Wednesday, November 26, 2008

Asid benzoik tinggi dalam mi


S.M. MOHAMED IDRIS menunjukkan sampel mi kuning yang tinggi kandungan asid benzoik di Pulau Pinang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mendedahkan terdapat mi kuning dan kuetiau yang dijual dalam pasaran mengandungi kandungan asid benzoik yang tinggi.

Kandungan tinggi bahan itu boleh mendedahkan pengguna dengan penyakit asma, rhinitis dan urticaria selain dikaitkan dengan keadaan hiper aktif di kalangan kanak-kanak.

Pendedahan kandungan asid itu secara melampau hasil kajian CAP ke atas 30 sampel mi, kuetiau dan hor fun di beberapa pasar di sekitar bandar ini.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris memberitahu, menurut Akta dan Peraturan Makanan 1983 asid itu tidak dibenarkan dalam makanan berupa mi sebaliknya hanya boleh digunakan terhadap proses makanan seperti cili, produk kacang soya, belacan, pati minuman dan jeruk.

Katanya, tahap maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang makanan ialah tidak melebihi 1,000 bahagian per juta (ppm).

"Namun, hasil kajian CAP mendapati tahap ppm dalam mi, kuetiau dan hor fun di antara 1,285 hingga 4,912 ppm malah ada yang mencecah sehingga 5,354 ppm," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, asid tersebut dipercayai dicampur oleh peniaga dengan menyembur cecair itu ke atas mi untuk memastikan bahan makanan itu kelihatan segar dan boleh disimpan untuk beberapa hari.

S. M. Mohamed memberitahu, dalam satu kajian yang melibatkan sukarelawan yang diuji dengan dos asid benzoik selama beberapa hari mendapati mereka mengalami ketidakselesaan, loya, sakit kepala dan lemah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Anak lari lepas tembak ibu


Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 15 tahun mengamuk menggunakan pistol milik bapanya dan melepaskan tembakan rambang hingga mencederakan ibunya di Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, remaja lelaki terbabit dikatakan dimarahi bapanya yang juga seorang anggota polis berpangkat sarjan sebelum mengambil pistol jenis Glock yang disimpan dalam almari.

Dalam kekecohan itu, remaja itu melepaskan tembakan di halaman rumah dan mengenai rusuk kanan ibunya yang berusia lingkungan 40-an.

Insiden itu tidak berakhir di situ saja kerana remaja itu seolah-olah hilang pertimbangan dan enggan menyerah senjata.

Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian bergegas ke sana bagi melakukan siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata ibu remaja itu yang terkena tembakan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh jirannya.

“Dia kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut.

“Ketika kejadian, bapa, ibu dan tiga adik remaja itu berada di rumah berkenaan,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Difahamkan, remaja itu anak sulung daripada empat beradik dan baru menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini.

Khalid berkata, siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan remaja terbabit dan terdapat beberapa butir peluru dalam pistol itu.

Menurutnya, polis yang mulanya menyangka remaja itu berada dalam rumah cuba memujuk supaya dia menyerah.

“Bagaimanapun ketika memasuki rumah itu, dia tiada dan pemeriksaan mendapati pistol itu dibawa bersamanya.

“Polis yang melakukan gerakan mengesannya kemudian berjaya menahan remaja itu yang menaiki motosikal bersama rakannya kira-kira jam 12.15 tengah malam tidak jauh dari situ,”
katanya.

Beliau berkata, pistol yang dilarikan remaja itu ditemui dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja penyiasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20081126084823/Article

Marahkan ayah, tertembak ibu

Oleh AZIZI MAJID
berita@kosmo.com.my

GOMBAK - Gara-gara perselisihan faham antara bapa dan anak lelakinya, seorang ibu menjadi mangsa apabila satu das tembakan yang dilepaskan anaknya tersasar mengenai rusuk kanannya di Country Homes di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, remaja berusia 15 tahun itu yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan bertengkar dengan bapanya, seorang anggota polis di tempat letak kereta rumah mereka.

Jurucakap polis berkata, ketika pertengkaran berlaku, remaja terbabit kemudian dikatakan masuk ke dalam rumah lalu mengambil sepucuk pistol milik ayahnya dari dalam almari sebelum melepaskan tembakan.

