Sunday, February 22, 2009

Berbilion Bumi di galaksi


KEWUJUDAN berbilion planet di galaksi yang menyerupai Bumi mendedahkan kemungkinan makhluk lain juga wujud di angkasa.


CHICAGO - Satu persidangan anjuran Persatuan Sains Lanjutan Amerika Syarikat mendedahkan kemungkinan besar terdapat sejumlah 100 bilion Bumi di seluruh galaksi Bima Sakti.

Namun, saintis Dr. Alan Boss dari Institut Sains Carnegie membayangkan suasana di planet tersebut barang kali seumpama kehidupan Bumi lebih empat bilion tahun lalu.

Setakat ini, teleskop paling canggih sekali pun hanya dapat mengesan lebih 300 buah planet menyerupai Bumi di luar daripada sistem solar kerana terhad dari segi liputan.

"Secara purata, bagi setiap sistem matahari dalam sebuah gugusan bintang biasanya mungkin mengandungi paling kurang pun sebuah planet dengan hidupan semacam Bumi," kata Boss. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Si sumbing Pinki ke Hollywood


KEHIDUPAN Pinki (dua dari kanan) mula berubah apabila dia berlakon dalam sebuah dokumentari mengenai kisah perjalanan hidup dirinya.



PENDERITAAN Pinki selama enam tahun akhirnya membawa tuah pula kepada keluarganya.



KEJAYAAN Pinki memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang berbibir sumbing untuk meneruskan kehidupan.


NEW DELHI - Mungkin perhatian banyak diberi kepada filem hebat mengenai kisah setinggan di Mumbai,Slumdog Millionaire karya Danny Boyle pada Anugerah Oscar malam ini.

Namun dokumentari pendek mengenai seorang gadis India yang dilahirkan dengan wajah sumbing bibir turut memberi penangan hebat dalam perebutan trofi berprestij itu.

Dokumentari selama 39 minit,Smile Pinki arahan Megan Mylan mengisarkan putaran perjalanan hidup Pinki yang disisihkan masyarakat di kampungnya pada usia lapan tahun.

Namun selepas kecacatan pada bibirnya itu berjaya diperbetulkan, dia diterima kembali malah diagungkan pula oleh penduduk sebagai kisah keajaiban daripada Tuhan.

Kisah benar itu juga menjadikan filem pendek tersebut bersaing antara empat dokumentari yang dicalonkan untuk sebuah lagi anugerah elit di Amerika Syarikat (AS), Academy Award.

"Saya ke AS bagi membawa balik trofi," ujar pelakon utama dokumentari itu yang tinggal di sebuah perkampungan di daerah Mirzapur, 90 minit memandu dari kota suci Hindu, Vanarasi, utara India.

Untuk ke sana, perjalanan menempuh lagi 20 minit laluan lebuh raya berliku, dipenuhi debu, kotoran serta pemandangan hodoh ribuan pondok diperbuat daripada lumpur dan kayu.

Ditanya mengenai anugerah Oscar, si cilik itu sekadar memandang jauh sebelum menggeleng kepala sebagai tanda tidak tahu atau belum pernah lagi mendengarnya.

Kerana sumbing bibir ketika dilahirkan, Pinki dianggap pembawa sial dalam keluarga. Malah untuk beberapa tahun pertama, kehidupannya dipenuhi kesedihan dan penderitaan.

"Ketika dilahirkan, bibirnya 'terkoyak'. Cukup menakutkan. Saya sendiri tidak sanggup untuk melihatnya jadi bagaimana saya hendak menyalahkan jiran," kata ibunya, Simla Dewi.

Selain diejek, Pinki juga digelar hothkati iaitu gadis bermulut koyak. Di sekolah, Pinki dipulaukan pelajar lain kerana perbezaannya. Malah, tiada sesiapa sudi bermain dengannya.

"Saya rasa cukup teruk apabila dipanggil hothkati. Saya marah dan terluka. Kadangkala saya membalas tetapi kini tiada lagi yang mengejek. Mereka memanggil saya Pinki," ujarnya.

Biarpun keluarganya memiliki sebidang kecil tanah untuk kegiatan pertanian, bapanya, Rajendar Sonkar bekerja sebagai buruh pada siang hari untuk menyara dia dan lima anaknya.

Kehidupan kanak-kanak itu mula berubah apabila ditemui seorang pekerja sosial, Dr. Subodh Kumar Singh yang juga pakar bedah plastik di Hospital GS Memorial di Varanasi.

Petugas sukarelawan kebajikan akan pergi ke setiap kampung untuk mencari pesakit bibir sumbing. Kebetulan ketika lawatan ke kampung itu, sutradara dari AS, Mylan turut ada bersama.

"Mereka merakam gambar Pinki ketika usia enam tahun dan tunjuk kepada saya. Apabila saya lihat, saya kata inilah gadis yang akan jadi pelakon dalam filem dokumentari itu," ujarnya.

