Monday, September 20, 2010
Demam tiga hari lepas lahir bawa derita berpanjangan
MERSING: Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, tetapi seorang warga emas, Tiasa Husin, 71, tetap tabah menjaga anaknya yang orang kurang upaya (OKU) ketika meniti usia senja.
Sejak dilahirkan, Nazariah Ahmad, 32, tidak pernah merasai nikmat keluar bersama rakan, bersekolah dan pelbagai lagi kerana kecacatannya akibat demam panas selepas tiga hari dilahirkan menyebabkan Sue, iaitu panggilannya di rumah tidak boleh bercakap, berjalan dan mengurus diri.
Menurut Tiasa, dia menerima keadaan anaknya itu sebagai ketentuan Ilahi dan tetap memberi sepenuh kasih sayang.
“Sue tidak banyak karenah dan seolah-olah faham kesukaran menjaganya, malah dia tidak sukar dikawal,” katanya yang tinggal di Kampung Tenglu Laut di sini.
Menurut Tiasa, Sue perlu diangkat untuk dimandikan sekurang-kurangnya dua kali sehari kerana dia tidak berdaya bangun dan berjalan ke bilik air.
Pada masa sama, Sue perlu meminum susu tambahan berharga RM60 setin, tetapi akibat kemiskinan, dia gagal melakukannya.
Tiasa berkata, masalah terkini Sue adalah sering sembelit ketika membuang air besar mungkin akibat kekurangan zat tambahan dan terpaksa menggunakan pam.
“Saya membesarkan Sue seorang diri selepas suami meninggal dunia akibat sakit tua 20 tahun lalu dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Sebagai ibu, Tiasa agak bimbang dengan masa depan Sue kerana selain mereka tidak mempunyai saudara-mara, dia bimbang apa akan berlaku kepada anaknya itu jika dia sudah tiada.
Selain diabetes, Tiasa turut menghidap darah tinggi, malah sering mendapatkan rawatan bulanan di klinik.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Demamtigaharilepaslahirbawaderitaberpanjangan/Article
Bila-bila masa boleh roboh
2010/09/20
MELAKA: Akibat dihimpit kemiskinan, sepasang suami isteri warga emas hanya mampu menumpang berteduh di sebuah rumah usang yang sudah reput dan hanya menunggu masa menyembah bumi sejak sekian lama di Kampung Pengkalan Rama Pantai, dekat sini.
Tinjauan Harian Metro ke rumah pasangan terbabit semalam mendapati warga emas terbabit umpama tinggal di sebuah pondok kecil yang hanya menunggu masa untuk roboh dan sewajarnya mendapat pembelaan segera.
Esah Mohamad, 66, berkata dia bersama suami, Ismail Abdullah, 65, kini hidup dalam kebimbangan jika rumah didiami roboh disebabkan bahagian dapur pernah runtuh manakala zink pula sering tercabut ditiup angin kencang.
Menurutnya, suaminya terpaksa meletakkan kayu untuk menongkat rumah peninggalan arwah bapanya berusia lebih 50 tahun bagi mengelak roboh.
“Malah, setiap kali hujan, saya terpaksa mengalihkan barang dalam rumah supaya tidak basah. Jika angin kuat, hati cukup bimbang pondok ini ranap bila-bila masa saja. “Siapa lagi sanggup tinggal dalam rumah berkeadaan begini dan memang mahu membaikinya, tetapi apa lagi mahu dikatakan kerana tidak mampu, jadi terpaksalah terus tinggal di sini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia pernah memohon mendapatkan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 10 kali sejak tiga tahun lalu, tetapi ditolak dengan alasan tidak mempunyai tapak bersesuaian.
Katanya, isu berkenaan kini selesai apabila saudara-mara sudah membenarkan mereka mendirikan rumah di tapak sedia ada dan berharap pihak berkenaan dapat segera membantu mendapatkan tempat tinggal lebih selesa.
“Ada yang datang ambil gambar, selepas itu dia kata (permohonan) dalam proses, tetapi apabila saya menelefon tidak dapat sampai sekarang masih menunggu macam buah tak gugur.
