Monday, June 15, 2009

H1N1: 2 lagi kes baru, kini meningkat 17 kes

Isnin Jun 15, 2009

KUALA LUMPUR: Dua lagi kes baru Influenza A (H1N1) dikesan dalam negara, menjadikan jumlah kes-kes jangkitan penyakit itu sehingga pukul 2.30 petang ini berjumlah 17, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin, beliau berkata semua kes yang dikesan adalah kes import.

Katanya kes ke-16 membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang merupakan pemastautin Amerika Syarikat yang berkunjung ke Malaysia untuk melawat keluarga di Sabah.

Katanya pelajar ini tiba di Kota Kinabalu dengan penerbangan MH385 dari Hong Kong pada 13 Jun lepas.

"Beliau dikesan dan disahkan demam semasa saringan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di samping mempunyai simptom batuk. Kes in dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, dan beliau disahkan menghidap jangkitan influenza A(H1N1) pada pukul 12.17 tengah hari ini," menurutnya.

Dr Mohd Ismail berkata ibu pelajar ini yang juga menaiki pesawat yang sama diletakkan di bawah kuarantin dan berada dalam keadaan sihat buat masa ini.

Sementara itu menurutnya kes ke-17 pula membabitkan seorang wanita rakyat tempatan berumur 26 tahun, yang melancong ke Melbourne, Australia dari 4 hingga 13 Jun lepas.

Beliau berkata wanita itu balik ke Malaysia dari Melbourne dengan menaiki pesawat Air Asia X D7 2723 dan sampai di LCCT pada pukul 7.15 pagi, 13 Jun lepas.

Katanya wanita ini mengalami simptom jangkitan influenza semalam sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dimasukkan ke hospital itu pada hari yang sama.

"Beliau disahkan mengidap influenza A(H1N1) pada pukul 12.35 tenga hari ini," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang MH 385 yang mendarat di Kota Kinabalu pada 13 Jun 6.10 petang dan Air Asia D7 2723 yang mendarat di LCCT pada 13 Jun pukul 7.15 pagi. BERNAMA


BERITA TERDAHULU


H1N1: 3 lagi kes dicatatkan

KUALA LUMPUR: Tiga kes baru Influenza A (H1N1) dikesan di negara ini menjadikan jumlah kesemua kes adalah 15, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata kes ke-13 merupakan seorang pelajar lelaki berumur 12 tahun yang bercuti selama lima hari di Manila, Filipina dari 8 hingga 13 Jun lepas bersama-sama tiga orang anggota keluarganya.

"Beliau balik ke Malaysia dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 7.05 petang pada 13 Jun melalui penerbangan terus MH705 di tempat duduk 15E," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata pelajar itu dikesan dan disahkan demam semasa saringan di KLIA di samping mempunyai simptom batuk dan telah dirujuk serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata pelajar itu disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) semalam pada pukul 3.30 petang dan rawatan antiviral telahpun dimulakan, manakala kesemua anggota keluarganya iaitu bapa, ibu dan kakak yang merupakan kontak terdekat kes telah dikuarantin dan kini dalam keadaan sihat.

Kes ke-14 pula, katanya, merupakan seorang pelancong lelaki berumur 25 tahun warganegara British yang tiba di negara ini pada 8 Jun lepas pukul 9.35 pagi dengan menaiki pesawat EK342 dari Dubai.

Dr Mohd Ismail berkata pelancong itu telah bermalam di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Tioman dengan menaiki penerbangan Berjaya Air J8190 (tempat duduk 5A) pada 9 Jun pukul 2.30 petang dari Lapangan Terbang Subang.

"Beliau tiba di Pulau Tioman pada pukul 4 petang dan menginap di hotel, semasa berada di situ, beliau hanya berada di Mukut dan mula mengalami demam pada 10 Jun sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tekek pada 13 Jun," katanya.

Beliau berkata pelancong itu kemudian dibawa dengan bot ambulans ke Tanjung Gemuk, Rompin pada 13 Jun pukul 7.30 malam dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada hari yang sama. "Beliau disahkan menghidap jangkitan Influenza A (H1N1) pukul 3.57 petang semalam dan rawatan antiviral telahpun dimulakan serta berada dalam keadaan stabil. "Teman wanita beliau yang merupakan kontak terdekat di Pulau Tioman telah dikuarantin dan dalam keadaan sihat," katanya.

