Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Shah Alam pada Sabtu ini. Perhimpunan tersebut adalah anjuran NGO Islam yang akan membawa isu-isu Islam untuk diperjuangkan bersama oleh umat Islam. Walaupun tujuan murni perhimpunan bawah tema memelihara aqidah umat Islam adalah sesuatu yang wajar namun demikian, namun beliau berhak untuk berasa bimbang perhimpunan akan lari dari hasrat murni penganjur. “Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena pada perhimpunan ini bukan kerana usaha mengumpulkan sejuta umat tetapi persolannya ialah sifatnya yang mungkin mengancam usaha-usaha keharmonian hubungan antara agama di negara ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Dialog Antara Agama Rantau Asia Tenggara kepada Harakahdaily. Beliau menggariskan lima alasan untuk berasa khuatir dalam konteks hubungan antara agama di negara ini. Katanya, perhimpunan itu diadakan dalam suasana hubungan antara agama di negara ini dalam keadaan rapuh dan apa sahaja suasana permusuhan tidak akan membantu usaha usaha mewujudkan keharmonian hubungan antara agama di negara ini. Di samping itu, ujarnya perhimpunan itu dikhuatiri akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama. “Lebih buruk ia dikhuatiri satu perancangan jahat yang menjadi agenda parti yang terdesak untuk terus berkuasa dengan cara mencetuskan ketegangan,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat. Selain itu, tambahnya dikhuatiri nama baik Islam tercemar dan sekaligus membawa imej Islam sebagai agama permusuhan dan menggalakkan benci membenci antara satu sama lain. Baginya, tema memelihara aqidah tidak salah tetapi mempersoalkan apakah dengan sekadar perhimpunan akan menyelesaikan masalah. Bukankah, katanya dialog antara agama adalah lebih berkesan untuk menegaskan sikap Islam kepada pemurtadan dan isu-isu sensitif yang lain. “Dan akhirnya saya merakamkan rasa kesal saya terhadap pihak polis yang double standard memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang Bersih untuk berhimpun dalam bilangan peserta yang lebih kecil. “Jelas ia satu sikap yang di bawah telunjuk pihak tertentu,” katanya. |
Wednesday, October 19, 2011
Ada sesuatu tidak kena dengan Himpun
Bahaya HIMPUN dan kegagalan institusi agama
Selamatkan aqidah! Cegah murtad! Ayuh ke stadium!
Masih banyak ruang-ruang demokrasi boleh diisi. Salah satu prinsip demokrasi adalah kebebasan untuk bersuara. Kesedaran demokrasi kalangan rakyat makin teserlah sejak BERSIH 2.0. Justeru, satu perhimpunan besar-besaran anjuran HIMPUN akan berlangsung di stadium Shah Alam Sabtu ini untuk menyuarakan pandangan dan penerangan terhadap usaha memurtadkan umat Islam yang dikatakan giat dijalankan di negara ini.
Himpunan ini dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Umat dengan tema "Selamatkan Akidah Umat". Secara kasar, kita boleh katakan bahawa himpunan ini merupakan respon yang terhadap peristiwa 3 Ogos lalu yang melibatkan Gereja Methodist Damansara Utama. Untuk itu, HIMPUN mengajak umat Islam dari segenap lapisan untuk menyertai perhimpunan ini sebagai tanda solidariti di samping memperkukuh persaudaraan di antara satu sama lain.
Sebelum kita membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, ada beberapa perkara yang masih samar dan menimbulkan tanda tanya. Antaranya, apakah maksud tujuan perhimpunan ini benar-benar ikhlas untuk selamatkan akidah umat Islam Malaysia? Apakah rasional perhimpunan ini diadakan? Lebih membingungkan adalah bagaimana permit perhimpunan yang dilihat sensitif ini terlalu mudah diperoleh? Siapakah di sebalik penganjuran himpunan ini dan siapa pula yang akan menanggung akibatnya nanti?
Cuba untuk bersangka baik, kita tidak mahu menyalahkan siapa-siapa berhubung perhimpunan ini. Perhimpunan ini adalah pilihan. Perhimpunan ini mungkin cuma respon terhadap peristiwa agar setiap umat Islam terjaga akidahnya dan dapat masuk syurga. Mungkinlah, sebagai sebuah jangkaan…
Rasional HIMPUN dan persoalan
Untuk mengupas permasalahan akidah dan pindah agama, ia merupakan sebuah perbincangan yang sangat panjang. Walau bagaimanapun, punca kepada masalah pindah agama boleh kenalpasti.
Persoalannya, apakah dengan menghimpunkan seramai mungkin umat Islam di stadium mampu untuk menyelamatkan akidah? Apakah sebenarnya di sebalik kegusaran kita terhadap gejala murtad ini? Perlukah kita menyalahkan pihak lain sedangkan jawapannya ada pada kita sendiri? Ataupun kita tercari-cari di mana letaknya kehebatan Islam sebagai agama yang syumul sedangkan Islam punya penyelesaian terhadap semua masalah umat? Ini adalah persoalan pokok yang harus kita jawab dengan hati yang terbuka dan rasional.
Kristianisasi
Kita harus melihat kembali sejarah. Gerakan kristianisasi telah berlaku sejak zaman penjajahan British lagi di Tanah Melayu dengan pembukaan sekolah-sekolah mubaligh dan sebagainya. Ramai anak-anak Melayu yang bersekolah di institusi berkenaan tetap teguh dengan Islam yang diwarisi dari keluarga mereka.
Harus diakui juga bahawa Kristianisasi di zaman penjajahan lebih kuat berbanding sekarang di mana silibus pendidikan negara sekarang telah dilengkapi dengan subjek agama Islam dan modul lainnya. Akan tetapi, kita berasa hairan mengapa gejala pindah agama ini kian menular di kalangan umat Islam negara kita?
Kedangkalan HIMPUN dan kegagalan institusi agama kita
HIMPUN tidak mampu menjawab persoalan pindah agama ini secara matang. Secara terang, HIMPUN juga nampaknya gagal menilai situasi yang berlaku dan mengambil jalan keluar yang sangat mudah dan akibatnya cuma memperlihatkan kegagalan institusi agama Islam di bawah pentadbiran kerajaan memainkan peranan sebenar mereka dalam memperkukuh akidah dan menjaga kemaslahatan umat Islam. Satu kelemahan yang sukar difahami!
Apakah mungkin disebabkan kekurangan ulama, ahli akademik dan pentadbir yang baik di dalam institusi agama di Malaysia penyebab kepada gejala pindah agama yang kian meruncing ini walhal saban tahun akan ramai sahaja graduan yang tamat pengajian dari timur tengah pulang ke tanah air mencurah bakti?
Mungkinkah juga ia melibatkan kaedah dakwah di Malaysia yang bersifat menghukum dan hitam-putih sukar untuk diterima sebilangan masyarakat kita?
Sebagai umat Islam yang rasional dan realis, kita seharusnya berasa malu apabila isu murtad ditangani dengan emosi. Malaysia yang mempunyai pentadbiran agama Islam yang sistematik seolah-olah tidak mampu untuk melaksanakan tindakan yang serius dan seolah membiarkan pihak lain medahului tanggungjawab mereka.
Sekiranya gejala pindah agama ini disebabkan oleh gerakan Kistianisasi yang modus operandinya melalui cara kebajikan, mengapa pihak berkuasa agama kita tidak serius seperti mereka? Di mana pula fungsi baitulmal dalam pengagihan zakat kepada golongan miskin yang memerlukan?
Apakah cukup dengan mendabik dada berbangga mengumumkan kutipan zakat kian meningkat saban tahun sudah memadai? Di manakah sejumlah besar dana umat Islam ini pergi sehingga terpaksa mengemis di pihak lain?
Lagi-lagi yang keluar hanya persoalan. Dan persoalan-persoalan ini perlulah diselesaikan sebaik mungkin.
Ujian buat PAS: sekali lagi!
