Thursday, July 16, 2009

Dendam cinta OKU

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


BAHAU: Akibat tidak dapat menerima hakikat cintanya putus di tengah jalan, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai sanggup bertindak menyiarkan gambar ghairah teman wanitanya di dalam Internet.

Lelaki berusia 30-an terbabit berkenalan dengan teman wanitanya melalui internet hampir tiga tahun lalu dan sejak itu, mereka mula menjalinkan hubungan cinta.


Wanita berusia awal 30-an itu juga pernah berkunjung ke rumah suspek di Kampung Baru Mahsan, dekat sini, pada tahun lalu dan tinggal di situ selama beberapa hari.

Harian Metro difahamkan, ketika berada di rumah lelaki terbabit, pasangan itu ada merakamkan beberapa gambar untuk disimpan sebagai koleksi kenangan.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, mangsa mula melahirkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta dengan teman lelakinya atas sebab tertentu.

Akibat tindakan terbabit, teman lelaki mangsa begitu marah, lalu mengugut untuk menyebarkan gambar bogel wanita berkenaan di dalam Internet.

Difahamkan, lelaki itu mengalami lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, beberapa tahun lalu.

Sumber berkata, wanita berkenaan bagaimanapun akur dengan amaran teman lelakinya dan meneruskan semula hubungan cinta dengan suspek.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut selepas rakannya memberitahu melihat gambar bogelnya dalam Internet.

“Suspek dipercayai masih berang dengan tindakan wanita berkenaan lalu menyebarkan gambar bogel mangsa di dalam internet,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, berikutan itu, wanita malang berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin supaya siasatan dapat dilakukan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Ramli Mohd Nor, berkata bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJK negeri menyerbu rumah lelaki terbabit beberapa jam selepas laporan dibuat.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki terbabit untuk membantu siasatan berhubung pengedaran gambar lucah terbabit.

“Polis turut merampas satu set komputer di rumah suspek untuk tujuan siasatan mengenai kejadian itu,” katanya memaklumkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Katanya, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan dan siasatan ke atasnya dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090716070308/Article/index_html

Usah terpedaya

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Masyarakat perlu membetulkan cara pemikiran mahu kaya cepat, supaya mereka tidak diperbodoh dengan sewenang-wenangnya,” kata Pakar Motivasi dan Penceramah, Zawawi Yusof.

Menurutnya, golongan yang mahu untung banyak tetapi kerja sedikit itulah yang selalunya mudah diperdaya dan diperbodohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat kita terlalu mudah ‘melayan’ risalah yang tidak diketahui asal usulnya asalkan dapat ganjaran lebih besar dengan mengeluarkan modal sedikit.

“Malah mereka mudah terpedaya hanya menggunakan nama Islam dan percaya bulat-bulat apa yang ditawarkan sedangkan kita tahu tiada pelaburan boleh untung sehingga RM600,000 jika melabur RM30 saja,”
katanya.

Katanya kerajaan perlu bertindak tegas terhadap orang yang ‘menjual’ idea merosakkan (risalah) terbabit supaya skim cepat kaya menggunakan nama agama itu tidak berleluasa sehingga sukar dibendung.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam, mengenai sindiket skim cepat kaya yang aktif di Kedah dengan menggunakan konsep amal jariah sesama Islam dan sumbangan ummah.

Difahamkan, risalah mengenai skim tanpa nama dan siapa syarikat penciptanya itu kini diedarkan di tempat ibadah seperti di surau serta masjid, selain taman perumahan yang diketuai atau didiami ramai keluarga Islam terutama di luar bandar.

Malah, pengendali skim juga mendakwa program itu amalan tanpa wujud syak wasangka dan jika dijalankan secara ikhlas dengan menderma RM30 sekali seumur hidup akan menyebabkan saudara seagama ‘senang’.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata risalah skim cepat kaya sudah lama diedarkan, pengguna perlu berhati-hati kerana apa yang ditawarkan ‘indah khabar daripada rupa’.

“Tak rugi jika kita tidak ‘melayan’ risalah yang menjanjikan tawaran menarik kerana lagi ramai yang terbabit lebih banyak risalah akan diedarkan untuk mengaburi mata pengguna,” katanya.

Amuk nak kahwin lagi

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


AMPANG: Merajuk selepas permintaannya untuk beristeri dua ditolak, seorang lelaki mengamuk dan berkurung dalam rumahnya hampir lima jam sebelum diberkas polis di Kampung Indah Permai di sini, Isnin lalu.

Lelaki terbabit yang bersenjatakan dua parang panjang mengugut untuk mencederakan anggota polis yang cuba memasuki rumahnya selain turut mengancam meletupkan dirinya dengan tong gas memasak.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, polis yang menerima maklumat daripada orang awam bergegas ke lokasi kejadian tetapi cubaan memujuk lelaki terbabit menemui kegagalan.

Menurut sumber polis, lelaki itu bertindak agresif setiap kali polis cuba memasuki rumahnya dengan mengugut hendak menyalakan api sambil memegang tong gas memasak.

“Selain itu, dia mengugut mencederakan polis menggunakan dua parang panjang yang dibawanya dan juga pisau yang diselitkan di pinggang.

