Wednesday, October 22, 2008

Sedia kerusi untuk Rasulullah

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang mempelajari ilmu perubatan Islam tergamam apabila seorang daripada mereka membawa berita menggemparkan dengan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. dan wali Allah lain akan muncul di padang sebuah taman permainan di Petaling Jaya di sini.

Lelaki berusia 20 tahun terbabit mendakwa, dia mendapat ‘wahyu’ daripada Allah kononnya Rasulullah akan muncul di lokasi berkenaan menyebabkan 10 rakannya terpengaruh untuk menatap wajah Nabi Muhammad mengikutnya ke padang itu, pada jam 1 pagi, baru-baru ini.

Bagi meyakinkan mereka, lelaki yang dikenali sebagai Ramli itu meletakkan sebuah kerusi di tengah padang kononnya untuk diduduki Nabi Muhammad.

Beberapa minit selepas kerusi diletakkan, Ramli membisikkan sesuatu kepada rakan mendakwa Nabi Muhammad sudah datang dan duduk di kerusi berkenaan sebelum mereka menangis beramai-ramai.


Bagaimanapun, kejadian aneh itu menimbulkan syak wasangka kepada seorang pelajar ilmu perubatan Islam itu apabila dia tidak nampak sebarang objek atau kelibat manusia di kerusi berkenaan.


Melihat kegiatan itu boleh menyesatkan akidah, lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Iskandar, 24, segera meninggalkan kumpulan berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut pembabitannya dengan kumpulan itu, Iskandar berkata dia seorang daripada pelajar ilmu perubatan Islam di rumah sepasang suami isteri yang juga pengamal perubatan alternatif di sebuah rumah di Petaling Jaya.

“Ada kira-kira 30 lelaki termasuk saya mempelajari ilmu perubatan. Kami yang masing-masing berusia 18 hingga 40 tahun sering berkumpul di rumah itu pada waktu malam,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, kira-kira empat bulan lalu, ada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Ramli datang berubat.

“Seminggu selepas itu, dia datang semula ke rumah tempat kami belajar dan memberitahu niatnya untuk turut mempelajari ilmu perubatan Islam.

“Dia nampak seperti biasa saja, namun seminggu kemudian, kami terkejut apabila dia mendakwa dianugerahkan ‘keistimewaan’ apabila boleh menilik nasib serta mengetahui masa lampau seseorang.

“Ketika itu kami percaya dengannya kerana semua tekaannya tepat,” katanya.

Iskandar bagaimanapun mula sangsi apabila Ramli memberitahu kononnya dia juga boleh mengampunkan dosa.

“Setiap hari Ramli akan membicarakan perkara yang memesongkan akidah termasuk mendakwa wali Allah dan Nabi Muhammad datang ke rumah tempat kami berkumpul.

“Yang peliknya, ada antara kami percaya dan disebabkan itu saya dan sembilan rakan lain sanggup mengikutnya ke padang selepas dia memberitahu wali Allah dan Rasulullah akan muncul di sana.

“Saya terkejut apabila rakan menangis teresak-esak sambil berdoa dan berzikir selepas Ramli memberitahu mereka kononnya Nabi Muhammad sudah duduk di atas kerusi berkenaan.

“Namun, saya langsung tidak nampak dan tersedar semua itu boleh memesongkan akidah,” katanya.

Iskandar yang sudah insaf, berkata dia difahamkan, rumah tempat dia pernah berkumpul untuk mempelajari ilmu perubatan Islam, kini tidak lagi berpenghuni.


http://www.hmetro.com.my/22102008

Rogol dalam bas sekolah

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


RAMPAS...bas sekolah suspek dibawa ke IPD Petaling
Jaya untuk siasatan lanjut.



PETALING JAYA: Seorang pemandu bas sekolah merogol seorang pelajar berusia 14 tahun dalam kenderaan itu dalam satu kejadian di Sungai Way di sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, lelaki durjana itu yang menjalankan rutin hariannya mengambil pelajar di sekitar Petaling Jaya menggunakan kesempatan ketika gadis itu menaiki bas dipandunya berseorangan.

Difahamkan, pelajar malang itu yang juga penumpang pertama menaiki bas terbabit, dirogol pemandu bas itu yang membawa kenderaannya ke satu lokasi tersorok sebaik mangsa menaiki bas untuk ke sekolah.

Lelaki itu menutup pintu bagi mengelak pelajar tingkatan dua itu menjerit meminta tolong atau lari menyelamatkan diri sebelum merogolnya.


Mangsa yang ketakutan selepas diugut, hanya mampu merelakan dirinya dirogol lelaki terbabit berikutan ketika kejadian tiada sesiapa berada di sekitar kawasan itu.


Selepas memuaskan nafsu serakahnya, pemandu bas itu tanpa belas kasihan dan rasa bersalah meninggalkan pelajar berkenaan di tempat kejadian menyebabkan mangsa terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah sambil menangis.

Menurut sumber, bapa pelajar itu membawa mangsa yang masih berpakaian seragam sekolah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membuat laporan.

Susulan laporan itu, polis menahan pemandu bas terbabit bagi membantu siasatan.

“Lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam (kelmarin). Suspek sudah berkahwin dan isterinya sedang mengandung anak sulung mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Lelaki itu kini ditahan dan akan direman mulai esok (hari ini),” katanya.


http://www.hmetro.com.my/22102008

Krisis kewangan lebih teruk


SEOUL – Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak semalam menyatakan krisis kewangan yang melanda dunia ketika ini adalah jauh lebih buruk berbanding kemelesetan ekonomi Asia sedekad lalu.

Kerajaan Korea Selatan menyatakan negara itu mempunyai kaedah yang mencukupi termasuk rizab asing berjumlah AS$240 bilion (RM845 bilion) bagi mengatasi krisis semasa.

Korea Selatan mengalami kesan serius akibat krisis kewangan 1997 sehingga terpaksa menerima pakej bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$58 bilion (RM204 bilion) tetapi Seoul menggunakan hanya AS$30.2 bilion (RM106 bilion) dan sudah melangsaikan semua hutang itu. – AP

http://www.kosmo.com.my/22102008

Hakim tegur AC Mizal gagal hadir mahkamah


Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my


SHAFNIE hadir pada perbicaraan di mahkamah sambil ditemani anaknya Muhamad Shafiq Iman di Shah Alam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - "Ini perkara serius, tak boleh dibuat main-main dan kenapa tidak bantah tarikh hari ini (semalam) ketika kita menetapkan tarikh pada prosiding lepas jika ada penggambaran?"

Itu teguran Hakim Syarie Saarani Ismail kepada AC Mizal (gambar kecil) atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, kerana gagal hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bagi menghadiri prosiding kes tunggakkan nafkah dua anak lelakinya sebanyak RM50,000.

Prosiding semalam berkenaan notis bantahan awal terhadap permohonan bekas isterinya, Shafnie Zainudin, 33, agar satu perintah komital dikeluarkan menghantar responden ke penjara berhubung kegagalannya menjelaskan nafkah.

Shafnie yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais tiba seawal 9.20 pagi ditemani seorang rakan dan anak pertamanya, Muhammad Shafiq Iman, 12.

Hakim menegaskan kehadiran responden amat penting bagi menjamin kelancaran prosiding kes berkenaan.

Saarani dalam masa sama turut meminta peguam syarie mewakili pengacara Akademi Fantasia itu, Siti Aishah Din mengemukakan surat penggambaran bukti ketidakhadiran untuk dimasukkan ke dalam fail mahkamah.

Sebelum itu, Siti Aishah menyampaikan permohonan maaf daripada AC Mizal berikutan kegagalannya hadir di mahkamah atas alasan menjalani penggambaran di Langkawi.


http://www.kosmo.com.my/22102008

Hati-hati penyamun menyamar kakitangan TM

KUALA LUMPUR - Hati-hati sekiranya anda didatangi seorang lelaki yang mendakwa kakitangan syarikat telekomunikasi terkemuka dan mahu memeriksa fius telefon rumah.

Itulah modus operandi seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang menyamar sebagai juruteknik dan memakai kemeja T berwarna biru dengan tertera logo Telekom Malaysia (TM) Berhad sebelum melarikan barang berharga milik mangsa.

Dalam kejadian terbaru semalam, seorang suri rumah yang dikenali sebagai Laila memberitahu, kejadian pada pukul 3.45 petang itu berlaku apabila lelaki tersebut tiba-tiba muncul di rumah dan memberitahu mahu memeriksa fius di rumahnya yang didakwa rosak.

Jelas wanita berusia 33 tahun itu, sebelum kejadian beliau yang sedang menggunakan telefon rumah terkejut sebaik mendapati talian tersebut terputus sebelum lelaki terbabit muncul di hadapan pintu rumahnya beberapa minit kemudian.

"Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai sub kontraktor daripada Kumpulan TM dan mahu memeriksa kerosakan pada fius telefon.


http://www.kosmo.com.my/22102008

Shah Rukh Khan ke Melaka terima Datuk




MELAKA - Pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan (gambar) akan datang ke Melaka untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada bulan depan.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, persetujuan pelakon itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Yang Dipertua Negeri.

Katanya, kerajaan Melaka serius dengan penganugerahan itu sebagai satu pengiktirafan kepada Shah Rukh Khan yang telah mempromosikan Melaka secara percuma melalui filem lakonannya bertajuk One 2 Ka 4 yang difilemkan di A'Famosa, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Beliau (Shah Rukh Khan) pun dah setuju, satu dunia pun sudah tahu, jadi kalau ditarik balik tak elok bagi kerajaan negeri dan bagi Shah Rukh Khan, macam kita tak fikir dulu sebelum beri, dah beri kemudian tarik balik, tak elok, buruk siku.

"Jadi, kita tidak akan menarik balik anugerah kebesaran negeri yang diberikan kepadanya walaupun banyak kritikan daripada sesetengah pihak yang mempertikaikan penganugerahan itu," katanya selepas majlis perasmian Menara TM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh semalam.


http://www.kosmo.com.my/22102008

Kempen pulaukan barangan

KUALA LUMPUR - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar di negara ini akan bergabung mengadakan kempen pemulauan besar-besaran terhadap produk-produk yang harganya tidak diturunkan mulai bulan depan.

Tindakan itu diputuskan sebagai tindak balas ke atas kedegilan peniaga dan pemborong yang masih enggan menurunkan harga barangan meskipun harga bahan bakar sudah tiga kali diturunkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Antara NGO yang akan mengerakkan kempen tersebut iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO).

