Friday, November 21, 2008

Lelaki 40-an harus berjaga-jaga.


Kanser prostat, lelaki jangan leka

Oleh Roslah Othman

--------------------------------------------------------------------------------

KATA-KATA Inggeris life begin at 40 (hidup bermula pada usia 40 tahu) mungkin bukan lagi dianggap tepat bagi menggambarkan kehebatan lelaki.

Walaupun pada usia itu lelaki mungkin dianggap berada pada puncak kehidupannya sama ada dari segi ekonomi dan sosial, hakikatnya ia adalah garis yang menandakan bermulanya 'penurunan' fizikal mereka.

Sama seperti wanita yang menghadapi pelbagai risiko penyakit, kaum lelaki pada usia tersebut turut tidak terlepas daripada mengalami masalah sama.

Namun, sehingga kini kesedaran lelaki berbanding wanita untuk melakukan pemeriksaan bagi mengetahui tahap kesihatan mereka dilihat begitu berbeza

Malah, tidak keterlaluan jika ia dikatakan menjadi faktor penyebab utama kenapa golongan ini turut terdedah kepada pelbagai risiko penyakit yang boleh membawa kematian, termasuk kanser prostat.

Dalam kebanyakan kes, hampir 80 peratus pesakit datang untuk mendapat rawatan sudah berada pada peringkat tiga dan empat, peringkat di mana pesakit sukar diselamatkan.

Pengarah Klinikal, Pusat Kecemerlangan Urologi, Neprologi dan Kesihatan Lelaki, di Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, mengakui kanser prostat boleh dicegah sekiranya menjalani pemeriksaan awal.

Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga sama ada bapa atau datuk menghidapi penyakit tersebut.

Untuk itu mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan seawal usia 40 tahun lagi, manakala bagi yang tidak mempunyai sejarah tersebut digalakkan melakukan pemeriksaan apabila memasuki usia 50 tahun.

Simptom

Menurutnya, selain tidak menunjukkan apa-apa simptom, rasa malu dan ego antara penyebab utama lelaki lebih rela menderita dalam diam daripada menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan.

Malah katanya, tidak ramai lelaki bersedia membincangkan masalah membabitkan anggota sulit.

Seperti kanser lain, kanser prostat mengambil masa lama untuk 'membesar' dan pada peringkat awal biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda hinggalah di peringkat serius.

Menerangkan secara ringkas Dr. Sahabudin berkata, masalah kelenjar prostat biasanya berlaku kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas terutama lewat 60-an atau awal 70-an.

Namun, ia masih boleh berlaku lebih awal, khususnya bagi lelaki yang ada sejarah masalah kelenjar prostat di kalangan keluarga rapat.

Benjolan

Begitupun, punca terjadinya kanser prostat masih tidak diketahui, tetapi ia bermula dengan satu benjolan kecil pada kelenjar tanpa menunjukkan sebarang gejala.

Pun begitu, ada juga kes kanser prostat menunjukkan gejala sama seperti masalah prostatik hiperplasia benigna (BPH) iaitu ketumbuhan prostat bukan kanser yang menyebabkan kelenjar prostat membengkak dan pesakit sukar membuang air kecil.

Selain itu, pesakit mungkin menghadapi masalah sentiasa terasa hendak kencing dan kerap buang air kecil. Bagaimanapun, gejala ini lazimnya hanya timbul selepas sel kanser membesar sehingga boleh menekan saluran uretra dan menyekat laluan air kencing.

"Pada peringkat serius, kanser prostat boleh menyebabkan kencing berdarah atau pesakit tidak boleh kencing langsung. Tetapi, bagi sesetengah kes, gejala hanya muncul apabila sel kanser merebak ke anggota badan lain seperti tulang (pinggul dan rusuk) dan buah pinggang.

"Sel kanser prostat ini juga boleh merebak ke otak (yang menyebabkan sawan, sakit kepala, letih dan masalah saraf lain), tulang belakang (mengakibatkan rasa sakit, kebas dan tidak dapat menahan kencing),"
katanya.

Malah kata Sahabudin, perkembangan kanser prostat yang lambat dan ketiadaan simptom membuatkan ujian pengesanan bagi merawat kanser pada peringkat awal menjadi sukar.

Beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang urologi dan kesihatan lelaki, turut mengakui kesedaran mengenai kanser tersebut masih berkurangan berikutan tidak ramai yang benar-benar memanfaatkan teknologi terkini pembedahan membuang prostat yang diperkenalkan di negara ini sejak lima tahun lalu.

Pembedahan dinamakan Sistem Robotik da Vincci, yang mula diperkenalkan di Hospital Kuala Lumpur pada pertengahan 2004 itu, biarpun terbukti mempunyai banyak kelebihan berbanding pembedahan konvensional, ia dilihat masih tidak mampu mengurangkan ketakutan pesakit untuk melakukan pembedahan membuang kanser prostat.

