Saturday, May 22, 2010

Mangsa kesempitan hidup




MINGGU lalu, seorang lelaki berusia 59 tahun dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan di Seattle, Amerika Syarikat (AS) kerana dituduh terlibat dalam perilaku seksual dengan gadis bawah umur di Kemboja Januari lalu.

Berdasarkan afidavit kes yang dilaporkan media tempatan itu, siasatan ke atas Craig Thomas Carr bermula sejak Disember tahun lalu apabila polis Kemboja dan Perancis mendapati seorang pemandu teksi di Phnom Penh yang dikenali sebagai S.M. mengiklankan di Internet bahawa dia menyediakan pelacur kanak-kanak.

Carr memberi maklum balas kepada salah satu iklan S.M. pada November 2009 dan mereka berbalas kira-kira 20 e-mel bagi merundingkan keinginan Carr melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berusia dalam lingkungan 12 tahun.

S.M pula mengatakan dia mampu memenuhi kehendak Carr berdasarkan umur dan fizikal gadis yang digambarkan Carr.

Dokumen mahkamah menjelaskan Carr terbang ke Kemboja pada 13 Januari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Francisco dan Taipei, Taiwan. Keesokan harinya, S.M menemui Carr di sebuah hotel dan membawanya ke sebuah rumah tetamu untuk berjumpa dengan seorang ibu ayam.

Siasatan mendedahkan bahawa sehingga tujuh hari berikutnya, Carr telah mengadakan hubungan seks dengan tiga orang gadis sunti pada bayaran keseluruhan AS$6,000 (RM19,404.59) kepada S.M., AS$1,800 (RM5,821.96) untuk ibu ayam dan AS$20 (RM64.68) bagi setiap gadis untuk mengambil gambar bogel mereka.

Carr ditahan oleh polis Kemboja pada 22 Januari sebelum dihantar ke AS untuk menghadapi pertuduhan. S.M juga ditahan dan kekal di penjara Kemboja.


KANAK-KANAK berhak menikmati kehidupan yang gembira bukan dijual atau dieksploitasi.


Pertuduhan yang dihadapi Carr bukanlah secebis kes membabitkan pelacuran kanak-kanak yang dikenal pasti dan mampu diselesaikan. Hakikatnya, di beberapa negara Asia Tenggara isu pelacuran kanak-kanak sudah lama mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Sebagai contoh di Vietnam, industri seks kanak-kanak telah menjadi satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke negara mereka dan ia berkembang pesat sehingga sukar dikawal oleh kerajaan.

Punca utama pelacuran kanak-kanak adalah faktor kemiskinan yang mendesak, menyebabkan ada di kalangan kanak-kanak ini dipaksa untuk melacurkan diri. Masalah ini banyak berlaku di negara miskin seperti Vietnam, Kemboja, Indonesia bahkan India.

Jika dibentangkan, terdapat jutaan kes pelacuran atau perdagangan kanak-kanak berlaku setiap hari di seluruh dunia. Paparan media tidak cukup menggambarkan situasi sebenar bisnes eksploitasi kanak-kanak dan kepincangan sosial yang semakin membimbangkan.

Pelacur muda

Sebagai contoh, laporan akhbar The Sunday Times baru-baru ini memberitahu mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang didapati melacurkan diri di pinggir bandar Perth, Australia selepas melarikan diri daripada keluarga.

Akhbar itu melaporkan, Pemangku Pengurus Perkhidmatan Remaja Inner City, Jen Korab yang pernah menjadi pelacur kanak-kanak berkata, terdapat pelacur seawal usia 12 tahun bekerja di beberapa buah taman di bandar berkenaan sejak setahun lalu.

"Sudah menjadi pemandangan biasa apabila terdapat kereta bergerak perlahan dan berhenti dengan tujuan untuk mencari pelacur muda itu di kawasan Perth dan Northbridge," kata Korab.


KEHIDUPAN kanak-kanak tidak seharusnya berakhir di jalanan.


"Saya pernah bercakap dengan beberapa pelacur muda itu dan mereka menyatakan terdapat kanak-kanak berumur sembilan tahun yang melacur," tambahnya.

Menurut Korab, pelacur kanak-kanak sering terdedah dengan persekitaran penyalahgunaan dadah bagi menenangkan jiwa kerana mereka belum cukup matang untuk mengawal tekanan.