Melihat dalam konteks politik, PAS sekali lagi teruji. Di antara publisiti, keutamaan, perjuangan dan kepercayaan penyokong. Apakah HIMPUN benar-benar ikhlas atau ada tangan-tangan politik yang berkepentingan menangguk diair yang keruh?
Inilah bahayanya.
Sekiranya PAS bersetuju untuk menyertai perhimpunan ini, ia bererti PAS sedia untuk menerima risiko yang sangat besar. Parti Islam yang selama ini melaungkan sloganPAS for all cuma akan dilihat sebagai topeng semata-mata hanya disebabkan menyertai perhimpunan yang konon-kononnya mahu menyelamatkan akidah sedangkan segalanya masih tersirat dan sulit untuk dijelaskan. Akhirnya, PAS akan dilabel sebagai puak ekstrimis agama yang tidak mampu lagi berfikir dengan waras. Kita yakin, dengan segala pengalaman yang ada, PAS mampu untuk berbuat yang lebih baik dari menyertai perhimpunan ini.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kita boleh bersetuju bahawa perhimpunan ini mudah dilihat, malah dikhuatiri untuk mengancam keharmonian beragama di negara ini yang dikecapi sejak sekian lamanya - lebih-lebih lagi seandainya tujuannya tidak diperjelaskan sebaik-baiknya kepada seluruh masyarakat.
Percayalah, perhimpunan ini mungkin boleh menyemai bibit kebencian antara rakyat yang berbilang agama, seandainya tidak ditangani dengan baik. Berbeza dengan BERSIH 2.0 yang menuntut satu sistem yang adil untuk semua, HIMPUN dilihat lebih "eksklusif". Lebih-lebih lagi pada saat-saat umat Islam dibelenggu dengan nilai dan kefahaman yang rapuh, mudah dimanipulasi dan gagal untuk berfikir dengan wajar. Mungkin kerajaan perlu keluar dengan penyelesaian alternatif.
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview.
PAS tak akan sertai perhimpunan anti murtad
Jimadie Shah Othman 12:16AM Okt 19, 2011 |
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada Selasa malam.
"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri).
Penganjur acara itu pada Selasa memberi jaminan HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.
Secara khusus, pengerusi bersama himpunan itu Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi - Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Hadi berkata, PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.
"Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, katanya, PAS memandang berat usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.
"Agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah," kata Hadi.
Beliau juga menegaskan PAS menyokong segala usaha sebegitu tetapi berpendirian bahawa pengukuhan akidah hendaklah dilaksanakan "menerusi jalan dakwah secara damai".
Ia sebagaimana Islam diterima masyarakat rantau ini secara damai, tambahnya.
Pemimpin Gerakan keluar parti, kecewa dengan Koh
Setiausaha penganjur Gerakan Kedah dan Ketua Bahagian Padang Serai, Tang Hiang Lye berkata beliau membuat keputusan itu kerana percaya Koh tidak berupaya membawa sebarang pembaharuan kepada parti dan kerajaan.
"Saya bukan oportunis tetapi sekadar marah. Saya tidak fikir akan berlaku sebarang perubahan dalam parti," katanya apabila dihubungi.
Tang menjelaskan beliau tidak berniat untuk melukakan Gerakan tetapi hanya merasakan tidak perlu untuk beliau berada lebih lama dalam parti itu ekoran beberapa gesaan dan cadangan untuk parti berubah tidak diendahkan.
"Sekiranya Dr Koh sanggup meletak jawatan dalam tempoh dua bulan lagi dan menyerahkannya kepada orang yang boleh melakukan perubahan, maka saya akan mempertimbangkan untuk menyertai semula Gerakan.
"Namun saya tidak fikir, beliau (Koh) akan berbuat demikian," katanya.
Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai mengesahkan Tang telah keluar parti walaupun pelbagai usaha telah dibuat untuk memujuknya.
Beliau berkata Jawatankuasa Kerja Gerakan Negeri Kedah akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan Gerakan negeri mengambil alih bahagian Padang Serai.
