Thursday, April 30, 2009

Kakak Tua: Bermain api terbakar, bermain pisau terluka!

Khamis April 30, 2009


PERMASALAHAN yang paling rumit dan mengaibkan ialah yang berkisar dengan rumahtangga. Kisah peribadi bukan untuk tontonan orang ramai, tambahan pula kita orang timur. Adat susila dan batasan kata-kata perlu dijaga kerana sekali maruah tercalar, sampai mati tidak dapat ditebus.

Bak kata penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau tatkala menghadapi krisis moral didakwa mencabul kehormatan seorang budak lelaki beberapa tahun lalu.

"Andai diambil air seluas lautan sekalipun untuk menyuci muka yang sudah terpalit ini, tidak mungkin dapat kembalikan nama yang sudah busuk...," kata Daud Kilau.

Begitu juga di dalam kes rumahtangga, seeloknya jangan diheret masalah ke pihak media kerana yang dapat malu diri sendiri juga.

Perlukah diheret anak yang tidak berdosa ke medan 'perang' rumahtangga?

Lihat saja dalam kes-kes 'tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri' - penyanyi Nash Lefthanded Vs Sosilawati, aktres Wan Norazlin dan suami, pemain badminton Roslin Vs Farizah dan terbaru yang melibatkan aktres Norish Karman dan bekas suami, Datuk Hashimuddin.

Bagaikan tidak cukup ruang mahkamah, media pula menjadi 'medan' terbuka untuk menghakimi siapa yang ingin melahirkan apa yang terbuku.

Lebih tidak enak bila tajuk berita menjurus kepada perkara sensitif - siapa yang curang, siapa yang tidak ada dara, tidak balik rumah dan sebagainya.

Namun, yang lebih terkesan dari perbuatan mala ini adalah anak-anak dan keluarga terdekat.

Untuk meleraikan ikatan perkahwinan, memang mudah mengikut kata hati. Setakat membuka pekung dan aib tidak perlu fikir panjang. Tapi bila semua sudah terburai, siapa yang akan menanggung malu.

Mustahil kita tidak berasa malu, kalau aib kita dibuka satu persatu di khalayak ramai dan segala masalah dirungkai sampai tidak ada lagi ruang untuk 'berdamai'.

Mungkin di masa muda, rasa malu boleh ditolak tepi. Bila sudah tua nanti, semua urutan peristiwa akan terkalang-kalang di benak mata. Tika itu, barulah penyesalan akan datang.

Kakak Tua hairan kenapa golongan artis bagaikan sudah dicabut perasaan malu. Sana sini, orang menyebut dan mencerca tapi sedikitpun tidak meninggalkan kesan. Kenapa mahu bergelanggang di tengah orang banyak? sampai mengheret anak-anak tidak berdosa ke pintu mahkamah. Untuk apa sandiwara begini?

Semua manusia membuat silap dan salah. Mana ada buluh yang tidak berbuku? Tapi akal yang ada patut dapat membezakan sesuatu perbuatan yang terpalit malu.

Maaf, kalau sering mengambil contoh aktres comel Nora Danish. Walaupun muda, Nora bijak menangani masalah rumahtangga. Tak payah nak 'buka silat' dengan bekas suami walaupun perkara diheret ke mahkamah.

Sikap kita sebagai bekas isteri janganlah macam kambing harga dua kupang. Melolong-lolong tak tentu pasal. Janganlah bala lalu dibawa singgah, kelak tak tertanggung dek badan. Apa ada pada lelaki, perempuan juga yang menanggung rugi.

Lebih memalukan, bila hati sudah berkenan, status 'isteri orang' sudah tidak dianggap penting lagi. Bila bercerai, barulah semua isi perut tentang cerita peribadi terburai. Walaupun orang tua puas berpesan, benang arang orang jangan dipijak...

Sebuah bidalan Inggeris ada berkata, 'Two wrongs don't make a right" - dua pihak membuat silap tidak mungkin ia akan menghasilkan sesuatu yang baik. Seeloknya, salah seorang beralah dan mengambil iktibar.

Bila ego menguasai diri dan masing-masing ingin menegakkan benang basah, soal maruah di tolak tepi. Semakin rumit, bila masing-masing berhakim kepada sang beruk.

Cubalah berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati. Wallahualam.