Mohd Ismail berkata kes ke-15 merupakan pelajar lelaki warganegara Malaysia berumur 16 tahun, yang tiba di negara ini untuk bercuti pada pukul 7.30 malam 13 Jun dengan menaiki pesawat Jet Star Airline 3K687 (tempat duduk 4A) dari Singapura.

"Beliau merupakan pelajar di Melbourne dan mempunyai sejarah perjalanan ke Sydney pada 9 Jun seterusnya ke Singapura dengan penerbangan Qantas QS319 (tempat duduk 30D) pukul 5 petang sebelum tiba ke Malaysia pada 13 Jun," katanya.

Mohd Ismail berkata pelajar itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang semalam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap jangkitan itu pada pukul 1.43 pagi hari ini.

"Siasatan menunjukkan beliau mula mengalami batuk dan demam pada 9 Jun dan kini berada dalam keadaan stabil, sedang diberi rawatan antiviral manakala ibu pesakit yang menaiki pesawat sama dari Singapura sedang dikuarantin dan dalam keadaan sihat," katanya.

Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang J8190 yang mendarat di Pulau Tioman pada 4 petang 9 Jun, MH705 yang mendarat di KLIA pukul 7.05 malam 13 Jun dan Jet Star Airline 3K687 yang mendarat di KLIA pukul 7.30 malam 13 Jun, terutamanya penumpang yang duduk di tiga barisan hadapan dan belakang kes terbabit.

Bagi mengesan kontak kepada kesemua kes positif, kementerian memohon kerjasama kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes dengan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan pihak kementerian memberi nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin di rumah.

Mohd Ismail turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika betul-betul tidak dapat dielakkan kerana ia bukan sahaja boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan tetapi juga akan menyebabkan keluarga dan kontak terdekat kepada kes terpaksa dirawat dan dikuarantin di negara terbabit.

"Bagi mengelakkan masalah seperti ini, kita perlu berkorban pada masa-masa genting sebegini demi keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga kita," katanya. BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/15/mstar_berita/20090615185314&sec=mstar_berita

MB Selangor nafi kenyataan perbelanjaan RM8 juta PBT

Muhammad Arif Ismail

Mon | Jun 15, 09 | 3:36:29 pm MYT

TAMAN MEDAN, 15 Jun (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Daily yang mendakwa Pihak Berkuasa Selangor membelanjakan RM8 juta kepada Pakatan Rakyat.

Dipetik dari Selangor Daily, ia dilakukan untuk menampung kos elaun pejabat, gaji kakitangan, kos utiliti untuk setiap ahli majlis dan elaun bulanan yang digunakan untuk melancarkan kempen parti-parti dalam Pakatan seperti PAS, PKR dan DAP.

Jelas Menteri Besar Selangor, perkara yang sama juga turut dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah negeri ini, malah mereka mengggunakan dana ini bukan untuk rakyat tetapi bagi membuat lawatan ke luar negara.

Katanya, perbuatan menggunakan perbelanjaan untuk tujuan itu dikurangkan kerana tidak mahu berlaku pembaziran wang rakyat dengan melakukan lawatan ke tempat yang tidak berkaitan dengan dengan urusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum Mac 2008, katanya, ahli majlis juga dibayar elaun dan ini hendaklah tunjukkan supaya perbezaan ketika era pemerintahan BN dahulu hanya terdapat orang politik sahaja dipilih menjadi ahli majlis.

"Tetapi sekarang, 30 peratus daripada ahli majlis merupakan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan dari orang politik. Tidak semestinya kerajaan negeri mengatakan tiada perbelanjaan, bayangkan ahli majlis yang berkerja begitu kuat. Takkan kita kita tidak boleh bagi dia elaun RM700 hingga RM800 sebulan, gaji buruh pun lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan dalam Dewan Undangan negeri Taman Medan.

Turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan (Adun), Taman Medan, Haniza Talha; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Batu Caves, Amirudin Shari; Adun Sijangkang, Dr. Yunus Hairi dan Adun Teratai, Jenice Lee.

"Sebanyak RM3 hingga RM5 juta setahun diperuntukkan untuk seluruh negeri yang merangkumi semua aspek termasuk pengurusan, aktiviti pembangunan belia di Selangor dan saya berharap, idea mengilhamkan dataran ini perlu disokong dan dikembangkan di seluruh negeri ini.

