Saturday, November 8, 2008

Wujudkan Badan Penasihat bantu UMNO pulihkan imej



29 Oct 2008 12:35PM

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Umno memerlukan badan penasihat khas yang bebas daripada sebarang kepentingan peribadi jika ingin melakukan perubahan positif.



"Kita perlu ada badan penasihat, tapi badan penasihat itu perlu tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri," katanya dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani sebentar tadi.



Namun jelas beliau, jika badan tersebut dipengarahi pihak-pihak tertentu, ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada Umno itu sendiri.



"Kalau jadi badan penasihat tapi guna pengaruh yang ada untuk dapatkan sesuatu, ia akan memberikan konflik dan nasihat yang diberikan itu mungkin tidak baik," katanya.



Selain itu beliau berkata Umno seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.



"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.



"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," katanya.



Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.



"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk Pas kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.



Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.



"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.



Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.



"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.



Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.



"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.



"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.



Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.



"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.



Bagaimanapun Mahathir masih berkeyakinan BN akan pulih jika semua pemimpin parti komponennya turun padang serta kembali mendekatkan diri dengan rakyat.



"Kalau terus bergaduh sesama sendiri tak ada faedah, pilihan raya lalu bukan sahaja buruk bagi Umno malah semua parti komponennya hampir hancur.



"Jadi BN perlu tunjuk teladan yang baik untuk kembalikan keyakinan rakyat," katanya./Mstar

http://www.klpos.com/news/2008/10/29/8.html

Rasuah dan Umno, dari sudut pandang Sayuti Omar


Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan




04 Nov 2008 8:48AM
Oleh Mohd Sayuti Omar


RASUAH dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Saking kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi.

Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!

Akar umbi rasuah dalam Umno berlaku pada atau ketika pemilihan pemimpin di semua peringkat.

Kerana ingin tempat dan kedudukan ahli Umno sanggup melakukan rasuah, beri dan terima. Rasuah berlaku dari sekecil-kecil perebutan jawatan hinggalah ke peringkat tertinggi.

Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan.

Di cawangan rasuahnya berupa pemberian material kain atau makanan seperti pelikat, batik jawa, gula, biskut atau membelanja makan mee di restoran atau teh tarik dikedai mamak atau warung wak Jawa.

Ahli mesyuarat tingkat peringkat cawangan akan dirasuahkan dengan cara begitu. Manakala diperingkat bahagian pula nilai meningkat sedikit.

Perwakilan akan diberikan wang seratus dua menjelang pemilihan peringkat bahagian.

Sebelum itu perwakilan dirasuahkan dengan lawatan sambil belajar, atau melancung (termasuk melacur sekali) ke luar negeri, Phuket, Medan, Bantam atau paling jauh di Jakarta.

Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit. Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah.

Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.

Pernah seorang perwakilan memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 pada satu musim pemilihan peringkat kebangsaan.

Bayangkan betapa lumayan dan senangnya perwakilan berkenaan, boleh memiliki Proton baru secara bayaran tunai.

Cerita dan pengakuan ini bukan dongengan tetapi realiti dalam parti bernama Umno yang dulu ianya ditubuh dengan menggunakan wang dan titis peluh rakyat marhaen.

Sekali dengar tidak logik bagaimana perwakilan mendapat sebanyak itu! Macam dibuat-buat hendak burukkan parti Melayu itu saja.

Formula bagi perwakilan itu mendapat sebanyak itu senang saja dan ini dipraktikkan oleh kebanyakan perwakilan yang celit huruf dan celit komputer.

Misalnya kalau ada pertandingan untuk sesuatu jawatan itu melibatkan lima calon (Naib Presiden misalnya) senang-senang perwakilan berkenan akan memperolehi RM5,000 dari setiap calon.

Kalau lima calon jumlahnya RM25,000. Mereka bukan ambil dari satu calon saja tetapi dari semua calon.

Itu untuk Naib Presiden, belum dicampur dengan Majlis Tertinggi Umno. MT ada 25 jawatan, yang bertanding melebihi 50 orang.

Bayangkan kalau daripada satu calon mereka memperolehi RM1,000 ini bermakna sudah RM50,000.

Jumlah itu tidak termasuk rasuah untuk jawatan-jawatan lain Ketua Pemuda, Ketua Wanita atau Ketua Puteri dan juga pendapatan rasuah di peringkat cawangan dan bahagian!