KAKAK TUA: Bila dah merah: kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit!


http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/4/30/mstar_kolum_kakaktua/20090430113901&sec=mstar_kolum_kakaktua

Sayang ibu, korban bapa

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

ALOR STAR: “Dia cuma mahu selamatkan saya,” kata Roshidah Awang, 51, isteri kepada Idris Awang, 45, yang meninggal dunia akibat terkena seketul batu-bata yang dilontar seorang anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Kubang Leret, Pokok Sena dekat sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, niat baik lelaki yang berusia 24 tahun itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila dia ditahan polis kerana menyebabkan kematian bapanya. 

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Idris parah di kanan kepala selepas terkena batu bata yang dibaling anak keduanya itu.

Mangsa yang juga penanam sayur kemudian dibawa anak sulungnya, Ismail, 28, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kira-kira jam 3 pagi sebelum meninggal dunia jam 9 pagi.

Menurut Roshidah, sebelum kejadian arwah bertindak memukulnya dengan kerusi kayu sehingga lengan kirinya patah kerana berang dengan seorang lagi anak mereka, Mohd Sobri, 21, yang tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.

“Sejak petang semalam (kelmarin) arwah cukup marah dengan Mohd Sobri yang suka melepak dengan rakannya sehingga tidak pulang ke rumah. Malah, dia turut mencari anak ketiga kami itu di seluruh kampung tetapi gagal.

“Saya cuba menasihatkannya supaya bertenang memandangkan hari sudah lewat malam, bagaimanapun dia tiba-tiba naik berang dan terus memukul saya di bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dia berkata, anak keduanya yang kebetulan berada di situ cuba menyelamatkannya dengan bertindak spontan membaling seketul batu-bata ke arah arwah.

Roshidah yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah Ismail, kira-kira 30 meter dari rumah mereka.

Difahamkan, anak keduanya tidak melarikan diri, sebaliknya memanggil adik perempuannya, Siti Aishah, 19, yang tinggal di rumah Ismail untuk membantu.

“Saya tidak tahu kenapa arwah cukup marah semalam (kelmarin) kerana dia selalunya tidak begitu. Kejadian ini cukup menyedihkan saya, bagaimanapun saya reda,” katanya.

Ismail pula menyatakan ketika dalam perjalanan ke hospital, arwah masih sedar dan keadaannya tidak begitu serius.

“Saya tak sangka pagi ini (semalam) dia tiba-tiba meninggal dunia,” katanya.

Ismail yang bekerja sendiri berkata, bapanya tidak menghidap sebarang penyakit kronik dan doktor memaklumkan dia meninggal dunia akibat kecederaan otak.

Jenazah Idris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pokok Pauh, dekat sini, kira-kira jam 7 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi, berkata pihaknya menahan dua anak lelaki mangsa berusia 21 dan 24 tahun semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala selepas dihentak dengan objek keras dipercayai batu bata.

“Setakat ini, siasatan mendapati hanya seorang daripada anaknya yang berusia 24 tahun itu terbabit. Bagaimanapun, kami menahan kedua-duanya bagi membantu siasatan.

“Kami juga masih menyiasat punca kejadian itu dan bagaimana perselisihan faham itu boleh berlaku,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090430070823/Article

Obama rai 100 hari pentadbiran


OBAMA (kiri) berjalan dengan seorang pegawai kanan tentera udara di Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland semalam.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) menyambut hari ke-100 hari pemerintahan beliau semalam dengan melakukan lawatan ke pedalaman AS sebelum mengadakan sidang media berhubung pentadbirannya.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 20 Januari lalu, Obama terpaksa menangani krisis ekonomi terburuk sejak Zaman Kemelesetan Besar pada 1930-an, mengubah dasar ketenteraan di Iraq dan Afghanistan dan terpaksa membuktikan bahawa Presiden kulit hitam pertama AS itu mampu melaksanakan pembaharuan di mata dunia.

Obama kini berdepan cabaran paling getir iaitu serangan selesema babi ke atas AS di mana pihak berkuasa bimbang wabak itu akan merebak di seluruh dunia.

Obama meninggalkan White House pagi semalam dan menuju ke bandar St. Louis di Missouri untuk mengadakan beberapa pertemuan bagi menerangkan perspektif beliau mengenai pemerintahan 100 hari pertamanya.

