Friday, May 21, 2010

Konsep holistik Ibu Laila




KITAB suci al-Quran diturunkan sebagai pedoman kepada seluruh umat Islam hingga ke akhir zaman. Di dalamnya terkandung pelbagai mutiara ilmu dan untaian kata yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kitab sekali pun.

Selagi manusia berpegang teguh dengan segala perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka tidak akan sesat dalam perjalanan meniti kehidupan di dunia ini.

Berpegang kepada hakikat itu, wanita bernama Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila percaya bahawa ia merupakan anugerah Allah yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Lantaran itu, dia sentiasa menjadikan kitab tersebut sebagai kaedah utama dalam mendidik dan membentuk anak-anak menjadi manusia berguna pada masa akan datang.

Ibu Laila yang merupakan pengasas Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) berkata, anak-anak yang baru dilahirkan ibarat kain yang suci daripada sebarang noda.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mewarnai kain putih itu dengan cara yang betul dan kaedah terbaik sudah tentu dengan mengikuti pedoman yang digariskan di dalam al-Quran.

"Sebenarnya, dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia terdapat dua jenis kekuatan disiplin yang boleh dipelajari iaitu secara tidak sedar (informal) dan harian (formal).

"Apa yang dimaksudkan dengan didikan secara tidak sedar adalah dengan merangsang minda dan nurani seseorang anak melalui ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan sama ada melalui bacaan sendiri ataupun pemasangan kaset, cakera padat (CD) dan cakera video digital (VCD)," katanya.

Jelas Ibu Laila, didikan sedemikian harus dimulakan sewaktu bayi masih di dalam kandungan, diteruskan apabila mereka lahir sehingga menginjak ke alam kanak-kanak dan dewasa.

"Apabila anak-anak ini sentiasa dekat dengan bacaan ayat-ayat suci ini, secara tidak langsung ia mampu memberi ketenangan yang sukar ditafsirkan dan mereka akan membesar sebagai seorang anak yang cemerlang bukan sahaja di dalam pelajaran tetapi juga akhlak dan peribadi mereka," tegas ibu kepada tujuh cahaya mata ini.

Berbicara lebih lanjut, wanita berusia 49 tahun itu tidak lokek berkongsi pengalaman dalam mendidik anak kandungnya dan juga anak jagaannya di ATAH dengan menerapkan konsep pembelajaran holistik secara menyeluruh.

Kaedah itu katanya, berupaya memberi impak yang positif terhadap perkembangan minda kanak-kanak terutama jika ia dilakukan ketika mereka masih bayi.


IBU LAILA menunjukkan kaedah stimulasi bayi pada cucunya sambil diperhatikan Nur Sakinah.


Menurut Ibu Laila lagi, pendidikan awal kanak-kanak harus bermula daripada saat dia dilahirkan hingga berusia tiga tahun.

"Tempoh itu merupakan waktu terbaik untuk kita lakukan stimulasi pada bayi seperti rangsangan fizikal iaitu daripada terlentang, meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan boleh berlari secara cross patern (pembelajaran bersifat sinergetik).

"Semua ini amat berkesan untuk memberi rangsangan semaksimum yang boleh untuk perkembangan minda si kecil. Apa yang ibu lihat, anak-anak ibu mempunyai pencapaian yang sangat membanggakan.

"Kami mengajar anak-anak di ATAH dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab di samping menekankan subjek Matematik," ujar Ibu Laila yang telah menerapkan kaedah pembelajaran bersifat integrasi atau bersepadu itu sejak tahun 1985.

Sebelum mengasaskan ATAH yang ditubuhkan pada 1 April 2000, Ibu Laila bermula dengan membuka pusat jagaan kanak-kanak daripada bayi hingga berusia empat tahun pada Januari 1985.

Kemudian, apabila mereka mencecah usia lima tahun, wanita berdedikasi ini menubuhkan pula tahfiz prasekolah yang dihadiri hampir 30 kanak-kanak di sebuah rumah di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.

Melihat sambutan yang diterima semakin menggalakkan dengan kehadiran lebih 80 kanak-kanak di tahfiz prasekolah itu, Ibu Laila membuat keputusan berpindah ke sebuah rumah yang lebih besar di Lorong Daud, Kampung Baru.

