Fathi Aris Omar Jan 16, 09 5:30pm
Walaupun kehadiran pemimpin kanan kerajaan BN semakin rancak beberapa hari menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu esok,
jentera BN didakwa bergerak perlahan.
Menurut sumber-sumber yang dekat dengan BN, cara kerja jentera itu yang perlahan membayangkan PAS mempunyai kelebihan untuk mengatasi calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Cara kerja seumpama itu dikaitkan dengan
kegagalan calon BN itu mendekati pengundi tetapi kelemahannya sedikit sebanyak dapat diatasi oleh kerja keras beberapa pemimpin lain,
termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Sehingga saat-saat akhir, Wan Ahmad Farid terpaksa bertungkus-lumus menafikan beliau seorang yang mesra rakyat atau sombong.
Kem BN juga didakwa berdepan
krisis dalaman antara beberapa puak,
termasuk kumpulan anti-Wan Ahmad Farid di peringkat Umno bahagian yang diketuainya, selain beliau dikaitkan dengan kumpulan promenantu perdana menteri
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sewaktu berdepan pilihanraya kecil ini,
Umno Terengganu juga masih mewarisi perseteruan antara kem Ahmad dengan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.Dalam satu taklimat yang dihadiri ketua jentera BN Datuk Seri Najib Razak, parti itu dikatakan hanya mampu meraih beberapa ratus undi, lebih rendah daripada majoriti tipis 628 undi yang diperolehi oleh Datuk Razali Ismail, Mac tahun lepas.
Sementara PAS pula semakin yakin calonnya Mohd Abdul Wahid Endut boleh menang dengan
"majoriti selesa" dalam pilihanraya kecil yang berlangsung mulai 8 pagi hingga 5 petang.
Parti itu malah percaya pemilih-pemilih Melayu sudah sedia bersamanya untuk membawa Abdul Wahid ke Dewan Rakyat. Ia menunggu sokongan Cina untuk menamatkan penguasaan BN di parlimen ini.
Secara rasmi, penceramah-penceramah PAS menyebarkan persepsi bahawa parti itu sedang mendahului BN tetapi turut menggesa petugas-petugasnya agar tidak selesa dan sentiasa berhati-hati.
Seorang pemimpin kanan PAS negeri meramalkan kedudukan selesa PAS itu akan dapat diterjemahkan dalam bentuk undi kecuali pada malam ini berlaku
"sesuatu yang luar biasa."
Manakala seorang lagi menjangkakan PAS boleh mengatasi BN sehingga 1,600 undi - hanya dewan penjumlahan undi di Stadium Negeri boleh menjadi saksi kebenaran semua telahan ini.
Kelazimannya kira-kira
80 peratus daripada 80,229 pemilih akan menentukan nasib calon-calon ini - walaupun
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap tercipta rekod
90 peratus pemilih membuang undi.
Kira-kira
80 peratus Melayu dan
11 peratus Cina akan menunaikan tanggungjawab di
38 daerah mengundi atau
143 saluran di seluruh kawasan parlimen ini.
Persaingan sengit ini dapat dilihat dengan rancaknya poster dan bendera di tepi-tepi jalan utama di seluruh bandar raya ini.
Ia diindahkan lagi dengan bendera besar dan papan iklan BN dan PAS dengan ungkapan menarik masing-masing, khususnya seloka rasuah
Datuk Nik Aziz Nik Mat:"Nak Beri Salah, Tak Beri Kalah, Umno Jadi Serba-Salah, Jom Pakat Pangkah PAS."Tidak cukup dengan
kempen dari rumah ke rumah dan ceramah-ceramah kelompok,
BN yang mempunyai akses meluas di media arus perdana turut menyebarkan mesej SMS kepada para pengundi.
Berbeza daripada pilihanraya umum lalu,
pembangkang dalam pilihanraya kecil ini tidak memanfaatkan teknologi SMS berbanding jentera BN.
Dalam pilihanraya Mac tahun lepas, sentuhan peribadi ini berjaya meraih sokongan pengundi, termasuk mendorong mereka memberikan sumbangan wang untuk kerja-kerja kempen.
Kali ini, beberapa hari lalu,
hanya sekali jentera PAS menghubungi pemilih untuk mengingatkan mereka tempat mengundi mereka.
Sementara
BN pula memanfaatkan teknologi ini melalui penyebaran pangkalan mesej yang digelar "Mynews".Hari ini sahaja dua mesej sedemikian dihantar, semuanya diterima Malaysiakini - termasuk seloka yang didakwa warisan bekas ahli parlimennya Razali.
"Beri aku sekeping roti, beri aku secawan kopi, beri aku segores undi, demi BN kekal abadi," mesej SMS yang dikirim petang ini dipetik.
Sebelumnya,
Mynews mengekalkan slogan berloghat tempatan
"Nak menda lagi, BN molek dah." (Nak apa lagi, BN sudah cantik).
Strategi mempopularkan slogan menggunakan loghat tempatan ini
"Acu Try Ubah Sekali" pernah digunakan oleh
PAS pada 1999 secara meluas seperti
BN saat ini mengulang-ulangkan slogan
PAS "parti keluk-kelek" atau
tanpa pendirian.
PAS hari ini masih menggunakan
strategi konvensional, termasuk
menyebarkan secara meluas risalah yang mendakwa Najib pernah berbohong sewaktu berjanji di Permatang Pauh tahun lalu.
Risalah dua halaman A4 itu memuatkan
surat janji timbalan perdana menteri untuk memberikan
peruntukan RM100,000 kepada masjid dan
RM30,000 kepada surau.
Isu
"Najib Bohong" yang dibangkitkan risalah itu
di saat-saat akhir terpaksa dinafikan oleh Najib dan BN melalui stesen-stesen televisyen utama dalam berita jam 8 malam ini.Walaupun kedua-dua parti besar ini ghairah mencapai kemenangan, suasana berkempen umumnya
tenang dan damai - memberi tanggapan kepada pemerhati dari luar dan penduduk tempatan bahawa seolah-olah BN dan PAS
"tidak mahu menang."Beberapa pemimpin
Angkatan Muda PKR dan petugas
Pakatan Rakyat dari
Kuala Lumpur yang ditemui
Malaysiakini dalam pilihanraya ini menyifatkan
Kuala Terengganu sebagai
"anak tiri" jika dibandingkan
Permatang Pauh, Ogos lalu, yang digelar
"ibu" segala pilihanraya kecil.
Pengundi-pengundi pula tidak menunjukkan keghairahan menyokong calon-calon tertentu. Tinjauan lebih seminggu di kalangan penduduk di sini menunjukkan sama ada mereka pendukung tegar BN dan PAS, atau tidak memihak.
Mereka yang dianggap
"atas pagar" ini pula
enggan menjawab dengan serius beberapa persoalan yang diajukan media.
Berbeza sewaktu pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan BN tumbang mengejut di Terengganu, ramai pengundi bercakap sesama sendiri dan berani mengisytiharkan pendirian masing-masing beberapa hari menjelang pengundian.
Dengan suasana tenang dan perlahan ini, apakah ia akan memihak kepada PAS seperti mereka dakwa, atau ketenangan awal menjelang ribut besar yang menerbangkan BN dari bandaraya ini?
http://www1.malaysiakini.com/news/96625