Sunday, February 1, 2009

Obama bidas Wall Street


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mengecam Wall Street kerana memberi bonus berjumlah AS$18 bilion (RM64.94 bilion) kepada pekerjanya ketika negara menghadapi krisis ekonomi.

Obama berkata, adalah sangat memalukan apabila pekerja Wall Street mendapat bonus sedangkan kerajaan membelanjakan berbilion-bilion dolar wang rakyat untuk menyelamatkan sektor kewangan pasaran itu.

Beliau menyatakan demikian selepas menerima laporan bahawa eksekutif Wall Street menerima bonus yang keseluruhannya berjumlah berbilion-bilion dolar tahun lalu.

Kongres AS juga tahun lalu meluluskan pelan berjumlah beratus-ratus bilion dolar bagi membantu Wall Street yang terjejas akibat krisis kewangan global.

"Ia sangat memalukan. Kami mahu eksekutif di Wall Street yang pernah meminta bantuan kerajaan menunjukkan sedikit disiplin dan sikap bertanggungjawab," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

7,000 hilang kerja di Singapura


SINGAPURA - Syarikat-syarikat di Singapura memberhentikan 7,000 pekerja dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu ketika negara berkenaan semakin terjerumus ke dalam kancah kegawatan ekonomi, kata kerajaan semalam.

Kementerian Tenaga Manusia memberitahu bahawa lebih separuh daripada pekerja yang diberhentikan itu adalah dari sektor pembuatan yang terjejas teruk akibat kemerosotan eksport.

Menurutnya, 7,000 pekerja diberhentikan pada suku tahun keempat berbanding 2,346 pekerja yang diberhentikan suku tahun sebelum itu dan 1,966 pekerja pada tempoh sama pada 2007. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Hakim tolak tangguh bicara kes tahanan Guantanamo


WASHINGTON - Seorang hakim di penjara Teluk Guantanamo kelmarin menolak permohonan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk menangguhkan perbicaraan membabitkan seorang tahanan warga Arab Saudi.

"Hakim James Pohl menolak permohonan Obama untuk menangguhkan kes suspek penyerang kapal USS Cole pada 2000 selama 120 hari, kata jurucakap Jabatan Pertahanan, JD Gordon.

Akhbar Washington Post sebelum ini melaporkan bahawa alasan yang dikemukakan kerajaan untuk menangguhkan kes adalah tidak kukuh.

Pada hari pertama Obama di White House pada minggu lalu, Presiden AS ke-44 tersebut menandatangani perintah penutupan penjara kontroversi itu menjelang akhir tahun ini.

Tahanan warga Arab Saudi, Abd. al-Rahim al-Nashiri, 43, dijadual untuk menyatakan pengakuannya dalam satu perbicaraan pada 9 Februari ini. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Pertanian di Gaza musnah


BEBERAPA penduduk Palestin bersolat Jumaat di tapak runtuhan sebuah masjid yang musnah di Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


ROM - Bekalan makanan untuk penduduk Palestin mungkin terancam selepas para petani di wilayah berkenaan terjejas teruk akibat operasi ketenteraan Israel di Gaza, kata sebuah agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Organisasi Makanan dan Pertanian PBB (FAQ) juga meminta bantuan segera berjumlah AS$6.5 juta (RM23.44 juta) untuk mengelakkan kejadian itu daripada berlaku.

Dalam satu kenyataan, FAQ menyatakan hampir semua 13,000 keluarga di Gaza bergantung hidup pada pertanian, penternakan dan aktiviti menangkap ikan.

Bagaimanapun, konflik terbaru di Gaza menyebabkan aset pendapatan utama mereka terjejas dan banyak ladang musnah sama sekali.

Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza selama 22 hari untuk menghentikan serangan roket Hamas dari wilayah berkenaan.

"Sebelum peperangan tercetus, para petani memang menghadapi kesukaran dan kini mereka mungkin kehilangan sumber pendapatan mereka," kata seorang penyelaras projek FAQ, Luigi Damiani.

"Kemusnahan sektor pertanian di Gaza memburukkan lagi krisis bekalan makanan yang sudah sedia terjejas akibat penutupan sempadan oleh Israel," ujarnya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Tinggalkan sidang kerana sikap Presiden Israel


ERDOGAN berjalan meninggalkan Forum Ekonomi Dunia selepas berbalah dengan Peres (duduk dua dari kanan) di Davos kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------


DAVOS - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin bertindak meninggalkan Forum Ekonomi Dunia semasa sidang sedang berlangsung di Switzerland setelah bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik Gaza.

Dalam situasi dramatik di Davos, Erdogan berjalan melintasi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan beberapa anggota panel lain.

