Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my
SEPANJANG hayatnya, Achik seorang yang gemar melawak dan ketawa.
PERTEMUAN menjadi penghujung pertemuan. Siapa sangka, pertemuan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 26, dengan rakan duetnya, Achik, 27, berlokasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri, Kuala Lumpur 17 April lalu, menjadi momen penghujung mereka bersua mata.
Selang beberapa jam, Nana menerima perkhabaran buruk merentap jiwanya. Tidak pernah terduga, wajah Achik atau nama sebenarnya Adillah Murad Md. Shari yang baru ditatap, pergi buat selamanya menhgadap Tuhan.
Achik sebenarnya baru pulang menjayakan program Gah 1 di TV2 terbitan RTM sebagai tetamu jemputan bersama Nana. Mereka sempat melagukan single terbaru, Mencari Ketenangan kemudian Achik pula muncul solo dengan Engkau Yang Ku Cinta.
Tidak lama kemudian, berita pemergian Achik mula bertebaran lantas diketahui umum. Perginya anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu tanpa pesan. Tidak sempat mengucap salam perpisahan buat semua, kepada peminat, sahabat seperjuangan mahupun keluarga tercinta.
Tidak dinafikan, Nana menjadi antara insan paling terkesan dengan pemergian Achik yang sebelum ini memenangi gelaran Bintang Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia ke-17 pada tahun 2004.
"Tidak sangka lawak saya dalam rakaman sebuah program baru-baru ini kononnya menyampah berduet dengan Achik menjadi petanda awal kami benar-benar berpisah setelah 14 tahun mengenali antara satu sama lain.
"Pemergian Achik cukup menyedihkan saya. Sekarang Achik betul-betul tiada lagi depan mata. Biarpun hadir beri penghormatan kepada Allahyarham di rumah dan tanah perkuburan, saya tetap tidak ada kekuatan menatap wajahnya untuk terakhir kali.
"Malah, sampai sekarang saya masih tidak percaya dia sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya," jawab Nana dalam lontaran suara sarat hiba dan tersekat-sekat mengenang kembali kenangan bersahabat dengan Achik sejak berada di bangku sekolah menengah lagi.
ACHIK kini meninggalkan buat selama-lamanya sahabat yang dikenali sejak berusia 14 tahun, Nana.
Sambung Nana, Allahyarham merupakan seorang lelaki yang baik hati dan gemar bercanda. Kalau diikutkan jelas Nana, dia dan Achik cukup akrab sekali gus memahami kerenah dan perangai masing-masing.
"Sepanjang hidup ini, memang Achik sentiasa bersama saya kerana kami selalu berduet menjayakan pertunjukan pentas bersama. Malah, syarikat rakaman kami, FMC sering mengadakan pelbagai perancangan untuk kerjaya seni saya dan Achik.
"Ada waktu kami lama tidak berjumpa disebabkan kurangnya menyanyi bersama di atas satu pentas. Tetapi saya tidak pernah merungut kerana dalam apa-apa hal, suka mahupun tidak, saya dan Achik pasti akan bertemu semula.
"Kini bila Allahyarham sudah hilang di depan mata, barulah saya tahu bagaimana besar rasanya kehilangan dia," jelasnya yang tetap berhubung dengan Achik menerusi talian telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) jika terlalu lama tidak berjumpa.
Sementara itu, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana yang menggelarkan Allahyarham sebagai Abang Achik sejak lapan tahun lalu cukup terkejut apabila disahkan pihak FMC tentang kemalangan yang merenggut nyawa vokalis kumpulan Spin itu.
"Kali terakhir saya jumpa Allahyarham sewaktu menghadiri majlis buka puasa tahun lalu di Ampang. Kami bagaimanapun tidak sempat berborak walaupun duduk di meja sama. Saya sekadar berbicara dengan isteri Achik pada waktu itu.
"Berada di bawah label rekod sama, saya, Allahyarham, Siti Nordiana dan ramai lagi artis ada banyak kenangan manis bersama. Paling diingati apabila kami menaiki van sama ke luar daerah menjayakan persembahan.
"Achik merupakan insan paling banyak bercakap sepanjang perjalanan kami. Bahkan, dia tidak henti-henti buat lawak dan menghiburkan hati kami," ungkap Elyana yang memuji sikap merendah diri menebal dalam diri Achik biarpun dikurniakan populariti besar dan ramai peminat termasuk dari Singapura.
Pada waktu sama, gadis berusia 23 tahun itu sempat memberi kata perangsang kepada isteri Allahyarham: "Saya harap kakak terus kuat dan cekal menempuh dugaan berat ini. Yang pergi, tetap pergi. Kita harus optimis meneruskan hidup ini."
Komposer, Aidit Alfian yang pernah menciptakan lagu Paling Comel dan Tatasuria untuk Achik dan Nana berpendapat tidak sukar bekerjasama dengan Allahyarham semasa hayatnya masih dikandung badan.
"Achik cukup bersungguh-sungguh dan tidak malas sewaktu bekerja. Senang cakap, dia komited dengan apa yang dilakukan. Walaupun tidak rapat dengan Allahyarham, saya tahu dia ada karakter sangat disenangi oleh orang lain," terangnya yang tidak dapat menghadiri pengebumian Achik disebabkan seorang temannya juga meninggal dunia.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Kita itu terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dinaiki bersama seorang rakan terbabas lalu terbakar dan meletup di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan kelmarin.
|
FOTO yang dirakam sekitar Januari, 2007, saat Achik dan isteri dikurniakan anak kedua mereka, Sofia, yang kini berusia tiga tahun.
|
Dalam kemalangan ngeri itu, individu pernah memegang watak utama menerusi filem Diari Romeo pada tahun 2003 mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas kenderaannya terlanggar tiang papan tanda.
Achik bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian manakala kawan Achik, Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29, hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Jenazah Achik yang siap dimandi dan dikafankan kemudian dibawa pulang ke kediaman mertuanya di Taman Desa Ros, Ampangan sebelum disemadikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban kira-kira pukul 1 petang kelmarin.
Achik meninggalkan seorang isteri, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, dan dua cahaya mata, Sofia, 3, dan Safia 10 bulan. Allahyarham sebelum ini punya seorang cahaya mata sulung, Puteri Rania. Tetapi bayi perempuan itu meninggal dunia pada tahun 2007 akibat demam panas.
Disahut panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Achik sekelip mata pergi meninggalkan semua. Sepantas kilat nafasnya diambil semula oleh Allah. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, hakikatnya, Achik pergi dan tidak kembali lagi.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm