Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
|
|
SHAH ALAM: Cubaan dua beradik melarikan beg tangan selepas meragutnya daripada seorang wanita gagal apabila kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dikejar mangsa di Persiaran Subang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang, seorang daripada dua beradik terbabit memecahkan cermin tingkap kiri Mercedes Benz CLK 200 dipandu mangsa, dipercayai menggunakan topi keledar sebelum menyentap beg tangan berjenama Louis Vuitton.
Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan, Junaili Abdul Hamid, 43, berhenti di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Kerjaya, berhampiran sebuah stesen minyak di Glenmarie untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 13 di sini, dari tempat kerjanya di Sungei Way, Petaling Jaya.
Berang dengan tindakan peragut terbabit, wanita itu terus mengejar mereka sejauh hampir dua kilometer sebelum motosikal Yamaha RXZ yang dinaiki dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu terbabas sebelum melanggar sebuah teksi.
Difahamkan, pada masa sama, sebuah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada di tempat kejadian turut membantu mangsa mengejar peragut terbabit.
Suspek yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala abangnya, 30, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Dua beradik berkenaan berasal dari Sungai Burong, Sekinchan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata siasatan awal mendapati, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan, kereta dipandu mangsa dihampiri motosikal peragut terbabit sebelum seorang daripada mereka memecahkan cermin kenderaan itu.
“Sejurus kemudian, seorang daripada mereka menyambar beg tangan yang diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu dan terus memecut motosikalnya.
“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu mengejar peragut terbabit sebelum motosikal yang ditunggangi suspek terbabas dan melanggar sebuah teksi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Selepas pelanggaran itu, seorang daripada suspek masih cuba melarikan diri, namun hanya sempat lari kira-kira 50 meter sebelum rebah dan meninggal dunia di tapak pembinaan berhampiran, manakala seorang lagi menggelupur kesakitan lalu dikejarkan ke HTAR, tetapi meninggal dunia di sana.
Noor Azam berkata, beg tangan mangsa ditemui semula di tempat kejadian dan wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan polis mendapati peragut terbabit meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan dan kami juga menemui alat pernafasan (inhaler) di tangannya,” katanya, sambil menambah mangsa yang mati di tempat kejadian juga dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.
Mercedes Benz dipandu Junaili turut rosak pada tayar kanan selepas melanggar sebuah van, tetapi dia tidak cedera.
Suami mangsa, Shaikh Feisal Sheikh Mohamed, 43, berkata dia menerima panggilan daripada isterinya pada jam 3.43 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabatnya di Petaling Jaya.
“Sebaik tiba, dua lelaki itu (suspek) dikerumuni orang ramai sebelum saya mendapatkan isteri yang sedang menangis dan trauma berikutan kejadian ini.
“Kejadian ini betul-betul mengejutkan saya, tapi bersyukur kerana isteri terselamat walaupun kereta rosak,” katanya.
Sementara itu, abang suspek yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui kejadian itu melalui rakan dan polis yang menghubunginya.
“Ketika itu saya berada di rumah di Sungai Burong sebelum bergegas ke HTAR untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Selepas dimaklumkan apa yang berlaku oleh pegawai penyiasat, saya menerima perkara ini sebagai takdir dan meminta orang ramai tidak memandang negatif kepada kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, Klang.
Polis juga meminta orang ramai atau saksi kejadian yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fazwan Md Zain di 012-2469020 atau 03-55102222 sambungan 281 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090723234817/Article