“Saya mendapat bantuan kewangan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi terpaksa mengambil upah melakukan kerja kampung bagi menambah pendapatan disebabkan suami tidak boleh bekerja kuat akibat kaki sakit” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bila-bilamasabolehroboh/Article
Umno, Perkasa sama perjuang hak Melayu
KUALA LUMPUR: Umno perlu melayan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sama seperti badan bukan kerajaan (NGO) lain kerana kedua-duanya mempunyai matlamat sama memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi dalam masa sama peranan Umno lebih luas.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, Perkasa memperjuangkan hak Melayu sama seperti Umno, tetapi Umno adil kepada semua kaum.
“Pemimpin Umno tidak pernah mengetepikan hak kaum lain. Isu ini tidak perlu dibesarkan kerana peranan Umno lebih luas.
“Umno adalah parti politik, manakala Perkasa NGO, masing-masing ada tugas,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Serbaguna, Parlimen di sini, semalam. Katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) juga menjaga kepentingan kaum masing-masing dan memahami hak semua kaum di negara ini.
“Ada pemimpin Umno kata, kita kena asingkan (Perkasa), tetapi bagi saya itu pendirian masing-masing.
“Umno mempunyai matlamat perjuangan jelas dan berjaya menjadikan Malaysia negara berbilang kaum yang bersatu padu,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan BN dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO, memutuskan menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih pengundi pelbagai kaum.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, Umno tidak akan menyokong Perkasa pada pilihan raya umum akan datang kerana boleh menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umno_PerkasasamaperjuanghakMelayu/Article
Macam haiwan
2010/09/20
KOTA BHARU: “Kesalahan ini serius serta amat menjijikkan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Hanya haiwan yang tidak mengenal hubungan seperti ini,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun yang merogol cucu tirinya berusia tiga tahun lima bulan.
Zainal membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, terhadap Hassham Saleh yang berasal dari Kampung Sungai Hala, Machang selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan terbabit pada jam 9 pagi, April tahun lalu.
Beliau turut memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh tangkapannya iaitu pada 10 Mei tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan sebatan.
Pada prosiding semalam, Hassham yang ditemani ahli keluarganya, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan Zainal.
Dia diwakili peguam, Roziman Md Noor manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di rumah beralamat PT2048, Taman Desa Arif, Machang. Terdahulu, Zainal dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan keterangan munasabah dan ia dianggap penafian pihak mereka.
“Pembelaan yang mengatakan dia difitnah dua saksi pendakwaan iaitu bekas isteri dan adiknya dianggap sebagai pembelaan baru memandangkan ia tidak pernah ditimbulkan ketika pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, Roziman membuat rayuan supaya hukuman lebih ringan dijatuhkan terhadap anak guamnya dengan mempertimbangkan beberapa faktor termasuk masalah kesihatannya.
“Tertuduh juga sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod jenayah seksual dan ini adalah kes pertama.
“Dia turut menghidap penyakit dalam perut menyebabkan najis berdarah selain terpaksa menanggung ibunya yang tidak sihat,” katanya.
Rayuan pembelaan itu dibantah Nooriah yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kesalahan jenayah itu tidak boleh diterima masyarakat.
Katanya, kes itu turut mendatangkan trauma dan kesan berpanjangan kepada mangsa apabila dirogol dalam usia yang sangat muda.
“Perbuatan ini bukan saja satu jenayah tetapi perbuatan yang keji serta tidak boleh diterima masyarakat.
“Mohon mahkamah mempertimbangkan perkara ini untuk menjatuhkan hukuman berat,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Macamhaiwan/Article
Kes bunuh Sosilawati: 9 anjing mati disuntik pelali
BANTING: Sembilan anjing dipercayai menjadi ‘penjaga’ kawasan Ladang Gadong kepunyaan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, mati selepas disuntik dengan pelalian dos tinggi yang membawa maut oleh Pasukan Penangkap Anjing Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama polis, di sini, semalam.
Antara anjing ditangkap adalah enam anjing baka rottweiler, bulldog (seekor) dan anjing berwarna hitam putih tidak dikenal pasti bakanya (dua) dalam operasi bermula jam 8.15 pagi dan berakhir pada 10 pagi.
Bangkai semua anjing berkenaan kemudiannya dibawa ke sebuah bekas tapak pelupusan sampah Landfill Sungai Sedu, di Kampung Sungai Sedu di Telok Datuk, dekat sini, untuk ditanam.