Malangnya jelas jurucakap itu, tembakan tersebut mengenai rusuk kanan ibunya yang turut berada di tempat kejadian.

"Ketika kejadian terdapat enam ahli keluarga mangsa di dalam rumah berkenaan dan ketika remaja lelaki itu melepaskan tembakan ia tersasar pada rusuk kanan ibunya," katanya di sini semalam

Menurutnya, ekoran itu, wanita berusia 45 tahun yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan bantuan jiran untuk rawatan lanjut. Keadaannya dilaporkan stabil.

Bapa remaja itu merupakan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Bomoh didakwa cabul pakar kecantikan


KAMARUL ZAMAN diiringi polis ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam atas tuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas pakar kecantikan.

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - Seorang pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mendakwa dirinya seorang bomoh mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kesalahan seksual menggunakan biji tasbih dan jari ke atas seorang pakar kecantikan pada 15 November lalu.

Pengakuan itu dilakukan Kamarul Zaman Abdul Rashid, 44, di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Kamarul Zaman didakwa melakukan kesalahan seksual tersebut ketika sedang melakukan 'ritual perubatan' ke atas mangsa berusia 33 tahun yang dikatakan dirasuk makhluk halus.

Perlakuan tanpa kerelaan mangsa itu dilakukan pukul 11.30 pagi, 15 November lalu di rumah tertuduh di Blok G (E Tambahan), Kampung Melayu Sri Kundang, Kuang, Rawang dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kamarul Zaman sebelum itu telah ditahan pada 19 November lalu iaitu sehari selepas mangsa membuat laporan polis, tiga hari selepas kejadian.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Wanita cuba terjun bangunan diceraikan

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN dan ALIAS ISMAIL
berita@kosmo.com.my



PAK ENGKU menunjukkan laporan polis berkaitan tindakan isterinya di rumahnya di Hulu Terengganu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

HULU TERENGGANU - "Saya tak ada pilihan melainkan terpaksa lepaskan (cerai) dia dengan berat hati."

Begitulah keputusan dibuat suami kepada seorang suri rumah berusia 38 tahun yang cuba terjun dari bangunan empat tingkat di Batu 24, Kuala Berang di sini, Ahad lalu.

Menurut lelaki dikenali sebagai 'Pak Engku' itu, dia sudah tidak tahan dengan masalah mental isteri keduanya itu yang kerap naik angin dan mudah mengamuk.

Kontraktor binaan itu berkata, wanita terbabit menghidap penyakit mental sejak zaman remaja dan pernah dirawat di hospital sakit mental di Tampoi, Johor selama tiga bulan mulai Jun lalu.

Beliau yang menjual kereta terpakai berkata, wanita itu bergantung kepada ubat penenang dan turut menimbulkan masalah sama kepada tiga bekas suaminya.

"Saya hanya tahu dia ada masalah mental selepas empat bulan berkahwin, saya cuba bantu dia dengan penuh sabar, tapi nampaknya tak ada perubahan malah makin teruk.

"Saya dah tawar hati dan tak tahan lagi kerana ini bukan kali pertama dia buat hal malah dia pernah bakar motosikal dan cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu tahun lalu.

"Dia juga pernah campakkan kipas angin dan telefon bimbit serta pecahkan tiga televisyen gara-gara cemburu hanya disebabkan perkara remeh,"
ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Getang, semalam.


KERATAN Kosmo! keluaran 24 November lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

Ahad lalu, suri rumah itu mencetuskan suasana panik apabila mengancam untuk terjun dari atas bangunan yang sedang dalam pembinaan di Kuala Berang, sebelum diselamatkan anggota bomba dan polis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Pelaburan yang lebur


AMY menunjukkan cek tendang bertarikh 28 Ogos 2008 serta senarai nama penerima wang pelaburan yang seharusnya diagihkan kepada mereka wanita (gambar petak kuning) yang telah menghilangkan diri bersama ratusan juta wang milik para pelaburnya.