“Hampir lima jam cuba memujuk namun lelaki terbabit tetap berkeras enggan membuka pintu dan memberi amaran akan mencederakan sesiapa yang cuba masuk ke rumahnya,” katanya.

Sumber terbabit berkata, keadaan ketika itu kecoh kerana ramai penduduk sekitar kawasan berkenaan turut berkumpul di perkarangan rumah lelaki itu untuk mengetahui kejadian sebenar selain cuba memujuknya menyerah diri.

“Keluarga lelaki terbabit dan rakannya turut cuba membantu memujuk dia keluar dari rumah, namun dia tetap enggan menyerah diri dan mengamuk dalam rumah terbabit.

“Anggota bomba dan penyelamat turut memberi bantuan tetapi setiap kali cuba memasuki rumahnya, lelaki terbabit akan menyerang,”
katanya.

Menurutnya, isteri dan dua anak lelaki terbabit bagaimanapun dapat melarikan diri keluar dari rumah sejurus dia mengamuk dan ketiga-tiga mereka dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi berkata, lelaki berkenaan akhirnya berjaya ditahan selepas hampir lima jam usaha memujuknya gagal.

“Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas pelbagai usaha memujuk lelaki terbabit gagal selain dia bertindak agresif.

“Selepas terkena gas pemedih mata, lelaki itu akhirnya pengsan dan mungkin juga kerana kepenatan dan polis akhirnya menahannya,”
katanya.

Difahamkan, lelaki berusia 34 tahun itu bekerja sebagai kontraktor elektrik manakala isterinya seorang kakitangan swasta.

Menurut Abd Jalil, siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami tekanan selepas permintaannya untuk berkahwin seorang lagi tidak direstui isterinya.

“Mungkin kerana terlalu memikirkan permintaannya yang ditolak isterinya itu membuatkan lelaki terbabit tidak dapat mengawal perasaan.

“Dia kini ditahan dan dihantar ke wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan sama ada mengalami gangguan mental,”
katanya.

Budak genius fizik, kimia

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Dia membesar seperti kanak-kanak normal lain dan makan makanan biasa termasuk makanan ringan, tapi kegemarannya roti bakar,” kata Valentine Cawley, 41, menceritakan keunikan anaknya yang dianggap genius apabila memasuki universiti pada usia lapan tahun.

Ainan Celeste Cawley, yang kini berusia sembilan tahun, berdarah campuran Irish-Melayu mula terkenal dan mendapat perhatian ramai kerana kepintaran luar biasanya dalam dua mata pelajaran sains iaitu kimia dan fizik, malah muncul kanak-kanak paling muda di dunia lulus subjek fizik peringkat `O Level’.

Pencapaian itu dianggap luar biasa kerana sebelum ini kanak-kanak pintar dan genius hanya mampu menguasai satu subjek pada satu masa.

Cawley yang bertugas sebagai editor majalah seni berkata, anak sulung itu membesar seperti kanak-kanak lain, melainkan dia mempunyai kepintaran luar biasa yang tiada pada budak sebayanya selain memiliki daya pemikiran cergas, 'cepat tangkap' dan responsif.

“Saya tidak melihat Ainan berlainan daripada rakan sebayanya, cuma pada kami sekeluarga, dia istimewa kerana keupayaan serta kepintarannya menakluk subjek fizik dan kimia dengan cepat tanpa mengikuti kelas formal.

“Malah, ketika isteri, (Syahidah Osman Cawley, 30,) mengandungkan Ainan, dia seperti wanita mengandung lain serta tidak pernah mengidam makanan atau benda yang pelik-pelik.

“Cuma selepas Ainan dilahirkan kami menyedari sesuatu yang berbeza apabila dia mengeluarkan bunyi seperti perkataan 'air' untuk minum ketika usianya baru mencecah dua minggu,”
katanya ketika dihubungi di Singapura, malam tadi.

Bercerita lanjut mengenai keunikan anaknya, Cawley, graduan lulusan Universiti Cambridge berkata, Ainan sudah boleh merangkak pada usia empat bulan, berjalan pada usia enam bulan dan berlari ketika mencecah usia lapan bulan, sekali gus mula membaca ayat pertamanya.

“Pada usia setahun, Ainan sudah mula membaca dengan lancar tanpa bantuan saya atau isteri. Ketika mengunjungi ibu mentua, (Sabariah Abdul Wahab) di Johor, dia menunjukkan kebolehannya dalam kimia.

“Usianya ketika itu baru enam tahun, tapi dia sudah menunjukkan minat mendalami ilmu sains apabila membaca buku teks kimia yang dijumpai di rumah neneknya, sebelum ditegur ibu saudara yang pelik melihat dia seolah-olah faham subjek terbabit.


“Ainan diberi kertas ujian kimia untuk diselesaikan dan dia menjawab dengan betul semua soalan,” katanya yang bangga dengan pencapaian anaknya.

Menurutnya, kanak-kanak yang memiliki kepintaran luar biasa selalunya hanya bijak dalam satu mata pelajaran, tetapi Ainan luar biasa kerana turut bijak dalam subjek fizik, selain kimia yang amat diminatinya.


