Wednesday, June 3, 2009

Isteri Akhil pertimbangkan terjun dalam industri hiburan

Rabu Jun 3, 2009

Maizawati menafikan dirinya akan bergelar seorang pengacara tidak lama lagi.

SEPERTI yang diketahui, Maizawati Zainal, 33, pernah memberitahu yang dia merupakan surirumah ketika ditemubual dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 baru-baru ini.

Memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan, ada sumber mendakwa isteri penyanyi dan pendakwah Akhil Abdul Hai atau Akhil Hayy, 40, ini akan ditawarkan bergelar pengacara TV di salah sebuah televisyen swasta tidak lama lagi.

Ditanya kepada Maizawati atau mesra dengan panggilan Maiza ini berhubung hal itu, dia bagaimanapun menafikannya.

“Saya tidak pernah mendapat tawaran atau hadir ke ujibakat untuk bergelar pengacara TV.

“Jika diikutkan, saya juga tidak mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan, jadi bagaimana saya boleh hendak menceburi bidang itu,” ulasnya menjawab dakwaan itu ketika di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh semalam.

Jelas Maiza yang bukan berniat untuk membangga diri tetapi sebaliknya menjelaskan keadaan sebenar: “Kalau nak tahu, saya pernah ditawarkan untuk menjadi pelakon, pengacara dan model sejak berada di sekolah menengah lagi tapi waktu itu saya tolak sebab tidak berminat.

“Kalau betul saya nak ceburi bidang ini, dah lama saya buat dan bukannya sekarang. Lagipun, saya lebih suka bekerja di belakang tabir. Sebelum ini, saya pernah membantu Abang Akhil membuat kerja belakang tabir dalam program Cafe Akhil Hayy.”

Maizawati menjelaskan, jika berpeluang dia akan mempertimbangkan cadangan untuk bekerja dalam industri ini itupun jika karier itu tidak menganggu perjalanan hidupnya dengan anak-anak.

"Apa-apa pun saya mahu lebih utamakan anak-anak dahulu. Jika perkara itu tidak menyusahkan mereka, Insya-Allah saya akan pertimbangkan," ujarnya sambil tersenyum.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/3/mstar_hiburan/20090603091349&sec=mstar_hiburan

Ustaz Akhil Hayy mungkir janji?

Rabu Jun 3, 2009

Ustaz Akhil meninggalkan perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh dengan senyuman semalam. -foto The Star oleh Zabidi Tusin

SEBELUM ini penyanyi rock Akhil Hayy atau Akhil Abdul Hai pernah berjanji untuk memberi komen berhubung kontroversi rumahtangganya dengan Maizawati Zainal semalam.

Ini kerana semalam merupakan tarikh sebutan kes cerai Akhil dan isterinya itu.

Sebelum ini juga Akhil lebih banyak mendiamkan diri dan memberitahu media ‘apa-apa pun tunggu tarikh 2 Jun ini.’

Namun, selepas Mahkamah Rendah Syariah Ipoh memutuskan kes ‘kebenaran cerai’ yang difailkan oleh Maizawati dibawa ke 15 Julai depan, Akhil yang sepatutnya memberikan kenyataan kepada media bagi menjelaskan tentang isu tersebut telah memungkiri janjinya.

Ustaz rock yang dikaitkan dengan penyanyi Waheeda itu seakan-akan mengerti yang media telah berkumpul di luar untuk menyerbunya pada bila-bila masa itu keluar dari mahkamah sambil dikawal oleh dua orang lelaki.

Akhil terus keluar dari dewan mahkamah sambil dikawal oleh dua orang lelaki seolah-olah seperti pengawal peribadinya.

Sambil tersenyum, dia hanya berkata ‘tiada apa-apa untuk dikomen’.

Selepas itu, apabila diasak dengan pelbagai soalan lagi, dia berkata, “Saya akan lakukan perbincangan secara makruf kerana saya rasa hal ini telah menjejaskan kredibiliti saya sebagai pendakwah. Saya hanya follow the flow. Saya harap keputusannya positif.

“Saya minta media tidak membesarkan isu ini. Mungkin lepas ini akan timbul masalah lain.”

Namun di sebalik riak tenang di wajahnya, hos program 'Cafe Akhil Hayy' itu sempat juga memberi komen sinis..."Kalau sesiapa ada masalah boleh adu pada stesen TV."

Temubual yang dibuat dalam keadaan ‘kejar-mengejar’ itu bagaikan merungsingkan Akhil apabila dia terus diasak dengan beberapa soalan lagi.

Lantas, dia terus mengeluarkan kata-kata sinis yang tidak pasti ditujukan kepada siapa, “Mungkin hari ini hari aku, hari korang esok lusa siapa yang tahu.”

Maizawati bersama lima orang anaknya.

