Saturday, May 1, 2010

Seruan menjadi pelapor rasuah




APABILA Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menggariskan rasuah sebagai salah satu teras utama yang harus diperangi, ia secara tidak langsung mempamer sisi gelap sektor perkhidmatan awam yang tidak pernah lekang dengan imej rasuah di pelbagai peringkat.

Peletakan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada jurusan NKRA tersebut jelas menunjukkan kerajaan mempunyai sasaran khusus untuk mengukur usaha dan pencapaian dalam memerangi gejala itu untuk satu tempoh masa yang dijanjikan.

Namun, apabila kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan KPI, adakah rakyat bersedia untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha bagi merealisasikan hasrat itu?

Kepincangan dalam organisasi barangkali wujud hanya disebabkan sedikit individu yang menjadi racun kepada pembangunan organisasi secara keseluruhan. Bukan sahaja rasuah, tetapi produktiviti dan kemahiran yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan.

Lalu apakah formula terbaik yang harus digabungkan bagi mengembalikan imej penjawat awam yang bukan sahaja bebas rasuah, tetapi pada masa sama mempunyai kredibiliti dan kualiti yang mampu menganjak negara ke satu tahap menghampiri pencapaian negara maju?

Sudah pasti kesemua hasrat ini perlu melibatkan komitmen yang mendalam dan tuntutan yang besar daripada keseluruhan penjawat awam bagi melaksanakan sesuatu yang betul walaupun sukar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, imej perkhidmatan awam sudah lama tercemar dengan gejala rasuah membabitkan penjawat di pelbagai peringkat.

"Bila sebut sahaja rasuah, masyarakat akan fokus kepada perkhidmatan awam seolah-olah semua aktiviti rasuah yang berlaku membabitkan sektor perkhidmatan awam.

"Di sana sini media melaporkan kegiatan rasuah dan individu-individu dalam perkhidmatan awam yang ditangkap tetapi individu yang memberi rasuah lepas begitu sahaja," katanya.


RASUAH mencemarkan imej penjawat awam sejak sekian lama. - Gambar hiasan


Menurut Omar, beliau tidak mahu sektor perkhidmatan awam dicap sebagai perasuah dan mahu semua pihak menggembleng usaha bagi memulihkan imej sektor berkenaan daripada terus tercemar.

"Saya menyeru semua penjawat awam supaya sama-sama memerangi rasuah dengan menjadi pelapor rasuah. Sekiranya penjawat awam bekerjasama sudah pasti gejala ini dapat diperangi dengan lebih berkesan.

"Sempena Hari Pekerja 2010, jadikan ia sebagai era baru bagi meletakkan ranking rasuah paling rendah di dalam sektor perkhidmatan awam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Tahun ini sambutan Hari Pekerja tahun ini memilih tema, Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi.

Tambah Omar, beliau mahu melihat kadar rasuah menurun sehingga 20 peratus pada 31 Disember ini selepas tiga tahun berturut-turut menunjukkan perubahan positif kadar rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini kadar rasuah telah turun pada kadar yang memberangsangkan dan saya mengharapkan perkembangan berterusan dapat dilihat sehingga tahun 2010 berakhir.

"Cuepacs juga menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melancarkan perang rasuah hingga ke akar umbi," katanya.

Dalam pada itu Cuepacs tidak pernah menutup ruang rundingan bagi menyampaikan hasrat dan menyuarakan permasalahan penjawat awam kepada pihak kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Cuepacs sentiasa boleh berjumpa dengan pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah penjawat awam tetapi cepat atau lambat ia tertakhluk kepada keadaan ekonomi semasa.

"Sekiranya ekonomi bagus, tidak berlaku ketirisan dan penjawat awam menunjukkan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan, sudah pasti permasalahan-permasalahan itu akan didengar oleh kerajaan," katanya.


PENERIMA dan pemberi rasuah wajar diperangi habis-habisan.


