Saturday, August 16, 2008

Demo isu PTPTN: 8 pelajar disiasat

Jimadie Shah Othman Aug 15, 08 2:01pm

kemaskini 10:07pm Lapan pelajar kolej kejururawatan di Cheras dipanggil oleh pihak pentadbiran dalam siasatan berhubung perhimpunan membantah pemotongan berlebihan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) awal minggu ini. Lima pelajar, bersama keluarga masing-masing, dipanggil bertemu seorang ahli lembaga pengarah Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill semalam.Dua daripada mereka pelajar perempuan dipanggil bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang menganjurkan perhimpunan beberapa ratus pelajar di kolej swasta itu sehingga mendorongnya memanggil pegawai PTPTN memberikan penjelasan. Malaysiakini difahamkan tiga lagi dipanggil hari ini, bersama dua pelajar yang telah dipanggil semalam, oleh seorang pegawai bahagian pentadbiran dan rekod untuk tujuan yang sama. Kelapan-lapan pelajar berkenaan, yang dipercayai terlibat menggerakkan perhimpunan tersebut, diminta membuat penjelasan bagaimana ia boleh berlaku. Dalam pertemuan pertama, mereka juga dipersoalkan berhubung dakwaan kerosakan pada cermin pintu bas milik kolej tersebut dan juga pintu pagar automatik. Lima pelajar itu dituduh merosakkan imej kolej Masterskill apabila menganjurkan demonstrasi tersebut.Dalam pertemuan kedua, mereka ditanya sama ada perhimpunan tersebut dipengaruhi oleh anasir-anasir luar kampus dan parti politik.Seorang daripada lapan pelajar ini yang memberikan kenyataan kepada sebuah stesen televisyen swasta pada hari perhimpunan Selasa lalu didakwa dikawal ketat oleh pihak pentadbiran semalam.Pengurus hal-ehwal pelajar kolej itu Abdul Razak Muhamad enggan mengulas perkara ini sewaktu dihubungi Malaysiakini petang tadi. Beberapa pegawai lain juga enggan mengulas.Kelmarin, Malaysiakini melaporkan pelajar-pelajar kolej mendakwa PTPTN memotong berlebihan pinjaman mereka hingga ada di kalangan mereka berbaki RM5 dalam akaun.Sebelum ini, apabila tabung itu melangsaikan pembayaran kepada kolej berkenaan, pelajar boleh mendapat RM750 seorang. Pada 12 Ogos, pelajar-pelajar itu, sebahagian besarnya wanita, bagaimanapun terkejut sewaktu menyemak akaun bank masing-masing apabila mendapati potongan yang banyak sehingga "ada yang mendapat RM5, ada yang ada RM10" baki pinjaman."Ada juga yang mendapat RM500, ada juga RM200," kata mereka.Pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati kemudian ke pejabat pentadbiran mulai jam 10 pagi Selasa untuk bertanyakan pemotongan yang didakwa keterlaluan itu, tetapi tidak mendapat penjelasan memuaskan, kata sumber-sumber lagi.Beberapa ratus daripada 13,000 pelajar kolej itu kemudian mengadakan perhimpunan bantahan sehingga pertemuan diadakan dengan dua pegawai PTPTN pada jam 4.30 petang."Bila semak akaun, (jumlah) baki duit lain (daripada biasa), pelajar mula pergi ke pejabat untuk membuat komen. "Mula-mula sikit (sahaja), lepas itu makin bertambah jadi banyak," kata sumber-sumber lagi, menceritakan kembali bagaimana perhimpunan itu tercetus secara tidak dirancang.

http://www1.malaysiakini.com/

Pelajar: Potongan PTPTN 'berlebihan'