Dengan bantuan sebuah badan amal berpusat di New York, Smile Train, Dr. Subodh berjaya membedah bibir sumbing ke atas lebih daripada 13,000 pesakit miskin sejak tahun 2004.

India mencatatkan sejuta orang berbibir cacat dan dianggarkan setiap tahun 35,000 bayi dilahirkan sedemikian rupa. Selepas pembedahan, Pinki kini mampu kembali tersenyum.

Senyuman adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukannya dulu kerana kesakitan pasti dialami jika dia menggerakkan bibirnya itu. Malah dia digelar Dhana Lakshmi, iaitu dewi kebajikan.

Kini, Pinki dalam perjalanan ke Kodak Theater di Hollywood bagi menghadiri majlis Oscar yang berlangsung dengan iringan doa penduduk kampungnya untuk meraih kejayaan. - Agensi.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Semakin ramai wanita kunjungi pajak gadai


SUASANA sebuah kedai pajak gadai di China baru-baru ini.


NEW YORK – Para pemilik pajak gadai menerima semakin ramai pelanggan terutama wanita yang mahu menggadai barang kemas mereka berikutan krisis ekonomi di Amerika Syarikat (AS) semakin buruk.

“Lebih ramai wanita berbanding lelaki kerana wanita mempunyai banyak barangan kemas,” kata pemilik Lombard Mutual Pawnbrokers & Jewelers, Joseph Grunberg.

Seorang lagi pemilik pajak gadai, John Higney berkata, dia mempunyai pelanggan yang bekerja di Wall Street tetapi kini menganggur.

“Saya pernah menerima pajakan bernilai AS$40,000 (RM147,080) untuk satu barang,” kata Higney.

Katanya, perniagaan bertambah baik kerana harga emas masih berlegar sekitar AS$900 (RM3,309) untuk satu auns (31.1 gram) dan pada masa sama semakin ramai yang dijangka hilang pekerjaan. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Serah surat saman ketika kejohanan snuker


MARK SELBY menerima surat saman daripada George Bamby semasa pertandingan snuker berlangsung di England baru-baru ini.


LONDON – Seorang bintang snuker, Mark Selby diberi surat saman ketika dia sedang bertanding dalam satu perlawanan yang disiarkan secara langsung, lapor sebuah akhbar semalam.

Surat tersebut diserahkan oleh bekas pengurusnya, George Bamby yang bertindak demikian setelah mendapat arahan daripada peguamnya.

“Jika anda gagal jelaskan semua tunggakan sebanyak £13,985 (RM73,020) dalam tempoh 18 hari maka saya akan kemukakan perintah muflis,” kata Bamby.

Tindakan Bamby itu mengejutkan ramai penonton kejohanan Welsh Open di Newport baru-baru ini.

Bamby mendakwa beberapa surat yang dihantar ke kediaman Selby tidak diendahkan sehingga peguamnya meminta surat itu dihantar ke alamat tempat bekerja.

“Itu yang saya lakukan. Tempat bekerja Selby ialah ketika kejohanan snuker yang ditonton oleh jutaan peminat,” katanya. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

70 peratus mahu PM Jepun letak jawatan


TOKYO - Desakan agar Perdana Menteri Jepun, Taro Aso meletak jawatan semakin memuncak berikutan tinjauan pendapat semalam mendapati 70 peratus mahu beliau berundur.

Populariti Aso merudum berikutan krisis ekonomi yang semakin meruncing dan ia ditambah masalah politik serta kualiti kepimpinan yang lemah.

Tinjauan pendapat anjuran akhbar Asahi itu turut mendapati populariti kabinet Aso jatuh 13 peratus.

Sebanyak 65 peratus responden menyatakan mereka mahu pilihan raya awal berbanding jadual asal pada akhir September ini.

Pemimpin terkenal Parti Liberal Demokrat, Hidenao Nakagawa berkata, sokongan dalam parti terhadap Aso juga semakin merosot.

"Semakin sedikit anggota parti yang mahu menempuh pilihan raya di bawah kepimpinan Aso. Namun kami terpaksa menunggu sehingga bajet diluluskan sebelum menentukan keputusan selanjutnya," kata Nakagawa. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Kyrgyzstan beri AS notis keluar


BISHKEK - Kerajaan Kyrgyzstan kelmarin menyerahkan notis enam bulan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mengosongkan pangkalan udara negara itu yang menjadi pangkalan bekalan utama operasi ketenteraan Pentagon di Afghanistan.

Satu-satunya pangkalan AS di negara bekas Kesatuan Soviet yang dibina sejurus selepas kejadian 11 September 2001 berkenaan merupakan simbolik terhadap perkongsian strategik AS-Rusia.

Hubungan kedua-dua negara bertukar dingin sejak akhir-akhir ini.