Gaji minimum

Pendapat itu turut disokong oleh Presiden Persatuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang mahu penjawat di sektor awam dan swasta menyokong model ekonomi baru Malaysia yang berteraskan peningkatan produktiviti pekerja sekali gus meningkatkan tahap pendapatan mereka.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan menetapkan gaji baru yang tinggi tanpa melihat kepada peningkatan prestasi dan produktiviti pekerja, ia ibarat resipi kegagalan kepada sesebuah organisasi.

"Peningkatan pendapatan pekerja mestilah seimbang dengan peningkatan produktiviti dan ia tidak akan berlaku tanpa perubahan cara bekerja dan peningkatan kemahiran yang pelbagai sebagaimana dicapai negara-negara maju.

"Justeru, saya berharap kesatuan pekerja mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran melalui pensijilan oleh pihak kerajaan supaya mereka yang berkelayakan mendapat imbuhan yang sewajarnya," jelasnya.

Katanya lagi, perubahan-perubahan berkenaan perlu supaya pekerja di Malaysia tidak ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara-negara maju.

"Singapura mencapai produktiviti 3.8 kali ganda berbanding Malaysia dan kita juga mensasarkan untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk pastikan pendapatan perkapita sebanyak RM25,000 setahun kini kepada RM48,000 pada tahun 2020.

"Namun, penilaian harus dilihat di kedua-dua belah pihak dan tidak hanya menumpu kepada pendapatan tanpa melihat aspek daya saing di kalangan penjawat awam dan swasta," katanya.

Berhubung perkara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perjuangan MTUC belum selesai dan akan meneruskan tuntutan-tuntutan kepada pihak kerajaan iaitu kadar gaji minimum, tabung pekerja yang diberhentikan, umur tamat tempoh perkhidmatan dan tempoh cuti bersalin.

"MTUC masih meneruskan agenda-agenda yang tertangguh sekian lama iaitu menuntut gaji minimum sebanyak RM900 dan elaun gaya hidup sebanyak RM300. Tetapi rombakan gaji tidak bermaksud mereka yang sudah melepasi gaji RM900 perlu kembali kepada jumlah gaji ini.

"Selain itu, MTUC juga terus memperjuangkan tabung untuk membantu mereka yang diberhentikan daripada perkhidmatan atas faktor ekonomi supaya mereka dibantu sehingga mendapat pekerjaan lain," katanya.


SATU garis panduan khusus perlu dimeterai antara pekerja dan majikan berhubung hak-hak mereka.


Di samping itu, umur 60 tahun dilihat munasabah untuk tamat dalam perkhidmatan berbanding 55 tahun ketika ini ekoran peningkatan jangka hayat iaitu 72 tahun bagi lelaki dan 76 tahun perempuan.

Hak pekerja

Setiausaha kepada Pengerusi Affin Holdings Berhad, Tiny Azleen Yahaya, 32, berkata, meskipun terdapat Akta Kerja 1955 yang memberi garis panduan tentang hak dan pampasan pekerja, tetapi ia tidak merangkumi keseluruhan peringkat pekerja.

"Perlu satu garis panduan khusus yang perlu dimeterai antara majikan dan pekerja tentang hak, peruntukan, faedah, manfaat, pampasan serta perlindungan setiap pekerja.

"Selain daripada faktor kewangan dan manfaat lain, hak pekerja dari segi lain-lain kemudahan juga amat perlu dititik beratkan. Antaranya caruman KWSP, Perkeso, perlindungan insurans dan pengekalan kedudukan kerja itu sendiri," katanya.

Sempena Hari Pekerja 2010 katanya, dia berharap pekerja dan majikan tahu tanggungjawab masing-masing bukan sahaja bagi memastikan keuntungan kepada pihak sendiri malah juga kepada kerajaan dan kestabilan ekonomi negara.

