Saturday, October 2, 2010

Penjara 6 bulan lagi

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang sepatutnya dibebaskan Isnin ini selepas menjalani hukuman penjara enam bulan atas tuduhan menyiarkan gambar bogelnya bersama lelaki lain ketika melakukan hubungan sejenis di laman web terpaksa menunggu enam bulan lagi untuk bertemu keluarganya apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengubah perintah hukuman yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Jun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Tan Sri Abd Razak membuat keputusan itu terhadap Shahrom Mahadi, 45, selepas mendengar hujahan rayuan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Read mahukan tertuduh dikenakan hukuman penjara lebih lama dan berjalan secara berasingan.

Pada prosiding semalam, Sofian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara daripada enam bulan kepada setahun bagi enam pertuduhan yang dihadapinya dan ia diarahkan berjalan serentak mulai 4 Jun lalu.

Pada 4 Jun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap bapa kepada enam anak berusia antara setahun dan 21 tahun itu, selepas dia mengaku salah terhadap enam tuduhan pilihan, secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet membuat dan memulakan penghantaran gambar bogelnya dalam laman web itu dengan niat mengganggu orang lain.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn di sini pada 27 Februari 2009 mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Sofian berkata perbuatan tertuduh sangat menjijikkan serta aibkan dirinya sendiri sebagai seorang beragama Islam. “Saya tak pernah tengok gambar sebegini rupa. Bagaimana kamu sebagai orang Islam sanggup memperdagangkan tubuh badan dalam keadaan sungguh mengaibkan, “ katanya sebelum membuat keputusan. Katanya, mahkamah mempunyai tanggungjawab memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan yang sama.


“Mahkamah perlu memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan gejala buruk ini, “ katanya. Shahrom yang memakai pakaian penjara hanya menundukkan wajahnya apabila hakim membuat keputusan. Bagaimanapun tiada seorang pun ahli keluarganya hadir ke mahkamah pada prosiding petang semalam.


Terdahulu, dalam hujahnya, Mohd Farhan berkata, hukuman seharusnya dijatuhi terhadap tertuduh sepatutnya berjalan berturut-turut bukannya secara serentak.


“Ini kerana tertuduh memuat naik gambar lucahnya di enam laman web berbeza dan ini diakui dalam fakta kes dibacakan kepadanya. “Selain itu, hukuman patut diberatkan kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.


Sementara itu, Shahrom dalam rayuannya memohon mahkamah mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen kerana mendakwa dia sudah insaf dan ini kesalahannya yang pertama. “Harapan keluarga saya supaya saya pulang pada tarikh pembebasan, 4 Oktober ini. Saya ingin bertaubat dan membina hidup baru,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjara6bulanlagi/Article

Hukuman jaga kaki seks ditambah

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang jaga untuk dibebaskan dari penjara Isnin ini kerana menyiarkan gambar bogel serta gambar hubungan sejenis dirinya di laman web tiga tahun lalu tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam mengubah perintah hukuman penjara terdahulu selama enam bulan kepada setahun.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak memutuskan hukuman tersebut setelah mendengar rayuan pihak pendakwaan yang mahukan tertuduh, Shahrom Mahadi, 45, dikenakan hukuman penjara lebih lama dan berjalan secara berasingan.

Shahrom sebelum ini mengaku salah terhadap enam pertuduhan alternatif iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet untuk membuat dan memulakan penghantaran gambar bogelnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azizah Mahamud pada 4 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan diarahkan berjalan secara serentak mulai tarikh tersebut.

Tertuduh sepatutnya dibebaskan dari Penjara Kajang Isnin ini setelah tempoh hukuman enam bulan itu berakhir 4 Oktober ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Sut robot beri kekuatan 17 kali


SEORANG pemakai sut robot menumbuk papan di Bandar Salt Lake, Amerika Syarikat baru-baru ini.


BANDAR SALT LAKE - Satu sut robot yang dicipta oleh firma pertahanan Raytheon di sini, Amerika Syarikat akan membantu si pemakainya mempunyai kekuatan 17 kali daripada biasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam satu demonstrasi yang diadakan baru-baru ini, si pemakai sut itu boleh mengangkat bebanan seberat 90.71 kilogram (kg) dan menumbuk empat lapisan kayu yang masing-masing setebal 2.54 sentimeter.