"Saya menjangkakan banyak aktiviti bakal diadakan untuk remaja dan belia selain daripada forum atau ceramah, usahawan, pameran kereta serta jualan kereta terpakai. Program ini juga sesuai dengan pembangunan belia negeri ini dan diuruskan oleh tiga Adun, Dr. Yunus Hairi, Amirudin Shari dan Jenice Lee yang juga merupakan belia," katanya. - mns_

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21273&Itemid=1

Sudah tiga bulan Najib jadi PM, ada yang tidak kena!



Intan Abdullah


Mon | Jun 15, 09 | 7:01:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - "Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap Perdana Menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena."

Demikian pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu wawancara bersama Harakah baru-baru ini.

Menurutnya, ukuran Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru boleh dilihat berdasarkan sambutan masyarakat terhadapnya termasuk dunia luar.

"Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena,"jelasnya.

Tambah Nik Aziz, jika diselidik,sudah pasti pergolakan bukan sahaja dalam komponen Barisan Nasional (BN) malah isu dalaman Umno sendiri boleh dianggap sebagai punca pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak diterima dengan baik.

"Apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai.

"Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai,"jelasnya lagi.

Nik Aziz juga menerangkan, bukan sahaja satu atau dua perkara tetapi ia juga melibatkan hampir seluruh negara seperti,"di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat.

"Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator. Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib."

Dalam pada itiu katanya, desakan oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar Najib diuji di parlimen untuk melihat wujud sokongan atau tidak juga antara indikasi bahawa kepimpinan Najib benar-benar bermasalah.

"Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.

"Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini,"tegasnya. - mks. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021265&Itemid=85

LAUNGAN “BUBAR DUN PERAK” BERGEMA DI PARLIMEN.

Written by Editor

Monday, 15 June 2009 15:01

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita6/nizar%20diparlimen.jpgKempen mendesak kerajaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibawa ke dalam Persidangan Dewan Rakyat apabila Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, melaungkan slogan "Bubar DUN Perak" sejurus mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Laungan Nizar disambut oleh rakan-rakan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berada dalam dewan dengan memakai lilit kepala hitam dengan tulisan "Bubar DUN" (Gambar - Nizar laungkan 'Bubar DUN Perak')

Antara mereka adalah Dato’ Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) di ikuti beberapa rakan lain, Dato’ Ngeh Kor Ham (DAP-Beruas) dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping).

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian telah memerintahkan ahli-ahli yang berhormat yang berbuat demikian keluar Dewan setelah teguranya tidak di endahkan.

Pandikar Amin turut mengarahkan wakil-wakil Pakatan Rakyat yang enggan menanggalkan lilit kepala atau lengan berkenaan supaya meninggalkan Dewan Rakyat.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat menyahut cabaran speaker dan bertindak keluar dewan.

Antara mereka yang memilih untuk keluar ialah Khalid Samad (Pas-Shah Alam), Chong Cheing Jen (DAP-Kuching), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Teo Nie Cheng (DAP-Serdang).

Mengulas perkembangan tersebut, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempertahan tindakan Nizar dan ahli parlimen Pakatan Rakyat memakai lilitan hitam "Bubarkan DUN Perak" semasa permulaan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Parlimen luar negara membenarkan wakil rakyatnya memakai sebarang tanda bagi meluahkan sesuatu perkara ketika memasuki mesyuarat atau persidangan.

"Saya juga akan mengutus surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini berhubung tindakan beliau mengarah tujuh wakil rakyat pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat kerana enggan mematuhi arahan menanggalkan lilitan itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=602:laungan-bubar-dun-perak-bergema-di-parlimen&catid=36:berita-nasional&Itemid=37

120 KAKITANGAN KERAJAAN DI BERHENTIKAN - MIMPI NGERI MENJADI REALITI

Written by Wartawan Buletin

Sunday, 14 June 2009 03:26

KUALA TERENGGANU - Mimpi ngeri yang sering bermain dalam fikiran 120 orang kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran akhirnya menjadi realiti apabila mereka benar-benar diberhentikan dan akan menjadi penganggur mulai 1 Julai ini.

Mereka yang berkhidmat sebagai buruh dalam pelbagai jabatan di Terengganu telah menzahirkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan dengan berkumpul di Dewan Belia dan Sukan Jalan Pasir Panjang dekat sini hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Alias Awang, 47, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, berkata beliau bekerja lebih 12 tahun sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh.

