Wednesday, June 24, 2009

Fareez wakil diri sendiri

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penyanyi era 80-an, Fareez akan mewakili dirinya sendiri bagi menyoal balas bekas isteri, penyanyi lagu etnik kreatif, Noraniza Idris dalam prosiding sambung bicara berhubung harta sepencarian pada 11 Ogos depan.

Ia berikutan Fareez atau Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin, 40, (defendan) tidak diwakili mana-mana peguam dan dia diberi peluang menyoal Noraniza berhubung permohonan dan keterangan dikemukakan Noraniza sebelum ini.

Terdahulu, Fareez memohon penangguhan bagi membolehkan dia mengkaji dokumen dan keterangan dalam kes itu selepas peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman selesai menyoal anak guamnya.

Hakim Mohamad Shakir Abdul Hamid menetapkan dua hari iaitu 11 dan 12 Ogos ini untuk sambung bicara.

Noraniza dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, mengemukakan tiga dokumen sebagai bukti iaitu, sijil perceraian, surat ditulis Fareez berhubung harta sepencarian, serta perjanjian jual beli kedai di Seksyen 6, Wangsa Maju.

ZURI: Rujuk kepada perjanjian jual beli kedai ini. Bagaimana ia berada dengan kamu dan kenapa tarikh jualannya berbeza iaitu 17 Mei 2006 sedangkan dalam keterangan sebelum ini kamu hanya mengetahui kedai itu sudah dijual akhir tahun lalu?

NORANIZA: Saya dapat salinan jual beli ini melalui rakan defendan manakala yang asal ada dalam simpanan defendan.

Dokumen ini adalah lampiran yang saya gunakan ketika terdapat masalah bayaran tunggakan untuk pengurusan Taman Mini Malaysia.

Ia sebagai bukti kepada Taman Mini Malaysia bahawa saya akan dapat membayar balik segala hutang membabitkan kerajaan Melaka. Saya berbincang dengan defendan dan dia kata akan jual kedai itu dan serahkan separuh untuk selesaikan tunggakan termasuk ringankan beban kerana Syarikat Gerak Budaya Sdn Bhd yang menguruskan Taman Mini Malaysia, 90 peratus atas nama saya manakala defendan pula menguruskan taman rekreasi.

ZURI: Walaupun dokumen ini diberi kepada kamu tetapi kamu tidak pasti sama ada kedai itu benar-benar dijual pada 17 Mei 2006?

NORANIZA: Ya. Hanya selepas saya dapatkan kepastian daripada anak sulung saya akhir tahun lalu, baru permohonan harta sepencarian ini difailkan.

Mengikut penyata tuntutan, sepanjang perkahwinan itu, Noraniza dan Fareez mempunyai dua hartanah bersama iaitu bangunan kedai dan rumah di Wangsa Maju.

Pada 13 April 2006, Fareez didakwa bersetuju menyerahkan 50 peratus hasil penjualan kedai itu, bagaimanapun defendan gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Berdasarkan penyata tuntutan itu lagi, rumah berkenaan didaftar atas nama defendan, bagaimanapun plaintif mendakwa rumah itu dibeli ketika mereka masih bersama dan Fareez tidak memberikan sebarang komitmen.

Noraniza mendakwa dia mempunyai milikan 50 peratus terhadap rumah itu dan memberi sumbangan langsung atau secara tidak langsung ke atas pembelian, perbelanjaan dan penyelenggaraan rumah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624064237/Article/index_html

200,000 diberi suntikan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: SERAMAI 200,000 petugas di barisan depan sudah diberikan suntikan vaksin selesema bermusim (seasonal flu) dua tahun berturut-turut sejak 2007.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata dalam pelan kebangsaan iaitu “National Influenza Preparedness Pandemic Plan 2006” dianggarkan 200,000 petugas barisan hadapan dijangka terbabit menangani wabak pandemik influenza.

Menurutnya, petugas berkenaan adalah kakitangan kerajaan termasuk anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen.