Jadi pendapatan sebanyak RMN50,000 tadi adalah perkara yang tidak mustahil bahkan satu pendapatn dikira sedarhana bagi seseorang perwakilan yang licit dan tahu mengeksploitasikan keadaan.

Sebab itu bagi ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan.

Ahli Umno sudah menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.

Seorang bekas ahli Umno dalam sebuah bukunya menyenaraikan harga untuk merebut ketua cawangan ialah antara RM2,000 hingga RM3,000.

Nilai ahli jawatankuasa bahagian pula RM5,000 hingga RM10,000. Manakala nilai untuk jadi Ketua Bahagian ialah RM30,000 hingga RMN50,000 ribut. Angka ini adalah dipraktik dan dilalui sendiri oleh bekas ahli Umno berkenaan.

Kalau diperingkat terendah sudah berjumlah ribuan ringgit bayangkan bagaimana kalau di peringkat kebangsaan tentu angkanya menelan jutaan ringgit. Berdasarkan kepada pengalaman itu jadi tidak mustahil perwakilan akan memperolehi sehingga RM50,000.

Pendedahan yang dibuat oleh calon Presiden Umno 2008, Tengku Razaleigh Hamzah yang mana ada bahagian meminta RM1 hingga RM2 juta sebagai jaminan untuk mencalonkannya menunjukkan keadaan rasuah dalam Umno sudah parah. Itu setakat untuk mencalonkan saja belum lagi upah atau rasuah untuk undi.

Permintaan rasuah sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi tetapi ia dilakukan secara terus terang. Kerana itulah benar bagaimana kata Rais Yatim, jawatan tertinggi dalam Umno wajar dibuka tender.

Sesiapa yang mempunyai banyak wang boleh memiliki jawatan menerusi bidalan. Siapa yang membidal dengan cara tertinggi dialah akan memilik jawatan.

Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan.

Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin. Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.

Apakah ahli Umno suka-suka dan mencalon Najib dan yang lain-lain itu percuma begitu saja? Mustahil.... mustahil.... dan mustahil... Yang pastinya setiap bahagian yang mencalonkan mereka tentu mendapat imbuhannya atau pun dijanjikan imbuhan.

Manakala mereka yang tidak dicalon atau tidak cukup pencalonan bukan tidak merasuah, tetapi nilai rasuah mereka tersangatlah kecil.

Untuk membuang penyakit rasuah dalam Umno ini bukan mudah lagi. Rasuah sudah jadi kenser dalam Umno, tidak ada penawar.

Hanya satu cara sahaja bagi memperbaiki Umno ialah dengan memusnahkannya. Umno sudah jadi lembu yang terkena penyakit kuku dan mulut, di mana ia tidak boleh dipulihkan melainkan kena musnahkannya. Bawa ke tepi lubang dan tembak!

Orang Melayu termasuk ahli Umno yang sayangkan Umno kena berusaha memusnahkan Umno. Biarkan parti itu kalah, hilang kuasa untuk sesuatu tempoh. Selepas itu berusahalah membangunkannya dengan titik peluk seperti tatkala ia wujud di dunia ini.

Itu saja cara, cara lain sudah tidak ada. Tanpa pemusnahan cara begitu Umno akan terus hilang dan lenyap dari muka bumi ini. Kehilangan Umno tidak bermakna Melayu akan hilang itu hanya mitos orang-orang yang bebal saja!

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/11/04/6.html

Bergabung bentuk ketahanan hadapi krisis-Pakar Ekonomi


Bina GLC lebih teguh, kukuh dan bermodal besar




31 Oct 2008 12:17PM



PENGGABUNGAN syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di bawah beberapa agensi kerajaan seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja wajar difikirkan, kata Datuk Muhammad Salleh Majid.

"Ia bertujuan bagi menjadikan syarikat-syarikat itu lebih besar, kukuh dan bermodal besar untuk berhadapan dengan apa jua krisis dunia pada masa akan datang," kata mantan presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu.

"Mana-mana syarikat yang tidak menunjukkan prestasi kewangan yang baik wajar diketepikan," katanya.

"Felda misalnya wajar disatukan dengan bahagian perladangan Sime Darby dan sebuah syarikat baru ditubuhkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan di Bursa Saham London," cadangnya.

