Friday, June 25, 2010

Anne Ngasri Sah Cerai Talak Tiga

Published: Jumaat Jun 25, 2010 MYT 12:18:00 PM
Updated: Jumaat Jun 25, 2010 MYT 3:41:50 PM

Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan (kanan) di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini - Foto oleh IQMAL HAQIM ROSMAN.

KUALA LUMPUR: Aktres Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, sedang hamil lima bulan dan Wafi, 28, pernah bercerai dan rujuk sebanyak dua kali pada Julai tahun lalu tanpa pengetahuan mahkamah.

Menurut Shaiful, Wafi melafazkan taklik kepada Anne pada waktu tengahari awal Julai tahun lalu di Sungai Jawi, Pulau Pinang dengan lafaz 'kalau engkau keluar rumah, aku ceraikan engkau'.

Ibu Anne, Habibah dan bekas suaminya, Wafi menenangkan Anne yang hampir pitam sebelum mendengar keputusan cerai di luar mahkamah hari ini.

Kali kedua Wafi melafazkan cerai 'aku ceraikan engkau' kepada Anne pada waktu petang pertengahan bulan yang sama tahun lalu.

Kedua-duanya rujuk semula dan selepas Isyak pada pertengahan Julai tahun lalu dengan kedua-duanya melafazkan 'saya kembali kepada awak'.

Sementara lafaz cerai ketiga iaitu 'aku ceraikan kau Anne' berlaku pada 25 Mac tahun ini, pukul 11.20 pagi di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam. Waktu itu Anne hamil dua bulan.

Wafi mengaku di hadapan Shaiful di kamar hakim sebelum ini bahawa dia pernah melafazkan cerai di tempat kejadian tanpa mempunyai saksi dan mempunyai niat semasa melafazkan ketiga-tiga lafaz cerai itu.

Mereka Anne dan Wafi secara rasminya bercerai pada 25 Mac tahun ini dan Anne menjalani tempoh edah sehingga bayi ketiganya dilahirkan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersedia menerimanya. Saya percaya mesti ada hikmah selepas ini," luah Anne di luar mahkamah.

Terdahulu, sebelum mendengar keputusan Hakim di dewan perbicaraan, Anne hampir pitam di tandas. Khabarnya,dia tidak sempat menjamah makanan tambahan pula dia sedang berbadan dua.

Bagaimanapun, Wafi dilihat masih sempat membelikan minuman untuk Anne.

Wafi hadir ke mahkamah bersama dua rakannya serta peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan manakala Anne ditemani ibunya, Habibah Jaafar.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/25/mstar_hiburan/20100625121619&sec=mstar_hiburan

Maya, Muhammad mohon sah nikah


Maya, Muhammad


KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun berkahwin dan dihambat kontroversi keretakan rumah tangga, pelakon dan pengacara Maya Karin muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bersama suaminya, Muhammad Ali dipercayai bagi mengesahkan pernikahan mereka yang berlangsung di Itali.

Maya Karin, 31, dan peguam syarie, Norhusniah Husin yang mewakilinya hadir di mahkamah pada pukul 2 petang dan terus memasuki kamar Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Ini disusuli dengan ketibaan Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose, 41, bagi menghadiri prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Setelah berada di dalam kamar mahkamah selama 45 minit, Muhammad Ali keluar diikuti Maya Karin, 15 minit kemudian.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak enggan melayani pertanyaan puluhan wartawan yang sudah menunggu di mahkamah sejak pagi lagi.

Biarpun diasak dengan pertanyaan berhubung kehadiran mereka berdua ke mahkamah, Muhammad Ali tetap enggan memberi komen dan mahu soalan itu ditanya kepada Maya.

"You just ask Maya, no comment, (Awak tanya Maya, tiada komen)," katanya. Guru Matematik di sekolah antarabangsa itu sempat memberitahu: "No divorce" (tiada perceraian).

Sementara Maya juga enggan mengulas sebaliknya memohon maaf kepada wartawan kerana tidak boleh menjawab sebarang soalan mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Teman lelaki lari ke Australia

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/06/25

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan yang ‘diperkosa’ teman lelaki akhirnya melahirkan bayi luar nikah di hospital kerajaan di sini, sedangkan kekasihnya pula sudah melarikan diri ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan enggan bertanggungjawab.

Bayi luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas hasil hubungan sulit antara remaja perempuan terbabit yang berusia 17 tahun dengan teman lelakinya dari sekolah yang sama.


Bagaimanapun, ibu mangsa yang kecewa dengan tindakan teman lelaki anaknya yang enggan bertanggungjawab itu mengambil tindakan membuat laporan polis.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, remaja itu melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Sungai Buloh, di sini, pada 2 Jun lalu.


“Hasil siasatan, remaja itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya tanpa sebarang paksaan, tetapi polis tetap mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol kerana mangsa di bawah umur.


“Bagaimanapun, suspek belum ditahan kerana dipercayai berada di Australia untuk melanjutkan pelajarannya,”
katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, semalam.


Dalam kes berasingan, polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun di beberapa kedai serbaneka di daerah ini.


“Kita (polis) berjaya menangkap 17 suspek yang ke semuanya lelaki dalam beberapa serbuan sejak 26 Mac sehingga Mei lalu,” katanya. Menurutnya, geng samun pertama tumpas sejurus ke semua 11 penjenayah itu yang berusia 15 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar berjaya diberkas.


“Hasil tangkapan itu, kita berjaya menyelesaikan 14 kes samun membabitkan kedai serbaneka yang dilaporkan berlaku di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, dan ibu kota.


“Manakala, geng samun kedua dipercayai disertai tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun, tetapi hanya empat daripada mereka berjaya ditangkap,”
katanya.


Difahamkan, kedua-dua kumpulan penjenayah terbabit menggunakan pisau dan topi keledar sebagai senjata, dan hanya mengambil wang tunai dan rokok semasa menjalankan kegiatan samun terbabit.

Menurutnya, semua suspek dikenakan perintah sekatan yang hanya dibenarkan berada di dalam daerah tertentu, manakala suspek yang berusia 15 tahun dikenakan sekatan dengan tidak dibenarkan keluar rumah selepas jam 7 malam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TemanlelakilarikeAustralia/Article

'Ibu, adik rindu abah...'

Oleh Ai’syah Sukaimi

2010/06/25

PUTRAJAYA: “Ibu, kenapa abah tak balik dari kerja lagi, adik rindu abah kerana abah selalu tidur dengan adik selepas abah balik kerja, mengapa abah lama tak balik, ibu?“ demikian rintihan, Nur Izz Dania Batrisyia Mohd Faiz, 4, merindui bapanya yang meninggalkan rumah di Salak Tinggi sejak hampir sebulan lalu.

Rintihan Nur Izz Dania yang sering jatuh sakit selepas kehilangan bapanya itu disuarakan ibunya, Nor Diana Ahmad Ghapur, 34, yang turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Izz Danial, 7, selain dirinya juga yang sedang mengandung lima bulan.


Nor Diana berkata, suaminya, Mohd Faiz Abdul Hamid, 35, yang juga pemandu seorang kenamaan meninggalkan rumah kira-kira jam 7 pagi pada 27 Mei lalu selepas memberitahu mahu melakukan kerja sampingan dengan menjadi pemandu limo.

“Saya tidak pasti sama ada dia berjaya melakukan kerja tambahan itu atau sebaliknya bagi memperoleh pendapatan tambahan untuk keluarga.


“Malah, sebelum kehilangan ini, suami juga memberitahu tidak mahu bertukar ke pejabat di Ipoh, Perak seperti yang diminta syarikat sebelum mengambil cuti,”
katanya ketika datang ke Pejabat Harian Metro, semalam.


Menurutnya, kali terakhir suami menghubunginya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Mei lalu dan memberitahu akan pulang pada 11 Jun, tetapi sehingga kini kelibatnya masih tidak kelihatan.

Nor Diana berkata, tidak ada sebarang perselisihan faham dengan suami seminggu sebelum kehilangan lelaki itu secara misteri.


Menurutnya, suaminya meninggalkan rumah sehelai sepinggang selain dua telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sehingga menimbulkan rasa bimbang.


“Saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini selain dua anak yang sering bertanya ‘abah’ mereka yang sudah lama tidak pulang.

“Memang sebagai isteri, saya juga bimbang memandangkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham sebelum itu,” katanya dalam nada sedih.


Menurutnya, apa yang dihadapi itu adalah pertama kali sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga.


“Mengenangkan nasib anak-anak dan diri yang mengandung lima bulan, saya berharap suami dapat pulang ke pangkuan keluarga dan menyelesaikan sebarang perkara yang berbangkit,” katanya yang meminta orang ramai yang mengenali suami menghubunginya di talian 017-6653750.


