Wednesday, June 10, 2009

Ugut bunuh bapa

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Kerana bimbang nyawanya dalam bahaya, seorang warga emas membuat laporan polis, kelmarin, berhubung ugutan bunuh yang dibuat anak kandungnya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam 29 Mei lalu, mangsa berusia 60 tahun berasal dari Kampung Teluk Alor Lintah, Kampung Raja, Besut, didatangi suspek ketika berehat bersama keluarganya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata anak lelaki mangsa berusia 33 tahun itu yang bekerja sebagai pengimpal besi kemudian meminta wang RM2,000 daripadanya untuk membeli pil khayal.

“Bagaimanapun mangsa enggan melayan permintaan anak lelakinya itu kerana mengetahui niat buruknya untuk menjadi pengedar pil khayal,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, suspek yang berang kerana permintaannya ditolak kemudian mengugut membakar rumah serta membunuh bapa kandungnya.

Menurut Mohd Fauzi, selain mengugut suspek turut bertindak ganas memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan batu sebelum melarikan diri dari rumah berkenaan.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang bimbang nyawanya terancam kemudian membuat aduan di Balai Polis Kampung Raja pada jam 12 tengah malam Rabu lalu.

“Sebelum ini, pernah beberapa kali suspek bertindak mengugut bapanya termasuk diugut dengan menggunakan parang apabila permintaannya tidak dilayan, namun tindakan pantas anak-anaknya menyelamatkan warga emas itu terus dikasari suspek,”
katanya.

Menurutnya, selepas aduan diterima pihak polis terus melancarkan operasi bagi menjejaki suspek yang menghilangkan diri dan akhirnya berjaya menahan lelaki itu di sekitar Kampung Raja, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian atau cedera parah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055142/Article/index_html

Ubah suai slip deposit cek

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pemilik dan pengguna buku cek dinasihati berwaspada berikutan muncul sindiket ‘getah pemadam ajaib’ yang mampu menukar nama untuk melesapkan wang mangsa, kini satu lagi taktik terbaru dikesan iaitu dengan menggunakan slip deposit cek.

Ini kerana, suspek didakwa ‘membantu’ mendepositkan semua cek yang dicuri sebelum mengambil slip depositnya untuk diubah suai.

Cek terbabit dicuri suspek selepas diposkan pembeli yang membuat pesanan dari mana-mana syarikat kebiasaannya membabitkan pembelian barangan elektronik.

Dalam kes terbaru, seorang pengarah urusan syarikat pembekal peralatan kamera, C H Low, 42 mendakwa hampir kerugian RM400,000 apabila berurusan dengan seorang ‘pelanggan’ baru yang membuat pesanan membeli sejumlah kad memori dari syarikatnya.

Menurut Low, seperti kebiasaan, pelanggan tetapnya akan membuat pesanan menerusi talian dan syarikatnya akan menghantar pesanan terbabit sebelum bayaran berbentuk cek akan dipos kepadanya.

“Namun, dalam kejadian dua minggu lalu, suspek dipercayai mencuri cek yang dalam perjalanan untuk dihantar ke syarikat saya dan menggunakan teknologi canggih mengimbas slip deposit bank terbabit sebelum mengubahsuainya.

“Suspek kemudian datang ke syarikat dan menuntut barangan yang ‘dibeli’ bernilai RM3,000 dengan slip deposit yang ditukar nama dan bank, namun mengekalkan nombor cek itu.


“Berjaya dengan penipuan pertama, tidak lama selepas itu, suspek datang sekali lagi ke syarikat saya di Petaling Jaya dan menuntut pembeliannya dengan menunjukkan slip deposit cek RM42,000,” kata Low sewaktu ditemui di Biro Pengaduan Awam di sini, semalam.

Menurut Low, bagi kedua-dua pembayaran itu, pekerja syarikatnya hanya mengesahkan pembayaran yang dilakukan suspek dengan menghubungi pihak bank dan menjadikan nombor cek sebagai rujukan.

“Apabila dirujuk menggunakan nombor terbabit, pihak bank memaklumkan yang bayaran itu dibuat dan pembayaran terbabit sebenarnya merujuk kepada nombor cek pelanggan tetap,” katanya yang mendapati kehilangan stok barangan jualan yang tidak seimbang dengan pembayaran yang diterima.