Beliau berkata Sime Darby boleh terus disenaraikan dengan kegiatan bukan perladangannya kerana pada masa ini perladangan hanya menyumbang 40 peratus daripada pendapatan konglomerat itu.

"Syarikat perladangan yang baru itu akan menjadi sebuah syarikat perladangan yang sebenarnya terbesar di dunia," kata Salleh yang juga Felo Utama, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau turut menyatakan sektor perbankan juga perlu melalui satu lagi fasa penggabungan dan tidak menolak penyatuan Maybank dan RHB Bank.

Bursa Malaysia katanya perlukan lebih banyak syarikat yang "besar-besar" disenaraikan di mana "usaha menarik syarikat asing menyenaraikan saham mereka di bursa kita belum lagi menampakkan hasil."

Salleh berkata beberapa agensi utama kerajaan juga wajar memberikan kepimpinan yang mampu menembusi ke masa depan dengan lebih "tangkas", fleksibel dan agresif kerana ketidaktentuan perubahan yang berlaku masa kini.

"Cabaran yang bakal dihadapi di masa hadapan tidak dapat berlandaskan kepada sejarah semata-mata," katanya.

Memberi gambaran pasaran saham dunia ketika ini, Salleh berkata di sebalik pakej penyelamat AS$700 billion, sebanyak AS$6.5 trilion telah hilang daripada nilai modal pasaran di Bursa Saham New York awal bulan ini.

Bursa Malaysia pula kehilangan RM601.4 bilion daripada RM1,057.33 bilion yang dicatat awal tahun ini.

Implikasi krisis ekonomi dunia sekarang yang dianggap terburuk sejak "Great Depression 1929" ini telah mengakibatkan 50 peratus nilai pasaran saham negara telah hilang.

Ini bermakna skim-skim saham amanah yang berjumlah hampir 400 kesemuanya termasuk yang diterbitkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd akan mengalami penurunan harga, katanya.

"Ini juga bererti dividen atau jua pulangan tahunan akan berkurangan daripada yang lalu dan para pekerja yang memiliki saham syarikat yang mereka bekerja juga akan mengalami penurunan."

Itu tidak termasuk skim-skim atau dana pencen yang juga dilaburkan di pasaran saham juga akan mengalami penurunan, katanya.

Kesan langsung juga dapat dilihat akibat daripada kejatuhan pasaran di mana pendapatan syarikat-syarikat broker saham dan lebih enam ribu wakil-wakil peniaga (remisier) yang menjalankan urusniaga jual-beli saham, akan menyusut.

"Kemorosotan jumlah urus niaga dan harga saham memburukkan keadaan mereka."

Salleh juga berkata salah satu kesan buruk yang mungkin dialami ekoran kejatuhan nilai modal pasaran Bursa Malaysia ialah penjualan besar-besaran hartanah yang digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman oleh syarikat-syarikat.

"Misalnya kalau dahulu saham yang dicagarkan berharga RM10, peminjam memperoleh pinjaman sebanyak RM5 tetapi apabila harga saham tersebut jatuh kepada RM5, bererti peminjam layak menerima hanya RM2.50."

"Ini bermakna peminjam terpaksa menokok nilai cagaran yang diberikan. Kalau peminjam tidak mampu menambah nilai cagarannya, institusi kewangan yang memberikan pinjaman kepadanya akan menjual-paksa hartanah yang digunakan sebagai cagaran."

"Ini akan menyebabkan nilai hartanah keseluruhannya akan menurun."

Malaysia juga mengalami kejatuhan nilai mata wang kita berbanding dengan dollar Amerika dan beberapa matawang yang lain di mana Ringgit berada diparas RM3.59 bagi satu dollar Amerika pada minggu lalu berbanding RM3.10 pada lima bulan lalu.

"Bagi pelabur asing yang melabur di pasaran saham kita ini bermakna bukan sahaja mengalami kejatuhan harga saham yang mereka beli tetapi juga kejatuhan mata wang ringgit."

Keadaan ini akan membuatkan mereka menjual sebaik sahaja harga saham-saham yang mereka beli meningkat sedikit, katanya.

Dengan peruntukkan RM5 bilion kepada ValueCap untuk membeli saham-saham bernilai asas tinggi, harga saham-saham tersebut akan meningkat dan pelabur-pelabur asing akan mengambil peluang menjual.

