Thursday, July 29, 2010

'Tak tahu halal haram'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
2010/07/29

SHAH ALAM: Seorang pemandu yang melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya berusia 16 tahun di atas kusyen van di Hentian Rehat Karak, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berasal dari Balakong dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu berjalan mulai semalam.


Hasbi dalam alasan penghakimannya, berkata mahkamah perlu mempertimbangkan fakta bahawa kes sumbang mahram yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat.


“Sebagai seorang bapa tidak kiralah sama ada bapa kandung atau bapa tiri perlu mendidik dan melindungi anak dan bukannya merosakkan masa depan. “Saya harap hukuman ini memberi amaran kepada orang yang mempunyai niat sama. Orang kita sekarang sudah tidak kenal halal dan haram,” kMengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan mangsa dalam van di Hentian Rehat Karak, kira-kira jam 11 malam, pada Ogos tahun lalu.


Atas perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan mengikut akta berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa menemani tertuduh untuk ke Kuantan bagi menghantar barangan berhubung dengan pekerjaannya.


Dalam perjalanan, tertuduh dikatakan berhenti di hentian lebuh raya dekat Gombak itu, untuk membeli makanan sebelum melakukan perkara keji itu.


Hampir setahun selepas kejadian, mangsa bertindak keluar dari rumah antara 13 dan 16 Julai lalu.


Hanya pada 17 Julai, kakak mangsa yang mengetahui kejadian itu selepas adiknya menceritakan dia dirogol oleh bapa tiri mereka.

Rentetan kejadian itu, kakak mangsa membawa adiknya membuat laporan polis pada hari sama, dan tertuduh ditahan dua hari selepas itu.


Pada prosiding semalam, pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nordin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taktahuhalalharam/Article

Kereta mewah pancing mangsa



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/07/29

KUALA LUMPUR: Kumpulan sasarannya ialah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang dimomokkan dengan keuntungan amat lumayan mencecah enam angka serta kereta mewah bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.
PELBAGAI...antara kereta mewah di lokasi perjumpaan ahli skim terbabit.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
TAHAN...antara ahli skim cepat kaya yang ditahan.
Setiap kali pertemuan, deretan kereta mewah milik ‘upline’ antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline akan diparkir di hadapan kafe atau restoran yang menjadi lokasi perjumpaan bagi memancing mangsa, selain menggambarkan keuntungan luar biasa yang bakal diperoleh.

Itu taktik digunakan satu sindiket skim cepat kaya yang mengaut keuntungan atas angin dan aktif sejak tiga tahun lalu, kini disertai ribuan ahli di seluruh negara dengan majoritinya kakitangan kerajaan.

Berselindung di sebalik nama kelab riadah dan keluarga, sindiket itu menawarkan pelaburan eksklusif dengan menjalankan perniagaan jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan sedangkan ia palsu.

Modalnya juga bukan sedikit kerana ahli perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM41,000 sedangkan pulangan yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan.

Sesi perbincangan untuk berkongsi pelan pemasaran tidak berakhir dalam sehari. Dalang yang juga upline berpura-pura akan berkongsi keuntungan dan membantu mencarikan modal pelaburan melalui pinjaman bank yang akan diluluskan segera.

Selain kereta mewah, dalang lintah darat terbabit sentiasa bermegah-megah dengan barangan mewah dan menceritakan pendapatan mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Segala taktik itu terbongkar apabila lokasi pertemuan ahli kelab terbabit diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) melalui Ops Serama di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, dekat sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata bertindak atas maklumat dan laporan orang ramai pihaknya menyerbu empat restoran dan menahan kira-kira 100 ahli serta dalang skim terbabit.

“Mereka tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah. Pada peringkat awal, mangsa diminta membuat pelaburan RM41,000. Jika mangsa tidak berkemampuan mereka akan menawarkan pelaburan RM13,000 dan paling rendah RM2,000.

