kehilangan banyak khazanah alam semula jadi yang selama ini saling lengkap melengkapi kehidupan. 

Justeru, kita mesti bertindak sekarang untuk menghadapi fenomena pemanasan global. Kita mesti mengubah sikap dalam penggunaan tenaga dalam kehidupan seharian. Perkara asas perlu kita ubah ialah menutup penggunaan elektrik seperti lampu apabila tidak digunakan. Hal ini boleh mengurangkan pembebasan haba secara berterusan.

Mengurangkan penggunaan kenderaan sebenarnya idea yang baik dalam menangani pemanasan global.

Cuma dari segi psikologi dan budaya hidup menyebabkan cadangan itu terbengkalai kerana dianggap kurang praktikal dan menyusahkan. 

Penguatkuasaan undang-undang lebih ketat hendaklah dilakukan agar aktiviti pembakaran terbuka tidak lagi berlaku. Ingat negara kita dan beberapa negara di rantau Asean ini pernah mengalami keadaan jerebu yang kritikal sekitar 2005 yang diakibatkan penebangan dan pembakaran hutan secara besar-besaran di Sumatera.

Tentu kita tidak mahu keadaan yang merimaskan ini berulang lagi. Aktiviti penanaman pokok di sekitar kediaman dan kawasan bandar boleh membantu mengurangkan masalah cuaca melampau itu.

Sememangnya dengan menanam pokok banyak menyumbang kepada kestabilan pencemaran alam sekitar kerana dapat menyerap karbon dioksida.

Kitar semula barangan terpakai adalah satu lagi kaedah dalam usaha untuk membantu meminimumkan fenomena pemanasan global.

Janganlah anggap remeh dan ambil mudah kempen kitar semula kerana kaedah budaya sihat itu akan mampu membantu menstabilkan keadaan alam sekitar yang secara langsung membawa manfaat kepada masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526064825/Article/index_html

Air Ikan Haruan boleh ancam nyawa



KUALA LUMPUR: Produk Air Ikan Haruan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang boleh mengancam nyawa pengguna akan terus dirampas tanpa banyak soal daripada peniaga ubat-ubatan tradisional sekiranya ia didapati masih dijual kepada orang ramai.

Produk Air Ikan Haruan yang tidak mempunyai sebarang khasiat selain boleh menyebabkan kerosakan pada sistem tubuh dianggap sebagai bahaya dan penjualannya jelas satu kesalahan di bawah peruntukan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Produk Air Ikan Haruan buatan Malaysia itu menjadi isu di negara jiran Singapura kelmarin, selepas pihak berkuasa kesihatan Singapura memberi amaran rakyat republik itu supaya tidak mengambil ubat tradisional dengan label Air Ikan Haruan kerana ia mengandungi bahan perubatan berbahaya yang tidak diisytiharkan.

Dalam satu kenyataan, pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura mendakwa ujian makmal mengesan kimia dexamethasone, sejenis ubatan berbahaya dicampur dalam ubatan berkenaan.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM, berkata walaupun operasi demi operasi merampas produk Air Ikan Haruan itu dilakukan dari semasa ke semasa, bekalan produk berkenaan tidak pernah putus.

Menurutnya, berdasarkan alamat tertera pada botol, air itu didakwa dihasilkan di sebuah kilang di Tanjung Piandang Perak, namun siasatan mendapati ia alamat palsu.

“Pihak penguat kuasa farmasi percaya, pengeluar produk itu sering berpindah-randah bagi mengelak kilang haramnya dikesan. Apa yang pasti produk Air Ikan Haruan tidak pernah didaftar dengan KKM dan memiliki nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag KKM.

“Oleh itu, produk ini sepatutnya tidak boleh dipasarkan apatah lagi dieksport ke luar negara berikutan ia tidak mematuhi syarat ditetapkan KKM,”
katanya.

