Tuesday, November 18, 2008

Noh: Kenaikan tambang bas ekspres tidak boleh dielak

Nov 18, 08 3:13pm

Kenaikan tambang bas ekspres awal tahun depan mungkin tidak boleh dielakkan walaupun harga minyak turun, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Katanya, kenaikan atau penurunan harga minyak tidak ada kaitan dengan tambang kenderaan awam.

Sebaliknya, tegas beliau, kos operasi yang semakin meningkat merupakan faktor penentu yang utama.

Katanya, tuntutan yang dibuat oleh pengusaha bas untuk menaikkan tambang bukan semata-mata kerana kenaikan harga minyak tetapi disebabkan kenaikan harga kos operasi mereka seperti harga bateri, tayar dan insurans, demikian menurut laporan Bernama.

"Semua ini kita akan ambil kira dan kita rasa awal tahun depan kemungkinan besar kenaikan harga tambang ini kita tidak boleh elakkan walaupun harga minyak turun," katanya di sidang Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian).

Salahuddin bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menurunkan harga tambang bas ekspres memandangkan harga minyak telah turun.

Noh berkata, kali terakhir semakan tambang dibuat ialah pada 2005 dan sudah sampai masanya untuk pertimbangan dilakukan terhadap permohonan pengusaha bas berkenaan.

Kepada soalan asal Abdul Aziz Abdul Kadir (PKR-Ketereh), beliau berkata pada masa ini terdapat sembilan syarikat bas ekspres yang beroperasi bagi laluan Kota Baharu-Kuala Lumpur dan ia melibatkan 157 bas.

Noh berkata bilangan perjalanan bas akan ditetapkan berdasarkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu tetapi lazimnya sebuah bas ekspres akan melakukan 30 perjalanan seminggu.

"Ketika bilangan penumpang tidak ramai, pengusaha akan mengurangkannya bagi menjimatkan kos," katanya.

Berhubung saman terhadap pemandu bas, Noh berkata berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis, sejumlah 8,067 saman telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan sehingga Ogos tahun ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/93292

RM2.5 bilion bayar rebat kenderaan


SEBANYAK RM2.5 bilion rebat tunai dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian membabitkan kira-kira 5.66 juta kenderaan bagi tempoh 14 Jun sehingga 31 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha, berkata daripada jumlah itu, RM316.1 juta ialah rebat tunai kepada 2.11 juta pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc.

“Sementara itu, RM2.028 bilion rebat tunai kepada 3.24 juta pemilik kenderaan berkapasiti 2000cc.

“Bakinya RM192 juta rebat tunai kepada hampir 0.31 juta pemilik jip dan pikap persendirian berkapasiti enjin sehingga 2500cc di Semenanjung dan sehingga 3000cc di Sabah dan Sarawak,”
katanya dalam jawapan bertulis soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118090533/Article/index_html

Tambang ambil kira waktu puncak, jarak perjalanan

KUALA LUMPUR: Kadar tambang pengangkutan awam terutama teksi mungkin ditentukan berdasarkan waktu puncak serta jarak kilometer (km) sebelum kadar itu dinaikkan pada awal tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, ia berikutan terdapat segelintir pemandu teksi dikatakan enggan mengambil penumpang ke destinasi tertentu kerana tidak mahu menempuhi keadaan sesak..

“Kita sudah buat kajian dan ada beberapa perkara dituntut persatuan sudah dibenarkan. Kajian tambang diambil kira dari segi kilometer dan waktu puncak.

“Kita kena tengok balik kadar tambang ini di samping insentif lain diberi kepada pengangkutan awam. Kita tidak mahu menyusahkan rakyat dan membebankan pengusaha,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Penambahbaik Mutu Kerjaya Jurupandu Kenderaan Perdagangan, di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Musa Muhamad, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran, Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan), Datuk Mohd Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Alwi Ibrahim.


Kursus anjuran kerjasama Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi atau Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) itu membabitkan 135 pemandu teksi yang dilatih dengan pelbagai kemahiran asas menjadi pemandu berhemah.

Sementara itu, Noh berkata, kementerian mempertimbangkan cadangan mengadakan kajian kadar tambang pengangkutan awam secara tahunan untuk mengelakkan kenaikan mendadak yang jelas dirasai orang ramai.

“Saya lihat tambang ini kena disemak selalu dan kita akan tengok setahun sekali,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118091526/Article/index_html


***Harga minyak dah turun.. harga barang pun kerajaan suruh turun.. kenapa tambang perlu di naikkan.. pelik tapi benar...***

Peniaga, pengusaha tidak hirau kempen

SEREMBAN: Meskipun kempen penurunan harga barangan dan makanan sudah dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun harga barangan makanan yang dijual termasuk di restoran di daerah ini masih tinggi.

Peniaga dan pengusaha restoran dilihat seolah-olah tidak menghiraukan langsung kempen dan saranan kerajaan supaya menurunkan harga makanan berikutan harga minyak yang sudah diturunkan tiga kali.

Sebagai contoh nasi putih di restoran dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.50 sepinggan berbanding sebelum kenaikan harga minyak kali pertama pada Jun lalu RM1 sepinggan, malah terdapat restoran menjual nasi lemak, mee dan mee hoon goreng biasa pada harga RM1.30 berbanding sebelum ini RM1 sepinggan.

Rata-rata pengguna di daerah ini dan Rembau yang ditemui keliru dengan kempen kerajaan itu kerana pada hakikatnya harga barangan dan makanan tidak turun sebaliknya peniaga dilihat bersikap degil serta tidak mempedulikan saranan kerajaan menurunkan harga.

Mereka meminta Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP negeri supaya segera membuat pemantauan kerana jika sekadar memberi saranan supaya menurunkan harga sedangkan tindakan penguatkuasaan kurang agresif, matlamatnya tidak tercapai dan beban itu ditanggung orang ramai.

Abd Manaf Ahmad, 48, dari Senawang, berkata harga barangan dan makanan yang dijual di kebanyakan premis dan restoran di kawasan itu masih tinggi iaitu kenaikan yang dilakukan semasa harga minyak dinaikkan pada kadar 78 sen kepada RM2.75 seliter.

Menurutnya, walaupun harga minyak turun tiga kali sehingga RM2.15 ketika ini namun peniaga tidak menurunkan harga barangan dan makanan walaupun sebelum ini mereka memberi alasan kenaikan harga minyak menjadi faktor kenaikan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118093536/Article/index_html

Ikat 4 siswa

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my



SHAH ALAM: Ia hanya deringan telefon tetapi kerana deringan jam 11.40 pagi itulah empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal mengingati kejadian pagi semalam sepanjang hayat kerana ketika itu terdapat tiga penjenayah yang menyorok di sebalik almari memerhatikan mereka tidur sebelum disamun.

Segalanya bermula apabila deringan telefon bimbit membuatkan seorang daripada empat sekawan berkenaan tersedar daripada tidur.

Ketika mencapai telefon bimbit berkenaan, pelajar lelaki itu terlihat kelibat seorang lelaki berselindung di sebalik almari pakaian bilik asrama di sebuah daripada kolej kediaman, di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Dia terus bingkas bangun, manakala tiga lagi rakannya masih lagi terbaring lena selepas keempat-empatnya berjaga hingga awal pagi kerana menelaah pelajaran.

Bagaimanapun, penjenayah yang menyorok di sebalik almari itu lebih pantas dengan menolak pelajar berkenaan hingga jatuh.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin, berkata perkara berkenaan menyebabkan tiga lagi rakan mangsa terjaga dari tidur.

“Dalam masa sama, penjenayah terbabit turut mengacukan pisau ke arah mangsa pertama bagi memastikan dia tidak melawan.

“Ketika itu juga, dua lagi rakan penjenayah turut memainkan peranan dengan mengikat ketiga-tiga mangsa yang baru bangun,”
katanya, di sini, semalam.