“Namun, dek kerana tamak, ada yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga dan saudara-mara untuk melabur dengan modal tinggi kerana dijanjikan keuntungan lebih besar,” katanya sambil memberitahu skim itu menjalankan pelaburan berkonsepkan piramid.


Rohaimi berkata, jika mangsa gagal mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, sindiket itu akan bekerjasama dengan koperasi yang ‘tenat’, namun jika gagal mendapatkan pelabur baru untuk melangsaikan hutang, mereka akan menerima ugutan dan ancaman ala along.

“Dalam serbuan itu kami menahan beberapa dalang yang sedang memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan dan merampas 17 kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran 8282, 925 dan 3399 yang menjadi simbol identiti sindiket itu.


“Dalang terbabit memujuk serta meyakinkan mangsa terutama mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun atau syarikat swasta yang mempunyai panel dengan institusi kewangan kerana mudah membuat pinjaman melalui skim potongan gaji atau Biro Angkasa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Menurut Rohaimi, pihaknya sudah sebulan melakukan intipan dan memerhati pergerakan sindiket penipuan terbabit dan pihak KPDNKK juga menerima lebih 30 laporan berhubung kegiatan itu.

“Selepas mengambil keterangan, kami menahan 50 lelaki dan sembilan wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan direman sehingga esok.


“Siasatan awal juga mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang lesen jualan langsung serta pendaftaran syarikat. Segala transaksi pemindahan wang dimasukkan ke dalam akaun individu upline masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan cepat kaya dan berkonsep piramid.


“Mereka boleh mendapatkan maklumat melalui laman web KPDNKK bagi mengesahkan sama ada syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung itu berdaftar atau tidak. Mereka yang meragui kesahihan perniagaan itu diminta membuat laporan di pejabat KPDNKK untuk tindakan selanjutnya.

“Skim cepat kaya ini kebiasaannya menyebabkan mangsa terjebak masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menjejaskan prestasi kerjaya. Ini perkembangan tidak sihat untuk penjawat awam,”
katanya.

Tiga murid sekolah rendah dikenal pasti dirogol pemandu bas

2010/07/29

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya dikenal pasti menjadi mangsa rogol seorang pemandu bas sekolah yang ditahan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai dirogol pada hari berlainan ketika menjadi penumpang terakhir bas sekolah terbabit.


"Hasil siasatan polis mendapati tiga kanak-kanak sekolah rendah yang salah seorang berusia 10 tahun, menjadi mangsa rogol lelaki berusia 51 tahun itu di dalam bas berkenaan ketika pulang dari sekolah," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata polis kini sedang mengambil keterangan ketiga-tiga mangsa untuk membantu siasatan selain mendapat gambaran sebenar kejadian.


"Kita sedang siasat jika ada lagi mangsa lain dan kita perlukan masa untuk merekod percakapan kanak-kanak ini, kerana terdapat sedikit kesukaran apabila mereka tidak dapat menerangkan secara jelas tentang apa yang berlaku," katanya.


Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata polis sedang giat memburu suspek kes cabul kanak-kanak sekolah berusia 12 tahun, yang membabitkan pemandu van sekolah di Kelana Jaya.


"Kita sudah ke rumahnya dan mendapati suspek telah melarikan diri," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua kes.


Kejadian rogol itu terbongkar apabila pemandu bas yang merogol seorang murid Tahun Empat pada 12.45 tengah hari, 26 Julai lalu, ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.


Dalam kes kedua pula, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dicabul seorang pemandu van ketika ke kelas tambahan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dengan keluar dari van tersebut. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tigamuridsekolahrendahdikenalpastidirogolpemandubas/Article

RM500j kembangkan perniagaan




KUALA LUMPUR - Petronas Dagangan Bhd. (Petronas Dagangan) memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2010/2011.

Pengerusinya, Datuk Anuar Ahmad (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 75 peratus sehingga 85 peratus akan disalurkan bagi rancangan pengembangan sektor perniagaan runcit.

