Monday, June 29, 2009

Anak Michael Jackson pilih untuk tinggal dengan nenek

Isnin Jun 29, 2009

Seorang peminat meratapi pemergian Raja Pop Michael Jackson di Tokyo, Sabtu lalu (27 Jun 2009).- foto AP

TIGA anak Raja Pop, Michael Jackson enggan tinggal bersama ibu kandung masing-masing selepas pemergian bapa mereka.

Anak-anak bintang pop terdiri daripada Michael Joseph Jnr, 12, Paris Michael Katherine, 11, dan Prince 'Blanket' Michael II, 7.

Sebaliknya, mereka memilih untuk meneruskan kehidupan hari-hari mendatang bersama-sama nenek mereka, Katherine di Los Angeles.

Katherine yang merupakan ibu Jackson telah menjaga kanak-kanak tersebut sejak kecil lagi.

Jackson menghembuskan nafas terakhir Khamis lalu selepas serangan sakit jantung di rumahnya di Los Angeles.

Peguam keluarga Jackson, Brian Oxman berkata, Katherine berkemungkinan untuk menjaga mereka untuk tempoh yang panjang.

"Dia (Katherine) amat menyayangi mereka," tambahnya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/29/mstar_hiburan/20090629001754&sec=mstar_hiburan

A(H1N1): Kehadiran pelajar di sekolah memuaskan


PENGETAHUAN... Seorang murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta di sini membaca notis pemberitahuan mengenai "7 Langkah Membasuh Tangan Dengan Betul" yang ditampal di pintu kelasnya hari ini. Sekolah berkenaan memulakan sesi persekolahan hari ini selepas ditutup selama seminggu akibat penularan wabak Influenza A (H1N1). Selain SRK Assunta 1 & 2, Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka di Cheras turut memulakan sesi persekolahan hari ini, manakala SRJK Cina Jalan Davidson mula beroperasi Sabtu lepas. -- fotoBERNAMA


Isnin Jun 29, 2009

KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini yang dibuka semula kelmarin selepas ditutup seminggu akibat penularan wabak influenza A (H1N1) tempatan mencatatkan kedatangan pelajar 98 peratus hari ini berbanding 74.6 peratus pada hari pertama.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu merupakan satu petanda baik dan menunjukkan keadaan di sekolah itu telah pulih seperti biasa.

Selain itu katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta 2, Petaling Jaya yang turut dibuka pada hari ini mencatatkan kedatangan pelajar 81.7 peratus dan beliau turut menjangka peratus kedatangan yang baik bagi SK Assunta 1 pada sebelah petang.

"Kita akan teruskan prosedur yang telah ditetapkan mengenai H1N1 dan memastikan keputusan yang kita buat tempoh hari termasuk prosedur, kebersihan dan mengambil suhu badan dipatuhi oleh pihak sekolah," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, selain tiga sekolah itu, dua lagi sekolah rendah yang ditutup kerana wabak itu adalah SK Abdul Rahim 2, Kudat yang dan Sekolah Tinggi Chun Hwa Seremban masing-masing sehingga 1 dan 6 Julai ini.

Sementara itu, Wee berkata, Jawatankuasa Mengenai H1N1 Kementerian Pelajaran akan menjemput wakil daripada Majlis Sukan Negara untuk menyertai jawatankuasa itu.

"Sebelum ini, jawatankuasa kita bukan hanya mempunyai wakil Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) malah kita juga mengundang wakil daripada Kementerian Kesihatan.

"Kini kita juga mengundang wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk turut serta khususnya berhubung kejohanan sukan yang melibatkan pelajar dan remaja," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/29/mstar_berita/20090629140528&sec=mstar_berita

A(H1N1): Malaysia rekod 20 lagi kes baru

Isnin Jun 29, 2009

PUTRAJAYA: Dua puluh lagi kes influenza A(H1N1) dilaporkan di Malaysia iaitu 16 adalah kes import dan empat lagi ialah kes jangkitan tempatan menjadikan jumlah kes yang melibatkan penyakit itu kini mencecah 144, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya 20 kes baru berkenaan melibatkan 13 rakyat Malaysia dan tujuh rakyat asing - Vietnam (1), Jerman (1), Australia (1), Jepun (1), Amerika (1) dan dua lagi ialah rakyat Indonesia.

"Daripada 16 kes import itu, mereka mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak influenza A (H1N1) iaitu Australia (6), Indonesia (5), United Kingdom (2), Jepun (1), Singapura (1) dan Thailand (1).

"Empat kes jangkitan tempatan melibatkan rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan peningkatan kes import dari Indonesia dan Thailand, Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan menetapkan mulai sekarang, semua pelawat yang datang dari kedua-dua negara itu akan diperiksa sebaik tiba di Malaysia seperti yang dilaksanakan terhadap pelawat dari Filipina, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kes tempatan terbaru iaitu yang ke-19, melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun dan kontak kepada tiga kes wabak itu (isteri dan dua anaknya).

Beliau mula menunjukkan gejala sakit tekak pada 25 Jun semasa menjalani kuarantin rumah sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang dua hari lepas dan disahkan positif pada hari yang sama serta berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antiviral.

Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban menjadi kes tempatan ke20 dan beliau merupakan adik pelajar Malaysia yang baru pulang dari Melbourne, yang juga telah dijangkiti wabak influenza A (H1N1).

Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Sabtu lepas sementara 46 rakan sekelas serta 12 guru dari sekolahnya dikenakan kuarantin di rumah sehingga 3 Julai.

Kes tempatan ke-21 membabitkan seorang guru wanita berusia 36 tahun yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Jumaat lepas dan disahkan positif semalam.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Tsun Jin Height, Jalan Loke Yew, Cheras di sini menjadi mangsa tempatan ke-22 dijangkiti wabak itu selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh Sabtu lepas dan disahkan positif semalam.

Menurut kenyataan itu, pengesanan kontak sedang dijalankan dan rakan sekelas pelajar terbabit diminta supaya menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Mohd Ismail berkata jumlah pesakit A (H1N1) yang masih dirawat di hospital berjumlah 42 orang dan kesemuanya telah menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa komplikasi manakala jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya serta dibenar keluar dari hospital setakat ini adalah 102 orang.

Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 618 orang, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki dijangkiti A (H1N1) setakat ini ialah sebanyak 2,343 kes iaitu 144 kes disahkan positif manakala 28 kes masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) adalah 61,688 kes dengan 265 kematian daripada 112 negara, iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 497 kes.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tiada pertambahan jumlah kematian dan negara baru.Australia muncul sebagai negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi dengan 180 kes, Singapura (145), China (51), Hong Kong (66), Korea (21), New Zealand (16), Malaysia (12) dan Brunei (4).

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/29/mstar_berita/20090629175157&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...