Friday, January 9, 2009

Jangan beli produk AS

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my

Dunia menentang keganasan ini, tetapi Amerika Syarikat tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.


--------------------------------------------------------------------------------

DI sebatang jalan, antara yang paling sibuk di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS), ratusan warga Palestin-Amerika berarak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai tanda bantahan pencerobohan tentera Israel ke atas Genting Gaza.

"Berhenti mengebom keluarga kami," jerit Inshirah Abusneineh di persimpangan Stevens Creek dan Winchester.

"Bebaskan Palestin! Bebaskan Palestin!" laung kumpulan tersebut.

Abusneineh, 34, dilahirkan di Baitulmaqdis dan datang ke AS ketika berusia empat tahun. Dalam tunjuk perasaan itu, beliau turut membawa empat orang anaknya menentang kezaliman Israel.

Adiknya, Khitam, 25, datang bersama dua orang anak kecil. Keluarga itu berdiri di hadapan kompleks beli-belah Valley Fair. Sesekali kereta bergerak laju dan sangat hampir dengan mereka.

"Kami masih mempunyai keluarga di Palestin. Kanak-kanak di sana dibunuh sedangkan mereka tidak berdosa," kata Abusneineh dalam nada sedih.

Lama-kelamaan bilangannya bertambah ramai disertai oleh generasi Pelestin-Amerika yang tinggal di Silicon Valley. Mereka terdiri daripada keluarga-keluarga muda yang menyorong kereta bayi, remaja, pelajar dan golongan profesional.

Seluruh warga dunia mengecam tindakan kejam Israel. Seperti biasa, dengan angkuh rejim zionis itu langsung tidak menghiraukan segala bantahan. Tunjuk perasaan berlaku di kebanyakan negara, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah banyak kali digesa agar mengusahakan gencatan senjata sesegera mungkin, sebelum lebih ramai kanak-kanak, wanita dan orang awam Palestin menjadi korban.



SEORANG lelaki memegang sepanduk dalam satu tunjuk perasaan di Anaheim, California, Amerrika Syarikat.
--------------------------------------------------------------------------------

Malangnya, setakat ini masih tidak ada penyelesaian konkrit dilaksanakan oleh mana-mana pihak. Israel terus mendabik dada dan bermegah kerana mendapat sokongan kuat daripada AS yang menjadi sekutunya.

Sokongan itu mendorong Israel terus galak membedil kawasan awam di Tebing Gaza.

Apatah lagi selepas negara Uncle Sam itu menolak resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

Awal minggu ini, Iran dan Bahrain menggesa negara-negara Islam menjadikan minyak sebagai senjata menamatkan perang. Brigadier Jeneral Mirfaysal Bagherzadeh dari unit tentera elit Iran menyatakan tidak mustahil Iran akan memulakan 'kempen' itu, biarpun tidak mendapat sokongan daripada pengeluar utama minyak seperti Arab Saudi.

"Minyak adalah faktor penekan penting kepada sekutu-sekutu Israel untuk menghentikan perang yang tidak adil ini," kata Bagherzadeh kepada agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Hasan Qashqavi berkata: "Kami menyokong apa juga tindakan yang dapat merealisasikan dua perkara iaitu pemberhentian pencerobohan secara serta-merta dan menamatkan kepungan ke atas Gaza."

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Politik, Sejarah dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menegaskan bahawa dunia menentang keganasan itu tetapi AS tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.



DUA orang kanak-kanak Palestin mengangkat beg sambil melintasi runtuhan bangunan akibat bedilan tentera Zionis.
--------------------------------------------------------------------------------

Rusia dan China mengambil keputusan keras membantah tindakan Amerika. Malangnya, kedua-dua negara itu terhutang budi dengan AS atas sokongan ekonomi yang disalurkannya.

Alternatif lain ialah negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bertindak keras dan agresif ke atas Israel. Dengan melancarkan perang, mungkin ada harapan situasi akan berubah.

Andainya negara-negara Arab hanya bersikap diplomatik, keadaan tidak akan ke mana kecuali ada unsur mereka bertindak secara kolektif. Namun, ia perlu melibatkan negara Arab yang besar seperti Mesir, Turki dan Arab Saudi.

Apa yang berlaku sememangnya satu jenayah perang yang amat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan dan sebagainya. Dunia boleh memulaukan apa-apa sahaja barangan dari Israel atau AS, tetapi inisiatif itu tidak praktikal.