Ainan mempunyai dua adik lelaki, Fintan Nadym Cawley, 6, dan Tiarnan Hasyl Cawley, 3.

Cawley berkata, Ainan mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran fizik peringkat O Level kendalian London Edexcel, Januari lalu di British Council Singapura ketika usianya menjangkau sembilan tahun sebulan.

Sebelum itu, Cawley menghantar Ainan menduduki peperiksaan bagi subjek kimia peringkat sama yang turut dikendalikan London Edexcel, dua tahun lalu, sekali gus meletakkannya sebagai orang paling muda lulus peperiksaan O Level ketika itu.

Justeru, bagi tidak mensia-siakan keupayaannya, Ainan dihantar bersekolah bersama kanak-kanak seusia dengannya selain menjalani pembelajaran intensif di rumah untuk subjek fizik beberapa bulan lalu, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kimia di Politeknik Singapura, tahun lalu.

“Sudah setahun Ainan menuntut di Politeknik Singapura dan dia kini mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan kimia, kebanyakannya membabitkan kursus pelajar tahun tiga dicampur dengan tahun dua.

“Selain dua subjek teras ini Ainan juga menunjukkan kecenderungan dalam matematik dan biologi dan dia makin mahir serta menggemarinya,”
katanya.

Cawley memuatkan catatan mengenai perkembangan harian anaknya itu dalam laman web www.scientific-child-prodigy.blogspot.com.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090716071445/Article/index_html

Wang kertas baru RM50 untuk cegah pemalsuan




KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mulai semalam mengeluarkan wang kertas RM50 reka bentuk baru yang menggabungkan pelbagai ciri keselamatan moden dan inovatif dengan tujuan utama untuk menghalang cubaan pemalsuan.

BNM dalam kenyataannya semalam menjelaskan, ia akan menggantikan wang kertas RM50 sedia ada secara berperingkat-peringkat.

BNM setakat ini belum menetapkan tempoh wang kertas RM50 sedia ada dihentikan pengeluarannya, namun ia tetap sah diperlakukan bersama-sama dengan wang kertas baru ini.

Menurutnya, wang kertas baru RM50 itu sebelum ini dikeluarkan pada Disember 2007 bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia.

Namun siri baru ini tidak lagi mempunyai logo sambutan jubli emas kemerdekaan negara.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0716&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Tambang pengangkutan awam seluruh negara naik 1 Ogos

Khamis Julai 16, 2009

KUALA LUMPUR: Tambang untuk pengangkutan awam bagi bas ekspres, bas berhenti-henti, bas sekolah, teksi dan kereta sewa di seluruh negara dinaikkan berkuatkuasa 1 Ogos.

Kenaikan tambang bagi semua jenis bas dan teksi ialah antara dua sen dan RM10.

Bagi bas sekolah pula, kadarnya naik antara dua sen dan maksimum RM31.70.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini berkata Kabinet telah bersetuju dengan kenaikan kadar tambang baru itu dalam mesyuaratnya pada 17 Jun lalu.

Menurutnya tambang bas ekspres naik dua sen setiap km kepada 8.5 sen daripada 6.5 sen setiap km sebelum ini.

Sebagai tambahan, tambang bas ekspres bagi kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun dinaikkan daripada 50 peratus kepada 75 peratus berbanding kadar tambang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, potongan harga sebanyak 25 peratus diberikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas yang menggunakan perkhidmatan itu.

Bas berhenti-henti untuk Kuala Lumpur Zon 1 naik 25 sen kepada antara RM1 dan RM1.10, 40 hingga 45 sen kepada antara RM1.70 dan RM1.90 bagi Zon 2, 50 hingga 60 sen kepada antara RM2.20 dan RM2.50 bagi ZOn 3. Bagi Zon 4, kadarnya naik antara 60 dan 70 sen kepada RM2.70 hingga RM3.10.

Bagi kawasan di luar Kuala Lumpur, kenaikannya ialah 14 sen kepada 62 sen bagi dua km pertama bagi bas tanpa hawa dingin dan 22 sen kepada 94 sen bagi dua km pertama untuk bas berhawa dingin. Kadar kenaikan bagi setiap km berikutnya bagi kedua-dua kategori ialah 2.2 sen.

Sebagai tambahan, OKU dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas yang menggunakan perkhidmatan bas berhentihenti itu diberi potongan harga sebanyak 50 peratus.

Bagi bas mini pula, kenaikan ialah 20 sen, menjadikannya 90 sen satu arah perjalanan bagi bas tanpa hawa dingin dan RM1 satu arah perjalanan bagi bas berhawa dingin, sementara kadar tambang bas pengantara akan dinaikkan 10 sen menjadikannya 60 sen bagi setiap pusingan perjalanan.

Tambang bagi teksi bagi kawasan Lembah Klang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Melaka akan naik RM1 kepada RM3 untuk satu km pertama. Caj bagi 115 meter berikutnya ialah 10 sen.

Tambang teksi yang beroperasi di Pulau Pinang juga naik RM1 kepada RM4 mulai 1 Ogos dan setiap 115 meter berikutnya akan dicaj 10sen.