"Kedudukan ekonomi yang stabil pasti dapat membantu memberi kesejahteraan kepada masyarakat dan kemajuan kepada negara," katanya.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datin Romaizah Abdul Kadir, 34, pula berkata, pekerja meluluskan infrastruktur dan persekitaran yang kondusif sebagai galakan untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi mereka.


PENINGKATAN pendapatan pekerja mestilah seimbang dengan peningkatan produktiviti. - Gambar hiasan


"Sebagai pekerja dalam sektor awam saya berharap untuk dapat bekerja dengan lebih efisien melalui sistem organisasi yang lebih teratur dan meyakinkan masyarakat.

"Khasnya dalam gerakan koperasi, kami penjawat awam serius untuk membantu rakyat dalam pembangunan sosio-ekonomi melalui gerakan koperasi," katanya.

Tambahnya, dia mahu kehadirannya dapat menyumbang kepada pembangunan organisasi dan klien serta dihargai majikan, kerana dari situlah datangnya kepuasan bekerja.

Pegawai Perhubungan Industri, Mahadi Sibon, 33 pula berpendapat, pekerja di Malaysia masih dianggap bertuah kerana tidak begitu terkena tempias krisis ekonomi tetapi masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan.

"Kerajaan harus mengambil berat hak pekerja dari segi perlindungan gangguan seksual di tempat kerja, hak gaji minimum dan hak berpersatuan.

"Saya juga berharap sempena Hari Pekerja 2010 semua pekerja di Malaysia dapat meningkatkan produktiviti dan menyokong model ekonomi baru yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Gaji minimum sektor industri rendah

01/05/2010 1:51pm

KUALA TERENGGANU - Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji penetapan kadar gaji minimum pekerja terutama sektor industri yang dilihat masih terlalu rendah.

Menterinya, Datuk Dr. S.Subramaniam berkata, kajian terperinci dari pelbagai aspek diperlukan kerana cadangan itu akan menimbulkan implikasi yang besar apabila dilaksanakan kelak.

"Kajian dibuat dalam semua aspek untuk menentukan gaji yang munasabah kepada pekerja-pekerja. Setakat ini kerajaan tidak menetapkan had masa untuk kajian itu dan bila masa pelaksanaannya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Sektor Awam 2010 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian yang dibuat oleh kementerian hujung tahun lalu mendapati, gaji pekerja sektor elektronik, tekstil, plastik dan pembuatan perabut hanya sekitar RM550 hingga RM600 sebulan.

Keadaan itu, ujarnya, meletakkan pekerja sektor berkenaan dalam keadaan sukar. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm

Graduan perubatan tempatan pilih bekerja di Singapura

KUALA LUMPURGraduan-graduan dari fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) memilih untuk bekerja di Singapura sejurus lulus peperiksaan akhir tahun.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, dijangka 80 graduan UKM akan meninggalkan Malaysia untuk berkerja di hospital-hospital di Singapura.

“Sebagai doktor pelatih, mereka ditawarkan gaji sebanyak 2,690 dolar Singapura bersamaan RM6,187 sedangkan doktor pelatih di Malaysia dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dan RM1,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Fenomena itu, katanya, berlaku sejak lima tahun lalu selepas Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan dari kedua-dua universiti tersebut.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak akan pulang untuk bekerja di negara ini walaupun kebanyakannya menerima biasiswa kerajaan sepanjang lima tahun pengajian,” katanya.

Menurut Lokman, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang doktor-doktor itu daripada lari daripada melaksanakan kewajipan terhadap negara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Ihsan menjelma

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/05/01

MUAR: “Semua barang boleh digunakan untuk kenduri tahlil dan bacaan surah Yasin.” Begitulah reaksi spontan Zuliha Yahya, 42, yang terpaksa menagih belas ihsan bagi menguruskan jenazah dua anaknya yang mati lemas pada Isnin lalu, sebaik menerima sumbangan wang tunai dan barangan makanan.

