Ditulis oleh WAHIDA ASRANI
Tuesday, 09 September 2008
Transformasi imej yang dilakukan oleh Nora sempena hari lahirnya yang ke-35 pada Julai lalu sememangnya dilihat penyanyi itu sebagai satu fasa baru dalam kehidupannya.
Malah, akui isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini, dia berasa cukup tenang dengan 'penghijrahan' tersebut apatah lagi tatkala ini umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa.
"Saya tampil dengan imej seperti ini sejak 26 Julai lalu. Tapi kalau diikutkan sebenarnya, sejak 10 tahun dulu hati saya sudah terdetik untuk pakai tudung...ketika mula-mula berkahwin lagi.
"Tetapi, perkara ni kita tak boleh main-main. Saya ingin lakukan secara ikhlas. Sewaktu usia saya sudah menghampiri 35, saya bertanya lagi pada diri sendiri sama ada saya sudah bersedia atau tidak.
"Akhirnya saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya lakukan. Malah, Johan juga tidak mengetahui niat saya ini sehinggalah pada hari lahir saya lebih sebulan yang lalu.
"Begitu juga dengan anak-anak saya. Pada awal dulu, saya tidak begitu tahu cara nak memakai tudung dengan betul. Jadi, anak-anaklah yang menjadi 'pengkritik' saya," ujar Nora yang ditemui pada rakaman program Akademi Nasyid Aidilfitri, baru-baru ini.
Menurut penyanyi ini lagi, dia tetap bersyukur kerana transformasi dirinya itu diterima ramai. Malah, tawaran untuk menjayakan show juga cukup banyak diterima oleh Nora ketika ini.
"Saya tidaklah kekok sangat dengan imej baru ini. Tapi, memang mana-mana saya pergi sebelum ini ada yang bertanya sama ada saya pakai tudung betul-betul atau hanya kerana majlis-majlis tertentu.
"Apapun, saya harap selepas ini peminat mahupun mereka di luar sana sudah tahu tentang perubahan imej saya. Saya pun bukanlah buat perubahan yang mendadak sangat.
"Alhamdulillah, show raya tahun ini agak banyak. Saya akui, sejak bertudung ni, saya lebih banyak terlibat di dalam program-program di saluran TV9 kerana mungkin bersesuaian dengan konsep stesen televisyen itu," tutur Nora.
Katanya, dia tidak menghadkan mana-mana program untuk disertainya. Malah, dari segi lagu juga, Nora tidak membataskan sebarang lagu asalkan ianya kena dengan imej barunya sekarang.
"Bagi saya, jika lagu-lagu tersebut boleh mendatangkan kesedaran, saya memang akan lakukan. Cuma sekarang ini, saya tidak bolehlah seperti dulu...nyanyi lagu yang rancak-rancak sangat.
Bercerita mengenai perkembangan seninya ketika ini, kata Nora, tiga buah single telah pun disiapkan yang mana dua daripadanya sudah pun dikeudarakan di stesen-stesen radio iaitu Cinta Sebenarnya dan Oh Asmara.
Sebuah lagu lagi, Puisi Hidup pula merupakan hasil ciptaan buat pertama kalinya oleh Nora dan liriknya nukilan suaminya sendiri.
"Kali ini, saya pula yang buat melodinya dan Johan yang menulis lirik. Sebenarnya, Johan ingin menghasilkan sebuah lagu untuk ayahnya, tetapi dia cukup sukar untuk mendapatkan idea bagi melodi lagu tersebut.
"Secara kebetulan, saya terfikir melodinya dan daripada situ, kita masukkan muzik dan Johan menghasilkan liriknya," kata Nora.
Pada masa yang sama, penyanyi ini juga sedang ligat menjalankan perniagaan kuih-muihnya yang sudah tujuh tahun dilakukannya.
"Sebelum ini, saya buat secara kecil-kecilan saja. Tetapi setelah saya muncul di dalam program Wanita Hari Ini tidak lama dulu memperkatakan tentang bisnes tersebut, sambutan yang saya terima memang di luar jangkaan.
"Saya jalankan bisnes itu bersama seorang partner dan kami menjual kek lapis dan cookies yang ada diantaranya saya lakukan sendiri.
"Untuk tempahan atau sebarang maklumat tentang bisnes ini, boleh layari www.nora.com.my ," kata Nora yang akan pulang beraya ke Kelantan pada Hari Raya kedua nanti.
http://buletinonline.net/