Sunday, July 10, 2011

Maksud Hadis ‘Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..’

MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM..’
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Soalan: Dr Asri, saya ada seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain lagi. Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya, tapi beliau sering berdalil “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Sejauh manakah penafsiran hadis ini ?

Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.

Jawapan: Saudara, sebagai ingat; dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama. Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukan maka di sini disebut beberapa perkara;

1. Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

2. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

3. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H):

“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

4. Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.


Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.

5. Saya menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.

6. Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

7. Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):

“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:

“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

9. Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:

“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.

10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

11. Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.


http://drmaza.com/home/?p=1292

Izin Bukan Bererti Redha

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya tidak suka terlalu berfalsafah dalam bicara. Tujuan ucapan dan ungkapan adalah untuk difahami oleh pendengar atau pembaca, bukan agar mereka bertambah pening. Pun begitu ada juga beberapa istilah yang perlu diperbetulkan, bukan kerana ingin berfalsafah tetapi kerana ia penting untuk difahami untuk mengelakkan salahfaham antara kaum muslimin.

Antara perkara yang penting untuk dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’. Kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Apa yang kita izinkan bukan semestinya kita redha. Juga apa yang kita redha bukan semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Mengizinkan bermaksud membolehkan sesuatu itu berlaku (lihat: al-Kafawi, al-Kulliyyat, 72, Beirut: Muassasah al-Risalah). Sementara redha bermaksud suka atau kasih kepada sesuatu. Disebut al-Mahabbah wa al-Ridha atau cinta dan redha (ibid 76).

Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Umpamanya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah.

Demikian juga apabila pemerintah tertentu mengizinkan mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak atau berjudi dalam premis mereka, bukanlah bererti pemerintah tersebut telah menghalalkan arak atau judi. Keizinan itu diberikan disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka.

Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haram. Melainkanlah jika perasaan dia itu memang redha atau dia sendiri melakukan perkara-perkara yang menunjukkan dia redha. Ketika itu barulah datang penilaian di sudut akidah.

Apa yang ingin dijelaskan bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Saya misalkan, seorang anak yang mendesak ayahnya memberikannya kunci kereta kerana ingin keluar bersama dengan rakan-rakannya. Si ayah enggan memberi kerana bimbang anaknya tidak tahu mengawal diri apabila keluar bersama rakan.

Namun si anak terus mendesak dan bertegang dengan ayahnya sehingga menyebabkan si ayah akhirnya memberikan kunci kepada si anak. Anak ini pun keluar berjumpa dengan rakan-rakannya sambil berkata: “ayahku izinkan aku pakai keretanya malam ini”. Sementara si ayah apabila ditanya berkata: “memang saya izinkan tapi saya tidak redha, sebab dia mendesak dan saya malas bising-bising”.

Keadaan ini menggambarkan bagaimana kadang-kala keizinan diberikan tanpa keredhaan atau kerelaan. Betapa ramai wanita zaman tahu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha.

Di samping ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak izinkan mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu.

Sebab itu dalam al-Quran Allah gunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini.

Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).

Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.

Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah al-Umar, ayat 7).

Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan. Dalam perjanjian Hudaibiyyah Nabi s.a.w dan Musyrikin Quraish Mekah, baginda ingin agar kepala perjanjian itu ditulis dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Namun wakil Quraish, Suhail bin ‘Amr tidak bersetuju. Dia mahu supaya ditulis seperti kebiasaan Quraish dalam menulis perjanjian iaitu BismikaAllahumma (Dengan NamaMu Ya Allah). Nabi s.a.w bersetuju dan mengizinkannya, walaupun hakikatnya baginda tidak redha demikian. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.

Saya jelaskan noktah perbezaan ini untuk mengelakkan tuduh-menuduh sesama umat Islam dalam banyak perkara. Isu nama Allah umpamanya, menjadi tegang dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga ada yang tuduh menuduh dengan kufur dan sesat. Ada yang menyatakan pihak yang membiarkan penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam bererti telah redha dengan kekufuran. Maka sesiapa yang redha dengan kufur, maka dia pun turut kufur.

Kesimpulan yang seperti itu tidaklah tepat. Kita mungkin berbeza antara satu sama lain, namun jangan membuat kesimpulan yang tidak berlandaskan fakta. Umat Islam yang membiarkan Kristian menggunakan nama Nabi Isa dan Maryam di tempat ibadah mereka bukan bererti selama ini kita meredhai mereka mensyirikkan Allah dan mempergunakan nama Nabi Isa a.s. yang wajib kita imani itu.

Ini bukan soal redha atau tidak, tetapi soalnya apakah kadar hak mereka yang hendak atau boleh kita izinkan. Di situ perbincangannya. Kita mungkin boleh setuju atau tidak setuju mereka guna nama Allah. Saya tidak mahu membincang isu tersebut di sini. Namun saya tidak dapat terima untuk kita cepat mengkafirkan sesama sendiri. Kita tangani perbezaan itu dengan harmoni dan matang, bukan dengan kafir-mengkafir sesama muslim.