Semasa bertugas sebagai Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Urologi HKL, beliau telah mengendalikan kira-kira 200 pembedahan robotik sejak diperkenalkan di negara ini.

Beliau yang sudah bersara kini berkhidmat sebagai Konsultant Urologi dan Pengarah Pembedahan Robotik di pusat perubatan yang dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lalu.

Sehingga kini katanya, kira-kira 17 orang sudah menjalani pembedahan membuang prostat menggunakan kaedah tersebut di pusat berkenaan.

http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=42625#1014715

Hormati keputusan Shahrizat, kata Muhyiddin


Nov 21, 08 5:26pm

Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno harus dihormati kerana ia dibuat berasaskan sokongan ahli pergerakan tersebut, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata


"Saya kira ini mungkin keputusan atas dasar orang kata demokrasi dalam Umno, memberi ruang kepada ahli-ahli wanita untuk putuskan siapa yang lebih layak.

"Yang penting kita tidak mahu apa-apa bentuk yang dianggap boleh menimbulkan perbalahan, perpecahan,"
katanya selepas menghadiri mesyuarat menteri-menteri Apec di Lima, Peru.

Semalam, Shahrizat yang juga penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada perdana menteri, mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Wanita.

Manakala penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz mengeluarkan kenyataan hari ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti Mac depan.

Muhyiddin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata pertandingan adalah proses biasa dalam Umno, termasuklah di peringkat tertinggi yang melibatkan lebih daripada satu calon.

Bagaimanapun, Bernama memetik beliau sebagai berkata, calon-alon yang bertanding haruslah mempunyai semangat setia kawan.

Kematangan demokrasi

Mengulas tentang laporan calon timbalan presiden akan disiasat berhubung rasuah, Muhyiddin berkata terserahlah kepada Lembaga Disiplin Umno untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil.

"Kalau Lembaga disiplin ini mempunyai bukti siapa yang terima, itu memang diputuskan tindakan boleh diambil pada sesiapa, tidak perlu memilih bulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa proses pemilihan ketua Wanita Umno tidak harus menjejaskan perpaduan dalam pergerakan itu.

"Wanita mesti berikhtisas untuk merapatkan barisan secepat mungkin selepas pemilihan dan ini adalah penting sekali," kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno, dalam sidang akhbar di Lima, Peru.

Najib yang menghadiri mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan bermula Sabtu ini, berkata proses pemilihan itu mesti mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti.

"Dan cara kita berkempen itu mestilah merupakan kempen yang sihat dan bersih," kata mengulas keputusan Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

Najib berkata Wanita Umno mesti meneruskan tanggungjawab dan kerja mereka sebagai tulang belakang kepada parti Umno untuk terus memastikan bahawa Wanita Umno terus kuat dan kukuh.

http://www1.malaysiakini.com/news/93544

Siapa batal MoU Universiti al-Azhar?


Jimadie Shah Othman Nov 21, 08 3:33pm

Pemuda PAS menuntut Malaysia menjelaskan pihak sebenar yang membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti al-Azhar dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Naib ketua dewan itu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan universiti itu bahawa pembatalan MoU itu bukanlah atas kehendak universiti tersohor tetapi kerajaan Malaysia sendiri.

"Bila kita berjumpa pengurusan al-Azhar, al-Azhar kata bukan mereka yang batalkan, tetapi kehendak kerajaan Malaysia," jelasnya kepada Malaysiakini selepas menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya semalam.

Azman Shapawi menambah, Pemuda PAS bertemu dengan pihak Universiti al-Azhar di Kaherah awal bulan ini.

Beliau berkata, penjelasan universiti itu bertentangan sama sekali dengan kenyataan kerajaan sebelum itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ogos lalu yang mendakwa pembatalan MoU itu akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.

Pembatalan itu didakwa dibuat oleh majlis tertinggi al-Azhar yang dipengerusikan oleh al-Imam al-Akhbar sendiri.

Menurut sayap kanan PAS itu, dalam memorandum, pembatalan itu menimbulkan masalah kepada 5,000 pelajar di 18 kampus.

Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada pejabat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya agar perjanjian itu disambung kembali.

Memorandum empat muka surat itu, antaranya, mendesak Kedutaan Malaysia di Mesir memainkan peranan menyelesaikan perkara itu "dengan lebih amanah".

Dalam memorandum itu juga, Pemuda PAS menggesa Universiti al-Azhar membantu meningkatkan kualiti kolej-kolej swasta yang bekerjasama dengannya, "bukan membuat pembatalan mengejut".