Menurutnya, selain produk berkenaan, siasatan KKM sebelum ini mendapati kebanyakan jamu diseludup dari negara jiran turut mengandungi racun seperti kodein, steroid, sindenafil nitrat, plumbum, merkuri serta pelbagai kimia berbahaya.

Antara jenama jamu pernah dirampas dan dikenal pasti adalah Pil Tupai Jantan, Jaya Asli Anrat, Flu Tulang dan Cicungya, Busterin, Super Tetra, Kapsul Super Tenaga, Jamu Pendang, Maajun Kuat, Maajun Putra Acheh Cap Keris, Jamu Monalisa, Ubat Kuat Madu Pasak Bumi, Pil Pria Perkasa dan Pil Asrirapat

Menurutnya, walaupun ada yang percaya produk itu baik untuk memulihkan pendarahan dalaman atau menyembuhkan luka akibat pembedahan namun ia bukan dihasilkan dari ikan haruan sebaliknya campuran kimia yang tidak diketahui.

“Oleh itu saya menasihati orang ramai berhati-hati dan tidak menggunakan produk ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan produk tidak berdaftar diminta menghubungi pejabat Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM di talian 03-7968 2200,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526064949/Article/index_html

Pengusaha mahu 100%

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin 
harzrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) berharap kadar kenaikan tambang baru bagi pengangkutan awam yang akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat ini mencecah 60 hingga 100 peratus kenaikan.

Presidennya, Datuk Ashfar Ali, berkata kenaikan sehingga 100 peratus itu amat diperlukan bagi terus menampung kos operasi syarikat pengusaha bas.

“Ini kerana kebanyakan pengusaha bas tidak menerima subsidi daripada kerajaan seperti dinikmati RapidKL dan RapidPenang.

“Difahamkan, subsidi yang diterima mereka (Rapid) berdasarkan jarak perjalanan melalui setiap kilometer (km),”
katanya. 

Katanya, sebelum ini kerajaan pernah menaikkan tambang bas iaitu pada tahun 2005 sebanyak 30 peratus

“Namun, jumlahnya terlalu kecil jika dibandingkan jumlah kerugian terpaksa kami tanggung selama beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bukan itu saja, perkara itu mengakibatkan banyak syarikat pengusaha bas terpaksa gulung tikar,”
katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kadar tambang baru pengangkutan awam yang kali terakhir disemak pada 2005 dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan pada awal bulan depan. 

Katanya, kenaikan tambang baru itu akan membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas pengantara dan bas sekolah selain teksi serta kereta sewa.

PMBOA juga berharap subsidi diesel dikaji semula atau dikurangkan kepada RM1 untuk satu liter daripada RM1.30 kini. 

“Kami tidak mendesak kerajaan, cuma mahu ia dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya bagi melahirkan suasana menang menang kepada kedua-dua belah pihak termasuk pengguna.

“Apa yang kami syorkan kepada kerajaan itu juga sama seperti dipraktikkan negara jiran kita Singapura,” katanya dalam masa sama turut berterima kasih kepada menteri berkenaan kerana memperjuangkan nasib mereka.

Sementara itu, Presiden Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Chee Ah Tey pula berpendapat kenaikan tambang bas amat diperlukan bagi mengelak banyak lagi syarikat pengusaha bas sekolah gulung tikar.

“Kegawatan ekonomi begitu dirasakan dan kami memang memerlukan bantuan kerajaan untuk terus beroperasi.

“Tambang bas perlu dikaji semula dan kenaikan harga amat diperlukan segera kerana subsidi yang diberikan kerajaan tidak cukup untuk menampung kos operasi kami,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065110/Article/index_html

Tak telus urus harta RM5j milik 400 penama



JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mendakwa dia dan 50 ahli keluarga lain menjadi mangsa putar belit pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta pusaka bernilai lebih RM5 juta milik nenek moyangnya sejak 17 tahun lalu.