Penderitaan Zuliha dan suami, Razak Manap, 52, serta lima anak mereka berusia antara satu hingga 23 tahun akhirnya mendapat perhatian pelbagai pihak dan antara yang terawal menyampaikan sumbangan ialah pasar raya besar Econsave di sini, yang menyumbangkan barangan dapur serta wang tunai dianggarkan bernilai RM1,500, semalam.


Zuliha berkata, sejak kisah keluarganya disiarkan akhbar ini, dia menerima reaksi positif daripada masyarakat setempat termasuk menerima kunjungan daripada pejabat agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Muar, pagi semalam.


“Rumah kami didatangi pegawai kerajaan dan pemimpin setempat untuk menyampaikan sumbangan,” katanya yang turut menerima sumbangan wang tunai daripada Econsave bernilai RM450.


Namun, episod sedih keluarga Zuliha bagaikan tidak berhenti di situ saja apabila dia menceritakan kini anak sulungnya, Fara Zuliana, 23, terpaksa berulang-alik ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi mendapatkan rawatan penyakit ganjil yang digelar orang kampung sebagai kenan orang mati.


“Selepas pemergian dua adiknya, Along (panggilan untuk Fara) sering meracau-racau dan kadang-kala bertindak aneh seperti berenang untuk menyelamatkan diri macam dia sedang lemas,” katanya.


Malah, anaknya turut menjadikan lopak kecil air di depan rumah sewa milik sebagai ‘sungai’ tempat dia berenang.


Sementara itu, Pengurus Pemasaran Econsave, Mas Imran Adam, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada bantuan untuk meringankan beban keluarga terbabit.


“Ia juga sebagai tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, namun diharap dapat membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Penyampaian sumbangan itu dilakukan Pengurus Cawangan Econsave Muar, Aw Wee Siang diiringi beberapa pekerja syarikat itu.


Dalam kejadian itu, dua anak Zuliha, Muhammad Fadzly, 15, dan Muhamad Syafiq, 11, lemas dipercayai selepas motosikal yang mereka naiki ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Parit Bunga, terbabas ketika hujan lebat dan memasuki parit di Sungai Mati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ihsanmenjelma/Article

Remaja iblis

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/01

SUBANG JAYA: Baru berusia belasan tahun, namun seorang remaja lelaki sudah menunjukkan sifat iblis apabila tergamak memperdaya sebelum mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Lebih menjijikkan suspek mencabul mangsa yang juga pelajar darjah dua di dalam kelas kosong di sebuah sekolah rendah di sini.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam kira-kira 3 petang itu pelajar perempuan berkenaan dikatakan berada di hadapan sekolah menanti van yang biasa mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah.


“Namun, ketika kejadian van berkenaan masih belum sampai ke kawasan sekolah menyebabkan kanak-kanak perempuan itu hanya menunggu di luar perkarangan sekolah.


“Kesempatan itu diambil suspek mendekati mangsa sebelum berpura-pura memberitahu diarah untuk menjemput mangsa pulang ke rumah,”
katanya.


Menurutnya, suspek memberitahu akan membawa mangsa bertemu dengan ibu mangsa yang didakwa berada tidak jauh dari pagar sekolah berkenaan.


“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian terus mengekori suspek sehingga ke hadapan sebuah sekolah lain bersebelahan dengan sekolah mangsa.


“Suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke dalam kawasan sekolah terbabit, namun mangsa yang mula curiga enggan akur permintaan remaja terbabit,”
katanya.


Menurutnya, mangsa diugut akan dicederakan jika enggan akur sebelum dicabul di dalam bilik darjah yang terletak di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Difahamkan suspek mencabul mangsa selama beberapa minit dan mangsa melarikan diri menuju ke hadapan sekolahnya dalam keadaan ketakutan.