"Kita mungkin boleh pulaukan produk makanan, kosmetik atau pakaian. Tetapi masalahnya, kita terpaksa bergantung kepada Amerika untuk mendapatkan alat-alat perubatan, senjata, jentera dan kejuruteraan. Jadi, tindakan boikot nampaknya mungkin tidak berhasil," kata Mohammad Agus.


PEGAWAI perubatan cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Hospital al-Syifa di Bandar Gaza.
--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya, Malaysia boleh mendesak PBB untuk melaksanakan rundingan. Namun, katanya, jika hendak buat mesyuarat Majlis Keselamatan, Malaysia perlu pastikan penglibatan negara-negara OIC dan negara besar yang lain.

"Selain itu, Malaysia boleh membantu masyarakat Palestin selepas pasca peperangan dengan cara membina kembali negara Palestin, ekonomi dan warganya," jelasnya lagi.

Mohammad Agus turut menyifatkan peperangan itu sebagai satu lagi bentuk pembersihan etnik. Selagi undang-undang dunia dikawal oleh Amerika, dunia tidak akan aman. Justeru, dunia memerlukan kuasa yang mampu 'mengancam' kekuatan Amerika.

Lebih memburukkan keadaan, sewaktu masyarakat Palestin berjuang dengan lontaran batu dan senjata sekadar ada, tentera Israel pula dilengkapi dengan pelbagai senjata moden, pesawat pejuang dan kereta kebal.

Malah, kezaliman Israel terserlah apabila mereka berkemungkinan menggunakan bom kimia fosforus. Berdasarkan Perjanjian Geneva 1980, bom yang boleh membuatkan sesiapa terkenanya melecur itu diharamkan sama sekali penggunaannya ke atas orang awam.

Sebenarnya, rejim Israel sangat bersedia untuk berperang. Buktinya, laporan Middle East Online menyatakan tentera Israel telah menjalani latihan selama 18 bulan dalam model bandar Gaza yang didirikan di pangkalan tentera Tsehilim di Gurun Negev, selatan Israel berhampiran sempadan Gaza.

"Tentera kami tahu semua lorong belakang di mana individu sasaran menyembunyikan diri," jelas jurucakap tentera Israel, Avi Benayahou.


MAYAT kanak-kanak yang terkorban akibat kezaliman tentera Israel.
--------------------------------------------------------------------------------

Israel menggunakan alasan lapuk untuk menceroboh Genting Gaza iaitu mempertahankan diri daripada serangan roket pejuang Hamas ke penempatan Yahudi.

Ironinya, Hamas adalah parti kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Palestin menerusi pilihan raya, namun ia dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Washington serta beberapa negara barat lain.

Sudah memasuki minggu kedua, serangan ganas Israel menimbulkan persoalan. "Apakah maknanya kemenangan perang ini bagi kedua-dua pihak?" soal bekas Kolonel Pasukan Pertahanan Israel, Eitan Azani.

"Ramai pejuang Hamas yang mati? Kejatuhan kerajaan Hamas atau apa? Semua orang berada dalam situasi yang rumit," ujarnya lagi.

Israel menegaskan tindakannya bertujuan untuk memusnahkan pusat persembunyian senjata, tapak pelancaran roket dan menghambat pejuang Hamas keluar dari lokasi perlindungan mereka.

Biarpun begitu, adakah Israel akan berpuas hati jika pejuang Hamas menghentikan serangan roket atau memusnahkan ratusan terowong ke Mesir yang didakwa menjadi 'lorong bekalan' senjata dan makanan kepada Hamas.

Bagi Hamas dan penduduk Palestin pula, hidup sudah menjadi kemenangan buat mereka. Mampu bertahan serangan gerombolan tentera yang terkuat di rantau itu pastinya sesuatu yang membanggakan.

Tetapi, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, hari pertama pencerobohan sahaja telah membunuh 30 penduduk awam Gaza. Sehingga kini, lebih 500 nyawa sudah melayang.

Peperangan itu juga telah mengakibatkan krisis kemanusiaan kian meruncing apabila penduduk kehabisan makanan dan minuman. Bandar Gaza dan pusat perubatan utamanya, Hospital Shiffa, juga bergelap tanpa bekalan elektrik.

Hospital-hospital kini bergantung kepada generator apabila sebanyak 12 saluran bekalan elektrik tidak lagi berfungsi. Tanpa tenaga elektrik untuk menggerakkan pam, 70 peratus penduduk Gaza berdepan keputusan bekalan air. Bukan itu sahaja, krisis tenaga ini boleh mengakibatkan air kumbahan memasuki kawasan perumahan dan pertanian.