Memorandum turut menyenaraikan beberapa "kesan negatif" akibat pembatalan perjanjian itu:

*Menimbulkan masalah kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan penuntutnya.
*Membantutkan usaha IPTS melahirkan modal insan seperti hasrat kerajaan.
*Mengurangkan jumlah pelajar IPTS milik pengusaha Melayu-Islam dan menimbulkan risiko ditutup.
*Membataskan pilihan mahasiswa Melayu-Islam mendapatkan pendidikan terbaik.

Ditanya tindakan selanjut PAS jika tuntutan itu tidak berhasil, Azman Shapawi berkata:

"Tengoklah Januari nanti apabila kemasukan baru dibuat. Kalau tidak berhasil juga, mungkin kita ramai-ramai pergi jumpa perdana menteri."

Azman Shapawi diiringi setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusuf dan ketua penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Amazan sewaktu memorandum itu diserahkan kepada setiausaha sulit kanan kepada perdana menteri, Datuk Ahmad Yaakob.

Pemuda PAS mendakwa tuntutan mereka disokong 25 pusat pengajian dan persatuan-persatuan mahasiswa itu di seluruh negara.

http://www1.malaysiakini.com/news/93516

Anwar yakin satukan parti utama pembangkang Sabah, Sarawak hadapi pilihanraya




Jumaat November 21, 2008

KOTA KINABALU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat menyatukan semua parti utama dalam barisan pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan seorang calon sahaja menentang calon Barisan Nasional (BN) di setiap kawasan pada pilihanraya umum akan datang.


Katanya formula seumpama itu, yang diilhamkan oleh PKR, DAP dan Pas di semenanjung, ternyata telah membawa kejayaan yang besar kepada pakatan pembangkang dalam pilihanraya umum lepas.


"Di Sabah dan Sarawak, memang ada calon (daripada pakatan) yang bersaing sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan undi untuk parti pembangkang.


"Inilah yang kita mahu elakkan,"
katanya selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat untuk kawasan Kota Kinabalu di Jalan Damai, Luyang dekat sini hari ini.


Menjawab soalan, Anwar berkata usaha mempelawa Parti Maju Sabah (SAPP), yang keluar daripada BN baru-baru ini, untuk menyertai Pakatan Rakyat sedang dibuat dan mengesahkan yang beliau sudah menemui presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee hari ini.


"Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh Pakatan Rakyat di semenanjung pada pilihanraya Mac lepas," katanya.


Mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kecil parlimen Pensiangan, Anwar berkata sekiranya pilihanraya kecil itu diadakan, PKR akan tetap meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_mutakhir/20081121191046&sec=mstar_mutakhir

Abdullah: Pertandingan dalam Wanita Umno perlu elak perbalahan



Jumaat November 21, 2008

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pertandingan jawatan tertinggi Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan baik mengikut amalan demokrasi parti tanpa berlaku sebarang perbalahan di dalam pergerakan itu.


Katanya adalah sesuatu yang baik jika tiada pertandingan, namun ia terpulang kerana naib ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz, masing-masing berhajat untuk bertanding dan mahu memberi hak kepada anggota untuk menentukan siapa yang akan dipilih untuk menjadi Ketua Wanita.


Beliau bagaimanapun tidak menemui kedua-dua pemimpin pergerakan itu hari ini.


"Jika nak bertanding, bertandinglah cara yang baik. Jangan guna politik wang dan biarlah ahli-ahli pergerakan Wanita Umno yang menentukan.


"Saya harap saya boleh berbincang dengan mereka. Seboleh-bolehnya biarlah semuanya jadi elok, dan jika tidak ada pertandingan pun elok juga tetapi jika ada pertandingan pun, kenalah jalankan dengan baik.


"Itu pun bukan satu keburukan tetapi ada kebaikan,"
katanya selepas majlis pecah tanah projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini hari ini.


Presiden Umno itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemelut yang berlaku di dalam pergerakan itu.


Shahrizat semalam mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno manakala Rafidah di dalam kenyataan setebal 10 muka surat hari ini mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.


Sambil mengharapkan tidak akan berlaku perpecahan dalam Wanita Umno, Abdullah berkata: "Ini yang penting. Jika mereka sayang kepada Umno, jangan kerana adanya pemilihan ini berlaku pula perbalahan, bermasam muka sesama sendiri, dan akhirnya Umno yang akan jadi tidak baik. Itu yang penting yang perlu mereka ingat."


Beliau berdoa agar segalagalanya berjalan lancar.


"Maka dengan itu, saya harap semuanya akan menjadi elok, dan jika sekiranya saya diperlukan untuk apa-apa juga tindakan dan nasihat... tetapi pada masa ini mereka mahu pertandingan, dan saya berharap ia adalah yang terbaik untuk Pergerakan Wanita Umno," katanya.


Ditanya sama ada beliau akan menemui kedua-dua pemimpin pergerakan itu setelah tidak berkesempatan untuk menemui mereka hari ini, Abdullah berkata: "Saya kena fikir baliklah."


Perdana Menteri berkata beliau tidak berkesempatan untuk menemui mereka berikutan baru sahaja pulang dari luar negara malam semalam.


"Tak sempat jumpa mereka, baru balik semalam, dah dengar Shahrizat dah buat kenyataan, hari ini Rafidah dah buat kenyataan, tak dan dah.


"Kedua-dua mereka adalah pemimpin yang berpengalaman, dah tahu benar pasal Wanita (Umno), saya fikir ahli Wanita (Umno) dah kenal mereka, tak kempen pun, mereka boleh tahu siapa nak undi," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121201003&sec=mstar_berita

Shahrizat perlu berani, perpecahan tidak mungkin, Penganalisis

Jumaat November 21, 2008

KUALA LUMPUR:Seperti yang dijangkakan, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan untuk merebut jawatan nombor satu pergerakan itu biarpun bakal berdepan penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti Mac depan.


Pengumuman Shahrizat hari ini ditunggutunggu pemerhati politik terutama sekali apabila calon Naib Ketua Wanita Datuk Kamilia Ibrahim, yang merupakan anggota Exco Wanita pusat awala-wal lagi menegaskan untuk bertanding tanpa mengikuti pelan peralihan pada Jun tahun depan.


Dalam kenyataan dua perenggan hari ini, Shahrizat turut menegaskan bahawa Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan.


Kenyataan Shahrizat membawa maksud beliau bersedia untuk 'bertarung' biar apa pun cabaran yang dihadapi.


Penganalisis politik Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman menganggap tindakan Shahrizat hari ini adalah menyahut seruan akar umbi yang mahukan perubahan dalam kepimpinan pergerakan itu.


"Shahrizat kena kuat dan berani bertanding dengan harapan menang. Saya percaya dalam diam, ada juga bahagian yang menerima Shahrizat dengan mempersoalkan tempoh peralihan tiga bulan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata tidak timbul nanti persoalan tentang perpecahan dalam pergerakan itu.


"Perpecahan tidak akan berlaku tetapi semua itu bergantung juga kepada budi bicara Rafidah dan jika beliau (Rafidah) tetap bertanding, risikonya (perpecahan) tetap ada," katanya.


Beliau berpendapat jalan terbaik bagi mengekalkan perpaduan dalam pergerakan itu ialah Rafidah mengundurkan diri secara sukarela.


Rafidah yang dihubungi Bernama melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk mendapatkan komen mengenai keputusan Shahrizat, menjawab melalui SMS bahawa beliau akan membuat kenyataan esok.


Dr Ahmad Nidzammuddin berkata jumlah pencalonan yang dibuat pada persidangan Bahagian Wanita Umno barubaru ini bukanlah suara sebenar sokongan yang mewakili manamana pihak.


Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.


Secara automatiknya, Ahmad Nidzammuddin berkata keputusan Shahrizat itu memberikan laluan kepada Kamilia menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno.


Sementara itu, penganalisis politik Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata keputusan yang dibuat Shahrizat itu berkemungkinan diambil menerusi 'calculated decision' iaitu dengan mengambil kira kebarangkalian menang apabila bertanding nanti.


"Keputusan itu bukan mudah kerana ia perlu mengambil kira persekitaran pada masa kini termasuklah sokongan akar umbi. Pertandingan itu juga menggambarkan bahawa proses demokrasi dalam pergerakan itu berjalan lancar dengan setiap ahli mempunyai hak masingmasing," katanya.


Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata sokongan Wanita Umno Perak semalam yang menyebelahi Shahrizat juga mungkin salah satu kriteria yang diambil bagi Shahrizat membuat keputusan seperti itu.


Mengulas lanjut, beliau berkata sokongan Wanita Perak itu adalah penting berdasarkan sentimen bahawa Rafidah, yang merupakan anggota Parlimen Kuala Kangsar, berasal dari Perak.


"Pada pendapat saya, peluang Shahrizat untuk menang adalah tinggi kerana semua faktor semasa kini menyebelahi beliau," katanya.


Beliau berkata dengan keputusan Shahrizat itu, maka pelan peralihan kuasa yang dipersetujui Exco Wanita Umno sebelum ini berakhir begitu sahaja.


Mengikut pelan peralihan kuasa yang diputuskan pada mesyuarat Exco Wanita Umno pada Ogos lepas, jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu tidak dipertandingkan, dengan Rafidah kekal sebagai ketua dan Shahrizat sebagai naib ketua dan Rafidah akan menyerahkan jawatan nombor satu pergerakan itu kepada Shahrizat pada bulan Jun tahun hadapan.