"Kami mahu meningkatkan penguasaan pasaran dalam sektor perniagaan runcit kerana sektor itu merupakan segmen yang menguntungkan.

"Setiap tahun kewangan, kami menyatakan mahu membuka kira-kira 30 buah stesen baru dan adakalanya sasaran itu tidak dicapai ekoran tidak mendapat kelulusan pada waktunya dan kelewatan kerja-kerja pembinaan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-28 di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Hidup dengan lauk kenduri


ku faridah (kanan) menangis sambil memeluk ahli keluarga selepas kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - "Setiap hari anak-anak akan tanya, ibu apa lauk kita hari ini dan saya jawab tak ada.

"Hidup kami susah. Anak-anak terpaksa cari rumah yang adakan kenduri. Mereka membawa pulang lauk untuk kami makan sama-sama," demikian kata Ku Faridah Ku Seman, 33, seorang lagi wanita Malaysia yang terpedaya dengan lelaki Lombok dan hanya dapat kembali ke tanah air selepas hampir 10 tahun menderita.

Ku Faridah, seorang janda, mengenali lelaki itu yang bernama Rosman, 35, pada tahun 2000 sewaktu menetap di rumah adiknya di Johor Bahru.

Rosman dikatakan lelaki yang pandai mengambil hati semata-mata kerana dia sering menolong Ku Faridah dan adiknya membayarkan sewa rumah serta membelikan mereka makanan.

Mereka kemudian bercinta dan akhirnya bernikah tanpa restu keluarga di sebuah masjid di Johor Bahru sebelum lari ke Lombok, sebuah wilayah di Mataram, Indonesia.

Pasangan itu pada mulanya hidup bahagia dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4 dan Dewi Helen Fiona, 2.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

'Saya tiada dana politik'

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/07/28

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menafikan dia terbabit dalam meluluskan ‘calling visa’ atau permit kerja bagi pekerja Bangladesh untuk mengisi dana politik.

Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don yang didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada seseorang bernama Sim Guan Yu atau Datuk Low pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.


Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada 10.15 malam hari terbabit.


Menjawab soalan peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Wahid, dia juga menafikan ada meminta adik iparnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman mengumpul duit dana politiknya atau mana-mana individu ketika proses kelulusan permit kerja itu dilakukan.


Bagaimanapun, dia bersetuju dengan cadangan peguam bahawa walaupun kelulusan permit kerja ini diserahkan kepada Ketua Pengarah Imigresen, dia masih boleh meluluskan jika ada permohonan daripada majikan.


“Tidak wujud dana politik untuk diri saya seperti yang didakwa dalam keterangan seorang saksi, Burugabudeen Mohamed Ismail yang mengatakan bahawa dia dimaklumkan adik ipar saya (Syed Abdullah) berhubung kutipan itu.


“Bagaimanapun saya juga tidak menolak kemungkinan ada individu tertentu yang menggunakan nama saya untuk mengutip dana,”
katanya.


Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan 20 Ogos ini bagi membolehkan pendakwa raya dan Sithambaram mengemukakan hujahan secara bertulis.


Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas bersidang selama 28 hari dengan mengemukakan 40 saksi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatiadadanapolitik/Article

Janin bayi lelaki dalam plastik

2010/07/28

KUALA LUMPUR: Belum pun tiga hari selepas mayat seorang bayi perempuan dibuang ke dalam sebuah tong sampah di Sentul di sini, tragedi sama berulang lagi apabila janin bayi lelaki yang dipercayai digugurkan ditemui di kawasan perangkap sampah Sungai Batu, Jalan Kolam Air, Setapak, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, janin bayi yang dianggarkan berusia kira-kira lima bulan dibungkus dalam plastik biru sebelum dicampakkan ke dalam sungai.


Difahamkan, kejadian itu disedari seorang pekerja pembersihan yang berada di lokasi kejadian untuk melakukan tugas membersih sampah di perangkap sampah di sungai berkenaan.


