Hishamuddin Rais | Mar 11, 09 1:17pm |
Pada satu ketika dahulu, hampir kesemua manusia Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu meletakkan taat setia mereka kepada Raja dan Sultan. Ketika itu, manusia Melayu bergantung hidup dengan bercucuk tanam. Sistem feudal – yang bertaat setia kepada raja dan sultan - hanya berakar umbi dengar subur dalam dunia pertanian. Hari ini Malaysia telah berubah menuju ke arah negara perindustrian. Mata pencarian warganya tidak lagi hanya bergantung dengan bercucuk tanam. Daripada angka bancian, ekonomi negara kita kini terbahagi dua, 50 peratus untuk pertanian dan 50 peratus lagi industri. Kebergantungan kepada sawah dan ladang makin berkurangan. Justeru semakin kukuh dan meluas ekonomi perindustrian, maka semakin longgar dan kurang taat setia warga kepada Sultan dan Raja. Inilah hukum alam yang tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya. Manusia Melayu tradisional sama seperti bangsa-bangsa pertanian yang lain dalam dunia ini yang akan menunjukkan taat setia kepada sesiapa sahaja yang dinobatkan sebagai raja dan yang dirajakan. Kesetiaan kaum tani Melayu tradisional terhadap Raja dan Sultan bukan tidak bersebab, malah ada sebab musababnya. Taat dan setia ini muncul kerana punca ekonomi. Keperluan ekonomilah yang menjadikan manusia Melayu setia kepada Raja dan Sultan. Manusia Melayu setia kepada Undang, Raja atau Sultan kerana susuk-susuk yang telah dinobatkan ini dapat menjamin keselamatan mereka untuk bercucuk tanam. Susuk-susuk ini memiliki juak, pendekar atau balaci yang mengikut arahan. Balaci-balaci ini juga setia kepada Raja atau Sultan kerana kepentingan ekonomi. Taat setia timbul kerana mereka mendapat habuan dan diberi makan oleh Undang, Raja atau Sultan. Dalam masyarakat Melayu tradisional, ekonomi mereka hanya berhuma dan bercucuk tanam secukup hidup. Tidak wujud nilai ringgit, dinar atau dolar. Ekonomi yang bersandarkan duit dan dinar hanya muncul kemudian apabila datangnya kapal dan jong peniaga-peniaga dari negeri Atas Angin. Apabila kuasa kolonial Inggeris sampai, maka muncul satu lagi kuasa yang memiliki kudrat yang lebih besar daripada kuasa Raja-raja Melayu. Dalam sekelip mata, struktur feudal Melayu berubah. Kuasa kolonial British memperkenalkan sistem ekonomi yang menggunakan nilai ringgit dengan lebih meluas. Pengenalan ini terus membunuh dan mengalih asas ekonomi sistem pertanian feudal kepada sistem ekonomi kapitalis. Hukum dan syarat ekonomi kapitalis menjadikan Raja atau Sultan Melayu dengan rela hati untuk bertaat setia kepada Baginda Queen. Taat setia ini samalah seperti manusia Melayu bertaat setia kepada Raja Melayu – kerana ekonomi. British memberi duit makan kepada Raja-raja Melayu. Keselamatan Raja dan Sultan dijaga oleh senapang dan meriam British yang kuasa ledaknya beribu kali lebih hebat daripada lembing dan keris juak-juak istana. Apabila British berundur, struktur ekonomi kapitalis telah berkembang luas. Buruh dari China dan India telah menetap di Tanah Melayu. Mereka datang untuk memburuh. Kaum imigran ini telah terputus daripada sistem feudal tanah tumpah darah mereka. Kesetiaan mereka pastilah kepada tuan empunya ladang getah atau taukeh lombong. Jika tuan empunya ladang atau lombong gagal menjaga ekonomi mereka, maka taat setia mereka akan beralih kepada kesatuan buruh yang akan mempertahankan hak-hak mereka. Kepimpinan kesatuan buruh ini dipilih oleh mereka sendiri. Sultan atau Raja tidak wujud, malah begitu asing dalam budaya kaum buruh imigran. Perkembangan sistem ekonomi kapitalis di Tanah Melayu juga memaksa manusia Melayu menjual tenaga mereka untuk mencari makan. Mereka berbondong-bondong meninggalkan kampung kerana tarikan peluang untuk bekerja di bandar. Budaya bandar bukan lagi bersetia kepada Undang, Raja atau Sultan. Di bandar, sesiapa membayar upah maka dialah yang akan mendapat kesetiaan itu. Perubahan budaya Melayu ini berlaku juga di semua rancangan penerokaan tanah Felda. Mungkin ada yang silap faham kerana di Felda kelihatan ekonominya masih menggarap bumi dengan bercucuk tanam. Betul, memang