Arizona Daily Star baru-baru ini pula melaporkan, dua orang wanita disyaki menggalakkan seorang gadis berusia 14 tahun untuk melacurkan diri di Tucson, AS.

Kedua-dua wanita itu, Moraima Guadalupe, 24, dan Whitley Alicia Minter, 18, dikenakan tuduhan melacurkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan kini berada di penjara Pima County. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara 13 hingga 27 tahun jika sabit kesalahan.

Gadis itu ketika ditanya mengaku melarikan diri dari rumah dan dilatih menjadi pelacur bersama beberapa gadis lain di sebuah hotel tempatan sehingga mereka mempunyai cukup wang untuk berpindah ke California.

Di Malaysia, beberapa tahun lalu kajian selama lima tahun yang dijalankan seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, seramai 4,000 kanak-kanak di Malaysia terjebak dalam kegiatan pelacuran dengan usia bapa ayam pula begitu muda iaitu antara 18 hingga 20 tahun.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, sebanyak 4,315 kes kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun terbabit dalam pelacuran antara tahun 1995 hingga 1999. Jumlah itu adalah kes yang berjaya diselamatkan.

Menurut Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih sejuta kanak-kanak di Asia termasuk Thailand, Filipina dan India telah dijual kepada bapa atau ibu ayam untuk tujuan eksploitasi seks.


KANAK-KANAK perlu dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi seksual dan penderaan. - Gambar hiasan


Dalam pada itu, organisasi bebas dikenali Menamatkan Penyeludupan, Pornografi dan Pelacuran Kanak-kanak (ECPAT) yang berpangkalan di AS mengatakan jumlah sebenar lebih besar iaitu kira-kira 20 peratus daripada 20 juta kanak-kanak di India terbabit dalam rangkaian eksploitasi komersial seksual.

ECPAT memberitahu, kira-kira 100,000 kanak-kanak dipaksa melacur di Taiwan dan mendapat permintaan tinggi di negara-negara lain seperti Venezuela yang mempunyai kira-kira 40,000 pelacur kanak-kanak.

Selain itu, Republik Dominican mempunyai kira-kira 12,000 pelacur berusia 12 hingga 17 tahun, Peru mempunyai 500,000 pelacur kanak-kanak, manakala 500,000 pelacur kanak-kanak dikesan di Brazil.

Kanada pula mempunyai 200,000 pelacur kanak-kanak, manakala 300,000 hingga 600,000 daripada dua juta pelacur di AS adalah kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun dan merupakan pelacur jalanan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Remaja perempuan bertukar jadi lelaki

Remaja perempuan bertukar jadi lelaki




DESA TAMBAKSARI KIDUL, Indonesia - Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di sini, Maemunah (gambar) mendakwa kemaluannya berubah menjadi lelaki, lapor beberapa media semalam.

Dia kini telah mengubah namanya menjadi Mei Purnomo dan berhasrat untuk mengesahkan identitinya sebagai lelaki dalam surat beranak.

Namun, pihak berkuasa di kampungnya di Jawa Tengah enggan mengesahkan dia sebagai lelaki sebelum mendapat bukti pengesahan rasmi daripada agensi kesihatan.

"Sehingga kini nama remaja itu yang tercatat di desa ini masih Maemunah. Kami menunggu keputusan pengadilan mengenai status kelaminnya," ujar Ketua Kampung Desa Tambak Sari Kidul, Joko Suryanto.

Seorang ketua badan kesihatan di kampung itu, Dr. Widayanto MKes berkata: "Dia (Maemunah) perlu menjalani ujian deosiribonukleik (DNA). Kromosomnya perlu dilihat sama ada dia lelaki atau perempuan."

Menurut ibu remaja itu, anaknya semasa dilahirkan mempunyai jantina perempuan.

"Bidan yang membantu saya melahirkannya mengatakan anak saya perempuan," ujar ibunya, Sarni.

Namun, menurut remaja itu, semasa berumur 10 tahun, dia berasa terdapat perubahan pada tubuhnya yang menunjukkan dirinya seorang lelaki.

Remaja itu mengakui bahawa dia turut mempunyai perasaan meminati wanita dan bukannya lelaki.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Rasidi layak dibicara kes bunuh


Rasidi diiringi dua anggota polis masuk ke Mahkamah Tinggi Seremban Seremban semalam.