- Bernama
Politik seks: Hormati hak kanak-kanak
Edwin Michael 7:17AM Okt 19, 2011 |
Percaya atau tidak, kita termasuk kanak-kanak seusia 16 tahun sudah diheret jauh ke dalam gelanggang politik binatang yang terlalu kejam dan terlampau kotor. Politik Malaysia tidak pernah lekang daripada perkataan ‘seks’ yang saya percaya, satu-satunya negara di dunia ini yang memiliki pentas politik berkonsepkan seks dan adegan ranjang.
Dan kita seolah-olah seronok dibuai-buai dengan keghairahan melihat semua ini tanpa sedikit pun perasaan malu dan hina sedangkan kita gah sebagai negara Islam dan negara yang mendaulatkan raja serta sultan.
Saya tidak tahu berapa ramai di luar sana terusik jiwa melihat kerakusan politikus pemerintah yang menjadikan anak Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai sasaran politik mereka yang teramat sukar untuk diterima akal pemikiran waras.
Mengapa pentas politik begitu jijik hinggakan kehidupan seorang kanak-kanak dijadikan taruhan politik pemerintah. Adakah kerana status quo dan hegemoni yang mereka miliki membuatkan mereka bertindak sedemikian?
Ironisnya, kita yang sedekahkan mereka status quo dan kekuasaan itu dan pada masa yang sama kita juga sengaja biarkan mereka memperlakukan apa jua pada mangsa mereka tanpa sedikit pun perasaan kemanusiaan.
Hak kanak-kanak
Kanak-kanak bukan sahaja merupakan penyambung generasi tetapi juga bertindak menjadi suatu asset yang penting dalam memastikan nadi pembangunan sosioekonomi negara membangun secara mapan pada masa hadapan.
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.
Atas dasar itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. CRC memberikan tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada beberapa aspek seperti kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).
Malah, kepentingan kepada golongan kanak-kanak ini juga dengan jelasnya dapat dilihat dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.
Sayangnya, sebagai sebuah negara pihak (state party) kepada CRC, golongan politikus yang mempunyai hubungan langsung dengan pemerintah gagal menunjukkan rasa prihatin dan komited terhadap tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dilindungi dengan sewajarnya.
Mengheret seorang kanak-kanak yang hanya berusia belasan tahun dan kemudian menjadikannya sebagai bahan gurauan di kalangan para politikus pemerintah sememangnya membuktikan betapa rendahnya moral dan etika profesionalisme golongan ini.
Saya sukar memahami bagaimana selama ini kita biarkan golongan-golongan ini merajai segenap ruang politik negara!
Membisu seribu bahasa
Kenapa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hanya membuta dan membisu sedangkan dengan jelas ini isu ini jatuh di bawah skop kementerian berkenaan lebih-lebih lagi ini melibatkan hak seorang kanak-kanak yang tidak berupaya untuk bertindak mempertahankan diri daripada penderaan emosi yang diakibatkan oleh politikus-politikus pemerintah ini.
Jika menteri berkenaan hanya bertindak melihat isu ini daripada sudut politik sahaja maka kita sebagai rakyat juga harus bersama membuta dan membisukan diri dan kemudiannya meraikan hari kanak-kanak dengan penuh kepura-puraan seolah-olah kanak-kanak di negara ini bebas daripada cengkaman permainan politik kotor.
Masyarakat harus memahami bahawa memberikan ruang kepada para politikus dengan menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran politik kotor adalah sesuatu yang amat merbahaya kerana tindakan mereka bukan sahaja akan memberikan impak kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan tetapi juga kemungkinan untuk kanak-kanak berkenaan mengalami tekanan dari segi psikologi juga adalah tinggi.
Gelanggang politik di Malaysia adalah untuk mereka yang dewasa.
Biarkan kanak-kanak dengan dunia mereka sendiri. Saya bukan menulis ini atas prinsip sebagai penyokong pihak pembangkang tetapi atas dasar bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak untuk dihormati dan dilindungi daripada sebarang perbuataan tidak bertamadun dan tidak bermanusiawi oleh sesiapa pun termasuk mereka yang memiliki kuasa!