Nor Diana berkata, dia sudah membuat laporan berkaitan kehilangan suaminya di Balai Polis Bandar Baru Salak pada 31 Mei lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibu_adikrinduabah/Article

8,439 layak terima ASW

Oleh Idris Musa

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Seramai 8,439 orang tergolong dalam miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara layak menerima Skim Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan agihan prinsipal RM10,000 setiap seorang melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata melalui skim itu, penerima terbabit akan mendapat pulangan termasuk dividen pada setiap tahun hingga sampai ke akhir hayat.


Namun, katanya, seramai 4,976 akan menerima skim terbabit kerana sesetengah daripada mereka tidak dapat didaftarkan disebabkan pelbagai faktor seperti berpindah dari alamat asal dan ada yang tidak berminat.


“Bagi kumpulan ini, untuk Wilayah Persekutuan saja, jumlahnya adalah 196 orang. Saya perlu jelaskan mungkin ada lagi dalam Wilayah Persekutuan mungkin layak tapi tak didaftarkan, bagi golongan ini kita tunggulah.


“Skim ini berbeza dengan skim lain di mana apabila mereka tiada lagi, unit mereka itu akan diserahkan pada orang lain yang layak mendapat bantuan melalui Skim Amanah Saham Wawasan 2020. Unit saham ini tak dijadikan harta pusaka.


“Jadi kita cari orang lain, yang tergolong dalam kategori miskin. Mudah-mudahan orang yang menerima skim ini akan dapat tambah pendapatan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar Untuk Golongan Miskin Tegar dan Miskin Bandar di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam. Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan buku pelaburan kepada penerima skim terbabit di kawasan Wilayah Persekutuan dan wakil di setiap negeri.


Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.


Sementara itu, Najib berkata, kerajaan menetapkan agenda memerangi kemiskinan dan berhasrat mencapai sasaran sifar miskin tegar dan mengurangkan separuh isi rumah miskin keseluruhan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus menjelang akhir tahun ini.


Katanya, kerajaan mengenalpasti melalui satu usaha pendaftaran di bawah eKasih fasa pertama dan fasa kedua bagi kumpulan miskin tegar seramai 50,931.


“Daripada jumlah ini, kini tinggal 33,417 yang masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar dalam pendaftaran eKasih fasa pertama dan kedua, yang dilakukan kerajaan melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU),” katanya.


Melalui program e-Kasih, pendapatan garis kemiskinan bagi golongan miskin tegar adalah kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia, RM540 bagi Sabah dan RM520 di Sarawak manakala golongan miskin pula didefinisikan kurang daripada RM720 di Semenanjung Malaysia, RM960 Sabah dan RM830 di Sarawak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8_439layakterimaASW/Article

Sijil lahir bukan makna rakyat Malaysia

2010/06/25

KUALA TERENGGANU: Mempunyai sijil kelahiran tidak bermakna seseorang individu itu secara automatik mendapat kewarganegaraan Malaysia kerana ia dikeluarkan kepada semua individu yang lahir di negara ini.

Bagaimanapun, bagi warga asing mereka perlu membuat rujukan kewarganegaraan anak dilahirkan itu di negara asal.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang pemuda, Mohamad Firdaus Othman, 20, buntu apabila usahanya mendapatkan MyKad tidak berhasil meskipun mempunyai sijil kelahiran negara ini.


Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Abu Bakar A Rahman berkata, setiap kelahiran bayi di negara ini diberikan sijil kelahiran sebagai tanda kelahiran itu berlaku di negara ini.


Merujuk kepada kes Firdaus yang kedua-dua ibu bapanya warga Thailand, Abu Bakar berkata, dia tidak layak mendapatkan MyKad kerana ibu bapanya bukan rakyat negara ini.


Katanya, walaupun Firdaus dilahirkan di negara ini, itu tidak bermakna dia mendapat kewarganegaraan secara automatik, tetapi sekiranya salah seorang ibu atau bapanya warga tempatan, dia layak mendapat kewarganegaraan.


Beliau berkata, pemuda terbabit boleh memohon mendapatkan kewarganegaraan, tetapi perlu mengikut prosedur serta syarat yang ditetapkan perlembagaan negara.