Menurut sumber, sejak kes pembunuhan terbabit terbongkar, semua anjing itu kelaparan dan bertindak agresif dengan memakan binatang peliharaan lain seperti kambing, itik dan ayam.
Pasukan Penangkap Anjing MDKL dan polis yang tiba di kawasan ladang turut terkejut selepas menemui anjing jenis lain selain rottweiler kerana menurut maklumat asal, hanya anjing jenis itu saja yang berada dalam ladang.
Sumber berkata, ketika anjing berkenaan ditemui, ia bebas begitu saja tanpa sebarang kawalan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/9anjingmatidisuntikpelali/Article
Anak patah tangan bapa
2010/09/20
KUALA TERENGGANU: Berang kerana direnung bapa ketika dia memarahi ibunya, seorang lelaki bertindak di luar dugaan dengan menerpa dan menendang bapanya yang berusia 71 tahun menyebabkan warga emas itu patah tangan kiri.
Semuanya bermula ketika adik suspek yang berusia 30-an sedang makan di dapur rumah di Kampung Jeram Hilir, Tepoh dan pada masa sama, abangnya yang berusia 43 tahun datang lalu memarahi ibu mereka dengan meluahkan kata-kata kurang enak didengar kerana tidak puas hati berikutan perselisihan faham antara mereka, Jumaat lalu.
Menurut sumber, pada masa sama bapa mereka yang berbaring di ruang tamu melihat kejadian menyebabkan dia yang bertentang mata dengan bapanya, meluru ke arah mangsa lalu melepaskan satu tendangan menyebabkan tangan kirinya patah.
Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengugut semua ahli keluarga yang berada dalam rumah berkenaan dengan pisau Rambo menyebabkan mereka tidak berani berbuat apa-apa.
Selepas suspek meninggalkan rumah adik suspek membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan adik suspek kemudian ke Balai Polis Batu Rakit kira-kira jam 10.30 malam untuk membuat laporan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan akibat kecederaan dialaminya,” katanya.
Susulan laporan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Kejadian itu berlaku pada hari kelapan Syawal, ketika umat Islam masih lagi saling mengunjung serta memohon maaf sempena Aidilfitri.
Apa yang menghairankan, suspek bukan penagih dadah atau mempunyai rekod penyakit jiwa dan setakat ini polis percaya kejadian berlaku akibat rasa tidak puas hati hanya kerana direnung bapanya ketika lelaki itu memarahi ibunya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Terengganu, Superintendan Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
“Tidak banyak yang dapat saya katakan, tetapi kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan.
“Polis juga masih menyiasat motif sebenar kejadian dan saya difahamkan, suspek bukan penagih dadah atau berada dalam keadaan khayal ketika kejadian,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakpatahtanganbapa/Article
Bayi dijumpa anak sendiri
2010/09/20
JITRA: Helah seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berpura-pura konon menemui seorang bayi perempuan yang masih hidup di belakang dapur rumahnya di Taman Rasa Sayang, tidak menjadi apabila dia akhirnya mengaku membuang bayi itu ketika disoal siasat polis, kelmarin.
Bayi yang ditemui
Suspek masih belajar semester ketiga di sebuah IPTA di Selangor itu dipercayai meletakkan bayi seberat 2.8 kilogram yang baru dilahirkannya di bahagian luar pintu dapur rumahnya sebelum masuk semula ke dalam rumah untuk mandi.
Difahamkan, suspek melahirkan bayi berkenaan di rumah terbabit seorang diri sebelum mengambil keputusan meletakkan bayi itu di luar rumah bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin sebelum bayi itu ditemui setengah jam kemudian selepas disedari ibu dan adik-beradik suspek yang sebelum itu mendakwa terdengar tangisan bayi ketika mandi.
Bagaimanapun, ibu suspek berusia 40-an menghubungi ambulans untuk memaklumkan penemuan bayi perempuan yang cukup sifat dan masih hidup itu untuk dibawa ke hospital.
Bayi perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan sihat.
Selain itu, polis turut menemui cebisan daging dipercayai uri bayi terbabit di lokasi kejadian dan mengambilnya sebelum dihantar ke HJ bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, remaja perempuan berbadan kecil itu dikatakan menyembunyikan kandungannya itu dengan memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak diketahui keluarga kerana bimbang dimarahi.