Hati-hati wahai pembaca, ramai orang di dunia ini yang sering memutar belitkan ayat dan kalimat orang lain, lalu menyalahtafsirkan mengikut kehendaknya supaya dia dapat menghukum orang yang dimusuhinya. Setiap kita akan berdiri di hadapan Mahkamah Allah di Hari Kiamat, maka bersikap adillah!


http://drmaza.com/home/?p=975

Malaysia gov't fights criticism after rally chaos

Najib buat himpunan politik pagi ini

Posted by admin on July 10th, 2011

Menurut the Star, seramai hampir 6,000 orang membanjiri Dewan Merdeka pada pagi Ahad untuk menghadiri sesi khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menjelaskan tentang beberapa isu terkini. Antara mereka yang hadir di Majlis Penerangan Perdana yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah pemimpin atasan cawangan dan wakil badan-badan bukan kerajaan Melayu.

Hadirin yang datang adalah begitu ramai sehingga kerusi yang disediakan ditambah bilangannya namun masih ramai yang dilihat terpaksa berdiri.

Malah keadaan dalam dewan agak sesak sehingga ramai yang tidak dapat masuk dan terpaksa mendengar ucapan Perdana Menteri dari luar dewan.

Sambutan terhadap ucapan Perdana Menteri dilihat sangat menggalakkan dengan orang ramai memberi respon semasa beliau menerangkan tentang beberapa isu termasuklah mengenai perhimpunan Bersih yang diadakan pada Sabtu dan beberapa isu politik.

Namun begitu, tinjauan wartawan KL-Today.com di sana pula mendapati jumlah yang hadir adalah kurang 1,000 orang.Namun tidak dinafikan bahawa yang ramai hadir adalah para pemimpin Melayu UMNO dan tidak pula dilihat pemimpin-pemimpin 1Malaysia lain dari bangsa Cina dan India.

Najib dilihat marah dengan himpunan Bersih kerana melaung-laungkan perkataan Reformasi yang didakwanya tidak menepati hasrat awal Bersih untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan ketelusan pilihanraya.

Najib juga menuduh media-media alternatif dan massa milik luar negara sengaja menaik-naikkan angka puluhan ribu yang hadir Bersih sedangkan kiraan polis mendakwa jumlah yang turun Bersih hanya 6000 orang.

Najib semalam bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di sebelah petangnya tidak berada di Lembah Klang tetapi di Kuala Terengganu untuk menghadiri program berunsur politik iaitu program sukan isteri-isteri pemimpin BN manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hanya berada di Kuala Lumpur lewat petang selepas pulang dari Pulau Pinang menerima anugerah kehormat sempena Hari Kelahiran Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang.


http://www.kl-today.com/2011/07/najib-buat-himpunan-politik-pagi-ini/

BERSIH BERJAYA!

9 July 2011

KomentarRoketkini

9 JULAI – Walau cuba ditipu, dibohongi dan dimomok oleh kerajaan UMNO-BarisanNasional, rakyat Malaysia tidak mudah diperdayakan.

Walau diancam, diugut dan dizalimi pihak berkuasa yang menjadi alat kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak takut dengan gertakan.

Walau terpaksa berdepan dengan gas pemedih mata, pancutan meriam air dan bantaian cota polis, rakyat Malaysia tidak gentar dengan keganasan pihak berkuasa.

Walau berita palsu disebarkan oleh media arus perdana milik kerajaan UMNO-BN, rakyat Malaysia tidak lagi percaya dengan tohmahan dan fitnah yang disebarkan oleh pemimpin politik yang sedang nazak di puncak kuasa.

Daripada ratusan ribu yang amat berani melangkah ke medan perjuangan di Kuala Lumpur hari ini, jutaan lagi rakyat Malaysia menumpahkan air mata gembira melihat perubahan yang sedang berlaku di ibu pertiwi tercinta.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 menjadi medan keganasan pihak berkuasa. Tetapi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak pula berdendam kesumat benci walau ada yang parah dipukul polis dan ramai pula yang disumbatkan ke dalam lori-lori polis.

Baik yang berpangkat tinggi dalam politik mahu pun yang marhaen, tua dan muda, lelaki dan perempuan, rakyat Malaysia berbagai bangsa dan kaum tidak lagi takut dengan ancaman kerajaan UMNO-BN yang terlalu angkuh dengan kuasa yang sedikit itu.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 telah terbukti berjaya.Perhimpunan aman yang menjadi tonggak kebebasan rakyat menyuarakan isi hati terhadap kerajaan yang zalim dan bongkak.

Memorandum tuntutan pilihanraya yang bebas, adil dan bersih telah Berjaya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, walau pun ramai penganjur Bersih 2.0 telah ditahan pihak berkuasa lebih awal hari ini.