peneroka Felda menggarap tanaman tetapi bercucuk tanam untuk barangan eksport bukan untuk ditanam dan makan sendiri. Justeru manusia Melayu di Felda kini telah menjadi buruh pertanian – sama seperti buruh India di estet Inggeris pada suatu ketika dahulu. Peneroka Felda kini telah terikat dalam sistem ekonomi kapitalis global. Dalam masa yang sama manusia-manusia Melayu di Felda telah tercabut dari akar umbi budaya kampungnya. Peneroka didatangkan daripada pelbagai wilayah dan negeri - ertinya mereka terputus kesetiaan kepada struktur kepimpinan kampung tradisional. Akhirnya di kawasan Felda muncul struktur kepimpinan baru – kepimpinan yang akan muncul bukan kerana derajat atau keturunan tetapi dipilih dan diundi. Datuk Undang, Raja atau Sultan semakin tidak memainkan peranan ekonomi untuk manusia Melayu. Malah kaum feudal sendiri mula bergantung dengan kaum pemodal kapitalisme. Kerana ini kita selalu mendengar cerita-cerita lawak bagaimana Raja atau Sultan Melayu, untuk mencari makan, terpaksa menjual gelaran Datuk kepada taukeh-taukeh. Lihatlah betapa merosotnya nilai kaum feudal Melayu. Harus disedari bahawa peranan Raja-raja Melayu menjaga agama dan adat-istiadat Melayu ini hanya diwujudkan dan dilembagakan oleh British. Peranan ini dilembagakan untuk memastikan kepentingan ekonomi kolonial tidak diganggu-gugat. Jika kita membaca kitab dan menyelidiki sejarah Melayu lama, kita akan dapat melihat bahawa peranan Sultan atau Raja ini amat minimal dalam budaya Melayu. Peranan sebagai ‘pelindung agama’ tidak wujud langsung. Dalam Islam, pemimpin agama dipilih bukan melalui darah keturunan tetapi daripada mereka yang bertakwa. Malah manusia Melayu telah melihat gaya hidup Raja atau Sultan Melayu ini amat bertentangan dengan falsafah agama Islam itu sendiri. Semenjak 1957, manusia Melayu telah mula berkumpul dalam badan politik moden. Organisasi politik ini telah berjaya dan diyakini untuk menjadi punca ekonomi manusia Melayu. Justeru manusia Melayu telah berkampung di bawah United Malays National Organisation - ini kerana mereka dapat mencari makan. Sekali lagi terbukti kesetiaan muncul kerana keperluan ekonomi. Justeru apabila United Malays National Organisation melupuskan kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993, tidak banyak tentangan dan rintangan datang daripada manusia Melayu. Kekebalan Raja ini dilupuskan kerana kuam feudal ini dilihat sedang menjadi penghalang untuk perkembangan kepentingan ekonomi kapitalis. Manusia Melayu melihat punca ekonomi mereka akan lebih terjaga di bawah payung United Malays National Organisation dan bukan daripada kaum feudal Melayu. Sekali lagi, membuktikan bahawa kepentingan ekonomi manusia Melayu telah melintasi mitos cinta setia tidak derhaka kepada Raja atau Sultan. Kebelakangan ini tiba-tiba kita mendengar kembali suara-suara untuk mengembalikan kekebalan Raja-raja Melayu. Seruan ini tidak menghairankan – pada satu ketika dahulu orang yang sama juga telah berkempen untuk melupuskan kekebalan ini. Hari ini mereka ini mengembalikan kekebalan Raja Melayu. Kenapa? Jawabnya, bukan kerana mereka sedang dilamun cinta buta kepada Raja dan Sultan tetapi kerana punca ekonomi mereka semakin mengecil dan ada yang telah hilang dapur. Mereka berharap Sultan dan Raja (yang mereka tongengkan dahulu) akan menjadi benteng untuk mempertahankan kepentingan ekonomi mereka. Ekonomilah yang melahirkan budaya bangsa. Punca ekonomi orang Melayu telah berubah justeru kesetiaan mereka juga akan turut sama berubah. Manusia Melayu tidak mungkin lagi akan menyembah buta kepada Raja atau Sultan. Zaman itu telah berakhir. Mengundurkan manusia Melayu kembali ke zaman feudal adalah mustahil. Mewarta dan mengaktakan pelbagai bentuk undang-undang agar manusia Melayu kembali setia kepada Raja dan Sultan juga amat mustahil. Tetapi perangai dan tingkah laku Raja dan Sultan boleh berubah jika mereka memiliki kesediaan untuk mempertahan dan menyebelahi kepentingan orang ramai. http://www1.malaysiakini.com/columns/103456 |
Monday, May 18, 2009
Kesetiaan kepada upah, bukan Raja!