"Jadi, kalau saya diberhentikan kerja ke mana pula saya hendak cari kerja, sedangkan umur saya telah lanjut dan anak-anak masih ada yang bersekolah," katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Zainal Shahruddin, 50, buruh di Sekolah Kompleks Gong Badak pula mengharapkan pihak berkenaan mengambil semula beliau dan rakan-rakan yang senasib dengannya untuk bekerja memandangkan ada di antara mereka yang sudah bekerja lebih 20 tahun.

Beliau berkata yang lebih menyedihkan lagi ramai di kalangan kakitangan kontrak JPM ini mempunyai banyak tanggungan seperti anak masih bersekolah dan pinjaman bank.

Ramlah Kassim, 45, yang bekerja sebagai buruh di Sekolah Rendah Wakaf Mempelam sejak 13 tahun lepas, berharap kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran ini akan diambil bekerja oleh kerajaan negeri sesuai dengan kelayakan kelulusan kakitangan berkenaan.

http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=597:120-kakitangan-kerajaan-di-berhentikan-mimpi-ngeri-menjadi-realiti&catid=35:dalam-negeri&Itemid=2

Kurang air rambut gugur

Mengapakah kekurangan air dalam badan menyumbang kepada masalah keguguran rambut yang teruk?


MINUM banyak air suam untuk mengawal suhu badan.


RAMAI daripada kita panik apabila melihat rambut gugur. Sebenarnya, kejadian seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia lazim berlaku kepada sesiapa sahaja saban hari.

Walaubagaimanapun, sekiranya jumlah rambut yang gugur itu terlalu banyak selain meneliti kembali gaya hidup anda, sesi rundingan dengan pakar mungkin wajar dilakukan.

Keguguran rambut boleh menyebabkan seseorang itu kurang yakin diri, bersikap menyendiri, pemalu dan mengalami trauma yang berpanjangan. Klinik Siddha Nexhs Herbal bagi penjagaan kulit dan rambut, menangani masalah tersebut melalui teknologi siddha.

R.C Rajhaletchumy, Perunding Prinsipal Naturopati di Nexhs Herbal mencadangkan supaya seseorang itu minum lebih banyak air ketika menjalani rawatan rambut dan kulit kepala.

"Bekalan air yang mencukupi memainkan peranan penting dalam menurunkan pitta doshic dan menstabilkan tenaga vata, pitta dan kappa, yakni tenaga haba, udara dan air. Amalan meminum air suam juga membantu mengawal suhu badan selain mengatasi masalah keguguran rambut," katanya.

Sebaliknya, air sejuk memburukkan lagi keadaan seseorang yang menghadapi masalah rambut. Individu yang memiliki tenaga air yang berlebihan (kappa) dalam badan, kurang berdepan dengan tabiat meminum air sejuk."'

Minum air

Dalam pada itu, Rajhaletchumy memaklumkan ramai juga pelanggan yang mengeluh 'Saya telah mencuba pelbagai jenis produk tetapi semuanya gagal'.


PENGGUNAAN ramuan herba membantu proses rawatan keguguran rambut.


Perkara ini berlaku kerana teras masalah utama keguguran rambut diabaikan.

Walaupun seseorang itu digalakkan menjalani sesi perundingan peribadi, pengambilan vitamin B kompleks yang disyorkan oleh doktor mungkin kurang berfungsi tanpa pengambilan air yang banyak.

Kesannya, badan menjadi terlalu panas hinggakan air kencing bertukar menjadi kekuningan. Ini seterusnya membawa kepada keguguran rambut yang teruk.

Di Nexhs Herbal, langkah-langkah rawatan rambut dan kulit yang bersepadu dipraktikkan bagi memastikan ia benar-benar memfokus kepada permasalahan tersebut.

Selain minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari, Rajaletchumy menawarkan kombinasi ubat-ubatan herba bagi kegunaan luaran, kulit kepala dan ubat khas tanpa antibiotik bagi kesihatan kulit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_02.htm

Elak yuran bebankan ibu bapa – PIBGN

KUALA LUMPUR – Pihak sekolah dinasihatkan supaya mengambil kira beban yang ditanggung ibu bapa dalam membuat ketetapan amaun yuran tambahan yang akan dikutip mulai bulan ini.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, yuran tambahan atau juga yuran PIBG itu perlu ditetapkan pada kadar berpatutan dan bukan mencecah ratusan ringgit.