Perjuangan Bersih 2.0 memang Berjaya tetapi ia belum selesai. Selagi pilihanraya masih dikongkong, kotor dan tidak adil, selama itu juga perjuangan Bersih dalam bentuk-bentuk yang dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan perlu diteruskan.

Rakyat mahu kepada perubahan kuasa untuk membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk secara adil, bersih dan demokratik. Caranya bukan dengan rampasan kuasa atau apa-apa cara lain yang tidak demokratik, kecuali melalui pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Maka itu Bersih menuntut pilihanraya yang bebas, bersih dan adil untuk memastikan hanya yang benar-benar layak menjadi kerajaan dapat dipilih secara terhormat dan bertamadun.

Tahniah buat Bersih 2.0. Kepada mereka yang berada di ibukota pada 9 Julai 2011 untuk menyuarakan hasrat rakyat, jutaan terima kasih buat mereka atas keberanian, keikhlasan dan kejujuran dalam memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kebebasan. – Roketkini.com

Nota: Roketkini mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia prihatin yang telah gigih berusaha merakamkan gambar-gambar sepanjang perhimpunan aman Bersih 2.0. Jutaan maaf juga dipohon atas ketiadaan kredit untuk gambar-gambar yang disiarkan ini kerana terlalu ramai yang telah memuatnaikkan di alam maya tanpa dapat dikenal pasti dengan tepat.


http://roketkini.com/2011/07/09/bersih-berjaya/

Apabila tangan menjadi kaki – oleh Aishah


6 July 2011

Mengenangkan kata-kata A.Samad Said tentang penulis yang carma (cari makan), langsung teringat pada satu sajak yang bernuansa hampa oleh Muhammad Hj Salleh;

suaranya mengajarkan dengan kuasa ulang,

dengung dan rentaknya mengatur kehendak.

dialah penonton dirinya

yang memahami akan kesan suka kata

dan lonjak rasa di anak lidah.

kata-kata jadi banjir

kadang-kadang tiada tembok untuknya,

makna ditembusi bunyi

atau tertanam pada dasar diri,

kata hati tercerai dari kata mulut,

rasa berdosa disembunyi oleh kerajaan.

Sekarang di puncak usianya

Dia diagungkan oleh bunyi-bunyi merdu,

Tapi dikebumikan oleh kata-kata kosongnya sendiri.

tidak kukenalinya lagi

kawan lama

yang pernah peka pada bahasa

dan irama jiwa jejak lurus.

Ahli Politik, 23 November 1975

Kata orang dalam puisi kita temukan keperibadian penciptanya, kadang-kadang. Mungkin atas percaya-kata tidak mampu terlepas daripada kepentingan penciptanya, yang niatnya suci atau tercemar. Jika manusia itu produk sosial, bahasa pun tak lari jauh.

Biasa bagi penyair menzahirkan kehidupan ideal dalam puisi. Boleh jadi sebagai kritik sosial. Dan ada juga dibayar untuk mencipta kehidupan kedua, novel-novel cinta kasih, rindu dendam, rahsia kelambu, semuanya menjauhkan masyarakat daripada realiti. Penerbit buku suka ini. Bahasa yang dicari-cari ramai orang. Tak percaya? Cuba tanya PENERBIT BANGUNLAH HOI. Akhirnya, tulisan Kereko yang lebih dihargai lipas dan tikus.

Begitulah..

Ada yang ditidurkan dengan lullaby, ada yang dibangunkan dengan kata ala welstanchung – entah dari daerah mana dan ada yang melatah dengan p**kimak, kata kesat lagi keras bunyinya. Dan tidak banyak juga dengan kata laillaha ilallah. Tidak kurang juga dengan Zzzzzz. Macam-macam.

Burung juga masih kenal tempatnya, di atas dahan, anamatopeia yang tidak difahami melainkan bangsanya, mungkin itu lagu kebebasan. Bukan menuntut melainkan meraikan. Penyedap telinga bagi orang yang memikirkan masalah negara, agama, motosikal atau kekasih lari dikebas binatang.

Manusia itu sungguh pelik, di belakang katanya tajam kalah pedang, di depan manis daripada gula, Ya Tuan. Kata-kata ini berubah-ubah agar ia dapat digunakan lagi dan lagi. Jika terlalu jujur, tiada siapa-siapa yang ingin mendengar tetapi menuduhnya gila!

ini bukan daerah berterus terang.

janganlah bicara dengan suara percaya.

jangan menjawab soalan,

yang diminta hanyalah pujian dan ukir bahasa.

ini bukan daerah berterus terang

jikalau kau bercita-cita,

belajarlah menyembunyikan keris di belakang

dan menusuk di waktu memaling pandang

luangkan waktu untuk istiadat,

tekunlah menghantar dan menyambut tuan,

aturkan supaya selalu hadir di pertemuan rasmi

tapi jangan lupa, usaplah kepala anaknya.

sebelum pulang tanyakan harga kereta barunya

dan bagaimana dia mengilatkannya.

dalam sedikit masa

kau pula akan berpangkat,

merangkai huruf di belakang nama,

malah, lebih beruntung, juga di depannya.