Jimadie Shah Othman Aug 13, 08 1:26pm

Pelajar kejururawatan sebuah kolej swasta mendakwa Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memotong berlebihan pinjaman mereka hingga ada di kalangan mereka berbaki RM5 dalam akaun.Sebelum ini, apabila tabung itu melangsaikan pembayaran kepada Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, pelajar boleh mendapat RM750 seorang, kata sumber-sumber pelajar kepada Malaysiakini hari ini. Pelajar-pelajar itu, sebahagian besarnya wanita, semalam bagaimanapun terkejut apabila menyemak akaun bank masing-masing apabila mendapati potongan yang banyak sehingga "ada yang mendapat RM5, ada yang ada RM10" baki pinjaman."Ada juga yang mendapat RM500, ada juga RM200," kata mereka.Pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati kemudian ke pejabat pentadbiran mulai 10 pagi untuk bertanyakan pemotongan yang didakwa keterlaluan itu tetapi tidak mendapat penjelasan memuaskan, kata sumber-sumber lagi.Beberapa ratus daripada 13,000 pelajar kolej itu kemudian mengadakan perhimpunan bantahan sehingga pertemuan diadakan dengan dua pegawai PTPTN pada jam 4.30 petang."Bila semak akaun, (jumlah) baki duit lain (daripada biasa), pelajar mula pergi ke pejabat untuk membuat komen. "Mula-mula sikit (sahaja), lepas itu makin bertambah jadi banyak," kata sumber-sumber lagi, menceritakan kembali bagaimana perhimpunan itu tercetus secara tidak dirancang.Pertemuan sejam itu pelajar, pentadbiran kolej dan pegawai perbadanan itu turut dihadiri ketua pegawai eksekutif kolej berkenaan Datuk Edmund Santhara.Hasil penjelasan dan perbincangan tiga penjuru itu, kolej dan PTPTN berjanji akan menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.Pihak pentadbiran Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill berjanji akan menyemak semula potongan dan menyelesaikan rungutan pelajar dalam isu itu.Eksekutif kanan bahagian hal-ehwal pelajarnya, Dasuki Wahab memberitahu Malaysiakini, dakwaan berlakunya pemotongan insurans melampau itu "hanya khabar angin" dan pihaknya belum menerima aduan secara rasmi daripada pelajar.Dasuki bagaimanapun mengakui terdapat perbezaan jumlah pemotongan dengan kadar sebelumnya. Tambahnya, isu ini tidak berkaitan dengan pentadbiran kolej dan ia sekarang menunggu semakan PTPTN tentang pemotongan tersebut. Dasuki berkata, kolej tersebut hanya membantu PTPTN menyampaikan maklumat dan menyalurkan aduan pelajar kepada perbadanan itu."Hari ini, kami menganjurkan sesi penerangan kepada mereka (pelajar) yang tidak mendapat penjelasan semalam," kata Dasuki.Semalam, ketika berlaku bantahan pelajar, tiga pegawai kolej mengundang PTPTN menjelaskan kedudukan sebenar isu pemotongan tersebut.Dasuki menambah, perhimpunan semalam bukan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, tetapi sebahagian pelajar yang belum dapat dikenal pasti identitinya, dipercayai lelaki."Kita sedang siasat siapa pencetusnya (perhimpunan). Kita bukan nak buat apa-apa, kita hendak beri tunjuk ajar. Ini bukan caranya membuat bantahan," katanya.Seorang pegawai pentadbirannya Nurazlin Ramli pula berkata kolej Masterskill tidak dimaklumkan secara rasmi jumlah penyelarasan baru yang dibuat Jun lalu dan tidak tahu-menahu kadar pemotongan PTPTN apabila dibangkitkan oleh pelajar."Pemotongan ini berbeza mengikut jumlah pinjaman, tempoh bayar balik dan umur pemohon," katanya. Sementara itu, kabinet hari ini mengumumkan caj perkhidmatan PTPTN diturunkan kepada satu peratus berkuatkuasa mulai Jun lepas, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Perbadanan sekarang mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah.

http://www1.malaysiakini.com/

Norani: Saya tidak faham, rasa pelik

Aug 15, 08 5:25pm

"Saya tidak faham" dan "saya rasa pelik" - begitulah reaksi profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyunting buku mengenai pengalaman wanita berdepan ekstremisme Islam ekoran pengharaman karya itu semalam.

Norani Othman berkata Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism kini menjadi rujukan universiti-unversiti di banyak negara, termasuk Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, England dan Ireland. Beliau menambah, buku itu yang memuatkan makalah-makalah hasil kajian bersama sarjana-aktivis wanita dari Asia Tenggara dan Timur Tengah dirujuk bagi mengkaji pengalaman mereka berdepan dengan gerakan politik Islam di negara masing-masing.Norani, seorang zamil kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), menjelaskan sepanjang pengetahuannya, tiada ayat atau bahan dalam buku itu boleh dianggap kontroversi sehingga layak dilarang atau dipertikaikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebahagiannya pandangan yang kita boleh temui dalam karya-karya ilmiah yang lain," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas pengharaman tersebut.Menurut pegawai KDN, sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh "menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat". Norani juga mempertikaikan tindakan kementerian itu yang tidak memaklumkan secara rasmi larangan tersebut dan tidak pula menjelaskan sebab atau asas tindakannya. Norani, yang juga seorang pengasas Sisters in Islam (SIS), berkata beliau sendiri menyedari tentang pengharaman itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam apabila dihubungi oleh media.Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan agar pengharaman buku itu ditarik balik, beliau berkata: "Bagaimana kita hendak membuat rayuan? Kita sendiri tidak tahu sebabnya, kita tidak tahu bahagian mana yang diharamkan itu?"
Beliau menyerahkan kepada penerbit buku tersebut - SIS - jika mahu tindakan undang-undang terhadap kementerian berkenaan.
"Saya hanya berminat dalam hal-hal akademik," tambahnya.
Diminta mengulas larangan terhadap beberapa karya akademik lain sejak beberapa tahun lepas, Norani berkata: "Saya nampak macam tangan kiri (bertindak) lain, tangan kanan (bertindak) lain; mereka (jabatan-jabatan kerajaan) tidak bercakap." Buku kajian sarjana tersohor yang pernah diharamkan dalam tempoh beberapa tahun ini termasuk Karen Armstrong (The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam dan Muhammad: A Biography of the Prophet) dan John L Esposito (What Everyone Needs to Know About Islam).Pengharaman sebuah buku lain Armstrong, A History Of God: The 4000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam ditarik balik pada Mei lalu.Karya-karya ilmiah lagi yang kini diharamkan, antaranya, Fundamental Fear: Eurocentrism and the Emergence of Islamism oleh Bobby S Sayyid dan Women and Islam (Fatima Mernissi).Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism yang diterbitkan oleh SIS setebal 215 halaman dan memuatkan 10 bab. Norani, sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pengenalan yang dijadikan judul buku berkenaan. Beliau bersama bekas pemimpin utama SIS, Zainah Anwar menghasilkan bab terakhir 'Muslim women, the challenge of Islamic extremism and the way forward to building bridges between Southeast Asia dan the Middle East.'Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).