Penjenayah kemudian menyelongkar bilik mangsa dan melarikan beberapa barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit selain wang tunai.

Ketiga-tiga penjenayah melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan mangsa berjaya melepaskan diri tidak lama sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

“Penjenayah dipercayai orang luar manakala bilik berkenaan pula tidak berkunci. Mangsa mungkin tidak sedar bilik diceroboh penjenayah berikutan sedang tidur.

“Polis belum membuat sebarang tangkapan manakala usaha mengesan penjenayah sedang dijalankan,”
katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Rakan Cop ditalian 03-21159999 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081118094119/Article/index_html

Bayi maut tersedak susu



Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: “Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat jasad anaknya terbaring kaku sedangkan pada sebelah pagi dia kelihatan gembira ketika bermain dengan bapanya,” luah Adelina Christine Awent Jon Abdullah, 28, ibu kepada seorang bayi empat bulan yang maut dipercayai tersedak susu di nurseri.

Malah, kata Adelina, dia masih ingat arwah seolah-olah melambai tangan ke arahnya ketika meninggalkannya di nurseri sebelum ke tempat kerja.

Mangsa, Abrahaem Noah mendapat rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bayi malang itu sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke situ.

Dia dan suami, Mohamad Najib Rosli, 29 dimaklumkan mengenai keadaan anak mereka oleh seorang penjaga nurseri di Istana Kehakiman di sini, kira-kira jam 2.30 petang, sebelum bergegas ke hospital.

Malangnya, Abrahaem sudah tidak bernyawa.

Menurut Adelina, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam pada dirinya, apatah lagi Abrahaem berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke nurseri.

Malah, anaknya itu tidak mempunyai masalah kesihatan sejak lahir.

“Saya amat terperanjat dengan kejadian ini. Kami sudah kering air mata...kalau bayi kami sakit tak apa, tetapi dia berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke nurseri. Itu yang menyebabkan kami terkilan.

“Lebih menyedihkan, kami tidak dimaklum awal mengenai kejadian itu, sebaliknya mengetahui selepas satu jam berlaku. Walaupun pihak nurseri meminta maaf tetapi kami perlukan penjelasan mengapa kami lewat dimaklumkan,”
katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Ketika ditemui, Adelina Christine yang juga seorang pegawai di Kementerian Kewangan kelihatan sugul.

Dia ditemani Mohamad Najib dan ibunya, Rani Ibot, 50.

Beliau berkata, berkata Abrahaem didaftar ke nurseri itu sejak dua bulan lalu selepas mendapati ia terletak tidak jauh dari pejabatnya dengan bayaran RM250 sebulan manakala pekerja adalah warga tempatan.

“Terdapat antara lima hingga enam bayi berusia bawah setahun dan lebih 10 yang berusia lebih 10 tahun serta beberapa kanak-kanak lain di nurseri terbabit,” katanya.

Berikutan kejadian itu, pasangan terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada hari sama akibat tidak berpuas hati dengan jawapan pihak nurseri.

Ini untuk memastikan kejadian terbabit disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami terima takdir Ilahi, tetapi tidak mahu ada lagi bayi tidak berdosa menjadi mangsa akibat kelalaian. Kami tidak mahu apa yang kami tanggung ketika ini menimpa ibu bapa lain,” katanya.

Adelina berkata, kini hanya rakaman gambar dan video Abrahaem di telefon bimbit milik mereka berdua menjadi kenangan untuk melepaskan rindu kepada anak tunggal kesayangan pasangan yang berasal dari Sarawak itu.

“Saya sering merakam gambar dan video Abrahaem setiap hari. Saya tidak menyangka ia akan menjadi kenangan selepas arwah meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Dia dan suami turut meluangkan masa setiap hari menziarahi kubur arwah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini, Sabtu lalu.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20081118085130/Article

Proses tuntut nafkah Wan Nor Azlin tertangguh, suami tidak hadir



Selasa November 18, 2008

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



PETALING JAYA: Ekoran suami pelakon Wan Nor Azlin, 40 tidak menghadirkan diri di Mahkamah Rendah Syariah di sini, maka proses Sulh (perundingan) mengenai tuntutan nafkah yang difailkan gagal dibicarakan hari ini.


(Proses Sulh ialah satu perundingan damai atau kaunselling secara Islam yang dianjurkan bagi pasangan yang mempunyai masalah rumahtangga).


Pada pukul 9.15 pagi tadi, Azlin yang sebelum ini menerima ugutan daripada 'ah long' termasuk rumahnya disimbah cat, telah berkunjung ke Mahkamah Syariah di Petaling Jaya untuk bincang dengan pihak mahkamah di Dewan Sulh selama sejam 45 minit.


Menurut peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan, hasil perbincangan tersebut, mahkamah menetapkan kes tersebut akan di bawa kepada 15 Disember ini, di mana prosiding tuntutan nafkah akan diteruskan.


Kata Fakhrul, disebabkan suami Azlin gagal menghadirkan diri, mahkamah juga akan mengeluarkan saman kepada Yazli pada bila-bila masa mulai hari ini melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan keluarganya di Batu Gajah, Perak.


"Jika suaminya gagal menghadirkan diri sekali lagi pada 15 Disember ini, pukul 2 petang di mahkamah ini, kita akan berikan dua pilihan kepadanya. Sama ada meneruskan perbicaraan ini tanpa suaminya atau keluarkan waran tangkap untuk dia datang pada hari itu juga.


"Kalau pihak mahkamah tak dapat bawa dia secara peribadi, kami akan melakukan serahan gantian seperti mengiklankan dirinya di akhbar-akhbar dan serata tempat,"
jelas Fakhrul.


Dalam pada itu, Azlin berkata, dia menjangkakan suaminya akan memberikan respons dan hadirkan diri pada hari ini selepas dia menghantar surat kepada PPIM dan keluarga suami di Perak.


"Saya hantar surat kepada PPIM pada 30 Oktober lalu tetapi mereka tidak mahu menerimanya apabila mengetahui surat itu dari mahkamah. Kata mereka, kalau surat peribadi, suami saya mahu menerimanya.


"Surat di kampung juga dihantar tetapi dihantar semula ke mahkamah pada minggu lalu dengan mengatakan suami saya tidak dapat hadir kerana keluarganya tidak dapat menghubunginya,"
tutur Azlin lagi.


Dalam nada yang tenang, Azlin masih mengharapkan suaminya kembali ke sisinya dan anak-anak.


"Saya berasa kesal sebab suami tidak mahu memberikan kerjasama. Kenapa dia berdegil untuk berbincang tentang hal ini, tetapi apabila kes 'ah long' dia muncul pula?.


"Saya berharap sangat dia datang sebab tak nak panjangkan kes ini.


"Kenapa mesti nak menyorok? Saya bukan 'ah long' tetapi isteri dia. Apa-apa yang berlaku, saya perlu bertanggungjawab.


"Sekurang-kurangnya balik dan jengahlah anak-anak di rumah.


"Apa pun, saya tak nak putus asa. Saya terpaksa lawan sebab saya merupakan ibu dan bapa untuk anak-anak kami.


"Nafkah yang saya minta bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga nafkah zahir dan batin iaitu kasih sayang.


"Saya sedia menerima dia asalkan dia berubah dari sikap lamanya. Ibu bapa merupakan 'role model' anak-anak dan bertanggungjawab terhadap mereka,"
ujar Azlin yang baru mendapat tawaran berlakon beberapa buah telefilem.


"Saya tak tawar hati. Kalau tak, mesti saya dah minta cerai....," luah Azlin selepas keluar dari Dewan Sulh di mahkamah tersebut.


Tuntutan nafkah terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38 difailkan pada 29 Oktober lalu kerana tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan rumah sehingga ke hari ini sejak 10 Julai lalu.