Dari situlah dia memulakan sistem baru dengan menggunakan medium Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik, Sains dan Pengajian Islam seperti Sirah Nabawiyyah dan Fikah.

Ternyata kaedah yang digunapakai mampu meningkatkan intelektual, spiritual, perkembangan fizikal dan menjadikan anak-anak di sana lebih kreatif dan inovatif.

"Kita nampak keseimbangan membentuk seorang manusia amat penting dengan menekankan kepada empat aspek tersebut kerana dengannya kanak-kanak akan menjadi cemerlang dan menjadi individu yang luar biasa dalam aspek pencapaian akademik dan sosial," ungkapnya sambil memberitahu semua anaknya kecuali yang sulung berjaya menamatkan pengajian di sekolah tersebut.

Salah seorang anak Ibu Laila yang berpeluang belajar di tahfiz pra-sekolah dan ATAH, Ahmad Abdul Hadi Samat, 21, melahirkan rasa syukur dan terharu di atas kerja keras yang dilakukan bonda tersayang.

"Alhamdulillah, ibu telah memberikan saya satu pendidikan yang sempurna untuk kehidupan dunia dan akhirat. Sebagai anak, memang saya berbangga dengan pencapaian ibu sehingga ke hari ini.


PELAJAR di ATAH menerima didikan menerusi kaedah bersepadu.


"Ibu memang menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk melihat anak-anak beragama Islam memperoleh kejayaan sama ada bersifat duniawi mahupun ukhrawi.

"Moga Allah terus mengurniakan kekuatan dan ketabahan untuk ibu mengendalikan akademi tahfiz ini," tutur Ahmad yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mencatat keputusan 11A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2007) dan kini menyambung pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dalam bidang kejuruteraan.

Selain Ahmad, anak-anak Ibu Laila yang lain ialah Siti Nurul Fatihah (25), Asma (24), Nur Sakinah (23), Ahmad Abdul Hakim (18), Nur Atiqah (15) dan Muhammad Hanis (13).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm

Pencipta mesin pengeluar wang automatik mati

Pencipta mesin pengeluar wang automatik mati


JOHN SHEPHERD-BARRON


LONDON - Bekas pekerja sebuah syarikat pencetak wang kertas, John Shepherd-Barron yang mendapat idea untuk mencipta mesin pengeluar wang automatik meninggal dunia pada Sabtu lalu semasa berumur 84 tahun kerana sakit.

Dia mendapat idea untuk mencipta mesin itu semasa berada dalam bilik air selepas pulang dari bank kerana tidak dapat mengeluarkan wang.

Shepherd-Barron mendapat idea itu dengan menggunakan konsep mesin coklat.

Dia kemudian menjual konsep mesin pengeluar wang automatik itu kepada Bank Barclays di Britain.

Namun, pada mulanya, mesin itu tidak menggunakan kad tetapi cek khas. - Reuters Life

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Levi pekerja asing naik


MUHYIDDIN (kanan) berbincang sesuatu bersama Hishammuddin (dua dari kiri) dan Musa (kiri) di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang menaikkan kadar levi pekerja asing mengikut sektor mulai tahun depan dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar itu akan ditetapkan secara berbeza-beza mengikut tahap kemahiran pekerja terbabit serta jumlah pekerja asing dalam sesuatu sektor pekerjaan.

"Kita akan teliti mengikut sektor pekerjaan seperti pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan pertanian. Ini bermakna kadar levi akan berbeza mengikut sektor-sektor dan juga daripada jumlah peratusan pekerja yang ada. Lagi besar (ramai) pekerja, mungkin lebih besar levi.

"Selain itu berdasarkan kepada kelayakan. Kalau ada kelayakan (kemahiran), mungkin dia tidak dikenakan levi tinggi tetapi jika tiada kelayakan atau pekerja biasa, maka majikan kena bayar (levi) lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Muhyiddin berkata, Hishammuddin diberi tempoh dua minggu bagi meneliti cadangan kenaikan kadar levi pekerja asing itu yang merupakan antara 50 cadangan yang dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Batalkan saja!

