Friday, January 7, 2011

NUR Alert tunggu kelulusan Kabinet





KUALA LUMPUR - Sistem amaran awal: kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) bagi mengesan dan menghebahkan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah akan dilaksanakan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memuktamadkan pelaksanaan sistem itu setelah ia dipersetuju:i kedua-dua pihak.

“Saya percaya Kabinet akan memberi kelulusan pada mesyuarat akan datang, saya amat berharap untuk sistem ini dilaksanakan secepat mungkin sebab kita hendak pastikan pembelaan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

“Kalau ada kes-kes kehilangan, sistem ini akan digerakkan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan PDRM mengenai sistem itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Shahrizat berkata, perbincangan itu juga memutuskan bahawa PDRM akan menjadi pengerusi kepada sistem NUR Alert kerana polis mempunyai kuasa dan prasarana untuk memastikan sistem ini berjalan dengan baik, manakala kementerian sebagai timbalan pengerusi.

Sementara itu, Hussin berkata, sistem ini berfungsi untuk membuat hebahan ke semua agensi, jabatan, kementerian dan badan korporat apabila mendapat maklumat mengenai kanak-kanak hilang di balai-balai polis.

“Untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, kita memulakan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, apabila kita mendapat maklumat berkaitan kanak-kanak yang hilang, kita akan mulakan proses hebahan kepada umum melalui petugas-petugas.

“Petugas ini terdiri daripada pelbagai agensi, kementerian, badan-badan korporat seperti lapangan terbang, pelabuhan, kita juga ada Kementerian Pengangkutan yang akan hebahkan kepada terminal, teksi, bas selain hebahan pada pihak media dan blog,” katanya.

Hussin berkata, selain itu, Kementerian Luar juga terlibat dalam pelaksanaan sistem ini bagi memaklumkan kepada pihak kedutaan sekiranya perlu apabila kanak-kanak berkenaan disyaki dibawa keluar negara untuk memastikan polis boleh mengesan semula kanak-kanak yang hilang itu.

"Dari Januari hingga November tahun lalu, seramai 57 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 35 orang ditemui semula berbanding 50 orang yang hilang dan 45 yang dijumpai semula pada 2009.

"Pada 2008, hanya tujuh kanak-kanak dikesan hilang dan seorang yang dijumpai semula," katanya.

Bagi kanak-kanak hilang berumur 18 tahun ke bawah, Hussin berkata, seramai 711 orang dilaporkan hilang dari Januari hingga November tahun lalu dan 347 dijumpai semula manakala 1,048 didapati hilang dan 497 dijumpai semula pada 2009.

Angka itu semakin menurun berbanding 2008 apabila 1,174 kanak-kanak 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dan 655 dijumpai semula.

Ketika ditanya sama ada sistem itu akan dipanjangkan untuk mengesan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah yang hilang memandangkan statistiknya lebih ramai berbanding kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Hussin berkata, perkara itu mungkin akan dilakukan kemudian.

“PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kanak-kanak dan orang hilang di bawah 12 dan 18 tahun, tetapi kanak-kanak 12 tahun adalah tumpuan kami, mungkin boleh diperluaskan kemudian untuk kanak-kanak 18 tahun ke bawah,” katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8590883.asp

Kenaikan harga minyak: Malaysia peroleh keuntungan berganda

SHAH ALAM – Kenaikan harga minyak di pasaran dunia tidak akan merugikan negara sehingga terpaksa melibatkan ekonomi rakyat bagi menanggung beban kenaikan harga bahan api itu.

Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharudin berkata, kenaikan harga di pasaran dunia itu bukan sahaja tidak merugikan Malaysia malah mendapat keuntungan.

Menurutnya, keuntungan berganda hasil daripada kenaikan itu sepatutnya dijadikan pemangkin untuk mengurangkan harga yang seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara bebas daripada harga pasaran luar.

“Kalau minyak naik sepatutnya menguntungkan Petronas kerana kita negara pengeluar yang menjual minyak mentah ke pasaran dunia.

“Lagipun jika harga pasaran minyak naik, permintaan tidak akan turun. Harga dalam Malaysia sepatutnya ditetapkan berdasarkan kos Petronas. Perubahan harga minyak di luar bukan semata-mata alasan untuk menaikkan harga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai ura-ura bahawa stok minyak negara akan habis menjelang 2015, Amir berkata ia hanya andaian semata-mata.

Menurutnya, jika kenyataan itu benar sekali pun, menaikkan harga bukan jalan penyelesaian yang boleh menambahkan kuantiti minyak di negara ini.

“Jika betul andaian bahawa minyak akan habis, kerajaan boleh melaksanakan alternatif seperti penciptaan kereta hybrid. Bukan menaikkan harga. Kenaikan harga pasaran tidak memberikan kesan buruk kepada minyak kita.

Sementara itu, pakar ekonomi, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, dari segi teknikal dan ekonomi, tindakan menaikkan harga adalah untuk mengurangkan bajet difisit negara.

Namun katanya, kenaikan harga di pasaran dunia sememangnya memberikan lebihan keuntungan kepada Petronas.

Kalau kerajaan menarik subsidi pun bukanlah bermakna Petronas akan untung. Tapi bila ada kenaikan harga di pasaran dunia, Petronas akan untung. Keuntungan ini boleh digunakan apabila Petronas bayar cukai yang tinggi kepada kerajaan.

“Cukai itulah yang boleh digunakan untuk mengurangkan bajet difisit dan selebihnya diberikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang lain," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8591205.asp

Harga barang naik mendadak

BANDAR BARU SELAYANG – Penduduk Selayang dan pengguna melahirkan rasa kesal dengan kenaikan harga barangan keperluan asas yang didakwa naik secara mendadak sejak akhir-akhir ini, terutamanya di pasar basah dan pasaraya sekitarnya.

Peniaga pasar malam yang ditemui, Sapuan Sahar, 58, berkata, rakyat dikejutkan dengan pengisytiharan kenaikan harga petrol RON95, gula, diesel dan gas, sehingga memberikan tekanan pada mereka yang berpendapatan rendah.