“Remaja berkenaan a warga Thailand dan sepatutnya selepas kelahirannya 20 tahun lalu, keluarganya perlu ke negara asal membuat segala dokumen kewarganegaraan bagi mengelak kesulitan seperti dialami sekarang.


“Saya merasakan dia boleh merujuk semula kepada pihak berwajib negara asal ibu bapanya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SijillahirbukanmaknarakyatMalaysia/Article

Ibu tunggal bingung dua anak tiada sijil kelahiran

2010/06/25

KUANTAN: Seorang wanita bukan saja menderita selepas ditinggalkan suami, malah bingung memikirkan masa depan dua anaknya apabila mereka menghadapi kesukaran mendapatkan sijil kelahiran.

Ibu tunggal terbabit, Erni Yusnita Che Mat, 38, dari Taman Indera Sempurna, di sini, berkata, dia mempunyai tiga anak namun dua daripadanya tidak mempunyai sijil kelahiran berikutan tiada saksi ketika mendaftar kelahiran di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.


“Anak pertama, Azmi Haikal Osman, 6, mempunyai sijil kelahiran, namun anak kedua, Lokman Hakim, 5, serta anak bongsu, Nur Aliya Farhana, setahun tujuh bulan tidak,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, selepas melahirkan anak keduanya itu, suaminya, Osman Abu Bakar, 50-an, yang bekerja sebagai pemandu lori mula jarang pulang ke rumah dan tidak mengambil berat mengenai kebajikan mereka sekeluarga.


“Dia jarang pulang ke rumah dan jika pulang hanya membeli barangan dapur, namun tidak meninggalkan wang. Malah, langsung tidak mengendahkan kebajikan anaknya yang baru dilahirkan.


“Lebih teruk apabila dia langsung tidak pulang ke rumah dan menghilangkan diri ketika saya sarat mengandung anak bongsu kami hampir dua tahun lalu,”
katanya.


Menurutnya, dia kini hanya memikirkan kebajikan dan masa depan tiga anaknya namun bingung apabila mengenangkan masalah berkaitan sijil kelahiran dua anaknya itu.


“Sebelum ini saya pernah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Indera Mahkota untuk membuat sijil lahir dua anak saya itu namun menurut pihak JPN, saya perlu mendapatkan saksi untuk membolehkan saya membuat sijil kelahiran mereka.


“Masalahnya saya hidup di sini sebatang kara apabila ahli keluarga sebelah suami langsung tidak menghiraukan kami, malah adik beradik saya yang berada di Terengganu juga tidak mahu campur tangan,”
katanya.


Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi tampil membantunya menyelesaikan masalah dihadapi terutamanya ahli keluarga ataupun saudara mara terdekat.

Terima bil hantu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Tidak pernah menggunakan talian telekomunikasi syarikat berkenaan tetapi perlu membayar bil RM266.55 adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk diterima sesiapa saja.

Itulah yang terpaksa dihadapi Chong Yew Chuan, 27, apabila menerima bil daripada sebuah syarikat telekomunikasi menyatakan dia perlu menjelaskan bil terbabit padahal dia langsung tidak pernah mendaftar talian berkenaan.


Chong seorang jurutera, mendakwa namanya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab dan meminta syarikat telekomunikasi terbabit mengkaji semula kes itu bagi memastikan orang lain tidak menerima nasib sepertinya.


Chong ketika ditemui berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak mengenai kes itu pada 21 Jun lalu.


“Pada tarikh sama juga saya ke ibu pejabat syarikat telekomunikasi berkenaan di ibu kota dan terkejut apabila mendapati talian didaftarkan atas nama saya dan akaun terbabit masih aktif walaupun sudah tiga bulan tidak dibayar.


“Saya tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak menggunakan nama saya untuk tujuan itu mahupun mendapat apa-apa faedah dari transaksi dan semua itu adalah palsu.


“Ini sesuatu yang tidak masuk akal, untuk mendaftar talian tetap syaratnya hendaklah disertakan dengan kad pengenalan asal malah saya tidak pernah sesekali kehilangan kad pengenalan,” katanya.


Chong berkata, pendaftaran nombor terbabit dibuat di pejabat cawangan syarikat terbabit di Jalan Ampang.


“Saya pun tidak tahu bagaimana boleh jadi macam ini.


“Sepatutnya syarikat telekomunikasi lebih mementingkan keselamatan dalam mengendalikan pendaftaran pengguna.


Mereka tidak boleh dengan mudah menjalankan pendaftaran sedangkan mungkin ada pihak lain mengambil kesempatan menggunakan nama individu lain,”
katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Bahagian Wangsa Maju, Soo Jing Wey, berkata pihaknya akan menghantar surat kepada polis Kuala Lumpur dan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu.


“Sepatutnya pihak syarikat telekomunikasi perlu berurusan dengan pembekal dan pengedar nombor terbabit sebelum membenarkan pendaftaran dibuat dan ini menimbulkan pertanyaan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku.


“Maklumat yang kami dapat daripada bil telefon yang diterima Chong, pendaftar nombor terbabit tidak membuat sebarang deposit tetapi dibenarkan oleh pihak syarikat telekomunikasi untuk membuat had panggilan sebanyak RM550.


“Kami akan mengkaji masalah ini dan akan cuba untuk menyelesaikannya secepat mungkin,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terimabilhantu/Article

KPDNKK beri kuasa pengguna tetap harga tiga barang

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi kuasa penuh kepada pengguna untuk menetapkan harga maksimum bagi tiga barang iaitu ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata pelaksanaan kuasa penetapan harga oleh pengguna itu berikutan pemansuhan lesen runcit bagi tiga barang terbabit yang akan berkuat kuasa 15 Julai ini.


Menurutnya, langkah itu mendidik pengguna supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu harga barang runcit dan akan mula bertindak sendiri dalam mengawal harga barang keperluan asas mereka.


“Pemansuhan itu kelak dapat memastikan pengguna dapat mengawal harga pasaran barangan terbabit, di samping mengelakkan pengguna daripada dimanipulasi segelintir peniaga yang tidak beretika.


“Kuasa pengawalan harga adalah satu langkah positif kepada pengguna apabila harga barang itu akan sentiasa terkawal.


“Jika semua pengguna bersatu dan bekerjasama, semua harga barang akan sentiasa terkawal dan tidak akan melambung naik walaupun peruncit cuba mengambil kesempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kesedaran Berkaitan Barang Tiruan dan Cetak Rompak, di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.


Akhbar kelmarin melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata, tujuan ketiga-tiga barangan itu dikecualikan daripada lesen runcit adalah kerana ia bukan lagi di bawah kawalan harga, sebaliknya ditentukan (harga) oleh pasaran.


Ismail Sabri berkata, langkah itu antara lain untuk mengelak ketirisan ke sempadan negara memandangkan jurang perbezaan harga dengan negara Asean bagi simen dan keluli tidak ketara dan bekalan ayam yang semakin stabil.


Pemansuhan lesen runcit itu dikatakan akan mewujudkan daya saing di antara pengeluar dan peruncit dalam memastikan kualiti barang yang terbaik ditawarkan kepada pengguna.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKberikuasapenggunatetaphargatigabarang/Article

Isu tunai Felda susut timbul prasangka

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Isu kemerosotan simpanan tunai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.45 bilion pada 2009 menimbulkan pelbagai prasangka ke atas penyalahgunaan wang kepunyaan lembaga itu.

Bimbang ia bakal memberi impak kepada Felda, Pengerusi Eksekutif, Puncak Niaga Holding Berhad yang juga generasi kedua Felda, Tan Sri Rozali Ismail, mencadangkan supaya pendekatan lebih pragmatik diambil dalam menangani isu berkenaan.


Katanya, langkah itu perlu kerana kejayaan dicapai Felda dalam memacu pembangunan Malaysia menerusi program ‘land reforms’ dan program khusus bagi peneroka di seluruh 317 rancangan tanah serta pembangunan generasi baru mengharumkan nama negara.


“Felda seharusnya diberi peluang memberi penjelasan dan rasionalisasi akaun kewangannya sebelum tohmahan dibuat ke atas lembaga itu.


“Kita perlu sedar bahawa Felda mempunyai dua peranan utama, perniagaan dan pembangunan sosial. “Ada kalanya kedua-duanya tidak selari, namun peranan Felda dalam bidang perniagaannya dalam sektor pertanian menjadikan pengeluar utama komoditi dan mengeluarkan peneroka dari perangkap kemiskinan,”
katanya, semalam.


Menurutnya, sesebuah syarikat atau organisasi tidak dapat lari daripada hakikat bahawa tidak semua pelaburan yang dibuat akan mendapat pulangan segera kerana ada di antaranya mengambil masa panjang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IsutunaiFeldasusuttimbulprasangka/Article

Pelajar MTD mati didera


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohamad Husin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini, yang didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior meninggal dunia selepas kepalanya terhantuk pada lantai sejurus ditendang pelajar senior sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 16 tahun dipanggil sekumpulan pelajar senior dan dipaksa menjalani hukuman tekan tubi berulang kali sebelum ditendang.

Susulan kejadian itu, pelajar malang berkenaan, Mohammad Naim Mustaqin Mohamad Sobri, segera diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di situ kira-kira jam 1.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah (gambar) yang dihubungi berkata, seorang anggota tentera yang bertugas di MTD menerima maklumat pada jam 12.15 tengah malam kelmarin yang memaklumkan bahawa mangsa ditemui pengsan di biliknya.

Beliau berkata, mangsa kemudian segera dihantar ke PPAT dan diberikan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia, kira-kira 50 minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipaksa menjalani hukuman tekan tubi pada kira-kira jam jam 10.45 malam oleh sekumpulan pelajar senior. Ketika dalam keadaan tekan tubi, seorang daripada pelajar senior terbabit didakwa menendang perut Mohammad Naim dengan kuat menyebabkan mangsa yang cuba berdiri dan berjalan gagal mengimbangi badan sebelum terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai sehingga tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat sejurus disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

“Setakat ini, polis sudah membuka kertas siasatan dan menyiasat kes kematian pelajar terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.

Sementara itu, Seksyen Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya semalam menyatakan, kejadian berkenaan sudah dilaporkan di Balai Polis Sungai Besi pada jam 2 pagi semalam.

Menurutnya, satu lembaga siasatan turut ditubuhkan MTD untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Beberapa pelajar yang dikenal pasti ada bersama Allahyarham ketika kejadian dipanggil untuk membantu siasatan.

“Bagi keperluan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) dari Cawangan Provos Marsyal (CPM) juga sudah diarahkan menjalankan siasatan susulan,”
katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga Mohammad Naim sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelajarMTDmatididera/Article

'Tiada komen, tiada cerai'


Oleh Murni Wan Omar

2010/06/25

KUALA LUMPUR: “Ask Maya, (Tanya Maya) No Comment (Tiada komen), No divorce (Tiada cerai),” kata Steven David Shorthose atau Muhammad Ali Abdullah, 40, dengan nada serius sebaik keluar dari kamar Hakim Syarie di Mahkamah Syariah, di sini, semalam.

SENYUM...Maya disoal wartawan  selepas keluar dari Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
SENYUM...Maya disoal wartawan selepas keluar dari Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
TANYA MAYA...Muhammad Ali  enggan memberi ulasan ketika ditemui wartawan.
TANYA MAYA...Muhammad Ali enggan memberi ulasan ketika ditemui wartawan.
Isterinya, pelakon dan pengacara terkenal, Maya Karin Roelcke, 31, juga hanya tersenyum dan berkali-kali mengatakan “Saya tidak boleh beritahu apa-apa, saya minta maaf.”

Kedua-dua mereka yang tiba dan pergi secara berasingan enggan memberi komen berhubung kehadiran mereka di situ.

Terdahulu, Maya yang berbaju kurung dan lengkap bertudung hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, ditemani peguam syarie, Norhusniah Husin, masuk ke dalam kamar Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin pada jam 2 petang.


Beberapa minit kemudian, kelihatan dua lelaki berbangsa asing yang membawa dokumen membabitkan kes itu masuk ke dalam kamar sama.

Steven atau Muhammad Ali, yang memakai sut lengkap pula tiba pada jam 3 petang ditemani seorang wanita dipercayai peguam.

Mereka keluar dari kamar itu pada jam 4 petang dan Nurhusniah ketika ditemui berkata anak guamnya sudah mengeluarkan arahan untuk tidak memberi sebarang komen.

Kemelut rumah tangga dihadapi Maya dan Steven mula dihidu media sejak Februari lalu apabila mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung berikutan berdepan konflik, namun belum bercerai.

Pasangan itu bernikah pada 14 Ogos 2008 dan melangsungkan perkahwinan dalam suasana romantis di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali, disusuli majlis resepsi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, pada 26 Ogos tahun sama selepas tujuh tahun bercinta.

Akhbar sebelum ini melaporkan Maya yang juga Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49, mengakui rumah tangganya berdepan konflik.

Malah, segala usaha untuk menyelesaikan masalah itu masih dalam peringkat perbincangan.

Walaupun belum bercerai, setakat ini mereka membawa haluan sendiri dan perdamaian menemui jalan buntu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadakomen_tiadacerai/Article

'Saya bukan penipu'

Oleh Elrafaei Sapi

2010/06/25

PETALING JAYA: “Jiwa saya kacau, ibu dan isteri saya menangis, malah ramai menghubungi saya bertanyakan perkara sebenar.

MANA BUKTI...Rosyam pada sidang media bagi membersihkan namanya, semalam.

“Saya sedih sangat bila kenyataan di akhbar mengatakan saya penipu. Sepanjang 25 tahun terbabit dalam bidang hiburan, ini kenyataan paling mengguris perasaan saya termasuk anggota keluarga,” kata pelakon popular, Rosyam Nor menjawab dakwaan dia menipu orang ramai menerusi aktiviti syarikat jualan langsung.

Pelakon berusia 43 tahun berkenaan mengadakan sidang media khas membersihkan namanya selepas pelbagai laporan media mendedahkan beberapa ahli yang bernaung di bawah jenama Rosyam Nor Group (RNG) berasa ditipu.

Rosyam atau nama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin berkata, walaupun ada laporan media yang tidak menyebut namanya, tetapi dia percaya kenyataan itu merujuk padanya termasuk satu laporan akhbar mingguan baru-baru ini menyatakan dia dituduh menipu.

Akibat tekanan laporan itu, Rosyam bergegas dari penggambaran drama Cinta Selat Tebrau di Singapura hadir ke sidang media khas yang diadakan di sebuah hotel semalam.

Katanya, dia kini hilang kepercayaan daripada ahli selepas menceburi perniagaan yang menjual produk kesihatan, Power Impian lebih dua bulan lalu. Ketika ini, Rosyam mempunyai 3,000 ahli yang menyertainya.

RNG bukan syarikat jualan langsung atau MLM, tetapi saya juga adalah ahli biasa yang menjalankan perniagaan menerusi Power Impian. Saya percaya syarikat ini kukuh kerana bernaung di bawah syarikat besar dan yakin dengan pelaburan untuk jangka masa panjang.

“Sebelum ini, saya berdiam diri apabila timbul gosip di akhbar yang saya tahu ia merujuk pada diri saya. Namun, apabila nama saya disebut, saya perlu tampil membuat kenyataan.

“Sejak laporan itu, perniagaan saya terjejas teruk. Saya tidak bodoh melakukan perkara ini dan pembabitan saya dalam perniagaan ini adalah cara membalas sokongan peminat dengan membantu menerusi perniagaan bersama,” katanya.

Rosyam memberitahu, RNG mendapat lesen perniagaan pada 8 Januari lalu dan menjalankan operasi sejak 13 April lalu.

Katanya, dia melabur RM300,000 untuk menjalankan perniagaan itu termasuk membeli iklan dan mempunyai pejabat sendiri.

“Ceramah perniagaan saya yang diadakan pada setiap Rabu kurang dapat sambutan. Jika sebelum ini saya mampu tarik 1,000 pengunjung, tetapi baru-baru ini, hanya enam pengunjung yang hadir.

“Janji syarikat ini akan memberi wang setiap dua minggu pada ahli tidak benar kerana Power Impian sebenarnya membayar bonus pada ahli yang layak jika ada pendaftaran ahli baru,” katanya.

Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang dan KL Menjerit pada Festival Filem Malaysia ke-21 (2008) dan ke-16 (2003) ini menyatakan mahu menyiasat punca laporan media yang dipercayai berasaskan e-mel yang dihantar kepada wartawan. Dia juga mengesyaki ada di kalangan rakan artis yang terbabit menyebarkan e-mel berkenaan.

“Saya sebenarnya menjangkakan perkara ini berlaku, tetapi ini menguatkan semangat saya untuk terus memajukan RNG. Buat masa ini, syarikat Power Impian mempunyai strategi untuk membersihkan nama saya.

“Jika saya dapat bukti mengenai pengirim e-mel ini, saya akan membuat laporan polis. Namun, apa yang berlaku mempunyai hikmah dan saya bersedia disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) jika saya dikatakan penipu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayabukanpenipu/Article


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...