Menurut Presiden Cuepacs, Omar Osman, satu pertemuan akan diadakan antara NGO terbabit pada 13 sehingga 15 November ini di Kota Kinabalu, bagi membincangkan mekanisme bagaimana untuk mengawal harga barangan di pasaran.

"Antara hasil perjumpaan itu ialah melancarkan kempen memulau produk atau perkhidmatan yang mengenakan harga tinggi, selain pelbagai lagi pendekatan untuk mengawal harga barangan dengan efektif yang akan diserahkan kepada kerajaan untuk penilaian dan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Jun lalu kerajaan telah menaikkan harga bahan bakar kepada RM2.70 seliter untuk petrol manakala RM2.58 bagi diesel yang seterusnya menjadikan alasan bagi peniaga dan pemborong menaikkan harga barangan secara mendadak.

http://www.kosmo.com.my/22102008

Operasi besar-besaran kesan melamin

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my




SEORANG pegawai penguat kuasa menunjukkan produk Ammonia Bicarbonate yang disita dalama Operasi Khas produk melamin di sekitar Cheras dan Bangi semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat melakukan pemeriksaan secara besar-besaran dan menyeluruh bagi mengesan bahan makanan yang mengandungi melamin berlebihan di negara ini.

Jika pemeriksaan sebelum ini lebih tertumpu kepada produk tenusu terutama yang diimport dari negara China, kini agen penaik makanan atau Amonia Bicarbonate pula dikhuatiri tercemar dengan bahan tersebut.

Ekoran itu, sekumpulan anggota penguat kuasa Jabata n Kesihatan Daerah Hulu Langat 'turun padang' dan melakukan pemeriksaan di beberapa buah premis di sini, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu tertumpu kepada pengimport dan pengeluar bahan terbabit yang digunakan secara meluas sebagai agen penaik makanan dalam pembuatan biskut dan kek.

Jurucakapnya berkata, hasil operasi tersebut, pihaknya berjaya menyita sejumlah 65 kilogram (kg) Amonia Bicarbonate di sebuah premis di Ampang yang dipercayai diimport dari China.

"Kita sudah ambil beberapa sampel untuk dihantar ke makmal yang diiktiraf KKM bagi memastikan bahan berkenaan tidak mengandungi melamin berlebihan seperti yang tertakluk pada Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Jurunikah palsu aktif semula - Pukul canang tidak kenakan bayaran nikah

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN dan ALIAS ISMAIL
berita@kosmo.com.my



SETIU - "Tak payah bayar walau satu sen pun."
Itulah taktik digunakan oleh seorang jurunikah tidak bertauliah begitu dikenali di sebuah kampung di sini, bagi menarik perhatian pasangan yang bermasalah untuk berkahwin.

Lelaki berusia 50-an itu dipercayai menawarkan 'khidmat percuma' tersebut bagi menunjukkan kononnya dia benar-benar mahu membantu pasangan dan bukannya mengaut keuntungan.

Dengan mencanangkan tiada sebarang upah melakukan akad nikah, taktik itu ternyata menjadi apabila beliau kini lebih kerap menerima kunjungan pasangan yang mahu berkahwin secara sembunyi-sembunyi.

Bagaimanapun, ia hanyalah 'pemanis mulut' lelaki itu kerana kebanyakan pasangan difahamkan menghulurkan wang malah sehingga lebih RM300 sebagai tanda terima kasih.

Muslihat terbaru jurunikah berkenaan dikesan oleh wartawan Kosmo! semasa berpura-pura mahu mendapatkan khidmatnya di rumahnya, baru-baru ini.

Ketika pertemuan itu, jurunikah itu memberitahu, beliau sedia menikahkan mana-mana pasangan yang datang berjumpanya dengan menawarkan 'pakej' menarik dan ia turut berjaya menarik pasangan dari beberapa negeri lain.

Dalam nada memujuk, lelaki itu berkata, pasangan yang hanya ingin dinikahkan tetapi tidak mahu surat nikah daripadanya, tidak perlu membayar apa-apa.

Katanya, sedangkan sebelum ini, untuk perkhidmatan itu beliau mengenakan bayaran sebanyak RM200.

"Kalau yang terdesak, saya boleh nikahkan terus. Free saja, sebab niat saya nak tolong orang yang susah. Tapi kalau ikhlas nak beri 'sumbangan' kepada saya, itu terpulanglah," katanya kepada wartawan Kosmo!.


http://www.kosmo.com.my/22102008

Tipah Tertipu Lagi....

Oleh: Firdaus (Kopitiam Bang Nan)- Laman M@RHAEN

Teman dok baca tulisan MSO bertajuk Lalu Kawanku Itu Pun Mengaku Kalah...cerita pasal Ku Li tertipu lagi...ehh macam kisah Tipah Tertipu plak...

2 dekad Ku Li tertipu kata MSO. Memang padanlah...kan teman dah cakap Ku Li ni cuma layak jadi kuli aje... Rasuahlah bahlul...!! Ada ramai teman kata bahasa teman tu kasar sangat... memanglah kasar. Bayangkan...anak teman yang baru Tingkatan 1 tu pun dah tau Che Det ni kaki temberang...Ku Li tak tau. Bahlullah tu...