"Saya tidak fikir akan kembali ke Davos selepas ini setelah anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Erdogan.

Beliau turut mengkritik para pegawai delegasi antarabangsa dan ketua korporat kerana memberi tepukan gemuruh terhadap ucapan emosi Peres yang mempertahankan tindakan Israel membunuh lebih 1,300 penduduk Gaza.

Turki adalah antara beberapa buah negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan sebelum ini pernah memohon kepada PBB untuk menyertai misi pengaman Asia Barat.

"Saya sangat dukacita kerana ramai bertepuk tangan dengan apa yang anda katakan kerana hakikatnya ramai penduduk (Gaza) mati," jerit Erdogan kepada Peres sebelum dihalang oleh moderator.

Ki-moon meminta Israel untuk menamatkan sekatan terhadap Gaza dan meminta Hamas menamatkan keganasan serta memperbaharui usaha dunia Arab untuk menyatukan kembali beberapa kumpulan Palestin.

Sementara itu di Gaza, Erdogan menerima pujian daripada penduduk Palestin kerana tindakannya memulaukan Peres.

Penduduk Gaza yang mendiami kem pelarian Jebaliya mengibarkan bendera Turki di tapak runtuhan masjid yang musnah dibedil Israel.

Erdogan turut disambut sebagai wira oleh sebahagian besar penduduk apabila beliau tiba di Turki selepas menghadiri forum ekonomi dunia itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Buntu cari petunjuk dari bilik Syuhada


Oleh SUHANA MD. YUSOP
suhana.yusop@kosmo.com.my




DUA orang saudara Syuhada mengemaskan barangan milik gadis itu di asramanya di UIAM Gombak, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



GOMBAK - Hasrat keluarga Nur Syuhada (gambar kecil), 23, untuk mendapatkan petunjuk mengenai kehilangan gadis itu melalui barang-barang di dalam biliknya di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak kesampaian apabila mereka gagal menemui sebarang bukti.

Bapanya, Naina Mohamad, 55, yang jelas kecewa tetapi bertekad untuk terus mencari anak keempatnya itu kerana yakin gadis itu masih berada di kawasan Lembah Klang.

"Ingatkan hari ini (semalam) datang ke UIAM bolehlah dapat apa-apa petunjuk seperti alamat, gambar Rauf (kekasih Syuhada) atau apa-apa saja yang boleh membawa anak saya pulang tetapi tiada pula petanda yang ditinggalkan.

"Malah pakaiannya pun tinggal sedikit, mungkin dia membawa bersama barang-barang dan buku-bukunya seolah-olah bersedia untuk lari," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum itu, Naina dan beberapa sanak saudaranya bertemu dengan Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIAM, Datuk Hamidon Abdul Hamid bagi membincangkan status pengajian Nur Syuhada.

Tinjauan Kosmo! di bilik Nur Syuhada mendapati, ia berada dalam keadaan rapi dan hanya tinggal beberapa pakaian, buku-buku miliknya manakala yang lain dipercayai telah dibawa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Anto takut ditangkap

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN dan OTHMAN YAHAYA
berita@kosmo.com.my



NUR JUMIAH (kiri) bersama Nurul Najihah dirakamkan tahun lalu.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Kebimbangan suami Nur Jumiah, Suranto Ngadio, 30-an, terhadap undang-undang di Malaysia merupakan punca utama dia enggan membawa isterinya itu serta anak mereka, Disti yang kini berusia setahun, kembali ke negara ini.

Suranto atau Anto ketika dihubungi dari Pangkalan Brandan, Medan semalam mengakui memang ada niat membawa keluarganya itu pulang ke Malaysia, tambah lagi bapa mertuanya, Saad Ahmad sudah sedia menerima mereka.

Namun dia takut jika mereka ditangkap dan dipenjarakan.

"Saya tahu undang-undang Malaysia sangat 'kuat'. Walaupun orang tuanya Ju (Jumiah) ikhlas terima saya sebagai menantu, kerajaan Malaysia tak akan terima saya sebagai rakyat mereka,'' katanya yang pernah tinggal di Malaysia selama empat tahun.

Ditanya bagaimana jika Nur Jumiah terpaksa pulang seorang diri, Anto berkata, dia sanggup menjaga anak mereka.

"Bila dah besar nanti saya akan bawa Disti bertemu ibunya di Malaysia,'' katanya.

Di Medan, lelaki itu menggambarkan hubungan Nur Jumiah serta mertua dan sanak saudaranya sangat mesra.

"Ju sering mengunjungi rumah ibu bapa saya tidak jauh dari rumah kami. Sekarang ini pun (semalam) dia ada di rumah ibu bapa saya," ceritanya.



KERATAN Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...