Harakahdaily 1
Dan begitulah, dengan alasan yang kompleks dan menjengkelkan, sejarah silam ditarik sekali lagi kepada kenyataan sekarang; sementara kita rakyat Malaysia terus membenamkan kepala ke dalam tanah dan melupakan masa depan. Kini kebanyakan kita tentu sudah mangli dengan kontroversi kecil yang mendapat liputan besar dan disiarkan sebagai tajuk utama: iaitu persoalan sama ada pergelutan yang terjadi dalam serangan ke atas balai polis Bukit Kepong harus dikenang sebagai detik historis dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan.
Malangnya kepada semua parti yang terlibat kelihatan isu ini telah dirampas oleh politik dan ahli politik lagi, seperti yang lazim berlaku di Malaysia hampir setiap hari. Lebih membimbangkan ialah bagaimana keragaman aspek dalam peristiwa ini diangkat secara selektif oleh parti dan aktor yang berlainan untuk melanjutkan hujah mereka, dan mengenepikan kepentingan untuk melihat dalam konteks yang lebih luas terhadap landas yang memunculkan peristiwa ini. Adalah mustahil untuk bersikap objektif dalam hal yang berkait dengan penulisan dan pembacaan sejarah, dan kemungkinan kita dapat menyingkirkan kepura-puraan tersebut. Tetapi buat ketika ini mungkin sebahagian nota pinggir mengenai hal tersebut akan bermakna untuk membuka ruang pencerahan dan perjernihan sedikit sebanyak.
Adakah PAS pro-Komunis? Soalan yang cukup janggal.. Mana mungkin parti Islam sokong Komunis!A. Adakah PAS pro-Komunis?
Salah satu hasil dari perdebatan ini adalah kebangkitan semula pertanyaan lapuk sama ada PAS (Parti Islam se-Malaysia) adalah pro-komunis dalam sejarahnya ketika itu. Hal ini kelihatan sebagai satu pertanyaan yang janggal untuk dikemukakan sama sekali, kerana nyata tidak serasi bagi parti Islam untuk menaruh rasa simpati terhadap fahaman komunisme, yang sering dipandang sebagai pencetus masalah terhadap cita-cita Islam. Tetapi harus diingat bahawa ketika parti Islam Malaya didirikan pada November 1951, banyak pengasas yang membinanya adalah nasionalis yang anti-penjajah yang ingin melihat tamatnya pemerintahan British di Tanah Melayu. Sebahagian daripada mereka adalah bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan juga parti Islam yang pertama di negara ini, Hizbul Muslimin (yang berhasil didirikan, dan sejurus kemudian diharamkan, pada 1948).
Sejarah kekirian PAS mencapai kemuncaknya di bawah teraju Presiden Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), yang tidak menyembunyikan penentangannya terhadap undang-undang British dan antara yang enggan menetapkan perundingan untuk mencari penyelesaian dengan British. Dr. Burhanuddin melahirkan rasa simpati terhadap Parti Komunis Malaya (MCP), yang berkongsi perasaan anti-British dengannya; tetapi ini tidak bermakna beliau mendukung Komunisme sebagai suatu ideologi. Pendirian PAS terhadap MCP ketika itu (dalam dekad 1950an dan 1960an) justeru adalah cukup pragmatik yang berlatarkan satu matlamat bagi menolak pemerintahan kolonial British. Bagaimanapun, harus disedari bahawa PAS juga turut gusar dengan pengaruh Beijing di rantau ini, dan tiada alasan untuk mencadangkan bahawa pemimpin PAS sedia menerima Tanah Melayu diperintah di bawah telunjuk Komunis, baik secara langsung atau tidak, dari Beijing.
B. Adakah parti MCP alat kepada Komunis China?
Kenyataan bahawa MCP dan sayap gerilanya menentang apa jua dan sebarang bentuk penjajahan pemerintah British adalah mudah untuk dibuktikan, dan rekod perjuangan mereka dalam membakar semangat anti-kolonial tersedia bagi sesiapa untuk menyiasat. Persoalan yang lebih sulit untuk dijawab bagaimanapun adalah ini: sejauh mana bebasnya MCP, dan adakah ia – sebagaimana didakwa British – bekerja untuk melanjutkan pengaruh komunis China di rantau ini waktu itu? British kadangkala kaku dalam menangani hal MCP, dan harus diingat bahawa lakaran imej MCP sebagai ‘ancaman bangsa Cina’ adalah hasil bikinan agensi propaganda penjajah British ketika itu.