Low kemudian mula mencurigai pelanggan barunya itu kerana kerap memesan barangan sama dalam tempoh singkat.

“Tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi membuat pesanan kad memori dan kali ini dengan jumlah yang lebih banyak membabitkan pembayaran RM350,000.

“Kerana curiga dengan suspek yang kerap menghubungi syarikat bertanyakan pesanan serta menawarkan harga lebih tinggi ke atas barangan terbabit, saya bersama pekerja memasang perangkap dan menunggunya datang ke pejabat untuk mengambil barang yang dipesan,”
katanya.

Sebaik suspek yang berpakaian seperti seorang usahawan serta memandu kereta mewah itu tiba di pejabatnya, Low menahan dan menemui ratusan cek yang dicuri dalam beg yang dibawanya.

“Suspek mengaku mengubah suai slip deposit cek terbabit dan dia diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan terbabit.

“Suspek yang berusia 30-an itu masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau sebatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055412/Article/index_html

Mangsa samun rakan

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KAJANG: Seorang pengurus sebuah pasar raya borong tersentak apabila mendapati rakan setugasnya sanggup menyamun wang kutipan jualan berjumlah RM65,000 dibawanya dalam kejadian di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa berusia 38 tahun itu membonceng motosikal bersama rakannya menuju sebuah bank di Seksyen 16 untuk memasukkan semua wang kutipan jualan tiga hari pasar raya berkenaan.

Namun, mangsa tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal yang menendangnya sehingga terjatuh di bahu jalan dan merampas beg galas mengandungi semua wang terbabit.

Ketika kejadian, seorang rakan suspek yang menaiki Perodua Kancil turut berada di sekitar lokasi kejadian dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata bertindak atas maklumat awam, dua anggota polis yang secara kebetulan menyiasat satu kes pecah rumah di Jalan Reko di sini segera memburu suspek.

“Kira-kira setengah jam kemudian, polis mengesan Perodua Kancil merah itu di Lebuh Raya Lingkaran Kajang Sdn Bhd (Silk) dan menahan seorang suspek berusia 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg galas berisi sebahagian wang yang dilarikan iaitu berjumlah RM35,000 yang diletakkan di bahagian brek kereta terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Sakaruddin, pihaknya tidak menolak kemungkinan baki wang RM30,000 berkenaan dilarikan dua rakan suspek bermotosikal yang dapat meloloskan diri.

“Selain itu, siasatan mendapati suspek yang ditahan adalah rakan sekerja mangsa yang juga seorang pengurus kawasan pasar raya berkenaan di cawangan lain.

“Suspek dipercayai turut mengetahui masa serta lokasi semua wang hasil jualan itu akan dimasukkan,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu rakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055517/Article/index_html

Serang di lokasi

Oleh Muhd Izawan Baharin, Abdullah Wahab dan Elrafaei Sapi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ini serangan terancang bertujuan mahu mengaibkan saya,” kata pelakon Haleeda menceritakan insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri di sebuah rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Jumaat lalu.

Haleeda atau nama sebenarnya, Halida Mazlin Badaruddin, 37, menjelaskan kejadian jam 10 malam itu berpunca daripada salah faham dan cemburu buta, namun bertukar serius dan bertambah teruk apabila ada pihak tertentu masuk campur.

“Kejadian mungkin berlaku kerana saya meminjam kereta milik seorang pelakon lelaki berikutan kereta saya dihantar ke bengkel, tetapi saya rasa perkara itu (meminjamkan kereta) tidak diketahui isterinya.

“Apabila isterinya mengetahuinya, dia terus menyerbu ke lokasi (penggambaran) malah menghubungi pihak media untuk datang sekali merakamkan kejadian,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran siri Kecuali Cintamu di Seri Kembangan di sini, semalam.

Menurutnya, ketika isterinya tiba, pelakon lelaki itu turut di lokasi penggambaran menyebabkan kekecohan berlaku, malah disebabkan campur tangan pihak lain, pelakon itu dipukul.

“Saya memang terkejut kerana perkara sedemikian berlaku sedangkan masalah ini boleh diselesaikan melalui perbincangan, tambahan pula saya kenal isteri pelakon itu dan dia juga kenal saya.

“Dalam kekecohan itu, pelakon berkenaan menampar isterinya dan saya rasa ia perbuatan yang wajar kerana tindakannya (isteri) tidak berfikir panjang itu bukan saja mengganggu penggambaran, malah mendatangkan aib kepada suaminya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, sejurus kejadian berkenaan.

Haleeda berkata, disebabkan insiden berkenaan, penggambaran drama itu terpaksa ditangguhkan menyebabkan ia memberi kesan kepada banyak pihak.

“Saya anggap tindakannya (isteri pelakon) tidak bermaruah dan tidak menggunakan akal kerana perkara remeh yang boleh dibincangkan, diperbesarkan semata-mata mahu memalukan saya.

“Sekarang kejadian itu tempias kepada dia pula kerana saya dengar dia menyesal dan meminta maaf kepada suaminya selepas sedar digunakan pihak lain,”
katanya.

Ditanya mengenai seorang lelaki bergelar Datuk yang turut terbabit dalam insiden itu, Haleeda berkata, dia tidak mahu mengulas kerana kejadian itu dalam siasatan polis.

Bagaimanapun, dramatis itu menjelaskan, individu bergelar Datuk itu mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Biarlah polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu, tetapi apabila disiarkan di televisyen dan ditonton orang ramai, wujud pelbagai persepsi negatif terutama terhadap saya,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Haleeda berkata, dia menerima beberapa tawaran berlakon selain drama Kecuali Cintamu yang sedang dalam proses pembikinan, tetapi dia mahu memberi fokus terhadap penggambaran drama itu kerana ia mengambil masa panjang.

“Disebabkan berlaku pula perkara sampingan seperti ini, saya jadi letih fizikal serta mental dan mahu berehat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan M Chandra yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung serangan dan pergaduhan itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090610052401/Article

24 mayat nahas sudah ditemui

RECIFE - Pasukan pencari Brazil dan Perancis menemui lebih 24 mayat dari pesawat penerbangan Air France yang terhempas dalam keadaan penuh misteri seminggu lalu di Lautan Atlantik, kata beberapa pegawai Brazil kelmarin.

Sekurang-kurangnya lapan mayat ditemui kelmarin selepas pasukan penyelamat menemui 14 mayat pada hari sebelumnya dan dua pada Sabtu lepas, bersama-sama barangan peribadi dan serpihan pesawat termasuk tempat duduk.

Sehingga lewat Ahad lepas, mayat empat lelaki dan wanita adalah antara sejumlah mayat yang sudah dikumpulkan oleh pasukan penyelamat.

Sebuah kapal tentera laut Perancis bertindak membantu lima kapal Brazil di lokasi nahas untuk membawa naik mayat-mayat mangsa.

Kebanyakan mayat itu bersama-sama barangan peribadi mereka dan serpihan pesawat jenis Airbus A330-200 itu akan dibawa ke kepulauan Fernando de Noronha, milik Brazil.

Mayat-mayat tersebut dan semua serpihan pesawat akan diterbangkan ke bandar pesisir Brazil di sini untuk tujuan pengenalan menerusi rekod pergigian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Penerbangan AF 447 milik Air France terhempas ketika dalam penerbangan dari bandar raya Rio de Janeiro menuju ke Paris membawa 228 penumpang dan krew manakala punca nahas masih disiasat. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Isteri Obama pesan stik lembu £9.15


MICHELLE (dalam bulatan) menaiki kereta ketika melawat London kelmarin.


LONDON - Beberapa pekerja sebuah restoran biasa di sini terperanjat apabila premis mereka menjadi pilihan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama untuk makan malam bersama dua anaknya, lapor sebuah akhbar semalam.

Restoran Audley yang terletak hampir dengan Kedutaan AS di sini menerima kunjungan Michelle dan dua anak perempuannya bersama sepasukan pengawal peribadi kelmarin.