Jurucakap pangkalan Manas, Major Damien Pickart berkata, para pegawai tentera akan mula bersiap untuk berundur.

"Mereka (Kyrgyzstan) memberitahu masa kami sudah tamat hari ini (kelmarin). Saya tidak tahu jika pengunduran ini mengambil masa enam bulan," kata Pickart.

Pangkalan Manas merupakan pusat hubungan penting yang menjadi transit kepada 15,000 askar AS dan 500 tan kargo setiap bulan.

Presiden Kyrgyzstan mengumumkan pengusiran AS dari Manas sebaik Moscow memberi jaminan pinjaman sebanyak AS$2.1 bilion (RM7.7 bilion) kepada negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.

AS kini mencari alternatif baru termasuk Uzbekistan yang pernah menjadi pangkalan tentera udara AS ketika konflik Afghanistan pada 2001-2005.

Pemerintah operasi AS di Afghanistan dan Iraq, Jeneral David Petraeus berjumpa Presiden Islam Karimov di Tashkent awal minggu ini namun tidak ada maklumat terperinci diperoleh. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Hamas mahu Obama berlaku adil


JOHN KERRY (tengah) melawat kemusnahan di Jebaliya, Gaza pada Khamis lalu.


BANDAR GAZA - Seorang pegawai Hamas semalam mendedahkan kandungan sepucuk surat yang ditulis pergerakan itu untuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Ahmed Yousef berkata, surat itu meminta Obama untuk berlaku adil dalam menangani isu Palestin kerana ramai penduduk percaya bahawa dasar luar AS sentiasa memihak kepada Israel.

Surat berkenan dikirim kepada para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kemudian menyerahkannya kepada Senator John Kerry ketika melawat Gaza Khamis lalu.

Ketibaan Kerry di Gaza menandakan lawatan tertinggi ahli politik AS sejak Hamas menguasai wilayah itu pada 2007. Kerry bagaimanapun tidak menemui pegawai Hamas.

Obama ketika berucap selepas mengangkat sumpah jawatan presiden pada 20 Januari lalu berkata, beliau mahu berbaik-baik dengan dunia Islam namun ia tidak jelas sama ada dasar AS terhadap Hamas akan berubah.

Kata Ahmed, dia menulis surat itu sebaik mengetahui kehadiran Kerry di Gaza.

"Kami mahu menggunakan peluang itu dan mahu surat itu diserahkan kepada tangan Obama," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pengusaha bengkel cilok kereta curi


HAIZAM dan isterinya, Shamsiah Bulat menunjukkan foto aksesori keretanya yang hilang pada pertemuan dengan Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Perasaan gembira seorang peniaga, Haizam Zainal, 49, yang berjaya menemui semula keretanya yang dicuri hanya dapat bertahan seketika apabila pelbagai aksesori dalam kereta itu telah dilerai dan dicuri pula oleh pengusaha bengkel kenderaan di sini.

Menurutnya, kejadian malang itu bermula setelah kereta Proton Iswaranya yang dicuri dari rumahnya di Flat Sri Sabah, Cheras di sini pada bulan Disember tahun lepas ditemui kembali di kawasan berhampiran 34 hari kemudian. Kereta itu kemudian dibawa ke sebuah bengkel di Jalan Hulu Langat, Kajang oleh wakil daripada syarikat insurans kereta.

“Bengkel tersebut bagaimanapun telah meleraikan dan mencuri komponen di dalam kereta saya seperti radio, cermin sisi kereta, komponen pendingin hawa, speaker radio malah turut menukar kerusi asal kereta kononnya untuk menunjukkan keadaan teruk bagi membuat tuntutan insurans.

“Mereka menjanjikan untuk memasangnya kembali setelah tuntutan insurans diperoleh tetapi ia hanya merugikan saya sahaja kerana jika saya terima tuntutan itu kereta saya akan dianggap lupus,” katanya yang sempat mengambil gambar bahagian tertentu dalam keretanya sebelum dihantar ke bengkel sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau semakin keliru apabila pada masa yang sama syarikat insurans yang bertanggungjawab telah mengeluarkan surat bagi membayar pampasan kehilangan kenderaan.

“Mereka memberikan tawaran sebanyak RM19,000 untuk kereta saya tetapi nilai tersebut tidak berbaloi kerana saya akan kehilangan kereta tersebut,’’ katanya.

Tambahnya lagi, apa yang membuatkan dirinya keliru adalah bagaimana syarikat insurans berkenaan boleh mengeluarkan surat untuk pampasan kehilangan itu sedangkan mereka telah dimaklumkan penemuan kereta itu.

“Lebih pelik lagi urusan tuntutan tersebut hanya mengambil masa yang singkat,’’ katanya.