"Kita sebenarnya tidak tahu berapa banyak lagi kejatuhan indeks komposit. Keadaan huyung-hayang indeks komposit ini akan membimbangkan mana-mana pengurus pelaburan.

"Oleh itu, kenaikan harga berikutan dengan peruntukkan RM5 bilion tersebut mungkin sementara sahaja," katanya./BERNAMA


http://www.klpos.com/news/2008/10/31/12.html

Ku Li dedah ada bahagian minta 'rasuah' pencalonan hingga RM2 juta


Tengku Razaleigh Hamzah akui wang memang diperlukan ketika berkempen

03 Nov 2008 1:10PM

KB: Ketika dakwaan politik wang dalam pemilihan Umno menjadi tumpuan ramai sejak kebelakangan ini, Tengku Razaleigh Hamzah, yang gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk jawatan Presiden Umno, mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, kini permintaan dan tawar-menawar ganjaran bagi pencalonan-pencalonan yang diberikan berlaku secara terbuka.

"Ahli-ahli Umno kini secara terbuka mahukan manfaat-manfaat kewangan apabila mahu memberi pencalonan.

"Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta," kata beliau di sini semalam.

Dua minggu lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan 'berpeluang' memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Ketika ditemui di sini awal bulan lalu, Razaleigh mendedahkan kira-kira RM200 juta digunakan untuk tujuan kempen dan membeli undi dalam pemilihan Umno kali ini.

Bekas Naib Presiden Umno itu menyatakan demikian pada hari beliau gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk kerusi Presiden sebaliknya ia dimenangi tanpa cabaran oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Sambil menjelaskan bahawa beliau sanggup berkhidmat untuk parti tetapi dengan syarat kepimpinan parti boleh meyakinkannya bahawa beliau tidak menyumbang khidmat kepada parti-parti yang berasuah.

Tegas beliau, tindakan memancing undi menggunakan wang dan menghalang anggota daripada bertanding hanya akan menamatkan riwayat Umno lebih awal.

Ahli Parlimen Gua Musang ini juga mengakui bahawa wang diperlukan ketika berkempen tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada gejala membeli undi ataupun menggunakan kuasa bagi menghalang pertandingan.

"Amalkan model AS dalam soal kutipan dana untuk tujuan berkempen, boleh diamalkan dalam Umno untuk mengawal politik wang," katanya.

Jelas beliau, usaha semasa mengawal gejala politik wang dalam Umno dan menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tidak mencukupi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menarik daripada bertanding jawatan Presiden, Razaleigh berkata, beliau tidak perlu menarik diri kerana tidak dicalonkan langsung untuk kerusi berkenaan.

"Sila lihat perkara yang saya katakan. Saya menawarkan untuk bertanding jawatan sebagai seorang ahli biasa.

"Kita ada hak. Oleh kerana saya tidak dicalonkan, tidak perlu bagi saya menarik diri. Jika anda mahu saya menarik diri, ia sama seperti meminta saya menarik diri (keluar) daripada Umno," katanya lagi. / Mstar

http://www.klpos.com/news/2008/11/03/8.html

SU politik Pak Lah letak jawatan

03 Nov 2008 10:07AM

KL: Selepas berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri sejak lima tahun lepas, Datuk Dr Vincent Lim Kian Tick telah meletak jawatan itu berkuatkuasa semalam.

Lim, yang diberikan tanggungjawab untuk membantu Perdana Menteri menjaga hal ehwal kaum Cina di negara ini, berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan itu kerana beliau tidak mahu memegang jawatan tersebut terlalu lama setelah MCA dan Gerakan selesai mengadakan pemilihannya.

"Saya anggap tugas saya telah dilakukan. Malahan saya tidak bercadang untuk tinggal lebih sepenggal," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Lim berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan lebih awal daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa pada Mac tahun depan kerana beliau mahu bercuti dua bulan sebelum kembali semula bertugas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia pada Januari.

Beliau akan dilantik sebagai penganalisis kanan Pusat Kajian China yang akan ditubuhkan.

Sebelum dilantik sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri pada 29 April, 2004, Lim bertugas sebagai penyelidik di ISIS sebelum dilantik sebagai Fellownya pada 2002.