Akhil hadir bersama rakan-rakannya bersama kereta proton Wira berwarna hitam hadir di mahkamah agak lambat daripada sepatutnya sehingga Hakim Syarie Mohd. Ridhuan Yusof membuat keputusan untuk menangguhkan kes itu buat sementara waktu pada pagi tadi.

Sejam selepas itu, barulah dia muncul dengan berbaju hitam sepadan dengan warna jubah moden yang dipakai oleh Maizawati.

Bagaimanapun, mereka dilihat tidak sempat bertegur sapa sehingga kes tersebut selesai pada hari ini.

Akhil juga menolak kehendak media untuk merakamkan gambarnya bersama anak-anaknya yang turut hadir bersama Maizawati.

Katanya pendek, “Lain kalilah..”

Sementara itu, Maizawati yang hadir bersama lima orang anaknya dan seorang wanita meninggalkan kawasan mahkamah dengan menaiki kereta Gen 2 berwarna oren selepas memberi peluang kepada media merakamkan gambarnya bersama anak-anak.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/3/mstar_hiburan/20090602200516&sec=mstar_hiburan

Gangguan bekalan air di Klang, Kuala Langat pertengahan Jun

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air akan berlaku di beberapa kawasan sekitar Klang dan Kuala Langat pada 13 dan 16 Jun ini berikutan

kerja-kerja pengalihan paip, pemasangan injap serta pemasangan "Water Balance Meter" di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Halem Mat Som, kerja-kerja

pemasangan itu bertujuan memastikan bekalan air yang dibekalkan kepada pengguna di kawasan terbabit mencapai tahap optimum dan mencukupi.

Gangguan akan berlaku pada 13 Jun (Sabtu) mulai 5 petang hingga 7.30 pagi

keesokan harinya (Ahad), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kawasan yang terjejas ialah seluruh kawasan Pelabuhan Klang, Bandar Klang Selatan (Jalan Kota Raja, Kampung Jawa Batu 1 hingga 3, Jalan Jati dan Jalan Raja Nong), Persiaran Seraya, Taman Selatan, Taman Chi Liung, Taman Gembira dan Kampung Raja Uda.

Turut terbabit ialah seluruh kawasan Pandamaran, Taman Andalas, Klang Jaya,

Desawan, Taman Sentosa, seluruh kawasan Teluk Pulai, Sungai Udang, Kampung

Delek, Jalan tepiSungai, Sungai Bertek, Telok Gadong Kecil, Taman Melawis, Pulau Indah, Bagan Teo Chew dan Sungai Lima.

Menurut Abdul Halem, gangguan bekalan air di Kuala Langat pula membabitkan kawasan Taman Singkang Jaya, Taman Medan Indah dan Taman Sri Medan.

Sementara itu, katanya gangguan bekalan air juga akan belaku di kawasan

Sungai Kapar Indah, Klang pada 16 Jun (Selasa) bermula 5 petang hingga 7 pagi keesokan harinya (Rabu).

Beliau menasihati pengguna supaya menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh

gangguan dan sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252.

-Bernama

Kawasan ‘panas’ samseng jalan raya sudah sejuk

SHAH ALAM: Operasi berterusan polis trafik khususnya di Selangor untuk mengekang samseng jalan raya membuahkan hasil apabila beberapa lokasi yang disifatkan ‘panas’ di negeri ini tidak lagi menjadi tumpuan samseng jalan raya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata operasi sebulan bermula 1 Mei lalu, sebanyak 125 sekatan jalan raya diadakan dan 3,091 saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu 454 saman dikeluarkan akibat kesalahan tidak memakai topi keledar diikuti lesen tamat tempoh (433), ubah suai motosikal (106), menunggang menentang arus (79), langgar lampu isyarat (59) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi itu kami turut menyita motosikal dan daerah tertinggi dicatatkan di Kuala Langat dengan 720 kes diikuti Shah Alam (582 kes), Subang Jaya (577 kes) dan Kajang (215 kes),” katanya.

Kebanyakan kesalahan tertinggi dikesan dilakukan penunggang dan pembonceng motosikal di Shah Alam dengan 231 kes.

Che Hussin berkata, berikutan itu, polis trafik akan meningkatkan rondaan khususnya pada malam minggu dan pada masa sama meminta orang ramai tidak memberi sokongan atau berkumpul untuk menyaksikan aksi samseng jalan raya.

“Selain itu kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti samseng jalan raya supaya menyalurkan menerusi talian Rakan Cop di 03-21159999.

“Setakat ini, maklumat yang disalurkan orang awam membantu kami mengurangkan samseng jalan raya dan ia petanda positif,” katanya.

Kejutan bayi koma

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sangsi selepas bayinya tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan pengasuh, seorang bapa membuat laporan polis, kelmarin kerana mendakwa bayinya yang kini dalam keadaan koma, mungkin berpunca kecuaian pengasuh terbabit.