Keluarga Wanita Pertama AS itu sedang menikmati percutian tidak rasmi di London selama dua hari tanpa Presiden Barack Obama yang pulang ke Washington selepas menghadiri satu upacara peringatan Perang Dunia Kedua di Perancis pada Sabtu lepas.

Walaupun London memiliki banyak restoran mewah, Michelle memilih pub tradisional yang menawarkan harga berpatutan itu untuk membawa dua anak perempuannya, Malia dan Sasha yang masing-masing berusia 10 dan 8 tahun makan malam.

Kanak-kanak itu memilih hidangan ikan bersama jejari ikan yang berharga £7.95 (RM45) dan ibu mereka pula memesan stik lembu berharga £9.15 (RM52).

Sebelum hidangan utama tiba, Malia dan Sasha menjamu selera dengan keju dan Pepsi Cola manakala Michelle, 45, minum wain dan pasukan pengawal peribadi mereka pula memakan burger.

"Kami menerima tempahan untuk 15 orang tetapi tidak menyangka Wanita Pertama AS akan menjadi tetamu kami," kata seorang pelayan Cintia Pinto, 24. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Wanita terkecil dunia di TV


JYOTI bergambar bersama rakan-rakan sekolahnya di Nagpur, tengah India.


MUMBAI - Seorang pelajar India yang merupakan wanita paling kerdil di dunia, Jyoti Amge menerima undangan untuk muncul dalam sebuah program televisyen Britain terbitan Channel 4 esok, lapor sebuah akhbar semalam.

Jyoti yang berketinggian 0.59 meter (23.5 inci) dan berusia 15 tahun selain memiliki saiz badan lebih kecil berbanding seorang anak saudaranya yang berusia dua tahun.

"Apabila saya memberitahu umur saya, ramai orang yang tidak mempercayainya," kata wanita kerdil itu.

Pelajar itu memiliki berat badan 5.4 kilogram iaitu meningkat empat kilogram berbanding beratnya semasa lahir.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi seorang aktres apabila dewasa dan dianggap sebagai selebriti di tempat kelahirannya, Nagpur, tengah India.

"Ketika berusia tiga tahun, saya sedar saya berbeza dengan kanak-kanak lain.

"Saya tidak takut atau kesal dilahirkan sebagai orang kerdil malah saya berasa bangga dengan perhatian yang diberikan," katanya - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Tukar surcaj 30 peratus jadi tambang

SEREMBAN - Pengenalan surcaj minyak sebanyak 30 peratus bagi perkhidmatan bas yang dilaksanakan sejak musim perayaan tahun lepas, akan dikekalkan dalam bentuk kenaikan tambang.

Ia sekali gus bermakna jika kerajaan meluluskan kenaikan tambang bas selepas ini, amaunnya lebih kecil iaitu pada kadar 10 sen atau 20 sen sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, permintaan pengusaha bas untuk kenaikan tambang lebih tinggi tidak akan dilayan.

"Jika dulu tiket bas dari Seremban ke Kuala Lumpur sebanyak RM4.70 dan kemudian ditambah surcaj RM1.30, selepas ini jika ada kenaikan lagi penumpang tetap membayar harga yang sama iaitu RM6," katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Menteri dapat malu - Sikap membenarkan warga asing memandu teksi menjadi-jadi


SEORANG pemandu teksi warga asing melayan dua pelancong di hadapan KLCC.
- Gambar hiasan.


SEREMBAN - "Saya malu bila ada tetamu yang turun di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kata kita sekarang berada di Jakarta sebab pemandu teksi bertanya, 'Bapak mahu ke mana?".

Itu pengalaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai senario sesetengah pihak yang membenarkan warga asing membawa teksi di KLIA.

"Bila tiba di pusat bandar pula, penumpang yang naik teksi bertanya hendak ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pemandu dari Pakistan menjawab, you show me sir. Sepatutnya pemandu teksi yang lebih tahu. Apa cerita ni?," katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

KKM sahkan ACYW135 halal

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan vaksin Meningococcal Quadrivalen (ACYW135) adalah halal kerana ia tidak mengandungi unsur-unsur dari sumber babi atau lembu dalam penyediaannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya kepada Kosmo! menjelaskan, pelalian itu adalah untuk mencegah jangkitan meningococcal meningitis.