Anak muda tidak tergila-gilakan Raja
Hishamuddin Rais | Mar 6, 09 3:02pm |
Penghormatan diberi, bukan boleh diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta kejam. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati tuan, mandor, ketua pejabat, cikgu atau raja - tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Menangkap, merotan atau memenjarakan seseorang tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan. Che Guevera dihormati anak-anak muda di seluruh dunia bukan kerana ada undang-undang daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau ada arahan daripada IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormatinya. Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati. Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan sebenar; ini semua penghormatan yang pura-pura. Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu dihormati kerana dapat memberi habuan kontrak. Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke perhimpunan United Malays National Organisation pada 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya. Lihat pula Abdullah Ahmad Badawi. Belum pun tamat tempohnya sebagai perdana menteri – kerana tandatangannya tidak lagi laku dan tidak mendatangkan kontrak – tidak ramai menteri dan para pembodek berhari raya di Kepala Batas tahun lalu. Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – Tun, Tan atau Tin – ia hanya tin-tin yang kosong dan tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu, pasangkanlah tanjak tujuh tingkat, semuanya tidak ada makna. Rasa hormat datang daripada hati. Pada 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak datang mengambil hadiah ini. Malah Sartre langsung tidak ambil peduli. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Sartre masih menggegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati, daripada segala bentuk penghormatan yang pura-pura. Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih dihormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada 1972. Justeru apabila ada gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja, maka permintaan ini kelihatan sebagai lawak bodoh. Meminta dihormati, memaksa dihormati - atau melembagakan penghormatan - bukan penghormatan namanya. Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, paksaan, atau janji pangkat dan kontrak. Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan dipaksa menghormati guru besarnya, maka untuk beberapa saat (ketika telinganya sakit) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si guru besar. Terlepas sahaja telinganya daripada pulasan, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si guru besar, malah besar kemungkinan si guru besar akan dibaling dengan najis. Ini hakikat. Apabila saya menulis artikel, awal Mac, cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak dipercayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll. Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, penggodam internet atau pembawa counter-culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia, malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia. Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin ditemui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik mereka. Besar kemungkinan akan ditemui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang bintang rock atau mungkin poster Che Guevera. Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai-bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang raja – tetapi mereka sanggup ke e-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat rasa hormat dan cinta kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009. Raja Maghribi, Ratu Elizebeth, Sultan Brunei, Raja Abdullah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak diarahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong. Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap. Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket RM200 untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain. Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak harus sedar diri. Pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Inilah hakikat tahun 2009. Masyarakat kota tidak lagi mencari makan daripada hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal. Masyarakat kota melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban, sistem feudal tidak memainkan peranan. Memang ada wujud kumpulan-kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini. Malah di Perancis, sebuah negara republik, masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem beraja. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus masa. Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan "daulat" raja. Sebenarnya, usaha ini wujud kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat "besar". Hakikanya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan dirancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah. Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden, keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada di tempat mereka hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Inilah hakikatnya. Kenyataan ini bukan bermakna kita tidak menghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan, kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka. Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka raja. Mereka berhak menerima penghormatan daripada kita jika mereka memiliki tingkat keintelektualan dan fikrah yang unggul. Penghormatan yang ikhlas dan sukarela tidak berpenghujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera, zaman berzaman susuk ini akan terus dimuliakan walau telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk dihormati. Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul, pergi tersepak dan pulang terlanggar. http://www1.malaysiakini.com/columns/103454 |
Di sinilah wang dunia disorok
Hishamuddin Rais | Apr 16, 09 1:41pm |
Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi. China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika. Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – hasil kita berjual-beli dengan Amerika. China dan Jepun negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemaksaan ini melalui dua cara. Pertama, Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual-beli minyak wajib menggunakan kertas dolar kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara dengan Saudi pengeluar utamanya. Sebagai gantinya, kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud daripada dipukul oleh ombak rakyat. Kedua, dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini. Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar. Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual-beli minyak. Jawapannya Saddam digantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih daripada kertas dolar, justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran. Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ia dipanggil fiat money - nilai yang dipaksa. Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru, kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya Amerika Syarikat sebuah negara revolusioner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertasnya sendiri. Amerika yang merdeka telah membebaskan diri daripada para pemilik bank yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka. Lalu para pemilik bank menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan mereka. Pada tahun 1913, setelah beberapa kali percubaan gagal, akhirnya para pemilik bank telah berjaya memaksa (atau menipu) Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913. Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul. Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di pinggir Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan. Siapa ahli-ahli lembaga pengarah Federal Reserve ini juga dirahsiakan. Kongres hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan dicadangkan oleh Federal Reserve. Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke, pengerusinya yang terkini. Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum. Mengikut akta 1913 ini, pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve. Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar, maka kerajaan wajib meminjam daripada Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan. Lihat bagaimana liciknya konspirasi para pemilik bank ini. Seperti tulisan minggu lalu, para pemilik bank ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa-apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika daripada Federal Reserve dan akan dibayar kembali dengan bunga. Duit membayar hutang dan riba ini datang daripada tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong, para pemilik bank ini telah mencipta harta Qarun. Inilah punca yang sedang membawa huru-hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang berhujah – perkembangan ini di Amerika, apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit? Sabar dahulu, biar saya terangkan sejelas mungkin. Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar. Ia telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para pemilik bank dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia. Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini. Justeru, kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar. Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini, maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF. Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini? Pertama, banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama. Kedua, tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Putih yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para pemilik bank dan Central Bank (nama asal Federal Reserve). Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam daripada Central Bank. Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini. Ketiga, tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para pemilik bank dan kaum pemodal ini. Semenjak 1913, pemilik banker ini telah membuat jaringan, kabel dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus. Hari ini kabel rahsia para pemilik bank ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika. Hasilnya, media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para pemilik bank dan kaum pemodal ini. Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu, media cetak masih lagi bergerak bebas. Hari ini yang tinggal hanya enam buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media. Syarikat-syarikat media ini pula dimiliki oleh para pemilik bank. Malah jika menyelidik dengan rapi, kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita. Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabel-kabel rahsia seperti Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull dan Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasai oleh pemodal dan pemilik bank yang sedang merancang untuk memunculkan satu Order Baru Dunia. Di belakang semua ini, nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya-raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka. Kabel rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi dan Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom. Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri. Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaondari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada mereka ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabel rashia ini. Justeru, kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan, maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama. Apabila dasar globalisasi diperkenalkan, maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan turut bersuara. Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam, maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul Haq, mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik. Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan. Hari ini sebenarnya tidak ada masalah kecairan. Apa yang berlaku, peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para pemilik bank ini. Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai. Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini. Buat ketika ini, di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin. http://www1.malaysiakini.com/columns/104206 |
Gangguan air di KL, Selangor
Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Halem Mat Som, berkata gangguan itu berikutan kerja menaik taraf mutu perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.