Dikenali sebagai seorang yang berprofil rendah, beliau yang dilantik semula sebagai setiausaha politik pada 23 April tahun ini, berkata beliau sentiasa menganggap sebagai satu penghormatan dapat berkhidmat dengan Perdana Menteri.

http://www.klpos.com/news/2008/11/03/4.html

Sogokan: Sia-sia adu ke lembaga disiplin




Muda Mohd Noor Nov 7, 08 12:36pm


Sia-sia sahaja melaporkan politik wang kepada lembaga disiplin Umno kerana ia tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT), kata seorang pegawai calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz menambah, beberapa rakannya telah membuat laporan kepada lembaga disiplin mengenai politik wang tetapi tiada maklum balas yang diterima mengenainya.


"Semua orang bercakap mengenai politik wang... Kita difahamkan ada kira-kira 800 laporan serupa telah dibuat kepada lembaga disiplin Umno.

"Tetapi kita tahu lembaga disiplin Umno bukannya sebuah badan bebas, jadi tidak perlu membuat laporan kepadanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, pihaknya dengan kerjasama cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara sedang mengumpul bukti mengenai politik wang.

Katanya, sebaik sahaja laporan tersebut diperolehi, ia akan diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan lanjut.

"Jika Umno berani, ia perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat politik wang dalam parti.

"Suruhanjaya ini juga yang sepatutnya yang menyelia mesyuarat Umno di seluruh negara," katanya ketika diminta mengulas sama ada akan membawa isu sogokan seperti dakwaannya kepada lembaga itu yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Kamal Amir kelmarin mendakwa Tengku Razaleigh gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan.

Beliau mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92636

Kes liwat Anwar kekal di mahkamah sesyen


Nov 7, 08 3:58pm

dikemaskini Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh didengar di mahkamah yang sama.

Hakim SM Komathy Suppiah mendapati sijil untuk memindahkannya ke
Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.

Keputusan itu diambil selepas ketua pembangkang dan penasihat PKR itu membantah kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan mempertikaikan kesahihan sijil pemindahannya yang ditandatangani oleh Abdul Gani dengan alasan Peguam Negara sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah berhubung satu laporan oleh Anwar, mendakwa Abdul Gani memalsukan keterangan
dalam siasatan insiden "mata lebam" yang dialaminya semasa ditahan pada 1998.

Sewaktu mengetepikan permohonan pendakwaan, Komathy berkata sijil itu berlawanan dengan jangkaan Anwar bahawa Abdul
Gani tidak akan terlibat dalam kes itu.

Hakim kemudian menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan.

Pada 10 September lalu, hari kes itu disebut, peguam mantan timbalan perdana menteri itu membantah permohonan pendakwaraya untuk memindahkan kes tersebut.

Peguam utamanya Sulaiman Abdullah berkata, mahkamah sesyen memenuhi semua keperluan untuk terus mendengar kes tersebut dan menegaskan bahawa hakim berkenaan layak mendengarnya.


Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan pendakwaraya kanan Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang juga ketua unit pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, mengetuai pendakwaan.

Sementara Sulaiman mengetuai pasukan pembelaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/92652

Raja Petra dibebaskan dari ISA


Nov 7, 08 10:00am

kemaskini 4:33pm Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah menjelang 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.

Raja Petra dibawa dari kem tahanan itu menjelang tengah hari sebelum dibawa di depan hakim kira-kira jam 3.15 petang dan dibebaskan lima minit kemudian.

http://www1.malaysiakini.com/news/92626

Raja Petra dibebaskan dari ISA

Nov 7, 08 10:00am
kemaskini 4:33pm Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengisytiharkan bahawa penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang menerima permohonan habeas corpus pengendali blog popular Malaysia Today juga memerintahkan beliau dibebaskan serta-merta.

Hakim juga memerintahkan Raja Petra dibawa ke mahkamah menjelang 4 petang hari ini sebelum beliau dibebaskan segera.

Penulis blog ditahan polis pada 12 September di suatu tempat yang tidak didedahkan sebelum dibawa ke kem tahanan Kamunting di Taiping pada 23 Sept.

Raja Petra dibawa dari kem tahanan itu menjelang tengah hari sebelum dibawa di depan hakim kira-kira jam 3.15 petang dan dibebaskan lima minit kemudian.


http://www1.malaysiakini.com/news/92626

SPR: Jawapan PM 'tidak masuk akal'

Nov 7, 08 7:41pm

Jawapan perdana menteri berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan kesahihan status lebih 11,000 pemilih yang menggunakan kad pengenalan lama "tidak masuk akal", kata ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tambahnya, SPR sudah mempunyai satu sistem perisian canggih seperti SPINTRA untuk memastikan kesahihan nama dalam daftar pemilih dan pilihanraya dijalankan dengan telus, adil dan bebas kerana belanjawan besar diperuntukkan untuk itu dalam Bajet 2009.