Sut robot itu seberat 88.45kg dan dikenali sebagai XOS 2 Exoskeleton.

Dalam satu demonstrasi, seorang lelaki, Rex Jameson yang memakai sut itu berkata: "Memakai sut itu akan menjadikan berat 22.68kg menjadi seperti 1.3kg manakala bebanan 90.71kg umpama 5.44kg."

Sut itu dijangka akan digunakan oleh askar-askar dalam tempoh lima tahun lagi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Dua wanita dirotan di Aceh



MURNI AMRIS (kiri) dirotan di sebuah masjid di Aceh Besar, Aceh semalam.


BANDA ACEH, Indonesia - Dua wanita dirotan di wilayah Aceh, Indonesia semalam kerana menjual makanan semasa bulan Ramadan, kata seorang pegawai.

Ratusan orang berhimpun untuk melihat Murni Amris, 27, dirotan sebanyak tiga kali manakala Rukiah Abdullah, 22, menerima dua rotan di sebuah masjid di bandar Jantho, tenggara Banda Aceh.

"Dua wanita itu ditemui menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengahari semasa Ramadan. Undang-undang syariah melarang makanan dijual semasa bulan puasa dalam Ramadan," kata seorang ketua polis syariah, Marzuki Abdullah.


MURNI AMRIS dipimpin oleh seorang anggota polis sebelum dia dirotan semalam.


Murni memiliki sebuah gerai makanan manakala Rukiah menjual nasi.

Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera merupakan antara beberapa wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah.

Dalam bulan Ramadan, penganut Islam berpuasa dari awal pagi sehingga senja yang bermula pada Ogos dan berakhir awal September tahun ini.

Turut dirotan ialah Fakhruddun Harun sebanyak lapan kali di pekarangan sebuah masjid di Aceh Besar kerana kesalahan berjudi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Zaida ditawar tapak baru di Alamanda


PEMANDANGAN dari luar pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya.


PUTRAJAYA – Pemilik butik pakaian muslimah Zaida’s Collection, Zaida Abdul Aziz ditawarkan tapak niaga yang baru oleh pihak pengurusan Alamanda setelah diminta keluar dari pusat beli-belah itu atas alasan tidak mencapai sasaran jualan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Putrajaya Holding dan Suria KLCC berhubung isu tersebut.

“Pihak pengurusan iaitu Suria KLCC bersetuju untuk menawarkan dua tempat perniagaan kepada Zaida, satu di sayap komersial, Alamanda dan satu lagi di Anjung.

“Pengerusi Biro Ekonomi Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan akan berbincang dengan Zaida sama ada dia bersetuju untuk menerima tawaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Dia Fadila kini isteri Redza



DIA FADILLA bersama Redza selepas diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Percintaan yang berputik pada November tahun lalu berakhir di jenjang pelamin buat penyanyi Dia Fadila dan pasangannya, Redza Abdullah Sanusi semalam.

Pasangan itu memilih 1 Oktober 2010 sebagai hari bersejarah mereka kerana ia sama dengan hari ulang tahun kelahiran Redza.

Sebagai balasannya, Redza memberi mas kahwin iaitu senaskhah al-Quran, telekung dan wang berjumlah RM2,309.84 iaitu sama dengan tarikh lahir Dia Fadila pada 23 September 1984.

Dia Fadila atau nama sebenarnya Nur Nadia Fadila Abu Bakar, 26, diijabkabulkan dengan Redza, 33, seorang pengurus pengiklanan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Dr Mahathir dimasukkan ke hospital di Melbourne

2010/10/02

MELBOURNE: Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke sebuah hospital di sini malam tadi bagi rawatan "batuk dan selesema".

Beliau kini sedang berehat di Hospital Epworth. Dalam jawapan melalui SMS, pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof mengesahkan bekas perdana menteri dimasukkan ke hospital itu untuk rawatan bagi selesema dan batuk.

Dr Mahathir, 85, tiba di sini beberapa hari lalu untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne hari ini.


Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).


(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.) Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir pada majlis itu yang beliau (Dr Mahathir) nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.


Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap pada seminar itu bagi mewakilinya.


Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007. Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang jugan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan pada majlis tempatan dan antarabangsa.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DrMahathirdimasukkankehospitaldiMelbourne/Article

Jimmy Shanley Bergelar Suami



Sabtu Oktober 2, 2010

Oleh AU YEONG HOW




SUNGAI BULOH: Dengan tiga kali lafaz, pengacara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Jimmy Shanley Norjahan Saleh selamat diijabkabulkan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy kira-kira pukul 4 petang, Jumaat.

Majlis akad nikah yang berlangsung di banglo mewah milik keluarga perempuan berlangsung di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Adib, bekas peserta rancangan Imam Muda.

Kira-kira 500 kenalan, saudara-mara hadir pada acara akad nikah yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Damansara, Mustaffa Kamal Abu Bakar. Ia disaksikan oleh Mohd Fadhil Mohd Nor dan Mohd Yusof Mohd Isa.

Majlis akad nikah dilakukan di atas pelamin mini dihiasi bunga ros dan kekwa merah dan merah jambu yang direka oleh perunding perkahwinan Baha.



Jimmy kelihatan segak berpakaian baju Melayu rona emas rekaan Rizman Ruzaini manakala Nursuhaila anggun mengenakan baju kebaya bertatahkan manik dan permata. Nursuhaila diwalikan bapanya.

Rombongan pengantin lelaki hadir seramai 50 orang diketuai oleh abang kepada Jimmy Shanley iaitu Datuk Ir Young Juwahir Muhammad Idrus yang membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

Hantaran daripada pihak lelaki terdiri daripada sebuah jam tangan, satu set barang kemas, sebuah komputer iPad, tas tangan, alatan dandanan dan wangian, sepersalinan pakaian, sepasang kasut, wang mas kahwin dan sebentuk cincin pusaka peninggalan dan wasiat arwah ibunda pengantin lelaki.

Pihak perempuan pula menyerahkan sepasang kasut, seutas jam tangan, sehelai baju, sehelai seluar, sebuah iPhone, kek, manisan, coklat, sirih junjung, set dandanan dan sepasang baju Melayu.

Bagi upacara pembatalan air sembahyang, Jimmy menyarungkan sebentuk cincin pusaka peninggalan arwah ibunya ke jari manis pengantin perempuan.

Cincin pusaka berpermata nilam merah itu adalah amanat arwah ibu Jimmy supaya disarungkan kepada isteri Jimmy.

Pihak pengantin lelaki telah membawa mas kahwin dan duit hantaran sebanyak RM31,186, bersamaan tarikh lahir pengantin perempuan iaitu pada 31 Januari 1986. Ketika ditemui selepas akad nikah selesai, Jimmy memberitahu dia berasa gugup semasa melafazkan nikah kerana julung kali berbuat demikian.

Bagaimanapun, bekas pengacara Trek Selebriti itu melahirkan rasa lega kerana akhirnya hasratnya memperisterikan Nursuhaila tercapai.

"Tempoh perkenalan kami singkat sahaja. Banyak lagi yang saya tidak tahu tentang isteri saya. Selepas ini, saya akan lebih memahaminya," kata jejaka berusia 30 tahun itu tersenyum lebar semasa sidang akhbar.

Jimmy turut berkata, dia ingin memiliki empat anak lelaki dan seorang anak perempuan bersama isteri tersayangnya.

Sementara itu, isterinya, Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim itu berkata, dia bersyukur dan tetap memberikan sokongan penuh kepada suaminya menceburkan diri dalam bidang seni.

Majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam ini di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/2/mstar_hiburan/20101001193625&sec=mstar_hiburan

Atap bocor, lantai berlubang

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my
2010/10/02

KUANTAN: “Rumah ini terlalu uzur dengan atap bocor sana sini manakala lantai semakin mendap hingga berjalan pun perlu berhati-hati bagi mengelak terjatuh dalam lubang dipenuhi air di bawah rumah.

“Saya sudah tidak sanggup tinggal di sini, tetapi apakan daya tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membeli rumah walaupun rumah kos rendah,”
kata Hasifah Awang, 53.