Nak bagi tau Ku Li...tak ada peranan apa2 Ku Li dalam Umno. Cuma dia bagi gula2...Gua Musang selagi hayat dikandung badan memang Umno (tak kira sapa jadi PM) allocate untuk Ku Li. Itu aje...nak lebih dari tu sorrylah. Kalu Shabery Chik jadi PMpun dia tak bagi Ku Li naik punya...Tak kan macam tu pun Ku Li tak tau?

Kan lebih baik dia join Pakatan Rakyat. OKlah tak payah masuk PKR atau PAS....Buat parti lainlah. Takkan satu MP lainpun tak nak join dia. Ibrahim Ali si katak tu kan pengikut setia. Ajak 5-10 orang lagi. Ku Li boleh jadi tauke dan taiko sekaligus.

Dari dalam PR lebih banyak yang boleh diperjuangkan untuk negara. Lebih bermunafaat. Buangkan ajelah nostalgia Umno tu. Afterall Umno sekarang dah tak sama dengan Umno dulu. Perjuangan sekarang bukan macam perjuangan dulu...itupun Ku Li tak tau..?

Marilah...jangan buang masa. Tak kan kita nak duduk bawah PM yang penuh dengan skandal sampai bila2. Kita bungkus Che Det tu once for all....habis cerita. Kalu nak jawatan menteri sangat...teman percaya Anwar boleh bagi. Tapi jadi PM tak bolehlah yob. Itu sudah lawan tauke...he he..


MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

Kiriman Firdaus - Kopitiam Bang Nan

17.10.2008


http://www.marhaen.org/v1/mar_a_kopitiam_bangnan141.html
Oleh: Firdaus (Kopitiam Bang Nan)- Laman M@RHAEN


Malam tadi teman dok menonton tv 501..kira2 jam 11.30 malam..gitulah. Teman ni malam2 memang suka tengok tv...terutama channel 501 dan 502. Balik dari surau selalu lambat. Orang rumah dah lama hanyut dalam mimpi indah dia...mungkin tengah jual susu Alpha Lipid kot?

Kisah Ku Li di temuramah oleh sapa tu...? Teman tak berapa ingat nama dia ni...tah siapa? Lembut2 sikit... Suhaimi Sulaiman ke sapa? Kisah pasal gelora dalam Umno masa kini...

Macam2 ceritalah tapi..tu lah Ku Li....memang sesuailah jadi kuli sampai bila2. Tak merasanye mamat ni jadi presiden Umno....nak jadi PM jangan mimpilah. Tapi itulah orang2 lama...idealism dan nostalgia terlalu menebal. Setakat itu ajelah nampaknye...

Kununnye kalau dia terpilih nak buat perubahan besar2an di dalam Umno? Tak pijak ke tanah kaki orang tua ni. Teman kalu jumpa mamat ni malam2..mahu teman tengok dia lalu celah kelengkang....cabut tak cukup tanah teman.

Ada ke dia nak suruh 3 juta (ada ke?) ahli Umno pilih presiden dan timbalan presiden Umno? Alamak Ku Li...hang dapatkan dulu 58 pencalunan tu. 1 pun susah...jangan dok beranganlah. Engkau dengan Ali Rustam lebih kurang aje...

Merungut2 orang tua ni...katanya dia terkejut bila balik Kelantan didapati duit ditabur mencurah2. Tentulah oleh lawan2 politik beliau...sapa lagi kalu bukan Najib? "Money politic" katanya. Rasuahlah bahlul. Kenapa tak cakap terang2. Kalu rasuahpun dia tak boleh nak sebut rasuah... macam mana nak buat perubahan. Piiiirrraahhhhhh!!

Kenapalah mamat ni nak buang masa duduk dalam Umno? Kalu betul2 nak berjuang untuk rakyat Malaysia...pilihan yang dia ada cuma dalam PKR. Itupun sebagai ahli biasa aje. Duduk situ 5 atau 6 tahun....ajak kawan2. Tak pa lah...Shabery Chik bueh tupun boleh ikut sama. Tapi tu lah...macam teman cakap...kena jadi ahli biasa dulu...sebab dulupun mereka ni pernah belot dalam perjuangan...Mana boleh terus masuk naik atas yob?


MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

Kiriman Firdaus - Kopitiam Bang Nan

15.10.2008


http://www.marhaen.org/v1/mar_a_kopitiam_bangnan135.html

TABUNG AZAN HINA AGAMA..

Oleh Suhaimi Mohd Saad (Ilham Najmi) - Laman M@RHAEN

UMNO Cheras menubuhkan tabung azan. Menurut Syed Ali Al-Habshyi tujuannya ialah untuk

1. Menyediakan dana melatih Muaazin
2. Membekalkan peralatan pembesar suara untuk masjid
3. Membantu Utusan Malaysia menghadapai saman RM 30 juta Teresa Kok


Sejak bila pulak UMNO sangat prihatin untuk membela agama. Rakyat masih ingat, UMNOlah yang meroboh masjid di Jubli di Bangi, Masjid Kg Bujal Kemaman, Surau Kg Berembang. Malah di Selangor, beberapa masjid di kunci dan di gari.

Saya tak berhasrat untuk membela Teresa Kok. Seeloknya kita bermula dari punca berita. Isu Azan ini berlaku selepas Utusan Malaysia menyiarkan artikel Zaini Hassan bertajuk "Azan, jawi, JAIS, Uitm dan ba-alif-ba-ya…" Petikan artikel itu antara lain menyebut:-

Kira-kira tiga bulan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor, seorang Exco kerajaan negeri itu, yang juga seorang Ahli Parlimen dari parti DAP membuat kunjungan ke suraunya. Yang peliknya, YB wanita itu datang pada waktu sebelum subuh.Tanpa rasa malu-malu atau rasa bersalah, dia menasihatkan pengurusan surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar suara, terutama pada waktu subuh.
Katanya, “hasil tinjauannya” pada waktu subuh itu, cuma ada imam, bilal dan dua tiga orang sahaja makmum.“Kalau ada macam itu jangan kasi bangun oranglah (dengan azan)…” katanya kepada imam yang ada di situ.Semua yang ada terus “terkedu”.

Mereka berpandangan antara satu sama lain. YB yang baru tiga bulan menjadi Yang Berhormat itu tahukah apa yang dia cakap. Tidak sensitif langsungkah? Tidak sedarkah dia, kira-kira 90% penduduk di kawasan itu ialah orang Melayu beragama Islam.Jika diambil pendekatan isu yang berlaku sekarang, saya ingin bertanya, siapakah yang rasis? Siapakah yang perkauman? Dr. Khirkah, sayakah yang menulis Cuit ini? Atau, YB wanita berkaca mata itukah?



YB Teresa Kok menjawab artikel itu

Hari ini saya rasa terkejut apabiila membaca artikel yang amat merosakkan nama baik saya dalam Utusan Malaysia (10 September 2008). Kandungan dalam artikel yang ditulis oleh Zaini Hassan ini penuh dengan pembohongan. Beliau memetik kata-kata pembohongan Khir Toyo dan mendakwa saya membawa penduduk di Puchong membantah azan masjid.
Dalam artikel Zaini ini, beliau menulis saya pernah pergi masjid berkenaan sebelum subuh dan menasihatkan pengurusan surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.Oh my God, bila saya pergi ke surau Puchong pada awal pagi?

Saya biasanya bangun selepas pukul 7 pagi, buat apa saya pergi ke surau Puchong pada awal pagi? Sebenarnya, sampai sekarang, saya pun tidak tahu di mana letaknya surau tersebut.

Dalam mesyuarat exco Kerajaan Selangor pada pagi ini, kami telah membincangkan isu ini. Kami berpendapat kami mesti menghendaki pihak Utusan Malaysia, Zaini dan pihak-pihak berkenaan yang telah menyebarkan berita palsu dan pembohongan tersebut untuk menarik balik kenyataan pembohongan mereka dan meminta maaf, kalau tidak, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Kami berpendapat tibalah masanya bagi kami untuk tegas terhadap pihak yang membuat pembohongan.


Maknanya Utusan telah salah dalam melapor dan mengambil berita. Berita itu adalah bohong dan fitnah. Peliknya kenapa UMNO Cheras beriya-iya nak tubuh tabung azan yg antara tujuannya membantu akhbar yang menyiarkan berita PALSU. Kepalsuan, pembohongan dan fitnah tak harus dibela dan dipertahankan.

Ini menghina agama. Agama digunakan untuk membela kepalsuan. Utusan bersalah kerana laporan palsu. Adakah kerana Utusan milik Melayu maka ia dipertahankan walaupun bohong, manakala orang cina walaupun teraniaya kita pejamkan mata.

http://najwasuhaimi.blogspot.com/2008/10/tabung-azan-hina-agama.html

Untuk maklumat selanjutnya sila kunjungi blog saya www.najwasuhaimi.blogspot.com

17.10.2008

http://www.marhaen.org/v1/mar_a_suhaimi_saad09.html

Kemelut harga barang


Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my



HARGA barang yang tidak turun meresahkan pengguna. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

PENGUMUMAN kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel pada minggu lalu pastinya disambut gembira oleh pengguna-pengguna kenderaan di negara ini. Apatah lagi, ia merupakan penurunan kali ketiga setelah mengalami kenaikan tertinggi, Jun lalu.

Seiring dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia, kerajaan mengumumkan pelarasan harga minyak kali pertama pada 23 Ogos lalu dengan mengurangkan harga petrol sebanyak 15 sen seliter dan lapan sen seliter bagi diesel.

Penurunan harga kali kedua pula berlaku pada 25 September lalu dengan kedua-dua petrol dan diesel dikurangkan 10 sen seliter.

Dengan penurunan kali ketiga iaitu 15 sen seliter bagi petrol dan 20 sen seliter bagi diesel pada minggu lalu, harga runcit petrol RON97 kini ialah RM2.30 dan harga diesel RM2.20 seliter. Ini bermakna, dalam tempoh kurang tiga bulan harga petrol dikurangkan sebanyak 40 sen dan diesel 38 sen keseluruhannya.

Harga minyak di pasaran dunia kini berlegar sekitar AS$80 dolar (RM281.60) setong berbanding paras tertinggi yang dicapai, AS$140 dolar (RM492.80) setong pada Jun lalu.