“Harga minyak masak dahulu kita dapat beli RM0.80 sekilo, kini RM2.50 sekilo. Mereka tidak rasa kesusahan rakyat kerana berpendapatan tinggi, tetapi jika mereka berada di tempat kami, apa perasaan mereka.

“Saya mendapat untung sehari tidak sampai RM10. Belum lagi sewa rumah sebanyak RM380 sebulan, terus terang saya katakan semenjak harga barang semakin naik, saya begitu tertekan kerana sudah dua bulan sewa rumah tertunggak.

“Alhamdulillah anak-anak mampu berfikir dengan baik dan mereka sanggup membantu saya mencari duit lebih agar dapat membiayai bil-bil tertunggak, sedikit demi sedikit bebanan saya terungkai juga,” katanya.

Manakala Rohana Nasir, 44, berkata, walaupun perniagaan menjual nasi berlauk, ikan bakar dan sebagainya semenjak 2006 agak berkembang, namun dia tidak dapat lari daripada kenaikan harga sebegini.

“Hakikatnya keperitan saya sebagai peniaga, sewa kedai sebayak RM500, keperluan dapur seperti bawang besar ketara kenaikannya iaitu sebanyak RM16 hari ini, esok pula, pemborong bawang naikkan RM18 seguni.

Empat hari sebelumnya saya membeli dengan harga RM7 seguni sahaja. Begitu juga dengan harga minyak semakin naik dan pagi ini saya puas mencari minyak masak namun tiada stok jualan. Suami terpaksa mencari stok minyak di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk membeli keperluan barang dapur sebelum ini hanya RM200, namun kini meningkat dua kali ganda dan keadaan ini agak sukar diterima.

Justeru, dia berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat memantau harga barangan dengan lebih kerap agar penjual dan pemborong tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Bagi pengusaha restoran, Roslee Mohd Tahir, pula berkata, rakyat kini terpaksa reda dengan kenaikan harga barangan termasuk ura-ura dengan kenaikan harga air 37 sebanyak peratus.

“Untuk membeli santan kelapa dahulu hanya RM4.80 sekilo, kemudian naik RM5.20. Ada sekali kenaikan sebanyak RM7 sekilo santan. Saya betul-betul terkejut kerana isteri saya meniaga nasi lemak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Selayang Indah, Masrom Kapil berkata, dia sering menerima rungutan penduduk sekitar Selayang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenaikan harga barang dapur yang keterlaluan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8587127.asp

Bekalan minyak masak meruncing




MANJUNG – Penduduk di sekitar daerah ini dikejutkan dengan krisis kekurangan minyak masak selepas tidak sampai satu minggu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan bekalan berkenaan diyakini mencukupi.

Seorang pembeli, Noraini Mahamad, 38, berkata, dia telah ke beberapa kedai sebelum akhirnya ke Pasaraya Giant Seri Manjung untuk mencari minyak masak.

Menurutnya, dia terkejut kebanyakan kedai runcit kehabisan bekalan minyak masak, manakala di Pasaraya Giant, pembelian terpaksa dihadkan kepada dua unit minyak masak seberat lima kilogram bagi seorang pembeli.

“Sementara itu, bekalan minyak masak dalam paket sudah kehabisan di kedai runcit termasuk di pasar raya ini.

“Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan kerunsingan bagi pengguna kerana minyak masak adalah satu keperluan harian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noraini berkata, dia meminta agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, pengguna, Idris Sulaiman, 44, berkata, dia terpaksa memandu dari Seri Iskandar hingga ke Manjung untuk mencari bekalan minyak masak.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi terutamanya menjelang Tahun Baru Cina ini.

“Keadaan kini berada dalam tahap kritikal berikutan bukan hanya di Manjung, malah Seri Iskandar juga menghadapi masalah kehabisan bekalan minyak masak.

“Paling merunsingkan apabila memikirkan kehadiran Tahun Baru Cina tidak lama lagi, dengan keadaan kini, saya risau bekalan ini tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat nanti,” katanya.

Sementara itu, jurucakap KPDNKK Cawangan Manjung ketika dihubungi menjelaskan bahawa masalah bekalan minyak masak di sekitar daerah ini termasuk Perak Tengah sebenarnya masih terkawal dan belum mencapai tahap kritikal.

Katanya, keadaan itu terjadi mungkin kerana berlaku kelewatan dalam pengedaran bekalan minyak masak dan turut mempunyai kaitan dengan cuti umum selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Tinjauan Sinar Harian di salah sebuah pasar raya sekitar Seri Manjung mendapati terdapat masalah kekurangan minyak masak sehingga pembelian terpaksa dihadkan kepada dua unit sahaja bagi minyak masak lima kilogram bagi setiap pembeli.

http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story8588206.asp

Janda dihumban dari tingkat 10

Janda dihumban dari tingkat 10

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim

SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian, semalam.
SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian, semalam.

AMPANG: Seorang janda maut disyaki dihumban dari tingkat 10 Kondominium Bukit Pandan, Pandan Perdana, di sini, selepas bertengkar dengan kekasihnya, awal pagi semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu mati di tempat kejadian akibat parah pada seluruh badan. Mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di tempat letak kereta kondominium berkenaan, jam 3.10 pagi.

Mayat mangsa ditemui seorang pengawal keselamatan sebelum melaporkan kepada polis.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa bekerja sebagai kerani dan tinggal di Setapak Jaya, Sentul.


Difahamkan, mangsa, Lai Puai Sern, 28, yang bercerai tiga tahun lalu mempunyai dua anak perempuan berusia enam dan lapan tahun. Bagaimanapun, kedua-dua anak mangsa kini dijaga bekas suami.


Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Lai menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun selepas bercerai.

Dia yang ditemui di luar perkarangan Bilik Mayat Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) berkata, mangsa pergi ke kondominium berkenaan untuk bertemu kekasihnya itu, awal pagi semalam.

“Mangsa yang ditemani seorang rakan naik ke tingkat atas kondominium itu bersendirian, manakala rakannya hanya menunggu di dalam kereta. Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa ditemui jatuh berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah mengadu menghadapi masalah dengan kekasihnya berikutan hubungan cinta itu dihalang keluarga teman lelakinya.