Wanita itu tidak mempunyai pilihan selain meneruskan kehidupan bersama tiga daripada empat anaknya termasuk anak bongsu, Nurul Syahira Arif, 16, yang disahkan menghidap Skizofrenia sejak setahun lalu.


Anak sulung wanita itu, Mohd Afifi, 25, bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Johor Bahru manakala dua lagi anak, Nurul Ain, 24, dan Mohd Azizi, 22, masing-masing bekerja sebagai jurujual kedai peralatan telekomunikasi dan pembantu kedai runcit di sini.


Saya bukan ibu tunggal, tetapi isteri yang disisihkan suami dan sejak lapan tahun lalu terpaksa menjalani kehidupan penuh penderitaan tanpa dipedulikan suami yang hanya pulang ke rumah sekali-sekala.


“Sejak ditinggalkan, saya terpaksa meneruskan kehidupan bersama anak-anak selepas tidak dibenarkan menetap di rumah dibeli suami di perkampungan Sungai Isap, malah saya mendapat tahu rumah itu sudah dijual,”
katanya ditemui di rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang, di sini, semalam.


Rumah yang terletak berhampiran sebuah bengkel kelihatan daif dan uzur dengan atap bocor, digenangi air di bahagian dapur ketika hujan lebat manakala lantai ruang tamu terpaksa ditutupi dengan papan lapis dan beralas lapisan kotak tebal bagi mengelak penghuninya terperosok dalam lubang.


“Disebabkan masalah ini, saya mahu berpindah kerana tidak selesa dan memberi kesan emosi jangka panjang untuk Nurul Syahira yang sering dalam keadaan tidak tenteram akibat penyakit itu,” katanya.


Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi mendapatkan tempat tinggal lebih selesa berbanding rumah disewanya sekarang dengan bayaran RM100 sebulan, tetapi mempunyai banyak masalah.


“Setiap tahun saya perlu membaiki bumbung yang bocor. Jika wang tidak mencukupi terpaksa membiarkannya dan meletakkan besen atau baldi bagi menadah air hujan.


“Walaupun tiga anak bekerja, ia hanya cukup untuk membayar sewa rumah, bil air dan elektrik serta membeli barangan dapur,”
katanya.


Katanya, Nurul Syahira disahkan menghidap Skizofrenia selepas mengalami kemurungan dan kerap mendengar bisikan suara ghaib ketika bersekolah dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, di sini.


“Dia sering marah-marah dan tertekan hingga pada satu tahap mendengar suara ghaib yang memintanya memanjat pokok di depan sekolah dan terjun. Nurul Syahira akur dan terjun menyebabkan kakinya bengkak dan kesannya masih dirasainya hingga kini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atapbocor_lantaiberlubang/Article

'Kesal pemilik taska tak diambil tindakan'

2010/10/02

PUTRAJAYA: “Kami kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap pemilik taska berkenaan walaupun laporan dibuat kepada pihak terbabit sehingga seorang lagi bayi menjadi mangsa kecuaian kakitangan terbabit,” kata Sofia Noor Yahya, 27.

Sofia Noor, ibu kepada bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dipercayai akibat tersedak susu di sebuah taska dikatakan milik anak seorang kenamaan bergelar Datuk di Presint 18, di sini, Julai tahun lalu.

Katanya, dia amat terkejut apabila mengetahui tragedi sama berlaku terhadap anak pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin yang menghantar bayi mereka di taska berkenaan, sekali gus menunjukkan tiada sebarang tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Katanya, selepas tragedi menimpa anak sulungnya, Muhammad Syamil Nazhan Saiful Afzan, Julai tahun lalu dia membuat laporan kepada JKM selepas mengetahui taska itu tidak berdaftar.


“Mereka (JKM) berjanji menyiasat dan membuat pemantauan. Bagi saya pemantauan tidak perlu dilakukan kerana sudah terang-terangan ia tidak mempunyai lesen.


“Sepatutnya JKM terus memberhentikan operasi taska terbabit, tetapi tiada sebarang tindakan diambil hingga hari ini dan kes sama berulang terhadap pasangan terbabit,”
katanya ketika ditemui di kediamannya di Presint 11 di sini, semalam.