"Sistem air dan kumbahan di Gaza sudah lumpuh. Orang ramai tidak lagi mempunyai bekalan air dan kumbahan membanjiri jalan raya," jelas Timbalan Pengarah Penyedia Utiliti Air Gaza (CMWU), Maher al-Najjar.

Al-Najjar juga memberitahu sebanyak 48 daripada 120 buah perigi langsung tidak boleh digunakan akibat ketiadaan elektrik. Sementara 45 buah perigi lagi tidak mampu beroperasi sepenuhnya dan terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa hari lagi.



KEPULAN asap menyelubungi ruang udara daerah Rafah. Tiada siapa yang dapat menduga sampai bila perang ini akan berlarutan.
----------------------------------------------------------------
Kamel Kafarna, penduduk kampung Beit Hanoun, memberitahu keluarganya sudah kehabisan gandum dan tepung, selain gas memasak. Biarpun begitu, pensyarah kejuruteraan ini tidak berani keluar rumah kerana bimbang ditembak.

"Gila! Peluru dan roket melintas di atas kepala. Saya yakin semua orang awam terbunuh kerana kesilapan dan anda tidak tahu anda akan jadi mangsa seterusnya," kata isteri Kafarna.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Kulit labu jadi topi keledar


SEORANG pembonceng motosikal memakai 'topi
keledar' buatan sendiri di Lagos kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


KANO - Gara-gara harga topi keledar yang mahal di Nigeria, ramai pengguna motosikal mencuba pelbagai helah bagi mengelak disaman polis, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis Nigeria pening kepala selepas mereka menangkap sejumlah penunggang motosikal memakai kulit buah labu, belanga dan cebisan tayar di kepala sebagai ganti topi keledar.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan mereka. Kami memberikan cukup masa untuk pemilik motosikal membeli topi keledar," kata Komander Suruhanjaya Keselamatan Jalan Persekutuan, Yusuf Garba di bandar raya Kano, utara Nigeria.

Menurutnya, mana-mana penunggang motosikal yang tidak mengendahkan peraturan itu akan dikenakan denda dan polis juga akan merampas motosikal mereka.

Undang-undang yang mewajibkan penunggang dan pembonceng motosikal supaya memakai topi keledar mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu tetapi ia mencetuskan kekecohan di kalangan pemilik kenderaan dua roda tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Sony perkenal komputer poket


SEORANG model memperaga model baru komputer riba Vaio keluaran Sony yang diperkenalkan di Seoul, Korea Selatan semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


LAS VEGAS - Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony memperkenalkan komputer terbaru bersaiz mini yang boleh disimpan di dalam beg tangan atau poket jaket.

Produk kompak dinamakan Vaio P bersaiz sekeping sampul surat standard itu hanya memiliki berat 600 gram.

"Walaupun kecil, komputer itu cukup berkuasa dan dilengkapi konfigurasi Bluetooth serta Internet wayarles selain teknologi sistem pengesanan satelit (GPS)," kata Ketua Operasi Sony Amerika Syarikat (AS), Stan Glasgow.

Komputer Vaio tersebut turut memiliki skrin paparan cecair kristal (LCD) berukuran 20 sentimeter dan mula dijual di pasaran AS hujung bulan ini dengan harga AS$900 (RM3,185) sebuah. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Rantau Balkan menggigil


SEORANG penduduk berdiang menggunakan kayu setelah keputusan bekalan gas di Belovo kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


--------------------------------------------------------------------------------


SOFIA - Beratus-ratus ribu penduduk rantau Balkan terpaksa mengharungi musim sejuk tanpa alat pemanas semalam berikutan perbalahan mengenai bekalan gas asli antara Rusia dan Ukraine.

Sejumlah hospital dan kilang terpaksa ditutup selepas kebanyakan sistem pemanasan di rantau itu yang menggunakan gas asli tidak dapat beroperasi akibat kekurangan bekalan.

Di Bosnia, kira-kira 100,000 kediaman berada pada cuaca bawah paras beku manakala 80,000 orang di bandar kedua terbesar di Serbia, Novi Sad turut mengalami keadaan sama.

Sekolah-sekolah di Bulgaria turut ditutup manakala sekurang-kurangnya 65,000 kediaman di negara itu terpaksa mengalami nasib sama.

Rusia yang merupakan pengeluar gas asli terbesar di dunia membekalkan 40 peratus sumber gas kepada negara-negara Kesatuan Eropah (EU) melalui saluran paip utama di Ukraine.

Bagaimanapun, Ukraine enggan membayar tarif baru gas asli yang lebih mahal menyebabkan Moscow memotong semua bekalan gas ke negara itu bermula 1 Januari lepas manakala penghantaran bagi Eropah pula dihentikan kelmarin.