“Malah, mangsa sebelum ini turut memadamkan semua SMS dihantar kekasihnya berikutan kecewa dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, kami terkejut kerana mangsa ditemui mati dalam keadaan tragis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat wanita itu yang ditemui terjatuh dari kondominium berkenaan.

Menurutnya, polis tidak menolak andaian mangsa dicampak dari kondominium itu berpunca daripada pertengkaran dengan individu yang dikenali.

“Berdasarkan siasatan, ada penduduk mendakwa mendengar bunyi pertengkaran dari tingkat atas kondominium berkenaan. Polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang mempunyai hubungan dengan mangsa dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Ditanya sama ada kematian mangsa berunsurkan kes pembunuhan, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu sehingga siasatan lengkap dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Jandadihumbandaritingkat10/Article

Penipuan RM5.2j

Penipuan RM5.2j

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah bank di Seksyen 14 di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lapan pertuduhan memalsukan dokumen bagi memindahkan wang menerusi transaksi Internet membabitkan nilai RM5.2 juta, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Yusma Norul Yusob, 31, dari Taman Sri Mentari, Petaling Jaya yang menangis teresak-esak sejak dibawa masuk ke kandang pesalah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita yang sudah berkahwin itu didakwa menggunakan cek CIMB Bank Berhad palsu bernilai RM30,000 bertarikh 31 Mac 2009 pada 1 April 2009.

Tertuduh didakwa menggunakan dua lagi cek palsu bank sama bertarikh 1 dan 2 April 2009, masing-masing bernilai RM10,000 dan RM18,5000 pada keesokan harinya.


Bagi lima pertuduhan lain, dia didakwa menggunakan borang permohonan kiriman wang pada 1, 7, 15, 21 dan 24 April 2009.


Wanita itu didakwa melakukan semua perbuatan itu tempatnya bertugas di CIMB Bank Berhad cawangan Menara MRCB di Seksyen 14.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Lavainyamalar menawarkan ikat jamin RM1 juta terhadapnya memandangkan kesalahan itu serius dan jawatan dipegang tertuduh ketika di bank ketika melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, peguam bela mewakili tertuduh, Saleh Ahmad, memohon ikat jamin itu dikurangkan memandangkan anak guamnya langsung tidak mendapat faedah daripada nilai RM5.2 juta itu.

“Pertuduhan adalah transaksi Internet tetapi wang itu tidak pernah diperoleh tertuduh,” katanya.

Beliau berkata, jumlah RM1 juta adalah terlalu besar memandangkan wanita itu tidak berkerja manakala ibu bapanya melakukan kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

Wan Mohd Norisham membenarkan ikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 19 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

http://www.hmetro.com.my/articles/PenipuanRM5_2j/Article

Edar dadah dekat surau

Edar dadah dekat surau

Oleh Mohd Nasif Badruddin

RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.
RAMPAS...Roslan (tengah) menunjukkan heroin dan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, Selasa lalu.

KUALA TERENGGANU: Perwatakan alim seorang lelaki sering dilihat di sebuah surau di Kampung Losong Haji Awang, di sini, terbongkar apabila dia sebenarnya menjadikannya sebagai lokasi mengedar dadah disimpan dalam kereta di parkir di kawasan berdekatan.

Taktik licik lelaki berusia 36 tahun dari Bachok, Kelantan itu berakhir apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 malam Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melawan anggota polis hingga berlaku pergelutan.

“Sebaik ditahan, suspek membawa polis ke Proton Perdana diletak berhampiran surau kira-kira 50 meter dari rumahnya sebelum menemui 67 botol dadah jenis heroin seberat 311.6 gram bernilai RM100,500.


“Polis turut merampas wang tunai RM3,165 disyaki hasil kegiatan penjualan dadah. Suspek kini direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Beliau berkata, suspek dipercayai pengedar dan penagih yang aktif mengedar bahan terlarang itu sejak 10 tahun lalu dan mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta pernah dihukum mahkamah.

Katanya, suspek pernah dihukum dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, Seksyen 7(1), Seksyen 12(2) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 11(A)(1) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah lain berhampiran dan berlaku pergelutan sebelum pihak polis menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam premis berkenaan berusia antara 20 hingga 36 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati kelima-lima lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis methamphetamine dan opiate.

“Tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan masih lagi dalam pengawasan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas 800 pil kuda bernilai RM24,000 manakala semua suspek direman seminggu hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952.

“Polis percaya dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang dipercayai perancang utama, dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif sekitar daerah ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Edardadahdekatsurau/Article

Tanam janin waktu malam

KOTA KINABALU: Kecurigaan dua sahabat melihat kelibat dua manusia menyiram air selepas menanam sesuatu di kawasan lapang di Pusat Komersial Salut di sini, malam kelmarin membongkar satu lagi cubaan menyembunyikan janin akibat pengguguran haram yang dipercayai dilakukan pasangan terlanjur.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Noor Mohamad Mat, 23, dan Pance Fransisu, 22, yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian itu tidak menyangka kehadiran seorang lelaki dan wanita di kawasan lapang itu untuk mengebumikan janin bayi yang dipercayai berusia lima bulan itu.


Noor Mohamad berkata, ketika itu dia dan rakannya melepak di kawasan berkenaan dan pada awalnya dia menyangka pasangan berkenaan menanam bangkai haiwan peliharaan kesayangan mereka.

“Ketika itu saya melihat seorang lelaki dan seorang wanita bertudung dalam keadaan mencangkung menggali tanah dan menimbusnya semula sebelum membuang sebuah kotak kecil ke kawasan berhampiran.


“Lelaki berkenaan dilihat terus ke kereta Proton Iswara mengambil sebotol air dan menyiramnya ke atas tanah yang digali itu sebelum diikuti wanita terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurutnya, pasangan berkenaan dilihat beredar ke sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum meninggalkan kawasan berkenaan tidak lama kemudian.

“Sebaik yakin mereka sudah beredar, saya dan rakan tergerak untuk menyiasat apakah sebenarnya dilakukan pasangan berkenaan di kawasan lapang di situ kerana kami bertambah curiga apabila mendapati kotak yang dibuang pasangan berkenaan ada kesan darah.