Di sini, bagaimanapun, perspektif yang lebih luas tentang perkara ini mungkin berguna. Fikirkan tentang Malaya pada tahun 1950an dan layari rantau ini secara menyeluruh, tatkala Perang Dingin sedang hangat. Di Vietnam, Burma dan Indonesia parti Komunis sedang menggembling kekuatan dengan jumlahnya; dan boleh jadi kebimbangan terbesar terhadap Britain ketika itu (seperti yang digusarkan oleh penjajah Perancis dan Belanda yang pergi) adalah kemungkinan seluruh Asia Tenggara menjadi wilayah Komunis. Harus diingat bahawa ini adalah masanya ketika rantau ini digelar ‘Benteng Kedua dalam perang terhadap Komunisme’; dan tatkala blok Barat ingin memastikan bahawa Indonesia – sebagai negara terbesar di rantau ini – tidak akan jatuh ke tangan Parti Komunis Indonesia (PKI).
D. N. AiditDi Indonesia, PKI bangkit dengan tangkas dan menggarap kuasa di bawah kepimpinan manusia seperti D.N. Aidit, dan cukup instrumental dalam membangunkan kekuatan militer rakyat yang kemudiannya mencetuskan gerakan pembantaian ke atas Malaya dalam kempen ‘Ganyang Malaya’ (Hancur Malaya). Hanya setelah kegagalan menggerakkan rampasan kuasa pada 1965 dan penghapusan yang nyata parti PKI antara 1966 hingga 1970 ancaman Komunis di Indonesia reda, dan ikatan antara Malaya dan Indonesia kembali normal.
Berlatarkan hal inilah muncul ketakutan terhadap MCP – dan kebimbangan bahawa ia didukung oleh China – yang disuarakan dan dicanai di Malaya. Sementara adalah benar bahawa MCP anti-British, tiada bukti untuk mencadangkan bahawa ia mendakwa akan dukungan majoriti di kalangan masyarakat utama Melayu-Muslim di negara ini, walaupun terdapat askar melayu dalam Regimen ke-10.
C. Harus Berunding atau Bertempur?
Kemungkinan isu yang paling sengit daripada semua ini adalah sama ada perjuangan menuntut kemerdekaan sebenarnya diperjuang dan dimenangi oleh Sosok Kiri, Islamis atau Nasionalis di Malaysia. Di sinilah medan jangkaan dan seseorang cuma dapat meneka dan membuat spekulasi. Kenyataannya adalah langkah keselamatan yang diperkenalkan sewaktu pengisytiharan tempoh Darurat yang Pertama (1948-1960) bererti hampir kesemua parti dari golongan-kiri, gerakan kesatuan peniaga, kumpulan pekerja, dan lain-lain dihapuskan atau disingkirkan. Mereka yang tinggal untuk meraih keuntungan daripada hal ini adalah pejuang kebangsaan yang konservatif yang memilih untuk menerima perundingan tentang syarat kemerdekaan Tanah Melayu, dan mereka yang merundingkan beberapa isu termasuk hak kerakyatan kepada yang bukan Melayu dan lain-lain.
Tetapi tidak kira bagaimana seseorang melihatnya, kenyataan dalam sejarah adalah gerakan sosok-kiri di negara ini ditubuhkan lama sebelum parti dan gerakan kebangsaan-konservatif muncul. (parti Anarki Melayu diasaskan pada 1919, sebagai contohnya; dan parti MCP pada 1930. Sebaliknya MCA hanya ditemui pada Februari 1949.)
Tentu kita boleh mengandaikan spekulasi sepanjang mana jua berkait dengan persoalan yang banyak tentang ‘bagaimana sekiranya’ situasi lampau itu berbeza. Bagaimana sekiranya MCP tidak diharamkan? Bagaimana sekiranya MCP berhasil dalam kempen gerilanya? Bagaimana sekiranya separuh rakyat Melayu mendukung sayap kiri, dan seterusnya.
Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua.Tetapi dalam peristiwa sebenar, sebagaimana ia berlaku, sosok kiri yang radikal semuanya menghilang pada saat akhir perundingan dan hanya gabungan UMNO-MCA yang berhasil mengaturkan syarat akhir pengunduran British dari Malaya. Jangan jadi terlalu optimis tentang ini: Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua. Matlamat utamanya ketika itu adalah untuk memastikan pelaburan pentingnya di bekas tanah jajahannya tidak dimilik-negarakan, seperti dalam kes di Indonesia ketika Sukarno merampas semua aset kapital pemerintah Belanda dan memilik-negarakannya. Tidak mengejutkan, Britain mahu memastikan pelaburannya dalam bijih dan getah tidak lenyap ketika ia berundur.