Dalam kejadian di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang, dekat sini, pengasuh terbabit pada mulanya menghubungi ibu bayi berkenaan dan memberitahu anaknya tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata ibu bayi berkenaan menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari daripada pengasuh terbabit yang mengatakan anaknya tidak sedarkan diri tanpa diketahui punca sebenar.

“Ibu bayi berkenaan kemudian menghubungi suaminya sebelum mereka berdua bergegas pulang dan mendapatkan bayi mereka yang ditinggalkan di rumah pengasuh itu.

“Ibu bapa bayi terbabit terkejut apabila mendapati anak mereka tidak sedarkan diri,” katanya, semalam.

Menurut Abd Jalil, bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Ampang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dia didapati koma dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan.

“Bapa bayi terbabit yang mengesyaki ada unsur kecuaian di pihak pengasuh kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada pengasuh terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak dan setakat ini polis masih menunggu laporan perubatan daripada hospital.

Difahamkan, selain bayi pasangan suami isteri itu, pengasuh terbabit turut menjaga dua lagi kanak-kanak yang dihantar ke rumahnya oleh jiran.

Kejadian ini kali kedua berlaku dalam minggu ini membabitkan bayi yang ditinggalkan kepada pengasuh dan satu daripadanya mengakibatkan kematian seperti dilaporkan Harian Metro Rabu lalu.

Dalam kes itu, bayi yang berusia dua bulan meninggal dunia ketika berada di pusat asuhan kanak-kanak berhampiran rumahnya di Taman Desa Keramat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090603080315/Article/index_html

‘Sila beri kerjasama’

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


PETALING JAYA: “Sila beri kerjasama, prosiding ini membabitkan hal rumah tangga kamu!,” tegur Hakim Syarie Ghazali Ahmad kepada vokalis kumpulan OAG, Mohd Radhi Razali atau Radhi OAG di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.

Ia berikutan sebelum ini kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan isterinya, Shazlin Sharif, 30, sudah beberapa kali tertangguh akibat Radhi gagal hadir ke mahkamah menyebabkan waran tangkap terpaksa dikeluarkan.

Menjawab pertanyaan Hakim Syarie Ghazali, Radhi, 32, yang juga pelakon mengakui ada menerima penyata tuntutan yang difailkan Shazlin melalui peguam syarie, Noorafizah Abdul Azis.

Radhi menyatakan tidak setuju dengan permohonan isterinya itu dan Hakim Syarie Ghazali memerintahkan dia memfailkan penyata pembelaan.

Penyanyi itu juga dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat peguam bela jika tidak faham berhubung prosedur itu.

Mahkamah menetapkan 24 Jun untuk sebutan.

Sebelum ini Shazlin memfailkan pengesahan lafaz cerai Radhi di rumah mereka pada 15 September tahun lalu dan kali kedua pada 25 Februari lalu dengan lafaz ‘Aku ceraikan kau (Shazlin) dengan talak tiga terus’ melalui telefon.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090603080437/Article/index_html

Pencuci kereta dipenjara 30 bulan

SHAH ALAM: Seorang peragut dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah meragut beg tangan dan telefon bimbit milik seorang suri rumah sehingga menyebabkan wanita itu jatuh dan cedera, tiga bulan lalu.

Majistret Norkamilah Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Zeren Hamjah, 27, yang bekerja sebagai pencuci kereta.

Tertuduh mengaku meragut beg tangan dan telefon bimbit milik Nor Wahi Dah Ismail, 39, yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM1,500.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kampung Kebun Seksyen 36, di sini jam 12.55 tengah malam, 23 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, Mohamad Zeren didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Zeren didakwa meragut wanita itu sehingga menyebabkan suri rumah terbabit terjatuh dan cedera di kedua-dua kakinya.

Topi keledar melayang

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Umpama adegan filem aksi, dua penjenayah cedera apabila motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang selepas topi keledar melayang ke arah mereka sebelum kedua-duanya dibelasah orang ramai sebaik meragut seorang wanita di Pekan Batu Enam, dekat sini kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Apa yang menarik, kedua-dua penjenayah dianggap tersilap memilih lokasi ragut itu kerana mangsa terbaru mereka adalah rakan kepada Mazlina Nawang, 45, mangsa ragut yang bengkak bibir, lebam mata kanan, patah gigi dan mengalami gegaran otak hingga tidak sedarkan diri selepas cedera dalam satu kejadian ragut di Jalan Tengku Omar Gong Badak, 28 Mei lalu.

Tindakan itu menyebabkan mereka disyaki sebagai suspek sama dalam kejadian menimpa Mazlina kerana wujud kemungkinan kedua-duanya mengekori mangsa dari tempat kerja sebelum menunggu masa sesuai untuk melakukan jenayah.