Jelas pelakon yang pernah dilanda kontroversi ini, tuntutan itu juga dibuat kerana semua perbelanjaan rumah termasuk tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.


Kata Azlin, melalui duit lakonan sahaja dia gunakan untuk menyara anak-anak dan dirinya.


Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang 'ah long'.


Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.


Mohd. Yazli pula menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 'ah long' selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_berita/20081118083645&sec=mstar_berita

Kerajaan akan bincang harga lantai petrol


Selasa November 18, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membincangkan untuk menetapkan harga lantai bagi petrol sama ada akan kembali kepada harga asal sebelum ini pada RM1.92 seliter atau boleh diturunkan lagi jika harga minyak mentah dunia terus menurun.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan juga perlu memutuskan sama ada perlu mengambil pendapatan daripada penjimatan subsidi minyak jika trend penurunan harga terus berlaku.


"Selama ini, mengikut maklumat yang diberikan, kita telah beri subsidi (petrol) daripada tahun 2003. Hanya beberapa bulan sahaja sebelum itu, kerajaan telah mengambil pendapatan menerusi harga petrol iaitu daripada Oktober 2001 hingga Februari 2002.


"Ketika itu, memang dapat pendapatan, petrol minimum. Sejak Februari, tidak adal lagi pendapatan (yang didapati kerajaan) kerana seterusnya kita beri subsidi,"
katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.


Shahrir berkata, beliau menjangka, kerajaan akan dapat menjimatkan RM10 bilion dari segi penjimatan subsidi jika harga minyak turun di bawah paras USD60 setong.


Shahrir berkata, kerajaan mempunyai mekanisme penetapan harga secara automatik yang turut melibatkan margin keuntungan yang diberikan kepada pengusaha stesen minyak pada harga 12.19 sen seliter bagi RON 97 dan RON 92 dan kadar yang tetap bagi diesel.


"Bagi syarikat minyak, mereka juga dibayar pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.54 sen. Ia tidak berubah mengikut harga runcit," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_berita/20081118115108&sec=mstar_berita

TV, dialog lucah dan hamil


Kesan pengaruh TV ke atas kanak-kanak serta remaja adalah isu yang sekian lama dibincangkan. Kajian terbaru cuba melihat peranan terhadap isu kehamilan di kalangan remaja.



MASALAH kehamilan luar nikah meningkat tiga peratus pada tahun 2006 di Amerika Syarikat.

--------------------------------------------------------------------------------

SATU kajian terkini menunjukkan bahawa kadar kehamilan adalah lebih tinggi di kalangan remaja yang menonton banyak rancangan televisyen mengandungi dialog dan tingkah laku berbentuk seksual berbanding mereka yang mempunyai cita rasa yang lebih 'jinak'.

Kajian terbaru itu merupakan yang pertama menghubungkan tabiat menonton televisyen dengan kehamilan remaja, kata penulis utama, Anita Chandra, seorang saintis perlakuan Rand Corp.

Golongan remaja yang menonton rancangan-rancangan yang agak lucah dua kali lebih tinggi untuk mengandung dalam masa tiga tahun berbanding mereka yang kurang menonton program seumpama itu.

Kajian sebelum ini yang dilaksanakan oleh para saintis yang sama telah mendapati bahawa tabiat menonton rancangan berbentuk seks di televisyen boleh mempengaruhi golongan remaja untuk terlibat dalam aktiviti itu pada usia yang lebih muda.

Rancangan-rancangan yang hanya menekankan aspek positif tingkah laku seksual tanpa risiko yang ada boleh membawa kepada golongan remaja melakukan seks tanpa perlindungan sebelum mereka bersedia untuk mengalas tanggungjawab dan keputusan yang betul," kata Chandra.

Hasil kajian tersebut telah diterbitkan pada isu bulan November Pediatrics.

Ia melibatkan 2,003 remaja perempuan dan lelaki yang berusia 12 sehingga 17 tahun seluruh Amerika Syarikat (AS) menerusi soal selidik telefon mengenai tabiat menonton televisyen mereka pada tahun 2001.

Responden-responden terbabit ditemuramah sebanyak dua kali, terakhir pada tahun 2004, dan ditanya mengenai kehamilan.

Di kalangan remaja perempuan, 58 mengandung semasa temu ramah susulan itu, dan di kalangan lelaki, 33 mengatakan mereka telah menyebabkan seorang gadis mengandung.


SELAIN filem, rancangan-rancangan televisyen yang tidak ditapis menjadi salah satu punca kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja Amerika Syarikat. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Para peserta ditanya kekerapan mereka menonton salah satu atau lebih daripada 20 rancangan televisyen popular di kalangan remaja pada masa itu atau yang telah didapati mengandungi pengisian berbentuk seksual.

Antara rancangan-rancangan yang terlibat termasuk Sex and the City, That 70s Show dan Friends.

Kehamilan berlaku dua kali lebih kerap di kalangan mereka yang berkata sering menonton rancangan-rancangan tersebut berbanding remaja lain yang berkata amat jarang menontonnya.

Terdapat lebih tinggi jumlah mereka yang hamil di kalangan kumpulan remaja yang lebih dewasa, tetapi kadar kehamilan kekal konsisten di serata kumpulan usia remaja yang menonton program-program berunsurkan lucah.

Chandra berkata menonton televisyen mempunyai hubungan yang kuat dengan kehamilan remaja apabila faktor lain turut diambil perhatian, termasuk pencapaian di sekolah, struktur keluarga dan aras pendidikan ibu bapa.

"Namun demikian, kajian tersebut tidak menyentuh isu lain secukupnya, seperti keyakinan diri, nilai kekeluargaan dan pendapatan," tegas Elizabeth Schroeder, Pengarah Eksekutif Answer - sebuah program pendidikan seks remaja yang berpangkalan di Universiti Rutgers.

Tambah Scroeder, "Media juga memainkan peranan tetapi kita tidak tahu setakat mana kerana terdapat pelbagai faktor lain."

Tetapi Bill Albert, ketua pegawai program di badan bukan berasaskan keuntungan, National Campaign to Prevent Teen Pregnancy, memuji kajian yang dilakukan dan berkata, "Ia seiring dengan pertimbangan."

"Media membantu membentuk skrip sosial untuk golongan remaja. Kebanyakan ibu bapa mengetahui fakta ini. Satu kajian yang baik yang telah mengesahkan hakikat itu," kata Albert.

Walaupun demikian, menurut data terkini, kehamilan remaja di AS berada dalam penurunan selama 15 tahun, sehinggalah kenaikan tiga peratus pada tahun 2006. Para pakar berpendapat bahawa ia mungkin hanya gangguan kecil statistik.

Albert juga menunjukkan trend penurunan yang berlaku pada masa rancangan televisyen kian menjadi lebih seksual, mengesahkan bahawa "ia bukanlah satu-satunya pengaruh yang ada."

Ahli psikologi yang juga Presiden Institut Media dan Keluarga Kebangsaan, David Walsh, memetik data yang mengatakan kira-kira 19 peratus remaja Amerika mengakui bahawa mereka boleh berbicara secara terbuka mengenai seks dengan golongan dewasa yang dipercayai sepenuhnya.


LAKONAN berahi pelakon Hollywood yang memaparkan adegan seks meningkatkan bilangan remaja hamil luar nikah di Amerika Syarikat. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Dengan masih banyak sekolah tidak menawarkan pendidikan seks, ini meninggalkan media untuk bertindak sebagai pendidik seks, kata beliau.

"Bagi seorang kanak-kanak yang tidak berbicara mengenai seks, dan dia menonton rancangan-rancangan televisyen yang mengandungi unsur seks dan beranggapan inilah yang dilakukan oleh mereka yang 'cool', hasil yang terbentuk agak jelas," kata Walsh lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa untuk berbicara dengan anak-anak mereka mengenai seks sebelum mencecah usia remaja.

