Sunday, August 9, 2009

Najib: BN ada peluang tawan semula Selangor, tapi...


KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor dikembalikan semula kepada tangan Barisan Nasional kerana negeri itu adalah penting sebagai nadi negara.

Peluang untuk Barisan Nasional (BN) berkuasa di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat partiparti komponen yang diterajui Umno sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah, kata beliau yang juga Presiden Umno semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Umno tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

"Ini harapan saya... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai "Formula Pekan" telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.

Najib berkata perubahan-perubahan telah dilakukannya selepas pilihan raya umum 1999, di mana beliau hanya menang dengan majoriti 241 undi, tetapi pada tahun 2004 undi majoriti beliau telah meningkat kepada 22,922 undi dan pada pilihan raya umum lepas undi majoriti itu naik lagi kepada 26,464 undi.

Katanya, beliau tidak dapat melupakan peristiwa pada tahun 1999 itu di mana beliau merasakan masa depan politiknya adalah gelap dan ada pihak yang meramalkan kerjaya politik beliau bakal berakhir.

Namun, Najib berkata, beliau tidak berundur daripada bertanding di Pekan pada pilihan raya selepas itu walaupun beliau boleh bertanding di Lipis dan Paya Besar yang dikatakan kawasan Parlimen yang lebih mudah untuk dimenangi.

Beliau berkata, perubahan atau muhasabah yang dilakukan untuk berjaya perlu jujur seperti yang dilaksanakannya di Pekan kerana berdasarkan muhasabah yang jujur, kesimpulan yang tepat dapat dicapai dan kesimpulan yang dicapai bagi melakukan perubahan itu perlu dilakukan dengan berani.

"Bila buat proses muhasabah saya tegur orang Pekan, maklumat yang mula-mula semua kata "Datuk O.K" tapi sebenarnya "Datuk hampir K.O."

"Kita mesti baca keadaan dengan betul... suara dan denyutan hati rakyat mesti diketahui, kita mesti tahu baca hati nurani rakyat. (Kawasan) Hitam jangan dikata kelabu dan kawasan kelabu jangan dikata putih," katanya.

KEPINCANGAN

Najib berkata, semasa beliau memperbetulkan kepincangan di Pekan, apa yang ditemuinya ialah kelemahan Umno sendiri, antaranya pemimpin-pemimpin tidak turun padang, janji-janji tidak dikotakan, hanya menjaga kebajikan puak masing-masing bukan rakyat umum dan akhirnya pihak lawan menang bukannya kerana mereka kuat.

Selain daripada para pemimpin perlu ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, Najib berkata, beliau sendiri turun padang dan bersalaman dengan rakyat jelata sehingga kepada tukang masak jika menghadiri kendurikendara, katanya.

Keikhlasan seorang pemimpin di mata rakyat adalah penting di mana beliau masih menang di peringkat Parlimen, walaupun ada kawasan Dewan Undangan Negeri yang tewas, kerana masih ada juga undi peribadi yang diberikan oleh penyokong-penyokong parti pembangkang yang sukakan beliau, kata Najib.

Najib juga mengingatkan janji mesti ditunaikan kalau seseorang wakil rakyat berjanji untuk berada di pejabatnya setiap Sabtu selain jangan hendak menipu rakyat kalau tidak alamat sepenggal sahaja menjadi Yang Berhormat.

Najib berkata, adalah penting bagi parti untuk mendengar pandangan dan keluhan rakyat kerana ia perlu diterjemahkan oleh parti untuk dijadikan dasar kerajaan.

Apabila dasar kerajaan mengambil kira harapan, aspirasi dan kehendak rakyat, mereka akan menyokong parti yang memerintah, katanya.

Bagi meningkatkan sokongan rkyat kepada BN, Najib berkata ia mesti dilihat sebagai parti yang tidak banyak masalah.

PAKATAN SELANGOR

Najib juga menyentuh mengenai kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang kini sudah tidak mempunyai persefahaman antara satu sama lain.

Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri, baru-baru ini yang meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kedudukan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu daripada DAP kerana dikatakan campur tangan dalam pelaksanaan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

Najib berkata, tindakan itu menunjukkan, pakatan pembangkang ini "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain" di mana perjuangan politik mereka brcanggah antara satu sama lain dan mereka hanya bersatu bagi menumbangkan Barisan Nasional. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/9/mstar_berita/20090809130418&sec=mstar_berita

Elak ONANI cegah H1N1

KUALA LUMPUR: Kegiatan homoseksual dan onani perlu dielakkan kerana ia adalah langkah pencegahan yang boleh diambil oleh seseorang bagi mengelakkan jangkitan Influenza A(H1N1), kata seorang pengamal terapi pelengkap Dr VM Palaniappan.

Katanya, apabila seseorang itu terbabit dalam kegiatan itu tubuh badan seseorang lelaki atau wanita akan menghasilkan geseran haba yang mengeluarkan asid menyebabkan peningkatan keasidan dalam tubuh dan oleh itu boleh menjadi sasaran yang mudah bagi jangkitan H1N1.

Bagaimanapun, hubungan kelamin yang normal antara pasangan berlainan jenis adalah selamat.

Dr Palaniappan yang juga bekas Profesor Madya Ekologi di Universiti Malaya telah mengarang beberapa buah buku dalam bidang terapi pelengkap yang diteroka beliau yang dipanggil sistem penyembuhan secara ekologi.