Oleh Amirul Haswendy Ashari
am@hmetro.com.my
2010/05/21

KUALA LUMPUR: “Batalkan lesen judi Piala Dunia 2010 atau mansuhkan Akta Pertaruhan Pool dan Akta Perjudian Rumah Terbuka!” desak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira Perkasa) berikutan pemberian lesen konsesi berbilion ringgit itu kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi mengendalikan pertaruhan judi bola sepak sempena temasya sukan itu Jun ini.

Ketua Wira Perkasa, Arman Azha Abu Hanifah, berkata isu ini bukan sekadar ‘halal atau haram’, tapi ia dilihat satu tindakan yang boleh menggugat kestabilan sosial.


“Parti pemerintah dan parti pembangkang boleh menggunakan kuasa yang diberi rakyat untuk membuat tindakan dengan mengusulkannya di Parlimen.


Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Wira Perkasa hanya mampu mendesak pihak terbabit untuk memansuhkan akta itu kerana kuasa terletak di tangan Ahli Parlimen,”
katanya.


Arman ditemui pada sidang media anjuran Wira Perkasa mengenai bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi Piala Dunia 2010 di ibu pejabat pertubuhan itu di sini, semalam.


Beliau turut meminta isu itu tidak dipolitikkan melalui bantahan jalanan dan demonstrasi kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.


Beliau mencabar Pakatan Rakyat (PR) terutama Pas dengan sokongan DAP untuk membahas bantahan pelaksanaan pemberian lesen judi terbabit di Parlimen. Menurutnya, sebelum ini DAP pernah difahamkan turut tidak bersetuju pemberian lesen judi itu.


“Jika mereka tidak bersetuju, gunakan saluran betul dan sekiranya benar mereka membangkang pemberian lesen judi itu, ini bermakna mereka mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya.


Atas desakan itu, Wira Perkasa kini mengambil inisiatif mengumpul 40 ribu tanda tangan orang ramai yang bersetuju membantah pelaksanaan lesen judi Piala Dunia untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang minggu hadapan.

Pertubuhan itu juga memohon badan NGO lain yang bersetuju dengan bantahan itu untuk turut serta memperjuangkan tindakan mereka itu.


Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata Kementerian Kewangan sudah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Batalkansaja_/Article

Genggam PhD usia 29 tahun

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/05/21

SHAH ALAM: Tiga tahun lalu dia gagal merebut gelaran juara program realiti, What Women Want terbitan 8TV, namun 2010 menjadi tahun kebanggaan bagi Tom atau nama sebenarnya, Adzrool Idzwan Ismail, 29, apabila berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Seni Lukis dan Seni Reka (Fotografi) pada usia muda.

Adzrool Idzwan antara 488 lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima ijazah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-72, di sini, semalam.


Malah lebih membanggakan, dia penerima PhD paling muda dalam sejarah UiTM.


Adzrool Idzwan yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mengakui pelbagai halangan dihadapinya ketika proses menyelesaikan kertas kerja kajian.


“Saya pernah dikatakan tidak berkelayakan untuk mengambil PhD lantaran usia yang muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman, namun hari ini, dengan kejayaan diterima sudah berjaya menutup mulut mereka.


“Malah, saya terpaksa berkorban masa bersama keluarga, wang ringgit serta tenaga untuk ke luar negara seperti Indonesia, Taiwan, Korea dan Jerman semata-mata mencari bahan rujukan berikutan sumber berkenaan terhad di negara ini,”
katanya yang berasal dari Simpang Empat, Kedah.


Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, dia sangat bersyukur dan gembira apabila berjaya menunaikan hasrat bapanya, Ismail Ahmad, 69, yang inginkan dia bergelar doktor walaupun bukan dalam bidang perubatan seperti yang dihajati.


Adzrool Idzwan juga melahirkan penghargaan kepada keluarga serta pensyarah yang banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang pengajiannya selama tiga tahun itu. Selain itu, impiannya untuk menerima skrol ijazah PhD daripada Tuanku Mizan tercapai.


Mengulas perancangan masa depan, pemuda yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, pada penghujung Mei ini, Adzrool Idzwan berkata dia bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang Forensik Fotografi di India, selewat-lewatnya tahun depan.