Katanya, keluarga suspek terkejut apabila anggota polis yang datang ke rumah untuk mengambil keterangan memaklumkan bayi itu sebenarnya anak kepada remaja berkenaan.
“Keluarga remaja itu mendakwa langsung tidak tahu kejadian itu kerana tiada tanda-tanda yang suspek hamil, malah turut mendakwa datang haid bulan lalu.
“Selain itu, suspek mendakwa dia trauma sebaik menemui bayi itu menyebabkan keluarganya tidak mengesyaki apa-apa,” kata sumber berkenaan.
Berikutan itu, suspek ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan dibawa menjalani pemeriksaan lanjut di hospital sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan polis sudah menahan ibu bayi berkenaan bagi membantu siasatan.
“Suspek kini direman empat hari bermula semalam dan masih dirawat di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, bayi perempuan itu kini di bawah jagaan pihaknya selepas kes dimaklumkan polis.
“Bayi berkenaan diberi perlindungan JKM buat sementara dan kami masih menunggu siasatan polis,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayidijumpaanaksendiri/Article
Pekerja kesayangan penipu
2010/09/20
KUALA LUMPUR: Pendedahan terbaru agak mengejutkan apabila jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang mati dibunuh kejam bukan hanya menjadi mangsa penipuan peguam di Banting, malah turut ‘ditikam dari belakang’ oleh bekas pekerja kepercayaannya yang menggelapkan wang syarikat mencecah jutaan ringgit sejak lebih lima tahun lalu.
Difahamkan, penipuan licik sekian lama dilakukan bekas pekerja yang selama ini mendapat kepercayaan Sosilawati hanya diketahui jutawan kosmetik itu pada pertengahan Ramadan lalu apabila usahawan berkenaan mula curiga terhadap keuntungan yang seharusnya diperoleh hasil jualan produk kosmetik syarikatnya.
Sumber terdekat keluarga Sosilawati memberitahu, sikap mangsa yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pekerjanya dalam menguruskan operasi dan kewangan syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd dipercayai menjadi punca ada antara kakitangannya mengambil kesempatan.
Menurutnya, Sosilawati yang jarang berada di pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini, kerana urusan kerja luar menyerahkan bulat-bulat kepada kakitangannya untuk menguruskan penjualan dan penyerahan produk kepada stokis.
“Malah, pekerjanya itu turut diamanahkan untuk menerima cek pembelian produk daripada stokis di seluruh negara sebelum cek terbabit dimasukkan ke dalam akaun syarikat.
“Malangnya, kepercayaan Sosilawati itu dibalas sebaliknya apabila seorang daripada pekerja syarikat terbabit menggelapkan cek diserahkan stokis produk kosmetik terbabit tanpa disedari sesiapa,” katanya.
Menurutnya, ada kemungkinan bekas pekerja Sosilawati terbabit sengaja mengubah nama penerima cek itu yang sepatutnya ditulis atas nama syarikat kosmetik berkenaan.
“Bagaimanapun, penipuan licik itu terbongkar selepas Sosilawati menyedari sesuatu tidak kena terhadap jumlah wang dalam akaun syarikatnya sebelum menyoal siasat pekerjanya itu.
“Difahamkan, Sosilawati cuba mendapatkan bukti dan buku kira-kira berhubung penyelewengan duit syarikatnya itu, namun gagal. Ada kemungkinan semua bukti terbabit sengaja dihilangkan bagi menyukarkan tindakan undang-undang diambil Sosilawati,” katanya.
Berdasarkan keluhan Sosilawati kepada kenalan dan rakan perniagaannya, dia percaya pekerja berusia lewat 20-an terbabit melarikan wang syarikat berjumlah jutaan ringgit.
“Tidak dapat dipastikan sama ada Sosilawati memecat atau pekerja terbabit menghilangkan diri, namun pekerja wanita itu tidak lagi berkhidmat di syarikat berkenaan seminggu sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.
“Apa yang saya tahu, selepas menyedari penyelewengan itu, Sosilawati sibuk mengemas kini buku kira-kira syarikat selain cuba mendapatkan kembali resit pembelian daripada stokis yang membuat pembelian produk daripadanya sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, Sosilawati bagaimanapun tidak membuat laporan polis berhubung penyelewengan berkenaan.
