Showing posts with label Bangunan Runtuh. Show all posts
Showing posts with label Bangunan Runtuh. Show all posts

Thursday, June 30, 2011

MB kecewa stadium runtuh belum boleh dibaiki

MB kecewa stadium runtuh belum boleh dibaiki
Jun 27, 11 2:30pm

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lepas, masih belum siap.

Katanya Jabatan Kerja Raya pernah memaklumkan bahawa kajian oleh perunding akan siap pada bulan Jun ini.

collapsed half of roof of the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium in Kuala Terengganu"Tetapi apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.

"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di Kuala Terengganu sempena program sukan tahunan Isteri wakil rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/168121

Monday, February 14, 2011

Kejadian dinding runtuh membimbangkan

PUTRAJAYA: Walaupun tidak berlaku kejadian tidak diingini pada sesi persekolahan 7 Januari lalu, tetapi insiden dinding koridor di tingkat tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan 3, Bangi, dekat sini, yang jatuh secara tiba-tiba menimbulkan rasa bimbang dan takut warga di sekolah berkenaan.

Bukan itu saja, konkrit yang jatuh berkecai itu didapati tidak diperkukuhkan dengan cerucuk yang sepatutnya, sehingga menimbulkan persoalan sama ada masalah sama turut dihadapi dinding konkrit lain di sekolah yang mempunyai 2,300 pelajar dan 146 kakitangan itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Roslan Mohamed, berkata kejadian itu berlaku ketika sesi persekolahan dan bernasib baik kerana tidak ada pelajar atau kakitangan yang dihempap konkrit berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian, saya dapati dinding konkrit itu tidak diperkukuhkan dengan cerucuk atau jaring besi yang sepatutnya.

”Insiden yang mengejutkan itu menimbulkan rasa kurang senang dan bimbang pelajar dan kakitangan terhadap kekukuhan dinding konkrit di pelbagai sudut di sekolah berkenaan,” katanya, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejadiandindingruntuhmembimbangkan/Article/index_html

Tuesday, February 1, 2011

Jurutera perunding didakwa


WAN Manan diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang jurutera perunding dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu sebagai pemeriksa yang diiktiraf untuk melakukan kerja pemeriksaan terhadap reka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesnya disebut di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.

Mengikut kertas pertuduhan, Wan Manan di antara 15 Januari hingga 29 Mac 2009 dengan curangnya menipu dan berpura-pura sebagai checker yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009.

Dokumen tersebut iaitu The main roof truss system and its associated work ialah sebagai cadangan untuk membina dan menyiapkan bumbung stadium utama di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Ia diserahkan kepada Rosli Zainal, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika itu di mana tertuduh memberi pandangan dan menandatangani dokumen itu untuk memperdaya Rosli dan Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mokhtar Nong supaya mempercayai bahawa dia adalah checker yang diiktiraf.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Struktur berkarat antara punca siling runtuh

Jan 31, 11 7:01pm

Satu pasukan penyiasat yang dianggotai pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ditubuhkan bagi melakukan siasatan terhadap kejadian siling di lobi utama Hospital Serdang runtuh secara tiba-tiba Sabtu lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan yang dibuat akan melihat sama ada runtuhan yang berlaku itu disebabkan oleh masalah struktur atau reka bentuk.

Beliau telah meminta JKR untuk mempercepatkan siasatan tersebut dalam tempoh seminggu, katanya kepada pemberita semasa melawat tempat kejadian di hospital tersebut hari ini.

"Saya tidak boleh membuat apa-apa spekulasi sekarang ini, sama ada ia berpunca daripada masalah struktur, reka bentuk atau dari aspek penjagaan.

"Siasatan awal memerlukan siasatan forensik. Ia tidak boleh sekadar pemeriksaan struktur, ia perlu lebih daripada itu. Siasatan awal adalah berdasarkan laporan struktur semata-mata. Kita dapati ia tidak mencukupi," katanya.

Siling berukuran 10 meter runtuh di bahagian lobi utama hospital tersebut pada tengah malam Sabtu lalu dan hampir mengenai ahli dua keluarga yang sedang duduk di lokasi tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati selain struktur siling yang berkarat yang dikatakan turut menjadi punca kepada runtuhan tersebut, terdapat juga kesan retak pada bahagian itu.

Liow berkata pemasangan siling itu masih dalam jaminan iaitu jaminan reka bentuk.

Katanya insiden berkenaan tidak akan menjejaskan orang ramai untuk mendapat perkhidmatan di hospital berkenaan kerana semua perkhidmatan akan berjalan seperti biasa.

Beliau berkata pihak hospital telah mengambil langkah untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang ramai termasuk mengepung laluan ke lobi utama dan membuka laluan alternatif untuk masuk ke hospital.

Liow juga berkata tiga Klinik Desa di Tenang, Labis telah dinaiki air manakala lima lagi di Segamat terputus hubungan berikutan dilanda banjir.

Namun Hospital Segamat tidak terjejas berikutan banjir yang sedang melanda Johor, katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/155019

Bumbung stadium runtuh: Jurutera perunding didakwa

Jan 31, 11 1:03pm

Seorang jurutera perunding hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/154968

Sunday, January 30, 2011

Siling Lobi Hospital Serdang Runtuh

Ahad Januari 30, 2011

SERDANG: Siling berukuran di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh tengah malam tadi, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Jurucakap hospital tersebut ketika dihubungi berkata tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.