Minggu lepas Exco pergerakan itu turut mengekalkan keputusan untuk meneruskan pelan peralihan itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121084614&sec=mstar_berita

KENYATAAN AKHBAR RAFIDAH AZIZ

Jumaat November 21, 2008

Berikut ialah transkripsi penuh kenyataan akhbar Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti Mac depan.


KENYATAAN AKHBAR


Memandang bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno, maka saya dengan ini:


1) Akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang, dan Insya-Allah, akan bertanding untuk jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011.


2) Saya menghargai dan menghormati pandangan yang telah saya terima dari 117 Bahagian itu.


3) Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011.


Saya kecewa kerana pelan Peralihan telah dipertikai, dan ditolak, lebih tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada bulan Ogos (4 haribulan) 2008.


Semenjak tarikh itu TIADA sesiapa dalam Exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam Exco dan dalam sidang media, telah BERKALI-KALI menegaskan:


a) Beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan.


b) Beliau patuh kepada Pelan Peralihan.


c) Beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.


d) Bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikotakan" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media).


Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan SELEPAS PROSES PENCALONAN SELESAI.


JIKA, dalam mana-mana perbincangan ADA MANA-MANA PIHAK yang TIDAK SETUJU, dengan PELAN PERALIHAN maka, sebagai pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, WAJAR dibangkitkan dan dibantah.


Jika mereka berbuat demikian, SEBELUM proses pencalonan, maka pasti Exco akan membatalkan sahaja PELAN itu.


DAN, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.


Tetapi, ‘bantahan’ ditimbulkan SELEPAS mereka mendapat CUKUP pencalonan untuk bertanding, MAKA BARU membantah, dengan berbagai ‘alasan’ yang sebenarnya tidak berasas.


ADA pula pihak-pihak tertentu yang mahukan pelan peralihan ‘dipercepat’, dari Jun ke Mac 2009. Ini tidak logik.


JIKA ia dibuat bulan Mac ia bererti:


a) Tidak ada lagi ‘pelan peralihan’, yang pada asasnya, melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agong dengan tarikh penyerahan jawatan.


Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga June 2009, KERANA Perhimpunan Agong dijadual pada Disember 2008.


Ia telah dianjak kepada Mac- tetapi Pelan Peralihan TIDAK terjejas.


b) Jika ‘dipercepat’ kepada Mac, ia juga bererti bahawa saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding.


INI menidakkan hak dan kemahuan 117 Bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009.


Sekarang, kerana PELAN PERALIHAN telah diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan JAWATAN yang saya sandang sekarang ini.


Saya ingin menyarankan supaya pertandingan semua jawatan-jawatan dalam PergerakanWanita Umno hendaklah dijalankan dengan TERTIB, BERADAB, IKHLAS dan jangan sekali-kali menjejaskan sesiapa, atau menjejaskan parti.


JANGAN sekali-kali mengada-adakan dan menabur FITNAH dan BOHONGAN, dan membawa pecah belah.


ALLAH SWT menentukan segala-galanya. TIDAK ada yang lebih besar dariapada KUASA ALLAH SWT.


Terima kasih.


21 November 2008.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081121161017&sec=mstar_berita

Mukhriz tolak jawatan kerajaan jika dipilih Ketua Pemuda




Jumaat November 21, 2008

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir tetap dengan pendiriannya untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat sebagai ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.


Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).


"Sebelum ini saya telah umumkan kalau boleh saya tidak berminat memegang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ketua Pemuda Umno sebab kerja politik kita dalam tempoh waktu empat tahun menjelang pilihan raya umum ke-13 ini penting dan saya tidak mahu dialih perhatian dengan tugastugas rasmi kerajaan daripada tugas yang saya ingat jauh lebih penting pada masa ini iaitu tanggungjawab untuk meyakinkan semula rakyat terhadap parti kerajaan," katanya.


"Saya kira walaupun saya anggota Parlimen dan biasanya jawatan penting dalam kerajaan dipilih dari kalangan anggota Parlimen saya rasa biar dulu lah kot," katanya dalam sidang akhbar sempena taklimat Anugerah Francais Malaysia 2008 di sini semalam.


Mukriz ialah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia.


Mengulas amalan rasuah, Mukhriz berkata, proses pemilihan parti sepatutnya memberi kekuatan kepada parti.


"Kalau ada amalanamalan dalam proses pemilihan ini yang sebenarnya melemahkan parti, ini akan menambahkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Umno, katanya.


Beliau berkata, Umno mesti mengambil satu tindakan yang meyakinkan semula rakyat kepada parti iaitu dengan melakukan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan yang sepatutnya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/21/mstar_berita/20081120213533&sec=mstar_berita

Harga minyak mungkin turun lagi

KERAJAAN mungkin melakukan penurunan harga petrol dan diesel buat kali kedua bulan ini selepas penurunan harga runcit bahan bakar itu 15 sen seliter berkuat kuasa kelmarin iaitu penurunan kelima sejak Ogos lalu menerusi sistem pelaras minyak pada setiap bulan.