Kau akan jadi ketua

Dan menuntut semua ini dari anak buahmu.

Ini Bukan Daerah Berterus terang oleh Muhammad Hj Salleh

Gila kerana terlalu berani. Gila kerana tak sedar diri. Tetapi itu jugalah Melayu, memilih untuk berdiam, diam itu emas katanya. Namun, di sisi lain, diamnya ada makna! Ingat-ingat pesan Usman Awang, merendah bukan menyembah, dan hebat amuknya (Melayu) tak kenal lawan.

Dan apabila tangan menjadi kaki di bumi, ia menusuk lawannya dengan peraturan sendiri. – Roketkini.com

NOTA PENGARANG:

  • Dalam satu majlis pada Ahad lalu, Sasterwan Negara Datuk A Samad Said mahu para intelek berhenti bersikap “carma” (cari makan) untuk menjadi berani menegaskan pendirian dalam soal kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan. Baginya, para intelek termasuk penulis dan wartawan jarang sekali menyatakan pendirian terbuka kerana kebanyakan mereka adalah manusia “carma”. Sikap sedemikian telah mengakibatkan kebejatan biak berkembang.
  • Empat Sasterawan Negara – Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan – dalam satu kenyataan semalam menyatakan: “Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi. Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini. Sajak “Unggun-Bersih” sepatutnya diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya, dan berada di atas perkiraan politik. Adalah menjadi salah satu peranan penulis untuk memindahkan denyut kehidupan anggota masyarakat ke dalam karya, atau menzahirkan dalam pelbagai bentuk manifestasi atau tindakan yang difikirkan sesuai oleh seseorang pengaran.”
  • Keempat-empat Sasterawan Negara itu turut menyuarakan tentang tangkapan pihak polis terhadap rakyat yang mahu kepada pilihan raya bebas, adil dan bersih: “Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan. Sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam”.

http://roketkini.com/2011/07/06/apabila-tangan-menjadi-kaki-oleh-aishah/

Ahli falsafah Yunani Plato berkata..

8 July 2011

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng pada 8 Julai 2011 di Kuala Lumpur

Ahli falsafah Yunani Plato berkata bahawa “kita boleh memaafkan kanak-kanak yang ketakutan ketika gelap; tragedi hidup yang sebenar ialah apabila manusia takutkan cahaya”.

Ia akan muncul di Malaysia, di mana lelaki yang memegang jawatan tinggi takut untuk berdepan dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk memperjuangkan hak- hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendapat dalam menangani permasalahan seperti kelemahan pilihan raya. Saya ingin mengulangi pendirian DAP dalam menyokong demonstrasi secara aman dan mengutuk demonstrasi ganas.

Perbuatan mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu, dengan menghalang mereka daripada berhimpun dan tidak membenarkan mereka memasuki kawasan- kawasan tertentu di Kuala Lumpur pada Sabtu ini adalah tidak masuk akal dan mendedahkan ketakutan yang tidak rasional kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein dan pihak polis.

Kami bersetuju bahawa konflik dan demonstrasi ganas harus dielakkan tetapi dari peringkat awal, perhimpunan Bersih 2.0 adalah merupakan perhimpunan aman. Sememangnya tidak ada unsur keganasan, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan yang menggambarkan sebaliknya.

Malah, perhimpunan Bersih 2.0 telah mendapat perkenan diraja apabila Yang di- Pertuan Agong sendiri menimbang tempat yang sesuai untuk orang ramai kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberikan persetujuan diraja untuk mengadakan perhimpuan di mana-mana stadium yang penganjur Bersih inginkan.

Perdana Menteri sendiri telah menasihatkan Bersih untuk menggunakan stadium, tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan Bersih untuk menggunakan mana-mana stadium di Lembah Klang, malah, mereka kini telah mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu termasuk semua pemimpin Bersih. Ini tidak termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas termasuk 6 dari PSM di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960!

Apa yang telah berlaku di negara kita apabila pemimpin kita dianggap seperti orang asing di tanah kita sendiri?

Senarai individu yang dihalang bukan sahaja pemimpin Bersih, Datuk S.Ambiga tetapi juga Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ahli EXCO Negeri Selangor, Teresa KOK, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu dan pemimpin- pemimpin PR yang lain. Bagaimana begitu ramai pemimpin yang telah dipilih di negara ini ditahan kerana kononnya mempunyai elemen-elemen bahaya?

Jangan kita pernah lupa bahawa bekas Presiden Majlis Peguam Negara Datuk Ambiga Sreenevasan telah dikurniakan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa oleh Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Michelle Obama. Pemimpin- pemimpin dunia mengangkatnya sebagai wanita yang berani tetapi di Malaysia, beliau dicerca sebegitu teruk dan dianggap sebagai musuh awam di mana pemimpin-pemimpin UMNO mendesak agar kerakyatan beliau dibatalkan.

Sesungguhpun Plato benar untuk mengatakan bahawa ia merupakan hari yang tragis bagi Malaysia apabila lelaki dewasa seperti Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin tewas kepada ketakutan untuk berdepan dengan cahaya. Atau adakah polis dan Hishamuddin masih merupakan kanak- kanak yang takut kepada kegelapan dan masih belum matang?

LIM GUAN ENG


http://roketkini.com/2011/07/08/ahli-falsafah-yunani-plato-berkata-bahawa-%E2%80%9Ckita-boleh-memaafkan-kanak-kanak-yang-ketakutan-ketika-gelap-tragedi-hidup-yang-sebenar-ialah-apabila-manusia-takutkan-cahaya%E2%80%9D/

Salahkah artis ada pendirian politik?

Posted by admin on July 10th, 2011

Mazir Ibrahim

Baru-baru ini timbul isu pihak tertentu mendakwa artis Wardina Safiyyah telah turun padang dalam satu program anjuran PKR yang kononnya membuktikan pengacara TV itu menyokong parti politik Pakatan Rakyat itu.Tuduhan itu dinafikan oleh beliau yang menjelaskan bahawa penyertaannya dalam satu majlis anjuran PKR itu adalah atas tiket jemputan sebagai penceramah motivasi dan atas undangan kawan lamanya, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor.

Apa pun faktanya, dalam dunia profesional termasuk artis, seharusnya tidak timbul langsung isu siapa sokong siapa. Bukankah apa saja kerja, kempen atau program yang menjurus ke arah kebaikan masyarakat wajar disokong, lebih-lebih lagi sebagai seorang artis yang menjadi pesona kepada masyarakat umum.

Namun di Malaysia, negara yang dikatakan amat membangun tetapi ruang umum (public sphere) dalam konteks pandangan dan beraktiviti amat tidak universal. Sudah lah industri seni dan hiburan kita terus merudum, untuk hadir dan memberi komitmen atas dasar kemasyarakatan pun dilihat salah.

Pendirian politik hak peribadi

Budaya media UMNO-BN sentiasa menanam rasa kebencian dan ketaksuban pada artis dan seniman demi manfaat politik sempit parti kerajaan. “Neutral ground’ bagi mana-mana profesional sekalipun sudah tidak wujud.

Berbeza pula dengan isu Bob Lokman atau Akil Hayy yang secara terang-terang memilih untuk berpihak kepada parti, dalam kes ini, PAS. Mereka ini memang mahu meninggalkan dunia seni dan hiburan atas keyakinan peribadi. Maksudnya mereka memang mahu memilih diatas satu landasan.

Walaupun dalam kes Akil Hayy yang dilihat sudah mula kembali kepangkuan arus perdana (baca: dunia artis kongkongan UMNO-BN), itu pun tidak sepatutnya menjadi masalah bagi parti atau dirinya.

Ia adalah hak dan kebebasan beliau untuk memilih. Parti tidak perlu menyerang atau mempertikaikannya selagi pendirian politiknya tidak menjejaskan prestasi profesionalnya, sama ada sebagai pengacara TV atau dalam dunia nyanyian atau lakonan.

Kita tahu, malah UMNO-BN juga sedar, ramai artis khususnya yang muda secara dasarnya bersetuju atau menyokong usaha Pakatan Rakyat dalam konteks perubahan pentadbiran dan sistem.

Mereka sudah muak dan bosan dengan kongkongan pemimpin-pemimpin kerajaan BN yang masih bermimpi dunia hiburan tahun-tahun 70-dan dan 80-an. Artis-artis ini mahu kebebasan berekspresi. Dan ramai, kalau pun tak semua, pemimpin Pakatan Rakyat yang lebih sensitif kepada keperluan artis-artis ini.

Namun ini tidak bermakna golongan artis tidak profesional jika mempunyai pendirian politik atau menjadi ahli parti.

Antara nasihat dan amaran

Seorang karyawan Jurey Latif Rosli dilaporkan oleh media arus perdana telah memberi ‘nasihat’ kepada golongan artis supaya tidak terlibat dengn kempen Bersih 2.0 yang didakwanya merugikan diri dan menyusahkan masyarakat.

Warga seniman yang terbuka, bebas dan kreatif, tidak perlu menolak atau menerima pandangan itu, tidak kira atas kapasiti peribadi atau persatuan yang diwakilinya kerana itu hak beliau bersuara.

Namun sebagai seorang yang profesional, kenyataan itu tidak memperlihatkan kematangannya, baik dalam memahami politik mahupun berkarya dalam konteks yang universal. Kerana, siapa pun artis atau seniman yang ingin terlibat dalam kempen Bersih 2.0 ini, adalah atas kapisiti peribadi dan kehendaknya sendiri.

Kenyataan Jurey Latif ini bukanlah kenyataan biasa, sebaliknya berupa ‘amaran’ kepada artis. Begitu peribadi sekali komen beliau.