“Pemandu van sekolah yang mengambil mangsa bagaimanapun mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mangsa dilihat dalam keadaan trauma. Malah, ketika ditanya berhubung beg sekolahnya yang hilang, suspek hanya mendiamkan diri sebelum dihantar pulang ke rumah.


“Bagaimanapun ibu bapa mangsa yang berulang kali cuba memujuk mangsa membuka mulut akhirnya terkejut apabila diberitahu diraba dan dicabul lelaki tidak dikenali,” katanya.


Susulan itu ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya sebelum mangsa dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan air mani pada tubuh mangsa dipercayai milik suspek yang mencabulnya. Polis kini sedang memburu remaja terbabit yang dipercayai seorang pelajar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajaiblis/Article

Akal ‘cucu pelesit'

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/05/01

MUAR: Tiada nama lebih sesuai selain daripada ‘cucu pelesit’ untuk menggambarkan kelakuan buruk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tergamak berpakat dengan rakan lelaki berusia 15 tahun untuk merompak nenek sendiri yang berusia 75 tahun.

Bagi melengkapkan komplot jahatnya itu, remaja terbabit turut bersekongkol dengan seorang wanita berusia 40-an yang bertindak merampas wang tunai dan menyelongkar barang kemas nenek pelajar tingkatan dua itu di rumah mereka di Kampung Jawa, Panchor, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.


Kejadian malang itu bermula apabila mangsa, Ruliah Abu Bakar sedang berehat bersama ‘cucu pelesit’ itu sebelum tiba-tiba didatangi dua suspek yang menaiki motosikal secara berasingan.


Ruliah berkata, wanita berusia 40-an itu bersama remaja lelaki berusia lingkungan 15 tahun terbabit memberi salam sebelum cucunya menyuruh mereka masuk ke rumah.


Menurutnya, dia dapat mengecam suspek wanita yang dikenali sebagai Ila kerana berkawan rapat dengan cucunya serta sering berkunjung ke rumah itu.


“Saya ingatkan mereka datang untuk jumpa cucu saya saja. Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak kasar dengan menekup muka saya menggunakan kain.


“Saya terkejut dan cuba melawan tapi apakan daya, tenaga orang tua tak terlawan mereka berdua,”
katanya ketika ditemui di rumahnya.


Malah, Ruliah berkata, dia diperlakukan dengan kejam dan tidak berhati perut apabila seorang daripada penjenayah itu menyerkup kepalanya dengan anak tudung dipakainya sebelum mengikat tangan menggunakan kain batik yang dipintal.


Ruliah cuba meminta pertolongan daripada cucunya, namun tanpa disangka remaja perempuan itu bersekongkol dengan penjenayah terbabit dengan membantu mereka.

“Kemudian saya dipaksa berbaring sebelum seorang daripada mereka merampas perca kain berikat getah berisi wang tunai kira-kira RM300,” katanya.


“Tidak puas hati dengan hasil rompakan berkenaan, cucu yang saya sayangi itu kemudian menyuruh dua rakannya masuk ke bilik dan menyelongkar almari sebelum mereka melarikan barangan kemas termasuk cincin dan rantai,”
katanya.


Ternyata, kasih sayang seorang nenek masih menebal apabila perilaku kejam cucunya itu sanggup diketepikan apabila Ruliah berkata kepada remaja itu, ‘jangan pergi’.


Malangnya, remaja terbabit tidak mengendahkan larangan Ruliah dan meninggalkan mangsa keseorangan dalam keadaan mata tertutup dan tangan diikat.

Selang 15 minit kemudian, Ruliah berjaya melepaskan diri sebelum meminta tolong jiran dan melaporkan perkara itu kepada polis.


Akibat rompakan dirancang cucu sendiri, Ruliah kerugian RM1,000 termasuk wang tunai dan barang kemas.


Sementara itu, anak Ruliah yang juga ibu remaja terbabit, Hasinah Samad, 54, berkata, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di sebuah kilang perabot di Pagoh, manakala suaminya, Harun Othman masih menerima rawatan di hospital sejak tiga hari lalu akibat batuk kering.