Syabas menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan itu.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas 1-800-88-5252 atau layari laman web Syabas di www.syabas.com.my untuk sebarang pertanyaan atau aduan. — Bernama
‘Arwah hanya duduk dalam bilik’
“Malah, ketika saya hendak keluar pergi bekerja pagi tadi (semalam), saya lihat arwah masih tidur di biliknya, tetapi kemudian menerima berita dia mati dibunuh,” kata Sopiah Talib, 40, ibu tiri Nurbahirah Ishak, 22, yang mati dibunuh dipercayai akibat cinta tiga segi di Taman Perak di sini, pagi semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian, dia bekerja di pejabatnya apabila menerima panggilan kira-kira jam 10.30 pagi daripada seorang saudaranya yang memaklumkan kejadian menimpa anak tirinya itu lalu bergegas ke Hospital Kulim (HK).
Menurutnya, dia sempat menjenguk arwah yang tidur dalam bilik berikutan masih tidak bekerja ketika hendak keluar rumah.
Katanya, pada masa sama, empat anaknya yang lain tiada di rumah kerana pergi ke sekolah dan tempat kerja menyebabkan arwah tinggal berseorangan di rumah.
“Sebelum ini pun arwah tidak pernah menceritakan sebarang masalah dihadapi, malah keadaan arwah seperti biasa kecuali beberapa hari lalu lebih banyak mendiamkan diri.
“Saya amat terkejut selepas menerima berita mengenai kejadian itu dan saya tidak tahu kenapa bekas teman lelakinya sanggup bertindak kejam.
“Kejadian ini amat menyedihkan kami sekeluarga terutama arwah adalah seorang anak yang rajin serta pintar dan baru menamatkan pengajian di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dalam jurusan kejuruteraan elektrikal tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HK, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sudah tidak mempunyai bapa yang meninggal dunia beberapa tahun lalu ditemui tidak sedarkan diri di atas katil dalam biliknya oleh beberapa jiran serta anggota polis yang memasuki rumah berkenaan selepas mendengar berlaku pergaduhan di rumah mangsa.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090518082906/Article/index_html
Cinta berdarah
am@hmetro.com.my
KULIM: Seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda yang dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya, semalam.
Mangsa, Nurbahirah Ishak, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik di rumahnya di Taman Perak di sini, kira-kira jam 9 pagi.
Duda terbabit yang turut cedera, ditemui dalam keadaan separuh sedar di ruang tamu rumah berkenaan oleh jiran dan beberapa anggota polis yang memeriksa kediaman itu selepas mendengar bunyi bising seperti pergaduhan.
Ketika kejadian, mangsa berada berseorangan di rumah manakala ibu tiri dan empat adik-beradiknya ke sekolah dan keluar bekerja.
Duda berusia 26 tahun itu tinggal di Juru, Pulau Pinang dan dipercayai dikenali ahli keluarga mangsa.
Setakat ini, tidak diketahui bagaimana duda terbabit boleh masuk ke rumah mangsa.
Jiran mangsa, Azizul Abdul Aziz, 26, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah apabila tiba-tiba menerima panggilan daripada abang mangsa yang ketika itu bekerja dan memintanya ke rumah untuk melihat keadaan adiknya selepas menerima panggilan daripada jiran lain mengenai kejadian di rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kawasan rumah itu, dia melihat beberapa anggota polis dan jiran sudah berada di luar rumah dan ketika itu, rumah mangsa dikunci dari dalam.
“Saya menghubungi semula abang mangsa bagi memaklumkan perkara itu dan bertanyakan kunci rumah.
“Abang mangsa memaklumkan kunci disimpan di luar rumah sebelum saya mengambilnya dan membuka pintu,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kulim, di sini semalam.
Menurutnya, selepas pintu dibuka, dia bersama beberapa jiran serta anggota polis terkejut apabila menemui seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah serta tidak bermaya di ruang tamu rumah.
Selepas itu, katanya mereka menemui Nurbahirah dalam keadaan terlentang berlumuran darah di atas katil dalam biliknya dan ketika itu, mangsa sudah tidak sedarkan diri.
“Kami bergegas membawa mangsa ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Suspek yang berusia 26 tahun ditahan polis sebelum membawanya ke HK untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata pihaknya menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan kesan kecederaan di kepala serta beberapa bahagian badan mangsa akibat tikaman senjata tajam.