Sementara itu, Ismail turut bersyukur dengan kejayaan anak keduanya itu dan memberitahu, dia sentiasa berdoa untuk melihat semua anaknya mendapat pendidikan terbaik sebagai bekalan kehidupan masing-masing.


Pada majlis berkenaan, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Modal Insan, daripada Tuanku Mizan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GenggamPhDusia29tahun/Article

Cari waris bayi

2010/05/21

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak meminta kerjasama orang ramai mengesan waris bayi perempuan berusia empat bulan.

Bayi malang yang ditemui di Simpang Tiga Gombak oleh orang awam pada 31 Disember tahun lalu itu hanya dikenali sebagai Nordiana yang kini berada di bawah jagaan jabatan itu.


Pelindung Kanak-Kanak pejabat itu, Maslinda Amiruddin dalam kenyataannya berkata, pihaknya berharap waris bayi itu tampil untuk memberikan kerjasama memandangkan ia perlu dirujuk kepada mahkamah.


“Kami berharap waris Nordiana atau sesiapa saja yang mempunyai maklumat berhubung keluarga bayi itu dapat tampil ke pejabat JKM Gombak bagi memberikan kerjasama,” katanya.


Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi 03-61853931 atau 03-61857931.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cariwarisbayi/Article

Anak kongsi beg sekolah

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my
2010/05/21

KUCHING: Ikatan yang dibina atas dasar cinta berakhir dalam keperitan bagi seorang ibu tunggal apabila dia kini bersendirian membesarkan empat anak yang masih kecil selepas ditinggalkan suami sejak dua tahun lalu.

Bagi Kartini Ahmad, 27, dia perlu meneruskan hidup walaupun tanpa suami yang sebelum ini pernah berjanji sehidup semati demi memastikan masa depan anak mereka terbela.


“Dengan gaji RM450 sebulan sebagai pembantu kedai kopi, ia jauh daripada mencukupi untuk kami lima beranak. Tapi apakan daya, semua itu mesti saya harungi kerana tak mahu memperjudikan masa depan anak yang sedang membesar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Midin, Semeriang, di sini, semalam.


Menurut Kartini, dia kini tinggal di sebuah rumah pondok yang dibina bapa tirinya, Yaacob Naraie, 55, di atas tanah milik kerajaan kerana tidak mampu menyewa.


“Sejak suami menghilangkan diri, hidup saya berubah kerana perlu memikul dua tanggungjawab sebagai seorang ayah yang sepatutnya mencari rezeki dan menjaga anak yang masih kecil,” katanya.


“Pendapatan bulanan yang tidak pernah mencukupi, kami lima beranak terpaksa hidup dalam serba kekurangan,” katanya.


Anak sulung Kartini, Mohd Izamri Samadi, 11, dan adiknya, Nor Arina, 9, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, di sini, manakala Nor Diana, 5, dan Nor Fiana, 2, dijaga ibunya ketika dia keluar bekerja.


Menurutnya, kerana kesempitan hidup, pakaian sekolah dua anaknya tidak dapat disediakan, malah mereka terpaksa berkongsi beg untuk ke sekolah.


“Kadang-kadang mereka tidak ke sekolah kerana tiada wang belanja, malah yuran sekolah pun saya belum jelaskan lagi,” katanya.

Lebih memeritkan buat Kartini, Nor Diana dan Nor Fiana turut menghidap penyakit asma dan keadaan mereka menjadi lebih teruk ketika demam menyebabkannya terpaksa menyimpan sebahagian daripada pendapatan untuk membeli ubat mereka.


Kartini berharap nasib dirinya diringankan dengan bantuan dalam bentuk tempat tinggal yang lebih selesa supaya anaknya dapat belajar dengan lebih baik.


“Rumah yang kami diami sekarang sering bocor apabila hujan.


“Selagi mampu, saya akan pastikan anak mendapat pendidikan sempurna kerana saya sedar hanya ilmu mampu mengubah nasib kami sekeluarga pada masa depan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakkongsibegsekolah/Article

Pelacur tubuh sasa

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/05/21

KUALA LUMPUR: Di sebalik tubuh sasa dan tampan, tiada siapa menyangka seorang lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari pantai timur itu pelacur sejenis di sebuah pusat urut di ibu negara sejak setahun lalu.