"Ia diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai syarat pengeluaran visa haji dan umrah,'' katanya.

Mohd. Ismail seterusnya menambah, suntikan vaksin itu boleh diperoleh di klinik kesihatan kerajaan secara percuma untuk jemaah haji melalui temu janji dan ia hanya perlu diberikan sekali dalam setiap tiga tahun.

Kenyataannya itu dikeluarkan ekoran laporan akhbar Batam Posbaru-baru ini mengenai keputusan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan vaksin meningococcal meningitis kepada jemaah haji negara tersebut kerana mengandungi enzim babi.

Ia kemudian mendorong beberapa pakar agama di negara ini meminta pihak berkuasa menyemak semua status suntikan vaksin untuk jemaah haji dan umrah kerana dikhuatiri turut menggunakan sumber haram.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Ini bukan kerja kami - Tentera Thai

BANGKOK - Panglima Tentera Thai, Jen Anupong Paochinda menafikan dakwaan bahawa angkatan tentera bertanggungjawab di sebalik pembunuhan sekurang-kurangnya 11 orang Islam di sebuah masjid di Narathiwat pada malam kelmarin.

Anupong memberitahu media tempatan di daerah Cho-Airong bahawa pemberontak yang bertanggungjawab di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu yang memeranjatkan komuniti Islam di tiga wilayah selatan yang bergolak.

"Saya mengutuk kumpulan yang melakukan tindakan ganas ini. Mereka hanya mahu membangkitkan isu ini kepada perhatian dunia dengan menjadikannya seolah-olah pihak berkuasa negara secara ganas menindas penduduk kampung. Mereka mahu mewujudkan suasana ketakutan," akhbar Nation memetik Anupong dalam laman webnya.

Sementara itu, masyarakat Islam Thai mahu kerajaan mengambil tindakan pantas bagi memberkas pengganas terbabit.

Anggota Parlimen Narathiwat, Najmuddin Umar berkata, insiden terbabit adalah yang paling buruk pernah berlaku di Selatan Thai. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Niat tembak sampai mati - Saksi


MAYAT beberapa mangsa dijaga oleh waris masing-masing selepas serangan dalam Masjid Al-Furqan, Narathiwat malam kelmarin.


NARATHIWAT - Kumpulan enam pengganas berbaju hitam yang menyerang jemaah Masjid Al-Furqan, selatan Narathiwat dekat sini malam kelmarin cukup kejam kerana mereka terus menembak mangsa walaupun ada yang sudah terbaring tidak bernyawa.

Serangan paling kejam itu, dan juga dikatakan yang pertama melibatkan jemaah dalam sebuah masjid di wilayah bergolak itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.

Selepas melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam sebelum menembak sepuas hati untuk memastikan mangsa mereka benar-benar mati.


INILAH Masjid Al-Furqan yang mencatat sejarah hitam pada malam kelmarin apabila 11 jemaah termasuk imamnya maut dan 12 cedera dalam serangan pengganas sewaktu solat Isyak.


Sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan itu tetapi ada yang berpendapat ia akibat dendam.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian itu berlaku hanya dalam masa lima minit dengan empat lelaki menyerbu masuk ke dalam masjid dari pintu belakang manakala dua lagi menceroboh dari pintu sisi.

Kesemua pengganas itu dilihat memakai seragam hitam, bertopeng serta bersenjatakan raifal M-16 dan senapang patah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

China mahu komputer peribadi dilengkapi perisian antilucah


GAMBAR fail menunjukkan seorang lelaki menggunakan komputer di sebuah kafe di Fuyang, China.


BEIJING - Kerajaan China mahu semua komputer peribadi yang dijual dalam negara itu dilengkapi perisian Green Dam-Youth Escort, kata pemaju perisian itu semalam.

Menurut pemajunya iaitu Pengurus Besar syarikat Jinhui Computer System Engineering Co., Zhang Chenmin, perisian tersebut mampu menghalang pengguna untuk melayari laman web lucah yang diharamkan.

Chenmin berkata, perisian itu menyasarkan jaringan web lucah dengan menghalang pengguna komputer memasuki laman web yang mempunyai unsur-unsur lucah.

"Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kebanyakan remaja sekolah kini semakin gemar melayari laman web lucah dan turut berkongsi alamat laman web tersebut bersama rakan-rakan," kata Chenmin.

Selain itu tambahnya, perisian itu mampu menghalang pengguna daripada melayari laman web lain dengan menggunakan kata kunci yang ditaip. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Program bayar pelajar dapat gred baik


CANCEL menunjukkan wang yang diperolehinya selepas memperoleh gred baik dalam
peperiksaan.


NEW YORK - Semakin banyak sekolah di Amerika Syarikat (AS) menganjurkan program membayar sejumlah wang kepada pelajar yang lulus dan memperoleh gred baik dalam peperiksaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Program itu sebelum ini mencetuskan kontroversi tetapi ia melonjakkan peratusan pencapaian pelajar yang mendapat markah tinggi.

Kira-kira dua pertiga daripada 59 buah sekolah miskin menyertai program itu.

Menurut satu analisis akhbar itu, terdapat peningkatan hampir 40 peratus kenaikan markah dalam mata pelajaran membaca dan matematik pada tahun ini.

Lebih 8,000 pelajar sudah mendapat manfaat daripada program itu apabila wang sebanyak AS$1.25 juta (RM4.40 juta) dikeluarkan untuk membayar mereka yang mendapat gred baik sejak September lalu.

Pelajar itu itu akan mendapat lebih banyak wang jika memperoleh gred lebih baik.

Mereka boleh memperoleh bayaran sehingga AS$50 (RM176) bagi setiap peperiksaan jika memperoleh gred baik untuk pelajar gred tujuh dan AS$25 (RM88) untuk pelajar gred empat.

Program itu dilakukan hasil inisiatif oleh ahli ekonomi dari Universiti Harvard, Roland Fryer.

Seorang pelajar, Alize Cansel berkata: "Pada setiap hari kami bertanya kepada guru adakah kami lulus? Bilakah kami akan mendapat bayaran?".

"Ia membuatkan kami lebih tekun belajar kerana saya mendapat wang" jelasnya lagi yang berumur 13 tahun.

Pada tahun ini dia memperoleh sebanyak AS$180 (RM634) dan wang itu digunakannya untuk membeli kasut serta peralatan sekolah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

17 mayat nahas Air France ditemui


BEBERAPA anggota tentera laut Brazil mengutip satu serpihan pesawat Air France di Lautan Atlantik kelmarin.


FERNANDO DE NORONHA, Brazil - Sebanyak 17 mayat yang ditemui di satu lokasi terpencil Lautan Atlantik di mana sebuah pesawat milik penerbangan Air France terhempas seminggu lalu dibawa ke kawasan kepulauan milik Brazil di sini, kata beberapa pegawai.

Semua mayat tersebut dan berpuluh-puluh komponen pesawat jenis Airbus A330 itu yang ditemui di laut dijangka tiba di kepulauan Fernando de Noronha hari ini.

Jurucakap tentera udara, Leftenan Kolonel Henry Munhoz berkata, mayat-mayat itu akan diterbangkan ke bandar pesisir pantai Recife, Brazil untuk proses pengenalan dengan menggunakan rekod pergigian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada saudara-mara mangsa.


SATU serpihan pesawat Air France yang ditemui di Lautan Atlantik dipamerkan kelmarin.


Setakat ini, tentera Brazil dan Perancis masih melakukan kerja mencari lebih banyak mayat dan serpihan di zon pesawat itu terhempas iaitu kira-kira 1,100 kilometer ke timur laut pantai Brazil.

Sebuah kapal selam nuklear Perancis dijangka tiba di kawasan itu esok untuk membantu mencari beberapa kotak hitam milik penerbangan AF 447 yang terhempas pada 1 Jun lepas bersama-sama 228 penumpang dan krew ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro menuju ke Paris.

Kotak-kotak hitam itu yang menyimpan maklumat penerbangan pesawat tersebut dipercayai berada di dasar laut pada kedalaman 6,000 meter dan akan berhenti mengeluarkan isyarat dalam tempoh tiga minggu.