Fuziah membidas penjelasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap soalan lisannya semalam.

Perdana menteri berkata "status dan perkembangan mengenai 11,842 pemilih (tercatat dalam daftar pemilih 2004) yang menggunakan kad pengenalan lama yang belum dapat dikesan sehingga kini."

Wakil rakyat PKR itu mendakwa terdapat bukti kukuh di kawasan parlimennya yang "menunjukkan SPR telah melakukan penipuan daftar pemilih".

"Beberapa kes yang melibatkan pemilih yang berumur lebih 100 tahun dan yang telah meninggal dunia telah dikeluarkan daripada daftar pemilih sewaktu pembersihan daftar pemilih hujung tahun 2006, akan tetapi nama pemilih tersebut telah dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih yang digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12 Mac lalu," katanya.

"Kad pengenalan baru diwujudkan (direka) seolah-olah si mati (nama pada daftar pemilih) lahir pada 1985, sedangkan berdasarkan kad pengenalan lama, beliau lahir pada 1885," tambahnya.

Ahli parlimen itu mempersoalkan peruntukan kerajaan kepada SPR sedangkan, menurutnya, ia masih belum dapat menjamin ketelusan pilihanraya.

"Saya menyeru agar integriti SPR dikembalikan supaya dapat bertindak sebagai badan yang bebas, dan bukan lagi menjadi boneka Barisan Nasional dengan mengorbankan harapan seluruh rakyat Malaysia dalam memacu masa depan Negara," kata Fuziah.

http://www1.malaysiakini.com/news/92679

Tuntut mutaah RM2j


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: “Saya perlu mencari wang,” kata seorang bekas pramugari ketika memberi keterangan pada perbicaraan membabitkan tuntutan mutaah sepanjang perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Plaintif, Nor’aini Md Dom, 48, dalam tuntutannya meminta bekas suaminya yang turut memegang jawatan penting di beberapa syarikat korporat terkemuka, termasuk institusi kewangan, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, membayar mutaah kepadanya bernilai RM2 juta.

Kes itu dikendalikan Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd Daud, manakala plaintif diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar, manakala defendan diwakili peguam Dr Mohd Rafie Shafie.

Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 30 April tahun lalu dan tidak terdapat perintah lain direkodkan antara mereka, termasuk hak mutaah plaintif.

Dalam tuntutannya, Nor’aini berkata sepanjang perkahwinan, dia seorang yang taat kepada defendan dan sentiasa menjaga kebajikan sehingga defendan berjaya dalam kerjayanya. Plaintif juga bertanggungjawab menjaga kebajikan dan pendidikan anak.

Defendan juga didakwa mempunyai pendapatan stabil dan berkemampuan memenuhi tuntutan plaintif.

Dakwa plaintif, perceraian mereka bukan disebabkannya, sebaliknya atas permohonan defendan sendiri yang menceraikannya tanpa sebab selain tidak pernah disabitkan nusyuz.

Plaintif bagaimanapun mendakwa menanggung pelbagai kesengsaraan dan tohmahan sejak diceraikan serta terpaksa memulakan penghidupan baru bersama enam anak hasil perkongsian hidup dengan plaintif sejak bernikah 24 tahun lalu.

Menurut Nor’aini, dia diceraikan suaminya tanpa sebab munasabah selepas menerima tohmahan, termasuk fitnah mempunyai hubungan dengan lelaki lain serta keluar malam dan tidak pulang ke rumah.

“Saya menjalankan perniagaan sekiranya ada peluang. Orang minta saya dapatkan pengesahan daripada pihak tertentu dan saya lakukannya untuk dapatkan bayaran. Sebab orang yang buat perniagaan itu lelaki, jadi dia fitnah saya.

“Walaupun saya ada beritahu suami, tetapi suami lebih percayakan orang ketiga. Jadi lelaki yang dimaksudkan adalah ‘orang perniagaan’ saja,”
katanya menjawab soalan Zainul Rijal.