Namun, inilah harga yang perlu mereka bayar untuk meragut tangan Zaiton Ali, 46, pekerja am di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu, semalam apabila orang ramai terlalu berang dengan kehadiran peragut di kawasan itu terutama selepas penjenayah yang cuba meragut Mazlina terlepas.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Deputi Superintendan Harry Chung Chiu Mok, yang mengesahkan kejadian itu, berkata polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan kini turut menjurus kepada kemungkinan kedua-dua suspek terbabit dalam kejadian menimpa Mazlina dan polis sedang mengumpul maklumat berdasarkan keterangan saksi serta mangsa untuk dipadankan bagi mencari kepastian berhubung perkara itu.

“Memang kita sedang cari kemungkinan itu kerana turut mengesyaki mereka ini individu sama terutama selepas mangsa dari tempat kerja yang sama...apa pun kita masih siasat dan saya tidak dapat memberikan kenyataan lanjut mengenainya,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan mengenai kejadian menimpanya semalam, Zaiton berkata, dia membawa kira-kira RM750 dan wang itu adalah wang saudara yang memintanya menebus semula barangan kemas selain kad pengenalan semua empat anaknya dalam beg itu.

“Jika itu wang milik saya atau jumlahnya tidaklah terlalu banyak saya tidaklah terlalu takut serta mengejar sambil menjerit meminta tolong,” katanya.

Hari ni, hari kau

Oleh Kasdi Ali dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my

IPOH: Penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy secara sinis menyatakan segelintir pihak mungkin berpuas hati dengan keadaan menimpanya berhubung kisah keretakan rumah tangga dan tuntutan cerai isterinya, Maizawati Zainal.

“Pihak yang nak mencabar kredibiliti (saya) sebagai pendakwah, pihak kawan dan lawan, mungkin sekarang berpuas hati dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Syariah Perak di sini, semalam.

Apapun, menurutnya, semua pihak perlu menunggu keputusan mahkamah.

Namun, dia mengutamakan keadaan kondusif, ketenangan, kedamaian untuk menghadapi sebarang perkara.

“Ia (apa yang berlaku) sedang dicatur tuan punya dunia...tidak apalah, mungkin hari ni hari kau, esok-esoklak hari aku. (Begitupun, bagi saya) apa-apa keputusan dalam keadaan maaruf,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan menyindir tindakan isterinya menghebahkan masalah rumah tangga mereka kepada umum.

“Selepas ini sesiapa ada masalah bolehlah ke stesen televisyen untuk mengadu dan stesen televisyen boleh menjadi mahkamah kedua,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah menetapkan kes tuntutan perceraian itu disebut semula pada 15 Julai ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mengadakan proses sulh (rundingan) supaya kes dapat diselesaikan secara baik.

Mengenai penangguhan kes itu, Akhil berkata, ia disebabkan dokumen tidak siap dan tuntutan tidak dibuat secara terperinci oleh kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Akhil, 40, masih menaruh harapan isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan baik.

“Benda ni (kes tuntutan perceraian) ana (saya) nak selesaikan dengan cara paling maaruf (baik),” kata bekas vokalis kumpulan rock D’Riyadh itu.

Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hai turut berkata pelbagai pihak, terutama rakan serta saudara-mara, termasuk di kalangan ahli keluarga Maizawati memberi sokongan moral kepadanya dalam menghadapi kes berkenaan.

Sementara itu, Maizawati yang membawa enam anaknya, termasuk empat hasil perkongsian hidup dengan bekas penyanyi rock itu ke mahkamah, berkata dia tidak ada sebarang masalah untuk bersemuka dan berbincang dengan suaminya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

“Ini semua ketentuan Allah, selepas ini saya serahkan kepada peguam...kita tengok apa yang berlaku.

“Saya tidak boleh bagi komen, harap semua bersabar dan tengoklah pada 15 Julai nanti (sama ada akan bercerai atau tidak). Saya akan teruskan hidup macam biasa sehingga 15 Julai,” katanya juga enggan mengulas ketika ditanya perasaannya apabila bersemuka dengan Akhil semalam selepas kali terakhir bertemu Februari lalu.

Dia kemudian meninggalkan mahkamah menaiki Proton Gen.2 berwarna jingga bersama semua anaknya.

Sementara itu, Akhil mulanya cuba mengawal dirinya dengan hanya melemparkan senyuman kepada lima daripada enam anaknya ketika berjalan di hadapan mereka sebelum memasuki mahkamah untuk prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Maizawati, 33.

Dia bagaimanapun tidak dapat lagi membendung naluri kebapaannya apabila mengambil kesempatan memeluk dan mencium anak bongsunya, Muhd Shatiri Hidayatullah, 2, ketika menuju ke kereta selepas berakhir prosiding.

Ketika itu, Muhd Shatiri didukung anggota keluarga Maizawati dan tidak bersama ibu dan lima beradik lain.

Tempoh pelukan dan ciuman kasih sayang selama beberapa saat itu digunakan sepenuhnya Akhil sebelum dengan wajah berat hati meninggalkan Muhd Shatiri.

