Friday, September 18, 2009

Hidup mewah tipu bayar saman

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Jenayah yang dilakukan cukup ringkas, namun pulangan diperoleh mampu membuatkan empat lelaki hidup mewah dengan memiliki kereta selain melancong ke luar negara hasil kegiatan mencuri nombor rahsia kad kredit orang ramai.

Suspek yang berusia 19 hingga 23 tahun terbabit turut dipercayai mengutip hampir ratusan ribu ringgit selepas menawarkan perkhidmatan ‘palsu’ kononnya mampu membayar saman trafik, cukai jalan, insurans dan lesen memandu pada harga paling murah.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kegiatan kumpulan terbabit dibongkar selepas suspek dikesan melantik beberapa ejen yang diarahkan mencari pelanggan yang berminat mendapatkan perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka dikesan menipu orang ramai kononnya mampu menyelesaikan saman trafik dengan harga diskaun.

“Suspek juga menawarkan perkhidmatan membaharui cukai jalan, insurans kenderaan dan pembelian tiket kapal terbang dengan harga murah jauh lebih rendah.

“Kebanyakan mangsa yang berminat tawaran itu membuat pembayaran pada ejen sindiket terbabit yang berpura-pura menggunakan wang itu untuk menjelaskan saman atau cukai jalan,” katanya.

Arjunaidi berkata, suspek bagaimanapun tidak memaklumkan pembayaran terbabit dilakukan melalui penyedia perkhidmatan kerajaan elektronik Malaysia, MY EG Services Bhd (MYEG) yang mula diperkenalkan awal tahun ini.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan nombor kad kredit orang ramai yang dicuri untuk dimasukkan ke dalam laman web MYEG ketika membuat pembayaran.

“Bagaimanapun, pihak MYEG yang menerima pembayaran terbabit mendapati pembayaran secara elektronik itu tidak sah sebelum membuat laporan polis berhubung penipuan licik itu,”
katanya.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya menerima enam laporan polis dari pihak MYEG dengan setiap satu laporan berkenaan membabitkan penipuan pembayaran antara 70 hingga 100 saman trafik.

Beliau berkata, polis mendapati kegiatan terbabit didalangi seorang pekerja juruwang sebuah pusat beli-belah yang mencuri maklumat dari kad kredit milik pelanggan.

“Suspek dikesan menjadikan warga asing menggunakan kad kredit jenis lama yang memiliki mikrocip sebagai sasaran. Ini kerana maklumat dari kad kredit jenis lama lebih mudah dipalsukan berbanding kad kredit yang menggunakan jalur magnetik.

“Suspek bekerjasama dengan tiga rakannya untuk membuat pembayaran palsu menggunakan nombor kad kredit bank asing yang dicuri itu,”
katanya.

Menurutnya, kegiatan terbabit membolehkan kumpulan itu hidup mewah hingga mampu membeli kereta bernilai ratusan ribu ringgit selain melancong.

“Semua mereka ditahan minggu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan lanjut selesai. Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Pertemuan sengsara

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Dia baru pertama kali bertemu dengan kekasihnya, namun bernasib malang apabila dibawa ke rumah kosong, di Taman Sri Muda, sebelum dipaksa melakukan hubungan seks.

Mangsa seorang jurujual mendakwa dirogol lelaki terbabit pada 8 September lalu sebelum dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin berhubung kejadian itu.


Sebelum insiden, mangsa dikatakan mengenali lelaki itu sejak beberapa bulan lalu menerusi menerusi telefon sebelum dia bersama rakannya ke ibu kota bagi mengadakan pertemuan dengan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata mangsa yang juga remaja bawah umur mendakwa mengadakan pertemuan dengan lelaki terbabit kira-kira jam 9 pagi sebelum bersiar-siar di ibu kota.

Menurutnya, kira-kira dua jam selepas berjumpa, mangsa berpecah dengan rakannya sebelum dia mengikut teman barunya itu menaiki bas ke Shah Alam kononnya untuk melihat rumah.

Bagaimanapun sebaik tiba di Taman Sri Muda, mangsa dibawa ke rumah kosong sebelum dipaksa melakukan hubungan seks.