Sofia Noor berkata, dia enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska berkenaan selepas kematian anaknya kerana tidak mahu bedah siasat dijalankan.


Anak sulung pasangan Sofia Noor dan Saiful Azhan Abdul Rashid meninggal dunia 7 Julai 2009 selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan taska terbabit, dan pada 20 September anak bongsu pasangan Shahrulnizam Reihan dan Mazliana Nordin, Noramirah menerima nasib sama di taska itu.


Difahamkan pemilik taska terbabit pernah beberapa kali memohon lesen, tetapi tidak mendapat kelulusan atas beberapa alasan termasuk tidak mengasingkan bayi dengan kanak-kanak.


Apa yang menghairankan, katanya, peraturan ditetapkan taska terbabit yang tidak membenarkan penjaga masuk ke dalam premis mereka juga amat diragui.


“Saya pelik kenapa mereka tidak membenarkan kami masuk ke dalam taska dan meminta kami menyerahkan anak kepada pengasuh di depan pintu taska saja.



“Selain itu, saya juga turut dimaklumkan kebanyakan bayi di situ dibedung sebelum diberikan susu dipercayai bagi mengelakkan bayi bergerak,”
katanya.


Sofiah Noor juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu menyebabkan bayi tersedak susu hingga meninggal dunia.


Malah, katanya ketika dia menghantar anaknya ke taska berkenaan tahun lalu, hanya mempunyai dua pengasuh dan seorang penyelia untuk menjaga tujuh bayi dan 10 kanak-kanak.

Apa yang menyedihkan, katanya pemilik taska berkenaan membuat cerita kononnya anaknya tidak sihat ketika dihantar ke taska terbabit dan alasan sama diberikan terhadap kes pasangan suami isteri terbabit.

“Jadi kami minta taska itu ditutup. Selagi taska itu tidak ditutup dan penyelia masih bersikap endah tidak endah, kejadian sama mungkin berulang lagi. Pada masa sama saya menasihatkan ibu bapa supaya selidik latar belakang taska terlebih dulu sebelum menghantar anak ke taska,” katanya.

Mengimbau kembali kejadian yang menimpa anaknya, beliau berkata pada hari kejadian pemilik taska hanya meminta dia ke taska berkenaan dengan segera tanpa memaklumkan apa yang terjadi.


“Sebaik tiba di sana, saya diberitahu bayi saya sudah dibawa ke hospital menyebabkan saya bergegas ke unit kecemasan Hospital Putrajaya dan mendapati anak saya sedang dirawat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesalpemiliktaskatakdiambiltindakan/Article

Bakal pengantin hantar kad jemputan ‘ghaib’

2010/10/02

BUTTERWORTH: Tarikh 10 Oktober ini dipilih gadis berusia 22 tahun sebagai hari akad nikah manakala majlis perkahwinan pada 16 Oktober, tetapi impian gadis berkenaan untuk bergelar isteri kepada lelaki dicintainya mungkin tidak kesampaian berikutan dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan individu tidak dikenali sejak seminggu lalu.

Sebelum dilaporkan hilang pada 25 September lalu, Siti Nor Paraf Ismail menghantar kad jemputan majlis perkahwinannya pada 16 Oktober ini kepada rakannya di Pinang Tunggal, Kepala Batas.

Siti Nor Paraf yang tinggal di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang 25 September lalu, menunggang menaiki motosikal Yamaha LC135 hitam dengan nombor pendaftaran PJE719.


Bapanya, Ismail Abdullah, 52, berkata ketika itu dia bersama isteri, Maimunah Lebai Shaari, 52, tiada di rumah kerana keluar mengundang saudara-mara serta sahabat handai ke majlis perkahwinan anaknya itu.


Katanya, Siti Nor Paraf yang juga anak ketiga daripada 10 beradik dijadual diijab kabul pada 10 Oktober ini di Masjid Lahar Kepar, Kepala Batas, dengan pasangannya yang bekerja sebagai pekerja industri dari di Kampung Paya Keladi Hujung, dekat sini.


Bagaimanapun, anak lelakinya, Syazwan, 16, memaklumkan Siti Nor Paraf tidak pulang apabila dia dan isteri pulang ke rumah kira-kira jam 8.30 malam.