Obama kemudian akan kembali ke Washington untuk menghadiri sidang media televisyen ke seluruh negara apabila beliau akan menjawab pelbagai soalan berhubung cabaran yang menanti AS.

"Ruang untuk penambahbaikan sentiasa terbuka," kata jurucakap Obama, Robert Gibbs dengan memberikan penarafan baik dan memuaskan berhubung pencapaian ketuanya itu.

"Saya berpendapat Presiden dan pentadbirannya berpuas hati dengan pencapaian 100 hari pertama jika dilihat daripada aspek pemulihan aliran kredit, peningkatan kestabilan kewangan dan pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi serta pelaburan," tambahnya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Vaksin selesema babi mungkin November depan

WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyatakan penghasilan vaksin mencukupi bagi melindungi semua warganya daripada jangkitan selesema babi akan mengambil masa sehingga Januari 2009 atau seawal-awalnya November depan.

Dalam usaha mempercepatkan penghasilan vaksin itu, beberapa buah syarikat seperti VaxInnate sedang menghasilkan vaksin selesema daripada gen atau protein virus tanpa perlu membiakkan kuman tersebut.

Beberapa pakar perubatan pula berkata, penghasilan vaksin bagi memenuhi permintaan global sekiranya wabak selesema babi menyerang akan memakan masa sehingga empat tahun.

Menurut mereka, halangan utama proses penghasilan vaksin selesema di AS adalah penggunaan teknologi lama oleh kebanyakan syarikat yang melambatkan pengeluaran.

"Terdapat syarikat-syarikat kecil yang mampu mengeluarkan vaksin selesema secara singkat dengan menggunakan teknologi baru tetapi proses pertukaran teknologi berlaku secara berperingkat-peringkat," kata ketua program penyelidikan vaksin di klinik Mayo, Dr. Greg Poland.

Menurutnya, isu utama yang dihadapi sekiranya berlaku pandemik atau wabak global selesema babi ialah negara-negara di dunia tidak memiliki vaksin mencukupi bagi membendung penularan penyakit maut itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Ramai petugas hospital Mexico bimbang dijangkiti

BANDAR RAYA MEXICO - Semakin ramai petugas perubatan di semua hospital di sini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan kebersihan yang boleh mengakibatkan mereka dijangkiti penyakit selesema babi, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan itu dilakukan ketika 159 orang terbunuh di Mexico akibat selesema babi.

Di bandar Gustavo A. Madero yang merekodkan ramai pesakit selesema babi, dua jururawat di Hospital Umum Ticomán terkena jangkitan virus tersebut, kata Dr. Jaime Sandoval.

"Ini menunjukkan kami benar-benar terdedah," katanya.

Seorang pelajar perubatan, Juan berkata, mereka tidak dilindungi langsung.

"Kot makmal tidak mencukupi dan kami terpaksa membeli topeng sendiri. Saya juga tidak mempunyai insurans perubatan," katanya.

Pegawai hospital enggan memberi sebarang ulasan.

Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Narvarte, Nayeli González berkata, sejumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mempunyai simptom selesema tidak diasingkan secara teratur.

"Wad tidak mencukupi untuk menampung mereka," katanya.

Beberapa pegawai Mexico menyatakan hospital-hospital mempunyai bekalan ubat selesema mencukupi untuk semua pesakit namun ia dinafikan para pegawai perubatan.

Pada Isnin, pegawai pentadbiran Institut Penyakit Respiratori Kebangsaan (INER) menyatakan mereka tidak mempunyai bekalan mencukupi seperti alkohol. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Korban pertama selesema babi di Amerika Syarikat


SEORANG wanita yang memakai topeng muka mendukung anaknya di sebuah hospital di Bandar Raya Mexico semalam.


WASHINGTON, - Seorang bayi berumur 23 bulan di Texas menjadi mangsa pertama virus selesema babi H1N1 di Amerika Syarikat (AS), kata pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) semalam.

Kematian itu adalah pertama membabitkan mangsa di luar Mexico yang setakat ini mencatatkan kematian 159 orang.

Sebanyak 91 kes selesema babi dikesan di 10 buah negeri di AS setakat ini.

Sejumlah 65 pesakit kes yang disahkan positif kini sedang dirawat di lima buah hospital di California dan Texas.