Ibu bapa juga harus peka dengan apa yang ditonton anak-anak mereka dan membantu menapis rancangan yang dipenuhi mesej seks, kata Walsh. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Kami masih ingin menyumbang

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Warga tua diibaratkan sebagai barang antik yang bernilai tinggi. Semakin lama, semakin mahal harganya. Tetapi adakah sistem di negara kita cukup menghargai ‘barang antik’ ini?


--------------------------------------------------------------------------------

SEPERTI paparan wajahnya di kaca televisyen pada awal tahun 1980-an, tukang masak popular, Florence Tan tidak suram dihiasi senyuman dan gelak tawa yang terbawa-bawa ke mana jua pergi. Sesiapa yang berada dekat, pasti terjangkit aura keceriaannya yang tidak kekeringan gusi.

Pada usia 63 tahun, beliau sentiasa mengamalkan sikap berdikari semasa melakukan kerja-kerja rumah, menghadiri sesi penggambaran program masakan atau menunaikan undangan jemputan di dalam dan luar negara. Tanpa bergantung kepada bantuan dan sokongan orang lain, Florence aktif dan cekal menunaikan tanggungjawabnya terhadap diri sendiri dan komuniti.

Pada pertengahan tahun ini, wanita berbangsa Baba Nyonya dari Melaka ini terbang ke kota metropolitan di New York, Amerika Syarikat bagi mempromosikan sajian makanan masyarakat majmuk Malaysia. Selama tiga minggu berada di sana, Florence tidak lekang dengan kesibukan hidup yang tertumpu pada masakan, temuramah dan mencari ilham resipi baru.


--------------------------------------------------------------------------------

Kali pertama bersemuka dengan wanita berbaju kebaya kecil-molek ini, tidak hairanlah jika anda tersilap sangka usianya jauh lebih muda daripada jam biologi. "Akur pada ciptaan Tuhan yang tetap mengharungi hari-hari tua secara semula jadi, saya mengambil tindakan berwaspada agar diet pemakanan, senaman serta kesihatan dijaga daripada kemudaratan."

Bagi segelintir orang, usia itu tidak penting andainya berfikiran positif dan berpandangan muda terhadap kehidupan seharian. Suka tak suka, hakikatnya ialah sebaik anda mencapai usia melampaui 60 tahun dan ke atas, golongan masyarakat yang jatuh dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai warga emas yang memerlukan perhatian sama ada sokongan dari segi kewangan, kebajikan mahupun kesihatan.

Di sesetengah negara asing pula, julat lingkungan umur warga emas berbeza-beza mengikut ketetapan yang ditentukan oleh kerajaan.

Seperti negara-negara membangun, Malaysia turut tidak terlepas dari mengalami perubahan transisi demografi di mana kadar kelahiran dan kematian semakin menurun secara mendadak. Sejajar dengan perubahan yang dirasai, ia mengakibatkan bilangan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas telah bertambah lalu mewujudkan era generasi tua yang lebih ramai berbanding dengan kategori golongan lain.


WARGA emas memerlukan perhatian sama ada sokongan dari segi kewangan, kebajikan dan kesihatan. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Pada Bancian Populasi yang dilakukan pada tahun 2000, jumlah warga emas telah meningkat sebanyak dua gali ganda dalam tempoh dua dekad iaitu kepada 1.4 juta. Data daripada Jabatan Statistik juga menunjukkan bahawa hampir tujuh peratus daripada populasi penduduk negara kita pada tahun 2007 berumur lebih dari 60 tahun dan ke atas.

Malah, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan Malaysia menjadi negara tua pada tahun 2035 dengan catatan warga emas yang meliputi 15 peratus.

Berbanding dengan zaman era peperangan dan kejahilan terhadap inovasi teknologi perubatan, perkembangan dalam sektor sains dan kesihatan membolehkan jangka hayat manusia bertambah sehingga melebihi 75 tahun dan ke atas. Amnya, di Malaysia kaum wanita diperakui hidup lebih lama (75 tahun) berbanding dengan kaum lelaki yang ketinggalan sebanyak lima tahun.

"Meskipun usia persaraan mandatori di negara ini tertakluk pada peringkat umur 55 atau 56 tahun bagi kakitangan kerajaan dan lebih kurang 60 tahun bagi pekerja swasta, populasi warga emas memiliki sumber pendidikan, pengalaman dan kemahiran belum cukup dimanfaatkan bagi pembangunan dan kemajuan negara."


FLORENCE TAN

--------------------------------------------------------------------------------

"Sebab itu kita harus menjalankan kajian dan penyelidikan yang menambah baik prasarana yang disediakan," ujar Profesor Madya Tengku Aizan Hamid Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor di Persidangan Penuaan Kebangsaan 2008 yang diadakan baru-baru ini.

Florence memilih menjadi hos masakan selepas 25 tahun mengajar sebagai seorang guru kemahiran sains di Melaka dan Kuala Lumpur. Begitupun, perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar tidak tergendala. Sambil menawarkan kelas-kelas memasak kepada guru-guru, kaum ibu dan sesiapa sahaja yang berminat dari utara ke selatan hinggalah ke timur bahagian Semenanjung, Florence juga merupakan seorang pakar perunding budaya Baba Nyonya di Hotel Equatorial, Melaka yang menyediakan kemudahan lima bintang.

Bayangkan betapa bernilainya ilmu yang ditimba dan dihargai? "Saya tidak pernah menghiraukan dua digit nombor yang mengekori tahun demi tahun. Sambil menjiwai perwatakan muda, ia banyak membantu tahap kecergasan dalam segala aktiviti yang diceburi selain melambatkan proses penuaan," sebutnya lalu menyediakan ramuan bahan asas untuk sebuah kelas masakan bagi sekumpulan pelancong.

Selagi mempunyai kudrat dan tenaga di samping menerima permintaan dari luar, Florence tidak menafikan dia akan terus menyumbang.


“APABILA saya mencapai usia 70-an, saya tetap akan melakukan kerja-kerja ringan.” – Reggie

--------------------------------------------------------------------------------

Reggie Lee, kartunis tempatan yang melakar kejayaan dan pencapaian berprestij selama lebih daripada 30 tahun, tidak bertambah muda seiring dengan pergerakan tubuh yang terhad dimamah usia. "Walau betapa mahunya saya mahu kembali ke umur 15 tahun, tahap fizikal saya tidak memberi laluan melakukan aktiviti yang terlalu memenatkan atau berpeluh."

"Tapi saya kini melencongkan minat kepada satu lagi hobi yang berkait-rapat dengan bidang kreativiti iaitu fotografi. Dalam setahun setengah, saya sudah melawat sekurang-kurangnya lapan hingga 10 buah negara," katanya yang turut menulis artikel kembara bagi majalah tempatan.

Biarpun menjejak usia 51 tahun dan masih jauh perjalanannya untuk bergelar warga emas, Reggie bersetuju dengan pandangan ahli-ahli profesional dan akademik yang mahu mengoptimumkan potensi yang dimiliki oleh mereka.

Jelas sekali, Dasar Warga Tua Kebangsaan dan Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Kebangsaan yang berfungsi sebagai asas perlaksanaan program-program tahunan warga tua, memberikan gambaran mereka tidak pernah diabaikan. Hari Sambutan Warga Tua Kebangsaan yang dilancarkan pada 1 Oktober semenjak tahun 1992, turut mewajarkan persediaan yang diambil.


BAGI segelintir orang, usia tidak penting andainya berfikiran positif dan berpandangan muda terhadap kehidupan seharian. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

--------------------------------------------------------------------------------



Dengan penyediaan infrastruktur, perumahan dan pengangkutan yang sesuai, produktiviti dan psikososial warga tua terjaga pada masa akan datang. "Pengiktirafan warga emas yang merangkumi pelbagai taraf hidup menegakkan usaha pembentukan nukleus keluarga, komuniti serta pembangunan ekonomi negara. Mereka perlu dilindungi dari segi hak-hak manusia dan kebebasan sebagaimana dinikmati oleh kanak-kanak dan warga muda," nyata Kamal Malhotra, wakil Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi negara Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam semasa berucap pada persidangan tersebut.