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kewartawanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Guan Eng berang anaknya dijadikan mangsa politik
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berang dengan tindakan penulis blog pro-Umno yang cuba menamatkan kerjaya politiknya dengan mengheret kehidupan anak remajanya dengan segala pembohongan yang “keji serta tidak bertamadun”.
Dalam satu kenyataan media, Lim menuntut bahawa Umno bertindak ke atas mereka yang bertanggungjawap melakukan perbuatan itu bagi membuktikan bahawa parti itu tidak menggunakan taktik "terdesak, berbahaya dan kotor" untuk terus berpaut pada kuasa.
“Dalam zaman moden ini, adalah sangat sukar bagi anak-anak muda yang membesar, terutamanya apabila ayahnya merupakan seorang Ketua Menteri yang setiap hari menjadi sasaran media pro-Barisan Nasional,” kata Lim.
Beliau juga mengutuk tindakan beberapa pemimpin Umno yang memuat-naikkan artikeji yang keji itu di blog mereka. Antara yang dinamakan adalah naib ketua Umno bahagian Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.
Khairy yang juga ahli parlimen Rembau, sebelum itu telah menulis di tweeter @ PapaGomo Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada.”
"Saya berharap mereka yang menabur dusta ini tentang anak muda saya boleh melihat diri mereka sendiri di cermin sebagai seorang bapa, dan bertanya sama ada mereka mahu anak mereka menderita trauma pembohongan seumpama itu," kata Lim.
"Keluarga saya dan saya berhak mengambil apa-apa tindakan selanjutnya untuk melindungi diri kami daripada apa-apa ancaman. Buat masa ini, isteri saya dan saya akan cuba mententeram dan memulihkan anak muda saya dan berdoa bahawa dia akan pulih daripada dilakukan sebegitu kejam”.
Lim berkata jika seteru politiknya mahu ‘menghabiskan’ kerjayanya, mereka boleh berbuat apa sahaja terhadap dirinya tetapi anak-anaknya tidak harus diusik.
Katanya, ahli-ahli politik Umno juga mempunyai anak-anak, tetapi DAP tidak pernah tergamak mengganggu mereka dan tidak menaruh sebarang niat bagi membalas perbuatan itu.
“Anak saya resah gelisah dan mengalami trauma kerana pembohongan ini. Dia juga sudah tidak ke sekolah dua hari. Saya sedih kerana gagal melindungi anak saya daripada pemimpin dan blogger Umno yang bersifat binatang ini,” kata Lim dengan kesal.
Jelasnya, anaknya itu berpindah sekolah bukan kerana masalah disiplin seperti yang didakwa oleh blog pro-Umno tetapi kerana mahu menyimpan rambut yang lebih panjang.
Di sekolah asalnya, SMJK Heng Ee, pelajar lelaki diwajibkan menggunting pendek rambut mereka.
“Anak saya telah ditukarkan ke Sekolah St Xavier di Pulau Pinang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Heng Yee kerana saya telah berjanji kepadanya bahawa dia boleh berpindah sekolah mengikut pilihannya jika mendapat memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 6A dalam PMR.
“Apabila dia berjaya mendapat keputusan itu, dia telah dipindahkan pada awal penggal persekolahan tahun ini iaitu pada bulan Januari 2011.
“Anak saya juga mahu pergi ke St Xavier kerana dia tidak mahu rambutnya dipotong menjadi crew cut (seperti rekrut askar) yang diwajibkan terhadap pelajar-pelajar di Heng Yee,” katanya.
REFSA: Hutang negara mungkin cecah RM1 trillion
Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh "berkecai" melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya.
Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004.
"Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka," petik laporannya itu.
Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.
Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.
"Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang - RM1, 000000000000," petik laporan itu.
Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun.
"Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, "kata laporan itu lagi.
[Baca berita penuh]
Mufti Perlis sangsi dakwaan '250,000 umat Islam murtad'
“Tidak logik apabila orang tulis di Internet kononnya lebih 250,000 orang Islam di negara ini sudah murtad. Kalau ada buktikan dan jangan beremosi,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Juanda jika ada kebenaran berhubung dakwaan itu, seseorang mesti dipertanggungjawabkan.
