Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my
Buah kurma bukan saja digemari umat Islam, malah khasiatnya diperakui dan turut menjadi pilihan masyarakat bukan beragama Islam.
KEDATANGAN Ramadan pada setiap tahun begitu sinonim dengan amalan memakan buah kurma. Seperti tidak lengkap berbuka puasa tanpa menikmati seulas dua buah manis dari Timur Tengah ini. Kedatangan bulan mulia ini juga membawa maksud permintaan terhadap buah kurma melambung tinggi.
Ini mungkin kerana buah kurma telah dijadikan hidangan wajib bagi setiap keluarga Islam di Malaysia.
Selain mempunyai khasiat yang tinggi, buah ini turut digemari kerana ia merupakan makanan sunnah Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat.
KURMA ROYAL menawarkan pelbagai buah kurma yang bercita rasa tinggi dan mewah.
|
SALAH satu jenis kurma di bawah jenama Yusuf Taiyoob, Wasem.
|
|
KURMA Medjol bersaiz agak besar dan mencecah harga RM2 seulas.
|
|
KIRI: Buah kurma segar enak dimakan begitu sahaja.
|
|
SEBAHAGIAN buah kurma yang telah siap dibungkus dalam paket kecil.
|
Buah berwarna coklat itu dipercayai telah wujud sejak ribuan tahun lalu. Ia juga dipanggil buah tamar. Walaupun pasaran buah ini sentiasa ada sepanjang tahun, namun permintaannya semakin meningkat sewaktu Ramadan.
Perkara ini diakui oleh Pengurus Kurma Royal, Safaa Salleh ketika ditemui Kosmo!di premis mereka di Jalan Radin Anum, Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Safaa, permintaan kurma meningkat beberapa kali ganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.
"Jika pada bulan-bulan biasa, kami dapat menjual antara 100 hingga 150 kilogram (kg) kurma yang terdiri daripada pelbagai jenis, tetapi pada bulan puasa jumlah itu meningkat sehingga 300kg.
"Kebiasaannya, pelanggan akan membeli dalam jumlah yang banyak untuk dihadiahkan kepada sahabat handai atau kaum keluarga. Tidak ketinggalan, syarikat-syarikat korporat juga akan membuat pesanan dalam bentuk hamper untuk dihantar kepada pelanggan mereka," ujar Safaa yang fasih berbahasa Melayu.
Mewah
Kurma Royal merupakan perniagaan kurma bercita rasa tinggi dan mewah yang dimiliki oleh bapa Safaa, Saleh K. Yeslam melalui syarikat Semangat Awal (M) Sdn. Bhd. Semua kurma yang dijual diimport khas dari Madinah.
Uniknya, buah kurma tersebut diambil dari ladang yang diusahakan sendiri oleh Saleh dan keluarganya. Terdapat lebih daripada 10 jenis kurma yang dijual di sini, sekali gus membolehkan pelanggan membuat banyak pilihan.
Antara kurma yang sering menjadi pilihan adalah kurma Agwah iaitu kurma Nabi Muhammad s.a.w yang dianggap paling tinggi nilainya berbanding jenis kurma yang lain. Justeru itu, tidak hairanlah jika harganya lebih mahal, sekitar RM175 untuk satu kilogram.
Selain Agwah, kurma lain yang dijual di Kurma Royal adalah Anbarah, Mabroom, Suqaey, Safawy, Sukariyah, Kodri, Sofri, kurma campuran dan kurma segar.
Sementara itu, salah satu syarikat pembekal kurma terbesar di Malaysia, Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. (Yuta) juga mengakui pasaran permintaan buah kurma sepanjang bulan Ramadan amat tinggi.
Permintaan
Pengerusinya, Datuk Yusuf Taiyoob ketika dihubungiKosmo! baru-baru ini berkata, permintaan itu bukan hanya di Malaysia, tetapi juga dari negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
Adakah bekalan yang diperoleh mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi? : "Alhamdulillah, setakat ini kami mampu memenuhi semua permintaan tersebut. Ini kerana syarikat kami mengimport pelbagai jenis kurma dari Asia Barat.