“Vaksin bagi Influenza A (H1N1) belum dapat dihasilkan lagi. Pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama dengan syarikat utama pembuat vaksin dunia sedang berusaha menghasilkan vaksin influenza A (HIN1) untuk digunakan sebagai pencegahan jangkitan influenza.

Virus Infleunza A (H1N1) satu virus baru dan sebagaimana yang dimaklumkan WHO, masa diperlukan bagi menghasilkan vaksin itu mengambil tempoh di antara tiga hingga enam bulan.

“Vaksin ini dijangka dapat disediakan sebelum penghujung tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen itu mahu mendapatkan penjelasan mengenai jumlah kakitangan kerajaan termasuk polis dan tentera yang menerima suntikan vaksin bagi menentang Influenza A (H1N1).

Mengulas lanjut, Liow berkata, setiap tahun bermula 2007, petugas barisan depan itu sudah diberikan pelalian vaksin selesema bermusim.

Menurutnya, pelaksanaan program pelalian ini selama dua tahun berturut-turut mendapati kakitangan kategori ini hanya dalam lingkungan 200,000 orang saja.

“Sehubungan itu, pada awal Mei tahun ini, sejumlah 200,000 dos vaksin influenza sudah dibekalkan kepada semua negeri untuk disuntik kepada petugas yang sudah dikenali pasti.

“Vaksin selesema bermusim mengandungi komponen dari virus Influenza A (H3N2), Influenza A (H1N1) dan Influenza B.

“Jenis virus ini ditentukan WHO bagi membantu virus influenza persekitaran seterusnya WHO akan menyarankan jenis virus perlu dimasuk ke dalam vaksin selesema bermusim ini,”
katanya.

Selain itu, katanya, vaksin selesema bermusim ini hanya berkesan terhadap virus influenza sedia ada di persekitaran.

Menurutnya, ia tidak berkesan untuk melindungi individu dari jangkitan virus Influeza A (H1N1) baru yang menyebabkan wabak seluruh dunia sekarang ini.

“Ini kerana virus itu adalah ‘strain’ baru dari virus influenza yang biasa, bagaimanapun, pelalian akan mengurangkan risiko individu daripada menjadi tempat virus influenza bermutasi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624064354/Article/index_html

Datuk pilihan Umie

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pengarah, Fatimah Rahmat atau Erma Fatima mengesahkan adiknya juga pelakon Umie Aida dirisik lelaki bergelar Datuk, sudah hampir 15 tahun menduda dan mempunyai dua cahaya mata.

Erma sewaktu dihubungi di sini semalam, turut mengakui majlis risik hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang.

“Ingin saya tegaskan di sini majlis diadakan hanyalah adat merisik dan ia tidak perlulah diperbesar-besarkan. Mereka belum lagi bernikah.

“Saya sendiri tidak percaya dengan risik dan pertunangan. Lainlah sekiranya yang diadakan ini majlis pernikahan,”
katanya.

Jelasnya, majlis merisik hanya membabitkan pihak keluarga sebelah lelaki yang bertanyakan sama ada Umie sudah berpunya atau tidak dan tidak lebih daripada itu.

Ia bermakna apa yang dilakukan ini (merisik) belum ada pengesahannya.

“Saya berkata begini kerana saya kenal benar dengan Umie. Dia tidak boleh ada timbul perkara kurang menyenangkan dirinya (sepanjang tempoh merisik).

“Perkara ini turut saya perjelaskan kepada keluarga pihak lelaki. Penjelasan itu harus dibuat kerana tidak mahu mereka meletak harapan tinggi selepas mengikat Umie dengan majlis risik yang diadakan.


“Saya bukan mendoakan perkara tidak baik, sebaliknya mahu ia dijadikan peringatan agar kedua-dua belah pihak faham bahawa majlis yang diadakan itu bukan bermakna ikatan dijalin sudah kuat,” katanya.