Apa yang penting katanya, proses penetapan yuran itu harus mengambil semangat pada kadar yuran sekolah yang dihapuskan kerajaan baru-baru ini.

“Kami telah beberapa kali memohon kementerian mewujudkan garis panduan jumlah sumbangan yang perlu dibayar oleh ibu bapa kepada PIBG di setiap sekolah.

“Tapi malangnya kementerian telah memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk menentukan sendiri dan inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa apabila bayaran yang dikenakan itu berbeza-beza dan tidak munasabah,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Fesyen cuti sekolah ‘rockers’ Kuantan


SEBILANGAN remaja yang berpeleseran dengan penampilan era ‘Rock Kapak’ era 1980-an ini menimbulkan rasa kurang senang warga Kuantan semalam.


KUANTAN – Sekali pandang, mereka umpama anggota kumpulan muzik rock yang sedang berehat sementara menunggu konsert.

Pandangan yang lebih teliti kemudiannya mengesahkan bahawa geng anak-anak muda itu bukan pemuzik tetapi remaja yang lepak menghabiskan cuti sekolah.

Jika niat mereka untuk menarik perhatian, ia ternyata berjaya.

Dengan memakai rambut palsu serta mengenakan pakaian ketat sama seperti era ‘Rock Kapak’ yang terkenal pada dekad 1980-an, kumpulan anak-anak muda itu berkumpul di tempat-tempat awam seperti di medan niaga dekat Jalan Beserah, di sini.

Namun, kehadiran mereka tidak disukai sesetengah pihak.

Ada penduduk dan peniaga mendakwa sebahagian daripada ahli kumpulan itu adalah pelajar sekolah yang biasa melepak di situ selepas sesi persekolahan.

Menurut peniaga, R.Siva, 37, kehadiran kumpulan remaja berkenaan sejak beberapa hari lalu di kawasan tersebut menyebabkan orang ramai berasa jelik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

PTPTN bukan ah long

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak berhasrat menggunakan pendekatan ala ah long untuk mengutip hutang tertunggak para peminjam yang terus bertambah sehingga kini mencecah RM1.28 bilion.

Langkah itu dianggap tidak sesuai kerana PTPTN ialah sebuah badan kerajaan yang tidak membenarkan tindakan sedemikian dilaksanakan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman, cara mereka ialah menuntut hutang menerusi saluran undang-undang dan melaksanakan pelbagai kaedah bayaran balik yang memudahkan peminjam.

“Tak bolehlah kita guna cara ah long, setakat ini kalau ada yang tidak mahu bayar kita ambil tindakan mahkamah saja,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kamera dalam usus

EndoKapsul boleh merekodkan sehingga 56,000 keping gambar sepanjang lapan jam ia bergerak di kawasan usus pesakit.


KAMERA berharga RM6,000 ini boleh mendiagnosis sehingga 85 peratus masalah usus.


CUBA bayangkan, perut anda dibelah dan usus kecil yang memiliki kepanjangan kira-kira enam meter dikorek keluar dari perut sebelum dimasukkan tiub berkamera semata-mata untuk mengenal pasti masalah yang ada padanya.

Bagi sesetengah orang yang menghidap cirit-birit atau sembelit berlanjutan tanpa sebarang rawatan, mungkin kaedah endoskopi ini terpaksa dilalui bagi merawat sindrom rengsa usus (IBS).

Kaedah konvensional yang telah diguna pakai selama hampir 50 tahun ini telah membantu banyak masalah kesihatan melibatkan usus sama ada usus kecil ataupun besar. Namun proses tersebut agak rumit dan memerlukan pengawasan berterusan daripada pakar.

Selain endoskopi, pesakit juga perlu meminum sejenis cecair khas sebelum melakukan imbasan sinar X bagi mengenal pasti masalah pada usus.

Bagaimanapun hasil diagnosis melalui kaedah ini dikatakan tidak begitu memberangsangkan kerana imej yang terhasil sukar dipastikan entitinya kerana imbasan sinar X hanya berwarna hitam dan putih.

“Badan kita mempunyai imej 3D. Jika seseorang itu menjalani imbasan sinar X di bahagian perut, berbagai-bagai andaian boleh diputuskan daripada keputusan sinar X.

“Boleh jadi warna hitam yang dilihat itu ketumbuhan dan mungkin juga ia adalah sambungan ke usus besar,” jelas Pakar Bedah Gastroenterologi di Pusat Pakar Alpha Kota Damansara, Dr. Robert P. Jalleh.


SELEPAS menelan kamera endoKapsul, pesakit boleh melakukan aktiviti seperti biasa.


Selain endoskopi, doktor akan melihat kepada gejala seseorang di samping meneliti sejarah perubatan pesakit bagi tujuan diagnosis.

Tidak perlu belah perut

Seiring dengan kemajuan dalam bidang perubatan, kini imej di dalam usus kecil sudah boleh dilihat secara jelas tanpa perlu menjalani sebarang pembedahan.

“Pesakit kini berpeluang memilih untuk menggunakan kaedah pembedahan atau hanya menelan kapsul berkamera yang dipanggil endoKapsul untuk memberi gambaran jelas mengenai masalah yang wujud di dalam usus kita,” katanya.

Tambah Robert, apa yang lebih meyakinkan, endoKapsul bukan sahaja memudahkan malah mampu meningkatkan ketepatan diagnosis sehingga 85 peratus dan pesakit digalakkan bergerak seperti biasa bagi mempercepatkan kapsul kamera ini turun ke usus kecil.

“Kapsul dengan kamera binaan ini sememangnya beresolusi tinggi dan imej yang dirakam boleh dilihat jelas pada skrin komputer.

“Dengan ukuran 26x11 milimeter atau dua kali ganda saiz kapsul biasa, endoKapsul merupakan kaedah untuk mengenal pasti penyakit dalam usus kecil yang paling efektif setakat ini,” katanya.

Dengan kepantasan merakam dua keping gambar sesaat, endoKapsul boleh merekodkan sehingga 56,000 keping gambar sepanjang lapan jam ia bergerak di kawasan usus pesakit.

“Sebelum menelan endoKapsul, pesakit diminta berpuasa dan minum ubat khusus bagi membersihkan usus mereka.

“Selepas itu, lapan pad antena akan dipasangkan di bahagian abdomen pesakit sebelum kapsul diberi untuk ditelan.

“Setiap imej yang dirakam akan disalurkan ke pad seterusnya disimpan pada satu alat perakam yang dipasang di pinggang pesakit.

“Selepas lapan jam, pad tersebut akan ditanggalkan dari tubuh pesakit dan doktor akan meneliti setiap imej yang dirakam menggunakan komputer untuk mendapatkan pengesanan yang lebih optimum,” katanya.


ANDA boleh mengetahui penyakit yang dihidapi dengan melihat gambar-gambar usus anda sendiri.


Jelas Robert, imej yang jelas dihasilkan endoKapsul memang membantu para doktor mengenal pasti kawasan yang bermasalah namun tiada kawasan tepat yang boleh ditentukan oleh kapsul ini.

“Kita cuma boleh menganggarkan masalah itu berada di bahagian atas, tengah atau bawah bergantung pada masa dan imej kawasan usus yang dihasilkan namun kita tidak tahu lokasinya secara tepat,” jelasnya.

Walaupun kewujudan kapsul berkamera mempermudahkan para doktor mengenal pasti jenis penyakit di bahagian yang paling sukar dicapai itu, tidak semua pesakit boleh menggunakan peralatan serba canggih ini.

“Kaedah endoKapsul memang sangat membantu tetapi ia bukan satu-satunya cara yang kita boleh guna untuk mengesan penyakit di bahagian usus. Bagi pesakit yang mempunyai sejarah penyakit tertentu, mereka tidak boleh menggunakan kaedah ini.

“Oleh sebab itu, sebelum mengesyorkan endoKapsul kepada pesakit, doktor akan mengkaji sejarah kesihatan mereka bagi mengelak sebarang kerumitan yang mungkin timbul sekiranya mereka menelan kapsul ini,” jelasnya.


KEMBUNG perut dan najis berdarah mungkin petanda awal usus anda bermasalah.


Tambahnya, memandangkan kos kapsul tersebut mencecah RM6,000 sebiji dan ia hanya boleh digunakan sekali sahaja, tidak semua pesakit mampu membelinya dan mereka lebih cenderung menggunakan kaedah biasa.

“Kebanyakan hospital sama ada swasta atau kerajaan sudah memiliki teknologi ini namun ia bergantung kepada pesakit sama ada untuk membelinya atau tidak.

“Walaupun begitu, terdapat pesakit yang amat digalakkan menggunakan kapsul ini terutama warga emas yang mungkin berdepan risiko lain sekiranya terpaksa menjalani pembedahan pengesanan konvensional,” katanya.