Haizam yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku telah berbincang dengan wakil daripada syarikat insurans berkenaan serta wakil bengkel tersebut. Bagaimanapun, perbincangan itu tidak menemui jalan penyelesaian.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Komik jejas akidah tersebar


ANTARA ilustrasi yang terdapat dalam komik Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan.


KUALA LUMPUR – Sebuah komik bergambar yang berjudul Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Islam apabila isi kandungannya didapati menyentuh sensitiviti agama.

Buku itu yang diterbitkan oleh Bibles International of Canada pada tahun 1996 dan kemudian diedarkan ke Indonesia dan diulang cetak sebanyak dua kali (1996 dan 1998) dipercayai menembusi pasaran Malaysia sejak tahun lalu.

Seorang pembaca yang mengirimkan e-mel kepada Kosmo! Ahad memberitahu, buku itu telah diedarkan oleh pihak tertentu di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini.

“Saya memperolehnya secara tak sengaja apabila ada pihak yang meletakkan komik itu dalam bakul motosikal saya.

“Buku itu bukan sekadar komik bergambar untuk kanak-kanak tapi apa yang mengejutkan ialah ia bercanggah dan boleh pesongkan akidah kita terutama kanak-kanak,’’ katanya.

Hasil penelitian Kosmo! Ahad mendapati kecurigaan itu terbukti apabila ilustrasi sebuah keluarga yang sedang bersembang membangkitkan pertanyaan seorang anak tentang bagaimana al-Kitab (merujuk kepada kitab Injil) boleh dianggap buku Allah.

Kemudian si bapa mengeluarkan dialog: “Allah memakai 40 orang. Mereka menulis 66 kitab selama 1,500 tahun. Semuanya cocok dengan satu dengan yang lainnya. Hanya Allah yang dapat membuat buku seperti itu.’’

Bukan setakat itu saja, penulis yang menggambarkan Nabi Isa sebagai Yesus telah memetik tulisannya (merujuk kepada Injil) tetapi menggunakan perkataan Allah berkali-kali.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Tunku Ali dilantik Tunku Besar Seri Menanti







KUALA PILAH - Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, putera sulung kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tengku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, akan dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti yang kesembilan dalam satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti dekat sini hari ini.

Menurut kenyataan Istana Besar Seri Menanti, istiadat pelantikan itu diadakan untuk kali ketiga dalam tempoh 120 tahun di mana dua pemegang gelaran terdahulu iaitu Tuanku Muhriz dan Tunku Burhanuddin masing-masing menyandangnya selama 47 tahun dan 73 tahun.

Tunku Ali, 32, akan memegang gelaran yang disandang oleh ayahandanya sebelum baginda dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008.

Tunku Besar Seri Menanti ialah gelaran yang paling kanan di antara Putera Yang Empat. Tiga gelaran yang lain ialah Tunku Laxamana, Tunku Muda Serting dan Tunku Panglima Besar yang disandang masing-masingnya oleh Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar. - Bernama


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Beras murah guna pembungkus beras berkualiti


ZAINAL menunjukkan beras tidak berkualiti (kiri) dan beras berkualiti tinggi yang dibungkus dalam bungkusan yang sama di rumahnya di Rawang semalam.


RAWANG - Serupa tapi tak sama. Seorang lelaki mendakwa ada pihak-pihak tertentu cuba memasarkan beras yang berkualiti rendah tetapi menggunakan plastik pembungkus beras berkualiti tinggi bagi mengelirukan pengguna.

Beliau mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada beras yang dibelinya minggu lalu apabila mendapati perbezaan ketara boleh dilihat pada bahagian bawah bungkusan antara beras sebenar dengan beras murah yang dibungkus semula.

Malah perbandingan yang dibuat di antara beras itu dengan beras yang dibeli dari pasar raya yang lain turut mendapati kadar beras hancur yang terdapat di dalamnya lebih tinggi.

Menurut lelaki itu, Zainal Abidin Saad, 40, beliau mula curiga selepas mendapat maklumat menerusi satu program sebuah stesen televisyen yang mengajar cara untuk mengesan beras yang tidak berkualiti.

"Maklumat daripada siaran televisyen itu menyatakan pengguna boleh melihat bahagian bawah bungkusan beras sama ada ia dibuat dengan kemas dan baik.

"Setelah saya periksa bungkusan beras yang dibeli, saya yakin beras ini beras tipu dan tidak berkualiti.

"Pada bungkusan tertulis Super Tempatan (ST) 15 peratus hancur yang dijual pada harga RM17.50, tetapi di dalamnya kelihatan banyak beras hancur. Beras dalam plastik yang satu lagi tidak begitu.

"Saya tidak tahu bagaimana cara untuk pastikan gred beras tetapi daripada mata kasar kita boleh lihat perbezaannya. Ini satu penipuan,'' kata pereka grafik di sebuah syarikat swasta itu ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di sini semalam.