“Selepas kejadian itu, mangsa dihantar pulang ke ibu kota oleh lelaki terbabit sebelum mereka membawa haluan masing-masing,”
katanya.

Difahamkan selepas melakukan perbuatan itu, mangsa dan lelaki terbabit sempat mandi bersama sebelum mereka pulang ke ibu kota.

Noor Azam berkata, sebaik laporan polis dibuat, pihaknya mengesan seorang lelaki berusia lewat 20-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Suspek sudah dikenal pasti dan akan ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

“Nasihat saya kepada orang ramai terutama remaja supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Luluh hati ibu

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.


Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,”
katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,”
katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Amah perompak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


SUBANG JAYA: Jatuh cinta dengan koleksi set pinggan mangkuk berjenama dan barangan perhiasan mewah milik majikannya mendorong seorang amah warga Indonesia bertekad menyewa lori satu tan bagi mengangkut semua set berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Pembantu rumah berusia 38 tahun terbabit hanya memilih set pinggan mangkuk buatan luar negara selain permaidani dan langsir milik majikannya selepas merancang perbuatan jenayah itu sejak lebih tiga bulan lalu.


Majikan suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 52, berkata dia langsung tidak percaya kejadian terbabit menimpanya berikutan pembantu rumah yang dikenali Lindawati atau Leni dianggap seperti adik kandung.

Menurutnya, Leni yang berasal dari Medan mula bekerja dengannya sejak tiga tahun lalu selepas dia membayar lebih RM3,000 kepada ejen pembantu rumah tempatan.

“Sejak mula bekerja di rumah saya, Leni menunjukkan sikap lemah-lembut dan rajin menguruskan rumah kami walaupun saya suri rumah tangga sepenuh masa.

“Sukar untuk percaya Leni sanggup melakukan perbuatan jenayah terancang itu berikutan dia kerap menunaikan solat lima waktu selain membaca al-Quran hampir setiap malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tembelang sebenar pembantu rumahnya itu hanya terbongkar Ahad lalu apabila tuan rumah berkenaan dan suami keluar untuk mengambil anak lelaki mereka berusia 11 tahun yang tamat menghadiri perkhemahan di sekolah.

“Saya dan suami keluar rumah kira-kira jam 10 pagi sebelum pulang semula tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, perasaan curiga timbul apabila mendapati Leni tidak muncul untuk membuka pintu seperti kebiasaannya. Akibatnya saya yang puas memanggil namanya dari pintu pagar terpaksa menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami bagaimanapun terkejut apabila mendapati pintu jeriji besi di belakang rumah terbuka dengan kunci dicampak ke lantai dapur.

“Ketika itu baru saya menyedari pelbagai set pinggan mangkuk dan barang perhiasan hilang. Malah, semua beg pakaian milik Leni turut tiada dalam biliknya.

“Beberapa jiran berhampiran mendakwa sempat melihat pembantu rumah saya itu keluar dan membuat panggilan telefon di pondok telefon berdekatan,”
katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lori satu tan muncul dan masuk ke lorong di belakang rumah teres didiami sebelum berhenti tidak jauh dari pintu belakang rumahnya.

“Ketika itu, pembantu rumah saya mengusung keluar puluhan kotak berisi barang curi yang dimuatkan dalam lori berkenaan. Apabila beberapa jiran bertanya, Leni dengan selamba memberitahu kononnya tuan rumah mahu berpindah.

“Dia terus cabut lari bersama perkakas dapur, koleksi pinggan mangkuk dibeli dari United Kingdom, permaidani, langsir, baju serta basikal milik suami saya yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM10,000,”
katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka segala kebaikannya selama ini dibalas ‘racun’ oleh pembantu rumah terbabit sedangkan dia tidak pernah berkasar apatah lagi meninggikan suara.

“Selain gaji RM450 sebulan yang dibayar tetap, makan dan pakaiannya turut disediakan. Perbuatannya itu sekali gus membuktikan kehilangan misteri wang tunai dalam rumah sebelum ini turut dilakukan Leni.