Zainal Ibrahim, 50, yang juga pesara polis, berkata kejadian bermula sejak 1992 apabila pemegang amanah itu menjual tanah pusaka di Lot 883, Johor Bahru yang diwariskan kepada 400 penama dengan harga RM5.8 juta.

“Berdasarkan laporan penjualan yang diperoleh, pemegang amanah terbabit turut mencatatkan pembelian dua lot tanah di Kempas yang bernilai kira-kira RM35,000 sebagai syarat penjualan.

“Selepas dijual pada harga RM5.8 juta, pemegang amanah melakukan pembahagian kepada 400 penama dengan agihan RM6,000 seorang,” katanya.

Menurut Zainal, dia dan keluarganya mula curiga dengan tindak-tanduk pemegang amanah berikutan tidak membekalkan sebarang dokumen pengesahan penjualan harta berkenaan selain tidak telus dalam pembahagian hasil.

“Apabila pengagihan dibuat, kami mendapat tahu ada waris yang tercicir daripada senarai, malah maklumat sebenar mengenai harga jualan dan laporan terperinci berhubung urus niaga tidak diserahkan sebagaimana sepatutnya.

“Atas sebab itu, kami sekeluarga mengambil keputusan ke Balai Polis Central, Johor Bahru untuk membuat laporan yang bertarikh 2 Disember 1992,” katanya.



Zainal berkata masalah itu berlalu tanpa tindakan pihak berkuasa dan keluarganya semakin keliru apabila mendapat tahu lot tanah di Kempas turut dijual kepada syarikat pemaju antara 2002 hingga 2003.

“Saya difahamkan yang Lot 1835 dan 1836 di Kempas itu dijual dengan harga kira-kira RM2 juta sebelum hasilnya dibahagikan kepada beberapa waris yang tahu mengenai penjualan tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, pemegang amanah berkenaan bijak meneruskan agenda dengan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa sebelum menegaskan tanah di Kempas tidak dijual kepada sesiapa.

“Ini jelas menunjukkan pemegang amanah tidak lagi boleh dipercayai dan seharusnya disiasat pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengetahui ke mana perginya wang milik pewaris harta berkenaan,” katanya.

Atas dasar tidak berpuas hati, Zainal dan kakaknya, Zainon, 52, membuat semakan di beberapa agensi berkaitan termasuk syarikat yang berurusan dengan pemegang amanah.

“Namun kami sekeluarga hairan apabila pemegang amanah tiba-tiba berbuat baik dengan menyerahkan cek bernilai RM8,000 hanya untuk ibu saya pada 18 Disember 2003.

“Persoalan berhubung wang RM8,000 itu terungkai apabila kami mendapat maklumat yang mendakwa lot tanah asal bukan dijual dengan harga RM5.8 juta sebagaimana direkodkan sebaliknya ia bernilai RM9 juta,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065318/Article/index_html

Lari dari Kuantan akibat diburu along



MELAKA: Kehidupan sepasang suami isteri yang mempunyai tiga anak masih kecil kini dibelenggu ketakutan serta kebimbangan akibat diburu along selepas gagal membayar semula pinjaman berjumlah RM10,000 ketika menetap di Kuantan, Pahang, sebelum ini.

Susulan beban hutang tidak mampu dijelaskan itu, pasangan berkenaan terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di negeri ini bagi mengelakkan daripada dikesan peminjam wang terbabit.

Lebih malang apabila pasangan terbabit terpaksa membawa bersama tiga anak mereka berusia tujuh, tiga dan 11 bulan hingga mengakibatkan dua anak sulung pasangan itu tidak dapat bersekolah kerana bimbang diapa-apakan.

Suami berkenaan berusia 35 tahun yang enggan dikenali, berkata sebelum ini dia membuat pinjaman wang daripada tujuh along berlainan berjumlah RM10,000 kerana mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, dia bagaimanapun gagal menjelaskan bayaran ansuran menyebabkannya diugut hingga mengakibatkan motosikalnya diambil along terbabit, dan pernah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Disebabkan terlalu takut, kami juga terpaksa meninggalkan semua barang yang ada dalam rumah ketika di Kuantan dulu semata-mata membuat keputusan nekad melarikan diri dari sana ke negeri ini bagi mengelak terus menjadi buruan.