Rengsa si usus kecil

Kebanyakan kes penyakit yang melibatkan usus kecil amat jarang ditemui di negara ini namun masih ramai yang berisiko berdepan penyakit di bahagian usus kecil sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.

“Di Malaysia, 90 peratus kes dilaporkan melibatkan usus besar dan hanya 10 peratus berkaitan usus kecil.

“Antara penyakit yang sering dilaporkan ialah sindrom rengsa usus yang juga dikenali sebagai IBS.

“Ia merupakan gangguan terhadap fungsi usus di mana pesakit mengalami sakit perut yang bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga kronik.

“Antara simptomnya, perut memulas, senak, kembung, angin dan perubahan tabiat membuang air besar. Terdapat juga pesakit yang mengalami cirit-birit, sembelit atau gabungan kedua-duanya sekali.

“Jika anda mendapati najis anda berdarah, segera dapatkan rawatan kerana ia bukan ciri-ciri IBS dan tidak mustahil ia merujuk kepada penyakit yang lebih serius,” katanya.

Robert memberitahu, pembuangan air besar yang normal adalah berbeza-beza iaitu minimum tiga ketul najis sehari. Tetapi jika yang berlaku sebaliknya, bahan-bahan kumuh yang tersimpan di dalam badan seseorang dalam jangka masa yang lama boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit.

“Jika orang sihat membuang air besar sama ada satu atau dua kali sehari, ada pesakit IBS melakukannya dua kali seminggu atau hanya sekali dalam tempoh dua minggu.

“Dalam kes cirit-birit pula, terdapat pesakit yang membuang air besar sehingga 10 kali sehari tetapi yang keluar hanya cecair. Ini menyebabkan pesakit tidak puas dan akan mengulanginya beberapa jam kemudian,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Kasanova jerat mahasiswi


PELAJAR universiti sering menjadi mangsa lelaki kasanova.


PERTEMUAN dengan tetamu ruangan Pengakuan minggu ini dirancang dalam tempoh singkat. Berkenalan dengannya di laman siber, lelaki berusia 33 tahun ini sudi berkongsi pengalaman pahitnya dengan satu syarat iaitu dia tidak mahu gambarnya disiarkan.

Memilih kafe di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pemilik tubuh sasa berkulit kuning langsat yang mahu dikenali sebagai Badrul ini ramah menyambut kehadiran penulis.

“Saya pernah dipenjarakan atas kesalahan menipu, menyamar sebagai pegawai polis dan menggunakan wang palsu.

“Ketika berumur 26 tahun, saya sudah mampu memiliki kereta dan mula main perempuan yang kebanyakan mangsa saya ialah pelajar institusi pengajian tinggi.

“Pada masa itu saya menyamar sebagai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor. Kereta dan kebolehan saya bertutur dalam bahasa Inggeris memang jadi umpan untuk menarik perhatian pelajar wanita.

“Bila mereka sudah ‘cair’, saya ajak mereka ke rumah sewa dengan satu janji iaitu saya akan berkahwin dengan mereka selepas mereka tamat pengajian,” katanya.

Pada pemerhatian penulis, Badrul memang tidak sia-siakan pakej dirinya untuk memikat wanita. Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini segak orangnya, berperwatakan menarik dan pandai bergaya. Pendek kata, gelaran lelaki metroseksual amat sesuai untuknya.

Tidak cukup dengan meniduri mereka, Badrul memberitahu, dia juga mengajar semua teman wanitanya mengambil syabu atau ice, supaya hubungan seks mereka mampu bertahan lama.

“Macam-macam saya lakukan untuk buat mereka sayang dan percaya pada saya. Tak cukup dengan kata-kata manis dan kesanggupan untuk berkahwin, saya ikut mereka pulang ke kampung dan berkenalan dengan keluarga mereka.

“Malah, saya pernah mempunyai tiga orang tunang pada satu masa. Saya minta tolong rakan-rakan untuk menyamar sebagai ahli keluarga bagi memastikan rancangan saya berjaya,” cerita Badrul.

Menurutnya, setelah ikatan pertunangan dijalinkan, Badrul mula bercerita tentang skim pelaburan yang dijalankannya bersama beberapa orang kawan untuk mencari duit lebih.

“Tidak sukar untuk meyakinkan mereka bahawa pelaburan ini mampu memberi pulangan sehingga tiga kali ganda. Caranya, selepas dua kali mereka melabur, saya memberi pulangan seperti yang dijanjikan.