SEREMBAN - Laporan perubatan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati Rasidi Ismail layak dibicarakan atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya termasuk bapa dan adiknya di Kampung Batang Rokan di Gemencheh dekat sini pada 5 Januari lalu.

Rasidi sebelum ini diarahkan menjalani pemeriksaan mental selama dua bulan di Hospital Permai, Tampoi, Johor oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.

Dia yang merupakan seorang penganggur sebelum ini mengaku salah melakukan pembunuhan itu dan mendakwa perbuatan itu dilakukan atas arahan dari langit.

Rasidi, 32, dituduh membunuh bapanya, Ismail Awang, 76, datuk, Atan Daud, 87, dan nenek, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 pagi dan pukul 11 pagi 5 Januari lalu.

Dia juga dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung tersebut pada tarikh dan waktu sama.

Rasidi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Bertemu selepas setahun berpisah


AUDREY memeluk Alya selepas permohonannya untuk berjumpa anaknya itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan seorang ibu, Audrey Amira Goon Abdullah, 33, untuk berjumpa dengan anaknya yang berusia empat tahun setelah terpisah sejak lebih setahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd. Radzi Abdul Latif ketika memutuskan demikian turut menasihati bapa kanak-kanak terbabit, Ablen Rosmon Hamid, 34, supaya membenarkan anak-beranak itu bertemu atas dasar kemanusiaan.

"Sebagai bapa, saya percaya kamu ada sifat perikemanusiaan, beri dia berjumpa dengan anak yang dikandungnya. Sekiranya kamu menguruskan perkara ini secara baik, kamu tidak perlu membuang masa untuk datang ke mahkamah," katanya kepada pegawai eksekutif teknologi maklumat itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Rindu terubat

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/05/22

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya dua jam, seorang ibu reda selepas penantiannya selama setahun setengah berakhir apabila berjumpa dengan anak perempuan berusia empat tahun yang sebelum ini di bawah jagaan suami selepas mereka berpisah.

Audrey Amira Goon Abdullah, 33, dapat berjumpa dengan Alya Natasha selepas Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, mengeluarkan perintah terhadap suaminya, Abien Rosmon Hamid, 34, membawa kanak-kanak itu ke mahkamah, semalam.


Sebelum ini, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Abien selepas lelaki itu yang juga pegawai eksekutif teknologi maklumat, dua kali gagal hadir dalam prosiding membabitkan hak jagaan anak mereka.


Mahkamah yang sama juga pada masa itu meletakkan nama Abien ke dalam senarai hitam bagi membolehkan polis membuat tangkapan sekiranya ditemui berikutan Audrey sendiri gagal menemui lelaki dan anaknya itu.


Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif, semalam, peguam syarie Dorina Abdullah yang mewakili Audrey Amira memohon anak guamnya diberi peluang berjumpa dengan Alya secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa.


Hakim Syarie Mohd Radzi memberi peluang kepada Audrey Amira berjumpa dengan Alya selama dua jam dan menasihati Abien bersikap budiman dan adil bagi membolehkan pertemuan dua beranak itu berjalan lancar.


“Bapa mana tidak sayang anak, tetapi dia ibu yang mengandung dan melahirkan anak itu. Berilah peluang kepada ibu seminggu atau dua, kamu boleh pergi sendiri ke rumah Audrey Amira dan lihat sendiri jika benar dia ada cubaan merosakkan akidah anak itu, kemukakan bukti kepada mahkamah.


“Syurga anak di bawah tapak kaki ibu. Berbaik sangka dan berilah kesempatan kepada mereka berdua. Kamu jangan kacau pula pertemuan mereka,”
katanya.


Sementara itu, peguam syarie Mohd Nor Md Din yang mewakili Abien memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan Syariah mengeluarkan perintah bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, terkhilaf dalam keputusan menyerahkan hak jagaan anak kepada Audrey Amira.

Mohd Nor berkata, pihaknya sebelum ini mengemukakan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengeluarkan hak jagaan anak diberikan kepada Audrey Amira.