“Apa yang penting, saya perlu mengutamakan keselamatan keluarga termasuk isteri dan tiga anak kerana bimbang dengan sikap agresif along terbabit kerana mereka mungkin boleh bertindak di luar dugaan,” katanya.

Lelaki berkenaan berkata demikian apabila mengemukakan masalahnya kepada Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Kebajikan) M S Mahadevan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Khamis lalu.

Sementara itu, Mahadevan berkata, pihaknya sudah merujuk kes berkenaan kepada Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri supaya tindakan susulan dapat dilakukan.

Menurutnya, selepas mendengar secara terperinci masalah dikemukakan pasangan terbabit, mereka menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada along apabila keadaan terdesak.

Berikutan itu, katanya, pihaknya juga akan berbincang dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi menilai bentuk bantuan sewajarnya yang boleh disalurkan kepada mereka.

“Perkara utama yang harus dilakukan ialah memastikan anak sulung mereka kembali bersekolah dan kita akan cuba merujuk perkara berkenaan kepada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) bagi mendapatkan bantuan persekolahan.

“Kita juga akan berusaha untuk membina sebuah rumah menerusi Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga terbabit kerana isterinya adalah anak jati negeri ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065528/Article/index_html

Perdagang tubuh isteri

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Hanya kerana ingin hidup mewah, seorang suami tergamak bertindak sebagai bapa ayam melacurkan isterinya kepada pelanggan yang dahagakan seks tanpa mengira bangsa.

Lebih keji dan hina, lelaki tempatan berusia 40-an itu sendiri memilih beberapa hotel murah di sekitar bandar ini sebagai ‘port’ untuk memperdagangkan tubuh isterinya yang juga warga asing demi mendapatkan wang mudah.

Difahamkan, wanita berusia 28 tahun itu dikahwini lelaki terbabit sejak enam tahun lalu dan dikurniakan seorang anak.

Suaminya dipercayai sudah menjalankan kerja terkutuk itu sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan beberapa hotel murah yang disewakan atas namanya sebagai lokasi mengadakan pertemuan dengan pelanggan.

Perbuatan jijik lelaki itu terbongkar ketika sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) mengadakan operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Ketika serbuan, wanita itu baru selesai memandikan pelanggannya, seorang lelaki bukan Islam tetapi belum sempat mengadakan hubungan seks berikutan penemuan sekeping kondom yang belum dibuka di atas katil.

Ketua Unit Operasi Jaipp, Khairul Azman Azizan, berkata ketika pemeriksaan di sebuah bilik, pegawai penguat kuasa agama menemui seorang wanita beragama Islam dengan seorang lelaki bukan Islam dalam sebuah bilik dengan hanya bertuala.

“Siasatan awal mendapati, wanita itu dipercayai melakukan aktiviti tidak bermoral dan turut mengaku sudah berkahwin dan suaminya berada di bilik bersebelahan.

Jaipp mulai curiga apabila mendapati dua bilik di hotel itu didaftarkan atas nama suami wanita itu sedangkan ketika pemeriksaan dilakukan si isteri berada bersama lelaki bukan Islam dalam keadaan hanya bertuala,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui sebotol minyak pelincir, air ketum dan bungkusan daun kering termasuk beberapa potongan ayat al-Quran dipercayai ayat amalan yang digunakan sebagai azimat dalam bilik berkenaan.

Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku mampu melayan sehingga enam pelanggan sehari dengan menyediakan perkhidmatan urut kepada pelanggan dengan bayaran RM50 seorang manakala perkhidmatan seks dikenakan bayaran RM100.