“Pance memberanikan diri menggali semula tanah itu dan kami terkejut apabila mendapati satu bungkusan kain putih yang tertanam di dalam lubang itu mengandungi janin,” katanya.

Mengesyaki perkara itu ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran haram, mereka menghubungi Balai Polis Manggatal untuk tindakan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan janin bayi terbabit.


Katanya, polis sedang giat mengesan kenderaan yang dinaiki pasangan mencurigakan itu dan percaya kejadian ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran janin secara haram.


“Janin dipercayai berusia lima bulan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dan kami melakukan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.


“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama bagi mengesan suspek atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-242111,” katanya.


Dua hari lalu, Harian Metro melaporkan penemuan janin berusia enam bulan di tempat pembuangan sampah tidak jauh dari lokasi penemuan terbaru kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tanamjaninwaktumalam/Article/index_html

Pengguna merungut harga bawang tak munasabah

KUALA LUMPUR: Harga bawang merah kecil di pasaran naik mendadak dari RM7 sekilogram kepada RM11 sekilogram berikutan dakwaan peruncit dan pemborong yang menyatakan bekalan bawang merah amat sukar diperoleh.

Kenaikan harga tidak munasabah selain kesukaran mendapatkan bekalan bawang merah itu mengakibatkan ramai pengguna merungut dan mempersoalkan kewajaran kenaikan itu kerana bebanan mereka.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar besar, pasar raya dan kedai runcit sekitar ibu kota mendapati hampir seluruh kedai dan pasar raya mengalami masalah kekurangan bekalan komoditi itu.

Peniaga kedai runcit, Sathish Kumar, 26, berkata masalah itu terjadi sejak seminggu lalu, menyebabkan kedainya tidak menerima bekalan atas alasan harga terlalu tinggi selain faktor cuaca tidak menentu di negara pembekal.

Katanya, selain kehabisan stok minyak, kebanyakan peniaga turut mengalami masalah sama iaitu tidak mempunyai bekalan bawang kecil yang menyebabkan ramai pengguna merungut atas perkara terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penggunamerunguthargabawangtakmunasabah/Article/index_html

Syak edar wang palsu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ditikam hingga parah selepas gagal melunaskan sewa rumahnya di Kampung Kasipillay, di sini, kelmarin dipercayai terbabit aktiviti pengedaran wang palsu selepas polis menemui 54 wang palsu RM100 dan 30 keping RM50 di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, polis yang tiba di tempat kejadian menjumpai wang palsu itu pada mangsa sebelum dia dihantar ke hospital.

Katanya, kes terbabit kini disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kerana difahamkan bersangkut dengan beberapa laporan yang pernah dibuat di IPD itu.

“Mangsa kini stabil walaupun masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.


“Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes terbabit dari segala aspek termasuk pembabitan mangsa dengan aktiviti wang palsu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syakedarwangpalsu/Article/index_html

Pemain sertai 14 kejohanan

JAWATANKUASA Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan Datuk Lee Chong Wei akan menyertai 14 kejohanan sepanjang 2011, bagi mengekalkan prestasi pemain itu hingga ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Bilangan 14 kejohanan itu bukan hanya dirancangkan buat jaguh dunia, sebaliknya untuk semua pemain elit.

“Kita hadkan kepada 14 kejohanan tahun ini bagi mengekal dan mengawal kecergasan pemain untuk memuncak di kejohanan besar seperti Seluruh England dan Kejohanan Dunia,” kata Pengerusi Jawatankuasa itu, Ng Chin Chai selepas bermesyuarat dengan semua jurulatih petang semalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemainsertai14kejohanan/Article/index_html

Shabery jamin isu peletakan jawatan Misbun boleh selesai

ADA nada positif hasil pertemuan rahsia Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, malam kelmarin.

Jodoh jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin dapat diselamatkan sekiranya rancangan Ahmad Shabery mengatur pertemuan enam mata antara beliau, Misbun dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, menjadi kenyataan.


Misbun yang ‘bercerai’ dengan BAM selepas didakwa tidak berpuas hati dengan badan induk badminton negara itu, menjelaskan perkara sebenar kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengadakan pertemuan empat mata tanpa kehadiran pegawai BAM.

Namun, usaha mengurangkan suhu dalam BAM masih buntu sehingga memaksa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merencana satu pertemuan yang dijangka diadakan hujung minggu ini.


“Saya dimaklumkan sebab utama Misbun meletak jawatan. Beliau (Misbun) menjelaskan terpaksa meletak jawatan kerana wujud perbezaan pendapat antaranya dengan pegawai BAM terutama dalam pelbagai aspek.


“Saya hanya boleh beri jaminan perkara ini mampu diselesaikan sekiranya pertemuan antara (Misbun dan BAM) menjadi kenyataan,” katanya yang turut menghubungi BAM mengenai perkara dijelaskan Misbun.

Meskipun banyak perkara mencetuskan rasa tidak puas hati Misbun diluahkan pada pertemuan turut disertai pegawai KBS, Ahmad Shabery tetap mengambil pendekatan menutup mulut.


“Memang ada beberapa perkara yang disebut Misbun (dalam pertemuan itu) tapi, saya tidak mahu mendedahkan semuanya. Cukuplah saya katakan salah satu daripadanya disebabkan perbezaan pendapat,” katanya.

Tanpa menyatakan tempat dan masa pertemuan itu, Ahmad Shabery memberi jaminan ia bakal diadakan sekembalinya dari menghadiri lawatan ke Sarawak.


“Saya akan mengatur pertemuan tiga pihak dengan Misbun dan Datuk Nadzmi sebaik saja saya pulang ke ibu negara,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Akuatik Negeri Sarawak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, semalam.


Beliau mengakui Misbun ada memberi bayangan pegawai dikatakan menyebabkan berlaku salah faham dan menerbitkan rasa tidak puas hati beliau sehingga meletak jawatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ShaberyjaminisupeletakanjawatanMisbunbolehselesai/Article/index_html

Enggan ikut emosi

Oleh Mohd Hilmie Hussin dan Alias Ab Rani

JANGAN KACAU...Misbun tak  mahu dedahkan masalahnya kepada umum.
JANGAN KACAU...Misbun tak mahu dedahkan masalahnya kepada umum.