Menurut sumber, pekerja berusia 25 tahun itu curiga melihat satu plastik yang ditemui sebelum membukanya. Sebaik dibuka, lelaki terbabit terkejut apabila menemui janin bayi lelaki yang masih berlumuran darah dipercayai baru digugurkan.


“Lelaki itu segera menghubungi polis sebelum janin bayi terbabit dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, janin bayi lelaki belum cukup bulan itu dianggarkan berusia kira-kira lima bulan berdasarkan keadaannya yang sudah hampir cukup sifat.


“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat, tetapi polis sedang mengesan mereka yang bertanggungjawab membuang janin berkenaan,” katanya.


“Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. Zakaria berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian malam Sabtu lalu, mayat seorang bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat serta uri ditemui di dalam tong sampah di flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul, di sini.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang pengutip barang lusuh yang menggeledah tong sampah di flet berkenaan menemui satu bungkusan plastik yang mencurigakan sebelum mengeluarkannya dan meletakkan di lantai.


Pengutip terbabit terkejut sebaik membuka bungkusan apabila menemui satu objek menyerupai bayi. Selepas pasti ia adalah bayi, sebelum menghubungi polis.


Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janinbayilelakidalamplastik/Article

Lapan jahanam

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/07/28

AMPANG: Hanya kerana enggan menyertai satu kumpulan samseng, dua pelajar sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, dibelasah sekumpulan lapan remaja yang tidak berpuas hati dengan mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua pelajar terbabit dibelasah di depan sekolah sebelum seorang daripada mereka menghubungi bapa saudaranya.


Namun, bapa saudaranya yang datang dengan tujuan membantu turut dibelasah kumpulan samseng terbabit.


Menurut sumber polis, kejadian berlaku apabila dua pelajar berusia 15 tahun itu sedang berjalan di kawasan luar sekolah.


“Ketika itu, ada sekumpulan remaja belasan tahun yang sudah tidak bersekolah berlagak samseng dan memanggil mangsa.


“Sebaik menghampiri kumpulan itu, mangsa dipaksa menyertai kumpulan mereka selain turut meminta wang perlindungan sebagai tanda mereka bersetuju menjadi ahli kumpulan.


“Bagaimanapun, mangsa enggan dan menolak pelawaan kumpulan itu.


“Tindakan itu ternyata menimbulkan kemarahan kepada kumpulan terbabit yang kemudian secara tiba-tiba mengamuk dan membelasah mangsa.


“Seorang daripada mangsa sempat menghubungi bapa saudaranya yang tiba tidak lama kemudian, namun lelaki terbabit turut dibelasah,”
katanya.


Berikutan kejadian itu, semua mangsa yang dipukul dengan rotan dan kayu itu cedera di badan, muka dan kepala. Semua mereka kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapat rawatan.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan kejadian itu.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan dan polis tidak menolak kemungkinan kumpulan remaja ini ialah samseng dan cuba mencari rekrut di kalangan pelajar untuk menyertai mereka.


“Kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lapanjahanam/Article

Sistem Biometrik

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/07/28

PUTRAJAYA: Majikan atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan urusan pekerja asing yang gagal mematuhi peraturan akan disenaraihaitamkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan dasar membenarkan pengambilan pekerja asing, tetapi setiap majikan perlu sedar dan memahami setiap kebenaran membawa masuk seorang pekerja asing datang bersama pelbagai bentuk peranan dan tanggungjawab yang akan ditetapkan secara jelas melalui peruntukan undang-undang.


“Kegagalan mematuhi undang-undang bermakna mereka bukan saja berdepan tindakan undang-undang malah akan disenaraihitamkan daripada mendapat kemudahan sama pada masa akan datang.


“Tindakan itu bukan hanya diambil terhadap syarikat malah kepada individu yang tersenarai dalam lembaga pengarah dan pemegang saham,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berhubung Strategi Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing di kementeriannya di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Subramaniam.


Hishammuddin berkata, tindakan itu adalah antara 29 inisiatif yang dikemukakan Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa I (Julai hingga Disember 2010); fasa II (Januari hingga Jun 2011 ) dan fasa II (Julai hingga Disember 2011).