Katanya, wanita itu turut mengaku duit hasil bayaran urut yang diterima diberikan kepada suaminya.

Ini bermakna, mengikut perkiraan kasar, lelaki itu mampu mengaut kira-kira RM900 sehari atau RM27,000 sebulan jika isterinya melayan purata enam pelanggan sehari yang berkehendakkan khidmat urut dan seks selama 30 hari.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 5.15 petang itu turut disertai tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah dan tiga anggota Cawangan Penyiasatan Khas.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065608/Article/index_html

Diseret peragut 5 meter

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TUMPAT: Seorang peniaga warga emas cedera di leher, tangan dan lutut selepas diseret kira-kira lima meter oleh seorang lelaki yang meragut rantai emasnya di Kampung Tujoh di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Saadiah Musa, 63, yang juga seorang peniaga, diumpan lelaki berkenaan yang berpura-pura mahu membeli gula pasir dan bawang merah di kedainya sebelum menghampiri mangsa.

Menceritakan kejadian itu, Saadiah berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu memesan beberapa barangan sebelum mencekik dan cuba meragut rantai emas.

“Tetapi saya sempat menarik tangannya sekuat hati. Akibatnya, rantai yang saya pakai terputus menyebabkan dia berang lalu menolak saya hingga tersungkur,” katanya.

Dia kemudian  menjerit meminta tolong suaminya, Mat Jusoh Isa, 71, dan anak, Halimah Mat Jusoh, 46, yang berada di tempat kejadian.

Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri menaiki kereta Proton Wira berwarna merah hati.

Menurutnya, dia tidak menyangka kelibat sebuah Proton Wira yang dilihat berulang-alik dari jalan utama ke Klinik Desa berhampiran rumahnya mempunyai niat tidak elok terhadapnya.

Berikutan itu, ibu kepada empat anak itu cedera pada mata, hidung serta mulut akibat tersembam dan terseret hampir lima meter.

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu kerana terpaksa bergelut dengan peragut selain bertindak nekad mencekik dan menolak saya ke lantai,” katanya.

Suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Tumpat kira-kira jam 4 petang, sebelum menghantarnya ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.

“Sampai sekarang saya boleh cam lelaki itu yang memakai topi hitam, baju merah, berseluar jeans, berkasut putih dan memakai cermin mata hitam menggunakan nombor pendaftaran 9177,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Osman Nayan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ragut yang menimpa warga emas terbabit.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090526065837/Article/index_html

‘Lapah’ 10 minit selepas curi

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

semula dan badan kereta yang sudah dilapah." title="LERAI...Noor Azam menunjukkan kenderaan yang ditemui
semula dan badan kereta yang sudah dilapah." height="186" width="300" border="0">
LERAI...Noor Azam menunjukkan kenderaan yang ditemui 
semula dan badan kereta yang sudah dilapah.

SHAH ALAM: Sukar dipercayai apabila sindiket curi kenderaan yang bergiat aktif di negeri ini sejak Januari lalu mampu melarikan kenderaan dalam tempoh 10 hingga 15 minit sebelum kenderaan itu ‘dilapah’ untuk mendapatkan komponen atau dijual kepada individu berminat.

Malah, kepakaran luar biasa yang dimiliki mereka menyebabkan ahli sindiket ini mampu hidup senang dengan kerja jahat yang mereka lakukan.

Taktik sindiket yang didalangi lima lelaki tempatan itu ialah mengumpil pintu atau but kenderaan dan membuat kunci pendua menggunakan alat kikir khas sebelum kenderaan itu dilarikan.

Bagaimanapun, kerja jahat sindiket terbabit tidak lama apabila kegiatan itu dihidu pihak berkuasa hasil maklumat orang ramai.