Penurunan harga itu mungkin dilakukan sebelum mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada 1 Disember depan yang dijangka memutuskan sama ada kerajaan tetap menggunakan mekanisme pelarasan harga setiap bulan atau menetapkan harga lantai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang ditemui di lobi Parlimen mengesahkan perkara itu dan memberi jaminan cuba membawa perkara itu ke peringkat atasan.

Menurutnya, beliau cuba membincangkan penurunan harga bahan bakar itu supaya kerajaan boleh menurunkan sekali lagi pada bulan November ini.


Menerusi mesyuarat Majlis Ekonomi Negara itu, kerajaan membuat keputusan sama ada meneruskan sistem pelarasan harga seperti dilaksanakan sekarang atau menggantikannya mekanisme penetapan harga lantai.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081121091248/Article/index_html

Virus daripada suami


Oleh MELATI MOHD ARIFF



SOKONGAN keluarga dan masyarakat perlu bagi memberi kekuatan kepada pesakit Aids meneruskan kehidupan tanpa berasa diri mereka terasing. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

DIANA ANN dan Jamaliah Sulaiman (bukan nama sebenar) berkongsi status yang sama iaitu wanita positif HIV (Human Immunodeficiency Virus). Kedua-duanya mendapat jangkitan virus ini daripada suami masing-masing.

Sudah banyak air mata mereka mengalir bukan sahaja kerana mengenangkan nasib dijangkiti penyakit tanpa penawarnya tetapi yang lebih menyeksa perasaan ialah diskriminasi masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV. Virus yang sinonim dengan AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit, yang suatu ketika dahulu dicap sebagai penyakit 'pembunuh'.

Diskriminasi dan stigma inilah yang mengakibatkan individu yang hidup dengan HIV atau positif HIV seperti Diana Ann dan Jamaliah terpaksa menyembunyikan penyakit mereka serta mengharungi sendiri kehidupan tanpa sokongan yang dapat memberikan mereka kekuatan untuk terus hidup.

Kisah sedih Diana

Diana Ann nampak sihat di sebalik virus ganas yang bersarang di tubuh kecilnya sejak tahun 1996.

Bekas jururawat sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak ini bercerita bahawa dia mengalami demam, muntah-muntah, cirit-birit selama hampir dua minggu sebelum mengetahui dia dijangkiti HIV.

"Apabila demam berterusan, saya menjalani pemeriksaan perubatan sepenuhnya di hospital di mana saya bekerja. Saya tidak diberitahu apa masalah saya dan pihak hospital menghantar saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, saya tidak berhenti bertanya kepada matron yang mengiringi saya tetapi tidak mendapat jawapan sehinggalah tiba di HKL, doktor di Klinik Penyakit Berjangkit (ID) memberitahu saya,"
kata Diana dalam bengkel media mengenai Kanak-Kanak, HIV dan Aids di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hancur luluh hati Diana apabila doktor di Klinik ID berkata, dia menghidap Aids. Perasaannya semakin tertekan apabila suaminya berkeras tidak mengaku yang dia penyebab Diana mempunyai HIV dan rakan sekerjanya mengambil sikap menyisihkan diri. Dia juga ditukar ke jabatan lain, membuat kerja pentadbiran.

Kesengsaraan hidup Diana yang juga anak yatim piatu tidak terhenti di situ sahaja. Komuniti gereja yang sering dikunjunginya turut memulaukannya.

"Saya ingat saya akan mendapat sokongan moral daripada komuniti gereja, ternyata saya silap.

"Semua diskriminasi dan stigma ini amat menyeksa emosi saya. Kalau luka, kita boleh letak ubat dan plaster tetapi kalau emosi terluka, bagaimana nak buat?"
keluhnya.

Hampir bunuh diri

Dengan keadaan fizikal yang lemah dan emosi yang tertekan, Diana berkata, pernah dia terfikir hanya satu sahaja jalan keluar untuk segala kesengsaraan yang dilaluinya iaitu membunuh diri.

"Saya dah tak nampak jalan lain. Saya ajak dua kawan saya makan angin dengan kapal persiaran. Sekitar pukul 2 pagi, saya beritahu mereka yang saya mahu ambil angin. Saya pergi ke dek dan nekad terjun selepas membaca doa.

"Saya sudah tinggalkan nota perpisahan untuk kawan-kawan dan adik saya di rumah. Ketika saya hendak melompat ke dalam laut, tiba-tiba muncul dua pengawal keselamatan, bertanya apa yang saya buat di kawasan larangan. Saya beritahu mereka saya hanya mahu menghirup udara segar.

"Saya kemudian beredar ke kabin saya dan duduk di tangga. Di situ, saya menangis sepuas-puasnya. Saat itulah saya merasakan Tuhan masih sayangkan saya,"
katanya.

Menurut Diana, dia kemudian kembali ke Kuala Lumpur dan menemui doktornya dan meluahkan rasa penderitaannya. Kata-kata perangsang Dr. Christopher Lee masih segar dalam ingatan Diana hingga hari ini.

"Dr. Lee memberitahu saya, Diana, tukarkan semua lemon dalam kehidupan anda menjadi minuman lemon yang manis yang anda boleh berikan kepada orang lain untuk menghilangkan dahaga mereka," katanya.

Berbekalkan kata-kata penuh inspirasi Dr. Lee yang dianggapnya sebagai 'wira' dalam hidupnya, Diana berkata, beliau selepas itu semakin kuat dan bertekad untuk meneruskan kehidupannya.

Kisah duka Jamaliah

Bagi diri Jamaliah, 42, dia hanya tahu dirinya dijangkiti HIV apabila membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah makmal persendirian di Klang pada 1998 selepas kematian suaminya, seorang penagih dadah.

"Saya tak tahu apa nak buat apabila mendapat berita saya dijangkiti HIV. Saya takut nak beritahu keluarga. Saya juga tak tahu mana hendak dapatkan kaunseling.

"Meskipun saya tahu saya HIV positif tetapi saya kemudian berkahwin lagi kerana ibu saya yang cacat penglihatan dan lumpuh mahu saya berkahwin sebelum dia menutup mata.

"Situasi ketika itu begitu menekan. Saya tahu saya akan dipersalah tetapi masa itu saya benar-benar buntu, tak tahu apa nak buat, cerita Jamaliah yang berasal dari Klang.

Suaminya mula mengetahui akan penyakitnya apabila dia hamil empat bulan. Jamaliah dan suaminya diberi kaunseling terutama dalam soal hubungan suami isteri untuk mengelakkan suaminya dijangkiti virus berkenaan.

Hubungan suami isteri ini, kemudiannya renggang dan berakhir dengan perceraian.

Menurut Jamaliah, bila anaknya disah HIV positif, dia dirujuk ke Institut Pediatrik Kuala Lumpur di bawah kelolaan Dr. Kamarul Azahar Mohd Razali.

Institut Pediatrik adalah kumpulan sokongan pertama di mana Jamaliah mendapat kaunseling mengenai penyakit HIV.

"Dari situ, saya sedar ada orang yang ambil berat tentang saya dan saya masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan. Sebelum itu, saya rasa tak boleh hidup lagi dan merasa amat bersalah kerana menyebabkan anak saya dijangkiti virus ini," katanya.

Menurut Jamaliah, orang di sekelilingnya banyak memberi sokongan dan sering mengingatkannya bahawa dia tidak keseorangan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Harga minyak jatuh AS$49.91 setong


SEORANG pekerja mengira wang di sebuah stesen minyak di Tirana semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

LONDON - Harga minyak menjunam di bawah paras AS$50 setong (RM181.16) semalam ketika pasaran kewangan dibayangi ketidakyakinan terhadap ekonomi dunia dan peningkatan petunjuk bahawa permintaan untuk minyak semakin menurun.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh AS$3.71 (RM13.45) kepada AS$49.91 (RM180.85) setong menjelang akhir dagangan iaitu harga terendah sejak Januari 2007.

Di London, harga minyak mentah jenis Brent turut susut sebanyak AS$3.10 (RM11.23) kepada AS$48.62 (RM176.15) setong.

Ketika kelembapan ekonomi memusnahkan permintaan terhadap minyak, syarikat-syarikat minyak merancang untuk menyimpan stok berjuta-juta tong minyak mentah dengan harapan ekonomi dunia akan pulih.

Broker-broker perkapalan berkata, pedagang minyak AS, Koch dan Royal Dutch Shell menempah sejumlah kapal tangki gergasi berupaya menyimpan 10 juta tong minyak mentah, lebih banyak daripada pengeluaran harian oleh Arab Saudi.

Harga minyak jatuh kira-kira dua pertiga sejak mencatat rekod Julai lepas dengan didagangkan pada AS$147 (RM532.64) setong, sebahagiannya kesan keruntuhan kredit global yang menyebabkan para pelabur menarik balik wang mereka daripada aset-aset berisiko.

Kejatuhan harga minyak mencerminkan kelemahan pasaran ekuiti yang terus jatuh semalam apabila bursa-bursa Eropah menurun ke paras terendah sejak Mac 2003. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Jalani hidup selama 118 hari tanpa jantung


SIMMONS (kiri) menangis ketika menceritakan kisah hidupnya tanpa jantung di Pusat Perubatan Miami/Jackson, Amerika Syarikat kelmarin. - REUTERS

--------------------------------------------------------------------------------

MIAMI – Seorang remaja berumur 14 tahun, D’Zhana Simmons di Amerika Syarikat (AS) berjaya hidup hampir empat bulan tanpa jantung, kata beberapa doktor kelmarin.