Pemotongan tersebut menjejaskan rantau Balkan dan blok EU sekali gus mencetuskan krisis tenaga terburuk di Eropah.

"Ketika ini, ekonomi Balkan berhadapan krisis," kata ketua Kesatuan sekerja kedua terbesar di Bulgaria, Konstantin Trenchev yang menganjurkan satu bantahan di hadapan kedutaan Ukraine.

Berikutan krisis tersebut, Bulgaria dan negara-negara miskin Eropah meminta EU supaya menyalurkan dana bagi membina saluran-saluran gas baru bagi mengelak keadaan terlalu bergantung terhadap Ukraine.

Sofia kini menggantung bekalan gas kepada 72 pelanggan industri dan memotong sejumlah besar penghantaran terhadap 153 syarikat kerana bekalan domestik yang terhad. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Hamas tidak akan kibar bendera putih

DAMSYIK – Seorang pegawai kanan pergerakan Hamas semalam menyatakan kumpulan itu tidak akan menyerah kepada tentera Israel.

Mohammed Nazzal yang memimpin Hamas di Damsyik, Syria turut berikrar bahawa askar rejim Zionis akan menyesali perbuatan mereka serta mengalami kekalahan teruk.

Lebih 700 penduduk Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan serangan di Gaza pada 27 Disember lalu menerusi serangan udara, laut dan darat.

“Kami tidak akan kibar bendera putih, Jika mereka (Israel) ingin menyusup lebih dalam maka kami akan meningkatkan pertahanan termasuk melancarkan serangan dari rumah ke rumah, jalan ke jalan malah dari kampung ke kampung,” kata Mohammed.

Tambahnya, rakyat Palestin kini tidak mempunyai pilihan lain kecuali berperang menentang kezaliman Yahudi. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Israel belum tingkatkan serangan


BAITULMAQADIS – Kabinet Keselamatan Israel masih belum memberi arahan bagi meningkatkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza, kata Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semalam.

Olmert berkata, objektif utama serangan itu adalah untuk menghentikan serangan roket dari Gaza dan penyeludupan senjata ke wilayah berkenaan.

“Kami masih belum mencapai objektif dan tentera kami juga belum diarah untuk melakukan apa yang perlu untuk mencapai tujuan itu,” katanya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Mesir bersubahat musnah terowong

KAHERAH - Berang dengan keupayaan kumpulan Hamas membedil roket ke Israel, Amerika Syarikat (AS) bertindak menyalur dana AS$23 juta (RM81.4 juta) bagi membantu melatih pegawai keselamatan Mesir membasmi penyeludupan senjata ke Gaza menerusi terowong-terowong di kawasan sempadan.

Namun usaha AS itu gagal membuahkan hasil manakala lebih banyak roket diseludup masuk oleh kumpulan Hamas bagi membedil rakyat Israel.

Tentera rejim Zionis berkata, terdapat kira-kira 300 buah terowong dibina merentasi sempadan Mesir-Gaza sebelum Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu.

Namun sejak pengeboman tersebut, berpuluh-puluh terowong musanah dibedil askar Israel.

Isu kegagalan program AS berkenaan dan kesukaran mengawal sempadan Gaza-Mesir merupakan halangan utama ketika para perunding berusaha mencapai satu gencatan senjata di Gaza.

"Sukar untuk menghalang penyeludupan senjata itu kerana Hamas jelas mahukannya dan negara-negara seperti Syria dan Iran akan membekalkannya," kata penasihat keselamatan White House, Stephen Hadley.

Cubaan menutup terowong-terowong itu sebelum ini gagal, sebahagiannya kerana syak wasangka antara Israel dan Mesir manakala sebahagian lagi akibat kegagalan Kaherah membasmi rasuah dan kemiskinan di wilayah Sinai yang bersempadan dengan Gaza.

Beribu-ribu penduduk wilayah itu yang dilanda kemiskinan terpaksa melibatkan diri dengan penyeludupan bagi menyara kehidupan mereka. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Hizbollah bedil roket ke Israel


SEORANG kanak-kanak Palestin memakan sebuku roti sambil membawa anak patung semasa menyertai demonstrasi membantah misi ketenteraan Israel di Tebing Barat semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

BAITULMAQADIS - Pejuang Hizbollah di Lebanon melancar tiga roket ke wilayah utara Israel semalam sekali gus meningkatkan ancaman tercetusnya peperangan baru antara kedua-dua pihak.