Taikun kasanova ditangkap dalam khemah






LONDON - Taikun perniagaan yang menjadi suspek utama satu kes pembunuhan, Ian Griffin (gambar) akhirnya ditangkap polis ketika sedang berehat di dalam khemah, lapor sebuah akhbar semalam.

Kasanova berumur 39 tahun itu melarikan diri sejak minggu lalu setelah teman wanitanya ditemui mati di sebuah hotel mewah di Paris.

Lelaki tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa Perancis untuk menyelesaikan kes pembunuhan membabitkan ahli perniagaan Poland, Kinga Legg, 36.

Kereta Porsche 911 milik Griffin dijumpai berhampiran rumah ibu bapanya di Cheshire pada Khamis lalu.

Dia mematikan alat satelit Porsche untuk mengelak dikesan menerusi satelit tetapi polis berjaya mengesannya setelah Griffin membuat pengeluaran tunai di Cheshire.

"Suspek nampaknya hidup dalam keadaan sukar di dalam khemah. Polis Cheshire kini berurusan dengan pihak berkuasa Perancis," kata seorang jurucakap polis. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Kos makan malam Obama RM157,000


SEKUMPULAN pelanggan restoran melihat Presiden Barack Obama dan Michelle meninggalkan persembahan Broadway di New York Sabtu lalu.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi dilanda kontroversi selepas beliau dilapor berbelanja besar semata-mata untuk membawa isterinya, Michelle, keluar makan malam, lapor sebuah akhbar semalam.

Temujanji romantik itu susulan janji Obama semasa berkempen bagi kerusi Presiden AS tahun lalu bahawa beliau akan membawa isterinya bersiar-siar selepas pilihan raya selesai.

Sebagai mengotakan janjinya, Obama membawa Michelle keluar pada hujung minggu lalu dengan menggunakan tiga jet peribadi, dua helikopter dan beberapa pesawat tambahan bagi tujuan keselamatan.

Semua itu dilakukan supaya beliau dan isterinya dapat makan malam dan menonton pementasan Broadway di New York, beberapa ribu kilometer dari sini.

Media AS melaporkan kunjungan singkat tersebut menelan perbelanjaan AS$45,000 (RM157,000) untuk kos pengangkutan dan keselamatan sekali gus dianggap membazirkan wang rakyat.

Obama menggunakan tiga pesawat bagi kunjungan tersebut, sebuah untuk membawanya dan Michelle, dua lagi untuk mengangkut beberapa penasihat dan sekumpulan wartawan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Permaisuri Sepanyol guna pesawat bajet



PERMAISURI SOFIA melambai tangan ketika melawat bandar Tallinn, Estonia bulan lalu.


LONDON - Permaisuri Sepanyol, Sofia mengejutkan banyak pihak apabila baginda menggunakan penerbangan bajet dari Santander ke Stansted di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Tambang penerbangan pesawat Ryanair itu hanyalah £13 (RM75) untuk satu perjalanan.

Menurut satu sumber istana Sepanyol, amalan menggunakan pesawat penerbangan awam sudah menjadi perkara biasa bagi kebanyakan kerabat diraja.

"Raja Sepanyol, Raja Juan Carlos ialah satu-satunya anggota keluarga diraja yang menggunakan pesawat tentera," kata satu sumber.

Tambahnya, Permaisuri Sofia ialah kerabat diraja pertama menggunakan penerbangan tambang murah Ryanair.

Permaisuri Sofia berada di Britain untuk melawat abangnya, Constantine yang semakin sihat setelah menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital di London.

Constantine ialah raja Greece dari 1964 hingga 1973 sebelum sistem pemerintahan diraja dihapuskan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Tentera temui serpihan pesawat


SKUAD peninjau tentera udara Brazil semalam bersiap sedia untuk menyertai operasi mencari pesawat Air France yang hilang di Lautan Atlantik.


RIO DE JANEIRO - Beberapa pesawat tentera Brazil berjaya menemui sejumlah serpihan dipercayai sebahagian bangkai sebuah pesawat penumpang Perancis yang hilang, kata tentera udara Brazil semalam.

Seorang jurucakap tentera udara berkata, ia ditemui kira-kira 650 kilometer ke utara kepulauan Fernando de Noronha berhampiran perairan utara Brazil.

Menurutnya, serpihan yang ditemui termasuk beberapa objek logam dan kerusi penumpang masih belum dapat disahkan sebagai sebahagian penerbangan AF447 milik syarikat Air France yang hilang pada Ahad lepas.

Kawasan tersebut terletak berhampiran lokasi pesawat jenis Airbus A330 itu membuat hubungan terakhir selepas berlepas dari sini.

"Rancangan kini tertumpu kepada usaha mengumpul serpihan-serpihan dan mengenal pasti sama ada ia berasal dari pesawat Air France atau sebaliknya," kata Kolonel Tentera Udara Brazil, Jorge Amaral pada satu sidang media.