“Setiap negeri ada enakmen yang mengawal dakyah agama lain daripada disebar kepada orang Islam, kenapa mereka ini tidak didakwa?” soalnya.
Menurut Juanda, isu murtad tidak sepatutnya dihebohkan kerana ia menggugat sensitiviti umat Islam selain mencemarkan imej agama seolah-olah ia lemah dan tidak mampu menjaga penganutnya sendiri.
Bercakap di Kota Bharu, Dr Juanda bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan ada kes murtad berlaku di kalangan masyarakat Islam.
Juanda mengulas kenyataan yang dibuat rakannya Harussani, yang mahu hukuman ke atas mereka yang memurtadkan umat Islam kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
[Baca berita penuh]
PAS timbang hukuman lebih berat bagi perceraian
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan perkara itu bagi mengelakkan peningkatan jumlah perceraian.
"Kita akan pertimbangkan,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Mahmood (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu hari ini.
Tanpa menyebut jumlah perceraian di Kelantan, Wan Ubaidah berkata, kadar perceraian di Kelantan sejak 2005 hingga 2010 ialah 14.67 peratus.
- Bernama
Hutang negara mencecah RM437.2 bilion
Angka yang mengerunkan itu diperoleh daripada jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta menteri kewangan menyenaraikan negara luar yang memberi hutang kepada Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan, sebahagian besar hutang kerajaan adalah daripada hutang dalam negara yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang.
Manakala bakinya RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.
Dewan Rakyat juga diberitahu bahawa sumber hutang, pinjaman dalam negara itu diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.
Dalam pada itu hutang luar negara kerajaan persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Euro, Dolar Kanada serta Dinar.
Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Penan di Baram buat sekatan balak lagi
Masyarakat Penan sekali lagi dilaporkan membuat sekatan dalam usaha untuk menghalang kayu balak dikeluarkan daripada penempatan mereka di kawasan pertengahan Baram.
Menurut NGO, Dana Tabung Bruno Manser (BMF), kira-kira 70 masyarakat dari perkampungan Ba Abang dan Long Kawi membuat sekatan ke atas jalan pembalakan berhampiran sungai Ba Bunau. Tindaklan itu bagi menghalang syarikat Interhill yang berpangkalan di Miri daripada mengeluarkan balak.
"Mengikut maklumat daripada masyarakat tempatan, sekatan telah didirikan pada Khamis lalu, dan telah dihadiri oleh lebih daripada 70 penduduk pribumi Penan," kata NGO itu.
BMF, dalam kenyataan satu akhbar semalam, berkata bahawa sekatan itu didirikan di kawasan yang dituntut sebagai tanah adat (NCR) masyarakat Ba Abang.
NGO yang berpangkalan di Switzerland dan diasaskan bagi memperingati aktivis alam sekitar, Bruno Manser yang hilang di Sarawak pada tahun 2000, berkata bahawa masyarakat Penan menuduh Interhill "melakukan pembalakan secara agresif dan merosakkan alam sekitar sejak beberapa bulan yang lalu".
"Usaha oleh masyarakat untuk berunding dengan Interhill didakwa telah gagal. Interhill pernah dituduh melakukan tindakan yang sama pada tahun 2009.
"BMF difahamkan bahawa Interhill telah meminta bantuan polis dan Jabatan Perhutanan untuk membubarkan sekatan tetapi masyarakat Penan berkeras meneruskan protes mereka," kata BMF lagi.
Beberapa sekatan-sekatan yang dilakukan oleh masyarakat Penan terhadap pembalak sebelum ini lazimnya didakwa disambut dengan pelbagai ugutan oleh pihak berkuasa.
Pada tahun 2009, enam masyarakat Penan dari Baram tengah telah a memfailkan kes tuntutan tanah NCR dan meminta lesen pembalakan yang dikeluarkan oleh kerajaan diisytiharkan batal dan tidak sah.
Kes-kes itu masih belum selesai dibicarakan di Mahkamah Tinggi Miri.
[Baca berita penuh]