Dalam serbuan jam 4 petang, Khamis lalu, polis menahan dua lelaki berusia 30-an di Seksyen 17 di sini dan hasil soal siasat ke atas suspek terbabit membawa kepada penemuan sembilan kenderaan yang dilaporkan hilang di daerah Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata susulan tangkapan pertama, pihaknya menyerbu sebuah bengkel di Seksyen 19 keesokannya sebelum menahan beberapa lagi suspek dan polis kini sedang mengumpul maklumat bagi mengesan saki-baki kumpulan terbabit.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mendakwa melakukan 13 kes curi kenderaan, bagaimanapun tiga daripada gagal dikesan dipercayai sudah dilupuskan atau dijual.

“Sembilan kereta yang ditemui itu, lima daripadanya dilaporkan hilang di daerah ini dan masing-masing dua di Klang dan Petaling Jaya.

“Nilai rampasan termasuk beberapa peralatan yang dileraikan dianggarkan bernilai RM200,000,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Semua suspek yang ditahan itu bekerja sebagai pengusaha bengkel, penarik kereta dan along dan mereka direman empat hari dan berakhir hari ini.

Dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri, cukai jalan palsu dan komponen kenderaan yang sudah dileraikan.

Noor Azam berkata, kejayaan itu hasil maklumat orang ramai sebelum pihaknya melakukan intipan dan menyerbu kawasan terbabit.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bas akhir ke 'neraka'

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Rutin biasa seorang gadis menaiki bas awam untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja berakhir tragedi hitam yang sukar dilupakan sepanjang hayatnya. 

Pada 18 Mei lalu, dia yang berusia 20-an menjadi mangsa kerakusan pemandu bas dan konduktor di Ampang yang memaksanya melakukan hubungan seks dan merakamkan aksi berahi berkenaan.

Pemandu bas terbabit menjadi ‘pengarah’ dan ‘pelakon’ kepada adegan filem lucah itu manakala konduktornya sebagai jurukamera menggunakan telefon bimbit.

Mangsa bagaimanapun tidak dirogol apabila ‘pelakon’ utama itu mendapati dia uzur atau datang bulan.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, wartawan Harian Metro berjaya menemubual mangsa yang kini tinggal sementara dengan kakaknya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang bekerja menggunakan bas seperti biasa.

“Sudah puluhan kali menaiki bas itu setiap kali pulang bekerja. Namun, inilah sejarah hitam yang tak mungkin saya lupakan.

“Mana tidaknya, saya dijadikan alat pemuas nafsu mereka selain diperlakukan seperti binatang oleh kedua-dua lelaki durjana itu,” katanya yang menjadi penumpang terakhir sebaik tiba di hentian bas itu.

Mangsa pada permulaannya keberatan menceritakan kisah hitam itu, bagaimanapun terpanggil untuk menasihatkan golongan hawa supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa rogol lelaki ‘gila seks’.

Setibanya di hentian bas itu kira-kira jam 10 malam, dia dihampiri pemandu bas terbabit yang enggan membuka pintu sebelum menawarkan pelbagai tawaran mengarut. 

“Dia dan konduktor menawarkan saya menjadi heroin filem lucah yang dirancang sebelum mengarahkan saya menanggalkan pakaian. Mulanya saya menolak, namun kedua-duanya bertindak agresif.

“Pemandu bas itu mahu mencederakan saya jika kemahuannya ditolak. Saya yang bimbang dicederakan terpaksa menanggalkan semua pakaian,”
katanya.

Mangsa seterusnya dicabul pemandu bas itu sebelum mendapati dia uzur.

Pemandu bas itu menyatakan mangsa bernasib baik kerana ‘keuzuran’ itu menghilangkan seleranya. Namun, dia terus mencabul gadis itu hampir 30 minit.

Konduktor itu pula merakam gambar dan video sambil mengarahkan mangsa melakukan gaya yang lebih menggiurkan.

Mangsa berkata, selepas hampir 45 minit tubuhnya menjadi tatapan dan rakaman mereka, dia dibenarkan pulang sebelum seorang daripada suspek mengugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain.