Memandangkan majoriti daripada warga emas Malaysia masih aktif, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk berinteraksi dengan mereka bagi memahami kehendak diri masing-masing. Pengintegrasian generasi dan hubungan interaktif mampu mengeratkan jaringan sosial.

Sebelum ini pun kita pernah dengar anak-anak yang menghantar ibu bapa yang tua ke rumah orang tua bagi mengurangkan beban yang ditanggung atau menghalang daripada bekerja kerana takut sakit.

"Bila saya mencapai usia 70-an, saya tetap akan melakukan kerja-kerja ringan. Mungkin terdorong dengan hobi baru. Lihat Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew atau Tun Dr. Mahathir, pemikiran mereka sentiasa tajam kerana otaknya berfungsi 24 jam," kata Reggie yang menambah bapanya sendiri jatuh sakit enam bulan selepas berhenti menjahit.

"Tempat dia berniaga dulu ditarik balik bagi tujuan pembangunan. Oleh kerana tidak dapat mengerjakan 'tubuhnya' dan berjumpa dengan kawan-kawan, dia meninggalkan dunia pada usia 80 tahun."

Ibu Florence yang menghidapi penyakit sakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis bagi sekian lama, hidup sehingga 90 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir. "Kami tidak menghantarnya ke rumah orang tua, sebaliknya 25 tahun kakak saya menjaga dan memenuhi keperluan ibu tersayang," sambung Florence pula.

Tanpa mempersoalkan mutu pengendalian rumah orang tua, kedua-duanya yakin hanya ikatan keluarga mengubati sakit orang tua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Sulawesi dilanda gempa


ORANG ramai berdiri di luar bangunan selepas Gorontalo dilanda gempa bumi awal pagi semlaam.

--------------------------------------------------------------------------------

JAKARTA - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud menggegarkan timur Indonesia semalam mengakibatkan empat penduduk terbunuh dan beratus-ratus kediaman musnah serta mencetuskan amaran tsunami serantau, kata para pegawai.

Gegaran kuat itu menggegarkan pinggir pantai kepulauan Sulawesi awal pagi semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka, hotel termasuk pesakit hospital.

Sejumlah penduduk menyelamatkan diri sambil memegang tangan anak masing-masing dan barangan berharga.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa gempa berpusat 135 kilometer dari bandar Gorantalo pada kedalaman 26 kilometer di bawah dasar laut.

Sebanyak dua gempa susulan kuat juga tercetus selepas kejadian itu yang masing-masing berukuran 5.5 magnitud dan 5.1 magnitud.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran bahawa gempa bumi kuat itu berpotensi untuk mencetuskan tsunami dalam lingkungan 1,000 kilometer.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, 77 penduduk cedera manakala sejumlah 800 rumah musnah.

Seorang penduduk, Robert Bano berkata, rumahnya bergegar selama dua minit sehingga menyebabkan bingkai gambar di dinding tercampak.

Menurutnya, dia terus mendukung anaknya yang menangis dan terus menyelamatkan diri dengan berlari ke tempat selamat. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Jepun umum terjebak kemelesetan ekonomi

TOKYO - Kerajaan Jepun mengumumkan bahawa ekonomi negara itu terjerumus ke dalam kemelesetan untuk pertama kalinya sejak 2001 akibat krisis kewangan global.

Para pegawai kerajaan dan pakar ekonomi memberi amaran bahawa ekonomi Jepun yang merupakan kedua terbesar di dunia itu mungkin terjejas lebih teruk lagi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ekonomi Jepun menguncup secara purata pada kadar tahunan 0.4 peratus untuk tempoh Julai hingga September selepas menguncup 3.7 peratus dalam suku tahun kedua.

Ini bermakna Jepun kini menyertai 15 negara zon euro di Eropah yang secara teknikalnya terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.

Sesebuah negara secara teknikal terjerumus ke dalam kegawatan ekonomi apabila mencatatkan perkembangan negatif untuk dua suku tahun berturut-turut.

Pakar ekonomi Asia, Glen Maguire berkata, pengurangan permintaan dari dalam negara mula menjejaskan ekonomi Jepun.

"Pada masa akan datang terdapat petunjuk bahawa keadaan itu akan berterusan," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Lagi 50,000 pekerja Citigroup dibuang


SEORANG lelaki berjalan melintasi pintu utama ibu pejabat Citibank di Park Ave, New York Jumaat lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

NEW YORK - Gergasi perbankan Amerika Syarikat (AS), Citigroup mengumumkan bahawa ia akan menghentikan 50,000 kakitangan ketika keadaan krisis kewangan global semakin meruncing.

Pengumuman tersebut menyusul pengakuan kerajaan Jepun semalam bahawa negara kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia itu dicengkam kemelesetan.

Sebelum ini, Citigroup yang memiliki 358,000 kakitangan di 12,000 cawangannya di seluruh dunia sudah mengumumkan bahawa ia membuang 22,000 pekerja.

Bank yang beribu pejabat di New York itu merupakan bank terbesar di dunia dari segi perolehan dan memiliki 200 juta pelanggan di 107 buah negara.

Rancangan tersebut diumumkan Ketua Pegawai Citigroup, Vikram Pandit di laman web syarikat itu semalam.

Citigroup merekodkan kerugian empat suku kewangan termasuk kerugian AS$2.8 bilion (RM10 bilion) pada suku ketiga.

Pengerusi Citigroup, Win Bischoff dalam satu forum di Dubai berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap prestasi syarikat itu.

Bischoff tidak menolak kemungkinan para pegawai Citigroup tidak mendapat sebarang bayaran bonus pada bulan depan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Dilema penjual petrol

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
ahmadsyakir.sazili
@kosmo.com.my



MUHAMMAD NIZAR bertanyakan sesuatu kepada anak Allahyarham Mohd. Khairuddin Mohamed Isa, Zaidatul Akmal selepas menyampaikan sumbangan kepadanya di Ipoh semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

IPOH - Semua 290 ahli Persatuan Peniaga-Peniaga Petroleum Perak (PPDA) tidak lagi mengamalkan penyimpanan stok bahan api dalam kuantiti yang banyak bagi mengelak menanggung kerugian sekiranya harga petroleum dan diesel diturunkan oleh kerajaan.

Presidennya, Ng Bee Keong berkata, sebelum ini sebahagian besar pengusaha stesen di negeri ini akan menyediakan simpanan minyak untuk tiga hari bagi mengelak terputus bekalan, tetapi pada masa ini mereka hanya menyediakan bekalan untuk dua hari.

"Sejak 23 Ogos hingga 1 No- vember lalu, pengguna semakin bijak di mana mereka akan menunggu pengumuman harga baru sebelum membuat pengisian. Mereka juga hanya mengisi minyak pada kadar minimum bagi mengelak kerugian.

"Keadaan ini tentunya menyebabkan semua pengusaha mengalami kerugian kerana sebahagian besar bekalan minyak yang dibeli dengan harga mahal terpaksa dijual pada harga baru yang lebih murah. Jadi untuk elak kerugian banyak, kami kurangkan simpa- nan stok,"
katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Makan Makan Sambutan Ulang Tahun PPDA ke-60 yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_16.htm

Sanggup dicerai demi pengkid


Oleh SUHANA MD. YUSOP
dan ROSMALINA ABD. KADIR
berita@kosmo.com.my



GEJALA pengkid dibimbangi semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. - Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Seorang isteri sanggup meninggalkan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan dan seorang anak perempuannya semata-mata mengikuti pengkid yang menyerupai penyanyi lelaki pujaannya.