Beliau berkata, sebahagian besar inisiatif yang dilaksanakan dalam fasa I akan tertumpu kepada aspek pemantapan peraturan dan undang-undang serta penambahbaikan syarat dan peraturan berhubung kemasukan, keberadaan dan proses keluar masuk warga asing.


Katanya, penambahbaikan itu membabitkan semua kategori warga asing seperti pelajar, pekerja dan pelancong.


Menurutnya, inisiatif yang akan dilaksanakan dalam fasa II membabitkan penggunaan sistem Biometrik di setiap pintu masuk negara dan pembinaan pangkalan data majikan bagi membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan supaya mereka yang dilarang memasuki negara dapat dikenal pasti.


“Selain itu, inisiatif ini juga memudahkan pergerakan penguatkuasaan secara menyeluruh tanpa bergantung kepada dokumen warga asing seperti dilaksanakan ketika ini.


“Ini bermakna, gejala pemalsuan dokumen dan taktik pembuangan dokumen tidak boleh lagi dijadikan kaedah untuk warga asing yang melakukan kesalahan imigresen melepaskan diri,” katanya.

Hishammuddin berkata, pangkalan data majikan pula akan merekodkan segala maklumat berkaitan majikan, dengan wujudnya pangkalan data ini semakan terhadap rekod pengambilan dan pengurusan warga asing oleh sesuatu majikan dapat dibuat dari masa ke semasa khususnya apabila majikan memohon untuk mengambil pekerja asing baru.


“Semakan juga boleh dibuat terhadap rekod pekerja yang hilang dan pekerja yang tidak memperbaharui permit apabila tamat tempoh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SistemBiometrik/Article

'Datuk’ diburu polis

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/07/28

KUALA LUMPUR: Bermodalkan janji manis, seorang penjenayah yang menyamar kononnya VIP bergelar Datuk berjaya menipu beberapa mangsa dengan menawarkan tanah kosong untuk dijual dengan harga tidak munasabah berbanding harga pasaran semasa.

Difahamkan, penjenayah licik terbabit berupaya memperdaya mangsa dengan dakwaan kononnya tanah kosong terbabit milik Umno Perak dan sengaja mahu diagih dan dijual pada harga murah kepada orang ramai.


Taktik suspek ternyata meyakinkan mangsa supaya mengeluarkan wang simpanan hingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memilik beberapa lot tanah yang hakikatnya tidak pernah wujud.


Penipuan terbabit didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani selepas seorang mangsa juga pegawai Plus Expressways Berhad (Plus) kerugian RM9,600 apabila diperdaya membeli dua lot tanah kosong tidak wujud di Kamunting, Perak.


Menurutnya, mangsa berusia 46 tahun dan berasal dari Taman Batu Permai, di sini, mula diperkenalkan kepada Datuk terbabit oleh seorang rakan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, pada Mac 2008.


“Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa beberapa lot tanah kosong kepunyaan Umno Perak di daerah Kamunting mahu dibahagikan dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM4,800 bagi setiap lot. “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu menyerahkan wang tunai RM9,600 kepada Datuk berusia 52 tahun itu sebagai bayaran membeli dua lot tanah kosong berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, selain mangsa, beberapa lagi rakan mangsa turut diperdaya Datuk palsu terbabit selepas turut membuat pembayaran wang puluhan ribu ringgit kepada suspek.


“Suspek berjanji akan menguruskan dokumen pemilikan semua tanah terbabit secepat mungkin. Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila tanah dijanjikan itu gagal diperoleh walaupun hampir tiga tahun pembayaran dibuat.


“Seorang rakan mangsa membuat semakan mengenai status tanah terbabit di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping baru-baru ini,”
katanya.


Menurutnya, mangsa terkejut dimaklumkan lot tanah berkenaan tidak wujud seperti didakwa suspek sebelum ini. Beliau berkata, menyedari mereka ditipu, pegawai Plus terbabit segera membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, beberapa hari lalu.