Mungkin ada juga golongan artis yang mahu kempen ‘kipas’ politik Pak Menteri untuk status diri atau kepentingan peribadi lain.

Artis dan seniman tak perlu malu dan takut atas pendirian politik mereka, setiap orang memang berbeza pendirian dan pendapat, bukankah itu lumrah alam?

Namun, gunakanlah kebijaksanaan dan kreativiti sendiri untuk – bagaimana mahu meloloskan diri dalam industri dan politik yang serba kejam pada hari ini.

Keikhlasan Pak Samad

Malah, siapalah artis-artis yang “carma” (cari makan) itu berbanding Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang walau pun ditekan intimidasi polis kerana sokongannya kepada kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, tetap teguh dengan pendiriannya sebagai seniman yang memperjuangkan kebenaran.

Walau pun sajaknya “Unggun Bersih” dianggap “senjata” merbahaya oleh pihak berkuasa kerana dihadiahkannya untuk perhimpunan aman Bersih 2.0, Pak Samad tetap kental dengan pendiriannya.

Bukan sahaja artis diminta menyatakan pendirian, beliau juga mahu para intelektual supaya berhenti menjadi “carma”supaya berani membuat pendirian terhadap kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan.

Buat Juey Latif dan mereka yang masih diselimuti kongkongan UMNO-BN, Pak Samad sekali lagi mencatatkan suara hatinya tentang apa itu erti kebebasan berkarya dan berekspesi dalam nukilan terbarunya “Peludah Warna”:

Kuasa gusar kini menggelegak murka;

warna kuning diisytihar racun terbisa.

Diragutnya baju-T segeram tenaga

dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,

menjadikannya panji terindah dan tulen.

Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu

kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas

dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.

Memanglah mereka kini peludah warna

sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,

kuasa pun seolah menjadi hartanya.

Sajak ini bukan sahaja pemberi harapan, ia juga buat renungan semua yang merasakan diri ditindih dan ditimpa duri dan air mata.

Sepatunya ia juga menjadi inspirasi buat artis-artis yang mahukan perubahan sebenar dan bukannya terikat dengan kawalan oleh rejim pemerintah. Sama ada menyokong Bersih 2.0 atau tidak, ia tetap pendirian peribadi golonga karyawan.

Yang penting, ia adalah keputusan sendiri yang dibuat setelah mengetahui baik buruk keadaan sekeliling, dan bukan kerana diberi amaran atau hasutan oleh mana-mana pihak yang mengaku mewakili golongan karyawan.

– Roketkini.com


http://www.kl-today.com/2011/07/salahkah-artis-ada-pendirian-politik/

Mangsa ‘polis’ akan dikebumi jam 11 pagi

Posted by admin on July 10th, 2011

Para pemimpin PAS akan membuat kunjungan hormat ke rumah Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal semasa perhimpunan Bersih 2.0 semalam di rumahnya dekat Kelompok Camar Ampang Ulu Klang jam 10 pagi ini. Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan jam 11 pagi di tanah perkuburan Islam AU 4 selepas ia disembahyangkan di surau Mukarrabin, Kelompok Camar.

“Saya meminta semua ahli PAS datang beramai-ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kita kepada Allahyarham pagi esok,” kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

Mesyuarat tergempar AJK PAS Pusat yang dipengerusikan Datuk Husam Musa malam tadi juga antara lain membincangkan kejadian ini dan memutuskan untuk bersama-sama turun ke sana.

Rumah Allahyarham yang terletak di alamat No 9 – 0 – 4, Kelompok Camar Blok A, Jalan AU 3/8 Kuala Lumpur sejak petang semalam tidak putus-putus didatangi tetamu yang terdiri dari pelbagai peringkat.

Baharudin, suami kepada Ketua Wanita Cabang Setiawangsa, Puan Rosni Melan, meninggal selepas jatuh pengsan akibat terkena gas pemedih mata di perkarangan KLCC dalam perhimpunan semalam.

Puan Rosni berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya tidak duduk sekali kerana beliau ke Stadium Merdeka manakala suaminya ke KLCC.

“Saya diberitahu, apabila polis menembak gas pemedih mata, suami saya tidak larat untuk lari dan duduk di situ. Apabila orang ajak lari apabila polis mahu tangkap baru mereka sedar suami saya sudah tidak sedarkan diri,” cerita Rosni yang juga Ketua Wanita Cabang Setiawangsa itu.

Suami beliau kemudiannya di bawa ke HKL dan disahkan meninggal dunia di sana.

Malam tadi, Jawatankuasa PAS Pusat membuat mesyuarat khas di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan sikap post-Bersih 2.0.