"Kami mengesahkan kematian pertama akibat virus H1N1 membabitkan seorang bayi berumur 23 bulan," kata Pemangku Ketua CDC, Dr. Richard Besser.

Bayi itu dipercayai dibawa keluarganya melawat Bandar Raya Mexico sebelum memasuki Brownsville, Texas sebelum jatuh sakit dan kemudian dimasukkan ke Hospital Houston, kata jurucakap Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Houston, Kathy Barton.

Pegawai-pegawai kesihatan masih belum mendedahkan maklumat terperinci berhubung bayi lelaki itu tetapi dia dipercayai antara enam kes positif virus selesema babi di Texas.


BEBERAPA penduduk memakai topeng muka di sebuah stesen bas di Bandar Raya Mexico semalam.


Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama menyatakan kerajaan bersedia untuk melakukan langkah untuk menyekat penularan virus itu serta memohon peruntukan kecemasan berjumlah AS$1.5 bilion (RM5.38 bilion) untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi.

"Kerajaan akan melancarkan langkah menyeluruh jika keadaan bertambah serius manakala ibu bapa juga perlu memikirkan langkah kecemasan seperti menutup persekolahan buat sementara waktu," katanya.

Menurut CDC, kanak-kanak berumur bawah lima tahun lebih terdedah kepada selesema dan komplikasi berkaitan.

Lebih 20,000 kanak-kanak terpaksa dirawat di hospital setiap tahun kerana menghidap penyakit itu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan CDC masih menilai tahap keseriusan selesema babi yang kini sudah merebak ke benua Eropah.

Di Britain, Perdana Menteri Gordon Brown mengumumkan tiga lagi rakyat negara itu disahkan positif menghidap penyakit selesema babi.

Di Austria, kementerian kesihatan negara itu mengesahkan kes H1N1 pertama setelah laporan makmal mendapati seorang wanita berumur 28 tahun diuji positif tetapi mangsa kini semakin pulih.


SEORANG anggota keselamatan memberitahu seorang pelajar bahawa sekolah ditutup 
berhubung kes selesema babi di Dallas, Texas semalam.


Selesema babi yang mula dikesan di Mexico minggu lalu menyebabkan lebih 1,500 menunjukkan simptom manakala 49 disahkan positif menghidap selesema babi.

Sepanyol semalam mengesahkan kes pertama mangsa selesema babi yang tidak pernah pergi ke Mexico.

Setakat ini negara itu sudah mengesahkan 10 kes selesema babi.

Pihak berkuasa keselamatan turut melakukan siasatan berhubung dua rakyatnya yang mempunyai gejala selesema babi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Hentak bapa sampai mati

Hentak bapa sampai mati


IDRIS



ISMAIL


ALOR SETAR - Seorang bapa yang menasihati anak lelakinya supaya tidak melakukan perkara buruk maut dihentak seketul bata di kepala di Kampung Kubang Leret, Kubur Panjang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 pagi, mangsa Idris Awang, 45, mati di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pukul 9 pagi.

Sebelum kejadian, Idris dan anak keduanya yang berusia 24 tahun berselisih faham sehingga menyebabkan mangsa menasihati anaknya supaya tidak terlibat melakukan perkara buruk.

Bagaimanapun, anak mangsa yang difahamkan penagih dadah dan pernah dimasukkan ke pusat pemulihan tidak berpuas hati sehingga bertindak menghentak mangsa menggunakan bata.

Anak sulung mangsa, Ismail, 28, berkata, adiknya bertindak di luar jangkaan mungkin disebabkan dia tidak dapat menerima teguran bapa mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Ramai pelajar tiba-tiba sakit - 100 pelajar demam termasuk 48 dikuarantin di asrama sekolah sejak kelmarin


PINTU masuk SMSTSSS lengang selepas pihak sekolah mengarahkan asrama dikuarantin ekoran kes 100 pelajarnya demam panas sejak kelmarin.


BUKIT MERTAJAM - Asrama Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) di sini umpama wad kuarantin sejak kelmarin apabila ramai pelajarnya tiba-tiba jatuh sakit.

Seramai 100 pelajarnya dipercayai demam dan batuk dengan 50 orang telah dirujuk ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas suhu badan meningkat sehingga lebih 40 darjah celsius.

