Showing posts with label LPKP. Show all posts
Showing posts with label LPKP. Show all posts

Monday, May 11, 2009

LPKP buru drebar teksi perogol

KUALA LUMPUR: “Siasatan kes itu sedang dijalankan dan kami akan mengesan pemandu teksi terbabit, sekali gus menamatkan perkhidmatannya secara serta-merta,” kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.

Beliau mengulas kes seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa dirogol pemandu teksi walaupun hanya mahu ke SS15 dari SS14, Subang Jaya, dalam satu kejadian minggu lalu.

Mangsa dibawa pemandu terbabit di sekitar Subang Jaya serta Shah Alam sebelum berhenti di Kelana Jaya dan diarah menanggalkan pakaian.

Remaja malang itu yang ketakutan cuba menawarkan wang dan telefon bimbit namun suspek bertindak menampar mangsa sebelum merogolnya.

Suspek kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan laporan perubatan mengesahkan remaja itu dirogol dan mangsa hanya mengingati kedua-dua lengan suspek mempunyai tatu kala jengking.

Markiman berkata, dia amat terkejut berikutan kes rogol itu kali pertama berlaku pada waktu siang iaitu sekitar jam tiga petang dan rata-rata kes membabitkan pemandu teksi berlaku pada waktu malam.

“Perkara ini membimbangkan LPKP kerana orang awam mula memberi persepsi negatif terhadap pemandu teksi yang kerap dikaitkan kegiatan jenayah.

“Berikutan itu, bagi memudahkan siasatan dan tindakan dilakukan, saya meminta penumpang mencatatkan nombor pendaftaran teksi dinaiki sekiranya berasa curiga dengan pemandu terbabit,”
katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa membuat laporan sekiranya melihat teksi rakan mereka bukan dipandu pemilik sebenarnya.

Wednesday, January 14, 2009

Bukan jaga sebelah pihak


Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Tindakan Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) yang membuat pelbagai tuntutan dan yang terbaru mengugut untuk menghentikan perkhidmatan menghairankan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Ini kerana, perkara berkenaan dibangkitkan sebaik sesi persekolahan 2009 mula dibuka dan tuntutan itu bukan dibuat sejak harga diesel dan petrol diumumkan tahun lalu.

Menurut Pengarah LPKP, Naimah Ramli, tindakan PPBSSM mengenakan surcaj 30 peratus dan mengugut untuk menghentikan perkhidmatan selama dua minggu kerana tuntutan mereka untuk mendapatkan subsidi diesel mengundang rasa hairan.

“Kenapa baru sekarang mereka membuat pelbagai tuntutan? Harga petrol dan diesel diumumkan tahun lalu, tetapi kenapa mereka tidak membuat tuntutan sejak harga baru itu diumumkan?” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan PPBSSM membekukan perkhidmatan selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi kerajaan.

Tindakan itu dibuat bagi membuka mata LPKP untuk menilai serta menimbang semula memorandum berhubung cadangan kenaikan kadar tambang serta penambahan subsidi diesel serta pengurangan harga diesel kepada RM1 seliter.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan pembekuan perkhidmatan belum ditetapkan.

Menurutnya, tindakan PPBSSM itu juga seolah-olah mencabar LPKP sedangkan kenyataan mengenai kajian kadar tambang baru sedang dijalankan.

“Kami sudah banyak kali maklumkan kadar tambang baru sedang dikaji. Banyak perkara perlu diambil kira dan kami tidak akan membuat keputusan yang menguntungkan sebelah pihak,” katanya.

Naimah berkata, LPKP bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan pengguna iaitu ibu bapa kerana setiap pengumuman yang dibuat akan memberi kesan secara langsung kepada ibu bapa.

“Kami tidak boleh fikirkan sebelah pihak saja. Ibu bapa yang mengeluarkan belanja untuk membayar yuran bulanan perkhidmatan bas sekolah dan kami akan membuat keputusan adil untuk semua pihak.

“Jika hanya seorang anak saja yang bersekolah, ia mungkin tidak menjadi masalah, tapi bagaimana dengan ibu bapa yang mempunyai empat anak bersekolah dan semuanya menggunakan perkhidmatan bas sekolah,”
katanya.

Menurut Naimah, tindakan mereka mengugut untuk membekukan perkhidmatan selama dua minggu menunjukkan mereka seolah-olah tidak berminat meneruskan tugas sebagai pemandu dan pengusaha bas sekolah.

“Jika, mereka tidak berminat, ia tidak menjadi masalah kepada kami. Tetapi, akan menjadi masalah kepada mereka sendiri kerana hilang mata pencarian,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan melaporkan kepada LPKP sekiranya mereka menjadi mangsa pengusaha bas sekolah.

Aduan boleh dibuat melalui talian 1-800-88-9600 atau menerusi khidmat pesanan ringkas ke 39900 atau e-mel ke aduanlpkp@mecd.gov.my.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113090033/Article/index_html

Tuesday, January 13, 2009

Pemilik bas dah kaya?


Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - "Jika mereka betul-betul nak bekukan perkhidmatan bas sekolah selama dua minggu, ini menunjukkan mereka sudah banyak duit dan tidak mahu menjalankan perniagaan lagi."

Demikian sindiran Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran yang menyelar cadangan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) untuk membekukan perkhidmatan mereka selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi.

Menurut beliau, jika pengusaha bas terbabit bertindak demikian, ini bermakna mereka bukan dalam keadaan susah seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Buat masa ini, katanya, kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenai kenaikan surcaj atau pemberian subsidi minyak kepada pengusaha bas sekolah.

"Jangan buat ugutan sebegini, sabar dan tunggu keputusan kerajaan dan peliknya mengapa mereka sahaja yang bising... tak payahlah nak ugut-ugut begini, kerajaan kita prihatin," kata Markiman ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...