Saturday, September 25, 2010

Dipenjara 14,400 tahun sebab rogol anak

MANILA - Seorang lelaki Filipina dihukum penjara oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini semalam sehingga 14,400 tahun kerana merogol seorang anak perempuannya hampir setiap hari selama lebih setahun.

Hakim Mahkamah Rayuan, Mario Guarina berkata, tertuduh seorang pemandu beca didakwa memperkosa mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun semasa ibunya berada Hong Kong kerana bekerja sebagai pembantu rumah.

"Inilah kes penderaan seksual terhadap seorang mangsa bawah umur yang paling teruk dalam rekod perundangan kita," kata Guarina dalam penghakimannya yang diputuskan pada awal minggu ini.

Pada mulanya, lelaki itu dihukum mati dengan cara suntikan maut namun dia bernasib baik apabila Filipina memansuhkan hukuman tersebut.

Mahkamah diberitahu, lelaki yang mempunyai tiga orang anak itu mula merogol mangsa di rumahnya selepas isterinya itu berlepas ke Hong Kong pada Januari 2001 dan kejadian tersebut berterusan selama 386 hari. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Pusat tahfiz bertegas tidak akan pindah


PUSAT Tahfiz al-Quran di Merlimau, Jasin yang menjadi pertikaian.

--------------------------------------------------------------------------------


JASIN - "Kami tidak akan berpindah dari sini selagi tiada perintah mahkamah."

Demikian tegas Pengerusi Pusat Tahfiz al-Quran As-Solihin, Yusof Mat Yatim, 64, yang enggan berganjak daripada keputusan tidak mahu berpindah daripada tanah yang diduduki sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, pusat tahfiz yang ditubuh pada 2002 itu bukan didirikan secara haram sebaliknya atas jemputan pemilik tanah.

"Kami telah melabur lebih RM50,000 mendirikan pelbagai kemudahan di pusat ini seperti asrama, surau, dewan makan dan tandas.

"Sekarang, tuan tanah sewenang-wenangnya menyuruh kami keluar tanpa memberi sebarang pampasan,"
katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan mengenai empat pelajar Pusat Tahfiz al-Quran As-Solihin, Taman Sri Merlimau, di sini yang mendakwa dikasari empat lelaki dewasa berusia 60-an ketika cuba menghalang lelaki tersebut merobohkan tandas di situ.

Empat lelaki termasuk salah seorang daripadanya dipercayai pemilik tanah datang ke pusat tahfiz itu untuk merobohkan tandas di situ.

Yusof berkata, dakwaan bahawa tandas dan asrama pusat tahfiz berkenaan termasuk dalam pelan projek perumahan juga sebenarnya hanya alasan untuk menyuruh mereka keluar.

"Kami telah pergi menyemak pelan perumahan di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mendapati hanya pagar sekolah termasuk dalam pelan," ujarnya.

Menurut Yusof, pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan enggan berpindah kecuali diperintah berbuat demikian oleh mahkamah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, pihaknya telah bertemu dengan kesemua pihak terbabit dalam insiden berkenaan termasuk pemilik tanah dan pihak pengurusan pusat tahfiz.

"Kedua-dua pihak diberi tempoh sehingga 24 Oktober depan untuk mencapai persetujuan dan diberi amaran keras supaya tidak mengambil tindakan secara sendiri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Gadis hilang dirayu pulang

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


JASIN - Sambutan Aidilfitri pada tahun ini menjadi pengalaman pahit kepada seorang ibu apabila anaknya, Nurul Dinah Jamal, 23, (gambar) menghilangkan diri pada hari raya kedua baru-baru ini.

Habsah Mohd. Diah, 54, kini diselubungi kebimbangan mengenai keselamatan anak ketiga daripada empat beradik itu sejak dia disedari tidak pulang ke rumah selepas dikatakan beraya di rumah rakan-rakannya pada 11 September lalu.

Menurut Habsah yang merupakan ibu tunggal, Nurul Dinah yang keluar kira-kira pukul 10 pagi pada hari tersebut ada memberitahu mahu berhari raya di rumah rakan-rakannya.

"Apabila dia tidak balik sehingga tengah malam, kami mula menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal kerana telefon ditutup," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pengkalan Samak, Merlimau di sini semalam.

Habsah berkata, apabila Nurul Dinah masih tidak pulang keesokan hari, dia dan anak-anaknya yang lain mencari gadis berkenaan di serata tempat termasuk di rumah saudara-mara dan kawan-kawannya serta perhentian bas Melaka Sentral malah sehingga Muar, Johor.

Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Nurul Dinah sebelum anak gadisnya itu menghilangkan diri.

"Nurul juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum melarikan diri malah kelihatan amat gembira ketika menyambut hari raya pertama," katanya.

Menurutnya, sejak itu, dia kerap menangis terkenangkan keadaan Nurul Dinah selain bimbang akan keselamatan anak gadisnya itu.

"Mak cik rayu Nurul balik ke rumah dengan segera kerana mak cik amat rindukan dia," katanya.

Berikutan kehilangan itu juga Habsah telah membuat laporan polis pada 13 September lalu dan merayu kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat tentang anaknya supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Melaka 06-2822222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Nasib malang penjamin hutang

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my


WAN HANAPI menunjukkan dokumen bank sebagai penjamin dan foto rakan sekerjanya yang didakwa menyebabkan dia diisytiharkan muflis di Kuala
Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Niat baik seorang pekerja syarikat keselamatan menjadi penjamin kepada seorang rakan sekerja yang mahu membeli sebuah kereta Proton Iswara berharga RM26,000 kira-kira 13 tahun lalu mengundang padah apabila dia kini diisytihar muflis oleh pihak bank.

Lebih teruk, wang hasil jualan rumah pusaka milik keluarganya di Setapak yang sepatutnya dibahagi sama rata dengan tujuh adik-beradik baru-baru ini turut dirampas pihak bank bagi melunaskan hutang itu yang meningkat sehingga RM70,000 selepas beberapa tahun tertunggak.

Pengawal keselamatan terbabit, Wan Hanapi Wan Salleh, 57, berkata, dia berasa terkilan kerana pihak bank tidak mengambil tindakan terhadap rakannya yang masih bekerja bagi melunaskan hutang tersebut, sebaliknya merampas wang hasil jualan rumah pusaka keluarganya.

"Saya juga mengalami masalah untuk pulang ke kampung keluarga isteri saya di Indonesia kerana dilarang keluar negara selepas diisytihar bankrap," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Wan Hanapi berkata, lebih membingungkan, dia telah memaklumkan kepada pihak bank tentang lokasi dan pekerjaan rakannya di Jerteh, Terengganu tetapi pihak bank tetap mengambil tindakan terhadapnya.

Dia yang merupakan seorang pesara tentera percaya pihak bank bertindak demikian kerana mahu mengambil jalan mudah memperoleh semula hutang kereta tersebut meskipun pembeli sebenar kereta berkenaan masih bekerja.

Jelasnya, lebih membebankan, meskipun hutang RM70,000 itu sudah dijelaskan tetapi dia masih perlu membayar RM4,000 jika mahu dilepaskan daripada pengisytiharan bankrap.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

'Saya bukan busybody'

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/09/25

HULU KLANG: Seorang saksi tegas mengatakan bahawa dia hanya mahu menegakkan kebenaran dan bukan mahu mengaibkan pelakon Norman Hakim dan Memey apabila membuat aduan mengenai pasangan itu berkhalwat kepada pejabat agama serta media.

Pereka bentuk, Mohd Yusri Abdul Khasan, 55, berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam, dalam prosiding khalwat membabitkan Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21.

Menjawab soalan Pendakwa Syarie, Mohamad Nazri Basrawi, Mohd Yusri berkata, tujuan sebenar dia berinteraksi dan memberitahu media berhubung pasangan itu didakwa selalu kelihatan bersama di premis pejabat Norman ialah untuk mengelakkan mereka diaibkan sebelum Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat sebarang tindakan.


“Apabila saya berinteraksi dengan media selepas mereka ditangkap adalah untuk menegakkan kebenaran. Saya tidak tahu perbuatan saya memberitahu media selepas prosiding bermula di mahkamah adalah salah. Tanggungjawab saya besar dan berat dalam menegakkan kebenaran. “Mereka (Norman dan Memey) tidak serik dan masih ulang perbuatan sama dan jiran marah kepada saya. Saya hubungi media, saya tidak tahu ia salah dan saya minta maaf. Apabila mereka masih ulang perbuatan sama, saya buat apa yang saya rasa sepatutnya sebagai umat Islam,” katanya.


Menurutnya, selepas melihat pasangan itu masih mengulangi perbuatan sama, dia membuat aduan kepada pejabat agama bagaimanapun kecewa apabila tidak mendapat tindak balas sepatutnya.


“Saya ada membuat tujuh hingga lapan aduan pada hari berbeza di pejabat penguat kuasa, bagaimanapun sedih kerana mereka mengatakan sibuk dengan operasi lain dan pelbagai alasan lain. Saya tidak boleh berbuat apa kerana mereka mengabaikan aduan saya.


“Saya berani mengatakan pasangan itu dan abang Norman menipu ketika memberi keterangan di mahkamah kerana saya lihat dengan mata sendiri perbuatan mereka selama setahun lapan bulan sebelum mereka ditangkap. Saya bukan ada sikap ‘busybody’ (menjaga tepi kain orang) tetapi saya perlu menjalankan tanggungjawab saya,” katanya. Menjawab soalan Mohamad Nazri, Mohd Yusri yang pejabatnya bersebelahan dengan pejabat Norman mendakwa Memey bukan pekerja di syarikat itu.


Norman Hakim dan Memey dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama dan berhadapan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Hakim Salehan Yatim bersambung 8 Oktober ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayabukanbusybody/Article

Tinggal bersama selepas ditangkap

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Seorang pereka dalaman memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam bahawa seminggu selepas ditangkap khalwat, pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza kembali tinggal bersama di pejabat milik artis berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd. Yusri Abd. Razak, 55, yang juga pengadu kes itu telah membuat aduan sebanyak lapan kali kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Namun tiada balasan daripada JAIS atas alasan prosiding kes itu sedang berjalan, tambahan lagi mereka banyak operasi pada waktu tersebut," kata saksi itu semasa disoal semula oleh pegawai pendakwa JAIS, Muhamad Nazri Basrawi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...