Bagaimanapun, Erma akui perkenalan Umie dan lelaki bergelar Datuk itu berlaku dalam masa singkat, apatah lagi pengarah filem Embun itu pernah berurusan membabitkan perniagaan dengan lelaki terbabit.

Tambah Erma yang mewakili keluarganya, apa yang dikatakan ini tidak bermaksud dia takut atau gembira dengan majlis yang sudah dilangsungkan.

“Sudah menjadi adat dalam keluarga, sekiranya seorang daripada kami sudah mahu berkahwin dengan lelaki pilihan, kalau kami tidak suka sekalipun, kami tetap akan menerimanya.

“Bagi kami yang mahu berkahwin dan membina hidup berumah tangga adalah mereka. Melayari hidup bersama dianggap peribadi. Jadi mereka harus bijak untuk menangani masa depan bakal dijalani,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624065408/Article/index_html

Pelajar ketua geng pencuri

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my


DUNGUN: Walaupun baru berusia 14 tahun, dia sudah mampu memiliki kumpulan sendiri untuk melakukan jenayah, terutama kegiatan pecah rumah di sekitar bandar ini.

Penjenayah muda itu dikatakan melakukan kegiatan berkenaan bersama beberapa rakan sebaya ketika pelajar lain berada dalam kelas masing-masing.

Kegiatan dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan guru dan keluarga menjadikan kehidupan mereka mewah dan sering menghabiskan masa dengan permainan video di pusat siber.

Bagaimanapun, kelicikan kumpulan berkenaan berakhir apabila ditahan ketika tidur di rumah keluarga remaja terbabit di Kampung Anak, Balai Besar di sini, awal pagi semalam.

Suspek, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun diketuai Inspektor Mohd Nor Ariedzuan Ariffin, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata serbuan dibuat berdasarkan maklumat siasatan selepas menerima laporan pecah rumah daripada seorang guru yang kerugian barangan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM500, Khamis lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan, pihaknya tidak menghadapi masalah menahan remaja terbabit berikutan mendapat kerjasama keluarganya yang terkejut selepas dimaklumkan pembabitannya dengan jenayah.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala seorang daripada rakannya dipercayai sudah melarikan diri ke Kuala Lumpur, manakala dua lagi dijangka ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, polis merampas kamera digital, kamera video dan barangan kemas daripada suspek dipercayai milik guru terbabit.

Katanya, kamera digital dan kamera video disembunyikan dalam bilik tidurnya manakala anting-anting, gelang, cincin dan kad memori yang diletakkan dalam sebuah beg sekolah biru disembunyikan dalam belukar berhampiran rumah.

Siasatan awal polis mendapati, kumpulan itu dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian pecah rumah bersiri sekitar bandar ini termasuk kes yang berlaku di Kampung Balai Besar.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624065505/Article/index_html


Pengawal nodai anak tiri ditahan

KLANG: Manusia bertopengkan iblis. Mungkin itu yang dapat digambarkan terhadap seorang lelaki yang tergamak menodai anak tirinya berusia 11 tahun sejak pertengahan tahun lalu sebelum perkara berkenaan terbongkar apabila mangsa menceritakannya kepada emak saudaranya, Sabtu lalu.

Mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik dipercayai dipaksa melakukan hubungan seks termasuk seks oral ketika ketiadaan ibunya di rumah mereka di Pandamaran di sini dan kejadian pertama dipercayai berlaku antara Mei hingga Jun tahun lalu.

Difahamkan mangsa yang juga pelajar tahun lima sebuah sekolah di sini pada mulanya dipaksa supaya melakukan seks oral sebelum dirogol.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, selepas kejadian pertama, mangsa dipaksa sekali lagi melakukan seks oral dan kejadian itu dipercayai dilakukan di dapur.

“Bagaimanapun kira-kira jam 7.30 pagi Sabtu lalu, mangsa yang tidak tahan dengan perangai buas bapa tirinya lari dari rumah dan ke rumah emak saudaranya di Pelabuhan Klang sebelum menceritakan perangai buruk bapa tirinya.

“Terkejut dengan kejadian itu emak saudara mangsa membawanya ke balai polis Pandamaran untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang menahan seorang lelaki berusia 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Dia direman lima hari bermula tarikh tangkapan sehingga esok dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 dan 377C Kanun Keseksaan,” katanya.

Janji Wali Kutub

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 15 peniaga yang terpedaya dengan satu tabung dinamakan Dana Muslim kononnya bernilai AS$84 bilion (RM294 bilion) sanggup melabur antara RM32,000 hingga RM1 juta dengan harapan mendapat pulangan lumayan jutaan ringgit.

Namun, nasib mereka ibarat peribahasa ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ apabila dana yang diuar-uarkan seorang wanita dan rakan kongsi lelaki yang dikenali sebagai Wali Kutub hanya rekaannya semata-mata.

Sehingga kini, wanita terbabit yang dikenali sebagai Siti berusia 51 tahun sudah mengaut lebih RM5 juta daripada peniaga berkenaan dari seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Mangsa mengenali wanita terbabit melalui rangkaian perniagaan yang dijalankannya, termasuk menjual mutiara yang didakwa diimport dari Filipina selain produk kesihatan.

Ketika berurusan dengan peniaga berkenaan, Wali Kutub yang mendakwa kerabat diraja Jordan menawarkan pelaburan dalam Dana Muslim yang mempunyai wang berjumlah RM294 bilion dalam akaun di luar negara.

Bagaimanapun, dana itu didakwa tidak boleh dikeluarkan begitu saja kecuali membayar ‘wang kopi’ atau sogokan kepada pemimpin negara luar dan pegawai kanan kerajaan tertentu yang kononnya mempunyai kuasa berbuat demikian.

Jumlah ‘wang kopi’ yang perlu dibayar adalah tinggi kerana dana itu besar jumlahnya, tetapi boleh dibayar ansuran selama beberapa bulan.

Sebaik pembayaran sogokan itu selesai, peniaga terbabit boleh memiliki wang berkenaan yang akan diagihkan mengikut jumlah pelaburan.

Maklumat mengenai kegiatan wanita dan rakan kongsinya itu didedahkan apabila lima mangsa tampil ke pejabat Harian Metro di sini semalam dengan membawa laporan polis masing-masing.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Karim, 31, berkata dia dan empat mangsa lain mula menyertai program pelaburan dana itu selepas diperkenalkan seorang rakan yang juga ahli perniagaan.

“Kami berjumpa Siti dan Wali Kutub pertengahan tahun lalu. Mereka bijak berkata-kata hingga dapat mempengaruhi kami dengan janji-janji manis.

“Mereka mendakwa Dana Muslim itu bernilai AS$84 bilion dalam satu akaun di luar negara. Sekiranya mahu mengeluarkan wang terbabit, kami diminta membuat pelaburan dengan menyogok pemimpin negara luar dan pegawai kanan kerajaan tertentu,”
katanya yang mengalami kerugian hampir RM1 juta.

Bagi memudahkan pembayaran itu, kata Karim, mereka perlu memasukkan sejumlah wang secara berperingkat dalam akaun bank setiap minggu atau bulan seperti diarahkan Siti.

Mangsa membuat pelaburan itu tanpa mengira tempoh kerana didakwa semakin banyak pelaburan dibuat semakin besar jumlah wang daripada dana terbabit diperoleh.

“Semua wang dikreditkan dalam akaun milik anak perempuan Siti dan sehingga kini tidak diketahui ke mana wang itu dilaburkan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hakim, 40, berkata dia sudah melabur hampir RM1 juta sejak lapan bulan lalu, tetapi sehingga kini, jumlah dana yang dijanjikan masih gagal diperoleh.

Katanya, kali terakhir dia membuat pembayaran berjumlah RM90,000 pada minggu lalu.

“Jumlah itu didakwa perlu dibayar segera kononnya untuk membolehkan dana berkenaan yang sudah berada dalam akaun di negara ini boleh dikeluarkan.