Menurutnya, dia menghubungi telefon bimbit anak perempuannya itu yang bekerja sebagai pekerja industri di Bayan Lepas kira-kira jam 9 malam pada hari sama dan terdengar suara lelaki tidak dikenali menghalang Siti Nor Paraf daripada bercakap.


“Ketika menghubunginya, ada deringan dan selepas talian dijawab saya terdengar suara lelaki cuba menghalang anak saya yang seolah-olah berusaha hendak bercakap sebelum talian diputuskan.


“Saya percaya anak saya dilarikan individu tidak dikenali kerana kami sekeluarga tiada perselisihan faham dengan Siti, malah dia tidak meninggalkan pesanan ketika keluar rumah,”
katanya yang mengunjungi pejabat Harian Metro di sini, semalam. Menurut Ismail, dia membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kepala Batas pada 27 September lalu selepas gagal menghubunginya.


“Saya juga menghubungi rakannya selain keluarga terdekat bagi mengesannya, tetapi gagal. Kami kini bimbang keselamatannya selain persiapan perkahwinannya juga sudah dilakukan,” katanya.


Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai Siti Nor Paraf diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ismail menerusi talian 04-5756169 atau Abdul Razak Darus (012-4904228).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bakalpengantinhantarkadjemputan__8216_ghaib__8217_/Article

Anak gadis suka keluar malam hilang

2010/10/02

SHAH ALAM: Seorang bapa kebingungan selepas anak perempuannya yang berusia 22 tahun menghilangkan diri sejak 27 September lalu tanpa khabar berita.

Zulkefli Mohd Yusof, 55, berkata anak perempuannya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumahnya di No 29, Jalan Relong Dua 19/44B, Seksyen 19D, di sini, tanpa memaklumkan kepadanya mahupun isteri, Latipah Patol Robaniah Abdullah, 53.

Menurutnya, dia menyedari Nur Zulaiha hilang selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas jam 11 malam hari sama.


Katanya, Nur Zulaiha dipercayai keluar dari rumah pada jam 2 petang tanpa alasan.


“Isteri saya keluar rumah untuk berniaga kuih-muih pada jam 1.45 tengah hari dan ketika itu Zulaiha masih berada di dalam rumah.


“Dia sempat meminta wang RM4 sebelum keluar dari rumah,”
katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.


Zulkefli berkata, selepas kehilangannya disedari, beliau menelefon anak perempuan tunggalnya itu dan Zulaiha hanya memberitahu dia berada di sebuah kompleks sebelum memutuskan talian dan tidak dapat dihubungi selepas itu. Zulkefli dan keluarga sudah berusaha mencari di merata tempat termasuk di rumah saudara-mara serta pusat-beli belah sekitar Shah Alam, namun tidak menemuinya.


“Anak saya seorang yang pendiam dan tak suka bergaul dengan rakan sebayanya yang tinggal berdekatan rumah.


“Saya juga tak tahu dengan siapa dia berkawan sebab dia tak nak bagi tahu walaupun sudah banyak kali didesak.


“Sebelum ini pun dia selalu keluar malam, tapi balik walaupun kadang-kadang keluar pada jam 12 malam dan balik pada jam enam pagi keesokan harinya. Saya tak pernah pukul dia, tapi sekadar marah dengan memberi nasihat setiap kali tahu dia pulang lewat,” katanya.


Menurut Zulkefli, dia membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 untuk tindakan selanjutnya.

Zulkefli meminta anaknya pulang segera kerana ibunya yang kini kerap sakit sering bertanyakan mengenai keadaan anaknya itu.


“Saya juga sangat bimbangkan keselamatan anak gadis saya dan risau jika dia diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.


Zulaiha dipercayai memakai seluar hitam dan berbaju kemeja jalur kelabu serta membawa beg tangan berwarna emas ketika keluar dari rumahnya.


Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Nur Zulaiha diminta menghubungi Zulkefli di talian 017-6306547 atau balai polis berhampiran.



http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakgadissukakeluarmalamhilang/Article

Bayi berpeluh terlebih dos

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Kesilapan preskripsi seorang doktor sebuah hospital pakar berhubung dos ubat yang perlu dimakan hampir meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia 20 bulan apabila ubat yang diberikan melebihi had.