--------------------------------------------------------------------------------

WARTAWAN MALIAH SURIP minggu ini membongkar penipuan wang pelaburan membabitkan sebilangan artis terkenal yang dipercayai didalangi seorang wanita.

Berselindung di bawah jenama syarikat rokok antarabangsa, wanita berusia 30 tahun ini menjalankan operasinya melalui ‘sayap’ syarikatnya.

Dan realitinya, syarikat rokok itu tidak pernah mempunyai perdagangan pelaburan seperti yang didakwa.

Selain Awie, Hattan, Amy dan Misha, VAZZ difahamkan terdapat ramai artis lain malah VIP, terperangkap dalam pelaburan ini. Wang pelaburannya bukan sedikit. Menurut sumber, kebanyakan golongan VIP menghabiskan wang sehingga RM10 juta seorang, dengan masing-masing dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh sebulan.

“Walaupun wanita itu ada membuat pembayaran ‘keuntungan’ sekurang-kurangnya dua kali, dia sering menghilangkan diri selepas itu. Bayaran itu pula hanya kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan wang pelaburan,” kata penyanyi Awie.

AMY SEARCH

Angka kerugian: RM 1 juta


SEMPAT didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab mengelapkan duit rakan artis lain, hakikatnya, Amy sendiri terpedaya dengan kebaikan wanita yang kerap bertandang dan sama-sama berusaha menjana keuntungan daripada pelaburan yang mereka jalankan.

Perkenalan sebagai rakan membawa kepada sebuah perdagangan sebelum Amy yang telah mendapat pulangan terhadap pelaburannya juga terpaksa berputih mata selepas wanita itu menghilang pada malam majlis ulang tahun ke-50nya Julai lalu.

Tegas Amy: “Saya tak gelapkan duit sesiapa kerana hakikatnya kami semua ditipu wanita ini. Dan semua yang menyertai pelaburan ini pun pernah mendapat pulangan lumayan sebelum ditipu.

“Siapa boleh menyangka kalau kebaikan dan kenaifan kita untuk melabur akan dijadikan sebagai kelemahan oleh orang seperti ini.”

Amy turut memberitahu wanita tersebut yang berselindung di bawah beberapa nama syarikat kali terakhir memberikan mereka cek yang merupakan cek tendang dan terus menghilang tanpa khabar berita.

Serik dengan pelaburan seumpama ini, Amy yang bagaimanapun menyedari risiko wang yang dilabur akan lebur menyarankan agar semua khalayak lebih berhati-hati apabila berkait isu kewangan seperti ini.

HATTAN

Angka kerugian: Jutaan ringgit


MENJADI individu terawal yang mengenali wanita ini, kata Hattan sesiapa pun boleh terpengaruh dengan kredibilitinya sebagai seorang yang arif tentang pelaburan.

Berketerampilan kelas A, perkenalan awal sebagai teman dan artis sebelum Ramadan tahun lalu, akhirnya terjalin dengan usaha sama di bawah skim pelaburan sebuah syarikat rokok antarabangsa.

Sama seperti Awie, dua transaksi pertama berjalan lancar sehinggalah wanita itu menghilangkan diri Julai lalu.

“Mungkin sebab tamak dan Tuhan nak hapuskan dosa-dosa saya yang lalu, maka ini agaknya bentuk hukuman yang saya terima.

“Saya reda, hanya saya sedih, kami sama-sama mendaftar untuk mengerjakan haji dan kemudian, dia hilang tanpa khabar berita,”
jelas Hattan yang telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers.

Tambah penyanyi ini, yang membuatkan dia bertambah terkilan ialah hampir semua simpanannya disalurkan ke dalam skim ini termasuk menggunakan tabungan Amanah Saham Didik anaknya, Adam, yang bernilai RM50,000.

Pertama kali terkena dan mempercayai skim ini, Hattan mahu apa yang terjadi ke atas dirinya memberi teladan kepada masyarakat.

“Kerana kadang-kadang, kita tak tahu bila kita akan ditipu. Tak apalah, hari ini hari dia, esok lusa hari kita. Ada rahmat daripada Tuhan,” katanya yang enggan memberitahu angka tepat wang yang telah lebur gara-gara mahu menyimpan aset secara mudah.