Dua daripada mereka terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Mereka yang tidak dimasukkan ke wad, kini dikuarantin dalam asrama sekolah bagi mengelak lebih ramai dijangkiti.

Perintah kuarantin itu dilakukan sebaik sahaja pegawai dari Jabatan Kesihatan HBM membuat pemeriksaan lanjut kelmarin.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad ketika dihubungi malam tadi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan 100 pelajar sekolah itu mengalami demam panas tetapi pihak jabatan sendiri masih tertanya-tanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

"Maklumat awal mendapati ia kes biasa tetapi kita tunggu laporan penuh kerana ingin tahu kenapa begitu ramai boleh demam serentak," katanya.

Beliau bagaimanapun meminta ibu bapa supaya tidak risau kerana keadaan terkawal.

Namun bukan itu halnya kepada sesetengah ibu bapa yang kecewa dan marah apabila tidak dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Maut silap makan ubat

Oleh Iskandar Shah Mohamed


SEBAK...Paramewaran mendukung mayat Thirishan (gambar kecil).
SEBAK...Paramewaran mendukung mayat Thirishan (gambar kecil).

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa kesilapan jadual pemakanan ubat diberi sebuah klinik kerajaan di Jalan Ipoh di sini, menyebabkan kanak-kanak itu koma beberapa hari sebelum meninggal dunia, petang semalam. 

Mangsa, Thirishan Raj dikatakan mengadu sakit tekak dan demam biasa pada Jumaat, minggu lalu sebelum dibawa ibu bapanya ke sebuah klinik berdekatan untuk menjalani pemeriksaan.

Sejurus selesai, kanak-kanak itu diminta klinik berkenaan memakan lapan pil penahan sakit sehari, iaitu masing-masing dua biji untuk waktu pagi, tengah hari, petang dan malam. 

Bagaimanapun, keesokan harinya, mangsa mengadu badannya menjadi amat lemah dan pening kepala selepas memakan enam pil tahan sakit seperti disyorkan doktor sebelumnya.

Oleh kerana merasakan sesuatu tidak kena, mangsa dibawa ibu bapanya ke sebuah klinik swasta di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, untuk pemeriksaan lanjut.

Datuk kanak-kanak berkenaan, Datuk N Muniandy, berkata mereka sekeluarga terkejut apabila doktor memaklumkan cucunya itu sudah mengambil dos berlebihan dan perlu segera dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

“Kami kemudian segera membawanya ke Unit Kecemasan HKL dan doktor memberitahu selain pengambilan dos berlebihan, dia (cucu) dijangkiti sejenis virus tidak dapat dikenal pasti. 

“Tidak lama kemudian, dia terus tidak sedarkan diri dan dimaklumkan otaknya membengkak selain hampir keseluruhan tubuh badannya tidak berfungsi sepenuhnya.

“Selepas empat hari berada dalam keadaan koma dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, dia akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang tadi (semalam),”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Muniandy, selain kesilapan jadual pemakanan ubat diberi klinik swasta berkenaan, dia juga kesal apabila HKL mendakwa rekod perubatan cucunya itu hilang dan gagal dikesan. 

Tinjauan Harian Metro di kediaman mangsa di Taman Rainbow Jalan Ipoh, di sini, semalam mendapati ibu bapa kanak-kanak itu, N Paramewaran, 37, dan M Sanggeta, 32, serta ahli keluarga terdekat tidak dapat menahan sebak meratapi kehilangan mendiang. 

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengedar Surat Khabar Wilayah Persekutuan dan Selangor berkata, mereka sekeluarga berkemungkinan akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dalam masa terdekat. 

Mangsa dijangka dikebumikan di Kromotarium Jalan Kuari Cheras, hari ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430074101/Article/index_html

Alim kucing

Oleh Norfazlina Abdul Rahim


BACHOK: Seorang lelaki warga emas bergelar ustaz berusia 60-an ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dan cakera padat video (VCD) lucah di rumahnya di Kampung Beris Kubor Besar, dekat sini, baru-baru ini.

Lelaki berkenaan diberkas ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Maghrib dan menyampaikan ceramah agama di sebuah surau di kampung berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Sebaik ditahan, suspek membawa sepasukan polis ke rumahnya dan hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, berkata ketika pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan, anggotanya menemui puluhan VCD lucah yang disusun rapi dalam bilik tidur selain beberapa bungkusan dadah di beberapa tempat.