Caj bagi lebih daripada dua orang penumpang dan caj meletak barangan di dalam but juga dimansuhkan berkuatkuasa 1 Ogos.

Caj bagi teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kos Rendah (LCCT) akan dinaikkan sebanyak RM3.20 manakala caj ke lapangan terbang lain dinaikkan antara RM1.50 dan RM2.80.

Kadar tambang baru bagi kereta sewa ialah 10.1sen menjadikannya 21.6 sen setiap km (tidak berhawa dingin) dan kenaikan 11.7 sen kepada 25 sen bagi setiap km (berhawa dingin).

Perkhidmatan bas sekolah di bandar juga akan menyaksikan kenaikan bulanan RM6.33 menjadikannya RM27.43 bagi km pertama dan RM2.02 setiap km berikutnya. Kadar hariannya pula ialah 62 sen untuk satu km pertama dan 5 sen bagi setiap km berikutnya.

Bagi kadar bas sekolah di luar bandar, ia naik RM4.76 kepada RM20.61 untuk satu km pertama dan RM2.02 untuk setiap km berikutnya bagi kadar bulanan, manakala kadar harian baru ialah 47 sen bagi satu km pertama dan 5 sen bagi setiap km berikutnya.

Di Sarawak, kadar bas ekspres naik dua sen kepada 13 sen setiap km, manakala bagi bas berhenti-henti, kadar barunya ialah masingmasing 85 sen (tanpa hawa dingin) dan RM1.04 (berhawa dingin) bagi tiga km pertama dan 16.2 sen dan 18 sen untuk km berikutnya bagi keduadua kategori.

Tambang bas sekolah di negeri ini (Sarawak) akan dinaikkan dua sen, menjadikannya 11 sen setiap km bagi yang tidak berhawa dingin dan 12 sen setiap km bagi yang berhawa dingin.

Sementara bagi kereta sewa, kadarnya naik kepada 34.2 sen (tanpa hawa dingin) dan 40 sen (berhawa dingin) untuk km pertama dan masingmasing 17.1 sen dan 19.4 sen bagi km berikutnya.

Tambang bagi teksi di Sarawak juga telah dikemaskini, iaitu dengan kadar baru pada RM3 untuk satu km pertama, dan 12 sen untuk setiap 100m berikutnya, manakala kenaikan perkhidmatan teksi ke lapangan terbang dengan menggunakan kupon ialah sebanyak RM2.

Bagi Sabah, kenaikan untuk bas ekspres naik tiga sen kepada 13 sen untuk setiap km. Kadar baru bagi bas berhenti-henti tanpa hawa dingin ialah 65 sen untuk dua km pertama dan 9.4 sen bagi setiap km berikutnya, manakala bagi kategori berhawa dingin, ia naik 18 sen kepada 78 sen untuk dua km pertama dan setiap km berikutnya akan dicaj 10.4 sen.

Perkhidmatan bas mini di negeri itu juga menyaksikan kenaikan masing-masing dua dan tiga sen menjadikannya 18 sen setiap km untuk bas tanpa hawa dingin dan 20 sen setiap km untuk bas berhawa dingin.Bas pengantara juga akan dicaj sebanyak RM1.

Sementara itu, tambang bagi bas sekolah di negeri itu yang menawarkan perkhidmatan kurang dari lima km akan dinaikkan sebanyak RM7.90 menjadikannya RM34.30 dan bagi jarak yang melebihi 60km, kadar kenaikannya ialah sebanyak RM31.70 kepada RM137.30 daripada RM105.60 sebelum ini.

Kadar teksi juga akan dinaikkan kepada RM10 untuk tiga km pertama dan 12 sen untuk setiap 100m berikutnya.

Teksi yang menawarkan perkhidmatan ke lapangan terbang (menggunakan kupon)juga naik RM10 kepada RM35, sementara bagi kereta sewa, kadarnya naik 2.5 sen kepada 20.5 sen untuk setiap km bagi kereta tanpa hawa dingin dan 2.8 sen kepada 22.8 sen setiap km bagi kereta yang berhawa dingin.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/16/mstar_berita/20090716135905&sec=mstar_berita

H1N1: 10 kes baru dicatatkan hari ini

Khamis Julai 16, 2009

SEPANG: Sepuluh kes terbaru influenza A(H1N1) dikesan pada pagi hari Khamis melibatkan sembilan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan seorang pesakit di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu mengakui bahawa beliau gusar dengan perkembangan tersebut memandangkan penularan tempatan penyakit itu semakin merebak.

Katanya, kesemua pegawai kanan Kementerian Kesihatan termasuk Ketua Pengarah telah diarahkan supaya menjalankan pemantauan yang lebih rapi termasuk mengambil langkah menutup fakulti universiti berkenaan jika keadaan memaksa.

"Saya benar-benar gusar dengan keadaan ini apabila menerima laporan tersebut pagi tadi. Walaupun hanya 10 kes, tapi semuanya ialah kes tempatan.

"Status pesakit semuanya stabil tetapi kita tetap risau kerana apabila virus ini merebak, mangsa yang sememangnya mempunyai komplikasi kerana penyakit lain akan mengalami keadaan yang lebih teruk sekiranya dijangkiti H1N1," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan 20 buah mesin hemodialisis di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan perkembangan terkini berhubung influenza A(H1N1) atau selesema babi di negara ini.