“Sebelum ini, kerap kali wang saya atau suami hampir RM3,000 lesap, namun kami menyangka ia disorokkan makhluk halus tanpa mengesyaki ia perbuatan Leni,”
katanya.

Susulan itu, mangsa yang masih menyimpan pasport milik suspek membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya di sini.

“Saya percaya dia masih berada di negara ini dan orang ramai yang mengenalinya diminta menghubungi polis supaya dia dapat diberkas dan dihukum,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090916094306/Article/index_html

300 ditipu lagi

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

membuat laporan polis, malam tadi." title="TAK PUAS HATI...mangsa yang ditipu syarikat MLM
membuat laporan polis, malam tadi." height="200" width="300" border="0">
TAK PUAS HATI...mangsa yang ditipu syarikat MLM
membuat laporan polis, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah menjadi mangsa tipu sebuah syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) yang sama tahun lalu, kira-kira 300 ahli bagaikan tidak serik apabila sekali lagi terjebak dan masuk perangkap apabila ditipu pengurusan sama.

Kemuncaknya, semua mangsa terbabit ‘menyerang’ Balai Polis Setapak, kelmarin apabila mendapati seorang lelaki yang didakwa sebagai penyumbang dana syarikat terbabit dibawa ke balai itu untuk siasatan.

Mangsa turut membuat laporan di balai polis sama berikutan berasa tertipu.

Semua mangsa mula membuat laporan jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam tadi.

Harian Metro difahamkan, kejadian bermula sejak pagi kelmarin apabila beberapa mangsa berkunjung ke pejabat syarikat terbabit untuk menuntut bonus yang dijanjikan.

Bagaimanapun, harapan mereka untuk menggunakan wang bonus terbabit sempena Aidilfitri tidak kesampaian apabila pihak syarikat enggan melayan dan membayar wang terbabit.

Malah, seorang wanita yang ditemani anak lelakinya turut dihalau dan ditengking seorang pekerja syarikat itu yang mengatakan mangsa sebagai pengemis dan tidak tahu malu mahu menuntut wang bonus.

Cacian itu didengari anak lelaki wanita terbabit yang geram sebelum mereka mengumpulkan semua mangsa dan akhirnya membuat laporan polis.

Seorang daripada mangsa yang juga ibu tunggal, Siti Rafiah Mat Sah, 57, tidak dapat perasaan marah dengan tindakan pihak syarikat itu.

Menurutnya, ini kali kedua syarikat itu menghilangkan diri menjelang musim perayaan.


Menceritakan lebih lanjut, Siti Rafiah berkata, tahun lepas pihak pengurusan menggunakan nama lain bagi syarikat itu dan mengenakan bayaran RM160 hingga RM260 untuk setiap lot yang dibeli.

Bagaimanapun, katanya, imbuhan bonus yang dijanjikan tidak dibayar pada tarikh yang ditetapkan selain pihak pengurusan itu menghilangkan diri.

“Namun, pengurus syarikat itu datang semula dan menghubungi bekas ahli dan memaklumkan mereka boleh mendapatkan semula bonus tahun lalu.

“Bagaimanapun, semua bekas ahli perlu mendaftar sebagai ahli baru di bawah syarikat yang dinamakan lain dan diminta membayar sebanyak RM280,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Setapak di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918093640/Article/index_html

Polis tahan empat pelajar tidak sampai 24 jam selepas menyamun

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat pelajar lelaki dari sebuah institut pengajian tinggi dalam satu serbuan di sebuah hotel murah di bandar raya, kurang 24 jam selepas seorang wanita warga Sri Lanka membuat laporan polis yang beliau disamun empat lelaki yang menyamar sebagai polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata hasil maklumat orang awam, kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 23 tahun itu berjaya ditahan di sebuah bilik hotel kira-kira jam 6.30 petang semalam.

"Kami berjaya merampas semula sejumlah wang kira-kira RM5,000 dan telefon

bimbit mangsa. Suspek sedang ditahan reman sebelum didakwa tidak lama lagi,"
katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata, suspek memasuki kawasan kondominium kediaman wanita yang

berumur 38 tahun itu di Jalan Klang Lama kira-kira jam 4 pagi semalam dengan memperkenal diri sebagai polis kepada pengawal keselamatan.