“Dia mengugut akan menyebarkan aksi panas saya itu dalam Internet jika saya membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan baiknya, tetapi mereka merahsiakan kejadian itu kerana bimbang gambar itu tersebar.

Belumpun sampai seminggu, gambar bogel mangsa tersebar menerusi MMS, termasuk diterima rakannya itu.

Rakannya yang bersimpati kepada nasib malang menimpa gadis terbabit mendedahkan kejadian berkenaan kepada kakak mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Difahamkan kedua-dua suspek ditahan pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20090526062257/Article

Korea Utara lancar ujian nuklear


SEORANG kakitangan jabatan kajicuaca menggunakan sejenis peralatan untuk mengesan radioaktif di Vladivostok, Rusia selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear semalam.


SEOUL - Korea Utara semalam melakukan ujian peluru berpandu nuklear sekali gus mencemaskan negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kemudian mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan tindakan susulan berhubung ancaman berkenaan.

Ujian nuklear yang disifatkan Pyongyang sebagai berjaya itu merupakan letupan peluru berpandu yang jauh lebih kuat berbanding ujian pertama pada 2006.

Negara komunis berkenaan mengotakan ancaman untuk melakukan ujian nuklear kedua selepas ia melancarkan roketnya pada April lepas.

"Korea Utara berjaya melakukan satu lagi ujian nuklear bawah tanah pada 25 Mei sebagai langkah meningkatkan kemampuan pertahanan negara," kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Media berkenaan tidak mendedahkan lokasi ujian tersebut tetapi beberapa pegawai Korea Selatan menyatakan satu gegaran dikesan di bandar Kilju, timur laut Korea Utara.

Sementara itu, sekutu kuat Korea Utara, China menyatakan ia sama sekali menentang ujian tersebut.

Nada serupa turut disuarakan Kementerian Luar Rusia yang menyifatkan ujian itu mengancam kestabilan serantau.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Ikan sardin berhijrah ke Lautan Hindi


GAMBAR menunjukkan sekumpulan ikan sardin berhijrah dari Port St. John ke Lautan Hindi.



JOHANNESBURG - Gambar sekumpulan ikan sardin berhijrah dari Afrika Selatan ke Lautan Hindi yang lebih panas berjaya dirakamkan, lapor sebuah akhbar semalam.

Bagaimanapun, penghijrahan ikan itu mengalami banyak cabaran antaranya ancaman daripada ikan jerung dan lumba-lumba.

Sekumpulan ikan sardin itu memulakan perjalanan dari Port St. John, Afrika Selatan ke Lautan Hindi yang merupakan aktiviti tahunan haiwan tersebut.

Ikan-ikan sardin itu berenang bersama-sama dengan membentuk satu kumpulan besar bagi melindungi diri daripada ancaman ikan yang suka memakannya.

Berbilion-bilion ikan sardin itu akan berhijrah dari bulan Mei hingga Julai dan aktiviti tersebut menjadi daya tarikan pelancong asing di Afrika Selatan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Jadi kurus selepas dipukau


GAMBAR menunjukkan Marion menjadi kurus selepas menjalani teknik rawatan hipnosis.



MERSEYSIDE - Seorang wanita Britain, Marion Corns hilang berat badan sebanyak 25.40 kilogram dengan menggunakan kaedah hipnosis atau pukau, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia menggunakan kaedah pukau itu di sebuah klinik pada minggu lalu di Sepanyol selepas gagal menguruskan badan dengan menggunakan pendekatan diet dan senaman.

Bagaimanakah kaedah pukau itu berjaya menguruskan badannya?

Di klinik itu, ketika berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau dipukau, dia diberitahu bahawa tubuhnya dimasukkan sejenis alat yang mampu mengurangkan jumlah makanan yang dimakannya.

Walaupun Marion mengetahui tidak ada sebarang peralatan yang dimasukkan ke dalam tubuhnya namun otaknya menguasai pemikirannya bahawa peralatan itu sudah berada di dalam perut.