Liow berkata, daripada 10 kes berkenaan, hanya dua pesakit dimasukkan ke hospital iaitu masing-masing satu di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buloh. Pesakit yang dirawat di Hospital Sungai Buloh didapati mengalami komplikasi pneumonia.

"Lapan lagi pesakit menjalani rawatan sebagai pesakit luar dan dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.

Katanya, H1N1 memerlukan kawalan yang menyeluruh kerana ia merebak dengan cepat dan mudah berjangkit.

"Apabila H1N1 merebak, kadang-kala kematian berlaku bukan disebabkan oleh penyakit ini, tetapi kerana pesakit itu sudah sedia ada penyakit lain. Sebab tu saya katakan semua lapisan masyarakat kena ambil langkah berjaga-jaga terhadap pengasingan dan pengawalan wabak.

"Langkah-langkah menjarak sosial perlu diambil untuk mengelak penyakit ini merebak kepada orang lain. Jika anda batuk, selsema atau demam, jangan jangkitkan kepada orang lain. Penyakit ini berjangkit kalau ada selesema, batuk atau demam," katanya.

Ketika mengulas mengenai saranan supaya fakulti UiTM Melaka ditutup ekoran perkembangan tersebut, Liow berkata langkah itu hanya akan diambil sekiranya keadaan benar-benar mendesak.

"Kita tak boleh sewenang-wenangnya menutup (fakulti). Kalau semua langkah kawalan gagal, baru kita akan tutup. Setakat ini semua langkah yang dilaksanakan berhasil. Kita masih dapat mengesan pesakit dan kontak.

"Kita perlu lihat penyebaran ini bermula dari mana, sama ada dari bilik kuliah, asrama atau fakulti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) yang disahkan di negara ini kini sebanyak 835 kes iaitu 562 kes import dan 273 kes jangkitan tempatan.

Katanya daripada jumlah itu 705 orang atau 84 peratus daripada mereka telah sembuh, 105 orang atau 13 peratus sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah dan 25 orang atau tiga peratus sedang dirawat di hospital.

Merujuk situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 8 pagi hari ini jumlah terkumpul kes Influenza A(H1N1) yang dilaporkan kepada pertubuhan itu adalah sebanyak 116,954 kes dengan 557 kematian dari 146 buah negara iaitu pertambahan 2,262 kes dengan dua lagi negara baru iaitu Marshall Islands dan Tonga.

Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi ialah Filipina (959 kes), Australia (561 kes), Jepun (488 kes), Hong Kong (78 kes) dan Korea Selatan (55 kes).BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/16/mstar_berita/20090716171501&sec=mstar_berita

Maiza: Masyarakat lebih pandai menilai

Khamis Julai 16, 2009

Maizawati Zainal (kanan) tiba di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh sambil ditemani oleh peguamnya, Zulkifli Che Yong.

JIKA penyanyi Akhil Hayy bijak menepis dakwaan 'orang ketiga' sebagai punca penceraiannya, bekas isteri 'ustaz rock', Maizawati pula menyerahkan kepada orang ramai untuk menentukannya.

Semalam, penyanyi nasyid dan pendakwah bebas, Akhil Hayy sah menceraikan isterinya, Maizawati Zainal dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pukul 11.55 pagi tadi. Akhil, 40, menceraikan Maizawati,33 dalam nada tenang selepas bersalaman memohon maaf.

"Bahawa saya, Akhil dengan ini menceraikan isteri saya, Maizawati Zainal dengan talak satu," kata Akhil di hadapan Hakim Syarie Mohd Ridhuan Yusof.

Kemelut rumahtangga Akhil-Maizawati pernah menjadi perbualan hangat apabila Maizawati setuju membuat pendedahan keretakan rumahtangganya di dalam program 'Nasi Lemak Kopi O' dan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Dalam kedua-dua program itu, Maizawati mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda.

"Terserah kepada masyarakat kerana mereka lebih pandai menilai.

"Biar ia menjadi rahsia. Saya tak nak bangkit benda lepas. Kita cuba jalan terus, yang lepas kita lepaskan," ulas Maiza dalam nada tenang.

Wajah Maiza yang diselindung oleh kaca mata hitam itu tidak mampu menyembunyikan gelodak perasaannya ketika itu.

"Saya rasa semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah..semoga kami dapat hidup seperti biasa.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan semuanya selesai dengan cara baik," katanya.

Kisah rumah tangga Maiza dan Akhil mula menjadi kontroversi apabila Maiza tampil memberikan kenyataan sekitar Mei lalu.

Bagaimanapun, dia tidak merasakan tindakannya muncul di kaca TV membongkarkan tentang sebabnya meminta kebenaran cerai dari suaminya bukanlah satu kesilapan.

"Saya tak kata salah langkah cuma terangkan itu (sebab cerai) saja dan tak lebih dari itu. Lepas ni jangan gembar-gemburkan lagi," jelasnya yang diwakili oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong.

Menyentuh tentang perancangannya selepas ini, Maiza berharap semoga dia mendapat kehidupan yang baru dengan perancangan sendiri.