Isteri itu yang bekerja di institusi kewangan dan menjadi model sambilan dikatakan mula menjalin hubungan 'cinta songsang' dengan pengkid tersebut yang juga merupakan teman sekerjanya sejak penghujung 2005.

Bermula dengan hanya meminati wajah 'tampan' yang dimiliki pengkid berkenaan yang dikenali dengan Boy, Azni (bukan nama sebenar) yang merupakan model bertudung lantas jatuh hati dan cuba untuk mendekatinya.

Perkenalan itu akhirnya membuatkan mereka berdua rapat dan menjalin hubungan 'cinta songsang' secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suami, keluarga dan rakan-rakan.

Menurut Azni, tindakannya itu menyebabkan rumah tangga yang dibina sejak tiga tahun lalu musnah.

Bercerita lanjut, Azni memberitahu, pada awal perhubungan dengan Boy, suaminya (Azim - bukan nama sebenar) tidak mengesyaki apa-apa meskipun beliau selalu pulang lewat.

Bukan sahaja pulang lewat tetapi Azni semakin lama mengabaikan anaknya dan tidak mempedulikan rumah tangganya.

"Suami hanya fikir saya sibuk dengan kerja sebagai model sambilan tanpa mengetahui sebenarnya telah curang bersama seorang pengkid," katanya.

Namun, kisah percintaan songsang itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan Azim yang mengetahui perkara itu melalui rakan sekerja Azni dan juga anaknya sendiri.

"Azim betul-betul terkejut apabila anak saya bercerita tentang saya bersama Boy di atas katil dan rakannya pula bercerita tentang keakraban saya dengan pengkid itu.

Setelah tidak menemui jalan penyelesaian meskipun telah merujuk ke pejabat agama, Azim akhirnya terpaksa melepaskan isterinya ke tangan seorang pengkid pada penghujung 2006.

Sehingga kini, Azni dikatakan masih berhubungan dengan Boy.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1118&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wabak Chikungunya

Dilulus terbit pada Monday, November 17 @ 17:00:00 MYT oleh syamil


Oleh adli


"
KENYATAAN AKHBAR
PENGARAH kESIHATAN NEGERI
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

SITUASI TERKINI PENYAKIT CHIKUNGUNYA DI NEGERI SEMBILAN SEHINGGA MINGGU 44 ( 1 NOVEMBER 2008)




Penyakit Chikungunya bukanlah merupakan satu penyakit misteri buat masa ini kerana ia telah dilaporkan berlaku di kebanyakan negeri di Malaysia. Untuk membenteras penyakit ini daripada terus merebak, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah pencegahan dan kawalan. Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan juga dari masa kesemasa telah menerima maklumat tentang kejadian penyakit ini samada daripada aduan awam atau laporan kes daripada klinik ataupun hospital.

Penyakit Chikungunya adalah disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu Aedes aegypti dan albopictus. Pesakit akan mengalami gejala dan tanda-tanda seperti demam, sakit sendi dan ruam pada badan. Tiada rawatan khusus atau vaksin bagi penyakit ini dan rawatan yang diberikan adalah berdasarkan gejala yang ditunjukkan pesakit. Pesakit akan dirawat sebagai pesakit luar sahaja dan hanya dimasukkan ke hospital apabila ada komplikasi serius. Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi. Namun begitu, penyakit CHIKUNGUNYA AKAN MENYEBABKAN KESAKITAN SENDI YANG TERUK tetapi tidak menyebabkan kematian.

FAKTOR UTAMA BERLAKUNYA PENYAKIT INI ADALAH TERDAPAT BANYAK TEMPAT-TEMPAT YANG BERPOTENSI UNTUK PEMBIAKAN NYAMUK AEDES YANG BOLEH MENYEBABKAN AIR BERTAKUNG SAMADA DI DALAM ATAU DI LUAR PREMIS. SELAIN ITU SIKAP MASYARAKAT YANG TIDAK PRIHATIN TENTANG ASPEK KEBERSIHAN AKAN MEMUDAHKAN LAGI PEREBAKAN VIRUS PENYAKIT INI DAN MENYEBABKAN BERLAKUNYA WABAK PENYAKIT. DI NEGERI SEMBILAN, PENYAKIT CHIKUNGUNYA TELAH DILAPORKAN BERLAKU DI KESEMUA DAERAH DI NEGERI INI. Namun situasi penyakit ini adalah dalam keadaan terkawal.

SEHINGGA MINGGU KE 44, JUMLAH KESELURUHAN KES CHIKUNGUNYA DI NEGERI SEMBILAN ADALAH SEBANYAK 168 KES DAN DARIPADA JUMLAH TERSEBUT SEBANYAK 110 KES DISAHKAN. JUMLAH KES CHIKUNGUNYA DI DAERAH JEMPOL ADALAH 96 KES (78 DISAHKAN), daerah Jelebu 29 kes (15 disahkan), daerah Tampin 5 kes (1 disahkan), daerah Rembau 4 kes (2 disahkan), Kuala Pilah 4 kes (disyaki), Seremban 7 kes (disahkan) dan Port Dickson 22 kes ( 7 disahkan).

Lokaliti kes chikungunya terkini adalah di Daerah Port Dickson iaitu di Kg. Jimah Baru (5 kes), Rumah Rakyat Permatang Pasir (1 kes) dan Taman Setia Pasir Panjang (1 kes). Manakala di daerah Seremban lokaliti terlibat adalah di Taman Tasik Jaya (1 kes).

Adalah ditegaskan bahawa aktiviti semburan pengasapan yang dilakukan oleh pihak kesihatan adalah merupakan langkah sementara sahaja bertujuan untuk membunuh nyamuk dewasa yang telah dijangkiti hanya pada ketika itu tetapi tidak akan menyelesaikan masalah penyakit ini secara jangka panjang.

OLEH YANG DEMIKIAN, MASYARAKAT DAN JUGA INDIVIDU PERLU BERTINDAK SECARA PROAKTIF DALAM MENCEGAH PENYAKIT INI. MASYARAKAT ADALAH DINASIHATKAN SUPAYA TIDAK PANIK DAN SEGERA MENDAPATKAN RAWATAN DI KLINIK ATAU HOSPITAL TERDEKAT JIKA MENGALAMI GEJALA DAN TANDA-TANDA PENYAKIT CHIKUNGUNYA. CARA MENCEGAH YANG TERBAIK ADALAH DENGAN MELAKUKAN PEMBERSIHAN KAWASAN RUMAH DAN PERSEKITARAN SUPAYA BEBAS DARIPADA TEMPAT-TEMPAT PEMBIAKAN NYAMUK AEDES, MELIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI GOTONG ROYONG DAN PROGRAM COMBI.

Semoga langkah-langkah proaktif yang dicadangkan akan dapat membentuk masyarakat menjadi lebih prihatin sejajar dengan pendekatan secara serampang dua mata dalam mengawal masalah demam denggi dan juga Chikungunya di negeri ini.

Pengarah Kesihatan
Negeri Sembilan Darul Khusus
5 November 2008

sumber: http://jknns.moh.gov.my/modules/content/index.php?id=237

http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18528&mode=thread&order=0&thold=0

Re: Wabak Chikungunya (Score: 1)by Anna on Monday, November 17 @ 18:35:58 MYT(User Info Send a Message)
saya baru balik drp satu conference last week, about recent progress in drug development against chikugunya nih... Baru saya faham yg wabak chikugunya nih drp nyamuk dan disebabkan (cerita pendeknya dlm process kitaran dan pembiakan) oleh khinzir...Tidak hairan lah saya oleh yg sedemikian negeri sembilan terdapat banyak sangat wabak ini...

Harga minyak turun 15 sen, kali kelima mulai hari ini



Selasa November 18, 2008

PM gesa peniaga juga turunkan harga
barangan


[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Selepas turun sebanyak 15 sen pada awal bulan ini - buat kali kelima, harga minyak turun lagi mulai esok.