"Kami tidak dapat mengesahkan ia bangkai pesawat berkenaan selagi belum memperoleh sekurang-kurangnya satu serpihan yang ditanda dengan nombor siri," tambahnya.




Penerbangan AF447 terbang dalam ribut empat jam selepas berlepas dari sini dan 15 minit kemudian ia menghantar isyarat automatik melaporkan kejadian kerosakan elektrik.

Pesawat malang tersebut membawa 228 orang termasuk penumpang dan anak kapal.

Pihak berkuasa Perancis dan Brazil termasuk Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, menyatakan mereka tidak berharap dapat menemui mangsa terselamat dalam nahas tersebut.

Jika perkara itu berlaku, nahas udara Ahad lepas merupakan yang terburuk sejak penubuhan Air France, 75 tahun lalu selain yang paling dahsyat sejak sebuah pesawat Concorde milik syarikat berkenaan terbakar lalu terhempas sembilan tahun lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Penganggur dituduh bunuh dua beranak, amah


SHAHRAEL dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tiga pertuduhan membunuh di Ipoh semalam.



KERATAN Kosmo! 21 Mei.


IPOH - Seorang penganggur berusia 26 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan membunuh dalam satu kejadian rompakan di Taman Pinji Seni di sini pada 20 Mei lalu.

Dalam pertuduhan pertama, Shahrael Amir Suhaimi dituduh membunuh seorang pembantu rumah, Dani Miasih, 21, antara kira-kira pukul 2.30 hingga 3 petang di rumah beralamat 67, Laluan Seni Pinji, Taman Pinji Seni.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh turut didakwa membunuh pengusaha salon, Wah Yah Matzi, 42, dan anaknya, Mohd. Ermin Denish Jafri Tajul, lima tahun, pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Penduduk kecewa terpaksa terus hidu bau busuk babi


Pusat penyembelihan babi bersebelahan pasar Kampung Berjaya di Alor Setar yang didakwa menjejaskan keselesaan penduduk kampung itu sejak 30 tahun lalu.


ALOR SETAR - Harapan penduduk di sekitar Kampung Berjaya di sini untuk segera bebas daripada masalah kekotoran pusat penyembelihan babi di kampung itu tidak kesampaian apabila kerajaan negeri menangguhkan operasi meroboh tempat itu yang sepatutnya dilakukan kelmarin.

Pusat penyembelihan tersebut sebelum ini didakwa turut mengganggu penduduk dua buah kampung lain iaitu Teluk Yan dan Seberang Terus dengan pencemaran bau dan bunyi bising selain gangguan sebilangan babi yang terlepas ke kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Md. Salleh Abd. Rahman, 68, berkata, penduduk terkilan dengan arahan penangguhan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri memandangkan masalah itu telah menghantui penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.

"Tempat penyembelihan ini dibuka lewat tahun 1973 dan sejak itu penduduk dan peniaga di pasar Kampung Berjaya yang terletak bersebelahan terpaksa berdepan dengan bau busuk.

"Rayuan supaya kerajaan memindahkan pusat sembelihan itu nampaknya masih tidak diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Kosmo! difahamkan operasi merobohkan tempat penyembelihan babi itu sepatutnya dilakukan kelmarin oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) namun atas desakan beberapa pihak tindakan itu ditangguhkan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Maiza, Akhil setuju proses sulh


MAIZA bersama lima anaknya yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Ipoh semalam. Gambar kecil, Akhil.





IPOH - Pendakwah dan penyanyi Akhil Hayy, 40, dan isterinya, Maizawati Zainal, 33, memohon Mahkamah Rendah Syariah menetapkan satu tarikh baru bagi membolehkan proses sulh (penyelesaian secara baik) di antara mereka berhubung segala tuntutan berkaitan selepas penceraian diselesaikan.

Hakim Syarie, Mohd. Ridhuan Yusof bersetuju dengan permohonan tersebut dan menetapkan 15 Julai sebagai tarikh sebutan semula.

Maizawati atau mesra dipanggil Maiza diwakili peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais manakala Akhil tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding kes berkenaan selama hampir dua jam selepas Akhil tidak menghadirkan diri.

Akhil yang tiba di kompleks mahkamah pada pukul 10.35 pagi terus mengadakan perbincangan bersama dua peguam Maiza di sebuah bilik khas selama satu jam.

Lima daripada enam anak hasil perkongsian hidup Akhil dan Maiza turut hadir semalam.

Akhil yang ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau sedaya upaya akan menyelesaikan kes yang difailkan isterinya itu dengan cara paling makruf, penuh kedamaian dan memuaskan hati semua pihak.

"Kredibiliti dan imej saya sebagai pendakwah sudah terjejas dan mungkin kawan mahupun lawan akan berpuas hati dengan penyelesaian yang akan saya buat nanti," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Menjejaki Ustaz Akhil Hayy

MAY 24, 2009


Ceramahnya pasti mencuit hati. Sasarannya ialah golongan muda remaja, yang menjadi tarikan golongan ini ialah kerana setiap ceramahnya pasti diselitkan dengan lagu dan bacaan al-Quran. Tambahan pula beliau lebih dikenali sebagai bekas penyanyi rock berirama heavy metal era 80-an dahulu, mempunyai bakat dalam bidang seni suara. Beliau adalah bekas penyanyi utama kumpulan D'Riyadh yang mula mencipta nama pada tahun 1988 dan 1989 seangkatan dengan kumpulan Wings, Search, Lefthanded dan ramai lagi.

Pernah popular menerusi lagu "Melodi Cinta Lama" dan "Ketenangan Jiwa". Setelah hampir sepuluh tahun, kini beliau tampil dengan imej seorang pendakwah, jika dahulu berseluar ketat dan berambut panjang menyanyi di atas pentas, kini beliau lebih senang menyampaikan risalah Allah sepenuh masa.

Beliau ialah USTAZ HJ. AKHIL ABDUL HAI RAWA. Beliau aktif menyampaikan ceramah dan motivasi pelajar di sekitar Ipoh, Perak. Berasal dari Gopeng, Perak, selepas menamatkan pelajaran di peringkat menengah, beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur. Ikuti pengalaman perjalanan kehidupan yang pernah beliau lalui sebagai bekas penyanyi rock untuk dikongsi bersama sebagai panduan dan pengamatan kita sekalian.


"Pembabitan saya di bidang muzik bermula semenjak di tingkatan tiga lagi. Sebenarnya saya terlalu meminati muzik, umpama kata orang muzik dan saya tak boleh dipisahkan.
Di kampung saya menjadi penyanyi utama kugiran kenduri kahwin. Pada tahun 1988 saya menyertai pertandingan Konsert Box Office anjuran komposer Ali Bakar dan kumpulan kami mendapat tempat pertama mengalahkan 113 buah kumpulan rock di Malaysia. Asalnya memang untuk suka-suka saja, kawan-kawan yang ajak saya menyertai pertandingan tu. Tak sangka pula boleh menang. Bermula dari situ saya mula aktif di bidang nyanyian.

Dari tahun 1986 hingga 1990 saya aktif sepenuhnya di persada muzik dan telah menghasilkan tiga buah album. Masa tu saya memang gila-gila punya rock, rambut perang, kerinting sampai tak nampak mata, seluar ketat, baju singlet, terkinja-kinja atas pentas, tak ingat apa lagi. Masa tu mula lupa diri, habuan datang macam-macam, tapi hati memang tak tenang. Banyak gejala sosial yang kita sendiri hadapi, night life dan disko itu biasa, persekitaran yang tidak mengajak kepada Islam. Dari sembahyang lama kelamaan sembahyang pun dah tak menentu.

Bagaimanapun, iman walaupun ada secalit di dalam hati, InsyaAllah kita akan kembali ke asal kita. Selama hampir empat tahun aktif menyanyi, akhirnya pada 1993 tanpa sebarang masalah kumpulan kami mula berpecah. Puncanya ada yang sakit, yang nak buat kerja sendiri, kami cuba juga ambil ahli lain, tapi masih tak boleh jalan. Akhirnya saya berhajat buat album solo. Masa nak masuk studio, rasanya mula datang hidayah. Ada saja halangannya. Dalam pada tu saya berniaga di KL hampir setahun dan mula tak menyanyi lagi.

Saya mula berhijrah semula ke kampung, rambut masih panjang dan perang lagi. Masa tu mula mendekati masjid semula. Dari segi hakikatnya keluarga saya memang dalam golongan orang-orang beragam arwah atuk seorang tuan guru dan arwah ayah saya sendiri seorang mutawif haji (membawa jamaah haji). Bapa saya tidak pernah memarahi saya, dia cuma menggunakan kaedah psikologi. Beliau sering mengingatkan saya dan memberi nasihat.

Pada 1995 beliau membawa saya menunaikan haji di Mekah, masa tu kita reda. Sebelum ke Mekah saya ada ke Indonesia, arwah bapa bawa saya duduk sekejap di Pasentrian tapi tak sempat memperolehi apa-apa sijil. Lepas daripada tu saya pulang ke Malaysia, sejak itu timbul minat semula. Alhamdulillah ketika itu saya mula masuk ke masjid, orang pun bagi ruang kepada saya berdakwah dan menyampai kuliah, mengajar al-Quran Iqra dan sebagainya di jabatan kerajaan. Saya mula mengajar di Pusat Pembangunan Keluarga di Ipoh. Lepas daripada tu saya sering mengikut ke Mekah secara tidak langsung saya belajar dan mengingat kembali ilmu agama yang ada sedikit dalam diri saya .