Menurut Hasinah, sebaik dimaklumkan jirannya kira-kira jam 1 tengah hari, dia segera menelefon anak tunggalnya itu, namun gagal.


Malah, cubaan menghubungi rakan jenayah anaknya juga gagal kerana mereka mematikan telefon bimbit masing-masing.


Hasinah menyatakan anaknya seorang yang pintar serta bijak dalam pelajaran, namun perangainya berubah selepas mengenali Ila sejak awal tahun ini.


“Perangainya banyak berubah termasuk sering berkelakuan kasar terhadap keluarga dan kerap ponteng sekolah,” katanya.


Biarpun kecewa denganperlakuan anaknya, dia tetap berharap remaja itu kembali ke pangkuan keluarga.


“Tolonglah balik, emak merayu sangat-sangat. Semua yang terjadi ini kita selesaikan dengan cara yang baik. Walau apa terjadi, baik atau buruk kita harungi bersama,” luah ibu malang terbabit.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit tetapi belum ada tangkapan dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Akal__8216_cucupelesit/Article

Gadis dua kali sedap

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/05/01

JOHOR BAHRU: Dia bukan saja terkenal di kalangan penagih dadah, malah gadis genit perayau lorong gelap di sekitar bandar raya ini turut menjadi buruan lelaki hidung belang kerana menyediakan ‘pakej dua kali sedap’ dengan bayaran RM70 merangkumi dadah, jarum suntikan dan khidmat seks.

Ketika ditahan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan operasi khas awal pagi semalam, gadis berusia 24 tahun berasal dari sebuah negeri di pantai timur itu mengaku membenarkan tubuhnya dijamah lelaki hidung belang selain menawarkan dadah.


Bagaikan tawaran harga runtuh, dia mengaku hanya mengenakan bayaran serendah RM70 bagi pakej berkenaan dengan alasan mahu mendapat untung lebih dan tidak hanya bergantung pada jualan dadah.


Mengikut pakej disediakan, pelanggan boleh mendapatkan bekalan dadah dan jarum suntikan serta layanan seks sebagai penambah `stim’ ketika bersama-sama khayal diulit dadah.


Pemeriksaan AADK dalam beg sandang dibawa gadis terbabit menemui 12 jarum suntikan belum digunakan yang dibungkus menggunakan kertas surat khabar, tiub kosong dipercayai untuk mengisi dadah, pisau lipat serta sejumlah kondom bagi aktiviti tidak bermoral itu.


Hasil soal siasat, gadis terbabit mengaku mula terjebak aktiviti tidak bermoral itu sejak setahun lalu berikutan kesempitan wang dan tidak mempunyai pekerjaan sejak sampai di negeri ini.


Katanya, dia berhijrah dari kampung halamannya ke negeri ini dengan hasrat mencari pekerjaan dan membantu keluarga selepas terpengaruh cerita rakan mengatakan Johor lubuk rezeki.


Bagaimanapun, dia tersilap langkah selepas terjebak aktiviti penjualan dadah serta kegiatan memperdagangkan tubuh. Terdahulu, sebelum ditahan gadis terbabit yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba menyorok dalam gerai menjual kasut dengan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum meloloskan diri.


Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota AADK, dia dicekup di Jalan Wong Ah Fook di sini pada jam 12.30 tengah malam.

Penahanan gadis itu hasil aduan orang awam yang rimas dengan kehadiran pengedar dan penagih dadah berkeliaran di kawasan itu selain risau menjadi mangsa ragut golongan terbabit.


Ketua Operasi AADK Johor, Zulhilmi Ahmat, berkata dalam operasi sama lima lagi penagih juga dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah turut ditahan di beberapa lagi lokasi di sekitar pusat bandar raya termasuk Jalan Meldrum, Jalan Dobi dan Jalan Segget.


