Thursday, August 12, 2010

Tonik petaka



Oleh Michelle Gun

2010/08/12

KUCHING: Pengguna terutama umat Islam yang kini menjalani ibadat puasa Ramadan dinasihat tidak terpengaruh dan mengundang petaka dengan meneguk ‘tonik puasa’ yang didakwa mampu membuatkan seseorang tahan lapar dan kekal bertenaga sepanjang hari.

BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya.
BAHAYA...tonik ikan haruan yang diharamkan jualannya.
Tonik didakwa dihasilkan menggunakan bahan campuran pati air ikan haruan dan ginseng serta madu lebah itu kini dijual secara berleluasa oleh beberapa peniaga di lokasi di sekitar bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.

Didatangkan dalam botol 100 mililiter, tonik berkenaan dipercayai dihasilkan di negara jiran dan diseludup masuk untuk dijual di Sarawak pada harga RM10 sebotol.

Namun, timbul keraguan berhubung tahap keselamatan bahan berkenaan kerana tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan sama ada dari negara jiran atau Malaysia tertera pada label pembungkusan produk berkenaan.

Jurujual yang juga dipercayai warga negara jiran mendakwa tonik berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di tempat asalnya kerana berkesan menjadikan seseorang itu tahan lapar dan mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Tonik berkenaan dikatakan mampu memberi kesan sempurna hanya dengan minum dua cawan kecil sebelum berpuasa dan tidak perlu bimbang letih kerana ramuan pati ikan haruan boleh mengekalkan tenaga badan dengan tempoh daya tahan sehari tanpa perlu makan atau minum.

Bagaimanapun, sumber Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, tonik air ikan haruan terbabit antara ubat diharamkan jualannya sejak tahun lalu kerana didapati mengandungi bahan larangan.

Menurutnya, produk yang sering dijual penjual ubatan tradisional di kaki lima sekitar bandar raya ini mengandungi steroid berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang mengambilnya.

“Tonik ini tidak mendapat kelulusan Jabatan Kesihatan kerana mengandungi bahan tidak dibenarkan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Pengguna mengambil ubat berkenaan cenderung menghadapi pelbagai masalah kesihatan serta boleh membawa maut jika tidak dihentikan dengan segera,”
katanya.

Menurutnya, penggunaan steroid dalam tonik berkenaan boleh menyebabkan seseorang pengguna itu menghadapi sembab, lemah otot, kegagalan fungsi buah pinggang, darah tinggi, gangguan haid, jerawat dan paling teruk boleh membawa maut.

“Orang ramai dinasihati jangan membeli tonik berkenaan kerana ia tidak dijamin keselamatan penggunaannya oleh pihak berkuasa negara ini serta boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Ayam Ramadan semakin mahal


RAMAI peniaga menganggap kenaikan harga ayam adalah perkara biasa pada awal Ramadan tetapi kesannya terpaksa ditanggung oleh orang ramai.


KUALA LUMPUR - Kenaikan harga ayam pada minggu pertama bulan Ramadan berlaku lagi dengan para pembeli di beberapa negeri terpaksa membayar sehingga RM7.50 atau 70 sen melebihi harga biasa bagi setiap kilogram sejak kelmarin.

Senario itu dikatakan gambaran awal bahawa harga ayam boleh mencecah RM10 sekilogram menjelang Syawal selepas harganya kini ditentukan oleh pasaran dan bukan lagi sebagai barangan kawalan sejak 15 Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu diambil memandangkan bekalan ayam semakin stabil.

Bagaimanapun, kesannya kini ramai penjual mendakwa tersepit di antara harga pemborong yang lebih tinggi serta menjadi sasaran kemarahan pelanggan.

Dalam tinjauan Kosmo! di Kuala Terengganu semalam, ayam dijual RM7.50 sekilogram berbanding RM6.90 iaitu kenaikan sebanyak 50 sen.

Peniaga ayam di Pasar Bukit Besar yang dikenali sebagai Pok berkata, kenaikan itu terpaksa dibuat memandangkan mereka membeli pada harga semakin tinggi daripada pemborong.