Nor’aini berkata, lelaki yang sering bersamanya hanya kawan perniagaan dan bukan rakan istimewa serta tidak pernah melanggar hukum syarak.

“Dalam seminggu sekali atau dua minggu sekali, saya akan menghadiri majlis bersama Tuanku Fauziah. Saya dititahkan untuk bersama kerabat diraja dan kadang-kala balik lambat dan kadang-kala awal.

Saya tidak pernah tidak balik langsung kecuali kalau saya di luar negeri. Tidak balik langsung tidak pernahlah, tetapi defendan selalu tidak pulang ke rumah,”
katanya.

Ditanya Zainul Rijal sebab lain mengapa defendan tidak memberi nafkah kepadanya, Nor’aini mendakwa tidak mengetahuinya, tetapi suami ada menghulurkan duit untuk keperluan semua anak.

“Sepanjang 24 tahun perkahwinan, saya tidak pernah mengabaikan dari segi pelajaran, termasuk pelajaran agama dan tuisyen. Saya cari yang terbaik dan termurah. Pada hujung bulan saya minta wang daripada defendan.

Saya tidak tahu sebab defendan tidak memberikan nafkah. Saya terkejut dan anak masih kecil,”
katanya.

Ketika diminta menjelaskan maksud defendan plaintif sering keluar malam, Nor’aini menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan dia rapat dengan kerabat diraja, termasuk kerabat Pahang.

Menurutnya, defendan memegang pelbagai jawatan di beberapa syarikat, termasuk ketua perbankan Islam dan pengarah eksekutif dengan pendapatan antara RM13,000 hingga RM15,000 sebulan dan tidak termasuk jawatan lain dipegangnya.

“Defendan turut menjawat jawatan pengarah syarikat dan pengerusi eksekutif serta mengambil tempat arwah ayahnya selepas meninggal dunia,” katanya.

Katanya, defendan memintanya berhenti kerja sebagai pramugari sebaik mendirikan rumah tangga dengan alasan mahukan anak.

“Saya akur dengan kehendak suami. Saya berhenti kerja pada 1985 selepas dua tahun berkahwin sebab waktu itu pramugari yang mengandung tidak boleh bekerja. Bila saya berhenti kerja, defendan tidak bagi wang, jadi saya bekerja semula sebagai pramugari bawa jemaah haji.

“Defendan tidak memberi nafkah sejak setahun lebih. Duit pasar pun tidak beri. Sepanjang perkahwinan, saya menguruskan anak sendiri dan masak sendiri. Apa yang dibeli defendan saya masak,”
katanya.

Perbicaraan bersambung 25 Februari dan 5 Mac tahun depan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107093916/Article/index_html

Jais ada asas dakwa

KUALA LUMPUR: “Kami mempunyai asas kukuh untuk mendakwa dia dan pasangannya di mahkamah atas tuduhan berkhalwat,” kata Ketua Unit Tindakan Khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, semalam.

Katanya, bagi mendapat bukti tambahan, pihaknya sudah kembali semula ke lokasi Norman Hakim ditahan bersama seorang pelakon muda, Suhaiza Suhaimi atau Memey, kelmarin, bagi meneliti pelbagai aspek untuk mengukuhkan bukti.

Menurutnya, pasangan artis itu akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 20 Januari depan.

Beliau berkata, siasatan mendapati tidak ada laluan lain untuk ke tingkat atas melainkan terpaksa keluar melalui pintu depan sebelum menaiki tangga jika mahu berbuat demikian.


“Norman dipercayai tidak dapat membuka pintu belakang tingkat atas yang berkunci sebelum nekad bersembunyi dalam stor,” katanya.

Malah, katanya, pintu di tingkat atas hanya dibuka abang kepada pelakon terbabit yang datang ketika pegawai penguat kuasa Jais berada di situ dipercayai selepas dihubungi Norman.

Walaupun pemeriksaan di tingkat bawah tidak menemui Norman, kata Shahrom, pemeriksaan di tingkat atas mendapati Norman bersembunyi dalam stor dalam keadaan mencurigakan.

“Kami membuka stor itu sebelum menemui Norman,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika ditahan 30 Oktober lalu, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, mendakwa berada di tingkat atas bangunan dua tingkat pejabatnya di Ukay Perdana, manakala Memey, 20, berada di tingkat bawah.