Kes hak jagaan anak itu diteruskan melalui Majlis Sulh. Bagaimanapun, jika tidak dapat sebarang penyelesaian, perbicaraan akan dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rinduterubat/Article

Lima pelatih dijangkiti H1N1


Kem Sri Ledang, Tangkak yang menempatkan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara.


LEDANG – Seramai 410 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditempatkan di Kem Sri Ledang di sini kecoh apabila lima rakan mereka disahkan menghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) manakala 60 yang lain menghidap penyakit serupa influenza (ILI) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr. Robia Kosai berkata, lima pelatih yang positif H1N1 itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.

“Secara keseluruhan jumlah pelatih yang terjejas merangkumi 44 lelaki dan 21 perempuan. Empat daripada mereka telah pun diasingkan di dalam sebuah bangunan di kem tersebut.

“Kesemua mangsa juga telah diberikan rawatan antiviral. Kami juga giat memantau tahap kesihatan 60 pelatih lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Lelaki bantai isteri hamil

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
2010/05/22

ALOR SETAR: Sungguh kejam apabila seorang anggota polis naik minyak dan membelasah isterinya yang sarat mengandung dipercayai tujuh bulan dalam kejadian di kedai makan di Simpang Empat, di sini, Isnin lalu.

Difahamkan wanita berusia 26 tahun itu juga anggota polis cedera teruk selepas dipukul suaminya berusia 20-an. Kejadian berlaku selepas wanita berkenaan berang melihat suaminya berjalan dengan wanita lain.


Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dipercayai beberapa bulan tinggal berasingan kerana kerana masalah rumah tangga mereka.


Katanya, mangsa terserempak dengan suaminya bersama wanita lain di kedai makan di Simpang Empat, lalu berlaku pergaduhan di situ yang disaksikan orang ramai.


“Wanita itu yang berang, bertanya kepada suaminya mengenai status mereka menyebabkan lelaki terbabit naik angin lalu membelasahnya.


“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana bimbang kandungannya terjejas,”
katanya.


Menurut sumber itu, anggota polis berkenaan bertugas di unit pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.


Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di muka, tangan dan kaki manakala seluar mangsa juga terkoyak di bahagian lutut dipercayai terjatuh ketika bergaduh.


“Mangsa yang tidak tahan dengan tindakan kejam suaminya itu membuat pemeriksaan di HSB bagi memastikan keadaannya selamat.

“Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar selepas kejadian,” kata sumber berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan mangsa membuat laporan pada 17 Mei lalu.


Semalam, akhbar ini melaporkan seorang isteri yang masih berpantang selepas melahirkan anak ketiga, cedera teruk di muka, telinga, belakang badan dan kaki akibat dibelasah suaminya, seorang anggota bomba di Pulau Pinang.


Mangsa, Che Azaini Suyana Hassan, 31, yang juga seorang jururawat turut pengsan sejam di balai bomba berkenaan selepas ditendang suaminya yang berusia 30 tahun.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakibantaiisterihamil/Article

Disisih keluarga

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/05/22

MASJID TANAH: Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Apit, Ayer Limau, dekat sini, yang tidak dikurniakan cahaya mata terpaksa membuat kerja kampung dan mengambil tempahan daripada rakan terdekat bagi meneruskan kehidupan.

Disebabkan kedaifan mereka, Agus Patangga, 50, dan Rohani Abd Latif, 49, terpaksa menjalani kehidupan berdua sendirian kerana kurang mendapat perhatian daripada masyarakat setempat dan lebih malang apabila turut disisihkan keluarga mereka.


Lebih menyayat hati, isterinya pula lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar empat tahun lalu dan tidak mampu membuat kerja rumah dan terlantar sejak kejadian itu tanpa dapat membuat apa-apa untuk membantu suaminya mencari rezeki seperti sebelum ini.


Agus berkata, sejak isterinya diserang angin ahmar, dia terpaksa membuat kerja di kawasan berdekatan kerana tidak sanggup meninggalkan isterinya berjauhan berikutan bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.


“Keluarga sebelah isteri tidak berapa suka dengan saya kerana saya warga Indonesia yang memegang taraf penduduk tetap (PR) termasuk memandang hina kepada kami terutama sejak isteri menderita akibat angin ahmar, mereka seolah-olah menjauhkan diri.


“Saya rasa terkilan sebab keadaan isteri sebegini masih tidak mendapat perhatian daripada masyarakat, malah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun saya usaha sendiri.