"Contohnya negara seperti Iran, Iraq, Tunisia, Turki, Oman, Mesir, Arab Saudi, Madinah dan juga Afrika Selatan. Disebabkan sumber yang ada tidak terhad, ia memberi kelebihan kepada kami untuk memasarkan buah kurma di bawah jenama Yusuf Taiyoob dengan baik dan sepanjang tahun."
Tambah Yusuf, sebelum buah kurma dihantar ke Malaysia, beliau akan melawat ladang-ladang kurma di negara tertentu untuk melihat proses membekalkan kurma berjalan lancar.
"Di samping itu, ia juga bertujuan memastikan setiap kurma yang diimport berkualiti dan tidak rosak apabila sampai ke lokasi," ujar Yusuf sambil memberitahu pihaknya mempunyai tempat simpanan buah kurma yang elok dan luas bagi menjamin ketahanan buah tersebut.
Antara jenis kurma yang dijual di bawah jenama Yusuf Taiyoob adalah Agwah, Medjol, Mariami, Bam, MaBroom, Safia dan lain-lain.
Kurma segar
Salah seorang pembantu bagi wakil pembekal kurma di bawah jenama Yusuf Taiyoob, Mariati Ahmad yang membuka gerai jualan di Pasar Gombak memberitahu, setiap pelanggan mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih buah kurma.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai penjual kurma, setiap kurma ada peminatnya. Mungkin sesetengah individu sukakan jenis A dan setengah yang lain menggemari jenis B. Tetapi, biasanya ramai yang menyukai kurma Agwah kerana ia dikenali sebagai kurma Nabi Muhammad s.a.w.
"Tidak terkecuali, ada juga pelanggan yang gemarkan kumar Medjol yang mempunyai saiz agak besar berbanding kurma-kurma yang lain. Biasanya, jika telah merasai kemanisan dan keenakan kurma Medjol, mereka tidak mahu membeli kurma yang lain," ujar Mariati sambil menambah seulas kurma Medjol boleh mencecah harga RM2.
Dalam pada itu, kurma sememangnya terkenal sebagai buah yang berkhasiat dan boleh memberikan tenaga kepada manusia. Disebabkan itulah, umat Islam disunatkan berbuka dengan beberapa ulas kurma dan air kosong sebelum menunaikan solat Maghrib.
Kemudian, barulah mereka boleh menikmati makanan berat seperti nasi, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya untuk mengalas perut yang kosong setelah seharian berpuasa.
Seorang wakil dari agensi yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pakej haji dan umrah CS Holidays, Masri Mat Kali berkata, buah kurma adalah anugerah dari Allah s.w.t yang amat istimewa.
Beliau yang sering berulang alik dari Malaysia ke tanah suci kerana membawa rombongan mengerjakan umrah atau haji, turut memaklumkan bahawa buah ini bukan hanya dinikmati oleh orang Islam tetapi juga bangsa lain.
"Ketinggian khasiat buah ini menjadikan ia turut diminati oleh kaum lain yang bukan beragama Islam. Malah di Masjidil Haram sendiri, pihak pengurusan di sana sentiasa menyediakan kurma segar, air zam-zam dan gahwah iaitu sejenis kopi Arab untuk jemaah berbuka puasa.
"Ia bertujuan memberi tenaga kepada mereka sebelum menjamah makanan lain. Sebaik-baiknya buah kurma perlu diambil sekurang-kurangnya tiga ulas setiap hari untuk membekalkan tenaga dan kesihatan yang baik," jelas Masri yang sering mengamalkan memakan tujuh ulas buah kurma pada setiap hari, selain meminum jus buah tersebut.
Masri yang juga pelanggan tetap di Kurma Royal sering membawa pelanggan lain untuk membeli buah kurma di sana. Ujarnya, kurma yang terdapat di kedai itu sangat baik dan berkualiti.
Bagi Siti Nurasiah Abu Hanifah, 28, pula setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia tidak pernah terlepas membeli buah kurma di kedai itu untuk dihadiahkan kepada ibu bapa dan keluarga mertua serta rakan-rakan.
"Biasanya, saya lebih suka membeli kurma Nabi (Agwah) dan jeli kurma yang juga dijual di sini," ujar Nurasiah yang datang membeli beberapa kotak kurma bersama suaminya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm