BARU-baru ini, saya memaparkan betapa masyarakat lebih menumpukan perhatian kepada jutawan atau bilionair individu dalam senarai 500 terkaya Forbes Asia (atau Fortune 500 di peringkat global). Lantas ahli bisnes dan eksekutif korporat, termasuk usahawan Malaysia, berlumba-lumba memasuki senarai terbabit.
Keghairahan memasuki senarai Forbes dan Fortune 500 mudah difahami. Siapa tidak mahu kaya? Namun, jarang sekali difikirkan implikasi jangka panjang yang boleh melemah dan merosakkan jika tren ini keterlaluan.
Kenapa Fortune 500 dan Forbes Asia hanya fokus kepada kekayaan individu dan langsung tidak mengambil kira nilai saham milik masyarakat, misalnya yang dimiliki Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan koperasi dalam senarai jutawan atau pencapaian cemerlang yang perlu diiktiraf, dicontohi dan diberi dorongan?
Fortune 500 dan Forbes Asia berasal dari Amerika. Ini bermakna nilai hidup Amerika yang sangat individualistik dan ideologi bisnes nafsu-nafsi cuba ditonjolkan supaya dicontohi bangsa lain. Sesungguhnya, seluruh sistem ekonomi pacuan bisnes di Amerika meletakkan kepentingan individu di atas segala yang lain. Kesannya, seluruh sistem bisnes dan korporat mereka terfokus kepada individu.
Dalam konteks bisnes global dikuasai organisasi korporat gergasi mengikut acuan Barat, kaedah individualistik ini menyebabkan sistem ekonomi dunia menjadi terlampau ‘shareholder-centric’. Ini bermakna kepentingan pemegang saham diutamakan dan hak mereka dilindungi sehingga sistem ekonomi seolah-olah tidak lagi bersimpati terhadap kepentingan komuniti dan kebajikan ramai.
Ia juga membawa implikasi besar setelah institusi lain dalam masyarakat dirosakkan kepentingan melampau individualistik, termasuk institusi keluarga dan sosial lain. Jurang pendapatan semakin melebar dan dalam banyak hal, masyarakat tidak ambil peduli kepentingan mereka yang tidak berada dan berharta.
Nilai individualistik ini telah berakar umbi dalam budaya Amerika sehingga menjadi darah daging mereka. Terdapat peristiwa dalam sejarah pembangunan bangsa Amerika di mana mereka dengan keras memerangi pembawaan yang tidak selari dengan kepentingan individualistik. Misalnya, pemerintah Amerika pernah merampas hak kaum asli Red Indian Cherokee di California dengan menggunakan kuasa undang-undang khas. Menerusi Akta Dawes (iaitu Dawes Act, 1887), kuasa kerajaan digunakan untuk merampas tanah hak milik komuniti Cherokee. Senator Dawes (pengasas akta terbabit) menegaskan bahawa bangsa Cherokee mesti ‘ditamadunkan’ secara paksa, “...kerana mereka tidak mementingkan peribadi, iaitu sesuatu yang menjadi teras kepada tamadun.”
Sebelum kedatangan orang kulit putih, bangsa Cherokee adalah satu-satunya bangsa Red Indian yang tinggi budaya dan berjaya membentuk sistem peradaban serta pemerintahan berteraskan hak milik bersama ke atas harta kekayaan. Namun setelah ditewaskan kuasa politik oleh bangsa kulit putih, sistem budaya mereka dimusnahkan.
Peristiwa tragis ini disifatkan seorang penulis Amerika (Willaim Ophuls dalam bukunya bertajuk ‘Requiem for Modern Politics’ atau ‘Talkin untuk politik moden’ sebagai pembunuhan budaya atau ‘cultural genocide.’
Biarpun Melayu-Muslim Malaysia mempunyai nasib jauh lebih baik berbanding bangsa Cherokee, kita harus menjadikannya sebagai iktibar dalam mengatur strategi mencari masa depan lebih cemerlang. Sebagaimana bangsa Cherokee, Melayu-Muslim kini terhimpit dalam mengutamakan kepentingan masyarakat dan umat, sekali gus memperjuangkan keadilan serta menegakkan iman dan amanah sebagaimana dianjurkan Islam.
Namun, hari ini, ketika Model Baru Ekonomi (MBE) dirangka, terdapat tentangan kuat terhadap anjuran supaya dikekalkan keseimbangan kekayaan ekonomi bagi melindungi kepentingan besar masyarakat sebagaimana anjuran Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Antara alasan digunakan ialah:
l Pelaksanaan dasar pembahagian lebih saksama membabitkan campur tangan kerajaan ke dalam bisnes yang boleh mengakibatkan kronisme, salah guna kuasa dan korupsi. Kita perhatikan doktrin individualistik seperti dianjurkan Amerika tidak senang dengan peranan kerajaan dalam mengurus ekonomi, sekalipun untuk memperbaiki ketidakadilan dan merapatkan jurang pendapatan ekstrem.
l DEB dikatakan mengakibatkan pembaziran sumber akibat ketidakcekapan pentadbiran apabila pelaksanaan program gagal memanfaatkan kumpulan sasaran, misalnya dalam kegagalan program pembangunan usahawan dan membentuk masyarakat bisnes dan industri Bumiputera berwibawa.
l Berlakunya ketirisan dan kebocoran hak milik di kalangan Melayu dan Bumiputera setelah mereka gagal membina keupayaan dan daya tahan serta selepas ramai mengambil jalan ringkas dan cara mudah dengan menjual kepentingan.
l Kebocoran lebih besar kerap berlaku di peringkat atasan (korporat) sekalipun ada di kalangan mereka yang lebih berpengalaman dan terlatih dalam bisnes dan pengurusan tinggi. Sebagai contoh, terdapat kehilangan hak milik saham bernilai ratusan juta ringgit dalam kepentingan syarikat yang diswastakan. Kesannya, hari ini cuma sejumlah kecil yang dapat bertahan dan menyumbang kepada matlamat menyeimbangkan kedudukan.
l Kaedah digunakan sebelum ini mengikut saluran pentadbiran kerajaan (policy-driven dan bukan market-driven) menyebabkan kegagalan. Keputusan selalunya dibuat atas budi bicara seorang dua yang berkuasa, khasnya dalam politik atau beberapa pentadbir. Kaedah tidak telus dan terbuka, sekalipun berniat baik telah menimbulkan prasangka dan spekulasi lebih merosakkan.
Terma penswastaan serta kaedah pembiayaan dan penggunaan sumber awam biasanya diputuskan berdasarkan pertimbangan politik dan pentadbiran yang arbitrari sehingga membantut kejayaan.
Andainya MBE meneruskan kaedah sama, kerajaan akan dituduh pilih kasih, langsung merosakkan suasana persaingan di pasaran. Tuduhan seperti ini sangat payah disangkal. Terdapat juga penentang DEB menuduhnya sebagai perkauman. Kerana terlalu keras tentangan mereka, kita lihat MBE seolah-olah menjadi apologetik, segan menerima cadangan dan terhalang daripada mencari strategi keadilan ekonomi bagi membela nasib dan melindungi kepentingan golongan bawahan.
Kita akui DEB banyak kelemahan, terutama dalam pelaksanaan. Malangnya, kita seperti langsung mengalah. Setelah berlaku banyak kesilapan, kelemahan, keterbabasan dan penyelewengan, seluruh matlamat dasar dan niat asal memperjuangkan keadilan ekonomi seolah-olah diketepikan.
Lebih berbahaya, kerana terlalu apologetik dan segan, kita sendiri mengizinkan mereka yang menentang membakar ‘kelambu’ kita dengan mengenepikan salah satu nilai teras perjuangan bangsa yang selama ini menjadi identiti negara, menyatukan dan memperkukuh kestabilan masyarakat Malaysia. Nilai teras ini ialah nilai kesaksamaan dan keadilan sosio-ekonomi yang selama ini meyakinkan warga Malaysia terhadap masa depan bersama.
Agak membimbangkan ialah ciri MBE yang condong membina keupayaan persaingan negara dalam pasaran global mengikut acuan nilai individualistik sepenuhnya. Terdapat tanda-tanda MBE cenderung menciplak sistem ekonomi kapitalis Barat (ala Amerika Syarikat/Britain) yang terlampau liberal sehingga mengenepikan sama sekali peranan kerajaan dan memperkecilkan GLC, koperasi dan seumpamanya.
Dalam mengejar pertumbuhan pesat ekonomi, ramai berminat membuang dimensi keadilan ekonomi daripada teras dasar dan pilihan strategi. Ini ghairah dilakukan apabila strategi alternatif yang menjamin keadilan ekonomi tidak diutamakan MBE kerana pemikiran atau mindset mereka yang merangkanya dipengaruhi dan didominasi pemikiran Barat.
Ideologi kapitalis di bawah teraju bisnes dan korporat Barat sangat besar pengaruhnya. Menurut ideologi ini, strategi paling sesuai untuk mencapai pertumbuhan pesat ialah dengan mengutamakan kepentingan individu dan unit kecil, termasuk kepentingan keluarga.
Sebagaimana anjuran Forbes dan Fortune, kejayaan diukur sejauh mana harta dihimpun di tangan individu dan keluarga. Kepentingan kelompok besar tidak diambil kira. Begitu juga kepentingan komuniti dan masyarakat serta nilai budaya di kalangan umat Islam dilihat tidak penting. Semua itu disifatkan jumud dan menjadi penghalang kemajuan serta harus digantikan dengan nilai individualistik Barat.
Kesimpulannya, kita tidak harus membiarkan nasib malang bangsa Cherokee menimpa Melayu-Muslim dalam mempertahankan nilai dan memperjuangkan pegangan hidup. Kalau pun kita marahkan beberapa nyamuk DEB yang membantutkan cita-cita, ‘kelambu keadilan ekonomi’ usah dibakar.
Tiba masanya Melayu-Muslim menegaskan supaya MBE tidak cuma mengambil jalan mudah menciplak sistem ekonomi bercanggah dengan nilai budaya Islam dan bangsa Asia lain. Kita perlu mengutamakan kepentingan komuniti dan masyarakat. Tidak harus segan dan apologi dalam memperjuangkan keadilan dan menjadikan amanah teras ekonomi kita.
>Penulis ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.www.businessjihad.com
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_IktibartragediCherokee/Article