Harga petrol RON 97, RON92 dan diesel turun sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa hari ini.


Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan 15 sen kepada RM1.90 sen seliter dan harga diesel dikurangkan 15 sen seliter kepada RM1.90 seliter, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam.


Beliau berkata ini merupakan penurunan yang kelima sejak bulan Ogos, sebagaimana janji Kerajaan untuk menurunkan harga runcit petrol jika ada penurunan dalam pasaran dunia.


Jelasnya, kerajaan berharap para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak, supaya orang ramai mendapat manfaat yang sepenuhnya.


Beliau berkata para pengguna juga diharapkan akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walau pun harga telah turun, selaras dengan hasrat Kerajaan memastikan penggunaan tenaga yang efisien.


Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menyatakan tentang harga minyak yang dijangka turun pada pertengahan bulan ini.


Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini.


"Pada bulan Oktober lalu harga minyak berada di paras antara AS$74-AS$77 dan menurun kepada AS$70 semasa lapan hari terakhir bulan tersebut," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di Johor Bharu.


Shahrir berkata, harga niaga hadapan minyak iaitu pada bulan Disember juga menunjukkan ia akan berada pada paras di bawah AS$70.Trend harga minyak yang menurun itu, kata beliau, akan membolehkan harga minyak di pampam stesen minyak dikurangkan lagi pada harga yang berpatutan.


Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.


Ia merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.


Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.45 RM2.55, dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.


Mengenai kenaikan harga minyak pesawat ringan, Shahrir berkata, ia bukan bahan yang dikawal oleh kerajaan.


Katanya, kenaikan harga minyak tersebut dari RM6.20 kepada RM9.53 seliter di Kuala Lumpur dan RM9.80 seliter di Langkawi adalah berikutan kekurangan bekalan bahan itu.


Dalam pada itu, di Tashkent, Uzbekistan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu peniaga mengurangkan harga barangan agar pengguna boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih murah di negara ini.


Perdana Menteri berkata masalahnya ialah harga kerana kebanyakan harga barang belum dikurangkan walaupun harga minyak di negara ini telah turun lima kali dengan yang terakhir bermula esok.


"Apabila harga minyak turun, harga barang tidak turun. Ini yang saya tidak suka dengar," kata Abdullah.


Beliau berkata peniaga hanya berminat membuat keuntungan besar yang membebankan rakyat.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_berita/20081117125236&sec=mstar_berita

Peguam Negara digesa beri alasan bebaskan Razak Baginda



Selasa November 18, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


KUALA LUMPUR: Pembangkang meminta Jabatan Peguam Negara memberikan alasan konkrit berhubung keputusan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.


Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sepanjang pengetahuannya, ketika Jabatan Peguam Negara mendapat fail kes, mereka dikatakan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Razak yang akhirnya menyebabkan Razak ditahan reman sepanjang perbicaraan.


"Apabila tiba masa pembebasan pada masa ini, tiada alasan konkrit yang diberikan...tiada yang berubah. Jika tiada yang berubah, kami akan tanya kenapa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang sebaliknya iaitu rayuan tersebut tidak perlu (dilakukan).


"Ini penting kerana kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara malah daripada masyarkat antarabangsa,"
katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini hari ini.


Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskanRazak daripada tuduhan tersebut.


Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.


Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi dan akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari tahun depan.


Pada masa yang sama, Gobind yang juga merupakan peguam bela kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu yang dituduh dengan sengaja bersubahat menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas pada November tahun lalu berkata, dakwaan ini merupakan satu lagi tekanan daripada kerajaan negara pusat ke atas wakil rakyat daripada pakatan pembangkang.


Beliau turut mempertikaikan mengapa dakwaan ke atas Liu pada hari ini berubah daripada daripada 'menghalang penjawat awam' kepada 'bersubahat menghalang penjawat awam'.


"Selain itu, mengapa dakwaan ini hanya dibuat selepas setahun ia berlaku sekaligus menunjukkan pasukan polis tidak dapat menyelesaikan satu kes yang mudah dalam masa setahun," katanya.


Gobind berkata, pihaknya akan mencabar keputusan dakwaan ke atas Ronnie pada 10 Februari depan.


Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tuduhan ke atas Liu sebagai dakwaan politik ketiga selepas tsunami politik berlaku 8 Mac lalu; pertama, tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua, tuduhan menghasut terhadap penulis laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.


Dalam pada itu, dalam sidang media yang sama, Liu yang turut hadir menegaskan beliau tidak bersalah dan dakwaan tersebut bermotifkan politik.


"Tiada siapa yang boleh menghalang Encik Lim dan orang ramai daripada percaya yang kes saya ini bermotif politik kerana jika kamu lihat, saya telah mengambil tindakan ke atas (Datuk Seri)Mohd Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor kerana memfitnah saya berhubung kes yang sama.


"Justeru sukar untuk rakyat Malaysia percaya, hal ini tiada kaitan dengan politik,"
katanya.


Liu hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat menghalang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohammad Hadzim Zulkapli dalam satu operasi mencegah maksiat di Hotel Chile, No 10, Jalan Kenari 6, Puchong dekat sini pada 2 Nov 2007.


Liu, 50, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_berita/20081117141818&sec=mstar_berita

Nik Aziz: Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Islam



Selasa November 18, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.


Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.


"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.


"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.


Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.


"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.


"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam,"
katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_mutakhir/20081117235549&sec=mstar_mutakhir

Buru dalang jual bayi

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia kini diburu Jabatan Imigresen bagi mengelak lebih ramai bayi menjadi mangsa.

Individu terbabit yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia di Pasir Gudang, Johor, yang dibongkar Khamis lalu, dipercayai masih berada dalam negara.

Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati dalang itu warga tempatan dan menjalankan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami yakin dalang itu warga tempatan kerana biasanya orang ramai lebih selesa berurusan dengan warga tempatan bagi mendapatkan anak angkat dengan cara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Ishak berkata, mereka yang ditangkap ketika operasi Khamis lalu sebahagian daripada ahli sindiket terbabit dan usaha menjejak ketuanya dijalankan.

Katanya, penemuan beberapa dokumen termasuk MyKad, sijil kelahiran dan borang daftar anak angkat ketika operasi itu membuktikan sindiket terbabit sudah lama beroperasi.

“Satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Imigresen di sini, akan dihantar ke Johor bagi membantu operasi memburu ketua sindiket terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan satu sindiket menjual bayi warga tempatan dan Indonesia dibongkar sepasukan pegawai imigresen yang menyerbu dua rumah di Taman Masai dan Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor, Khamis lalu selepas mendapat aduan orang ramai mengenai kemasukan warga asing secara haram dan sindiket penjualan bayi.

Ketika serbuan, mereka menemui dua bayi yang tidak mempunyai ibu bapa, seorang wanita tempatan yang hamil sembilan bulan dan seorang wanita warga Indonesia di rumah terbabit.

Sementara itu, mengenai kemungkinan kegiatan itu ada kaitan dengan sindiket menjual dan membeli bayi yang ditumpaskan di Johor Bahru Mei lalu, Ishak berkata perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak dapat mengaitkan kedua-duanya.

“Kami sedang menyiasat perkara itu terutama mengenal pasti sama ada kedua-duanya berhubung kait,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092050/Article/index_html

Amah palsu jaja cerita sedih sebelum kebas RM10,000

KUALA LUMPUR: Perumpamaan ‘susu dibalas tuba’ sesuai bagi menggambarkan tindakan seorang remaja perempuan warga asing yang mencuri barang kemas dan wang tunai lebih RM3,000 selepas dia dibenarkan menumpang di sebuah rumah sepasang suami isteri.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu menemui remaja terbabit di sebuah restoran di Batu 11, Cheras sebelum membawa suspek pulang ke rumah mereka di Taman Maluri, Cheras.