Zainal turut menghubungi pengedar beras tersebut untuk mendapatkan kepastian. Bagaimanapun, usahanya gagal setelah syarikat berkenaan enggan melayan pertanyaan beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Rakaman Video - Malu, takut jebak wanita

Malu, takut jebak wanita


KUALA LUMPUR: Sifat malu dan takut menjadi punca ramai wanita yang menjadi mangsa ugutan rakaman gambar atau video lucah tidak berani tampil untuk meminta bantuan, sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi.

Malah, ada antaranya sanggup menjadi ‘pak turut’ dengan menuruti segala kemahuan atau kehendak lelaki, termasuk memberi wang dan menjadi tempat memuaskan nafsu.

Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mendedahkan beliau pernah menerima panggilan daripada wanita yang menjadi mangsa, tetapi sifat malu dan takut menjadi punca mereka tidak berani tampil ke depan.

Katanya, sejak diberi tanggungjawab menjadi pengerusi sekretariat berkenaan mulai April tahun lalu, 14 kes atau panggilan diterima pihaknya, namun tiada seorangpun berani menyelesaikan masalah mereka mengikut saluran betul.

“Saya menerima tiga panggilan daripada mangsa yang menyatakan mereka menjadi mangsa ugutan rakaman gambar lucah sendiri, tetapi tidak tahu hendak buat apa.

“Apabila saya minta mereka datang ke sini, mereka tidak mahu dengan alasan malu dan takut. Jika mereka tidak berani tampil, masalah ini tidak akan selesai,” katanya.

Menurutnya, melalui pengalamannya, ada mangsa bekerja sebagai eksekutif, penuntut universiti, pelajar dan mat rempit.

“Sejak saya mendekati golongan mat rempit misalnya, mereka mendedahkan pelbagai rakaman gambar lucah dan aksi seks golongan terbabit, seperti ada yang buat di atas motosikal, bawah tangga, taman serta dalam lif.

“Namun, paling mengecewakan, ada remaja perempuan, atas bertudung tetapi bahagian bawah terbuka,
katanya.

Sehubungan itu, Abdul Azeez menasihatkan wanita, khususnya remaja, supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan lelaki.

“Saya nasihatkan wanita, terutama remaja, jangan jadi mangsa. Lebih penting, ibu bapa menerapkan soal akidah dan pendidikan agama kepada mereka sejak kecil.

“Pada saya, agama kaedah terbaik menangani masalah moral hari ini. Kepada yang terbabit, saya nasihatkan supaya kembali ke pangkal jalan,”
katanya.

Sejak beroperasi, sekretariat berkenaan menerima 120 kes, antaranya membabitkan lari dari rumah, meminjam ceti haram atau along, culik, mengikut teman lelaki dan berkaitan kebajikan.

Daripada kes itu, katanya, 80 peratus berjaya diselesaikan dan pihaknya meminta mereka yang menghadapi masalah boleh menghubungi sekretariat di talian 03-22736004. Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, ketika ditemui menyifatkan perbuatan merakam adegan seks bersama pasangan masing-masing adalah tindakan keji dan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, banyak kes yang lebih teruk diterima pihaknya apabila ada wanita yang membuat aduan dianiaya bekas kekasih kerana gambar bogel wanita terbabit dirakam secara curi oleh pasangannya.

Menurutnya, apabila pasangan terbabit berpisah, lelaki terbabit yang enggan memutuskan hubungan dan inginkan habuan seks mengugut teman wanitanya.

“Lazimnya, kes begini lelaki atau kekasih wanita terbabit akan mengugut menyebarkan klip video itu di Internet atau kepada rakan dan keluarga. Mereka juga menggunakan helah itu untuk mendapatkan wang.

“Di pihak saya, siapa saja yang tampil membuat aduan, kami akan bawa kes berkenaan kepada polis selain mendedahkannya kepada media. Kita ‘ugut’ semula lelaki itu tetapi dengan cara betul dan berlandaskan undang-undang,”
katanya.

Michael berkata, mana-mana pasangan yang hangat bercinta tidak sepatutnya membenarkan pasangan mereka, sama ada lelaki atau perempuan, dengan sewenang-wenangnya mengambil dan merakam aksi dan gambar yang membabitkan hak peribadi mereka.

“Itu termasuk melakukan adegan seks atau gambar mereka memakai pakaian dalam. Ini boleh membawa masalah jika pasangan terbabit berpisah.

“Lihat apa berlaku sekarang, tidak kira apa peringkat umur dan kerjaya, perkara begini satu kebiasaan. Menyedihkan, kebanyakan mangsa adalah wanita kerana hanya gambar dan wajah wanita saja biasanya terpampang dalam klip video dan gambar terbabit,”
katanya.

Michael berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya menerima enam kes membabitkan masalah terbabit dan ia berlaku di kalangan pasangan belum berkahwin.