“Selepas itu berebut ahli-ahli keluarga yang lain melabur sehingga berbelas ribu ringgit dengan harapan dapat duit berkepuk tanpa perlu bekerja,” katanya.

Helah berkursus

Cerita Badrul, untuk melarikan diri daripada keluarga tiga tunangnya itu, dia menggunakan alasan terpaksa pergi berkursus selama enam minggu sebagai satu prosedur yang wajib dipatuhi untuk kenaikan pangkat.

“Pada masa itulah saya lari dengan duit hampir RM50,000 ke Sarawak. Ketiga-tiga tunang saya tinggalkan. Bukan tak ada rasa sayang dan simpati, tetapi keinginan untuk hidup mewah mengatasi segalanya.

“Di Kuching, saya ulangi perbuatan sama, menggunakan kelebihan diri untuk menipu dan mengumpul seberapa banyak wang,” katanya.

Namun, penyamaran kali ini tidak bertahan lama. Biarpun identiti sebenar tidak diketahui oleh mangsa-mangsanya, Badrul ditahan selepas kira-kira enam bulan meninggalkan Kuala Lumpur.


BADRUL mengajar semua teman wanitanya menghisap syabu.


“Salah seorang tunang telah hamil tanpa pengetahuan saya. Apabila tunang mengakui kami kerap tidur bersama, keluarganya mula mengesyaki sesuatu lebih-lebih lagi selepas diberitahu saya mengajarnya menghisap ice.

“Saya diberitahu, keluarga tunang mencari saya sehingga ke Bukit Aman untuk mengetahui di mana tempat saya ‘berkursus’ untuk segera dinikahkan, namun mereka gagal mengesan saya.

“Salah seorang sepupu mangsa yang berada di Kuching memberitahu mereka pernah terserempak dengan saya memakai uniform polis di sekitar bandar raya itu. Dia lapor pada polis dan tidak lama kemudian saya ditahan,” kata Badrul.

Tak sempat minta ampun

Pengalaman hidup di balik jeriji besi amat menginsafkan Badrul. Baginya, tempoh yang terpaksa dihabiskan sebagai banduan amat menyeksakan lebih-lebih lagi dia ditempatkan di Penjara Pusat Kuching yang jauh dari keluarganya yang menetap di Melaka.

“Semasa tahun pertama saya di penjara, saya sempat mengutus surat buat arwah emak. Dalam surat balasnya, dia berharap dia dapat melawat saya pada Hari Raya. Namun, seminggu sebelum puasa saya dapat berita mengatakan emak meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.

“Sejujurnya, hubungan kami tidak begitu baik selepas emak berkahwin lagi. Saya jarang balik ke rumah, kalau balik pun, sekadar tunjuk muka. Apabila emak menasihati saya, saya naik hantu. Saya sering menganggapnya berfikiran kolot dan tak layak bercakap dengan saya.

“Selepas emak meninggal dunia, baru saya terasa kehilangannya. Saya belum sempat minta ampun dan kucup tangannya. Apa yang lebih menyedihkan, saya diberitahu emak terlalu memikirkan saya sehingga membawa kepada kematiannya,” ujar Badrul sebak.

Tambah Badrul, walaupun hidupnya terkurung namun penjara adalah tempat dia belajar mengenal kehidupan.

“Banyak yang saya belajar di situ. Saya pandai mengaji dan sembahyang pun di penjara, mungkin itulah hikmahnya,” katanya.

Ingin tatap wajah anak

Badrul yang dibebaskan dua tahun lalu kini sudah berubah. Dia yang sekarang merupakan eksekutif jualan di pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, sudah melupakan kisah silamnya dan membuka lembaran baru.

“Saya mengakui terlalu banyak silap yang saya telah lakukan dan ia adalah pengajaran paling bermakna dalam hidup saya. Bagi insan yang pernah saya tipu, hanya kata maaf yang mampu saya lafazkan.

“Jika saya diberi peluang, saya mahu bertemu dengan anak saya. Saya tidak pernah menatap wajahnya. Semasa di penjara, saya diberitahu tunang telah selamat melahirkan anak lelaki dan meminta saya jangan mencarinya serta anak.

“Saya sudah berusaha menjejaki keluarga tunang saya, tetapi mereka telah berpindah.

“Saya sangat berharap, saya diberi peluang untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai bapa,” rintih Badrul penuh insaf.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...