http://www1.malaysiakini.com/

Haram buku 'kemuncak kebaculan'

Aug 15, 08 3:39pm

Tindakan mengharamkan buku termasuk suntingan seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disifatkan sebagai "kemuncak kebaculan" bagi mereka yang lemah tingkat intelektualnya.Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) turut menggesa isu-isu yang menjadi pertikaian dalam buku tersebut dibahaskan secara terbuka."Pihak berkuasa mesti berani berhujah secara terbuka dan cuba memenangi pendapat orang ramai," kata dua organisasi aktivis kebebasan media itu dalam kenyataan bersama hari ini."Mengharamkan buku yang tidak boleh dipertikai atau disanggah oleh orang lain merupakan kemuncak baculan daripada pihak yang lemah
pemikirannya."


Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengharamkan Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.Buku himpunan hasil kajian aktivis dan sarjana wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah itu yang menjelaskan pengalaman mereka berdepan dengan aliran fundamentalisme Islam diterbitkan oleh Sisters-in-Islam (SIS).Menurut pegawai KDN, sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh "menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat". CIJ dan Wami juga menggesa tindakan pengharaman buku dihentikan dengan cara memperkenalkan reformasi perundangan berhubung penerbitan.Dua badan bukan kerajaan (NGO) itu seterusnya menggesa Parlimen membentuk satu jawatankuasa khas bagi membincangkan reformasi perundangan itu, termasuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang membenarkan pengharaman seumpama itu."Kami juga menyeru NGO Islam agar tampil mendesak pengharaman buku dan menggesa kerajaan bersikap lebih terbuka dalam menyemak buku-buku mengenai Islam," kata CIJ dan Wami lagi.


http://www1.malaysiakini.com/

Pelajar UiTM protes di Permatang Pauh

Aug 15, 08 12:10pm

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Permatang Pauh mengadakan perhimpunan aman memprotes cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.Kumpulan penuntut itu yang turut memakai pakaian serba hitam, diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu, Mohd Faizal Zainol di Padang UiTM Permatang Pauh sejak jam 9 pagi selama sejam sambil menyanyikan lagu rasmi universiti serta lagu patriotik seperti 'Anak Kecil Bermain Api'. Menurut Bernama, mereka turut membawa pelbagai sepanduk bertulis 'Hidup Melayu', 'UiTM Milik Melayu' dan 'Jangan Jual Bangsa Melayu' sambil melaung-laungkan kemarahan terhadap Abdul Khalid. Perhimpunan itu berakhir selepas Mohd Faizal menyerahkan memorandum yang ditandatangani mereka kepada Timbalan Pengarah Bahagian Akademik UiTM itu Dr Mohd Abdullah Hemdi. Mohd Abdullah memberitahu pemberita bahawa memorandum itu akan diserahkan kepada Naib Canselor UiTM Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah untuk dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Menteri Besar Selangor.Sementara itu Mohd Faizal berkata pelajar UiTM kesal dengan tindakan Abdul Khalid itu kerana sanggup mengemukakan syor yang dianggapnya menjual maruah bangsa di tanah air sendiri. "Kalau Abdul Khalid tidak tarik balik kenyataan beliau, semua warga UiTM akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam."Kami berharap isu kuota bukan Bumiputera untuk masuk ke UiTM sebagai pelajar tidak perlu dibincangkan lagi. Kami kesal Abdul Khalid membelakangkan hak kaum sendiri," katanya. Semalam penuntut cawangan UiTM di enam kampus iaitu di Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Melaka, Sungai Petani (Kedah) dan Kuala Terengganu (Terengganu) mengadakan perhimpunan bantahan di seluruh negara. Penuntut di kampus induk di Shah Alam, Selangor dan cawangan di Machang, Kelantan mengadakan perhimpunan yang sama pada Rabu lalu.

http://www1.malaysiakini.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...