Katanya, setakat tahun ini pihaknya menerima satu kes, namun tidak menolak kemungkinan ada banyak lagi kes membabitkan masalah ini tetapi malangnya individu terbabit tidak mahu tampil ke depan.

“Saya pernah menerima banyak panggilan, tetapi apabila saya pujuk mereka datang ke sini (Unit Aduan Awam MCA), mereka enggan kerana tidak mahu menanggung malu.

“Dalam hal begini, mereka tidak perlu takut. Jika tidak, masalah itu tidak akan ada kesudahan dan mereka akan terus menjadi mangsa,”
katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090114/Article/index_html

Tunggang lawan arus

Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
metahad@hmetro.com.my


TAHAN...anggota polis trafik menyiasat dua lelaki (bergari) 
yang ditahan selepas menunggang berlawan arus ketika 
cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Lebuh 
Farquhar, malam kelmarin.


GEORGETOWN: Gara-gara tiada lesen memandu, seorang remaja melakukan aksi ‘berani mati’ apabila menunggang motosikal melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya pihak berkuasa di Lebuh Farquhar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, remaja berusia dalam lingkungan 20-an itu yang menunggang motosikal jenis RXZ dari arah Jalan Penang menghala ke Lebuh Farquhar bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi juga rakannya yang menjadi pembonceng.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Che Wan Aziz Che Wan Husin, berkata ketika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengadakan sekatan jalan raya, motosikal dinaiki kedua-dua lelaki itu berpusing balik melawan arus sehingga hampir melanggar beberapa kenderaan lain.

“Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut berikutan dikejar penguat kuasa JPJ, motosikal berkenaan terjatuh dan kedua-duanya berjaya ditahan.

“Penunggang motosikal itu kemudian memberi alasan melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Che Wan Aziz berkata, hasil pemeriksaan, polis kemudian menemui sebungkus gam yang dipercayai milik seorang daripada suspek dan segulung rantai enjin motosikal.

Beliau berkata, penemuan bungkusan gam itu membuktikan mereka adalah penagih gam dan rantai enjin motosikal itu pula dipercayai digunakan sebagai senjata.

“Kami mendapati penunggang motosikal berkenaan bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah kenderaan itu juga tidak ada cukai jalan dan juga perlindungan insurans.

“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk dibuat laporan tangkapan.

“Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dalam keadaan berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090531/Article/index_html

Tak berperikemanusiaan

Oleh SARAH ZULKIFLI
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya berharap individu yang memukul anak saya sehingga meninggal dunia akan menghargai nyawa. Sebagai manusia, kita tidak boleh menghukum orang dengan sewenang-wenangnya.”

Demikian kata Mohamad Din, 52, bapa kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, Mohd Hadzrin Mohamad, 16, yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 pagi semalam selepas koma hampir seminggu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Allahyarham, anak bongsu daripada enam beradik, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas koma akibat dibelasah dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal, dipercayai oleh enam lelaki, berhampiran sekolah berkenaan, 13 Februari lalu.

Mohamad berkata, perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas anaknya sangat dikesali dan berharap mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

“Bagaimanapun, saya reda dengan pemergian Mohd Hadzrin dan menganggap ia sebagai ujian Allah. Dia anak yang baik dan patuh kepada ibu bapa serta periang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan Sungai Besi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Mohd Hadzrin bersama beberapa rakannya menunggu di depan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah dengan seorang remaja lelaki yang dikatakan keluar bersama teman wanitanya.

Bagaimanapun, mangsa dan rakannya terkejut apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal sebelum dibelasah menggunakan besi, topi keledar dan pengunci motosikal.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke ICU PPUKM dan serangan itu menyebabkan dia koma selepas pembedahan dilakukan.

Sejak dimasukkan ke PPUKM, Allahyarham terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan selepas otaknya tidak berfungsi dipercayai akibat darah beku.

Jenazah Allahyarham tiba dari PPUKM di surau Desa Tasik, Sungai Besi semalam untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan untuk dikebumikan pada jam 3 petang.

Lebih 200 ahli keluarga, sahabat handai serta penduduk kampung mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata polis menahan reman empat remaja lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Kami turut memburu seorang remaja lelaki yang juga suspek utama kes berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis mengharapkan kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil memberi maklumat.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090222090705/Article/index_html

Video Bogel - Koleksi makan diri



Koleksi makan diri

KUALA LUMPUR: Bagai satu fenomena hari ini apabila rakaman gambar lucah, khususnya wanita, menjadi perangkap untuk mengugut mangsa, sama ada terus meratah tubuh mereka atau mendapatkan wang.

Malah, ada lelaki bernafsu syaitan dan tidak berhati perut meminta wang saraan setiap bulan daripada bekas teman wanitanya sebagai ganti jika tidak mahu gambar bogel atau seks mereka disebarkan.