“Ketika ditemui mangsa masih bernyawa, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Polis menahan suspek yang turut cedera dan menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu dalam rumah berkenaan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pesalah boleh dihukum gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090518073423/Article
Virus kini lebih pintar
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my
Sebanyak 5,000 virus telah ditemui di seluruh dunia namun ada juga virus yang memberi kebaikan kepada manusia
PAKAR virologi Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof. Madya Dr. Siti Suri Arshad, 46, telah lebih 20 tahun terlibat dengan pengkajian virus penyakit pada haiwan terutama ayam dan arnab.
Jadi, apabila wabak influenza A (H1N1) melanda dunia kini, beliau sudah menjangkakan keadaan itu. Wabak ini pada mulanya dikatakan berpunca daripada babi di Mexico.
Selepas merebak ke 34 buah negara dan mencatatkan hampir 7,300 kes termasuk 65 kematian, H1N1 dikesan di Malaysia minggu ini.
Mangsa pertama itu dipercayai seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New York, Amerika Syarikat, Rabu lalu.
Kini mangsa ditempatkan di Hospital Sungai Buloh sejak dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurut Siti Suri, pengkajian beliau khusus kepada virus yang menyebabkan kematian, mencacatkan pertumbuhan serta mencari vaksin penawar bagi haiwan terbabit.
Namun beliau sangat khuatir wabak penyakit yang disebabkan oleh virus.
"Virus ialah organisma yang bergantung kepada perumah untuk terus hidup.
"Malah sekarang terdapat 80 famili virus dengan 5,000 jenis. Banyak lagi masih belum dikesan terutama disebabkan influenza yang mampu menyebarkan penyakit kepada manusia," ujarnya.
Sifat virus yang sering berubah-ubah telah menyukarkan pencarian vaksin kepada wabak yang melanda. Kerana itulah ada orang menganggap virus kini 'lebih pintar' malah boleh melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang!
Bagaimanapun, kemajuan dalam bidang perubatan moden memudahkan pengkaji perubatan mengenal pasti virus dengan lebih cepat.
"Mengesan virus secara konvensional mengambil masa selama sebulan tetapi kini dalam masa dua hingga tiga jam sahaja. Kaedah lama ialah percambahan virus dalam sel hidup (tisu kultura atau dari telur).
"Kini ujian pantas kaedah reaksi perubahan polineras masa sebenar (PCR) memudahkan kita melihat reaksi tisu sampel serta kehadiran virus berdasarkan graf komputer.
"Jika graf naik, ia menunjukkan ada virus dikesan dan begitulah sebaliknya," katanya.
Siti Suri menambah, terdapat beberapa kaedah lain untuk mengenal pasti virus iaitu antigen (virus itu sendiri) dan kaedah morfologi menggunakan mikroskop elektron.
Beliau tidak menolak haiwan liar dan serangga berupaya membawa mikroorganisma berbahaya kepada manusia.
"Pembukaan hutan untuk industri, perumahan dan perladangan mendedah manusia kepada hidupan liar.
"Patogen yang ada di dalam badan haiwan boleh menyebabkan penyakit pada manusia.
"Sebagai contoh, Virus Nipah yang berasal daripada kelawar menyebabkan penyakit pada manusia melalui perantaraan babi dan juga mereka yang terlibat dengan babi itu sendiri.
"Faktor demografi haiwan dan manusia, perubahan cuaca, patogen yang berubah-ubah dan perubahan dalam amalan perladangan turut membawa kepada penyakit ini," ujarnya.
Beliau memberitahu, kumpulan subviral yang lebih ringkas daripada virus juga berbahaya. Agen subviral hanya mempunyai sama ada asid nukleik atau protein.
"Agen subviral ini boleh menyebabkan penyakit lembu gila. Manusia yang memakan daging lembu tercemar boleh mengalami kerosakan pada sel otak dan mengakibatkan gangguan saraf yang teruk," katanya.
Kebaikan virus
Virus juga mempunyai kebaikan kepada manusia.
"Bacteriophage (virus yang membunuh bakteria) digunakan sebagai vektor untuk terapi gen bagi penyakit Parkinson.
"Virus tidak merosakkan sel tetapi terus membiak bersama dengan gen perumah. Ia menukarkan gen virus berbahaya menyebabkan gen cacat pesakit diperbetulkan," ujar Siti Suri.
Katanya lagi, virus Vesicular stomatitis (VSV) pula boleh digunakan untuk merawat kanser yang dimasukkan ke dalam sel darah putih jenis Tsel yang bertindak sebagai 'pemburu kanser'.
"Ia berperanan menjejak dan membunuh sel barah dalam nodus limpa, hati, dan limpa tanpa menjejaskan sel normal spleen," katanya.
Prof. C.T Tan, 55, pakar perubatan dari Universiti Malaya yang mempunyai pengkhususan dalam kajian otak manusia adalah seorang lagi 'pemburu virus' yang aktif di negara ini.
Beliau ialah salah seorang daripada kumpulan saintis perubatan Universiti Malaya (UM) yang mengenal pasti virus Nipah.
"Bayangkan anda menyelamatkan ratusan nyawa manusia apabila satu wabak melanda pada September 1998 dan Jun 1999 di kawasan penternakan babi di Perak, Negeri Sembilan serta Selangor.
"Sebanyak 265 orang individu dijangkiti dan mengakibatkan 105 kematian. Jika kita tidak mengenal pasti dengan cepat mungkin wabak ini akan mengakibatkan jumlah kematian yang lebih besar.
"Malah ramai menyangka wabak ini disebabkan oleh Japanese Ensefalitis (JE) tetapi punca sebenarnya ialah virus Nipah bawaan kelawar yang terus menyerang otak manusia.
"Mangsa akan mengalami sakit kepala yang teruk, sawan, loya dan demam panas," katanya.
Untuk mengenal pasti penyakit seseorang, kaedah Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk mengesan bahagian otak pesakit yang terjejas.
Kemudian ujian serologi iaitu kajian tentang serum darah dan juzuk-juzuk khususnya sumbangan kepada perlindungan tubuh menentang penyakit dilakukan.
Ini untuk mengenal pasti antibodi yang menentang virus serta menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti virus atau tidak.
"Namun saya begitu khuatir dengan penyebaran wabak disebabkan oleh virus selesema yang menyebabkan banyak kematian dan memberi kesan ekonomi yang teruk.
"Bayangkan kesan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berlaku di Asia dahulu apabila tersebar ia kepada manusia," ujar Tan.
Kuasa membunuh yang menakutkan
Bagi pakar virologi terkenal dan juga bekas pengarah Pusat Influenza Kebangsaan (Malaysia) WHO, Prof. Emeritus Datuk Dr. Lam Sai Kit, 66, minatnya untuk mengkaji virus tercetus apabila mendapati virus berbeza daripada bakteria dan mempunyai kuasa membunuh yang menakutkan.
"Malah kesukaran mencari penawar virus menyebabkan saya menyambung pengajian di universiti di Australia dengan mengutip pengalaman daripada pakar virologi terkenal di sana.
"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa menyiapkan projek sarjana. Bagi melaksanakan tugasan itu saya dihantar ke sebuah kawasan hutan di Papua New Guinea untuk mengkaji virus baru di kalangan haiwan liar.
"Bayangkan di hutan tebal kita tidak biasa dengan persekitarannya. Namun apabila Universiti Malaya membuka Fakulti Perubatan saya ditawarkan menjadi pakar virologi," katanya kepada Jurnal.
Dr. Lam memberitahu, beliau suka mencabar diri mengenal pasti virus yang menyebabkan penyakit kepada pesakitnya.
"Beribu-ribu ujian dilakukan seperti wabak denggi EV71 encephalitis yang bermula di Malaysia Timur pada 1997, Chikungunya pada 1998 dan virus Nipah pada 1999.
"Malah kita berbangga kerana penyelidik negara kita sendiri yang menemui Virus Nipah serta membantu negara lain seperti Bangladesh yang sedang menghadapi wabak itu kini," katanya.
Namun Dr. Lam melahirkan kebimbangan tidak ramai saintis perubatan yang minat mengkaji virus.
"Virus sendiri banyak merebak contohnya virus H1N1. Baru kita mencari vaksin bagi virus selesema burung yang baru pula timbul. Malah tiada vaksin ditemui bagi kes demam denggi selain vaksin HIV.
"Realitinya penyakit mampu merebak dengan pantas dan kini satu kes H1N1 dikesan di Malaysia.
"Kerana itu perlunya kajian berterusan dan melahirkan ramai lagi pakar virus untuk kebaikan sejagat," katanya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm