Tuesday, May 4, 2010

Cemburu gigitan berahi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
anbia@hmetro.com.my
2010/05/04

KAJANG: Kesan gigitan cinta pada leher teman wanita dikaitkan dengan hubungan cinta sulit dipercayai punca seorang lelaki bertindak kejam mencekik leher teman wanita itu hingga mati, petang Sabtu lalu.

Sumber polis berkata, suspek yang berusia 30-an yang juga sudah berkahwin dikatakan berang selepas menemui beberapa kesan gigitan cinta pada leher teman wanitanya yang juga warga Indonesia sebaik suspek bermesra dengan wanita berkenaan.


Menurutnya, siasatan polis sebelum itu mendapati suspek melayan baik teman wanitanya apabila membawanya menaiki kereta untuk membeli telefon bimbit baru di bandar Kajang, kira-kira jam 12 tengah hari.


“Selepas membeli mangsa telefon bimbit baru, suspek membawa teman wanitanya itu untuk menjamu selera di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, di sini.


“Berdasarkan maklumat, mangsa pergi ke sebuah rumah bersama teman wanitanya itu sebelum mereka berdua-duaan dalam kediaman terbabit. Ketika itulah, suspek menemui bekas gigitan berahi pada leher teman wanitanya,”
katanya.


Menurutnya, penemuan tanda gigitan itu menyebabkan suspek mengesyaki mangsa bermain kayu tiga dan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain hingga menyebabkan berlaku pergaduhan.


“Suspek dipercayai hilang sabar dipercayai memukul muka mangsa menyebabkan mangsa membalas dengan menggigit tangan kiri suspek sekuat hati. Tindakan itu menyebabkan suspek semakin marah sebelum memukul mangsa berulang kali.


“Difahamkan, suspek gagal mengawal perasaan sebelum mencekik mangsa hingga sesak nafas dan mati,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata mangsa dipercayai dibunuh kurang dari 24 jam dari tempoh mayatnya ditemui dan terdapat kesan lebam di leher mangsa.

“Siasatan mendapati kematiannya berpunca daripada kecederaan saraf pada lehernya. Setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kematian mangsa disebabkan faktor cemburu. “Identiti wanita Indonesia berusia 20-an itu belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan dijumpai pada mayatnya. Polis berusaha mengenal pasti identitinya daripada teman lelakinya yang kini ditahan reman selama seminggu hingga 8 Mei ini,” katanya.


Menurutnya, suspek yang juga seorang pemandu lori kini ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atasnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dalam kejadian Sabtu lalu, suspek ditahan ketika dalam perjalanan membuang mayat teman wanitanya itu, namun disedari polis berhampiran kawasan Nilai Spring di sini.


Cubaannya itu dikesan dua anggota polis dalam sebuah kereta peronda kira-kira jam 10 malam. Lelaki terbabit yang memandu kereta Kancil didapati membaringkan mayat mangsa di tempat duduk penumpang di sebelahnya.

Ketika dia berpusing-pusing dipercayai mencari tempat untuk membuang mayat itu, sebuah kereta peronda polis mengesyaki sesuatu mencurigakan mengekori kereta suspek.


Menyedari sedang diekori, lelaki berusia 30-an itu terus memecut keretanya dengan dikejar oleh anggota polis selama beberapa minit sebelum keretanya terbabas.


Ketika ditahan, polis mendapati seorang wanita lengkap berpakaian berbaring di tempat duduk sebelah. Ketika disoal, lelaki itu memberi alasan teman wanitanya pengsan selepas kenderaannya terbabas dalam usaha melarikan diri.


Pemeriksaan polis akhirnya mendedahkan tembelang lelaki itu apabila mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sudah meninggal dunia dipercayai dibunuh sebelum mayatnya cuba dibuang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cemburugigitanberahi/Article

Jual bayi dalam perut

Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/05/04

SELAYANG: Berselindung di sebalik pekerjaan sebagai ejen membekalkan pembantu rumah warga asing, seorang wanita warga tempatan berusia 50-an diberkas Jabatan Imigresen Selangor kerana disyaki turut terbabit menjual bayi kepada pasangan terdesak mendapatkan anak.

Difahamkan, dengan deposit hanya RM500, wanita terbabit menawarkan bayi masih dalam kandungan untuk tempahan dan harga setiap bayi akan dijual antara RM3,000 hingga mencecah RM15,000 bergantung status pembeli.


Bagaimanapun, kegiatan wanita terbabit terbongkar apabila pegawai Jabatan Imigresen Selangor menyamar sebagai suami isteri bertemunya dengan alasan untuk membeli bayi selepas tidak mempunyai anak sejak tiga tahun berkahwin.


Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, pertemuan diatur dengan wanita terbabit di sebuah kedai minum di sekitar Selangor.


“Selepas bersetuju membayar RM500 sebagai deposit bayi ingin dibeli itu, wanita itu membawa kami ke sebuah rumah di tingkat satu berhampiran tempat kami berbincang.


“Di rumah itu wanita terbabit menunjukkan seorang wanita warga Indonesia berusia 35 tahun yang sarat mengandung dan dikatakan akan bersalin pada 11 Mei ini,”
katanya.


Menurutnya, wanita itu juga menyatakan pembeli bayi perlu membayar segala kos perubatan bersalin serta tambahan RM3,000 lagi jika bayi itu sudah diserahkan.


Katanya, selepas yakin perangkap mengena, sepasukan 10 pegawainya menyerbu rumah terbabit kira-kira jam 8 malam kelmarin.


Hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa menemui pasport Indonesia tamat tempoh, sijil pernikahan palsu dan surat berkaitan pembekalan pembantu rumah.

“Kita turut menahan wanita itu dan anak perempuannya, seorang wanita lain yang sarat mengandung berusia 30-an, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun serta seorang lelaki berusia 20-an iaitu tuan rumah terbabit.


“Petang ini (semalam), kita mendapat perintah tahanan reman daripada Majistret Mahkamah Selayang, Muhammad Najib Ismail kepada semua yang ditahan itu bagi menjalankan siasatan lanjut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualbayidalamperut/Article

Ayah angau pucuk muda

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
2010/05/04

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Klang, Selangor, sejak beberapa minggu lalu, dipercayai dilamun cinta sebelum membuat keputusan nekad mengikuti seorang wanita warga Indonesia pulang ke negara asalnya.

Malah, lelaki berusia 60 tahun yang masih beristeri dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, sanggup menjual keretanya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membiayai tambang bot perjalanan ke Indonesia.


Kehilangan lelaki terbabit bersama wanita warga Indonesia berkenaan didedahkan seorang anak warga emas itu yang hanya ingin dikenali sebagai Khairul, 30-an.


Dia mendakwa kehilangan bapanya sejak beberapa minggu lalu berkait rapat dengan wanita asing terbabit yang sebelum ini dilihat agak mesra dengan mangsa.


“Sebelum perkenalan bapa dengan wanita berusia 30 tahun itu, kami sekeluarga baik dan langsung tidak mempunyai sebarang masalah. Bagaimanapun, bapa mula berubah selepas berkenalan dengan wanita terbabit.


“Ada ahli keluarga pernah terserempak wanita terbabit bersama bapa dan pernah menasihati bapa berhati-hati supaya tidak terjerat pujuk rayu warga Indonesia itu.


“Kami sekeluarga tidak menolak kemungkinan wanita terbabit menggunakan ilmu hitam berikutan bapa sebelum ini tidak pernah bertindak sedemikian, malah tidak pernah membelakangi keluarga sekiranya timbul sebarang masalah.


“Ketika dilihat kali terakhir sebelum menghilangkan diri, bapa menaiki Proton Wira warna ungu, namun tidak diketahui ke mana destinasi ditujuinya,” katanya.


Bagaimanapun, tidak lama kemudian seorang ahli keluarganya menerima SMS daripada warga emas itu yang mengatakan dia sudah berhenti kerja.

Malah, menerusi SMS berkenaan, lelaki berkenaan meminta ahli keluarga jangan mencarinya berikutan dia nekad mahu ke Indonesia dengan menaiki bot.


Ahli keluarga warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Kapar, Klang, berhubung kehilangannya malah sehingga kini, usaha mengesan lelaki itu melalui pelbagai cara seakan-akan menemui jalan buntu.


“Kami bimbang bapa sudah menjual kenderaan berkenaan dan dibimbangi digunakan individu lain bagi tujuan jahat.


“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan bapa saya boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi penyaluran maklumat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ayahangaupucukmuda/Article

'Konsert tarik nyawa'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/04

KUALA LUMPUR: Kerja gila dan tidak ubah seperti ‘konsert tarik nyawa’ apabila dua kumpulan Mat Rock warga Indonesia menjadikan temasya terbabit sebagai gelanggang pergaduhan sehingga menyebabkan puluhan cedera, manakala seorang mati akibat ditetak hampir putus leher.

Lebih mengerikan apabila pergaduhan berkenaan yang berlaku di khalayak ramai seolah-olah diatur lebih awal apabila kebanyakan pendatang terbabit datang berhibur sambil membawa pisau, kapak, kerambit dan parang sebagai persediaan untuk `berperang’.


Difahamkan, lebih 100 warga Indonesia yang bertempur membawa hampir dua guni senjata tajam yang dijadikan bekalan untuk membunuh sesiapa sahaja yang diingini hanya kerana perselisihan faham kecil yang dipercayai ada kaitan dengan dendam lama dan perbezaan daerah.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 40-an, berkata pergaduhan itu tercetus kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, ketika ribuan warga asing, majoriti dari Indonesia menghadiri konsert kumpulan rock dan pop dari negara itu anjuran sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka tanah air Menurutnya, keadaan mula tidak terkawal sejak awal konsert apabila beberapa penonton gagal mengawal diri sebelum mencetuskan rusuhan.


“Mereka memecahkan pagar yang memisahkan penonton dengan pentas sebelum ada yang membalingkan pagar terbabit ke arah orang ramai.


“Berikutan itu, beberapa penonton tercedera hingga mencetuskan pergaduhan dalam stadium. Keadaan menjadi tidak terkawal walaupun pihak polis dipanggil untuk mengawal kawasan konsert berkenaan,”
katanya.


Katanya, keadaan menjadi tidak terkawal apabila rata-rata pengunjung konsert terbabit mula bergaduh berhampiran tempat meletak kereta A berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil, berkenaan.


“Saya tak pasti apa sebenarnya berlaku, namun daripada maklumat yang saya dengar, dua kumpulan warga Indonesia bertempur di kawasan meletak kereta itu dengan menggunakan pelbagai senjata tajam.


“Pada awalnya mereka dikatakan cabar-mencabar antara satu sama lain sebelum ‘perang mulut’ itu berlarutan hingga kepada pergaduhan beramai-ramai,’
katanya.


Menurutnya, kebanyakan lelaki warga asing terbabit seolah-olah ‘hilang akal’ apabila menyerang membabi-buta dengan bersenjatakan pisau dan senjata tajam lain.

“Keadaan menjadi cemas apabila beberapa lelaki warga Indonesia bertempik sambil ada antaranya dilihat berlumuran darah akibat ditikam atau ditetak. Mereka seolah-olah dirasuk dan tidak teragak-agak mencedera atau membunuh sesiapa yang dianggap musuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Konserttariknyawa/Article

Rawat lutut pecah


KHAIRUL FAIZI (kiri) mengendalikan kamera yang dimasukkan ke dalam lutut Mazlina melalui satu insisi kecil di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur pada Mac lalu. - Gambar ihsan www.footandankleproblems.blogspot.com


TAEKWONDO merupakan sejenis sukan lasak yang boleh membawa risiko kecederaan di kaki dan seluruh anggota badan.

Sepanjang hampir lima tahun terlibat dalam sukan tersebut, tiada satu pun kecederaan serius pernah penulis alami.

Namun, siapa sangka hanya sekadar terjatuh ketika mahu membonceng motosikal, lutut penulis mengalami cedera teruk sehingga terpaksa dibedah.

Ceritanya bermula berikutan urat berwarna kehijau-hijauan mula timbul pada bahagian lutut pada malam 13 Mac lalu.

Kesakitan tersebut begitu menggusarkan sehingga mendesak penulis berkejar ke Hospital Pantai Medical Cheras.

Tulang rawan lutut awak sudah pecah, saya akan rujuk (kes) awak kepada doktor pakar ortopedik,” kata seorang doktor klinik pesakit luar.

Namun, ia sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kerana penulis menganggap kecederaan itu tidaklah seteruk mana.


LATIHAN fisioterapi penting untuk mengelak masalah lutut bertambah kronik terutama terhadap ahli sukan profesional.


Koyak

Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Kaki dan Pergelangan Kaki hospital berkenaan, Dr. Khairul Faizi Mohammad menghuraikan maklumat terperinci mengenai punca kesakitan penulis.

Menurut Khairul Faizi, lutut penulis bengkak akibat pendarahan sekali gus menerangkan fenomena urat hijau yang tiba-tiba timbul pada 13 Mac lalu.

“Ini dibuktikan apabila darah sebanyak 100 mililiter (ml) disuntik dan dikeluarkan daripada lututnya (Mazlina).

“Justeru, untuk merawat kesakitan ini, saya mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan yang dipanggil sebagai artroskopi,” kata Khairul Faizi kepada Jurnal baru-baru ini.

Pembedahan tersebut menggunakan kaedah memasukkan satu unit kamera khas pada bahagian lutut pesakit untuk meneliti tahap kecederaan serta luka di bahagian sendi lutut, jelas beliau.

Kaedah itu juga membenarkan doktor mengesan dan melakukan rawatan terhadap bahagian-bahagian yang cedera.

Hasil pembedahan peringkat awal mendapati tiga kecederaan yang dialami penulis. Pertama, meniskus (pelapik sendi lutut) pada lutut terkoyak dan kedua, rawan pada permukaan tulang paha penulis cedera.

Potong

Pada masa sama, bahagian ligamen krusiata anterior yang menyambungkan lutut dan paha turut terkoyak.

Kecederaan pada bahagian ligamen krusiata anterior jarang berlaku terhadap pesakit biasa tetapi ia sering dialami pemain bola sepak, ragbi dan American Football.

“Dalam kes Mazlina, saya beranggapan mungkin beliau jatuh dengan hentakan yang kuat.

“Jika ia lebih kuat, bahagian utama pada lutut iaitu ligamen krusiat posterior (ligamen belakang lutut), kepala lutut dan ligamen kolateral turut berpotensi untuk cedera,” kata Khairul Faizi.

Susulan pemeriksaan itu, satu prosedur pembedahan diatur dan ia berlangsung selama tiga jam pada 16 Mac lalu.

Jelas Khairul Faizi, pasukan perubatan memotong bahagian meniskus yang koyak dan merapikan bahagian koyak sehingga menjadi rata.

Kecederaan rawan yang dialami penulis dirawat melalui teknik microfracture iaitu satu insisi lubang kecil pada tulang dan rawan.


Pakar kemudian menyuntik ubat ke dalam lutut pesakit sebanyak tiga kali berturut-turut.


KERETAKAN pada bahagian rawan ditunjukkan oleh anak panah.


Impak

Walaupun kini sudah beransur sembuh, Khairul Faizi menyatakan penulis dan pesakit-pesakit lain akan merasai kesan jangka panjang rentetan kecederaan itu masih ada.

Meniskus dan rawan yang cedera pada kebiasaannya tidak akan sembuh seperti asal sekali gus menyebabkan golongan tersebut berpotensi mengalami radang sendi atau artritis dengan lebih cepat.

Radang sendi biasanya melibatkan pelbagai aspek penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, hilang pergerakan dan pembengkakan pada sendi tubuh.

Secara saintifiknya, meniskus berfungsi sebagai kusyen lutut sementara rawan berfungsi sebagai permukaan licin di permukaan sendi untuk membenarkan sendi bergerak dengan lancar.

Pergerakan sendi lutut perlu dilakukan sejurus selepas pembedahan demi menjamin kesejahteraan permukaan rawan, jelas Khairul Faizi.

Pada masa yang sama, pesakit dilarang sama sekali bersukan dan terbabit dalam acara lasak untuk tempoh sehingga empat bulan.

Peringatan itu sangat penting bagi membolehkan rawan kembali pulih dengan kaedah rawan berserat.

Kelazimannya pada peringkat awal, latihan fisioterapi digalakkan dengan tujuan untuk mengembalikan kekuatan otot-otot sendi.

Sekiranya ia tidak dilakukan, pesakit dikhuatiri sukar bergerak dan kadangkala berlaku simptom sakit pada lutut atau sendi.


PEMAIN bola sepak, Cristiano Ronaldo pernah mengalami masalah kecederaan lutut.


Bahaya urut

Khairul Faizi tidak meggalakkan urutan tradisional pada bahagian itu kerana ia akan menyebabkan kecederaan bertambah parah.

Pesakit juga diberikan makanan tambahan seperti glucosamine atau dengan kaedah suntikan terus ke dalam sendi lutut, katanya.

Bagaimanapun kecederaan yang dialami penulis jarang berlaku terhadap kanak-kanak kerana bahagian seperti meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior jarang menimpa golongan itu.

Jelas Khairul Faizi, kanak-kanak mempunyai bahagian meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior yang lebih kuat berbanding individu dewasa.

Golongan itu lebih cenderung mengalami patah tulang berbanding cedera pada bahagian meniskus, jelas beliau.

Seperti kebanyakan pesakit berkaitan tulang yang lain, penulis turut diingatkan supaya memastikan berat badan berada pada tahap ideal.

Jelas Khairul Faizi, semakin tinggi indeks jisim badan (BMI) seseorang, semakin teruk kecederaan yang akan mereka dialami manakala jisim ideal adalah antara 20 hingga 25.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Rabai anti-Zionis meninggal dunia


GAMBAR fail menunjukkan Yasser Arafat (kanan) berbual dengan Moshe Hirsch pada 12 Januari 2002 di Ramallah, Palestin.


BAITULMUQADDIS - Moshe Hirsch yang merupakan seorang rabai Yahudi berfahaman anti-Zionis dan rakan karib kepada bekas pemimpin Palestin, Allahyarham Yasser Arafat, meninggal dunia di sini kelmarin semasa berusia 86 tahun, kata satu kumpulan Yahudi ortodoks semalam

Semasa hayatnya, Hirsch terkenal sebagai pemimpin kumpulan ortodoks, Neturei Karta yang menentang kewujudan Israel sebagai negara Yahudi selain persahabatan beliau dengan musuh Zionis iaitu Palestin.

Yasser yang meninggal dunia pada 2004 pernah melantik Hirsch sebagai penasihatnya berhubung hal ehwal kaum Yahudi.

Kumpulan Neturei Karta dikenali di peringkat antarabangsa selepas beberapa pemimpinnya berkunjung ke Iran pada 2006 bagi memberi sokongan kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam satu persidangan bagi menyangkal peristiwa penghapusan kaum Yahudi yang dilakukan rejim Nazi semasa Perang Dunia Kedua.

Hubungan rapat kumpulan itu dengan pentadbiran Palestin termasuk Hamas di Gaza, bagaimanapun, dikritik hebat oleh beberapa kumpulan anti-Zionis lain.

Sementara itu, penasihat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Hatem Abdel Qader berkata, beliau akan menyertai satu delegasi Palestin bagi memberikan penghormatan terakhir kepada rabai berkenaan.

"Kami mengganggap Rabai Hirsch seperti saudara kami sendiri (penduduk Palestin). Hubungan erat ini membuktikan bahawa kami bukan memusuhi agama Yahudi," katanya. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Hilang kerja pada Hari Pekerja


KAKITANGAN syarikat Panji Timor Sdn. Bhd. berpiket membantah langkah MPS mengambil alih pengurusan Terminal 1 menyebabkan mereka hilang pekerjaan di Seremban semalam.


SEREMBAN - Seramai 30 pekerja syarikat Panji Timor Sdn. Bhd. yang menguruskan stesen bas Terminal 1 di sini hilang pekerjaan apabila kontrak syarikat itu ditamatkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 30 April lalu.

Seorang wakil pekerja syarikat itu, Mohd. Asri Sheikh Ahmad, 47, berkata, tindakan MPS itu membuatkan mereka tertekan memikirkan masa depan ekoran kehilangan sumber pendapatan.

"Saya harap MPS kaji semula atau setidak-tidaknya memberi jaminan pekerjaan kepada kami apabila syarikat baru mengambil alih bangunan ini," katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Pijak isteri hingga mati

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/05/04

KUALA LIPIS: Akibat gagal mengawal perasaan cemburu buta selepas melihat isteri bersembang dengan kenalan lelaki melalui telefon bimbit, seorang suami memijak perut, dada, kepala dan paha wanita itu sehingga maut di Ladang Selborne, Padang Tengku dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rosmawati Abd Rahman, 39, yang mempunyai enam anak berusia dua hingga 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Sebelum kejadian, si suami yang kebetulan berada di rumah diberitahu anaknya berusia 12 tahun, mangsa sedang bercakap dengan seorang lelaki melalui telefon bimbit.


Difahamkan, lelaki terbabit yang ‘panas telinga’ selepas dimaklumkan demikian menghampiri isterinya sebelum merampas telefon bimbit berkenaan.


Pertengkaran tercetus apabila mangsa tidak puas hati tindakan suaminya sebelum lelaki itu menolak isterinya hingga tersembam ke lantai.


Tidak cukup dengan perlakuan ganas seperti haiwan, si suami kemudian memijak perut, dada, kepala dan paha sehingga mangsa meraung kesakitan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, lelaki itu kemudian mencekik leher dan menghantuk kepala isterinya ke lantai sebelum wanita itu dilaporkan tidak sedarkan diri.


Menurutnya, anak mangsa yang menyaksikan kejadian menyayat hati itu segera menghubungi kakaknya untuk meminta bantuan selepas melihat ibunya tidak sedarkan diri.


Katanya, siasatan mendapati, setiba di rumah, anak perempuan mangsa mendapati ibunya terbaring berlumuran darah di kepala.

Ibrahim berkata, melihat isterinya tidak sedarkan diri, lelaki itu melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum kejadian itu disedari penduduk kampung.


“Laporan berhubung kejadian itu dibuat penduduk kampung di Balai Polis Padang Tengku, dekat sini, pada jam 6.15 petang kelmarin dan pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis (HKL) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.


“Mayat mangsa dihantar ke HKL untuk dibedah siasat pagi ini (semalam),”
katanya.


Menurutnya, polis sudah menubuhkan pasukan khas termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan untuk memburu suspek berusia 46 tahun di sekitar daerah ini dan Mempaga, Bentong.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakisterihinggamati/Article

Suami cemburu bunuh isteri

KUANTAN - Gara-gara cemburu mengesyaki isteri mempunyai kekasih, seorang lelaki bertindak liar dengan memijak dan menghentak kepala isterinya ke lantai sehingga mangsa menemui ajal.

Kejadian tragis pada pukul 5 petang di rumah bernombor 247, Blok G, Ladang Selborne, Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis dekat sini kelmarin disaksikan oleh anak pasangan itu yang berusia 12 tahun.

Mangsa Rosmawati Abd. Rahman, 39, didakwa mula dibelasah oleh suaminya selepas anak pasangan itu mengadu kepada suspek bahawa ibunya berbual dengan lelaki lain di telefon.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, sebaik mendengar aduan anaknya itu, suspek terus naik angin dan membelasah mangsa bertubi-tubi.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan menolak mangsa sehingga terjatuh.

"Tidak cukup dengan itu, suspek kemudian memijak perut, dada dan paha isterinya.

"Suspek kemudian mencekik mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

PPUM tawar rawatan jantung tanpa bedah


Ghauth (kanan) mendengar penerangan daripada Dr. Wan Azman tentang alat rawatan jantung ESMR pada majlis pelancaran dan penyerahan alat itu kepada PPUM di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kini menawarkan rawatan extracorporeal shockwave myocardial revascularization (ESMR) kepada pesakit jantung tanpa perlu menjalani pembedahan.

Ketua Unit Kardiologi PPUM, Prof. Dr. Wan Azman Wan Ahmad berkata, teknik perubatan tersebut adalah untuk pesakit jantung koronari yang tidak sesuai untuk menjalani rawatan angioplasti atau pembedahan pintasan jantung.

"ESMR adalah satu inovasi baru di mana shock wave (gelombang kejutan) ditujukan kepada otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah.

"Rawatan tersebut merangsang penumbuhan salur-salur darah baru di dalam otot jantung.

"Ia akan menambahkan pengaliran darah kepada otot jantung dan sekali gus mengurangkan kesakitan jantung dan seterusnya dapat mengurangkan simptom pesakit," katanya pada majlis pelancaran dan penyerahan alat ESMR kepada PPUM di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...