“Lebih mengejutkan apabila pihak keluarga mendapat tahu bekas pekerja Sosilawati terbabit turut cuba tampil dengan produk penjagaan wajah jenama terbaru bagi menyaingi perniagaan Sosilawati. Tidak pasti dari mana modal perniagaan itu diperoleh,” katanya yang enggan namanya didedahkan berikutan bimbang ia boleh mengeruhkan hubungan keluarga.
Sementara itu, rakan baik Sosilawati yang juga pengasas produk De’ Wajah, Junaidah Kiting yang dihubungi turut memberitahu pernah menerima panggilan telefon daripada arwah sahabatnya itu yang mengeluh dan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pekerja terbabit.
Menurutnya, Sosilawati marah dan tidak menyangka pekerja kesayangannya itu sanggup menipu dan memperdayanya.
“Bagaimanapun, saya tak tahu butiran terperinci berikutan Sosilawati ketika itu sibuk mengira anggaran kerugian dialami melalui stokis yang membuat pembayaran sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Junaidah sekali lagi menyatakan kesudiannya untuk membantu anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, meneruskan perniagaan kosmetik ibunya itu dengan memberikan apa jua nasihat berhubung pengurusan perniagaan terbabit.
“Sebagai antara rakan karib Sosilawati yang sama-sama menceburi perniagaan ini sejak lebih 10 tahun lalu, saya turut berasa bertanggungjawab bagi membantu anak-anak Sosilawati sekiranya diperlukan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pekerjakesayanganpenipu/Article
Ibu lahir kembar lapan ditawar bintangi filem lucah
NEW YORK - Seorang ibu tunggal yang melahirkan kembar lapan, Nadya Suleman (gambar) ditawarkan wang sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) oleh pihak pengurusan syarikat Vivid Entertainment untuk membintangi sebuah filem lucah berdurasi satu jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Laman web berita hiburan TMZ melaporkan, jika Nadya menerimanya, Vivid boleh menguruskan pembayaran pendahuluan dalam tempoh segera sebelum penggambaran pada bulan Oktober depan.
Sebelum ini, laman berita hiburan Radaronline.com melaporkan Nadya yang berumur 35 tahun telah melupakan hasratnya untuk muncul dalam program realiti televisyen dan terpaksa menerima wang kebajikan.
"Nadya perlu mengupah beberapa orang penjaga, selain perbelanjaan yang kian meningkat untuk membesarkan 14 orang anaknya.
"Dia memerlukan banyak wang hanya untuk memenuhi keperluan asas. Kini, pendapatannya semakin sedikit dan tidak lagi mencukupi sejak tahun lalu," kata satu sumber kepada Radaronline.com.
Sumber itu turut menyatakan bahawa Nadya sebelum ini menerima bantuan orang ramai untuk membiayai anaknya.
Nadya dikatakan sering gagal membayar pinjaman dan proses menarik balik rumahnya mungkin berlaku tidak lama lagi.
Pada awal tahun ini, Nadya bergambar dengan memakai bikini untuk majalah Star, kurang setahun selepas dia melahirkan kembar lapannya pada Januari 2009.
Nadya hamil kembar itu menggunakan sperma seorang lelaki. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm
Woods halang bekas kekasih berbogel
--------------------------------------------------------------------------------
NEW YORK - Pemain golf terkenal dunia, Tiger Woods menghalang rancangan bekas perempuan simpanannya, Rachel Uchitel untuk bergambar bogel dalam majalah Playboy, lapor sebuah akhbar semalam.
Uchitel yang popular kerana skandalnya dengan Woods didakwa melakukan perjanjian dengan Woods melibatkan jutaan dolar selepas menandatangani satu perjanjian rahsia.
Namun, Radaronline. com melaporkan Woods mengugut akan membatalkan perjanjian itu jika dia berbogel untuk majalah tersebut.
Majalah Playboy mahu mengetengahkan bekas pelayan kelab di New York itu sebagai penghias kulit hadapan selain artikel mengenai Woods.
Jika bersetuju berbogel, wanita itu akan menerima bayaran sebanyak AS$300,000 (RM931,049).
Namun, peguam Uchitel pada Disember lalu menyatakan bahawa khabar angin bahawa anak guamnya akan tampil di dalam majalah Playboy sudah tersebar luas.