Membimbangkan, gejala merakam aksi lucah dan seks berlaku di kalangan pasangan bercinta, berkahwin, penuntut serta golongan eksekutif atau profesional.

Terbaru, tersebar di Internet gambar separuh bogel milik Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, 37. Penyebaran gambar Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyebabkan Elizabeth menawarkan diri meletak jawatan Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

Selain Elizabeth, ramai wanita menjadi mangsa ‘lelaki gila’ apabila gambar lucah mereka disebarkan di Internet.

Metro Ahad mendapatkan pengalaman mereka, yang ada antaranya mengaku berhabis ribuan ringgit demi memenuhi tuntutan bekas teman lelaki di samping menjadi pemuas nafsu.

Ikuti luahan mereka seperti diceritakan kepada Wartawan, 
FUAD HADINATA YAACOB, SHAMRAN SARAHAN dan MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN.

KES 1: Anisa, 21 tahun, Seri Kembangan

“KERANA Internet, maruah saya tergadai, malah hidup saya musnah. Bukan itu saja, wang simpanan dan juga pinjaman pelajaran, lebur begitu saja kepada bekas teman lelaki.

Saya mengenali lelaki itu melalui laman web sembang dua tahun lalu. Ketika itu saya masih menuntut di sebuah universiti di pinggir Kuala Lumpur dalam bidang agama.

Saya tidak tahu bagaimana saya yang boleh dikatakan berpegang teguh dengan ajaran agama musnah dalam sekelip mata angkara lelaki ini.

Selama beberapa bulan kami bersembang di Internet selain berbual melalui telefon sehingga saya jatuh hati dengannya. Pada satu hari kami mengambil keputusan berjumpa di sebuah bandar di selatan tanah air.

Pada hari itu, saya berseorangan menemuinya kerana yakin dan percaya dia lelaki baik, jujur dan bertanggungjawab. 

Namun, saya sangat terkejut, hari itu juga detik hitam dalam hidup saya. Selepas menjamu selera dengannya, kepala saya terasa sakit dan seperti hendak pitam. Lelaki yang saya panggil abang Zed, berusia lingkungan 30-an, membawa saya ke lokasi yang saya tidak ketahui.

Apabila terjaga daripada tidur keesokannya, saya dapati saya tidur dalam keadaan bogel di sebuah hotel. Zed pula ketika itu mengaku meratah tubuh saya beberapa kali.

Lebih mengejutkan, dia turut merakam gambar bogel saya dalam pelbagai sudut. Malah, dia mengugut menyebar gambar berkenaan di Internet jika saya tidak menurut kemahuannya.

Saya takut, menangis dan bimbang serta tidak tahu hendak buat apa. Sejak itu, diri saya tertekan. Hampir setahun saya ikut kemahuan Zed, jika dia hendak tubuh saya, saya akan ikuti kemahuannya.

Di dalam kereta, hotel, tepi tasik atau di mana saja tempat yang ada peluang, kami melakukan seks dengan harapan gambar bogel saya dihapuskan.

Lebih kejam lagi, wang pinjaman PTPTN yang saya dapat hampir RM15,000, semuanya terpaksa diserahkan kepada Zed.

Selain meratah tubuh saya, dia dapat wang. Di universiti, bukan tiada lelaki berminat mendekati saya kerana saya boleh dikategorikan wanita cantik dan memiliki tubuh menawan.

Namun kerana Zed, pintu hati saya tertutup kerana sifat benci kepada golongan itu, malah selama setahun saya menjadi hambanya, saya tidak ceritakan masalah ini kepada sesiapa sehingga pada satu hari, saya disahkan hamil.

Ketika itu saya buntu sehingga berita saya hamil diketahui universiti. Selain terpaksa menanggung malu, saya akhirnya dibuang, malah sehingga kini terpaksa menanggung bayaran pinjaman PTPTN.

Seperti biasa, Zed tidak mengaku atau mahu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada diri saya, malah dia sanggup bersumpah.

Sehubungan itu, saya membuat laporan polis dan kini masih dalam siasatan.”

KES 2: Alis, 27, Cheras

“KAMI bercinta hampir lima tahun dan hidup bersama bagaikan pasangan suami isteri dan tinggal sebumbung di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Namun, hubungan ini bertukar menjadi mimpi ngeri kepada saya apabila berpisah dengan kekasih sejak Julai lalu, akibat bergaduh dan tiada persefahaman untuk bersama lagi.

Gara-gara membenarkan bekas kekasih merakam aksi ketika melakukan seks menggunakan telefon bimbit, ia menjadi modal kepadanya mengugut saya supaya terus tinggal bersama dan mendapat habuan seks.

Jika saya enggan dan cuba meninggalkannya, dia (bekas kekasih) mengugut menyebarkan klip video lucah membabitkan hubungan asmara kami berdua yang dirakam sebelum ini di Internet.