“Semua mangsa diperdaya kira-kira RM86,400 turut membuat laporan polis berhubung penipuan terancang terbabit sebelum polis membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas jenayah penipuan.

“Suspek kini diburu polis dan orang ramai yang pernah ditipu atau dijanjikan tanah harga murah diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.


Menurutnya, polis percaya suspek berusia 50-an menyamar sebagai Datuk dan ahli politik masih aktif memperdayakan orang ramai menggunakan modus operandi sama.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Datuk__8217_diburupolis/Article

Detik cemas dua beradik



Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
2010/07/28

KAMUNTING: “Tak baik tinggalkan mereka (mangsa) jauh-jauh, kasihan mereka.” Itu antara perbualan tiga perompak yang sempat didengar seorang remaja perempuan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 17, yang menjadi mangsa culik hampir dua jam selepas kereta milik bapanya dilarikan penjenayah terbabit di pekan Kuala Kangsar dekat sini, kelmarin.

SYUKUR...Fauziah mendengar cerita Farhana sambil meriba Siti Haidar.
SYUKUR...Fauziah mendengar cerita Farhana sambil meriba Siti Haidar.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, Nurul Fatin Farhana bersama adiknya, Siti Haidar, 6, terpaksa melalui detik mencemaskan selepas dilarikan tiga lelaki yang merampas kereta bapa mereka ketika kenderaan itu ditinggalkan ibu bapanya di depan sebuah kedai gambar di Jalan Sagor di sini.

Sebaik memasuki kereta itu, seorang daripada penjenayah mengarahkan dua beradik berkenaan diam jika tidak mahu dicederakan.

Selepas hampir dua jam berada dalam tawanan penjenayah terbabit, dua beradik itu ditinggalkan di tepi jalan sunyi dan gelap di Liman Kati, kira-kira 20 kilometer dari tempat kereta bapa mereka dilarikan.

Pada kira-kira jam 11.20 malam, dua beradik itu ditemui seorang lelaki yang kemudian membawa mereka ke Balai Polis Kuala Kangsar.

Kereta Honda Accord milik bapa mangsa ditemui semula di Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira jam 1.40 pagi.

Menceritakan detik cemas itu, Nurul Fatin Farhana berkata, dia sempat mendengar perbualan ketiga-tiga perompak terbabit sebelum dia dan adiknya ditinggalkan di kawasan terpencil selepas dilarikan hampir dua jam.

Menurutnya, ketika dilepaskan kumpulan perompak itu, seorang daripada mereka turut ‘bermurah hati’ memberi wang RM10, dua lampu picit dan kunci rumah.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak merancang untuk melarikan diri kerana adik (Siti Haidar) nyenyak tidur di tempat duduk belakang.

“Ketika dilarikan, saya mematuhi semua arahan kerana bimbang dicederakan selain khuatir mereka merogol saya,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah di sini, semalam.

Katanya, penjenayah itu memandu laju kereta bapanya dan pernah satu ketika diberhentikan secara mengejut menyebabkan dia terkejut.

Ibu mangsa, Fauziah Saafie, 41, berkata dia bersama suami, Mejar Dzulkafli Ahmad, 48, keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam ke pekan Kuala Kangsar bagi mengambil tempahan gambar di sebuah kedai gambar.

“Ketika tiba di tempat kejadian, saya dan suami meninggalkan kedua-dua anak yang tidur dalam kereta dengan enjin kenderaan tidak dimatikan dan pintu tidak dikunci.

“Selang lima minit kemudian, suami memaklumkan kereta kami dilarikan bersama dua anak yang berada dalam kenderaan itu,”
katanya.

Katanya, dia hampir terduduk dan pengsan sebaik mengetahui anak-anaknya dilarikan perompak sebelum menghubungi polis.

“Kejadian itu memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak dicederakan dan mereka ditemui seorang lelaki sebelum dibawa ke balai polis berhampiran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...