TAHAN...pekerja pusat urut dan pelanggan yang ditahan dalam operasi, kelmarin.
TAHAN...pekerja pusat urut dan pelanggan yang ditahan dalam operasi, kelmarin.
pix_topright
Memperoleh bayaran RM25 bagi setiap pelanggan yang dilayaninya, lelaki dikenali sebagai Farid itu pada mulanya menafikan melakukan pekerjaan terkutuk itu sebaliknya mendakwa hanya menawarkan khidmat urutan badan yang dilakukan sejak setahun lalu.


Namun, helah Farid bersama rakan-rakannya terbongkar apabila serbuan pihak berkuasa malam kelmarin menemui puluhan keping kondom yang digunakan dipercayai bagi melakukan aktiviti pelacuran sejenis di dua pusat urut yang terletak berhampiran di Taman Miharja, Cheras di sini.


Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur bersama Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) turut menahan 25 pelanggan lelaki pelbagai bangsa termasuk ahli perniagaan.


Pusat berkenaan turut mempamerkan lelaki yang ingin dilanggan pada dinding dalam premis terbabit.


Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata ia serbuan keempat ke atas kedua-dua premis terbabit yang dipercayai beroperasi sejak lima tahun lalu.


“Kedua-dua premis ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan menggunakan pintu tebal dua lapis bagi mengaburi pihak berkuasa selain hanya menerima pelanggan tetap yang diberikan kod rahsia masing-masing sebelum dibenarkan masuk.


“Namun, hasil risikan dan penyamaran, kami menyerbu premis terbabit dipercayai menjalankan operasi sebagai pusat urut yang menawarkan perkhidmatan seks sejenis berdasarkan kondom yang ditemui,” katanya ketika ditemui di kelmarin.


Menurutnya, serbuan di premis pertama menahan sembilan pekerja dengan seorang warga tempatan, Thailand (2), Mynmar (3), Iran (1) dan India (1) serta 12 orang pelanggan berusia 20 hingga 50-an.

“Ketika ditahan semua mereka bersama pasangan berada di dalam bilik dilengkapi tilam dengan hanya memakai tuala.


“Serbuan kedua di pusat urut dikenali Jari Manis menahan tujuh pekerja dengan empat warga tempatan manakala Indonesia (3) serta 13 pelanggan tempatan dan asing.


“Kedua-dua premis terbabit beroperasi tanpa lesen dan tindakan akan diambil pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala pekerja dan pelanggan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) untuk siasatan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelacurtubuhsasa/Article

Sangkar cinta remaja hamil

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/05/21

KUALA LUMPUR: Seorang remaja bukan saja terpaksa mengandung anak luar nikah, malah turut diperlakukan dengan kejam apabila diseksa teman lelakinya ketika dikurung dalam sebuah rumah di Kepong di sini.

Kehidupan dilalui gadis berusia 18 tahun itu penuh seksa umpama dalam neraka selepas dia berkenalan dengan teman lelaki berusia awal 20-an sejak setahun lalu.

Namun, derita remaja perempuan itu berakhir 11 Mei lalu apabila dia meloloskan diri daripada kekasihnya.

Sejurus menyelinap keluar dari rumah kekasihnya, gadis itu terus menghubungi bapanya meminta menjemputnya pulang ke rumah di Ampang.

Namun, tindakan gadis terbabit yang melarikan diri mengundang kemarahan teman lelakinya yang bertindak biadab dengan mengunjungi rumah keluarga gadis itu bersama beberapa rakannya bertujuan mengambil semula kekasihnya.

Lelaki terbabit enggan ‘melepaskan’ teman wanitanya, malah secara terbuka memberitahu anak yang dikandung gadis itu bakal dijual kepada orang tertentu.

Menurut sumber polis, pasangan kekasih itu saling mengenali setahun lalu dan mereka tinggal tanpa ikatan sah di sebuah rumah yang disewa lelaki terbabit di Kepong, sejak hampir lima bulan lalu.