Akhirnya beliau kembali ke rahmatullah pada kali ke - 38 beliau Mekah. Pada saya doa yang sering beliau panjatkan setiap kali mengunjungi Baitullah itulah yang mengubah hati saya untuk kembali ke pangkal jalan. Bermula dari situ saya mula mendapat jemputan berceramah pelusuk daerah. Ada yang menyebut dulu kita ni penyanyi kumpulan rock, lagi hebatlah sambutannya. Dari segi politik saya sebenarnya berniat untuk membantu ulamak, seperti yang kita sedia maklum ulamak hari ini semakin disekat suara mereka.

Bagi saya memang tanggungjawab semua orang yang mengaku mukmin menyampaikan risalah. Apapun saya bersyukur kerana mendapat kembali hidayah-Nya. Saya pegang satu perkara sahaja, doa mukmin di multazam ini doa yang makbul. Apa yang saya nampak dalam keluarga saya, sayalah satu-satunya anak yang paling susah dibentuk bak kata orang mungkin black sheep of family Yang buat masalah pun kita, yang menjatuhkan air muka bapa pun kita.

Bayangkanlah bapa kita berceramah di Tabung Haji, kita buat ceramah di Kuala Lumpur dan merata tempat dengan seluar tengkorak dan rantainya. Masa tu kita rasa hanya untuk enjoy, tak fikir apa yang orang tua kita rasa. Selepas berhijrah mula minat balik mengaji dan bangun bertahajjud tengah malam.

Kadang-kadang tak tahu pun macamana boleh tersedar tengah malam. Kalau dulu waktu malam keluar untuk berfoya-foya tapi selepas itu berubah. Dalam proses hijrah itu saya berjumpa alim ulamak yang banyak memberi tunjuk ajar menyumbang ke arah kita beristiqamah ke jalan ini dan InsyaAllah setakat ini belum ada lagi provokasi dengan apa yang saya lakukan. Saya mula berzanji semula sebab memang kita berasal dari situ.

Bila tinggalkan dunia itu, memang terasa gian, teringin nak petik gitar semula tapi bagi saya kalau iman sudah mula bertapak, bila sudah ada roh Islam, secara tidak langsung kita dapat mengawalnya. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Puas rasanya dapat menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat seagama. Selain dorongan arwah bapa dan keluarga, isteri dan anak-anak adalah sumber inspirasi saya.

Saya berkahwin dengan Maizawati Zainal, beliau merupakan seorang peminat setia saya. Setiap konsert saya beliau pasti turut serta. Alhamdulillah beliau turut serta dalam penghijrahan saya. Perkahwinan kami dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu, Diyana Sofea (7), Siti Nur Maisarah (3) dan Muhd Shariff Hidayatullah, (2). Sekarang peluang untuk menjadi artis berada di depan mata. Memang tak dinafikan minat seni memang ada dalam setiap jiwa insan biasa seperti kita.

Rasulullah sendiri pun suka mendengar seruling. Muzik tidak salah yang penting kita tahu meletakkan muzik yang bagaimana dan cara menghayatinya. Kesedaran sebenarnya melibatkan semua pihak, seterusnya sistern pendidikan dan pihak pemerintah. Contohnya, pihak yang buka jalan seperti pertandingan nyanyian yang tidak dihadkan kategori umur. Berjayanya Yahudi mengubah fikrah umat Islam hinggakan remaja menengah memikirkan tidak perlu lulus peperiksaan tidak mengapa kerana ada jalan untuk masa depan dalam kerjaya nyanyian.

Pihak terbabit sibuk menekankan soal pendidikan dan membangun bersama Islam tapi dalam masa yang sama ada tempat bagi remaja yang tidak lulus periksa terjun ke dunia seni. Bagi remaja pula tidak ada masalah kerana bidang nyanyian ialah satu dunia glamor di tambah pula ibu bapa yang bangga apabila anak-anak menjadi perhatian pujaan ramai.

Harapan saya meminta pihak bertanggungjawab beri ruang sepenuhnya kepada majlis ilmu. Pada saya mengajak anak muda sekarang mudah kerana minda mereka sekarang sudah terbuka, cuma perlu proses istiqamah sahaja lagi. Nasihat saya kepada remaja, jangan terlalu lalai dan leka dengan muzik kerana bahananya sungguh dahsyat. Dunia muzik membuatkan kita lupa siapa diri kita sebenarnya. Gunalah cara lain untuk memupuk seni dan bakat yang ada dalam diri kita. Remaja adalah harapan bangsa, agama dan negara untuk masa hadapan.



- Dimana Ustaz Akhil Hayy kini? 2 Jun 2009 mahkamah Syariah Ipoh akan mendengar perbicaraan kes perceraian beliau dengan isterinya Maizawati Zainal.

-Apakah kegilaan dunia kembali menghantui beliau semula?

Link Berkaitan :-
aku , akhil Hayy dan waheda
Kenangan Bersama Rock
Dari Rock ke Nasyid/ ceramah
Koleksi video Akhi hayy


VIDEO CERAMAH USTAZ AKHIL HAY -seketika bersama PAS dulu:








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...