Bagaimanapun kita ditinggalkan dengan beberapa hal untuk difikirkan:
Malaya (ketika itu dibawah Tunku Abdul Rahman) merundingkan kemerdekaannya dengan syarat yang membawa faedah bagi kedua pihak. British tidak ditembak hingga terburai atau dibedil hingga relai, dan sungguhpun kehilangan nyawa dalam perang gerila namun harga kemusnahan manusia adalah kurang berbanding apa yang dipertaruhkan di Vietnam dan Indonesia. Sebaliknya, dalam tiga negara di mana perjuangan anti-kolonial diketuai oleh pasukan tentera tempatan – Indonesia, Vietnam dan Burma – tentera tempatan itu kemudian mengambil alih kuasa dan beraksi secara langsung dalam politik dalam dekad seterusnya. Seandainya perang yang sama dicetuskan di Malaya, mungkinkah lahir situasi di mana tentera nasionalis meraih kuasa juga, dengan jeneral dan kolonel mengambil alih kerajaan sepertimana mereka lakukan di Vietnam, Indonesia dan Burma?
Yang mana satu dari hal itu yang telah menyeret perdebatan kita tentang ‘perundingan berbanding dengan perjuangan’. Cuba lakukan penerbangan ke Vietnam atau Indonesia dan di mana saja anda akan menyaksikan tugu pejuang-kebebasan, jeneral, kolonel, pemimpin gerila dan lain-lain. Generasi kepimpinan Malaya yang pertama, sebaliknya, hampir tidak pernah melepaskan satu tembakan atau menikam seseorang dengan pisau belati. Tetapi adakah itu perkara yang buruk? Sementara saya memahami nilai patriotisme dan keberanian dalam menghadapi musuh; seseorang harus juga bertanya: jika dan apabila kita dihadapkan dengan musuh yang mahu berundur yang ingin merundingkan syarat pengunduran, patutkah kita berunding atau berlawan? Saya secara peribadi merasa muak dengan kesemua percakapan kejantanan yang menzahirkan sifat macho dan aksi heroik, dan dengan terus terang benci pada semua lagak keganasan. Melihat pada India, kita harus ingat bahawa sementara terdapat nasionalis India yang bersedia untuk bertempur dengan kekuatan militer British (seperti Subhas Chandra Bose), kemerdekaan India juga dirundingkan – melalui kaedah pembangkangan sivil yang pasif dan penentangan yang berterusan, daripada menggunakan senapang dan bom. Hal yang sama boleh diungkapkan tentang Afrika Selatan, dimana dasar Apartheid ditundukkan oleh tuntutan akhlak yang tinggi daripada tenggelam ke tahap yang sama dengan keganasan regim.
Negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik..PATUTKAH nasionalis Melayu memilih untuk berunding atau berjuang ketika itu? Sekarang dengan jujur saya tidak melihat bagaimana persoalan ini dapat dijawab secara objektif oleh sesiapa (walau saya sendiri). Apa yang boleh kita katakan, dengan sedikit kepastian, adalah dalam kes negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik. (Pasukan tentera Indonesia di bawah pentadbiran Sukarno dan Suharto menuntut hak untuk menubuhkan kuasa politik, berdasar pada sejarah institusinya dan peranannya dalam perang menumpaskan penjajah.) Apakah yang berlaku sesudah itu? Berkemungkinankah Tanah Melayu/Malaysia dengan itu menjadi negara militer? Kita sama sekali tidak tahu, dan spekulasi yang melangkaui hal ini, adalah, sia-sia.
Asas dari kebuntuan yang berakar dalam politik Malaysia kini nampaknya berlegar pada persoalan siapa yang menulis sejarah negara kita dan siapa yang mentafsir/memaknakannya. Kemungkinan salah satu alasan mengapa kita terus saja mengulangi perdebatan ini adalah kebimbangan bahawa sejarah kita tidak cukup inklusif sebagaimana sepatutnya. Kita tidak boleh menafikan bahawa akhirnya pakatan UMNO/MCA yang memenangi syarat kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Tetapi kita juga tidak dapat, dan tidak wajar, menafikan peranan yang dimainkan oleh kumpulan lain termasuk gerakan kesatuan peniaga, gerakan sekerja, media yang masih mentah ketika itu, golongan inteligensia anak watan, budayawan, aktivis Islam dan pejuang kiri kesemuanya. Kesemua mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan drama yang kita nyatakan sebagai sejarah negara kita. Dan sejarah negara kita harus menjadi jelas begitu: suatu rakaman Sejarah Negara yang memperlihatkan kerumitan dan kepelbagaian daripada hal yang kompleks ini yang dipanggil ‘Malaysia’.
Kekesalan saya, sebagai ahli akademik yang tidak mempunyai pilihan, adalah nilai objektiviti dan keseimbangan telah lama meninggalkan pentas dan terlontar keluar dari jendela. Namun kita tidak harus lupa bahawa kisah sejarah yang dipintal menurut acuan yang pincang dan berat sebelah tidak sekadar menggambarkan catatan silam yang tidak benar atau tidak sempurna; malah turut menjadi legasi yang terputus yang sedihnya akan diwariskan pada generasi akan datang. Dan hal itu bukan satu kehilangan kepada salah seorang daripada kita, tetapi kepada semua.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/5296-dr-farish-noor-rekonstruksi-semula-sejarah