"Moga orang ramai memberikan sokongan kepada saya," luahnya yang bercerai buat kali kedua.

Selepas mendirikan rumah tangga lebih 14 tahun dengan Akhil, mereka dikurniakan empat orang anak yang berumur antara 13 hingga 2 tahun.

Sementara itu, dia dikurniakan dua orang anak dengan perkahwinan pertamanya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/16/mstar_hiburan/20090715162358&sec=mstar_hiburan

Lembut gigi daripada lidah

Isnin Julai 13, 2009

BEBERAPA hari lepas saya menerima sms seawal 3 pagi daripada seorang artis terkenal negara. Barangkali beliau tidak menyemak waktu di UK semasa menghantar sms berkenaan. Cuma di UK ketika ini siangnya memang awal. Waktu solat Subuh pun masuk seawal 3 pagi.

Kali ini mesej artis ini agak keras, meminta saya menggesa orang politik supaya membantah Kerajaan China mengenai pergeseran etnik yang membawa pembunuhan beramai-ramai umat di Wilayah Urumqi.

Ribuan lain yang ditangkap. Saya yang belum sempat membeli akhbar dan mendengar BBC hari berkenaan hanya dapat mengagak berita yang dimaksudkan.

Saya menghantar ucapan terima kasih atas semangatnya yang bagi saya lebih baik daripada sebahagian orang politik dan orang Islam yang lain yang langsung tidak mengambil pusing apa yang berlaku kepada saudara muslimnya.

Di sebalik watak seramnya, atau ‘ikan lagenda’ yang dilakonkannya, ada juga kesedaran dan simpati yang tinggi terhadap umat Islam, atau ‘hak kemanusiaan’ yang berlaku di sana-sini.

Seperti biasa seawal pagi, apabila buka sahaja kedai di Pekan Lampeter yang penuh damai dan indah ini, saya akan keluar membeli akhbar dan mencari berita-berita penting.

Ternyata seperti biasa, di Barat ini jika yang menjadi mangsa itu umat Islam beritanya tidak sebesar mana. Di samping sesetengah akhbar menyulami berita tersebut dengan menyatakan bahawa penunjuk perasaan menjadi mangsa seperti di Iran.

Mereka cuba meringankan berita berkenaan, tiada istilah terrorist, tiada istilah extremist yang ditempelkan. Bahkan berita pembunuhan wanita muslimah Mesir di Germany disebabkan tudung yang dipakainya, langsung tidak saya temui.

Mungkin ada di celahan berita-berita yang kecil. Itulah media apabila berada di tangan mereka yang tidak adil.

Wilayah Urumqi yang bergolak itu pernah saya lawati pada tahun 2007 bersama dengan rombongan Kerajaan Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Memang wilayah itu dipenuhi oleh umat Islam dan ada masjid yang agak besar di tengah kotanya.

Bahasa mereka pun agak asing dan mereka juga mengguna huruf Arab dalam tulisan mereka. Ini saya perhatikan ketika menonton televisyen mereka. Salah seorang yang membawa kami ketika itu menceritakan kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam di wilayah tersebut.

Demikian juga apa yang diceritakan oleh ‘orang-orang masjid’ yang kami lawati. Masjid diganggu, orang Islam ditangkap dan dibunuh bukan cerita baru. Saya masih terbayang sebuah masjid yang amat usang di satu perkampungan kuno yang kami lawati. Terasa sunyi dan tenang namun terbiar di cerok yang sunyi.

Ada masjid yang kami pergi untuk solat Jumaat, Masya Allah guru yang membaca kitab hadis hari itu begitu lancar dan tepat menyebut nama para perawi dalam sanad-sanad hadis.

Namun sudah tua. Kebanyakan yang memenuhi masjid, sudah lanjut usia mereka. Saya yang ketika itu berada di hadapannya termenung mengkagumi kegigihannya menyampaikan Islam dalam keadaan yang bahaya dan sukar, dan terfikir bagaimanakah pula nanti nasib masa depan generasi muslim di wilayah berkenaan.

Perasaan sedih dan hiba mengenangkan kesenangan yang kita kecapi dibandingkan kesukaran mereka untuk hidup sebagai ‘seorang muslim’. Saya mengabadikan perasaan itu dalam sebuah puisi ‘Islam China Yang Hampir Dilupa’ yang akhirnya diambil dan dijadikan lirik lagu.

Saya tidak pasti apakah ia termasuk lagu yang di’gam’ atau tidak oleh RTM. Saya pun sudah lama tidak sempat mengikuti perkembangan itu. Lirik terakhir yang saya ingat diminta oleh Mawi bertajuk ‘Sahabat Sejati’, saya rasa itu tidak di‘gam’.

Berbalik kepada nasib umat Islam di Urumqi dan juga di tempat lain. Perasaan persaudaraan Islam kita tidak memenuhi apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w: “Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad.

Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim). Ada beberapa tahap umat Islam dalam hal ini. Ada yang benar-benar bersemangat dan cuba melakukan apa yang termampu.