Beliau berkata, lelaki terbabit mulanya enggan mengaku menyimpan VCD lucah, namun selepas polis memaklumkan mahu menunjukkan VCD lucah di tempat dia menyampaikan kuliah sekiranya dijumpai, ustaz terbabit membuat pengakuan memiliki bahan terlarang itu.

Selain itu, polis terpaksa memaklumkan akan memanggil wartawan bagi melaporkan penahanannya jika suspek terus berkeras tidak mahu bekerjasama menunjukkan tempat dadah itu disembunyikan.

“Dia dikesan menjadikan periuk nasi di bahagian dapur untuk menyimpan dadah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Dadah itu sukar ditemui jika polis tidak diberitahu tempatnya disembunyikan,”
katanya.

Beliau berkata, polis yakin ustaz terbabit sudah lama menjalankan kegiatan itu, tetapi statusnya sebagai guru agama membuatkan orang ramai tidak mengetahui kegiatannya.

Ustaz terbabit kini direman di Penjara Pengkalan Chepa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1959 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan dikenakan sebatan.

Polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung kes itu sebelum suspek didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430074317/Article/index_html

Bongkar rahsia bapa kejam

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


yang disyaki dibunuh bapanya." title="PERIKSA...unit forensik mengumpulkan rangka kanak-kanak
yang disyaki dibunuh bapanya." height="288" width="300" border="0">
PERIKSA...unit forensik mengumpulkan rangka kanak-kanak 
yang disyaki dibunuh bapanya.

GEORGETOWN: Tengkorak dan beberapa bahagian tulang dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang ditanam sejak tiga tahun lalu, ditemui di kawasan padang di Kampung Pisang, Ayer Itam di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata tengkorak dan tulang itu ditemui susulan daripada soal siasat terhadap tiga kanak-kanak perempuan yang juga adik-beradik mangsa mengenai penderaan yang dilakukan bapa kandung mereka sehingga membawa kepada penemuan terbabit.

“Pada awalnya polis mendapat maklumat dari sebuah gereja di kawasan itu mengenai penderaan yang dilakukan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Flat Medan Angsana, Ayer Itam beberapa tahun lalu.

“Hasil siasatan, tiga daripada 10 beradik itu mengaku didera serta dicabul bapa mereka yang berusia 40 tahun,
katanya.

Ayub berkata, seorang mangsa penderaan itu turut membuka sejarah hitam keluarganya kepada polis mengenai perbuatan bapa mereka mendera adik perempuannya sehingga mati beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, maklumat itu akhirnya membawa kepada penahanan lelaki berkenaan kelmarin.

“Siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu menanam anak perempuannya di kawasan padang itu kira-kira dua kilometer dari rumahnya,” katanya.

Ayub berkata, lelaki itu kini direman dan kes itu disiasat menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul serta Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, lelaki itu mempunyai tiga isteri dan mangsa yang dibunuh adalah anak isteri keduanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Bhupinder Singh, berkata tulang yang ditemui itu milik kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh tahun dan dipercayai ditanam antara dua ke tiga tahun lalu.

Katanya, rangka yang ditemui itu tidak lengkap dan ditanam pada kedalaman satu meter, namun siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mengesan punca kematian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata siasatan awal mendapati ada rekahan pada tengkorak mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430074244/Article/index_html

Dakwa anak dilarikan




anaknya." title="RAYU...Rosnah merayu orang ramai membantu mencari
anaknya." height="218" width="300" border="0">
RAYU...Rosnah merayu orang ramai membantu mencari 
anaknya.

MELAKA: ”Saya terlelap lima minit kerana letih selepas seharian menunggunya di wad (Hospital Kem Terendak, Sungai Udang) pada 7 April lalu. Apabila terjaga jam 10 malam, saya terperanjat apabila anak saya tiada lagi di atas katil.

“Kakitangan hospital memberitahu anak saya dibawa neneknya,”
kata seorang guru, Rosnah Husin, 42, yang mencari anak tunggalnya, Wan Muhammad Harris Wan Sha’ari, 9, yang dipercayai dilarikan daripada jagaannya yang sah.