Remaja itu ‘menjual’ cerita sedih kepada pasangan terbabit dengan mendakwa dia pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan melarikan diri selepas majikannya menderanya dengan teruk.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Din, 30-an, dia dan isterinya tidak pernah menyangka remaja terbabit yang berusia 18 tahun itu akan mencuri wang milik mereka selepas mereka membantunya.

“Ketika itu kami sedang makan, dan dia (suspek) secara tiba-tiba datang ke meja kami dengan keadaan rupanya yang kusut masai dan bajunya yang kotor.

“Dia memberitahu dia didera dengan teruk oleh majikannya ketika bekerja sebagai pembantu rumah sebelum melarikan diri,”
katanya.

Katanya, disebabkan kasihan dia dan isterinya membawa remaja terbabit pulang ke rumah kira-kira dua minggu lalu.

Dia yang memperkenalkan dirinya sebagai Marlin dilihat rajin membantu melakukan tugasan rumah.

“Tapi, saya ada berasa pelik apabila dia tidak mahu mengambil gambar serta terlalu berahsia apabila kami menyoal lanjut mengenai keluarganya,”
katanya.

Kebaikan Din dan isterinya bagaimanapun, dibalas dengan tuba apabila Marlin melarikan diri dan mencuri barangan berharga miliknya ketika dia keluar bekerja pada pagi Sabtu lalu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati pintu pagar, rumah dan bilik terbuka serta bilik tidur dalam keadaan berselerak apabila pulang ke rumah,” katanya.

Selepas diperiksa, katanya, didapati barang kemas dan wang tunai lesap serta kerugian lebih RM10,000.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092508/Article/index_html

Usah persoal kuasa Tuhan


Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan persoalkan kuasa Allah s.w.t,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar ketika mengulas pertandingan ratu pondan anjuran kelab gay di ibu kota, beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, umat Islam seharusnya tidak menyalahkan takdir sekiranya diri mereka mempunyai naluri bersifat lelaki atau wanita kerana Allah s.w.t sedang menguji umatnya.

“Kita tidak mempunyai pilihan yang sudah ditetapkan Yang Maha Esa. Jika lelaki itu mempunyai naluri kewanitaan, dia kena ubah dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Sesuatu kejadian yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya...ini bermakna Allah sayangkan kita, sebab itu dia beri ujian kepada hambanya.

“Kalau dia dapat kawal nafsu bercinta sesama jenis serta mengubah keinginan untuk menyerupai wanita, maka Allah akan beri dia pahala cukup besar di dunia atau akhirat,”
katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam, mengenai golongan pondan di negara ini bagaikan diberi layanan istimewa apabila ada pihak bermurah hati menyediakan pertandingan khas untuk memilih ratu cantik di kalangan mereka.

Menerusi penyertaan dalam pertandingan ratu cantik pondan itu, golongan terbabit dikatakan berada di puncak impian apabila berpeluang merubah diri menjadi wanita yang tampil dengan gaya anggun dan menawan selain meraih pelbagai gelaran seperti Queen Of The Year (Ratu Tahun ini) dan All Star (Bintang-bintang).

Bagaikan kebal daripada penguatkuasaan undang-undang, iklan mengenai pertandingan itu ditampal di papan kenyataan di luar kelab berkenaan sehingga mengundang perhatian orang ramai yang lalu lalang.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, walaupun negara ini mempunyai undang-undang, tetapi pelaksanaan masih kurang dijalankan dengan berkesan.

“Sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan segera ke atas premis terbabit yang menganjurkan pertandingan ini kerana terbukti mereka menyalahi undang-undang.

“Saya bukannya menyalahkan penguatkuasaan seratus peratus kerana mereka perlu diberi latihan mencukupi untuk mengendalikan sesuatu kes seperti pondan, gay, pengkid dan sebagainya.

“Jabatan agama negeri juga perlu menambah bilangan anggota penguat kuasa supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan berkesan, kalau boleh wujudkan jawatan pegawai penyiasat bagi memastikan kegiatan tidak bermoral dapat diatasi dan disiasat dengan segera,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan kerajaan mempertimbangkan cadangan PGSM meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1984, kerana akta ini membolehkan hukuman lebih berat terhadap umat Islam yang melakukan pelbagai kesalahan yang memesongkan akidah.

“Buat masa ini Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tidak boleh menggubal akta itu selagi akta bidang kuasa ini tidak dipinda.

“Akta ini kena pinda dulu supaya ia dapat beri kuasa kepada negeri, terhadap sesuatu hukuman yang lebih berat dikenakan.

Katanya, PGSM amat pelik dan janggal dengan hukuman ke atas lelaki yang melakukan perbuatan liwat atau luar tabii kerana ia adalah maksud yang sama tetapi dikenakan hukuman berlainan.

“Liwat atau luar tabii membawa maksud yang sama iaitu memasukkan zakar ke dalam dubur lelaki lain.

“Kalau seseorang itu didakwa di mahkamah syariah atas kesalahan liwat, hukumannya adalah denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tetapi kalau mereka didakwa di mahkamah sivil atas kesalahan seks luar tabii, maka hukumannya adalah penjara selama 20 tahun,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092637/Article/index_html

‘Saya tiada niat aib isteri’

JOHOR BAHRU: “Saya tidak berniat mengaibkan perbuatan isteri dengan membuat pendedahan di akhbar, namun saya terdesak kerana masih menyayanginya dan berharap dia pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin demi masa depan anak-anak,” kata seorang pemandu lori, Che Karudden Che Hamid, 41.

Che Karudden berkata, laporan kehilangan isterinya yang disiarkan di akhbar ini, kelmarin menerima reaksi dan maklum balas berbeza daripada beberapa pihak.

“Selain bersimpati dengan nasib dialami saya dan keluarga, ada ada pihak yang mengambil kesempatan untuk bergurau dengan kesukaran dihadapi kami dengan menghantar SMS berbentuk sinis sehingga perbuatan mereka itu memberi tekanan hebat.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ada sebahagian lagi memberikan sokongan moral selain berharap isteri saya selamat serta pulang semula ke pangkuan keluarga,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, suri rumah, Anita Jamari, 42, menghilangkan diri sejak lebih sebulan lalu akibat ketagih dengan tabiat menghantar SMS kepada seorang rakan sembang yang baru dikenali beberapa bulan lalu.

Kehadiran individu ketiga itu jelas membawa perubahan kepada wanita terbabit termasuk kerap dilihat dalam keadaan murung serta enggan berkongsi masalah dengan ahli keluarganya, sebelum menghilangkan diri dari rumah di Lima Kedai, Gelang Patah, di sini, sejak 11 Oktober lalu.

Sebelum ini, Anita bukan sahaja tidak pernah berjauhan dengan keluarga, malah menyayangi kedua-dua anak dan bercita-cita membesarkan mereka sebagai insan berjaya.

Che Karudden berkata, ahli keluarganya turut mengadakan solat hajat hampir setiap hari supaya isterinya dapat dikesan secepat mungkin dan pulang semula ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, dia dan dua anaknya, Che Norkamaliah, 11 dan Khairul Amirin, 9 merayu Anita supaya menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan sebaik mungkin tanpa terus menghilangkan diri.

“Sepanjang hidup berumah tangga selama 12 tahun, Anita Anita adalah seorang yang bijak mengurus keperluan ahli keluarga kami. Tetapi, perpisahan ini adalah sesuatu yang amat sukar bagi kami yang masih buntu selepas menjalankan pelbagai usaha mengesannya termasuk membuat laporan polis di Balai Polis Gelang Patah pada 22 Oktober lalu.

“Kami mempunyai harapan tinggi Anita akan pulang semula ke pangkuan keluarga dan mengambil keputusan baik tanpa dipengaruhi pihak ketiga. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Anita diminta supaya segera menghubungi talian 012-7315094, “
katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117092937/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...