"Ada dua pemborong ayam yang aktif di Kuala Terengganu dan hampir kesemua peniaga mendapatkan bekalan daripada mereka," katanya.

Di Pulau Pinang, tinjauan di Pasar Bayan Baru pula mendapati ayam dijual di antara RM6.90 hingga RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelum ini.

Keadaan sama juga berlaku di Pasar Awam Tun Sardon apabila pengguna terpaksa membayar lebih 70 sen kerana harga ayam dijual mencecah RM7.20 sekilogram berbanding RM6.50 sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Kacang pis tumbuh dalam paru-paru



RON SVEDEN


BREWSTER, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas guru yang sesak nafas selama beberapa bulan, Ron Sveden terkejut apabila beberapa doktor memberitahu terdapat anak pokok kacang pis yang sedang membesar dalam paru-parunya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sveden menghidap penyakit paru-paru kronik, emphysema semasa keadaan kesihatannya menjadi semakin buruk.

"Saya sering batuk," kata pesara berusia 75 tahun itu

Isterinya, Nancy menghubungi ambulans pada 31 Mei lalu apabila keadaan suaminya bertambah teruk.

Ujian sinar-X kemudian mendapati paru-paru kiri warga emas itu tidak berfungsi tetapi doktor-doktor bingung kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia menghidap kanser paru-paru.

Namun, doktor kemudian mendapati terdapat anak pokok kacang pis tumbuh dalam paru-paru Sveden berdasarkan sampel organ berkenaan yang diambil mereka.

Doktor-doktor percaya pokok kacang pea itu tumbuh dalam paru-parunya kerana ia termasuk ke dalam sistem pernafasan Sveden semasa dia menelan kacang itu.

Dia kemudian menjalani pembedahan bagi membuang anak pokok pis itu.

Namun, hidangan pertama selepas dia menjalani pembedahan itu ialah kacang pis.

"Saya ketawa bersendirian dan memakannya (kacang pis)," kata Sveden. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Kuman kebal antibiotik di Britain


GAMBAR menunjukkan kuman New Delhi-Metallo-1 yang dilihat menerusi mikroskop.


LONDON - Kuman super yang kebal terhadap apa jua antibiotik dan dikatakan mempunyai potensi besar untuk merebak kini ditemui di kalangan pesakit di beberapa hospital di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Sehingga kini, sebanyak 37 kes sudah dilaporkan dengan kebanyakan pesakitnya didapati pernah mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan di luar Britain sebelum dijangkiti kuman berkenaan.

Di dalam jurnal Lancet Infectious Diseases, para saintis memberi amaran bahawa kuman super tersebut yang merupakan enzim dipanggil New Delhi-Metallo-1 boleh merebak ke seluruh dunia kerana masih belum ada penawar dicipta untuk menanganinya.

Pesakit muda dan tua terdedah kepada kuman super itu.

Ia ditemui baru-baru ini di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan seperti pembedahan plastik, kanser dan pemindahan organ di Asia.

Kuman yang terdiri daripada keluarga Enterobacteriaceae itu bercantum dengan bakteria E.coli, C.diff dan salmonella dan ia boleh menyerang saluran pernafasan.

Enzim terbabit dikatakan boleh berpindah dengan mudah di antara bakteria.

Para pakar bimbang ia akan mula bergabung dengan penyakit-penyakit berbahaya dan membuatkannya kebal terhadap antibiotik.

Seorang pakar, Profesor David Livermore dari Agensi Perlindungan Kesihatan yang merupakan penulis bersama satu penyelidikan dengan Profesor Timothy Walsh dari Universiti Cardiff memberitahu, masalah NDM-1 dijangka menjadi lebih buruk.

"Potensi ia merebak serta menjadi penyakit di seluruh dunia adalah jelas dan menakutkan," katanya lagi. Sepasukan pakar berjaya menemui enzim tersebut di Britain, India, Pakistan dan Bangladesh.

Lebih membimbangkan kini hanya ada dua jenis antibiotik yang boleh menentang NDM-1 tetapi ia juga mungkin tidak mampu bertahan lama. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...