Rosnah berkata, biarpun anak kesayangannya itu hanya sempat dijaganya selama 14 hari selepas dilahirkan pada 16 Ogos 2000, namun atas persetujuan arwah suaminya, Wan Muhammad Harris diserahkan untuk dijaga ibu mentuanya di Pasir Mas, Kelantan.

“Selepas suami saya meninggal dunia, saya mendapatkan perintah mahkamah untuk hak jagaan anak. Pada 5 April lalu, saya bersama peguam pergi mengambil anak saya di Pasir Mas, Kelantan.

“Saya percaya anak saya dilarikan neneknya sendiri ketika dia menjalani rawatan di Hospital Kem Terendak, Sungai Udang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, masalah dan punca kanak-kanak itu dilarikan dari jagaan yang sah masih dalam siasatan.

“Saya meminta sesiapa yang berjumpa kanak-kanak ini menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Jay January Siowou di talian 016-8411011 atau IPPD Melaka Tengah, 06-2842222 sambungan 222,” katanya.

3 tadika tutup serta-merta

Oleh Mohamad Hussin 


selepas diarahkan tutup selama dua minggu." title="LENGANG...keadaan sebuah tadika di Jalan Telok Wanjah
selepas diarahkan tutup selama dua minggu." height="214" width="300" border="0">
LENGANG...keadaan sebuah tadika di Jalan Telok Wanjah 
selepas diarahkan tutup selama dua minggu.

ALOR STAR: Seramai 11 murid dari tiga tadika di negeri ini disahkan dijangkiti wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga memaksa operasi sekolah berkenaan ditutup serta-merta bagi tempoh antara seminggu hingga dua minggu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata murid di tiga tadika berkenaan iaitu Tadika An-Najaah, Tadika Sunsky dan Cherish Harmony, diarahkan tidak ke tadika itu berikutan kebimbangan lebih ramai murid dijangkiti wabak itu.

“Tadika An-Najah dan Tadika Sunsky, masing-masing membabitkan empat dan lima kes diarah menutup operasi serta-merta selepas disahkan dijangkiti wabak HFMD pada Isnin lalu.

“Tadika Cherish Harmony pula membabitkan dua kes. Pengurusan tadika itu dengan secara sukarela menutup operasi pada 22 April lalu bagi mengelakkan jangkitan berkenaan,”
katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis perintah tutup premis di bawah perenggan 18 (1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap tadika berkenaan sehingga premis itu dibasmi kuman, serangga atau tikus dengan sempurna.

“Semua murid terbabit sudah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSA) dan dibenarkan pulang ke rumah. Bagaimanapun, kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian lebih serius.

“Ketiga-tiga tadika berkenaan yang akan membuka semula premis mereka minggu depan akan terus dipantau dan dilakukan saringan ke atas murid yang didapati kurang sihat bagi memastikan wabak ini tidak berulang di tadika itu,”
katanya.

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak kecil perlu didedahkan mengenai pelbagai perkara berkaitan penyakit itu yang disebabkan oleh kumpulan virus Entero seperti virus Coxsackie A, EV71 dan Echovirus. Pada lazimnya virus Coxsackie A16 menjadi penyebab penyakit ini.

“Mereka akan didedahkan tanda awal penyakit itu, seperti demam panas, sakit tekak, kurang selera makan, ulser di bahagian mulut dan tekak yang sakit (termasuk gusi dan lidah), ruam dan biji-biji berair (blisters) di tapak tangan dan kaki serta punggung (kawasan lampin).

“Kita meminta ahli keluarga mangsa memastikan tempat dan dengan siapa kanak-kanak berkenaan keluar sebelum dijangkiti virus itu,”
katanya.

Sementara itu, seorang guru tadika yang ditemui semalam, berkata empat murid tadika berkenaan disahkan dijangkiti wabak itu selepas salah seorang murid perempuan yang baru pulang bercuti dari Terengganu disyaki dijangkiti wabak berkenaan.

“Ibu kanak-kanak berkenaan ada memaklumkan kepada pihak tadika anaknya itu mengalami demam dan diberi cuti sakit selama tujuh hari. Bagaimanapun, murid itu dihantar ibunya ke tadika ini menyebabkan tiga daripada 260 murid yang belajar di sini dijangkiti wabak HFMD.