Walaupun harga minyak telah turun, namun pengguna kini terus berdepan dengan dilema yang baru apabila sesetengah peniaga terus-terusan menaikkan harga barangan 'seolah-olah mereka masih berada pada bulan Jun 2008.'



APA maknanya harga minyak turun jika harga barang tidak berubah? - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

Sedangkan pengguna menjangkakan, harga barangan sewajarnya ikut turun apabila harga petrol dan diesel diturunkan kerana faktor itulah yang sering dicanang-canangkan peniaga ketika menaikkan harga barangan dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diusulkan media pada minggu lalu berhubung rungutan pengguna, meminta agar peniaga mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang.

Justeru, wajarkah jika pengguna memboikot peniaga yang masih berdegil menjual barangan pada harga tinggi?

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, memboikot bukanlah jalan penyelesaian.

"Bukan boikot, sebaliknya pengguna sendiri perlu bijak membuat pilihan dalam berbelanja. Boikot juga tidak boleh dilakukan kerana ia turut melibatkan barangan keperluan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

"Tambahan pula, kita tidak boleh memboikot secara membuta-tuli. Pengguna perlu faham, bahawa bukan harga minyak sahaja yang mempengaruhi harga barang. Ia juga bergantung kepada harga barang asas, faktor kenaikan gaji pekerja, insurans dan berbagai-bagai lagi," katanya.

Bagaimanapun, Maamor tidak menolak bahawa terdapat peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan golongan ini seharusnya diambil tindakan.



--------------------------------------------------------------------------------

"Tetapi, masalahnya ialah buat masa ini, kita tidak mempunyai undang-undang yang boleh dikenakan kepada peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya meliputi semua barangan," katanya.

Selain aspek undang-undang, Maamor berkata, masalah lain juga ialah pengguna tidak mempunyai satu prasarana yang membolehkan mereka bertanya sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang berpatutan.

"Kita sering kali mengingatkan pengguna agar bertindak bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan yang dijual pada harga berpatutan. Masalahnya, pengguna sendiri tidak disediakan satu prasarana yang membolehkan mereka memberi maklumat atau bertanyakan sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang patut atau tidak?

"Kerajaan seharusnya menyediakan prasarana sedemikian untuk menjadi rujukan harga bagi pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Maamor menasihatkan para pengguna agar terus mengamalkan amalan berjimat cermat walaupun harga minyak sudah turun.

"Seboleh-bolehnya beli barangan yang menawarkan harga patut. Kenal pasti kedai yang menjual barang dengan harga yang munasabah. Membeli barangan di koperasi juga patut diamalkan," katanya.

Berhubung peniaga yang masih menaikkan harga barang, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, satu akta perlu digubal untuk membolehkan hukuman dikenakan kepada pihak terbabit.

"Saya berpendapat, kerajaan seharusnya menggubal satu akta yang boleh mengawal selia harga kesemua barangan seperti Akta Perdagangan Adil di Britain dan Australia. Dengan akta seperti ini, barulah hukuman boleh dikenakan kepada peniaga-peniaga yang rakus menaikkan harga barang," jelasnya sambil menerangkan kawalan selia harga berdasarkan akta tersebut dibuat berasaskan kadar keuntungan munasabah sesuatu perniagaan.

"Dengan itu, peniaga tidak boleh memanipulasi harga barangan yang dijualnya. Sekiranya, sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan melampau daripada yang sepatutnya, harga barangannya akan diselia dan jika didapati bersalah kerana meletakkan harga terlampau tinggi, peniaga boleh dikenakan hukuman," katanya.

Mohd. Yusof juga meminta agar kerajaan melakukan kajian data untuk membezakan barangan yang harganya naik berpunca daripada kenaikan harga minyak dan yang bukan disebabkan faktor tersebut bagi membolehkan tindakan diambil.

"Melalui data itu nanti, barulah kerajaan boleh mengenal pasti peniaga yang menaikkan harga sesuka hati atau sebaliknya," katanya.

Di pihak pengguna pula, Mohd. Yusof menggesa supaya mereka mengamalkan perbelanjaan berhemah dan digalakkan membeli barangan separa jenama yang banyak diusahakan pasar raya kerana ia lazimnya lebih murah.

"Jika selalunya kita membeli susu berjenama popular, cubalah pula kita membeli susu separa jenama seperti susu cap Tesco misalnya. Kualiti, sebenarnya serupa. Di Eropah, barangan separa jenama ini mendapat sambutan yang lebih meluas," katanya.

http://www.kosmo.com.my/21102008

Pengurus besar termuda


Pujiono duduk di sebelah Ulfa isteri keduanya yang berumur 12 tahun di sebuah pondok di Semarang, Indonesia pada Ahad lalu.

--------------------------------------------------------------------------------
SEMARANG – Seorang ahli perniagaan terkenal di Semarang, Indonesia Pujiono Cahyo Wicaksono yang terkenal dengan gelaran Syeh Puji mendedahkan isteri keduanya yang baru berusia 12 tahun, Lutfiana Ulfa, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun masih terlalu muda, isteri keduanya itu diberikan tugas untuk menjadi pengurus besar di beberapa buah syarikat miliknya.

Beliau mempamerkan isteri keduanya itu di pondok pesantrennya kelmarin pada Ahad lalu.

Isteri keduanya itu diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan perniagaan dalam pelbagai bidang seperti kaligrafi dan penerbitan buku agama.