"Khabar angin ini tidak betul. Rachel tidak akan bergambar untuk Playboy," katanya. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
Daging halal diguna meluas di Britain
GAMBAR yang disiarkan akhbar Mail on Sunday menunjukkan seorang peminat kelab bola sepak Manchester United memakan daging halal yang dijual di Stadium Wembley, Britain.
--------------------------------------------------------------------------------
LONDON - Siasatan oleh wartawan akhbar Mail on Sunday semalam mendedahkan bahawa sekolah, hospital, pub dan lokasi-lokasi sukan berkuda terkenal seperti di Ascot serta Twickenham di Britain menyediakan daging yang disembelih secara halal untuk orang awam.
Semua daging lembu, ayam dan kambing yang dijual kepada peminat bola sepak di Stadium Wembley juga disediakan mengikut syariat Islam.
Kolej Cheltenham yang mengamalkan semangat Kristian yang kuat ialah antara sekolah awam utama yang menyediakan ayam halal kepada semua pelajarnya tanpa memberitahu mereka mengenainya.
Menurut akhbar itu, kumpulan hotel dan restoran terbesar di Britain, Whitbread yang memiliki rangkaian restoran Beefeater dan Brewers Fayre mengaku lebih tiga suku hidangannya adalah halal.
Perkembangan penggunaan daging halal, termasuk di kawasan yang populasi Muslim sangat kecil itu didedahkan ketika Ketua Gerega Roman Katholik, Pope Benedict XVI melawat Britain buat pertama kali.
Seorang jurucakap di Twickenham yang menjual hanya ayam halal tanpa membuat sebarang pengiklanan mengenainya menegaskan penjualan daging halal itu tidak pernah menjadi isu.
"Keutamaan kami ialah lebih kepada mereka yang mahukan daging halal," katanya.
Institusi lain yang secara rahsia menyediakan daging halal ialah Yayasan Amanah Mid-Staffordshire.
Jurucakap bagi hospital-hospital di London memberitahu satu-satunya cara orang ramai yang mengunjungi kantin mengetahui bahawa mereka sebenarnya makan ayam halal adalah dengan bertanya kepada penjual makanan di kantin tersebut.
Kumpulan hotel dan restoran Whitbread yang memiliki rangkaian restoran Table Table, kedai Costa Coffee dan hotel Premier Inn mengaku bahawa 80 peratus ayam yang disediakan pihaknya datang daripada pembekal makanan halal termasuk yang dimonopoli oleh peniaga Islam Turki.
"Kami tidak meletakkan halal sebagai syarat dalam pemerolehan bahan mentah. Keputusan kami dibuat atas dasar kualiti dan harga. Kebetulan pula sumber ayam kami adalah halal.
"Ia tidak dinyatakan dalam menu kerana kami tidak fikir pelanggan-pelanggan mahukan maklumat tersebut.
"Namun jika pelanggan mahukan makanan halal, kami pasti akan menyediakannya," kata jurucakap Whitbread.
Pihak pengurusan Kolej Marlborough di Wiltshire menyatakan walaupun pada kebiasaannya ayam halal hanya dihidangkan kepada pelajar Muslim, ada ketikanya ia turut dihidangkan kepada semua pelajar. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
Pelajar bakal ambil UPSR hilang
hidayat.azmie@kosmo.com.my
EDWIN dan isterinya menunjukkan laporan polis dan kad pengenalan Caroline yang hilang selepas keluar dari rumah mereka di Kota Masai enam hari lalu.
--------------------------------------------------------------------------------
JOHOR BAHRU - Gara-gara mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah rakan, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun, Caroline terus tidak pulang setelah keluar dari rumah ibu bapanya di Kota Masai di sini sejak enam hari lalu.
Menurut bapanya, Edwin Nuly, 48, anaknya memberi alasan tersebut sewaktu meminta izin untuk keluar rumah pada petang 14 September lepas.
Menurutnya, Caroline yang akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok sempat menelefonnya sebanyak empat kali selepas itu dan memberitahunya supaya tidak bimbang kerana dia akan tidur di rumah rakannya.
Bagaimanapun, anak ketiganya daripada empat beradik itu tidak lagi dapat dihubungi selepas itu menyebabkan mereka sekeluarga bimbang.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm
Dua wasiat tauke kosmetik
mohdrizam@kosmo.com.my
AHLI keluarga Sarina berkumpul untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai kematiannya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
BUKIT MERTAJAM – Pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar (gambar) yang ditemui mati tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini kelmarin sempat meninggalkan dua wasiat kepada anak saudaranya sebelum menemui ajalnya.