“SAYA bukan mengelak media, tapi tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengikut emosi,” kata jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatannya.

Sejak beliau menghantar surat peletakan jawatan menerusi emel kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember lalu, Misbun langsung tidak bersuara memberi alasan sebenar peletakan jawatan beliau.


Selepas BAM membuat kenyataan presidennya, Datuk Mohd Nadzmi Salleh akan bertemu Misbun sendiri bagi menyelesaikan kemelut itu, sehingga hari ini pertemuan itu masih gagal menjadi kenyataan.

Namun sudah ada nada positif masalah ini akan berakhir, tidak kira sama ada Misbun kembali atau meninggalkan BAM kerana jurulatih itu sudah mula bersuara.


“Saya tidak akan beritahu apa masalahnya kepada umum, ini masalah dalaman biarlah diselesaikan secara dalaman bukan di dada media.


“Tapi ini bukan masanya untuk saya bertemu sesiapa. Saya perlukan lebih masa untuk bertenang kerana saya mahu pertemuan dengan Nadzmi tidak dipengaruhi kenyataan beremosi,” kata jurulatih itu yang berjaya melahirkan dua juara Seluruh England iaitu Muhd Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.

Misbun bukan hanya tidak mahu menjelaskan punca sebenar masalah itu kepada media, malah enggan mendedahkan butiran perbincangan antara beliau dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sebuah restoran di Ampang, malam semalam.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery di Kuching, Sarawak berkata beliau akan mengatur pertemuan enam mata antara Misbun, Nadzmi dan beliau sendiri.

Pertemuan antara Misbun dan Nadzmi dijangka dapat menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan seminggu itu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Engganikutemosi/Article

Trak terperangkap di 'pulau' kecil


BEBERAPA buah trak terperangkap di sebuah 'pulau' selepas sebuah kawasan di Queensland dilanda banjir yang masih belum surut sehingga semalam.


CANBERRA, Australia - Sejumlah trak ditinggalkan di sebuah 'pulau' yang terbentuk akibat limpahan air banjir di negeri Queensland, lapor sebuah akhbar semalam.

Setakat ini, sekitar 11,000 kediaman di bandar-bandar seperti Rockhampton digenangi air bah dengan pihak tentera mengambil alih kawalan.

Banjir yang melanda kawasan timur laut Australia telah menjejaskan kehidupan lebih 200,000 orang. - Agensi

Pengemis bakal jadi jutawan kerana suara emas





COLUMBUS, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pengemis yang tidak berumah di sini, Ted Williams dihujani tawaran lumayan yang membolehkan dia bakal menjadi jutawan selepas permintaannya untuk diberi kerja dengan menggunakan suaranya disiarkan di Twitter dan laman YouTube, lapor sebuah akhbar semalam.

Nasibnya itu berubah selepas seorang jurugambar akhbarColumbus Dispatch merakamkan video yang menunjukkan pengemis tersebut memegang cebisan kertas kotak yang mengandungi tulisan:

"Saya mempunyai suara dianugerahkan Tuhan. Saya seorang bekas penyampai radio yang jatuh ke dalam masa sukar. Tolonglah! sebarang bantuan akan amat dihargai. Terima kasih dan semoga anda dirahmati Tuhan."

Pengemis itu turut bercakap dengan gaya seorang penyampai radio yang mempunyai suara unik semasa gelagatnya dirakamkan oleh jurugambar tersebut dari dalam keretanya di Houston Street, Columbus.

Klip video selama 90 saat itu yang dihantarnya ke laman Twitter kemudian menjadi popular dan pengemis itu kemudian menerima tawaran daripada beberapa stesen penyiaran termasuk stesen rangkaian muzik MTV, stesen Liga Bola Sepak Nasional (NFL) dan Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN).

Seorang pengarah filem untuk NFL, Keviv McLoughlin berkata, bosnya mengarahkan pengemis itu diambil bekerja jika dia tidak mahu dipecat.

Dia juga mendapat tawaran berjumlah AS$10,000 (RM30,725) untuk menyumbang suara untuk sebuah persatuan perniagaan, Liga Kesatuan Kredit Ohio.

Sementara itu, seorang ejen pencari bakat di bidang penyiaran di Los Angeles, Shane Cormier berkata, Williams memiliki bakat yang amat unik.

"Kami boleh menjadikan Williams seorang jutawan," katanya.

Williams pernah bekerja sebagai seorang penyampai radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.

"Namun, kini saya telah sembuh dan tidak mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan saya," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Arkitek cipta simen lut cahaya


SEBUAH bangunan yang dibina dengan menggunakan simen lut cahaya dipamerkan di Ekspo Dunia di Shanghai, China pada tahun lalu.


ROM - Sekumpulan arkitek firma Itali, Italcementi mencipta simen lut cahaya dikenali sebagai i.light, lapor sebuah akhbar semalam.

Simen itu memiliki puluhan lubang halus yang membolehkan cahaya menembusinya tanpa menjejaskan kekuatan strukturnya.

Bahan tersebut berupaya menjimatkan kos elektrik kerana ia dapat menerangi bangunan pada waktu siang.

Setakat ini, satu-satunya bangunan yang dibina dengan menggunakan simen i.light adalah Pavilion Itali di Ekspo Shanghai, China pada tahun lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Lagi misteri burung, ikan mati


RATUSAN ikan yang mati ditemui di tepi pantai Semenanjung Coromandel, New Zealand pada Selasa lalu.


STOCKHOLM - Kematian ikan dan burung kini merebak selepas penemuan awal 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit secara misteri yang pada teori awalnya disebabkan letupan bunga api di bandar Beeba, negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu, bangkai 50 ekor burung ditemui di sebatang jalan raya di bandar Falkoping, Sweden.

Pada hari yang sama juga, kira-kira 200 ekor burung ditemui mati di sebuah lebuh raya di Texas, AS yang tanggapan awal dipercayai dilanggar kereta.

Sebelum ini, lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di Sungai Arkansas, di negeri Arkansas, AS yang dipercayai mati akibat perubahan cuaca pada minggu lalu.