“Dia bakal menjadi pengurus besar termuda di Indonesia. Bahkan, mungkin boleh dikatakan di dunia,” kata Pujiono ketika mengumumkan pelantikan isteri keduanya itu.

Walaupun sudah dilantik secara rasmi menjadi pengurus besar, Ulfa masih menunjukkan sikap malunya ketika diwawancara oleh pemberita.

“Insya-Allah, segala kepercayaan yang diberikan Syeh kepada saya akan saya jalankan dengan sebaik-baiknya,'' ujarnya singkat.

Namun, walaupun dia masih malu-malu, Ulfa turut memberikan jawapan dalam bahasa Inggeris.

Pujiano menjelaskan bahawa isteri pertamanya, Umi Hanni yang berumur 26 tahun tidak sanggup untuk mengendalikan perniagaan menyebabkan beliau memilih tanggunjawab itu diserahkan kepada isteri kedua.

Hanni juga sebelum ini memilih Ulfa untuk dijadikan isteri kedua suaminya.

“Isteri pertama saya tidak sanggup. Kerana itu, saya dicarikan yang usianya muda,” kata Pujiono yang berumur 43 tahun dan mendedahkan bernikah dengan Ulfa pada 8 Ogos tahun lalu. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/21102008

Pengangguran bakal 210 juta


SEJUMLAH broker meneliti prestasi indeks di Bursa Saham Franffurt, Jerman semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

GENEVA - Ketua Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Juan Somavia semalam memberi amaran bahawa krisis kewangan bakal mencatatkan rekod pengangguran global paling tinggi di mana seramai 20 juta pekerja lagi dijangka kehilangan pekerjaan menjelang hujung 2009.

Pertubuhan itu menganggarkan kadar pengangguran global akan meningkat daripada 190 juta pada 2007 ke 210 juta pada lewat 2009.

Somavia berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah jumlah pengangguran di seluruh dunia melepasi 210 juta orang.

Menurutnya, populasi pekerja miskin yang memperoleh kurang AS$1 (RM3.52) sehari mungkin meningkat kepada 40 juta orang dan mereka yang memperoleh pendapatan AS$2 (RM7) sehari juga meningkat melebihi 100 juta orang.

Bagaimanapun, Somavia berkata, jangkaan itu mungkin tidak tepat sekiranya kesan-kesan keadaan ekonomi sekarang yang semakin menghampiri kemelesetan tidak ditangani segera.

Sebelum ini, beribu-ribu pekerja telah kehilangan pekerjaan di Wall Street, Amerika Syarikat (AS).

Keadaan itu berlaku kerana, beberapa pusat kewangan lain apabila beberapa buah bank muflis atau terpaksa bergabung akibat krisis berkenaan.

Bagaimanapun, ILO memberi amaran situasi itu bakal berlaku kepada pekerja biasa selepas beberapa sektor termasuk pembinaan, automotif, pelancongan, perkhidmatan dan hartanah terjejas akibat krisis kewangan tersebut. - AFP

http://www.kosmo.com.my/21102008

Lagi bergaduh SMK Perlis - Sebelum ini pelajar perempuan didakwa tendang guru

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@yahoo.com.my




BEBERAPA pelajar dibawa oleh guru kepada pegawai polis untuk diambil keterangan berhubung pergaduhan di SMK Perlis semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KANGAR – Selepas kejadian pelajar perempuan tingkatan dua menendang seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini Khamis lalu, insiden pergaduhan melibatkan pelajar tercetus lagi di sekolah sama semalam.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, pihak sekolah terpaksa meminta bantuan polis bagi meleraikan pergaduhan yang berlaku di belakang bangunan sekolah tersebut.

Kumpulan pelajar yang bergaduh enggan mendengar arahan guru supaya berhenti bergaduh.

Ekoran kejadian itu, beberapa ibu bapa dan penjaga pelajar terbabit bergegas ke sekolah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Md. Diah berkata, pihaknya menghantar beberapa anggota polis selepas menerima laporan mengenai pergaduhan yang tercetus.

Menurut beliau, selepas kehadiran beberapa anggota polis, pergaduhan itu dapat dikawal.

Yusof memberitahu, ekoran kejadian itu beberapa pelajar yang terlibat dalam pergaduhan itu telah dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

http://www.kosmo.com.my/21102008

2 beradik lari rumah sebab jadi mangsa dera

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my




Salah seorang daripada kanak-kanak yang disyaki didera keluarga sendiri dirawat di Hospital Ampang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki menghubungi polis sebaik menjumpai dua beradik perempuan dalam basah kuyup di sebuah pasar raya di Bukit Belacan di sini membongkar satu rahsia apabila mereka dipercayai menjadi mangsa dera.

Semasa ditemui pukul 5 petang kelmarin, kedua-dua beradik berusia lima dan sembilan tahun itu berjalan dalam hujan lebat dan tidak mempunyai arah tuju.

Lelaki yang bersimpati dengan kedua-dua beradik itu kemudian membawa mereka pulang ke rumahnya di Lembah Jaya sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, dua jam sebelum kanak-kanak itu ditemui, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita yang mendakwa anaknya diculik.