Serangan roket itu menyebabkan beberapa kediaman rosak ketika askar Israel meneruskan serangan ganas di Gaza yang kini meragut lebih 700 penduduk Palestin.

Operasi ketenteraan Israel itu turut menyebabkan ramai penduduk awam cedera.


SEKUMPULAN penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang runtuh setelah dibedil pesawat pejuang Israel di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Tentera Israel kemudiannya melancarkan siri serangan mortar ke wilayah Lebanon sebagai membalas serangan roket tersebut.

Pihak berkuasa Israel berkata tiada kecederaan serius dilaporkan dan serangan tersebut meningkatkan lagi ketegangan antara rejim Zionis dengan kumpulan Hizbollah.

Satu roket yang dilancar Hizbollah menembusi atap sebuah rumah jagaan orang-orang tua di bandar Nahariya, lapan kilometer dari sempadan Israel sebelum meletup di bahagian dapur.

Sementara itu, kerajaan Lebanon mengecam serangan roket ke atas Israel tersebut dan berjanji untuk mencari pihak yang bertanggungjawab.


SEORANG remaja perempuan menagis setelah menemui bapanya mati dibom
tentara Israel di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Peperangan antara Israel dan Hizbollah tercetus pada 2006 bagaimanapun pertempuran selama 34 hari itu tamat apabila rejim Zionis mengumumkan gencatan senjata.

Peperangan antara Israel dan kumpulan Hizbollah itu juga tercetus ketika tentera rejim Zionis sedang melancarkan satu operasi ketenteraan di Gaza.
- AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Syarat saman tali keledar belakang boleh dibatalkan


Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Jika anda disaman, baik oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana kenderaan tidak dipasang dengan tali keledar penumpang belakang, ia akan dibatalkan.

Ini kerana saman tidak boleh dikeluarkan jika penumpang belakang tidak mempunyai tali keledar untuk dipakai manakala pemandu pula diberi tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk memasang peralatan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, surat saman itu boleh diserahkan untuk pembatalan kepada pihak berkuasa yang mengeluarkannya.

"Kemungkinan perkara itu terjadi kerana masalah komunikasi.

"Tapi kalau ada tali keledar belakang dan penumpang tak pakai, memang wajar kena saman,"
katanya kepada Kosmo! bagi memperjelaskan kekeliruan yang masih timbul di kalangan pemandu mengenai peraturan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Pak Ungku kecewa, letak jawatan YDP Angkasa


KUALA LUMPUR - Tunduk kepada pelbagai desakan akibat kemelut yang melanda Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Profesor Diraja Ungku Aziz (gambar) akhirnya meletak jawatan sebagai Yang Dipertua organisasi itu yang dipimpinnya sejak 38 tahun lalu.

Beliau mengumumkan peletakan jawatannya itu menerusi satu kenyataan ringkas semalam.

Pada masa yang sama, beliau yang juga dikenali sebagai Pak Ungku tidak mahu lagi dicalonkan semula untuk jawatan yang sama pada persidangan kebangsaan tahunan Angkasa di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok.

Ungku Aziz ketika memberitahu Bernama semalam berkata, beliau tidak didesak meletak jawatan tetapi kecewa kerana siasatan dakwaan penyelewengan wang dalam Angkasa gagal diselesaikan.

"Ini seratus peratus keputusan saya. Sudah dua bulan saya fikir benda (letak jawatan) ini dan saya nampak tiada jalan lain, selain letak jawatan,'' katanya.





Israel perlu dipaksa keluar Gaza - PM


PELANGGAN sebuah kedai runcit di Keramat, Kuala Lumpur, Aktilah Ariffin mencari minuman sambil melihat poster boikot produk keluaran Amerika dan Yahudi yang ditampal oleh pengusahanya.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Sebarang resolusi oleh Perhimpunan Agung Khas Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) dalam sidang khasnya hari ini (kira-kira 5.30 pagi waktu Malaysia) di New York perlu memastikan Israel dipaksa keluar dari bumi Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kerana mengadakan sesi itu yang disarankan oleh banyak negara termasuk Malaysia, beliau berkata, Amerika Syarikat tidak harus menghalang apa-apa usul yang bakal menyentuh Israel yang telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 27 Disember lepas.

"Kita telah cadangkannya (perhimpunan)... jadi biasanya Malaysia akan terlibat (berkaitan resolusi),'' katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perhimpunan khas itu yang telah disentuh oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis perasmian Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDRF) di sini semalam yang dirasmikan oleh Abdullah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Penyamun Geng Colombia berkubur


Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my



POLIS menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan pecah rumah Amerika Selatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Lelaki-lelaki Amerika Latin itu bukan calang-calang pelancong.