Naimah Sahid, 32, memberitahu, dua wasiat itu ialah mengamanahkannya supaya menjaga keempat-empat anak Sarina dan menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dijadualkan berlangsung Januari tahun depan.
Naimah mendakwa, perkara itu diucapkan sendiri oleh Sarina, 43, dalam perbualan telefon selama empat minit pada pukul 8.03 pagi kelmarin.
Katanya, selain wasiat tersebut, Sarina juga ada mengatakan yang dia tidak mampu lagi menanggung tekanan yang dihadapi ekoran masalah keluarga.
“Sebelum ini pun Mak Anjang (Sarina) kerap mengadu masalah itu kepada saya dan setiap kali mengadu dia akan mengatakan yang dia sudah berputus asa untuk menghadapi bebanan tersebut.
“Pada hari raya pertama, Mak Anjang ada datang rumah saya di Padang Serai, Kedah untuk mengadukan masalah itu kepada saya dan kelmarin dia datang lagi dengan tujuan yang sama,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
Wong Tidak Akan Berubah Jika Tiada Tindakan Tegas Diambil
Updated: Isnin September 20, 2010 MYT 12:30:51 PM
Oleh YUEN MEIKENG
PETALING JAYA: Penyeludup yang didapati bersalah menjual atau menyeludup hidupan liar seperti kes melibatkan Anson Wong perlu disekat daripada diberi lesen sekiranya pihak berkuasa bersungguh-sungguh untuk membanteras jenayah itu.
Penulis dari Amerika Syarikat, Bryan Christy berkata, Wong, atau sesiapa berkaitan dengan dia, tidak harus diberi lesen oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melindungi spesies terancam.
Christy, yang menulis satu pendedahan mengenai Wong bertajuk “The Kingpin” dalam majalah National Geographic, berkata lelaki itu sepatutnya digambarkan dengan ayat yang lebih keras bagi mengingatkan masyarakat mengenai dirinya sebagai penyeludup hidupan liar.
“Sebetulnya hukuman yang diterimanya memberi satu pesanan lemah. Lebih mengecewakan apabila pihak Perhilitan tidak menangkapnya tetapi pekerja sistem penerbangan yang melakukannya,” katanya yang ditemubual melalui e-mel.
Dalam pada itu, Christy dalam kenyataanya tidak mempercayai, Wong, walaupun dihukum penjara selama enam bulan dan didenda RM190,000 kerana cuba untuk menyeludup 95 ekor ular tanpa permit baru-baru ini, akan mengubah caranya.
"Saya tidak fikir dia akan berubah selepas menjalani hukuman selama lima tahun di Amerika Syarikat, dan beberapa tahun di sebuah penjara di Mexico," kata Christy yang juga pengarang The Lizard King, sebuah buku mengenai penyeludupan hidupan liar.
Christy menyeru supaya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya membuat pembaharuan terhadap Perhilitan supaya jabatan itu dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pihak berkuasa pengurusan negara untuk hidupan liar sebagai ia di tadbir di bawah konvensyen perdagangan antarabangsa.
“Sepatutnya mereka perlu hentikan dengan semua idea lemah seperti ‘jawatankuasa audit', cadangan untuk ‘menyelia' Perhilitan dan menghentikan meminta mereka untuk menyiasat sendiri kes yang berlaku. Mereka sepatutnya mula mengambil tindakan sebenar. Ia memalukan,” katanya.
Christy berkata, dia yakin kepimpinan dalam Perhilitan sebagai halangan terbesar dalam proses pemuliharaan hidupan liar di Malaysia malah halangan itu lebih besar daripada Wong.
“Apa yang anda perlu lakukan adalah melihat bagaimana mereka mengendalikan kes apabila seorang penyeludup seperti Wong terdedah.
“Mereka tidak bertanya mengenai pihak yang gagal untuk menghalangnya. Mereka mempersoalkan siapa yang berani mendedahkan perbuatan dia.
"Malah mereka tidak meminta maaf untuk kegagalan yang dilakukan. Mereka kata mereka tidak mempunyai sebarang bukti dan itu adalah kegagalan," kata Christy.
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/20/mstar_berita/20100920121855&sec=mstar_berita