Ada yang sekadar, marah atau geram ketika mendengar berita, kemudian lupa atau dilupakan oleh urusan dunianya. Ada yang langsung tidak ambil tahu apa yang berlaku. Lebih buruk lagi, ada yang tahu tetapi menganggap itu tiada kena mengena dengannya. Sebenarnya, seperti yang dikatakan oleh artis berkenaan, orang politiklah yang paling berkesan untuk membantah. Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti menyatakan bantahan dan pendirian yang tegas mengenai nasib saudara-saudara muslim kita.

Janganlah memikirkan soal kepentingan ‘kebendaan’ sahaja dalam arena politik, fikirlah tentang tanggungjawab seorang individu muslim untuk bertindak dengan kadar kemampuannya dan perkara ini akan disoal oleh Allah di akhirat nanti.

Apakah kerana China sedang menjelma sebagai ‘kuasa ekonomi dunia’ maka dia boleh buat apa sahaja terhadap orang muslim dan kemanusiaan? Malanglah, jika para pejuang hak asasi manusia dari negara-negara yang bukan Islam, lebih lantang daripada kita.

Hari ini, barangkali semua parti politik melayu berkerjasama dengan kaum-kaum lain, maka tidak ramai yang berani memberikan kritikan lantang lagi. Jika ada pun, bersulam berlapik sehingga menjadi ‘ceroi’. Padahal, tiada kaitan antara kekejaman Kerajaan China dan etnik cina di Malaysia.

Orang cina Malaysia adalah rakyat Malaysia. Ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini. Tiada kaitan antara mereka dan Kerajaan China untuk mereka merasa sensitif.

Ya, kalau Hindraf memang membawa isunya ke India. Hindraf juga membentang isunya di House of Lords, UK tentang kezaliman pentadbiran orang Islam di Malaysia terhadap penganut hindu. Malaysia digambarkan seakan cuba melakukan ‘pembersihan etnik’.

Apa yang digambarkan berlebih-lebihan. Sedihnya, ada pula orang Islam yang sokong. Begitulah isu itu sampai ke Negara India. Saya tidak tahu, apakah Negara India layak untuk bercakap tentang keadilan terhadap penganut-penganut agama jika dilihat apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di sana.

Tahun 2002, di Gujerat ribuan umat Islam dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol dan berbagai perbuatan yang begitu kejam dari segi kemanusiaan. Laporan rasmi tempatan India dan antarabangsa mendakwa sebahagiannya dilakukan di bawah penyeliaan Polis India.

Ada gerakan di India yang kerjanya memburu orang Islam. Mereka bebas di India, dan Amerika tidak pula menyenaraikan mereka sebagai terrorist. Dr Zakir Naik juga pernah berpidato panjang tentang hal ini dalam ceramahnya ‘Is Terrorism A Muslim Monopoly’ yang tersebar luas.

Akhbar Daily Mail UK (8 Julai 2009) melaporkan penyeksaan terhadap tahanan rakyat British yang berketurunan Pakistan. Kuku-kukunya dicabut, dan dia serta muslim yang lain diseksa kejam dengan kerjasama antara Polis British dan Pakistan.

Ini di sebuah negara yang sering bercakap tentang hak dan kebebasan, walaupun soal racialism atau perkauman itu tidak dibenarkan, namun dari segi perlaksanaanya ia berlaku. Lihat pula di Selatan Thai, di Burma, di Philipina dan berbagai lagi. Kemudian, bandingkan ini semua dengan sikap orang Islam tehadap bukan Islam di negara-negara yang majoritinya umat Islam?

Walaupun ada kelemahan di sana-sini, namun secara bandingannya ia jauh lebih berperikemanusiaan dari apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

Saya bukan hendak membangkit kemarahan sesiapa, saya mengimpikan setiap kita terutama orang politik sentiasa bersuara jelas tentang hak dan nasib umat Islam dan manusia sejagat.

Bertindak dengan kadar kemampuan yang dimiliki agar memberikan kesan yang positif dan menunjuk nilai persaudaraan kita. Janganlah kita hanya garang dan ‘cenge’ sesama sendiri, kendur dan takut apabila hendak menyatakan hak kita di hadapan ‘orang lain’.

Mana hilangnya ayat Allah yang menyebut: (maksud) “Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa dalam kalangan kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat rendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan diri terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang Dia diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya”. (Surah al-Maidah, ayat 54). Namun, demikianlah kita, jika sesama kita bukan main lagi ‘lagaknya’, namun dengan orang lain, ‘lembut gigi daripada lidah’.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_kolum_minda_mufti/20090712105313&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Akhil: "Takbir....semalam keputusan Manek Urai, hari ini keputusan saya"

Rabu Julai 15, 2009

Maizawati Zainal tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh. -foto THE STAR oleh ZABIDI TUSIN

KEMELUT rumah tangga penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy dan isterinya, Maizawati Zainal berakhir dengan penceraian.

Keputusan itu disahkan oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd. Ridhuan Yusof.

"Semua dah selesai..jangan keruhkan suasana..saya tegaskan penceraian saya bukan disebabkan pihak ketiga.

"Ini ketentuan 'tuan punya dunia'..jalan hidup perlu diteruskan.