Sehingga berita ini ditulis, pihak Bukit Aman masih lagi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kematian disebabkan peristiwa perhimpunan semalam.


http://www.kl-today.com/2011/07/mangsa-polis-akan-dikebumi-jam-11-pagi/

A day to be proud of

Posted by admin on July 10th, 2011

Dear Editor,

At 10am, we were still considering making our trip downtown to attend the rally. After having been blasted with so much dramatisation of the upcoming rally over the past week, with every fear tactic in the book being thrown at us — was it really worth our while, we wondered?

After some deliberation, it was decided that if we could get to town without being re-diverted over and over again by roadblocks then we should try.

Having managed to get to Bukit Bintang without much trouble by car, we continued on foot towards Pudu Jail but were barred from going further.

We turned off towards Puduraya instead. By 1.30pm, the crowd was starting to build up. The first round of tear gas had already been fired by then.

Despite the unpleasantness, supporters remained calm. The atmosphere was electrifying. The unity transcended all colours, creed and age and that unity was sealed when we all sang “Negaraku.”

Never have I felt the strength and the reason to our national anthem as when we sang it together, standing for reason to be there and nowhere else. The reason to be counted and respected as a citizen.

Not long after that, the FRU trucks began to move in. Those of us who wanted to leave were instead squeezed into dead ends, eventually moving into Tung Shin Hospital grounds for refuge.

There was simply nowhere else to go and we were hemmed in by the FRUs. Helicopters circled low overhead and without warning, several tear gas canisters were shot into the air from the main road below.

The canisters’ trajectory shot them high, falling and ricocheting off the first floor awning of the hospital. Tung Shin Hospital should have been neutral ground.

Where the canisters fell, there were windows open on the first floor. I can only imagine how much discomfort that created for patients and workers on that floor.

We waited out the hysteria that was happening down below and eventually made our way out of the area with little injury apart from smarting eyes and stinging skin.

The day started out as one of many routine Saturdays and by evening, had turned into one that will be marked in history as a day the people of Malaysia are proud to have stood up for.

Yeok



http://www.kl-today.com/2011/07/a-day-to-be-proud-of/

Bersih tidak hormat titah YDP Agong?

Posted by admin on July 10th, 2011

Penganjur perhimpunan haram di ibu negara hari ini ternyata tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar perhimpunan diadakan di sebuah kawasan yang terkawal, selamat dan tidak mengganggu urusan orang ramai seperti di stadium, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau kesal dengan tindak-tanduk kumpulan itu namun bersyukur dengan langkah yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mengelak berlakunya perbalahan, kecederaan dan sebarang kemungkinan lain yang lebih serius seperti pertumpahan darah serta kehilangan nyawa.

“Pihak polis juga telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik walau dicabar dan menerima provokasi oleh mereka yang berdemonstrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata kumpulan itu sehingga di saat akhir, jelas tidak mengambil inisiatif untuk berhimpun secara aman di salah sebuah lokasi yang tetap, walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan mereka boleh berbuat demikian di mana-mana stadium di luar ibu negara.

Nasihat serta pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga tidak dipatuhi dan ditolak bulat-bulat oleh mereka, katanya.

Beliau berkata tindak-tanduk mereka yang terlibat dalam perhimpunan hari ini jelas mempunyai niat menghuru-harakan negara, selain berharap ditahan bagi menggambarkan kekejaman kerajaan.

Hishammuddin berkata kritikan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak kedengaran dalam insiden hari ini, manakala penganjur perhimpunan hilang peranan serta gagal mengawal keadaan.

“Bukan lagi soal SPR yang timbul, tapi sebaliknya penglibatan pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang telah menjadi lebih menonjol dengan agenda yang jauh berbeza dengan apa yang mereka umumkan sebelum ini.

“Mereka terus-menerus melaungkan ‘Reformasi’ dan mencetuskan kacau ganggu,” katanya sambil menambah dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang dicetuskan.

Beliau berkata pembangkang ternyata bertujuan jahat dan hanya mahu mencetuskan kekacauan dengan satu matlamat, iaitu agar masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap negara ini.

“Pembangkang mahu agar Malaysia dilihat sebagai tidak stabil, dan ini akhirnya akan membawa kepada pelbagai kesan termasuk kekacauan terhadap ekonomi dan menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik,” katanya.

Hishammuddin berkata polis melaksanakan tugas di bawah lunas undang-undang dan beliau berpuas hati dengan tindakan yang diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan serta undang-undang.

“Kerajaan mempunyai sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan untuk menegakkan undang-undang negara dan memelihara ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mempertahankan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, prinsip ketertinggian perlembagaan serta kedaulatan undang-undang melalui penggunaan segala peruntukan undang-undang sedia ada daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan dan mencabuli kehendak majoriti rakyat.

Hishammuddin juga bersyukur kerana pihak berkuasa melakukan siasatan rapi dan berjaya merampas pelbagai senjata, bom, bahan kimia dan bahan bakar lain sehingga pihak berkenaan tidak dapat menggunakannya pada perhimpunan semalam.