“Ketika pemeriksaan, kami menemui tiub kosong mengisi dadah, peralatan menghisap dadah seperti jarum suntikan, sudu dan tali.


“Objektif utama operasi ialah membersihkan pusat bandar raya daripada penagih, sekali gus mengurangkan jenayah jalanan.

“Golongan ini dipercayai paling ramai terbabit melakukan jenayah untuk mendapatkan wang mudah bagi membeli dadah,” katanya.


Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di lorong belakang pusat beli-belah terkemuka di Jalan Wong Ah Fook yang dipercayai dijadikan ‘port’ terbuka penagih, pasukan itu menemui pelbagai peralatan digunakan bagi melepaskan gian seperti jarum, botol diubah suai untuk menghisap dadah dan tiub kosong.


Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan berikutan penagih terbabit cabut lari selepas menghidu kehadiran pihak berkuasa. Hasil risikan dipercayai kawasan itu mula dikunjungi penagih bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi setiap hari dan bertambah meriah pada malam minggu. Ujian air kencing terhadap semua lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 54 tahun ditahan mendapati mereka positif syabu, ganja, heroin serta morfin.


“Semua yang ditahan direman 14 hari dan dihantar ke Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Tampoi sementara menunggu ujian lanjut air kencing dijalankan di makmal sebelum pendakwaan.


“Bagaimanapun, gadis berusia 24 tahun itu dibebaskan dengan jaminan AADK dan dia diminta melaporkan diri ke pejabat kami dalam tempoh tujuh hari bagi urusan selanjutnya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah 1983,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadisduakalisedap/Article

'Suamiku tiada hati perut'

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/05/01

PORT DICKSON: “Ada dia kisah dengan anak dia ke...? Dia tidak tahu bagaimana peritnya saya meneruskan hidup membesarkan dua anak tanpa duit belanja walau sesen pun,” kata ibu muda beranak dua, Syamsiah Mohd Ali, 23, yang ditinggalkan suaminya sejak November lalu.

Nasib Syamsiah dan dua anaknya yang masih kecil, Zulaikha Zuilkafli, tiga tahun dan Zulkarnain, setahun, terumbang-ambing selepas mendakwa ditinggalkan suami, Zuilkafli Yusof, 25, yang dipercayai bermain kayu tiga dan menghilangkan diri bersama teman wanitanya sejak enam bulan lalu.


Malah, mangsa mendakwa digantung tidak bertali di Kampung Bukit Tongkat, Pasir Panjang, dekat sini.


Zulkifli yang dianggap suami terbaik dan beriman serta bersifat penyayang dan bertanggungjawab tiba-tiba bertukar menjadi orang hilang pedoman apabila meninggalkan keluarganya.


Menurut Syamsiah, perselisihan faham berlaku selepas dia menghidu suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

Katanya, selepas tembelangnya pecah, suami yang dinikahi pada April 2007 itu nekad keluar dari rumah meninggalkan mereka tiga beranak dan melafazkan talak.


Dia mendakwa suaminya yang bekerja sebagai nelayan bersama bapanya tidak mengenang budi atau bersyukur serta sering memandang rendah terhadapnya.


“Kami ditinggalkan di rumah ibu bapa saya tanpa nafkah sejak November lalu sedangkan dia tahu saya tidak bekerja. Dia tidak pernah mempedulikan saya sebagai isteri setia. “Saya sangka dia boleh mendidik serta menjaga kami namun sangkaan itu nyata meleset,” katanya.


Syamsiah berkata, enam bulan selepas itu dia melaporkan kejadian di Pejabat Agama Islam Port Dickson serta memohon fasakh di Mahkamah Syariah.

Namun, tiba-tiba suaminya itu juga muncul menafikan pernah menceraikannya.


“Walau apapun terjadi, saya tidak sanggup menerimanya semula selepas apa yang dilakukan,” kata Syamsiah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamikutiadahatiperut/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...