KESAL...Teoh menunjukkan ubat yang diberikan kepada anaknya.
Arahan berkenaan yang menyebabkan bayi terbabit diberikan dos ubat berlebihan mengakibatkan mangsa berpeluh sepanjang masa, selain tidak sedarkan diri sejurus diberi makan ubat berkenaan.
Ibu mangsa yang juga guru, Teoh Lee Thin, 26, berkata, anaknya, Teoh Jing Teng mengalami demam panas pada 23 September lalu sebelum dihantar ke sebuah hospital pakar di ibu kota.

Menurutnya, dia yang bergegas mendapatkan rawatan untuk anaknya di klinik kecemasan hospital berkenaan dibawa bertemu doktor pakar bertugas kira-kira jam 10 malam.


“Doktor terbabit memberitahu bayi saya demam panas mencecah hampir 40 darjah celcius selain jangkitan kuman pada kerongkong.


“Sebaik selesai diperiksa, doktor mengarahkan saya memberi makan tiga ubat kepada bayi saya selama tiga hari,”
katanya ketika ditemui di Biro Aduan Awam MCA, semalam.


Menurutnya, kakitangan farmasi yang bertugas memberikannya tiga ubat iaitu cecair paracatemol untuk demam, cecair Amoxyllin sebagai antibiotik dan pil dequatin bagi melegakan sakit tekak.


“Mulanya timbul rasa pelik berikutan jumlah ubat yang diberikan terlalu banyak terutama cecair antibiotik sebanyak lapan mililiter berikutan jumlah itu untuk dewasa. Bagaimanapun, kakitangan farmasi terbabit mendakwa mengikut arahan doktor tanpa mahu merujuk arahan itu sekali lagi. “Namun, selepas diberi makan ubat terbabit, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati bayi saya berpeluh melampau selain khayal tidak sedarkan diri,” katanya.


Menurutnya, dia yang bimbang keadaan kesihatan anaknya itu segera menghubungi doktor di hospital berkenaan bagi mendapatkan kepastian.


“Hanya selepas dua jam panggilan terbabit, seorang jururawat menghubungi semula saya dan memberitahu dos diberikan berlebihan.


“Saya terkejut sebelum membawa anak saya ke hospital lain bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan ultrasound. Doktor berkenaan mendakwa pil sakit tekak yang diberikan itu untuk pesakit dewasa,”
katanya.


Malah, mangsa dimaklumkan ubat demam terbabit yang diberikan berlebihan boleh mengakibatkan kesan buruk pada bahagian hati selain cecair antibiotik berlebihan pula boleh menyebabkan kerosakan pada tulang dan saraf.



Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, kecuaian itu akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia selain laporan akan dihantar pihaknya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiberpeluhterlebihdos/Article

'Saya menyesal'




Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mior Azlan Mior Kamarulbaid
am@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: “Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ia menjadi pengajaran paling berguna dalam hidup saya,” kata seorang pengacara sebuah rancangan televisyen yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, dekat sini, Rabu lalu.


ADAM...kesal apa yang berlaku

Pengacara berusia 27 tahun itu mengaku menjadi satu kesalahan apabila bersama wanita bukan mahram, tetapi mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama.

“Saya hanya membantu rakan saya mengemas barang kerana dia perlu ke Kota Kinabalu, Sabah, tetapi terkejut apabila pihak berkuasa tiba.


“Kami tidak buat apa-apa, tetapi apa yang berlaku ini satu pengajaran buat saya dan tidak akan berulang lagi,”
katanya yang dihubungi semalam.


Pengacara itu ditahan bersama wanita berusia 27 tahun yang juga isteri orang di sebuah apartmen jam 2 pagi, Rabu lalu.


Jurucakap Jais yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kedua-dua mereka dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah syariah.


Sebelum itu, suami kepada wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 31, berkata, dia dan isterinya sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu kerana masalah rumah tangga.


“Walaupun kami tidak tinggal sekali namun kami masih menjaga anak perempuan yang berusia tiga tahun secara bergilir-gilir.