“Kebimbangan saya bahawa kemungkinan ada pihak ketiga, termasuk pertubuhan antarabangsa asing, akhirnya tidak kelihatan dan tidak berpeluang untuk mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku disebabkan ketegasan pihak PDRM,” katanya.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk menerima memorandum daripada perwakilan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini tetapi dihalang oleh polis.

Katanya ketika mengadap Seri Paduka pada minggu lalu, Seri Paduka bersetuju membenarkan gabungan 62 NGO itu menyerahkan memorandum mereka bagi menuntut pembaharuan pilihan raya hari ini.

“Baginda bertitah boleh. Itu sebab saya ikut (perwakilan) hantar memo,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Pak Samad merupakan salah seorang pemimpin Bersih yang berjaya melepasi halangan polis dengan kumpulan kecilnya yang berjaya tiba di Stadium Merdeka dan seterusnya berjalan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum tersebut.


http://www.kl-today.com/2011/07/bersih-tidak-hormat-titah-ydp-agong/

Fakta Himpunan Aman BERSIH 2.0

Sunday, 10 July 2011 10:45 Editor

- 50,000 orang hadir da berhimpun dengan aman, Ketua polis dakwa hanya 6,000 orang

- Lokasi perhimpunan di di Jalan Petaling, berhampiran Kompleks Daya Bumi, Masjid Jamek, Pudu dan Sogo.

- Perarakan bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 4 petang

- tidak ada seorang pun polis cedera

- beberapa peserta BERSIH cedera termasuk pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah dan Sasterawan Negara A,Samad Said

- seorang mangsa gas pemedih mata beracun Allahyarham Baharudin Ahmad, 56 meninggal dunia

- 71 Orang di kenakan perintah mahkamah tidak boleh masuk ke Kuala Lumpur



- 58 jalan disekitar Kuala Lumpur di tutup

- Hotel-hotel digeledah

- Seramai 1, 667 orang ditangkap termasuk pemimpin kanan PAS, PKR, DAP dan BERSIH

- Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi yang ditangkap sekitar jam 3 petang di bebaskan pada jam 6.30 petang stelah dibawa ke Baai Polis Jinjang dan kemudian ke Ibi Pejabat Polis Kuala Lumpur

- Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden, Datuk Mahfudz Omar dan Salehuddin Ayob turut ditahan pada sebelah petang dan dibebaskan pada sebelah malamnya

- BERSIH Global; 750 orang berhimpun di Melbourne, 150 di Perth, 150 orang di Adlaide Australia, 30 orng di Seoul Korea Selatan

- Dua puisi dikarang sepanjang kempen BERSIH oleh Sasterawan Negara A.Samad Said; Unggun Bersih dan Peludah Warna

&feature=channel_video_title

&feature=channel_video_title

Lihat gambar-gambar di Buletinonline blog


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3782:fakta-himpunan-aman-bersih-20-&catid=36:berita-nasional&Itemid=84

Orang bertali arus ziarahi Allahyarham Baharudin

Harakahdaily

(Keluarga terdekat Baharudin memberikan penghormatan terakhir)

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Orang ramai mula bertali arus ke Kelompok Camar, Ampang Ulu Klang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Baharudin Ahmad, 56, yang meninggal di perhimpunan Bersih semalam.

Yang awal tiba di sini menjelang solat jenazah dan pengkebumian adalah pemimpin Bersih, Datuk S Ambiga di samping AJK PAS Pusat Khalid Samad, timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan juga Nurul Izzah Anwar.

Turut tiba adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa berbalut lehernya selepas cedera semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana sudah terpaksa berlepas ke Langkawi pagi tadi untuk persidangan anggota Parlimen Islam Antarabangsa di mana PAS adalah tuan rumahnya.

Haji Mohamad Sabu yang jatuh selepas motor yang diboncengnya dilanggar kereta peronda polis sebelum ditangkap juga tiba namun terpaksa duduk di atas kerusi kerana kecederaan pada kakinya.

Selain mereka, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin juga hadir. Nizar masih memakai baju Bersih bagi menyatakan sokongannya kepada perhimpunaan semalam.

Malam tadi Datuk Husam Musa bersama beberapa pemimpin kanan PAS yang tidak ditangkap menziarahi jenazah Allahyarham.

Turut bersama beliau adalah Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di HKL.

Beberapa maklumat diterima sehingga kini sebagai punca kematian selepas post mortem dibuat namun ianya masih belum dapat disahkan lagi oleh Harakahdaily.

Berikut adalah gambar-gambar pagi ini.

(Datuk Seri Anwar datang dengan leher berbalut selepas cedera semalam)

(Tan Sri Khalid dan Datuk Seri Nizar juga hadir)

(Datuk S Ambiga bersama anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Nurul Izzah.)

(Jenazah sedia untuk disolatkan di surau Muqarrabin)


(Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tiba di surau untuk solat jenazah)

LAGI GAMBAR MENYUSUL


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4283-orang-bertali-arus-ziarahi-allahyarham-baharudin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...