Thursday, November 13, 2008

Mahathir: Ketua, Naib Ketua Wanita Umno wajar dipertandingkan



Rabu November 12, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB



PUTRAJAYA: Bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita wajar dilaksanakan kerana ia mencerminkan nilai demokrasi dalam pergerakan itu.


"Pada saya, ia (pertandingan) sesuatu yang baik kerana ia demokrasi.


"Jika tiada wang yang terlibat, saya rasa jawatan itu patut dipertandingkan,"
kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Bangsa Malaysia" di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.


Dr. Mahathir berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada Wanita untuk menentukan siapa yang patut dan tidak patut memegang kedua-dua jawatan tersebut.


Isnin lalu, keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.


Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan bahawa jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kanan Umno itu.


Bagaimanapun, Exco Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang telah meraih cukup pencalonan bagi jawatan Naib Ketua pergerakan itu tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan itu dan menolak pelan peralihan kuasa yang dipersetujui pada 4 Ogos lalu.


Shahrizat dalam kenyataannya semalam juga berkata, beliau masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita Umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Putera sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112180651&sec=mstar_berita

Dr. M: Siapa saja boleh jadi PM asalkan "Bangsa Malaysia"



Rabu November 12, 2008

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesiapa saja, baik Melayu atau bukan Melayu, boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia asalkan dia "Bangsa Malaysia".


Bekas Perdana Menteri itu berkata, undang-undang negara ini menetapkan bahawa siapa saja boleh menjadi Perdana Menteri tetapi dia mestilah pemimpin sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti.


"Jika kita cakap mengenai PM bukan Melayu, kita dianggap bersifat perkauman. Kita tidak boleh menyoal sama ada dia Melayu atau bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas berucap pada siri Wacana Perdana "Bangsa Malaysia" di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas sama ada Malaysia sudah bersedia mempunyai seorang Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu ekoran pemilihan Barack Obama sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat.


Dalam ucap utamanya sebelum itu, Dr Mahathir berkata parti berasaskan kaum dalam Barisan Nasional (BN) masih relevan untuk menangani isu perkauman. "BN telah membuktikan bahawa sejak 50 tahun lepas, parti itu telah mengurangkan perbahasan mengenai perkauman dan telah membangunkan negara ini ke tahap yang ada pada masa ini," katanya.


Dr Mahathir juga menolak andaian kononnya prestasi buruk BN dalam pilihan raya lepas disebabkan rakyat menolak politik berasaskan kaum.


"Ini tidak betul. Macam mana mereka boleh kata penolakan itu disebabkan parti berasaskan kaum kerana parti yang mendapat sokongan seperti PAS, DAP dan Keadilan juga berasaskan kaum.


"Kenapa mereka tak suka kontrak sosial...ia kerana (faktor) kaum. Kenapa mereka mahu PM bukan Melayu, ia juga kerana (faktor) kaum,"
katanya.


Dr Mahathir berkata, langkah untuk mengatasi isu itu perlu dilakukan secara perlahan dan rakyat perlu berkorban.


"Ini hanya dapat dilakukan bukan menerusi parti pembangkang tetapi dengan kembali kepada parti berasas kaum, BN. Sama ada suka atau tidak, saya rasa parti berasaskan kaum masih relevan," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112192455&sec=mstar_berita

Penguat kuasa di Parlimen pantau wakil rakyat langgar larangan merokok



Rabu November 12, 2008

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau tiada halangan sekiranya ada cadangan untuk menempatkan pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan di bangunan Parlimen bagi memastikan peraturan larangan merokok, dikuatkuasakan.


Katanya jika merokok merupakan satu kesalahan, ia seharusnya dikuatkuasakan termasuk di bangunan Parlimen.


"Jika merokok merupakan satu kesalahan di Parlimen, sudah tentu ia perlu dikuat kuasa," katanya ketika ditanya mengenai cadangan menempatkan pegawai penguatkuasa itu, di sini, hari ini.


Bangunan Parlimen sebelum ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejajar dengan Peraturan 11 (1)(h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang jelas menyatakan bahawa tiada seorangpun boleh merokok di dalam mana-mana premis kerajaan.


Kementerian Kesihatan baru-baru ini juga telah mengumumkan bahawa semua kaki lima kompleks beli belah termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.


Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.


Mengakui beliau juga bekas perokok, Pandikar Amin berkata, kejayaan untuk berhenti merokok bergantung kepada kemahuan dan kesungguhan diri perokok itu sendiri.


"Merokok ini di dalam kawalan anda dan hanya dengan kemahuan, anda dapat berhenti merokok," katanya.


Bagi Pandikar Amin, keputusan untuk berhenti merokok diambil sekelip mata selepas menonton satu kempen antimerokok yang disiarkan di televisyen.


"Selepas menontonnya, saya fikir ia merupakan satu perkara di dalam kawalan saya, bibir saya dan saya memutuskan untuk berhenti, dan saya buat serta-merta," katanya.


Katanya sehingga kini, sudah dua tahun beliau berjaya meninggalkan amalan yang merugikan wang itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112165304&sec=mstar_berita

Mahkamah arah dua komputer Raja Petra dianalisis semula




Rabu November 12, 2008

PETALING JAYA: Pihak pendakwa berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya dua komputer yang dirampas daripada pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dianalisis semula.


Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwa yang dikemukakan di bawah Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan tersebut.


Rozina berkata, beliau membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak dibuka oleh saksi ketujuh, penyiasat forensik, ASP Wa’ie Isqal Kria Abdullah, 38, semasa membuat analisis.