"Kami juga telah kerahkan pengawal untuk menutup kawasan itu sebaik sahaja kejadian sampai kepada pengetahuan kami. Satu lencongan juga telah dibuat bagi tujuan keselamatan," katanya.

Jurucakap itu berkata satu siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian telah dilakukan, katanya.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/30/mstar_berita/20110130201009&sec=mstar_berita

Thursday, October 14, 2010

10 murid cedera lantai sekolah runtuh


Keadaan lantai bangunan SK Gunung di Alor Setar yang runtuh semalam.


ALOR SETAR – Seramai 10 murid-murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah lantai di bangunan satu tingkat sekolah itu runtuh sedalam tiga meter secara tiba-tiba semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku ketika 30 murid-murid tahun empat sedang mengikuti kelas agama di bangunan tersebut.

Bangunan itu merupakan bangunan lama yang dibina dengan menggunakan kayu sebelum dibaik pulih pada tahun 2007.

Seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah terbabit, yang mahu dikenali sebagai Ali Ahmad 46, memberitahu, bangunan sekolah tersebut sudah wujud sejak beliau mula bersekolah di kawasan sekitar pada tahun 1971.

“Bangunan ini memang sudah wujud lama dan asalnya diperbuat daripada kayu dan baru-baru ini saja baru dibaik pulih.

“Namun, saya sendiri terkejut mendengar runtuhan tersebut kerana ia baru sahaja dibaik pulih,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

'Saya ingat gempa bumi'


Oleh Mohamad Hussin

2010/10/14

ALOR SETAR: “Saya ingat gempa bumi kerana gegaran begitu kuat sebelum tiba-tiba lantai simen kelas kami runtuh menyebabkan saya terjatuh,” kata Filza Nadirah Idris, 10, seorang daripada 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini, yang cedera selepas lantai simen bilik darjah mereka runtuh secara tiba-tiba, semalam.

RAWAT... beberapa murid menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
RAWAT... beberapa murid menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.


CEDERA...Filza Nadirah   terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
CEDERA...Filza Nadirah terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
Turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ialah seorang guru wanita yang ketika itu sedang mengajar dalam kelas Empat Amanah yang keseluruhannya mempunyai 34 murid.

Sepuluh murid yang cedera membabitkan lima murid lelaki dan lima perempuan. Dua daripada murid perempuan itu patah kaki akibat dihempap batu simen dan almari manakala guru serta lapan murid lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan, ketika kejadian, semua murid terbabit sedang mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan duduk bersila atas lantai kelas.

Tiba-tiba, lantai simen itu runtuh menyebabkan 10 murid terbabit terjatuh ke dalam runtuhan yang membentuk satu lubang besar sedalam hampir satu meter.

Filza Nadirah berkata, dia dan rakan sekelas menjerit ketakutan selain menahan kesakitan.



“Saya jatuh tertiarap di bawah runtuhan simen dan kayu menyebabkan luka di lutut. Saya menjerit dan menangis sekuat hati ketika menunggu bantuan guru mengangkat kami,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan HSB di sini, semalam.

Muhammad Alif Hakim Abu Bakar yang terseliuh tangan kiri berkata, dia masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu.

“Saya bersama rakan sekelas jatuh apabila lantai simen runtuh,” katanya.

Seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang enggan nama disiarkan berkata, bangunan itu asalnya sebuah dewan lama yang dijadikan kelas sejak lapan tahun lalu.

“Dewan ini dijadikan kelas kerana sekolah ini tidak cukup kelas untuk menampung pertambahan murid. Sejak tiga tahun lalu, kerja membaik pulih dewan ini dijalankan termasuk menyimen lantai kayu berkenaan.

“Bangunan setingkat itu dibina pada 1950-an dan mulanya menggunakan lantai papan pada ketinggian kira-kira satu meter dari tanah, tetapi sejak beberapa tahun lalu lantai simen dibina di atas papan berkenaan.

“Saya yakin lantai kayu asal dewan itu reput dan perkara itu tidak disedari kontraktor dilantik dan mereka hanya membuat lapisan simen di atas lantai sedia ada tanpa mengkaji kekuatan struktur lantai lama berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.25 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, semua murid yang cedera sudah dibawa keluar daripada runtuhan dan dihantar ke HSB untuk rawatan.



Sunday, October 4, 2009

Runtuh tanpa gegaran gempa - Bumbung masjid yang baru setahun digunakan runtuh, tiga buruh Indonesia cedera


BUMBUNG Masjid Kampung Batu Putih, Kertih runtuh dan mengakibatkan tiga buruh Indonesia cedera semalam.


KUALA TERENGGANU – Selepas tiga bulan retak, bumbung Masjid Kampung Batu Putih tiba-tiba runtuh dan menimpa tiga buruh warga Indonesia yang datang untuk membaiki binaan itu di Kemaman, semalam.

Seorang daripada mereka, Marzuki Nordin cedera parah di kepala manakala dua lagi cedera ringan.

Kejadian berlaku pukul 9 pagi ketika ketiga-tiga pekerja dari Aceh itu membaiki bumbung hadapan masjid itu yang siap dibina tahun lalu dengan kos RM2.1 juta.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga mangsa dihempap hampir keseluruhan bahagian bumbung hadapan masjid itu ketika baru memulakan kerja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...