Mereka mempunyai pengetahuan luas mengenai selok belok kawasan perumahan dan tahu status penghuni di sekitar ibu negara terutama di kawasan perumahan mewah Bangsar.

Bagaimanapun, pengetahuan yang sepatutnya memudahkan mereka bergerak semasa berada di negara ini disalahgunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah.

Bagi melakukan jenayah yang mereka rancang, tiga lelaki 'Geng Colombia' itu masing-masing dari Peru, Guatemala dan Mexico akan menyewa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bercermin gelap.

Seterusnya, kumpulan yang terdiri daripada jejaka kacak tersebut akan berlegar-legar di kawasan perumahan mewah di ibu negara sebelum memilih mana-mana rumah untuk dipecah masuk.

Bagaimanapun, kegiatan selama hampir dua bulan kumpulan itu berakhir selepas mereka memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan warga India di Jalan Balau, Bukit Damansara di sini pukul 12 tengah hari Ahad lalu. Kes itu membawa kepada penangkapan dua hari kemudian.

Kesemua suspek ditahan berdasarkan identiti yang diperoleh daripada pemilik kenderaan Naza Ria yang disewa oleh kumpulan tiga lelaki itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Penyelidik temui bukti kacip fatimah ubat awet muda


ZAINI menunjukkan sampel daun dan serbuk kacip fatimah yang didapati mempunyai agen antipenuaan di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pengkaji Korea Selatan berjaya mengukuhkan keyakinan umum terhadap khasiat herba kacip fatimah dengan penemuan agen antipenuaan yang merangsang pertumbuhan kolagen dan bertindak sebagai antioksida.

Kajian sejak 2007 oleh Profesor Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM, Dr. Mohamad Roji Sarmidi dengan Profesor Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia Universiti Dongguk, Korea Selatan, Dr. Chan Seo Par itu mendapati pokok herba tersebut juga berkesan memutihkan kulit.

Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kajian terhadap ekstrak bahan kimia daripada daun kacip fatimah menghalang penghasilan melanin yang menggelapkan kulit serta memulihkan kesan radang pada kulit akibat terdedah lama kepada cahaya matahari.

"Selama ini kacip fatimah lebih dikenali sebagai penguat kesihatan wanita, tetapi hasil kajian kami ini adalah yang pertama direkodkan mengenai kesannya mencantikkan kulit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, pakar Universiti Dongguk dipilih kerana mereka mempunyai makmal kemujaraban dalam penghasilan bahan kosmetik yang tidak terdapat di Malaysia.

Mohamad Roji menjelaskan, ekstrak kacip fatimah tidak mengandungi bahan toksik dan sesuai untuk kulit manusia.

"Ia telah diuji dalam makmal pada sel kulit manusia dan didapati sangat berkesan melambatkan proses penuaan," katanya.



Rahsia batu emas terbongkar

Oleh AZELI ALI ZAINI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my




INILAH rumah kayu milik bekas anggota polis yang disewa kepada penjenayah dan dijadikan markas oleh Geng Batu Emas sejak setahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


BALIK PULAU - Siapa sangka sebuah rumah kayu di Jalan Datuk Bashar, Pulau Betong di sini menyimpan rahsia besar aktiviti satu sindiket menjual batu mineral emas yang diseludup dari Aceh, Indonesia.

Kegiatan itu terbongkar berikutan polis menerima satu maklumat daripada seorang penduduk kampung pukul 2.50 pagi semalam yang memaklumkan ada sekumpulan lelaki India yang menaiki dua buah kereta iaitu BMW dan Perodua MyVi membuat kecoh di rumah tersebut.

Sepasukan polis yang tiba di rumah tersebut kemudian mendapati kumpulan lelaki India itu sedang mengugut dan mengurung lapan lelaki di dalam rumah kayu itu.

Pasukan polis cuba menyelesaikan perbalahan tersebut tetapi ia bertambah kusut apabila empat lelaki tersebut mempunyai senjata.



AYUB (kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas ekoran penahanan 12 lelaki di Pulau Betong, Balik Pulau semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Pasukan polis yang gagal memujuk kumpulan lelaki bersenjata itu menyerah diri terpaksa meminta tambahan anggota bagi memastikan semua yang ada di dalam rumah tersebut selamat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis kemudian mengepung seluruh kawasan rumah tersebut sebelum mengarahkan empat lelaki India yang berusia 19 dan 33 tahun dari Lembah Klang itu menyerah diri.