Kerana terpaksa, saya tinggal bersamanya dan di layan seperti hamba seks selama lebih enam bulan. Dia enggan berpisah kerana mendakwa masih mencintai saya.

Bimbang klip video itu tersebar, saya turuti kemahuannya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mahu perkara memalukan ini diketahui orang, terutama keluarga.

Lama kelamaan saya tidak mampu bertahan lagi. Saya tekad untuk membuat aduan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan berharap masalah ini dapat diselesaikan.

Selepas itu saya membuat laporan polis. Kini semuanya selesai, tapi hidup saya masih tidak tenteram kerana takut bekas teman lelaki ‘menganiaya’ saya lagi.”

KES 3: Marina, 26, Petaling Jaya

“HIDUP saya hampir musnah apabila aksi melakukan hubungan seks bersama bekas tunang tersebar di Internet. Cuma saya bernasib baik kerana klip video berkenaan tidak mendedahkan wajah.

Bagaimanapun, itu hanya ugutan bekas tunang supaya saya akur terhadap segala permintaan, sama ada memberi habuan seks dan wang.

Bekas tunang mengugut mendedahkan klip video yang menunjukkan wajah kami ke Internet, termasuk gambar bogel saya, jika enggan menunaikan segala permintaannya.

Setiap kali memerlukan wang, dia hubungi saya. Jika saya enggan memberi wang, dia ugut hendak sebarkan klip video berkenaan dan menghantarnya kepada keluarga saya.

Perkara itu berlarutan hampir tiga bulan dan duit gaji hampir RM4,000 sudah saya beri kepadanya. Tidak setakat itu, dia juga ambil kesempatan ‘meniduri’ saya.

Perkara terbabit tidak berlanjutan. Selepas itu saya nekad mendedahkan perbuatan keji bekas tunang kepada keluarganya.

Ibu bapa saya marah kerana dapat tahu saya terlanjur dengan bekas tunang. Namun, saya tiada pilihan dan mahu semua (ugutan) itu tidak berlaku lagi.”


KES 4: Erin, 24, Bandar Tun Razak

“IA umpama bala dalam hidup saya. Saya terpaksa berhempas pulas mencari wang sebanyak RM14,000 untuk membayar balik wang dan barang yang pernah dibelikan bekas suami kepada saya.

Bekas suami mengugut akan menyebarkan gambar bogel dan klip video seks ketika kami bersama hampir setahun menjadi pasangan suami isteri.

Oleh kerana tidak mahu menanggung malu, saya terpaksa menunaikan permintaannya. Malah, barang kemas yang pernah dia belikan untuk saya terpaksa saya pulangkan kepadanya.

Separuh daripada wang gaji yang saya peroleh setiap bulan terpaksa diberi kepada bekas suami. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana klip video itu hanya mendedahkan wajah saya.

Mahu atau tidak, saya turuti permintaan bekas suami walaupun saya sedar ia tidak wajar dilakukan bekas suami.

Yang saya risaukan, jika saya dapat menjelaskan wang yang dimintanya, adakah dia akan berhenti ‘menagih’ wang daripada saya.

Saya menyesal kerana sanggup membiarkan bekas suami merakam aksi kami ketika berasmara.”


KES 5: Illa, 22, Subang Jaya

“SAYA pernah terlanjur dengan teman lelaki, tetapi tidak tahu bagaimana gambar panas saya dirakam dan boleh tersebar. Begitupun, tidak semua gambar berkenaan adalah tubuh saya kerana ada antaranya saya percaya menggunakan teknik pertindihan.

Saya pernah mendapatkan penjelasan bekas teman lelaki, tetapi dia enggan mengaku menyebarkan gambar bogel terbabit.

Penyebaran gambar berkenaan menyebabkan saya mengalami tekanan perasaan melampau dan malu kepada rakan dan saya membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya.

Begitupun, hidup saya tertekan selepas itu, apatah lagi rakan juga memperoleh gambar terbabit.

Dalam satu gambar, ia menunjukkan seorang wanita dalam keadaan bogel yang menyerupai fizikal saya duduk di atas katil dan menampakkan payu dara.

Bagaimanapun, ia sangat memalukan, terutama apabila diketahui keluarga saya, sekali gus memberi tanggapan buruk terhadap perilaku saya.

Memburukkan keadaan apabila e-mel peribadi saya turut diceroboh sebelum ia diubah suai individu tertentu dengan niat memalukan saya.

Saya mengesyaki penggodam yang memecah masuk e-mel saya adalah bekas kekasih yang dikenali sebagai K yang sukar menerima hakikat perpisahan kami.

Kekasih berusia 32 tahun dan bekerja sebagai arkitek itu pernah memberitahu saya, dia tidak akan membiarkan saya hidup bahagia kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saya yang berani memutuskan hubungan cinta.”


http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090222085021/Article



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...