Dr Palaniappan memberitahu Bernama sepanjang 33 tahun kajiannya mendapati bahawa kadar keasidan yang tinggi di dalam tubuh menyebabkan daya tahan tubuh akan hilang menyebabkan semakin ramai orang mudah terdedah kepada jangkitan virus seperti Influenza A(H1N1).

Oleh itu, bagi mencegah keasidan itu adalah perlu untuk mengambil makanan dan minuman beralkali bagi meneutralkan lebihan asid di dalam badan.

Beliau mengesyorkan orang ramai mengambil minuman beralkali seperti air kelapa yang boleh digunakan sebagai ubatan herba bagi mencegah H1N1.

Sebagai contoh, beliau berkata mereka yang berasa demam dan mengalami rasa bahang semasa membuang air besar dan kecil kerana keasidan yang melampau boleh dineutralkan dengan meminum air kelapa selama dua kali sehari selama tiga hari.

Beliau juga mengesyorkan buah limau, lemon dan limau bali walaupun ia mengandungi asid sitrik tetapi masih kaya dengan potasium yang boleh menghasilkan urin beralkali yang dengan itu tidak menganggu ketahanan badan.

Dr Palaniappan berkata, kegiatan jasmani yang berlebihan seperti larian maraton perlu dielakkan kerana ia menghasilkan asid disebabkan kegiatan metabolik berlebihan.

Begitu juga dengan berjaga sehingga lewat malam tanpa tidur secukupnya dan bekerja tidak berhenti-henti tanpa rehat secukupnya boleh meningkatkan keasidan badan yang akan menurunkan ketahanan dan menyebabkan tubuh badan mudah terdedah kepada serangan virus.

Dr Palaniappan mempunyai laman blog di alamathttp://ecohealingsystem.blogspot.com/ yang membincangkan terapi itu secara lebih mendalam. - Bernama


Lapan lagi korban H1N1, jumlah 26

Ogos 9, 09 1:23pm
Lapan lagi dilaporkan meninggal dunia akibat influenza A (H1N1), menjadikan jumlahnya meningkatkan kepada 26 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kematian tersebut dilaporkan antara 3 Ogos hingga hari ini.

Menurutnya, ada kematian tersebut yang hanya dikesan selepas dilakukan bedah siasat.

Beliau memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa sebahagian daripada kematian tersebut membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi.

Liow berkata, satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos, lapor Bernama.

Menurutnya, dua daripada kes itu adalah dari Sabah. Yang pertama melibatkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja.

Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Kes lain termasuk pelajar wanita berumur 20 tahun yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos dan meninggal dunia di bilik asrama, lima hari kemudian; seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak, dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Liow berkata pada ketika ini, terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.

"Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan," katanya.


Menurut Liow lagi, terdapat kanak-kanak yang terlibat tetapi tidak mempunyai butirannya.

Katanya, 35 sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1.


http://www1.malaysiakini.com/news/110178

Korban H1N1 meningkat kepada 18 orang

Ogos 8, 09 4:52pm
Penyakit Influenza A (H1N1) meragut tiga lagi nyawa menjadi jumlah korban penyakit tersebtu sehingga ini meningkat 18 orang.

Ketiga-tiga korban terbaru itu merupakan dua orang kanak-kanak berusia empat dan lima tahun dan seorang lagi berusia 63 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, 53 kes baru juga dilaporkan di seluruh negara hari ini.

Bercakap kepada pemberita di ibunegara, beliau berkata kanak-kanak berusia lima tahun ini mengalami encephalitis dan meninggal dunia di Hospital Kuantan Jumaat lalu.

Manakala kanak-kanak berusia empat tahun itu pula mengalami hyperthyroidism dan radang paru-paru. Dia meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, juga pada hari Jumaat.

Manakala mangsa yang berusia 63 tahun itu pula dari Selayang yang mengalami asma, batuk kering dan radang paru-paru. Dia meninggal dunia di Hospital Selayang Khamis lalu.

http://www1.malaysiakini.com/news/110159


Encephalitis - inflammation of the substance of the brain.

Hyperthyroidism - overactivity of the thyroid gland.

Jangan lebih lajak dari laju

Sabtu Ogos 8, 2009

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

SETIAP insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa.

Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi. Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa.

Bak kata Nabi s.a.w: “Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani). Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian.

Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

DOSA PAHALA

Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya.

Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa. Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka.

Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain. Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa.

Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah. Jangan melampau dalam menghukum orang lain.

Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini. “Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda: “Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya.

Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya. Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai.

Ya, Rasulullah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda : “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

RAHSIA

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya.

Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang-orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah.

Demikian mereka yang ditetapkan nereka oleh Allah dan rasulNya seperti Iblis, syaitan, Fir’aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasulNya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus.

Urusan setiap insan dengan Tuhannya. Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat redha, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/8/8/mstar_kolum_minda_mufti/20090808123900&sec=mstar_kolum_minda_mufti

H1NI: Tiga lagi mati




KUALA LUMPUR – Wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi mencatat tambahan sebanyak tiga lagi kes kematian sehingga semalam.

Ketiga-tiga kes tersebut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, seorang kanak-kanak berusia satu tahun empat bulan dan seorang lelaki berusia 63 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...