“Bagaimanapun, dana yang dijanjikan belum diperoleh hingga kini. Saya dan rakan lain yang tertipu membuat laporan polis,”
katanya.

Wanita mengaku ada 5 suami


GAMBAR menunjukkan Emily berkahwin dengan Barret pada 2000.






MANCHESTER - Seorang bekas model yang mendedahkan payu dara, Emily Horne (gambar kecil) mengaku bersalah di sebuah mahkamah kerana melakukan bigami, lapor sebuah akhbar semalam.

Emily yang pernah muncul dalam filem lucah bajet rendah mengaku berkahwin dengan lima lelaki di sebuah mahkamah di sini kelmarin.

Dia kini akan dihukum penjara kerana kesalahan itu pada 27 Julai depan.

Emily yang kini berumur 31 tahun berkahwin buat pertama kali pada 1996 dengan seorang askar, Paul Rigby.

Namun, apabila Rigby pulang daripada berkhidmat di luar negara selama lima bulan, dia mendapati isterinya itu menjalin hubungan dengan seorang ahli perbankan, Sean Cunningham.

Emily berkahwin dengan Sean di Leeds pada 1999 dan meninggalkannya sebelum mendirikan rumah tangga dengan Simon Thorpe tanpa bercerai dengan dua lagi suaminya.

Suami keempatnya ialah Chris Barret yang dikahwininya pada 2000 sebelum meninggalkannya dan berkahwin dengan Ashley Baker.

Dalam perbicaraan itu, Emily menyatakan perasaan kesal kerana melukakan hati semua suaminya selain mendedahkan dia sedang menerima rawatan kerana menghadapi penyakit kemurungan manik. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Wajah hilang akibat penyakit aneh


TUMINI menutup wajahnya dengan kain.



GAMBAR menunjukkan wajah Tumini berlubang di bahagian tengah kepalanya.


MADIUN - Tumini iaitu seorang wanita yang tinggal di Desa Nglanduk, Kecamatan Wungu, Kabupaten Madiun, Jatim di Indonesia menghidap penyakit aneh apabila lubang sedalam 10 sentimeter terbentuk di bahagian tengah kepalanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Suami Tumini, Marto menyatakan kedua-dua mata isterinya, hidung, dan bibir hilang manakala dagu serta keningnya sahaja yang masih ada.

"Selama bertahun-tahun, penyakit tersebut terus mengganas di bahagian wajah isteri saya. Dia tidak dapat melihat kerana tidak ada mata," kata Marto.

Dia berkata, isterinya tidak dapat bercakap kerana dia tidak mempunyai bibir kerana lubang itu selebar 10 hingga 15 sentimeter.

Marto berkata, penyakit itu dihidapi oleh isterinya hampir 30 tahun lalu dan mula dikesan ketika dia berumur 20-an.

Penyakit itu bermula dengan bintil berupa jerawat di hidung sebelum membesar dan gatal, jelas suaminya.

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan di hospital, doktor menyatakan penyakit itu ialah sejenis kanser tetapi dia tidak mempunyai wang untuk membiayai rawatannya.

"Kini, ubat untuk isteri saya hanya ramuan yang dibuat sendiri daripada bahan utama tembakau untuk mengusir lalat yang kerap mengerumuni," katanya.

Seorang anaknya berkata, ibunya itu kerap mengurung diri dan kadang-kadang merungut kerana tidak dapat menahan sakit. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Pelanggan pelik bank 'cukai' duit simpanan - Mangsa dakwa akaun dipotong untuk bayar insurans luar negara


Fadzilah menunjukkan penyata bank berhubung potongan wang
simpanannya bagi membayar polisi insurans, di pejabat Kosmo! di Kuantan semalam.


KUANTAN - Seorang pegawai eksekutif terkejut apabila mendapati wang simpanannya di dalam akaun bank berkurangan dan mangsa mendakwa ia dipotong bagi membayar polisi insurans luar negara yang tidak pernah dipersetujui.

Fadzilah Awang Ibrahim, 40, pegawai eksekutif di sebuah kilang elektronik di Pekan mendakwa, kejadian tersebut berlaku selepas wakil syarikat insurans dan pihak bank terbabit menghubunginya dan memaklumkan bahawa beliau mempunyai bayaran tertunggak selama sebulan yang belum dibayar.

"Saya tak pernah setuju untuk menyertai sebarang polisi insurans dengan syarikat terbabit.

"Bagaimanapun kira-kira dua minggu lalu, saya terima panggilan daripada syarikat insurans itu dan bank yang memaklumkan saya sudah membuat pembayaran insurans selama dua bulan tetapi masih ada sebulan lagi tidak dibayar," ceritanya yang datang ke pejabatKosmo! di sini semalam.

Fadzilah yang juga Pengerusi Gerakan Generasi Kedua Sungai Miang, Pekan kemudian pergi ke bank berkenaan untuk memeriksa akaun simpanan miliknya lalu mendapati jumlah wang di dalam akaun itu berkurangan kerana telah dipotong.

"Saya benar-benar terkejut apabila mendapati wang saya telah dipotong oleh pihak bank terbabit tanpa kebenaran saya bagi membayar polisi insurans luar negara yang tidak pernah dipersetujui.

"Lebih mengejutkan apabila meminta penyata dari pihak bank, wang saya sebanyak RM270 dipotong sebanyak tiga kali daripada akaun pada hari yang sama iaitu 11 Jun lalu," dakwanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Rahsia doktor palsu terdedah

SHAH ALAM - Seorang bekas pembantu klinik menerima pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan dengan menyamar sebagai doktor sambilan di enam buah klinik di sini dan Bukit Sentosa sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, kegiatan wanita berusia 47 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu terbongkar apabila dia ditangkap oleh polis di sebuah klinik di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 3 Jun lepas.

Khiron Mansor bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menipu.

Dia didakwa memperdayakan seorang ketua jururawat Siti Zubaidah Baharun, 40, untuk mempercayai bahawa dia adalah seorang doktor bertauliah dan menerima bayaran upah berjumlah RM390 menerusi dua baucar bayaran bertarikh 2 September 2007 dan 31 Oktober 2007.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik Bandaran di No.7, Jalan Utas C/15C di sini di antara 2 September 2007 hingga 31 Oktober 2007.

Khiron juga didakwa memperdaya seorang pembantu klinik Noor'ashikin Mat Ali @ Taharin, 38, untuk mempercayai dia adalah seorang doktor bertauliah dengan menyerahkan satu sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) milik orang lain kepadanya dan menerima bayaran upah sebagai doktor sambilan.

Tertuduh didakwa menerima bayaran itu melalui dua baucar wang tunai bertarikh 9 Mac 2008 dan 26 Mac 2008 berjumlah RM470 di Klinik Anis di No.17, Jalan Bunga Melur 2/1, Seksyen 2 di sini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Dua lagi sekolah ditutup -Kes influenza A (H1N1) meningkat kepada 68 orang


PELAJAR SMK Damansara Utama memakai topeng mulut berikutan salah seorang pelajar sekolah tersebut telah dijangkiti virus H1N1 semalam.


PUTRAJAYA - Dua buah sekolah lagi ditutup semalam menjadikan kesemuanya empat sekolah dengan jumlah kes meningkat kepada 68 berikutan penularan tempatan influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican semalam berkata, Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka di Cheras ditutup sehingga Sabtu ini manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.


ALIMUDDIN melekatkan notis perintah tutup pada pintu kelas Tingkatan Dua Dahlia SMK Damansara Utama semalam.


Dua hari lalu, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SK Assunta 2 di Petaling Jaya ditutup seminggu kerana penularan tempatan selesema babi.

Tiga sekolah lain iaitu SMK Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan SM Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Menurut Mohd. Ismail, kes ke-62 melibatkan seorang pelajar lelaki Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka berumur 16 tahun iaitu kontak kepada kes ke-42.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...