“Pada tahun lalu, wakil rakyat ada juga datang bagi duit raya, tetapi pemimpin tempatan tidak pernah datang pun, malah bila ada mesyuarat dekat balai raya depan rumah saya pun mereka tidak singgah, saya bukan nak duit mereka tetapi cukup sekadar perhatian,” katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, pihak berkaitan pernah menyalurkan bantuan kerusi roda kepada isterinya untuk digunakan selagi ada hayat, tetapi mereka meminta ia dipulangkan apabila tidak digunakan.


Katanya, dia dan isterinya tidak kisah dengan tanggapan orang ramai kerana mereka beranggapan perlu tabah melalui pelbagai dugaan termasuk hinaan mahupun cercaan dengan pendapatan bulanan sekadar RM350.

“Apa yang saya lakukan dengan pendapatan tidak menentu adalah demi mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan kami berdua setiap hari walaupun bantuan yang diterima JKM Daerah setiap bulan masih tidak mencukupi.


“Saya bersyukur dengan bantuan sara hidup diberikan oleh JKM sebanyak RM190 sebulan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disisihkeluarga/Article

Remaja lari rumah dirogol kekasih

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/05/22

KUALA LUMPUR: Pengorbanan cinta seorang gadis berusia 15 tahun yang sanggup menempuh perjalanan dari utara tanah air hingga ke ibu kota untuk menemui kekasih hati bertukar menjadi satu mimpi ngeri buat dirinya apabila dia dijadikan mangsa pemuas nafsu teman lelakinya itu.

Malah, perbuatan keji terbabit turut dirakam teman lelakinya itu sebelum dia mengugut akan mengedarkan gambar bogel berkenaan membuatkan mangsa mula gelisah.


Bagaimanapun, mangsa yang tidak keruan itu akhirnya cuba melarikan diri sebelum ditemui anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan Ulu Klang, Ampang sebelum pemeriksaan mendapati dia pernah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Perlis sejak tiga bulan lalu.


Menurut sumber, selepas siasatan dilakukan, gadis berkenaan mendakwa sepanjang tempoh dia menghilangkan diri itu, dia sebenarnya mengikut teman lelakinya itu.


“Gadis berkenaan turut memberitahu yang sepanjang tempoh itu, dia menjadi mangsa pemuas nafsu lelaki berkenaan dan akhirnya mula menyesali perbuatan itu.

“Difahamkan, dia akhirnya mula jemu hidup bergelumang dengan maksiat sebelum mengambil tindakan nekad melarikan diri,” katanya.


Menurut sumber terbabit, gadis itu turut bimbang apabila cubaan dia melarikan diri daripada kekasihnya itu disusuli dengan satu ugutan lelaki berkenaan yang mahu mengedarkan gambar bogel dan juga aksi ghairah mereka berdua di ranjang.


“Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengakui yang dia sebenarnya melakukan seks dengan teman lelakinya puluhan kali sepanjang mereka tinggal bersama di sebuah rumah di Balakong, Kajang.


“Remaja terbabit turut mendakwa, dia sebenarnya sudah jemu dengan kehidupan sebegitu, namun tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada kongkongan teman lelakinya itu,”
katanya.

Beliau berkata, selain takut melarikan diri daripada teman lelakinya, dia juga bimbang kerana lelaki berkenaan mengugut akan menyebarkan rakaman aksi ghairah mereka yang dirakam melalui telefon bimbit.


“Dia kemudian mula kehilangan arah dan fikirannya mula bercelaru sebelum nekad melarikan diri dan ditemui di tepi jalan di kawasan Ulu Klang, kelmarin.


“Mangsa akhirnya dibawa menjalani pemeriksaan dan dia turut membuat satu laporan berhubung kejadian itu,”
katanya.


Sumber terbabit berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, polis menahan seorang lelaki berusia awal 20-an bagi membantu siasatan.