"Ia perlu dilakukan dengan kehadiran kedua-dua pihak termasuk yang tertuduh," kata beliau.


Menurut Rozina, mahkamah perlu menilai kesemua bukti yang terdapat dalam kedua-dua komputer demi keadilan.


"Ia untuk mendapat keadilan," kata beliau pada hari kelapan kes hasutan dihadapi Raja Petra hari ini.


Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof Semalam selepas ASP Wa'ie mengaku bahawa telah mengesan beberapa bahagian dalam kedua-dua komputer tetapi tidak membuka dan membawa fail-fail berkenaan kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat DSP Mahfuz Abdul Majid.


Ho kemudian menetapkan sambungan perbicaraan mulai 16 Disember ini.


Semalam Rozina berkata, beliau akan memutuskan hari ini sama ada untuk membenarkan permohonan pendakwaan untuk Waie membuka dan menganalisis semula folder lain yang terdapat di dalam unit pemprosesan komputer dan komputer riba milik Raja Petra.


Ishak ketika mengemukakan permohonan itu berkata, perkara itu amat penting bagi mencapai keputusan mahkamah yang adil.


"Sebelum ini, beliau (Wa'ie) hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan membuka folder yang berkaitan dengan artikel "Let's Send Altantuya Murderers To The Hell".


"Wa'ie perlu membuat analisis kali kedua untuk mengeluarkan folder tersebut dan ia boleh dijadikan sebagai keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan.


"Adalah wajar untuk saksi pendakwaan mendapatkan kandungan folder tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan bukti keseluruhan yang ada dalam komputer,"
katanya.


Semalam, Wa'ie berkata, Raja Petra telah melupuskan bahan bukti pengendalian melalui komputer riba miliknya dengan menggunakan program "clean it".


Wa'ie berkata, berdasarkan laporan analisis yang dilakukan terhadap komputer riba milik Raja Petra pada 11 sehingga 26 April lalu, tidak ada sebarang capaian ditemui.


Dengan itu, beliau berpendapat segala data yang terdapat di dalamnya telah dipadam menggunakan program "clean it",


"Apabila digunakan program tersebut, segala data tidak ditunjukkan dalam 'unallocated cluster' iaitu satu lagi program yang digunakan untuk menyimpan fail-fail aktif yang telah dipadamkan," katanya.


Raja Petra, 58, yang dituduh menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.


Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April.


Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112153359&sec=mstar_berita

Pengakuan Zaki: Usul kedua ditolak, Karpal buat laporan polis



Rabu November 12, 2008

KUALA LUMPUR: Usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) supaya Dewan Rakyat membahaskan mengenai kenyataan terbuka Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah ditolak buat kali kedua hari ini.


Justeru, Karpal akan memfailkan laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 3 petang esok.


"Nampaknya tiada lagi cara lain supaya isu ini dibahaskan atau dibincangkan kerana Dewan Rakyat telah menolak usul yang saya failkan sebanyak dua kali," kata Pengerusi DAP itu di lobi Parlimen hari ini.


Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai kepentingan awam kerana ia melibatkan kredibiliti seorang Ketua Hakim Negara.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)c) kerana ia melanggar syarat-syarat dalam Peraturan Mesyuarat.


Ketika menjelaskan perkembangan tersebut, Pandikar Amin berkata, peraturan 36(8) memperuntukkan bahawa kelakuan atau sifat hakim-hakim tidak boleh disebut kecuali dengan dikeluarkan usul secara bersendiri.


"Kelakuan hakim-hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen kecuali atas sesuatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh pihak kurang daripada satu perempat daripada bilangan ahli Majlis Parlimen," katanya.


Namun Karpal tetap tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat itu kerana menurutnya isu yang dibangkitkannya adalah yang berkaitan sewaktu Zaki berkhidmat sebagai peguam.


"Isunya di sini ialah apa yang berlaku pada tahun 1987 seperti yang beliau (Zaki) nyatakan sebelum ini iaitu pernah memberi rasuah.


"Kita bukan mahu bincangkan mengenai sifatnya atau kelakuannya kini sebagai seoarang Ketua Hakim Negara,"
katanya.


Pada sidang media berasingan, Pandikar Amin menjelaskan sebab beliau membauat penolakan tersebut.


"Peraturan Mesyuarat itu jelas mengatakan bahawa apa jua yang berkaitan dengan sifat atau kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan di Parlimen.


"Memang Yang Berhormat Bukit Gelugor katakan bahawa isu yang beliau bawa adalah yang berlaku dahulu semasa Tan Sri Zaki menjadi peguam, tapi kalau saya biarkan usul ini dibahaskan, tidakkah mereka akan tetap kaitkan dengan sifat-sifat beliau... ini pasti berlaku,"
katanya.


Ditanya kemungkinan persepsi masyarakat bahawa beliau hanya menolak usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, beliau tidak kisah dengan persepsi sedemikian.


"Saya tak kisah apa mereka akan kata. Saya hanya jalankan tugas bagi memastikan perjalanan mesyuarat lancar.


"Tapi anda harus ingat bahawa semua usul yang saya terima hanya daripada pembangkang,"
katanya.


Jelas beliau, jika ada usul yang dikemukan pihak kerajaan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, beliau akan tetap melakukan perkara yang sama.


"Kalau pihak penyokong kerajaan juga ada usul yang tak memenuhi syarat, saya akan tolak juga," katanya.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/12/mstar_berita/20081112143747&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...