Kes khalwat itu turut menambah parah hubungan Norman dengan isterinya, Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 30.

Melalui beberapa kenyataannya dalam media, Abby yang berang dengan tindakan Norman mempunyai hubungan dengan Memey menuntut suaminya menceraikannya.

Shahrom berkata, pegawai dan penguat kuasa Jais yang melakukan serbuan sudah melakukan intipan beberapa kali selepas menerima aduan.

“Berdasarkan kepada asas itulah, mereka (penguat kuasa) melakukan serbuan di pejabat pelakon drama bersiri, Gerak Khas berkenaan,” katanya.

Katanya, penguat kuasa Jais juga terpaksa menunggu kira-kira sejam sebelum pintu dibuka hingga menimbulkan kecurigaan yang boleh mendatangkan syak terhadap apa yang dilakukan pasangan terbabit.

Ketika ditanya mengenai status pasangan itu ketika ditahan, Shahrom berkata, pasangan wanita yang diambil keterangan memaklumkan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Norman.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107094005/Article/index_html

Pengurangan automatik mulai Januari 2009

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menerima manfaat daripada pengurangan caruman bulanan pekerja sebanyak tiga peratus dari kadar berkanun 11 peratus kepada lapan peratus, berkuat kuasa mulai gaji Januari 2009, untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan langkah mengurangkan kadar caruman pekerja semasa ucapan penggulungan Kementerian Kewangan untuk Bajet 2009 pada Selasa lalu.

Langkah ini akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pekerja selaras dengan keadaan ekonomi semasa.

Pertambahan pendapatan boleh guna akan merangsang perbelanjaan domestik sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.


Untuk memudahkan ahli dan melancarkan pelaksanaan langkah itu, pengurangan caruman akan dilaksanakan secara automatik mulai gaji Januari 2009 sehingga gaji Disember 2010.

Ahli yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang KWSP 17A (AHL).

Borang yang lengkap diisi perlu dikemukakan kepada majikan untuk diserahkan kepada KWSP. Ahli dan majikan boleh mendapatkan jadual caruman baru itu dan Borang KWSP 17A (AHL) dari cawangan KWSP atau memuat turun dari laman web myEPF www.kwsp.gov.my mulai 1 Disember ini. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107091036/Article/index_html

Hujan luar biasa

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my



PUTRAJAYA: Sebanyak 4,595 pusat pemindahan disediakan di seluruh negara bagi menempatkan mangsa banjir bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

Selain itu, 1,775 bot penyelamat, 1,182 pasukan kesihatan dan perubatan, 450 pangkalan hadapan dan 20 unit helikopter serta 13 unit jambatan bailey disediakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar), berkata menurut perkiraan Jabatan Meterologi, berdasarkan kajian gambar satelit dan sumber lain, hujan akan turun melebihi paras biasa pada Disember dan Januari depan.

“Oleh itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan akan berlaku banjir pada waktu itu.

“Kita memberi notis awalan supaya kawasan yang biasa dilanda banjir lebih bersedia menghadapi kemungkinan banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) di sini, petang semalam.


Timbalan Perdana Menteri berkata, hebahan mengenai hujan lebat dan paras air di sungai utama akan dimaklumkan kepada orang ramai menerusi media elektronik.

“Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama RTM akan membuat tiga siaran pada waktu puncak setiap hari mengenai amaran hujan lebat dan paras air semasa di sungai utama selain menerusi saluran televisyen dan radio milik swasta terutama Media Prima serta Astro.

“Penyebaran maklumat melalui media elektronik ini di samping jentera kerajaan di peringkat daerah adalah penting bagi membolehkan masa yang mencukupi bagi masyarakat setempat untuk membuat persediaan dan berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Najib berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula akan menyediakan maklumat secara talian terus (online), mengenai jalan yang ditutup akibat dinaiki air dan juga jalan yang selamat dilalui bagi mengelakkan pengguna terkandas.

“Maklumat itu juga akan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.

“Dalam masa sebenar ini (realtime) adalah penting bagi membolehkan pengguna jalan raya, terutama bagi melancarkan urusan perniagaan dan merancang perjalanan serta laluan yang selamat,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula diminta menyusun semula aktiviti pengurusan di pusat pemindahan supaya mereka yang mendiami pusat pemindahan itu diberi tanggungjawab menguruskan aktiviti harian.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107091106/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...