MISHA OMAR

Angka kerugian: Ratusan ribu ringgit

TIDAK pernah berjumpa, tetapi sekadar melihat wajah wanita ini daripada foto, Misha tertarik mencuba skim ini selepas melihat Hattan, Awie serta beberapa teman artis lain sudah mendapat pulangan.


Sementelah skim ini membawa tagline membantu bumiputera menjana pendapatan dengan cara mudah.

“Kalau nak sebut jumlah kerugian itu, buat sakit hati. Tapi saya melihat ini sebagai satu pengajaran paling berguna.

Tak apalah, mungkin tak ada rezeki saya,”
kata penyanyi yang bakal muncul dengan album terbarunya awal Disember ini pasrah.

Tidak mahu berselindung di sebalik kekhilafannya turut serta dalam skim itu, kata Misha lagi penuh makna: “Saya fikir sejauh mana dia nak lari di bumi Tuhan ini sebab Allah tetap melihat dia. Dia berdosa dengan ramai orang.”

AWIE

Angka kerugian: Ratusan ribu ringgit

WA kena beb, begitu luah Awie sambil ketawa pada soalan yang saya ajukan kepadanya. Dia mengaku telah kehilangan ratusan ribu ringgit hasil pelaburan dalam skim yang disertainya sejak beberapa bulan lalu.

Kata Awie, dia terpedaya kerana wanita itu kelihatan begitu meyakinkan dan tahu selok-belok kewangan serta urus niaga yang dijalankan.

Malah dua urusan pertama Awie membawa pulangan lumayan sebelum wanita tersebut menghilangkan diri sekitar Julai lalu. Beratus ribu ringgit hasil titik peluh Awie lebur.

“Saya akui saya tertipu dan ini adalah kesilapan paling bodoh yang pernah saya lakukan. Mungkin kerana memikirkan untuk mendapat pulangan jangka pendek dengan mudah, jadi saya melabur.

“Malangnya sekarang sudah lebur. Wanita itu hilang bersama duit saya dan jutaan ringgit wang orang lain termasuk VIP. Orang bijak pandai pun ramai yang terpedaya dengan modus operasinya,” jelas Awie panjang lebar.

Selepas membuat laporan dan menyelidik latar belakang wanita itu, barulah Awie tahu wanita tersebut telah mempunyai empat kes polis termasuk satu waran tangkap. Dia dipercayai sudah menjalankan operasi yang sama sejak berusia awal 20-an.

Kata Awie yang reda dan pasrah dengan dugaan kecil Tuhan ini: “Saya mendedahkan isu ini bukan kerana mahu meraih simpati. Tapi saya mahu perkara ini menjadi pengajaran supaya khalayak tidak cepat terpengaruh dengan skim seperti ini.”

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Markas HAK diserbu


Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan MARTIN KAHAR
berita@kosmo.com.my



MARKAS Haji Abdul Kahar diserbu dan dimusnahkan dalam operasi melibatkan 65 anggota penguat kuasa pelbagai agensi kerajaan di Gombak semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


MOHADIS

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - Abdul Kahar Ahmad atau Haji Abdul Kahar (HAK) yang pernah menggemparkan negara pada awal tahun 1990-an apabila mendakwa dirinya sebagai Nabi dan Rasul terus diburu oleh pihak berkuasa kerana dikesan masih rancak menyebarkan fahaman dan dakyah songsang.

Tindakan untuk memburunya dibuat berikutan penemuan markas baru kumpulan itu di sebuah resort seluas empat hektar di kaki bukit di sebuah perkampungan Orang Asli iaitu kira-kira lima kilometer dari Kampung Kemensah di sini.

Abdul Kahar pernah menjadikan kediamannya yang terletak bersebelahan sekolah agama di Kampung Kemensah sebagai lokasi menghuraikan hal ehwal al-Quran dan agama sebagai menggantikan solat.

Antara ajaran songsang yang menjadi pegangan kumpulan ini ialah solat lima waktu tidak wajib tetapi memadai dengan membuat kebaikan dan menjauhi perkara mungkar.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dr. Mohd. Mohadis Yassin (gambar), fahaman bawaan HAK atau 'Ajaran HAK' telah diaktifkan semula oleh serpihan pengikut-pengikut setianya di sini pada awal tahun 2007 walaupun ajaran itu telah difatwakan haram pada tahun 1991.