"Hanya pada pukul 9.30 pagi kesemua lelaki India itu menyerah diri sementara lapan mangsa turut dilepaskan oleh mereka," kata beliau

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Penyembur rambut dalam badan


GAMBAR X-ray menunjukkan tin penyembur rambut berada dalam badan seorang wanita di Romania.
--------------------------------------------------------------------------------


ARAD - Doktor-doktor di Romania bingung memikirkan bagaimana satu penyembur rambut boleh berada dalam belakang badan seorang wanita, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita itu, Mirela Gradinaru datang ke sebuah hospital di Arad, barat Romania dalam keadaan kesakitan dan merayu supaya doktor membantunya baru-baru ini.

Beberapa doktor kemudian melakukan pembedahan di bahagian belakang wanita berusia 37 tahun itu untuk mengeluarkan penyembur rambut itu.

Selepas pembedahan itu selesai, Mirela enggan menceritakan bagaimana benda itu boleh memasuki badan belakangnya.

"Kami melakukan ujian sinar-X bagi mengesan kedudukan objek itu dan melakukan pembedahan bagi mengeluarkannya. Pesakit sihat selepas pembedahan itu selesai," kata doktor yang melakukan pembedahan, Mirandolina Prisca.

"Pesakit itu berasa amat malu. Dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,"
katanya.

Seorang kakitangan di hospital itu turut hairan memikirkan kejadian tersebut.

"Objek itu bukan tin kecil pewangi ketiak, ia merupakan tin penyembur rambut yang besar," jelasnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Dua taikun terkenal ditemui mati


SEBUAH komuter melintasi lokasi Merckle (gambar kecil) mati di Blaubeuren selatan Jerman kelmarin lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


CHICAGO - Pengerusi firma lelongan hartanah terbesar Amerika Syarikat (AS), Steven Good ditemui mati dipercayai akibat menembak dirinya sendiri, kata beberapa pegawai.

Syerif daerah Kane berkata, mayat Good, 52, ditemui berada di dalam kereta Jaguar miliknya di sebuah hutan berhampiran bandar raya Chicago pada pagi Isnin lalu.

Sekeping nota turut ditemui di dalam kereta itu menerangkan motif dia membunuh diri.

Bagaimanapun, sama ada kematian ketua firma Sheldon Good & Company Auctions International itu berkaitan dengan permasalahan syarikat masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Good meninggal dunia beberapa jam sebelum seorang bilionair Jerman, Adolf Merckle bertindak terjun di bawah sebuah kereta api kelmarin selepas hidupnya musnah angkara krisis kewangan global.

Firma Sheldon Good sudah menjual sebanyak 40,000 hartanah bernilai lebih AS$9.5 bilion (RM33.2 bilion) sejak firma itu diasaskan oleh bapa Good pada tahun 1965. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Transkrip perbualan penyerang didedahkan


GAMBAR fail menunjukkan seorang penyerang berjalan di stesen kereta api Chatrapathi Sivaji di Mumbai pada November lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


NEW DELHI - Transkrip perbualan seorang penyerang di Mumbai didedahkan sekali gus menjadi bukti terbaru dalam kes serangan yang berlaku pada November lalu.

Seorang penyerang bercakap di telefon satelit dengan berkata: "Kita menangkap tiga warga asing, termasuk wanita." Arahan yang diterima pula ringkas dan kejam: "Bunuh mereka," kata penyerang tersebut sebelum bunyi tembakan kedengaran.

Perbualan itu tercatat dalam transkrip panggilan telefon yang dipintas ketika serangan ke atas Mumbai November lalu dan merupakan sebahagian bahan bukti yang diserahkan oleh kerajaan India kepada Pakistan pada minggu ini.

New Delhi memberitahu, bukti tersebut turut melibatkan sejumlah gambar senjata yang ditemui, data telefon satelit dan maklumat hasil soal siasat terhadap satu-satunya penyerang Mumbai yang masih hidup.

Menurut New Delhi lagi, semua maklumat itu menunjukkan bahawa serangan di Mumbai tahun lalu itu dilancarkan dari Pakistan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Pakistan menolak semua bukti itu dan menyifatkannya sebagai propaganda direka bertujuan untuk meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

Transkrip perbualan telefon itu diperoleh oleh akhbar India, The Hindu dan menunjukkan serangan ke atas Mumbai dilakukan oleh 10 penyerang bersenjata yang terus berkomunikasi dengan ketua-ketua mereka sepanjang kepungan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Sepertiga mangsa adalah kanak-kanak


GAZA – Hampir sepertiga daripada 689 penduduk Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel menyerang wilayah Gaza ialah kanak-kanak, lapor sebuah agensi perubatan semalam.

Mereka berkata, kebanyakan golongan kanak-kanak itu maut apabila rejim Zionis memulakan operasi darat ke atas kerajaan Hamas seminggu selepas serangan udara dilancarkan.

Ketua perkhidmatan kecemasan, Moawiya Hassanein berkata, sejumlah 220 kanak-kanak terbunuh sejak Israel melancarkan Operation Cast Lead pada 27 Disember lalu. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Hamas turut henti serangan roket


DAMSYIK – Seorang pemimpin Hamas semalam menyatakan pergerakan berkenaan tidak akan membedil roket ke arah Israel ketika negara Yahudi menggantung serangan ke atas Gaza.

“Saya tidak menjangka sebarang roket akan dilancarkan ketika penangguhan serangan selama tiga jam itu,” pemimpin kanan Hamas di Damsyik, Mussa Abu Marzuk dipetik sebagai berkata oleh jurucakapnya.

Tentera Israel sebelum itu mengumumkan ia akan menggantung pengeboman di Gaza antara pukul 1 petang hingga 4 petang. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Penduduk Gaza bergegas ke kedai


SEORANG budak yang cedera dibawa ke Hospital Shifa, Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


ASAP menyelubungi satu lokasi selepas tentera Israel
melancarkan serangan di Khan Younis, Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Penduduk Gaza mengambil kesempatan ketika tentera Israel menghentikan serangan selama tiga jam semalam.

Kebanyakan mereka bergegas ke kedai-kedai untuk membeli makanan sebagai bekalan bagi menghadapi serangan tentera Israel.

Orang ramai beratus di luar kedai roti dan runcit yang dibuka buat pertama kali selepas tentera rejim Zionis melancarkan serangan darat pada Sabtu lalu.

Sebahagian penduduk turut mengambil kesempatan dengan melawat saudara mara yang cedera di hospital dan mencari orang tersayang.

"Selepas gencatan senjata tiga jam diumumkan, orang ramai mengambil kesempatan untuk keluar dengan membeli makanan.

"Bagaimanapun, kedai-kedai itu tidak mempunyai bekalan makanan," kata seorang penduduk Gaza. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Israel henti serang selama 3 jam


SEORANG wanita membawa barangannya ketika berjalan melintasi runtuhan bangunan di Rafah semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Kerajaan Israel mengarahkan serangan tenteranya dihentikan selama tiga jam semalam bagi membolehkan bekalan makanan dan minyak dihantar untuk penduduk di Gaza.

Pemimpin-pemimpin rejim Zionis turut bebrincang sama ada menerima satu pelan gencatan senjata antarabangsa atau meningkatkan serangan terhadap pergerakan Hamas.

Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, pemberhentian serangan itu bermula pada pukul 1 hingga 3 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, pihaknya turut menimbang untuk menghentikan serangan bagi tempoh sama pada hari lain.

Bagaimanapun, tentera Israel tetap melakukan tindak balas jika diserang oleh pejuang-pejuang Hamas ketika serangan itu dihentikan.



BEBERAPA penduduk Palestin mengisi air dalam bekas di sebatang jalan raya di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Ketika kepimpinan Israel bertemu untuk melakukan perbincangan di Tel Aviv, bunyi letupan dan asap hitam menyelubungi kawasan penduduk Zeitoun, bandar Gaza.

Beberapa pegawai kesihatan di Gaza menyatakan, sebanyak lapan orang terbunuh dalam satu serangan baru sebelum tentera Israel menghentikan operasi ketenteraan.

Setakat ini, lebih 670 penduduk Palestin terbunuh,

Jumlah pejuang Hamas yang terbunuh masih belum diketahui.

Namun, penduduk-penduduk Gaza menyatakan pejuang-pejuang Hamas sudah memakai pakaian orang awam.

Tentera Israel melancarkan serangan di Gaza bagi menghentikan serangan roket para pejuang Hamas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Ditahan tolak kekasih jatuh sungai


KUANTAN - Polis menahan reman seorang pemandu lori sehingga Ahad ini kerana dipercayai menolak seorang wanita sampai terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Jambatan Bukit Rangin di sini dalam kejadian tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek lelaki berusia 42 tahun itu sebelum mendakwanya di mahkamah.

"Kita menahan reman suspek sehingga Ahad ini," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis mempunyai saksi yang melihat pasangan itu bertengkar sebelum wanita itu ditolak jatuh ke Sungai Kuantan.

"Terdapat saksi yang sedang membaiki motosikal di situ pada waktu itu terdengar mereka bertengkar," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...