Pada Isnin lalu, gambar yang dirakamkan Jabatan Alam Sekitar Maryland, AS menunjukkan dua juta ekor ikan terdampar di Teluk Chesapeake.

Alasan jurucakap jabatan itu, Dawn Stolzfus menyatakan, ikan itu mati pada minggu lalu disebabkan cuaca sejuk.

Namun apa yang menjadi misteri ialah kenapa ikan itu tidak berenang ke kawasan yang suhunya lebih panas.

Di Brazil, sebanyak 100 tan ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama telah ditemui di pesisir pantai Parana, berhampiran Nicaragua.

Presiden Persekutuan Koloni Nelayan Parana, Edmir Manoel Ferreira berkata, bangkai-bangkai ikan itu ditemui sejak Khamis minggu lalu.

Beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di New Zealand pada Selasa lalu.

Di Britain, sebanyak 40,000 ekor ketam setan merah turut mati di Kent kelmarin.

Sementara itu, beribu-ribu ekor bangkai ikan ditemui terapung di sungai Spruce, bandar Port Orange, negeri Florida pada Selasa lepas.

Terdapat juga golongan yang percaya kematian pelbagai spesies haiwan itu merupakan petanda ketibaan hari kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan tamadun kuno Maya di Mexico.

Di Internet pula, heboh mengenai teori konspirasi tentang eksperimen-eksperimen rahsia oleh kerajaan sebagai penyebab fenomena misteri itu.

Setakat ini, saintis-saintis masih melakukan satu siri ujian bagi mengenal pasti punca sebenar pelbagai spesies haiwan itu mati. Keputusan ujian tersebut bagaimanapun, hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pendirian Makaf tidak berubah


MOHD. ALI (tengah) mendengar penjelasan daripada atlet karate negara mengenai kontrak jurulatih, P. Arivalagan yang tidak disambung oleh Makaf di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.


PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) tetap meneruskan hasrat untuk melantik jurulatih luar dari Iran bagi melatih atlet karate senior negara.

Situasi itu hampir pasti menyebabkan jurulatih negara ketika ini, P. Arivalagan membimbing skuad junior.

Bagaimanapun, Presiden Makaf, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diputuskan selepas Makaf mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 25 Januari ini.

"Kita bersetuju dengan ketetapan Jawatankuasa Teknikal Makaf bagi melantik Vahid Khajeh Hosseini sebagai jurulatih negara untuk melonjakkan prestasi atlet karate di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Makaf di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka semalam.

Mesyuarat selama dua jam yang berakhir pada pukul 2.30 pagi semalam turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Makaf, Datuk Mohd. Noor Nordin Abdullah dan Setiausaha Agung. Clement Soo.

Mohd. Ali berkata, beliau berpuas hati dengan laporan teknikal yang dibentangkan pada mesyuarat itu untuk melantik jurulatih luar manakala kontrak Arivalagan tamat pada 31 Disember lalu.

"Kita menghargai sumbangan beliau (Arivalagan) selama tujuh tahun bersama Makaf sebagai seorang jurulatih yang bagus tetapi kita mahu lebih bagus lagi dengan melantik Vahid kerana matlamat kita selepas ini ialah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan Makaf untuk tidak menyambung kontrak Arivalagan tidak dipersetujui oleh majoriti atlet karate.

Ketika diminta mengulas isu tersebut, Mohd. Ali berkata, kesemua atlet dan jurulatih sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan diminta tidak mengulas kontrak Arivalagan sehingga 25 Januari ini.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, November lalu, Arivalagan menerima pujian kerana anak didiknya, R. Puvaneswaran memenangi pingat emas dalam acara kumite lelaki bawah 55 kilogram. Satu lagi pingat emas disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara kata lelaki.

Menurut Mohd. Ali, MSN telah mengurangkan peruntukan tahunan Makaf sebanyak 30 peratus tahun ini dan atas sebab itu, ia tidak berupaya menampung dua jurulatih sekali gus.

"Oleh itu, sekiranya MSN bersetuju, Arivalagan yang menerima RM7,000 sebulan sebagai jurulatih akan disambung kontrak setahun sekiranya dibiayai oleh MSN untuk melatih skuad junior," katanya.

Vahid, 48, jurulatih skuad kebangsaan Iran ketika ini, ditawarkan gaji sebanyak US$5,000 sebulan untuk tempoh kontrak selama dua tahun.

Beliau dijangka memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan bermula 1 Februari ini sekiranya diluluskan oleh MSN.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada Kejohanan Dunia ialah pada 2002 iaitu ketika di bawah bimbingan jurulatih dari Iran, Ali Reza.

"Kita tidak boleh jamin untuk mendapat pingat pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada tahun depan tetapi peluang lebih besar sekiranya skuad negara dibimbing oleh Vahid," katanya.

Mohd. Ali berkata, Malaysia mensasarkan memenangi pingat pada Kejohanan Dunia di Belgrade, Serbia pada Oktober tahun lalu tetapi gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, beliau berkata, Melaka akan menganjurkan Kejohanan Karate Dunia peringkat junior dan kadet di MITC Ayer Keroh pada November tahun ini. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Katering diarah bayar RM9,505


KAMARUDDIN (tengah) menunjukkan surat tuntutan ganti rugi dan gambar-gambar menu makanan sambil ditemani anaknya, Faizal (kanan) dan bapa saudaranya, Harun Ahmad di Melaka semalam.


MELAKA – Akibat melakukan kerja umpama ‘melepaskan batuk di tangga’, sebuah syarikat katering diarah membayar ganti rugi kepada seorang pelanggannya kerana makanan yang disajikan untuk satu majlis perkahwinan bukan sahaja tidak cukup malah ada yang basi.

Razak Catering & Events Servis diarah membayar RM9,505 kepada pelanggannya, Kamaruddin Husin, 54, seorang Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pinang, Tanjung Kling dekat sini.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Mohd. Nasrim Mohd. Salleh ketika membuat keputusan itu berkata, sebagai pelanggan, Kamaruddin berhak mendapat haknya semula lebih-lebih lagi ia melibatkan makanan yang dihidang kepada tetamu.

“Dua hidangan iaitu dalca dan pajeri nanas didapati telah basi dan Kamaruddin terpaksa menggantikan hidangan itu dengan belanjanya sendiri.

“Oleh itu, TTPM mengarahkan pihak penentang membayar sebanyak RM9,505 iaitu sebahagian nilai yang terpaksa ditanggung oleh penuntut,” katanya di Mahkamah TTPM di sini semalam.

Sementara itu, pihak penentang tidak menghantar sebarang wakil ketika keputusan dibacakan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Murid sambung cuti, sekolah masih banjir


IBU BAPA dan murid SK Bukit Puteri Jertih, Besut mengharungi banjir selepas diarahkan pulang semalam.


KUALA TERENGGANU - Kira-kira 750 murid dari dua buah sekolah di daerah Jerteh, Besut dekat sini terpaksa diarahkan pulang apabila sekolah mereka ditenggelami air sedalam hampir satu meter sejak semalam.

Dua sekolah terbabit iaitu Sekolah Rendah (SK) Bukit Puteri yang melibatkan seramai 568 orang murid dan selebihnya SK Tok Raja selebihnya.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Abd. Halim Hassan berkata, pihak sekolah telah membenarkan semua pelajar pulang ke rumah masing-masing atas faktor keselamatan memandangkan paras air yang semakin meningkat.

Katanya, beberapa lagi buah sekolah termasuk SK Kampung Baru Tok Dor, Jabi mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan semua murid di tingkat atas bangunan sekolah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Dua pencuri kabel dibelasah


DUA pemuda yang cedera dibelasah penduduk kerana mencuri kabel telefon di Kampung Mentera, Binjai semalam.


KOTA BHARU – Angkara mencari wang cara mudah, dua daripada tiga sahabat cedera teruk dibelasah penduduk kampung ketika mereka leka mencuri kabel pada tiang Telekom Malaysia (TM) di Kampung Mentera, Binjai dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 18 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan selepas mereka mengalami luka-luka di kepala dan badan ekoran dibelasah lebih lima penduduk kampung.

Namun, seorang rakan suspek sempat melarikan diri.

Kejadian mencuri kabel pada tiang telefon itu pada mulanya disedari oleh seorang penduduk kampung selepas dia ternampak dua lelaki sedang memanjat tiang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

PM: Kenapa baru bangkit kes 'rogol amah'?

PM: Kenapa baru bangkit kes 'rogol amah'?
Salhan K Ahmad
Jan 7, 11
3:04pm

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan mengapa dakwaan rogol ke atas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, baru dibangkitkan sekarang.

NONEBeliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan rogol melibatkan menteri penerangan itu dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

"Apa pun, (kes yang didakwa itu) berlaku pada tahun 2007. Soalnya mengapa baru sekarang (dibangkitkan)?" soalnya.

"Dia dah buat kenyataan, dia pertahankan kenyataan dia, jadi biarlah proses itu berjalan.

Tak boleh hakimi

"Kita tak boleh hakimi dan kata sesuatu terhadap seseorang sebelum siasatan yang sepatutnya dijalankan," katanya lagi dalam satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, Rais menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

rais yatim pc 070809 03"Saya menafikan sebarang dakwaan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," kata Rais dalam satu kenyataan.

Katanya, tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya, susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Menurut Rais, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

http://malaysiakini.com/news/152736

Kes 'rogol' amah tutup demi jaga mangsa

Kes 'rogol' amah tutup demi jaga mangsa
Jan 7, 11 4:17pm

Demi menghormati hak seorang amah Indonesia yang didakwa dirogol oleh seorang menteri Malaysia, NGO - Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta memutuskan utuk tidak akan membawa perkara berkenaan kepada mahkamah, lapor Kompas.com.

"Kami berada pada posisi menghormati permintaan mangsa supaya kes ini tidak dihebahkan dan dibawa ke muka pengadilan,” kata penganalis dasar, Migrant Care, Wahyu Susilo, hari ini dalam sidang media di Warung Daun, Cikini, Jakarta.

Menurut Wahyu, Migrant Care berharap kejadian itu dijadikan teladan kepada kerajaan Indonesia supaya tidak mengabaikan nasib pekerjanya di luar negara.

"Pemerkosaan perlu dibuktikan dan harus ada laporan sebelum membolehkan tindakan lanjut diambil. Tetapi sehingga malam semalam, mangsa masih belum mahu membuat laporan, maka kami hanya menghormati.

"Saya kira dalam keadaan ini kami tidak boleh ke mahkamah tetapi hanya ingin menegakkan hak asasi manusia dan mahu kes tersebut dijadikan pelajaran kepada kedua-dua kerajaan untuk benar-benar serius soal perlindungan buruh asing,” katanya.

Wahyu juga mengakui memang tidak ada tindakan yang boleh diambil pihaknya dan kerajaan Indonesia.

"Mereka (Kerajaan Malaysia) juga tidak boleh berbuat apa-apa, kerana laporan kami sifatnya hanya untuk melindungi mangsa yang saat itu belum ada Lembaga Perlindungan Saksi dan Korban," kata Wahyu.

Ditanya wartawan mengenai kemungkinan mangsa disogok wang untuk menutup kes berkenaan, Wahyu berkata mereka tidak dimaklumkan mengenainya.

"... hanya terima gajinya yang jadi haknya. Tidak ada masalah penggajian. Setelah laporan ini dibuat di tahun 2007, kami tidak pernah juga memberitahu atau berhubungan dengan menteri itu," kataya.

Menurut Wahyu, yang penting, mangsa sekarang berada di tempat yang aman dan sudah kembali ke Indonesia pada tahun 2007.

"Tapi lagi-lagi kami tidak boleh memberitahu keadaannya,” kata Wahyu.

http://malaysiakini.com/news/152748

'Interlok hanya boleh diubah jika penulis setuju'

'Interlok hanya boleh diubah jika penulis setuju'
Jan 7, 11 4:35pm

Buku teks sastera tingkatan lima bertajuk Interlok hanya akan diubah sekiranya penulis buku itu Abdullah Hussain bersetuju untuk berbuat sedemikian, kata Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan.

Beliau berkata hanya penulis sahaja yang berhak untuk mengubah karyanya, dan ia tidak boleh dilaksanakan atas dasar ugutan atau desakan.