“Kita sudah memaklumkan kepada ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka sekiranya mengalami simptom seperti demam, ulser atau sakit tekak,”
katanya.

Coklat bernafsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " title="BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " height="290" width="300" border="0">
BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz 
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang 
dirampas dari sebuah kilang

KUALA LUMPUR: Pembongkaran mengejutkan apabila intipan mendapati lambakan pelbagai produk ubatan seks haram umpama gula-gula atau dikenali sebagai ‘coklat stim’ dihasilkan dengan berselindung di sebalik sebuah kilang pengeluar gula-gula dan coklat kanak-kanak.

Difahamkan, syarikat menghasilkan coklat dan gula-gula untuk kanak-kanak itu yang beroperasi di Tampin, Negeri Sembilan, menggunakan peralatan moden untuk mengadun ramuan `istimewa' gula-gula maut berkenaan dengan pelbagai nama, antaranya coklat ginseng, gula-gula Formula 193, Mentalk dan coklat Maca Gin.

Agak mengelirukan apabila gula-gula seks yang dihasilkan kilang berkenaan dan dijual pada harga RM10 sebiji tidak jauh beza, sama ada dari segi saiz atau bentuk dengan gula-gula yang dijual kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, ujian kimia mendapati gula-gula seks terbabit yang boleh membawa maut itu mengandungi kimia berbahaya Sildenafil yang berupaya merangsang nafsu lelaki ke arah perlakuan seks.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak sekian lama bagi mengesankan pihak bertanggungjawab mengedar dan menghasilkan gula-gula rangsangan seks berkenaan secara sulit.

Menurutnya, jika sebelum ini, produk kopi campuran sering dijadikan `alat' untuk dicampurkan bahan kimia berbahaya berkenaan, namun kini sindiket pengedaran ubat-ubatan seks haram cuba berselindung di sebalik gula-gula.

“Selepas mengumpul maklumat, seramai 30 pegawai penguat kuasa farmasi KKM Negeri Sembilan, Melaka dan ibu pejabat, melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut di lima kilang milik syarikat pengeluar gula-gula itu jam 11 pagi kelmarin.

“Operasi besar-besaran itu diketuai Timbalan Pengarah Penguat kuasa Farmasi KKM, Wan Hamid Wan Ibrahim, turut dilakukan serentak di beberapa syarikat pengedar gula-gula seks berkenaan di ibu kota, Selangor, Kelantan dan Johor bagi memastikan ‘gula-gula seks’ berkenaan dibanteras sepenuhnya,”
katanya.

Menurutnya, ketika awal operasi, pegawai penguat kuasa farmasi dibantu lima anggota polis cawangan Narkotik daerah Tampin, gagal mengesan bukti pengilangan gula-gula seks itu di syarikat berkenaan.

“Namun petunjuk yang dicari akhirnya muncul apabila pegawai penguat kuasa menemui bungkusan gula-gula seks berkenaan di satu kilang memproses gula-gula itu.

“Siasatan rapi akhirnya berjaya menemui beberapa kotak berisi gula-gula rangsangan seks dengan jenama coklat ginseng dan gula-gula formula. Kebanyakan gula-gula berbahaya itu ditemui disembunyikan dalam pejabat pengurusan di kilang berkenaan,”
katanya.

Turut ditemui empat bungkusan berisi ribuan biji gula-gula seks seberat satu kilogram setiap plastik serta dokumen mengandungi kaedah dan bahan untuk menghasilkan gula-gula seks berkenaan. 

“Ketika disoal siasat, penyelia kilang terbabit mendakwa ‘gula-gula’ itu ditempah sebuah syarikat di Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan selain dieksport ke China dan Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama di empat lokasi di Sentul dan Cheras, Kuala Lumpur, pegawai penguat kuasa farmasi berjaya merampas 68,000 biji gula-gula seks berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM680,000.

Difahamkan operasi yang berakhir jam 2 petang berjaya merampas gula-gula seks bernilai hampir RM1 juta yang menunggu masa untuk diedarkan ke pasaran.

Bahan kimia dalam gula-gula itu amat berbahaya terutama kepada individu yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan kolestrol tinggi. Ia boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh menjadi terlalu rendah. Akibatnya mangsa boleh pengsan dan mati mengejut.

“Penjual atau pengedar produk itu boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430073454/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...