Wan Abdul Bari berkata, semasa di kediaman wanita itu, suspek mengugut akan mencederakan mangsa dan dua lagi

rakannya jika enggan memberikan wang serta telefon bimbitnya sebelum mereka melarikan diri. -Bernama

'Bantu saya bawa pulang anak, suami'


SYAMIMI (dua dari kiri) menunjukkan gambar anaknya kepada Rahmah dan dua anak saudaranya di Kluang, Johor semalam.



KERATAN Kosmo! semalam.


KLUANG - Syamimi Rosli yang pulang semula ke tanah air kelmarin selepas sembilan tahun dilarikan ke Indonesia melahirkan hasrat membawa anak dan suami untuk tinggal dan menetap di negara ini.

"Saya ingin bawa anak dan suami ke negara ini, jika tiada sesiapa boleh membantu, mungkin saya akan tinggal terus di Riau," katanya sambil menangis.

Syamimi, 21, yang diculik dan dilarikan dua lelaki ke Indonesia ketika berusia 13 tahun berkata, hasrat itu sukar dilakukan pada masa kini kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

Dia yang ditemui di rumah ibu saudaranya, Rahmah Albi di Taman Suria di sini memberitahu akan pulang semula ke Kilo Lima, Riau, Indonesia dalam tempoh sebulan lagi untuk bertemu suami, Jamhari, 26, dan anak perempuannya, Nornazowa, 3, dan seterusnya membawa mereka ke negara ini.

Kosmo! semalam menyiarkan kisah Syamimi yang selamat kembali ke negara ini setelah dipukau dan dilarikan ke Indonesia ketika berusia 13 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Gadis dilarikan ke Riau selamat pulang

Gadis dilarikan ke Riau selamat pulang


SYAMIMI diiringi abangnya, Azrul sebaik sampai
di Pelabuhan Melaka di Banda Hilir semalam.


MELAKA - Setelah sembilan tahun diculik dan dilarikan ke Indonesia, akhirnya Syamimi Rosli, 21, kembali semula ke negara ini semalam.

Syamimi amat gembira kerana selepas sekian lama, dia akhirnya dapat beraya bersama keluarganya di Kluang, Johor selepas sembilan tahun berada di Riau, Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, dia terkilan kerana kematian ibu pada tahun 2003.

Syamimi tiba di Pelabuhan Melaka, Banda Hilir di sini pada pukul 5.30 petang dengan menaiki feri Indomal Express dari Pekan Baru, Indonesia.

"Jika boleh saya mahu tinggal di sini tetapi anak perempuan saya berumur tiga tahun dan suami, Jamhari pula di Riau, Indonesia.

"Saya harap Jamhari dan anak dapat pulang ke sini suatu hari nanti," katanya.

Bercerita mengenai kejadian dia dilarikan dua warga Indonesia pada tahun 2001, Syamimi berkata, dua lelaki itu merupakan jiran keluarganya di Kampung Melayu, Kluang.

Katanya, ketika itu, dia seolah-olah dipukau kerana mengikut semua kata-kata mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pasangan khalwat disebat


KERATAN Kosmo! 23 Julai.


SHAH ALAM - Selepas Pahang mencatatkan sejarah dalam melaksanakan hukuman sebat dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, kini Selangor menyusul apabila sepasang kekasih dikenakan hukuman sebat enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas kedua-duanya mengaku bersalah cuba melakukan persetubuhan haram Mei lalu.

Mereka yang merupakan kerani akaun dan kerani di sebuah syarikat swasta merupakan individu pertama dijatuhi hukuman sebat mengikut peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shai semalam membenarkan hukuman sebat ditangguhkan selepas mendengar permohonan rayuan peguam syarie, Shahida Elias mewakili Mohd. Shahrin Abd. Majid, 29, dan Nadiah Najat Hussin, 24.

Dalam hujahnya, Shahida berkata, kedua-dua anak guamnya sudah menjelaskan denda dan pihaknya sudah memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Permohonan itu tidak dibantah pendakwa syarie Shafezan Rusli.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...