“Sepanjang tinggal bersama, gadis terbabit mendakwa dia sering didera dan dipukul teman lelakinya. Mangsa juga tidak dibenarkan keluar rumah.

“Malah, teman lelakinya turut mengawasi semua gerak-geri gadis terbabit dalam usahanya menghalang mangsa melarikan diri,”
katanya.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, mangsa melarikan diri sebelum menghubungi ahli keluarga yang datang mengambilnya di satu lokasi di Selayang.

“Mangsa dibawa pulang ke rumahnya di Ampang, namun teman lelakinya yang dapat menghidu kehilangan gadis terbabit berang sebelum dia bersama beberapa rakan pergi ke rumah keluarga teman wanitanya itu.

“Lelaki terbabit bertindak biadab apabila cuba menceroboh kediaman keluarga mangsa bersama beberapa rakan selain memecahkan pintu pagar,”
katanya.

Menurutnya, teman lelaki gadis terbabit bersama rakannya pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 9 malam pada hari sama teman wanitanya itu melarikan diri.

“Bagaimanapun, kejadian terbabit dileraikan selepas campur tangan ahli keluarga dan beberapa jiran. Lelaki terbabit ditenangkan dan beredar dari situ,” katanya.

Difahamkan, gadis terbabit kini mengandung tujuh bulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sangkarcintaremajahamil/Article

Suami dajal

Oleh Mohamad Hussin

2010/05/21

YAN: “Tergamak dia menendang perut dan muka saya dengan kasut but kerana marah sebab saya nak ambil kereta,” dakwa jururawat, Che Azaini Suyana Hassan, 31, parah dibelasah suaminya, seorang anggota bomba di Pulau Pinang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang masih berpantang melahirkan anak ketiga cedera teruk di muka, telinga, belakang badan dan kaki selepas dibelasah tanpa belas kasihan.

Difahamkan, mangsa turut pengsan sejam di balai bomba berkenaan selepas dibelasah suaminya yang berusia 30 tahun tanpa disedari anggota bomba lain.

Che Azaini Suyana berkata, dia yang baru melahirkan anak ketiga pada 22 April lalu, tidak menyangka suaminya tergamak bertindak demikian kerana marah apabila dia meminta kereta daripada suaminya.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi suami supaya menghantar kereta bagi mahu menghantar anak ke klinik kerana anak demam. Dia sudah lama tidak menjenguk kami anak-beranak termasuk anak baru dilahirkan.

“Kerana tidak tahan menanggung sengsara, saya ke tempat kerjanya di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pulau Pinang untuk berbincang masalah kami dan mengambil kereta saya yang digunakannya,” katanya yang ditemui di Hospital Yan, di sini, semalam.

Menurutnya, dia terkedu apabila tiba-tiba suami menumbuk kereta sebelum menendang perutnya menyebabkannya terduduk di kawasan gelap tempat meletak kenderaan di balai bomba berkenaan.

“Dia mengheret saya ke depan tempat letak kereta dan menendang muka saya. Ketika itu dia memakai kasut but dan tendangan itu menyebabkan saya pengsan selama sejam di situ,” katanya.

Che Azaini yang kini menetap di Guar Chempedak berkata, dia ke Pulau Pinang bersama kakak angkat dan anaknya kerana bimbang perkara buruk berlaku.

“Nasib baik kakak angkat ada di situ. Dia yang menghantar saya ke tempat kerja suami kerana kasihankan saya menanggung sengsara sendirian.

“Selepas tersedar pengsan kira-kira jam 11.30 malam, saya hubungi kakak angkat memaklumkan kejadian itu.

“Dia menghantar saya ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan kerana saya masih dalam berpantang sebelum dirujuk ke Hospital Yan,”
katanya sebak.

Che Azaini Suyana yang terkilan dengan suaminya, pasrah dengan apa yang terjadi kerana masalah mereka berlarutan sejak empat tahun lalu.

“Saya banyak bersabar melayan kerenah dia. Saya tahu dia ada hubungan dengan wanita lain sebab itu dia tidak ambil peduli kami dan enggan memulangkan kereta saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Perai.

Sementara itu, jurucakap polis Seberang Perai Tengah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata siasatan masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamidajal/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...