Bagaimanapun, Simmons hidup dengan bantuan satu mesin pengepam darah tiruan khas sehingga dia mampu menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Sebelum ini terdapat kes yang sama di Jerman di mana seorang pesakit dewasa hidup selama sembilan bulan tanpa jantung.

Bagaimanapun, pasukan doktor di Miami percaya Simmons merupakan budak pertama hidup tanpa jantung untuk tempoh yang lama.

Simmons yang berasal dari South Carolina berkata, pengalaman hidup tanpa jantung sangat menakutkan.

“Anda tidak tahu bilakah mesin ini akan rosak,” katanya dalam satu sidang media di Universiti Miami.

Simmons mengalami satu penyakit jantung di mana jantungnya menjadi lemah dan membesar serta tidak mampu mengepam darah dengan lancar.

Dia menjalani pembedahan pemindahan jantung pada 2 Julai lalu tetapi organ baru itu gagal berfungsi dan terpaksa dikeluarkan.

Dua pam jantung yang direka oleh sebuah syarikat di California digunakan bagi membantu mengepam darah Simmons sehingga dia sihat dan bersedia untuk menjalani pembedahan jantung kedua pada 29 Oktober lalu.

“Gadis itu hidup selama 118 hari tanpa jantung dan pengedaran darahnya dibantu oleh dua pam berkenaan,” kata seorang doktor, Marco Ricci. – Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Bagi diskaun tol sepanjang hari

KUALA LUMPUR - Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) mahu diskaun tol 10 peratus untuk kereta persendirian di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Elite dilanjutkan sepanjang hari dan bukannya hanya dari 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, potongan tol itu juga perlu diperluas kepada semua jenis kenderaan termasuk lori dan bukan hanya terhad kepada kereta persendirian.

"Kenapa kita perlu menggalakkan orang ramai menggunakan lebuh raya pada tengah malam sehingga 7 pagi...adakah anda nak beritahu, lebuh raya selamat digunakan pada tengah malam berbanding siang hari?" katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen semalam.

Tiong berkata banyak maklum balas diterima daripada orang ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana mereka merasakan kerajaan tidak ikhlas dalam memberikan diskaun itu. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Pengikut 'Ajaran MLM' ditahan

Oleh MAZLINA MAJID
mazlina@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam mengesahkan pihaknya telah mengada- kan beberapa siri tangkapan terhadap pengikut kumpulan 'Ajaran MLM' setelah kegiatan haram mereka didedahkan Kosmo! pada Ahad lalu.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Moha- mad Hidayat Abdul Rani memberi- tahu, mereka ditangkap atas kesalahan mengajar tanpa tauliah dan dikesan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan yang ditangkap serta lokasi serbuan memandangkan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Siasatan awal mendapati, golongan itu telah menghina Islam dan mencabar beberapa peruntukan dalam Seksyen 14 (1) Enakmen Jena- yah Syariah 1995 (Selangor) yang memperuntukkan denda RM3,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Swasta tak diwajibkan bayar COLA

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan undang-undang untuk memaksa firma sektor swasta membayar elaun sara hidup (COLA) kepada pekerja mereka, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam semalam.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia akan mengusahakan perbincangan antara majikan dan pekerja sektor swasta sebagai usaha untuk pemberian elaun itu, katanya.

"Walaupun kami tidak bercadang memperkenalkan sebarang undang-undang untuk memaksa sektor swasta membayar COLA, kami akan membantu dalam perbincangan bagi pembayaran elaun itu.

"Kita juga akan memastikan gaji sesuai dibayar kepada pekerja. Kami tidak boleh paksa majikan bayar COLA kepada pekerja mereka,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai amalan kerja baik bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Harga minyak RM1.85?


Oleh ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kerajaan mungkin menurunkan sekali lagi harga minyak sebanyak 15 sen, untuk kali keenam berturut-turut, awal bulan depan.

Pada masa ini, harga minyak RON97 ialah RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing RM1.90.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, penurunan itu kini dilihat wajar memandangkan minyak dunia kini didagangkan di bawah paras AS$60 setong.

"Saya fikir harga turun lagi. Perbincangan sedang dibuat dengan pelbagai pihak termasuk pengusaha pam minyak.

"Mereka minta jika berlaku penurunan kerajaan perlu menurunkan hanya 10 sen bagi mengelak mereka terpaksa menanggung kerugian 3 sen bagi setiap liter tetapi kerajaan berpendapat 10 sen terlalu rendah,''
katanya di lobi Parlimen semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...