Seorang doktor dari Scotland, James Braid menggunakan istilah hipnosis pada 1841 selepas mengkaji teknik bersantai dan bertafakur yang digunakan dalam perubatan serta amalan agama di Asia.

Pada masa sama, seorang lagi doktor dari Scotland, James Esdaile menggunakan teknik sama seperti hipnosis bagi menenangkan pesakitnya ketika pembedahan.

Kes ganjil Marion itu dianggap sebagai kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan perubatan alternatif. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Lelaki pilih kekasih menerusi bau



DAHL dan Cullum


LONDON - Seorang lelaki akan memilih seorang wanita yang menjadi idamannya selepas hidungnya menghidu bau wanita, kata beberapa penyelidik.

Menurut penyelidik itu yang kajian mereka disiarkan semalam, lelaki dan wanita menggunakan bau sebagai panduan apabila mahu mencari pasangan yang sesuai.

Kajian mendapati, seseorang individu akan memilih pasangan yang mempunyai bau badan berlainan dengan dirinya.

Dalam kajian tersebut, beberapa saintis membandingkan profil genetik 90 pasangan suami isteri dan 152 pasangan lelaki dan wanita yang dipilih secara rawak.

Justeru memilih seorang pasangan yang mempunyai bau berlainan daripada diri sendiri, secara tidak langsung ia akan memastikan anak yang bakal dilahirkan mungkin mempunyai tahap imuniti yang lebih kuat bagi menentang penyakit.

Beberapa saintis percaya fenomena itu akan mengelak kita menjalin hubungan seks dengan saudara atau mempunyai genetik yang sama.

Seorang penyelidik, Profesor Maria da Graca Bicalho dari Universiti Parana, Brazil, berkata: "Walaupun terdapat pemikiran bahawa manusia memilih pasangan mereka kerana persamaan yang wujud, penyelidikan kami itu menunjukkan pasangan yang berbeza melahirkan anak yang lebih berjaya."

Contoh terbaik hubungan berbeza itu melibatkan model jelita Sophie Dahl dan kekasihnya Jamie Cullum yang merupakan seorang pemuzik jaz Britain.

Walaupun Dahl berambut lurus perang dan jauh lebih tinggi daripada kekasihnya, dia serasi dan selesa apabila bersama Cullum yang berambut kerinting dan berkulit gelap.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Guna loji tenaga nuklear 2025

TERENGGANU - Tenaga Nasional Bhd., (TNB) menetapkan sasaran memulakan operasi loji tenaga nuklear pertamanya menjelang 2025, jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan nuklear senagai opsyen tenaga yang boleh diterima.

Ketua Unit Tenaga Nuklear TNB, Dr. Mohd. Zamzam Jaafar berkata, TNB tidak dapat mengetepikan tenaga nuklear ketika berlaku ketidaktentuan bekalan tenaga untuk masa depan dan harga bahan api fosil yang turun naik, selain sumber-sumber gas.

"Bagi memastikan bekalan elektrik boleh dipercayai dan harga yang munasabah, opsyen nuklear bebanan asas yang sudah terbukti, tidak boleh dinafikan," katanya pada talimat media mengenai pelan masa depan tenaga TNB, di Pulau Perhentian Besar, sebuah resort kepulauan di sini.

Dr. Mohd. Zamzam berkata, menjelang tahun 2019, sumber bekalan tenaga alternatif akan menjadi kritikal memandangkan sumber-sumber gas akan susut pada masa itu.

Harga arang batu katanya juga sentiasa turun naik.

Penggunaan tenaga TNB meliputi gandingan gas (kira-kira 50 peratus), arang batu (35 peratus), hidro (14 peratus dan minyak (lebih daripada satu peratus).

Menerusi pembukaan loji nuklear pertama di Malaysia, katanya, TNB akan menyertai senarai negara-negara yang sudah membuka loji tenaga nuklear seperti Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...