"Cukup-cukuplah gosipkan pihak yang satu lagi. Moga-moga semuanya dapat meneruskan kehidupan," ujar Akhil yang berkali-kali menegaskan penceraian mereka bukan disebabkan oleh pihak ketiga.

Ditanya kenapa dia berbuat demikian, Akhil berkata sebab spekulasi yang timbul.

Akhil berkata dengan penuh makna,"Kadang-kadang aku pohon setangkai bunga, Allah bagi pohon berduri; aku pohon rama-rama, Allah bagi ulat berbulu.....mula-mula saya kecewa tapi itu yang jadi.

"Allah dah letak keputusan yang baik dan saya ambil hikmah yang positif.

Maizawati lega semuanya telah berakhir dengan baik.

"Kita tiada ruang...orang panggil saya berceramah dan ini kehidupan peribadi saya. Itu (penceraian) hakikat dan lepas ni jangan sensasikan lagi. Doakan yang terbaik.

"Kredibiliti saya sudah banyak yang tercalar... tapi perjuangan perlu diteruskan," hujahnya.

Dalam pada itu, Akhil sempat lagi mengaitkan kes cerainya hari ini dengan PAS menang tipis dalam pilihan raya kecil Manek Urai, dia berkata:

"Takbir...semalam keputusan di Manek Urai dan hari ini keputusan saya."

Akhil yang kelihatan gembira itu juga memaklumkan yang program 'Cafe Akhil Hayy' dijangka akan disambung siarannya dalam masa terdekat ini.

Hasil persetujuan kedua belah pihak, hak penjagaan empat orang anak (hadanah) mereka diserahkan kepada Maiza manakala hak lawatan diberikan kepada Akhil pada bila-bila masa termasuk cuti sekolah dan perayaan.

Bagi anak-anak yang telah mumaiyiz (cukup umur) dibenarkan untuk tinggal dengan ibu atau bapa mereka mengikut keselesaan.

Melalui persetujuan itu juga, Akhil akan biayai keseluruhan keperluan am dan nafkah anak-anak termasuk tempat tinggal, persekolahan dan sebagainya.

Selain itu, Akhil perlu melunaskan bayaran ansuran kereta Gen 2 milik Maiza sebanyak RM500 sebulan selagi bekas isterinya itu tidak mendirikan rumah tangga.

"Takbir....semalam keputusan Manek Urai, hari ini keputusan saya," kata Akhil Hayy.

Sementara itu, rumah yang didaftar atas nama bersama akan dikekalkan bahagian pada Maiza manakala bahagian Akhil akan diserahkan kepada empat orang anak dan dia menjadi peneraju rumah serta biayai ansuran dan bil-bil dalam rumah tersebut.

Seterusnya, Akhil diminta membayar nafkah edah sebanyak RM15,000 kepada Maiza dalam tempoh tiga kali suci.

Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan keputusan penceraian itu, Akhil berkata 'orang beriman tidak akan puas selagi tidak jalankan tuntutan sunnah.'

Diaju pula tentang isu dia pernah meminta persetujuan Maiza untuk berkahwin dengan penyanyi Waheeda pada Februari lalu, Akhil berkata itu antara dia dan bekas isterinya lantas berkata 'buat apa saya nak beritahu wartawan?'.

Diasak pula dengan soalan adakah dia akan meneruskan niat untuk berkahwin dengan Waheeda selepas ini, Akhil enggan mengulas lanjut.

Hos program 'Cafe Akhil Hayy' ini hanya berkata dia tidak mahu melibatkan isu itu dengan penceraiannya sebaliknya mereka bercerai kerana masalah peribadi.

Sebelum Akhil pulang, dia sempat berjumpa dan bersalaman dengan anak sulung perempuannya.

Anaknya itu kelihatan sebak dan menangis tersedu-sedan saat memeluk Akhil.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/15/mstar_hiburan/20090715160923&sec=mstar_hiburan

Akhil - Maizawati sah bercerai talak satu

Rabu Julai 15, 2009

Akhil Hayy tiba di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pagi tadi. -foto THE STAR oleh ZABIDI TUSIN

IPOH: Penyanyi nasyid dan pendakwah bebas, Akhil Hayy sah menceraikan isterinya, Maizawati Zainal dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pukul 11.55 pagi tadi.

Akhil, 40, menceraikan Maizawati,33 dalam nada tenang selepas bersalaman memohon maaf.

"Bahawa saya, Akhil dengan ini menceraikan isteri saya, Maizawati Zainal dengan talak satu," kata Akhil di hadapan Hakim Syarie Mohd Ridhuan Yusof.

Maizawati Zainal menjawab pertanyaan para wartawan.

Kemelut rumahtangga Akhil-Maizawati pernah menjadi perbualan hangat apabila Maizawati setuju membuat pendedahan keretakan rumahtangganya di dalam program 'Nasi Lemak Kopi O' dan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Dalam kedua-dua program itu, Maizawati mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda.

Pada 2 Jun lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, membenarkan penangguhan kes tuntutan perceraian Maizawati dengan Akhil selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan menyelesaikan kes itu secara baik sehingga 15 Julai, hari ini.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/15/mstar_hiburan/20090715123001&sec=mstar_hiburan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...