Sehingga kini, pengaruh Abdul Kahar dikatakan masih menebal dan dipercayai mempunyai lebih 1,000 pengikut di kawasan Lembah Klang dan ini tidak termasuk di negeri-negeri lain.

Hasil risikan dan maklumat bekas pengikutnya, JAIS bersama 65 anggota dari Pejabat Tanah Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, bertindak merobohkan dan membakar sembilan calet di resort berkenaan semalam.

Bagaimanapun, semasa operasi yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir dua jam selepas itu, Abdul Kahar dan para pengikutnya 'lesap' walau pun cubaan menjejaki mereka di dalam hutan dilakukan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Mawi hampir terjerat skim cepat kaya

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
ent_editor@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Penyanyi lelaki popular, Asmawi Ani, 27, (gambar) nyaris menjadi salah seorang mangsa kepada ejen skim pelaburan yang didakwa telah menipu beberapa artis tempatan.

Menurut bakal pengantin baru itu, dia pernah 'dipujuk' oleh wanita yang dikenali sebagai 'Ija' untuk menyertai skim pelaburan yang dikatakan ada kaitan dengan sebuah syarikat pengeluar rokok terkemuka antarabangsa.

"Saya pernah bertemu wanita bernama Ija itu di rumah seorang rakan artis sekitar April atau Mei lalu.

"Saya ditunjukkan sekeping cek yang bernilai ratusan ribu ringgit yang kononnya mahu dibayar kepada seorang artis yang sudah melabur. Tengok cek itu, memang saya hampir bersetuju hendak melabur,"
ceritanya kepada Kosmo!

Menurut Mawi pada awalnya dia hampir terpedaya apabila wanita berkenaan menjanjikan pelaburan itu akan memberi keuntungan sehingga 40 peratus daripada nilai pelaburan dalam masa hanya dua minggu.

Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, dia menangguhkan hasrat itu setelah dinasihati oleh kawan-kawan termasuk bakal isterinya, Ekin.

"Memang dia (Ija) nasihat suruh labur banyak. Tetapi masa tu, saya fikir kalau saya hendak masuk pun, saya mungkin akan labur antara RM5,000 dan RM10,000 sahaja.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Wook 106 tahun bahagia dapat suami muda


Oleh HARADIAN SHAH
HAMDAN dan ALIAS ISMAIL
berita@kosmo.com.my



WOOK ceria di samping Mohd. Nor di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

HULU TERENGGANU - "Kami bahagia dan tak pernah bercerai walaupun ada orang menyangka kami tak tinggal bersama lagi."
Demikian pengakuan ikhlas Mohd. Nor Musa, 37, mengenai status rumah tangganya dengan wanita berusia 106 tahun, Wook Kundur, yang kononnya dikatakan sedang dilanda gelora.

Menurutnya, sejak mendirikan rumah tangga kira-kira tiga tahun lalu, perkahwinan mereka tidak bermasalah bahkan semakin menyayangi satu sama lain, walaupun dipisahkan jarak umur 69 tahun.

"Memang ada saya dengar orang yang bawa cerita kurang elok tentang perkahwinan kami, malah ia sudah didengar sejak awal perkahwinan lagi.

"Kami tak mahu layan cakap-cakap itu kerana tak mampu menjawab khabar angin itu.

"Apa yang dapat kami katakan ialah rumah tangga terus bahagia dan kami sepakat dalam kehidupan seharian,"
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, di sini semalam.

Perkenalan pasangan umpama 'cucu dan nenek' itu bermula apabila Mohd. Nor menyewa rumah milik Wook di kampung itu empat tahun lalu dan banyak membantu kehidupan wanita yang dianggap sebagai ibu angkat itu.

Wook yang ketika itu tinggal berseorangan, kemudiannya mencadangkan supaya mereka berkahwin bagi mengelak pandangan serong masyarakat dan agar Mohd. Nor dapat menjaganya dengan lebih sempurna.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...