"Jika penulis bersetuju untuk mengubah perkataan sensitif yang terdapat dalam buku tersebut, kita akan ikut. Tetapi jika ia atas desakan dan ugutan maka Gapena akan berjuang mempertahankannya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

NONEBagaimanapun, katanya untuk mengubah setiap perkataan atau ayat dalam satu-satu karya, ia akan mempengaruhi keseluruhan makna karya tersebut, selain turut mengubah nilai sejarah sosial.

"Abdullah Hussain (kiri) menulis menggunakan konsep yang diketahui umum dan melalui konteks sosial sejarah, bukan sesuatu yang direka-reka, jadi jika perkataan itu dibuang ia tidak lagi melambangkan konteks sosial sejarah," katanya.

Menurutnya buku Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

Beliau berkata buku memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1990-an hingga merdeka itu lebih berkonsepkan perpaduan dan tidak timbul isu untuk mengkritik kaum tersebut.

Malah, katanya buku teks Interlok yang memenangi peraduan menulis novel memperingati 10 tahun kemerdekaan pada 1967 itu juga telah digunakan sebagai buku teks mata pelajaran sastera pada tahun 1970-an.

"Lebih 30 tahun teks ini muncul, tiba-tiba isu ini dibangkitkan, jangan menyalah tafsirkan apa yang ada dalam teks, dalam teks perkataan itu digunakan sebagai terjemahan yang menyatakan suatu isu sosial saja, tiada isu lain," katanya.

NONEDitanya mengenai jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran bagi menyiasat isu itu, Gapena berharap jawatankuasa akan mengkaji dan melihat ia dari konteks kandungan teks dengan sebaik-baiknya.

Sementara itu, Ketua Media Gapena Borhan Md Zain berkata Gapena secara terbuka akan terus menyokong dan membantu penulis untuk mempertahankan karya tersebut sekiranya penulis tidak bersetuju untuk mengubahnya.

"Abdullah Hussain merupakan Sasterawan Negara yang ulung, janganlah kita terus menjatuhkan maruah dan martabatnya. Dan watikah pelantikan beliau juga diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau turut kecewa dengan desakan sesetengah pihak yang mengugut untuk bertindak di luar kematangan, seperti berhasrat untuk membakar karya itu.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/152749

Ramli: Saya serah senarai calon SUK pada MB

Ramli: Saya serah senarai calon SUK pada MB
Jan 7, 11 3:30pm

Bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud menafikan beliau menyerahkan cadangan penggantiannya kepada Sultan Selangor tanpa memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

NONE"Senarai ini telah disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor, diserahkan kepada YAB menteri besar dan saya meminta beliau berbincang dengan DYMM Sultan.

"Dan satu salinan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk pemilihan bagi memastikan SUK Selangor orang Selangor dan mempunyai pengalaman bekerja di Selangor bagi mengetahui adat kerja," katanya.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Ramli berkata, beliau tidak terlibat langsung dalam menentukan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor.

Berikut kenyataan penuhnya berhubung kontroversi pelantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor itu:

Saya tidak terlibat langsung dalam menentukan Datuk Kushrin sebagai SUK Selangor. Saya hanya terlibat dalam menyenaraikan calon-calon yang layak dipertimbangkan berdasarkan seniority (kekananan) dan saya percaya pada seniority.

Sebanyak lapan nama layak dipertimbangkan dan Datuk Kushrin adalah calon kelima berdasarkan kekananan.

Senarai ini telah disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor, diserahkan kepada YAB menteri besar dan saya meminta beliau berbincang dengan DYMM Sultan.

Dan satu salinan kepada JPA untuk pemilihan bagi memastikan SUK Selangor orang Selangor dan mempunyai pengalaman bekerja di Selangor bagi mengetahui adat kerja. Senarai telah diserahkan lebih daripada tiga bulan sebelum persaraan saya.

Mereka semua pegawai saya dan saya tiada preference kerana saya tiada personal interest (kepentingan peribadi).

JPA telah menyenaraipendek tiga nama dan minta disembahkan kepada DYMM Sultan seperti yang dititahkan, berdasarkan integiriti, kredibeliti dan pengalaman. Nama Datuk Khushrin yang teratas dan dua nama lain.

Saya telah bertanyakan senarai negeri beberapa kali daripada (exco Selangor) Datuk Hasan Ali. Kali pertama dimaklumkan belum selesai wawancara Datuk Nordin yang bercuti dan sekali lagi dimaklumkan telah diserahkan kepada YAB Menteri Besar.

Saya perpendapat perkara ini akan di bawa untuk berbincang sendiri dengan DYMM Sultan Selangor. Saya telah kemukakan tiga calon JPA kepada DYMM Sultan Selangor.

Dan DYMM Sultan telah perkenan Datuk Kushrin melalui surat kepada saya yang disalinkan keapda YAB MB. Saya telah memanjangkannya kepada JPA dan perkara ini masih embargo sehingga pengumuman dibuat oleh JPA.

Saya didakwa tidak memaklumkan kepada EXCO kerana saya kira kalau hendak pecahkan rahsia biarlah YAB menteri besar sebab beliau juga mendapat salian surat kerana sebagai YAB MB beliau biasanya kebal, manakala jika saya yang memaklumkannya dan keadaan jadi macam sekarang sudah tentu saya akan dipersalahkan dan boleh didakwa di bawah akta rahsia rasmi.

Keadaan yang senyap menyebabkan saya beranggapan perkara ini telah dibincangkan oleh beliau dgn DYMM Tuanku dan tiada masalah.

Manakala pengarah JAIS tiada masalah, kalau calon saya adalah Datuk Asmawi berdasarkan kekananan, the most senior (yang paling kanan).

YAB menteri besar menulis memo meminta tuan haji Marzuki, saya sembahkan kepada DYMM Tuanku sebagai ketua agama Islam dan Baginda telah perkenan.

Saya berpendapat keadaan disebabkan communication brokedown (kegagalan komukasi) dan juga lack of communiction (kurang komunikasi) di pihak saya dengan YAB menteri besar yang menyebabkan banyak sangat tangapan digunakan.

http://malaysiakini.com/news/152739
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...