“Lelaki terbabit yang juga anak kepada seorang anggota polis ditahan di rumahnya di Ampang sejurus mangsa membuat laporan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajalarirumahdirogolkekasih/Article

Ketagih ganti isteri

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
2010/05/22

KUALA TERENGGANU: Dia bukan saja kemaruk berpoligami hingga memiliki 27 anak hasil 11 perkahwinan, malah turut mengamalkan amalan jijik dengan memaksa isteri minum air kencingnya supaya menuruti segala perintahnya, selain amalan menjadikan anak dara sebagai koleksi terbaru teman hidupnya.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 52 tahun yang didakwa memiliki ilmu memikat wanita itu turut bersikap pelik apabila kerap bertukar isteri ketiga dan keempat seperti menukar baju, malah ada antara mereka hanya seminggu bergelar isteri sebelum diceraikan.


Poligami pelik lelaki itu dibongkar bekas isteri keempat lelaki terbabit yang berpisah pada 2005 lalu selepas bergelar isteri tiga tahun.


“Saya berpisah dengannya hanya kerana kesalahan kecil, tetapi tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana bagaikan terlepas mulut buaya.


“Saya akui sejak bersamanya tiga tahun, zahir dan batin saya terseksa selain didera kerana kesalahan kecil,”
katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Su berusia 27 tahun.


Dia berkata, selama bersama lelaki terbabit, dia bagaikan dipukau kerana tidak berdaya melawan, menegah atau menegur perlakuan dan perangai bekas suaminya termasuk membawa balik wanita lain ke rumah. Katanya, keadaan itu bukan hanya dia mengalaminya, malah tiga madunya turut berdepan keadaan sama.


“Lebih baik bergelar janda daripada terseksa hidup bersama dia,” katanya.


Su yang kini hidup bahagia bersama suami baru mendakwa selain memiliki ilmu memikat wanita, lelaki terbabit mengamalkan amalan jijik apabila memaksa wanita dikahwininya meminum air kencingnya.


“Dia meminta saya melakukan seks oral dan pada masa sama memaksa saya menelan air kencingnya. Selepas berbuat demikian saya seperti dipukau serta apa saja dilakukannya tanpa sebarang bantahan walaupun ada kalanya timbul perasaan marah dan tidak puas hati dengan setiap perbuatannya,” katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan lelaki terbabit, Su berkata, dia mula jatuh cinta dan sukar melupakan lelaki terbabit selepas dihembus asap rokok ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Berang pada 2003.


“Ibu bapa saya sudah lama mengenali dia dan setiap kali berkunjung ke rumah, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya, namun saya menolak kerana tidak pernah menyintainya yang ketika itu memiliki tiga isteri.


“Walaupun tahu saya tidak sukakannya, namun dia tetap berusaha dan tidak putus asa memujuk dengan apa cara termasuk menggunakan ilmu memikat wanita menggunakan asap rokok,” katanya.


Menurut Su, dia masih ingat apabila lelaki terbabit mengarahkan dia duduk berlawanan angin ketika bersembang di beranda rumah sebelum menghembuskan asap rokok ke arahnya sambil membaca mantera dipercayai ayat memikat wanita.

Katanya, walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu, namun dia tidak berdaya menolak setiap arahan lelaki terbabit dan menurut apa saja bagaikan dirinya dipukau.


“Selepas terkena hembusan rokok lelaki terbabit, saya menjadi resah dan tidak senang duduk seolah-olah angau apabila tidak dapat melupakan lelaki terbabit sebelum bersetuju menerima lamarannya tiga hari kemudian,” katanya.


Dia berkata, selepas bergelar isteri lelaki terbabit, kehidupannya berubah apatah lagi tinggal berhampiran tiga madunya di sebuah kampung di pinggir bandar raya ini.


Katanya, selepas tiga hari bergelar isteri, dia terkejut dan mengesyaki lelaki terbabit mengamalkan ilmu salah apabila memaksa dia menelan air kencing ketika melakukan seks.


Menurutnya, selain amalan itu, tindakan lelaki terbabit mengadakan hubungan kelamin hanya di rumah isteri ketiga juga dirasakan pelik, malah lebih membingungkan dirinya apabila semua isteri dikehendaki berkumpul di rumah berkenaan sebelum melakukan seks.


“Ketika berkumpul, dia akan memilih seorang isteri yang dia suka untuk melakukan persetubuhan dan bukan mengikut giliran,” katanya.


Menurut Su, selepas berkahwin baru dan memiliki dua anak, dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih aman dan bahagia bersama suami yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga selain menyayanginya sepenuh hati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketagihgantiisteri/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...