“Saya hantar anak saya kepada isteri setiap Jumaat dan menjemputnya semula pada Ahad sehinggalah saya terserempak dengan pengacara itu dalam kereta isteri bersama anak berhampiran kediaman saya di Kelana Jaya,”
katanya.


Menurutnya, dia sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tetapi tidak tahu dengan siapa.


“Saya juga tidak tahu berapa lama mereka berkenalan, tetapi saya syak mereka mengenali satu sama lain menerusi facebook.



“Akhirnya perkara itu terbongkar selepas mereka ditahan. Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana lelaki itu dikenali orang kerana mengacarakan program televisyen, tetapi kenapa bersikap buruk seperti ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayamenyesal/Article

Bapa terkejut bayi jadi biru


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Akibat keletihan dan tertidur selama dua jam, seorang bapa hanya mampu menitis air mata apabila bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaannya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Hadif Hameedullah Mohd Najib diberi minum susu oleh bapanya sebelum diberi pula minum air yang diisi dalam botol.

Namun, bayi itu dipercayai tidak sedarkan diri sewaktu bapanya tersedar dari tidur kira-kira jam 1 tengah hari di rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju.

Difahamkan, bapa bayi itu berusia 29 tahun mengambil alih menjaga anaknya kerana sedang bercuti. Ketika kejadian, bapa terbabit yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, cemas apabila mendapati anak bongsunya itu tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa kemudian mencabut botol susu yang berada pada mulut anaknya selepas mendapati bayi itu kebiruan, selain keluar air dari mulutnya.

“Dia menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru di sekolah berhampiran sebelum bergegas menghantar bayi mereka ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan.

“Doktor memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut dan dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tapi siasatan diteruskan. Polis juga mendapatkan keterangan daripada bapa mangsa yang juga saksi kejadian kerana bersama-sama mangsa ketika itu,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut bapanya selepas bedah siasat untuk dikebumikan.

Kejadian ini kali ketiga dilaporkan dalam tempoh dua minggu lalu. Pada 21 September lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan mati tersedak susu selepas dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya.

Dalam kejadian kedua pada Ahad lalu pula, seorang bapa dikatakan memangku bayi lelakinya, Mohamad Ayub selepas diberi susu ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Manik Urai, Kuala Krai ke ibu negara.

Difahamkan, kedua-duanya kemudian tertidur dan hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada dalam kereta api akibat tersedak susu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaterkejutbayijadibiru/Article

Koma angkara peragut


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/10/02

KUANTAN: Seorang ibu muda anak satu koma akibat kepalanya terhantuk selepas diterajang seorang peragut ketika menunggang motosikal bersendirian di Jalan Pinang di sini, kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Wan Noresah Mat Isa, 24, dari Kampung Paya Pinang, Jalan Sungai Lembing, kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kerana mengalami pendarahan beku di kepala berikutan hentakan kuat.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal untuk pulang ke rumah ibunya di Kampung Paya Pinang selepas singgah di rumah sewanya di Kampung Padang.

Peragut terbabit yang menunggang motosikal tiba-tiba menghampiri dan menendang mangsa hingga terjatuh sebelum merampas telefon bimbit, wang tunai serta dokumen penting dianggarkan bernilai RM1,000.

Wan Noresah yang bekerja sebagai kerani di sebuah pasar raya di Jaya Gading, Jalan Sungai Lembing, di sini, ditemui seorang penduduk kampung yang melalui tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah di kepala serta tidak sedarkan diri.

Abang mangsa, Wan Azhar, 31, berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa adiknya oleh penduduk kampung, kira-kira jam 9.35 malam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya mendapati adik saya tidak sedarkan diri dengan mukanya berlumuran darah selain terdapat kesan luka di badan,” katanya. Menurutnya, kebiasaannya, Wan Noresah pulang ke rumah jam 5 petang, namun pada hari kejadian dia pulang lewat kerana mengira stok barangan di tempat kerjanya.

“Tergamak peragut terbabit menendang adik saya hanya kerana ingin mencuri telefon bimbit dan wang tunai,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Menurutnya, suami Wan Noresah bekerja sebagai kelasi kapal dan kini berada di Mesir sudah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil di IPD Kuantan bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Komaangkaraperagut/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...