"Wanita itu mendakwa kedua-dua anaknya diculik di sekitar rumahnya di Taman Melor yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat lelaki itu menemui mereka,'' kata beliau.

Malah menurutnya, wanita berusia 32 tahun dan merupakan suri rumah itu mendakwa kedua-dua anak perempuannya telah diculik dua lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Katanya, bagi menyakinkan polis, wanita itu mendakwa kejadian itu disaksikan oleh jirannya.

http://www.kosmo.com.my/21102008

Harga ayam naik lagi?


HARGA ayam di pasaran dijangka naik menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut pada minggu depan.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Harga ayam di pasaran sekitar ibu negara yang mengalami sedikit penurunan selepas Aidilfitri lalu dijangka meningkat semula kira-kira 50 sen menjelang sambutan Deepavali.

Menurut sumber dari pasar Pudu di sini, kenaikan tersebut dipercayai disebabkan permintaan yang bertambah daripada pengguna yang akan berbelanja lebih pada perayaan tersebut.

Katanya, ketika ini harga ayam dijual sekitar RM6.50 sekilogram dan hanya mengalami penurunan yang sedikit antara RM1 dan 50 sen selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Malah, walaupun kerajaan telah menurunkan harga bahan bakar, peniaga tidak dapat menurunkan harga ayam di bawah RM6 kerana pemborong masih menjual pada harga biasa iaitu RM5.40 atau RM5.50 sekilogram.

"Alasan mereka, harga dari pembekal pun tidak turun banyak dan Deepavali yang dekat ini, pemborong mungkin rancak menaikkan harga semula," katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut kenaikan yang akan berlaku itu, sumber terbabit meminta agar orang ramai tidak mengeluh atau terkejut sekiranya harga naik mendadak nanti kerana ia telah dijangkakan berdasarkan trend pada tahun lalu.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Rahim dari pasar borong Sungai Besi menyatakan, kenaikan tersebut tidak dapat dipastikan lagi, namun desas-desus mengenainya di kalangan peniaga mula diperkatakan.

"Jika kenaikan itu berlaku, kami tidak dapat elakkan, lagi pun sudah sekian lama kami hanya mengambil untung sekitar RM1 dari jualan ayam tersebut," ujarnya.


http://www.kosmo.com.my/21102008

Kena tunggu lima bulan

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my




ORANG ramai masih tertunggu-tunggu penurunan harga barangan keperluan di sebalik penurunan tiga kali harga minyak. - Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad membayangkan penurunan harga barangan keperluan akan berlaku dalam tempoh empat atau lima bulan dari sekarang.

Menurutnya, penurunan harga itu akan melibatkan beberapa barangan keperluan seperti beras, tepung, jagung dan minyak sawit.

"Sudah tiga kali penurunan harga minyak diumumkan, jadi selepas empat atau lima bulan harga minyak dunia turun, baru kita akan dapat lihat penurunan harga barang," katanya selepas menghadiri majlis meraikan lebih 40 golongan orang kurang upaya (OKU) sempena perayaan Deepavali anjuran pasar raya Carrefour di Subang Jaya semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Shaani Abdullah yang ditemui pada majlis itu memberitahu, beberapa persatuan pengguna dan agensi lain juga akan melibatkan diri membantu kerajaan menurunkan harga barang.

"Persatuan akan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mengadakan kempen menurunkan harga barang selain mewujudkan satu mekanisme harga barang untuk pengguna, peniaga dan pemborong," katanya.

http://www.kosmo.com.my/21102008

Aksi 'Tayangan Perdana'

Oleh WARTAWAN Kosmo!
berita@kosmo.com.my



SEORANG pelajar perempuan bersandar di dinding sebelum melakukan 'aksi panas' di sebuah sekolah di Dungun baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU - Belum pun reda isu rakaman klip video aksi panas membabitkan pelajar, kes seumpama itu dikesan berlaku pula di sebuah sekolah di kawasan pedalaman di Dungun, di sini.
Klip video berjudul 'Tayangan Perdana' itu menggemparkan pelajar sekolah tersebut kerana melibatkan seorang pelajar perempuan yang selama ini dianggap berakhlak.

Paling mengejutkan, aksi ghairah itu dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah kelas kosong di sekolah itu.

Turut mendukacitakan, aksi tersebut berlaku dalam keadaan pelajar perempuan belasan tahun itu berpakaian sekolah lengkap dengan lencana.

Wartawan Kosmo! yang meneliti klip video itu mendapati ketika rakaman, kedengaran suara seorang remaja lelaki mengarahkan pelajar perempuan melakukan aksi-aksi ghairah.

Aksi panas yang baru mahu bermula itu bagaimanapun tidak berterusan apabila pelajar perempuan itu mengesahkan kepada pasangannya bahawa dia 'uzur'.

Seorang peneroka Felda yang hanya mahu dikenali sebagai Kasiman, 46, berkata, rakaman klip video lebih dua minit itu dipercayai dibuat baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, klip video itu dipercayai beredar dan menjadi sebutan di kalangan orang ramai di tanah rancangan berkenaan kira-kira seminggu lalu.

"Klip itu kemudiannya dikatakan jatuh ke tangan peneroka Felda lalu tersebar dengan begitu pantas hingga dalam tempoh 24 jam saja ramai orang tahu.


http://www.kosmo.com.my/21102008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...