Tentera Laut Amerika Syarikat pula memberitahu, ia akan menghantar dua buah kapal bersama 20 krew ke lokasi itu minggu ini bagi membantu mencari kotak-kotak hitam tersebut.

"Kapal pertama akan bergerak pada Khamis ini. Ia boleh digunakan untuk menjejaki kapal selam atau sebarang benda di dalam laut yang mengeluarkan isyarat," kata jurucakap Pentagon, Komander Jeffrey Gordon. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Jangan 'noda' Kg. Padang Balang


Bantahan penduduk terhadap pelan Draf KLCP mengenai pembinaan laluan LRT menyebabkan pengambilan tanah dan merobohkan rumah penduduk.


KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Padang Balang, Sentul di sini membantah rancangan pembangunan semula kampung itu yang terkandung dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) demi menjaga kepentingan tanah rizab Melayu.

Ia tidak bermaksud mereka menolak pembangunan sebaliknya mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula cadangan tersebut dan mewartakan kampung yang dibuka sejak tahun 1940-an itu sebagai kampung warisan.

Penduduk yang ditemui Kosmo! semalam menganggap cadangan membina laluan dan stesen transit aliran ringan (LRT) serta bangunan pencakar langit di kampung yang berkeluasan kira-kira 240 hektar itu adalah tidak wajar.

Lebih merisaukan mereka ialah kemungkinan kehilangan hak dan istimewa penduduk kampung tradisi yang telah mendiami kawasan itu sejak 1940-an.

Pengerusi Badan Bertindak Kampung Padang Balang, Zainal Abidin Maas berkata, penduduk kampung tidak menghalang pembangunan tetapi bimbang hak dan keistimewaan mereka sebagai penduduk asal kampung itu dirampas jika rancangan tersebut tidak dilaksanakan secara telus dan adil.

Beliau menegaskan bahawa kawasan perkampungan tersebut merupakan tanah rizab Melayu dan semua penduduknya membayar cukai tanah serta cukai pintu kepada DBKL.


Lagi kes lari hospital takut ujian H1N1


ZULKARNAIN


KUALA LUMPUR - Gara-gara takut ditahan di hospital selepas disyaki menghidapi simptom influenza A (H1N1), seorang pelancong Kanada melarikan diri dari pusat kuarantin Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 10 malam itu berlaku apabila lelaki berusia 49 tahun tersebut dapat menghilangkan diri dengan bantuan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Difahamkan lelaki berkenaan dikesan menghidap simptom H1N1 semasa diperiksa mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dengan penerbangan dari New York pada hari sama.

Lelaki itu telah dibawa ke HKL untuk menjalani beberapa ujian lanjut bagi mendapatkan pengesahan sama ada dia membawa simpton H1N1.

Bagaimanapun, tidak sampai satu jam berada di pusat kurantin HKL, petugas hospital terperanjat apabila mendapati lelaki itu lesap.

Lelaki itu belum melakukan ujian dan kehilangannya menyebabkan petugas hospital menghubungi polis bagi mencarinya.

Semasa menghilangkan diri, lelaki itu hanya memakai baju kemeja-T warna putih dan berseluar pendek warna kelabu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Vaksin laktosa halal


JEMAAH haji Malaysia tidak perlu bimbang pada vaksin meningitis di negara ini kerana jenis yang digunakan berasaskan laktosa dan halal.



KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui vaksin anti meningitis yang disuntik kepada jemaah haji dan umrah kerana ia dari sumber laktosa (gula yang terkandung dalam susu).

Kosmo! difahamkan, vaksin yang digunakan di negara ini ialah vaksin ACYW 135 jenama Mencevax dari Belgium dan bukan jenis Monomune yang diharamkan kerana ada unsur babi.

Bagaimanapun, vaksin ACYW 135 jenama Monumune yang diimport dari Amerika Syarikat adalah haram digunakan umat Islam kerana ia mengandungi asik amino dari lembu, babi dan itik.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji menjelaskan vaksin yang disuntik kepada jemaah haji dan umrah di negara ini juga telah diputuskan halal oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kali Ke-53 pada 2002.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporatnya, Abdul Rashid Hussein berkata, vaksin antimeningococcal meningitis itu juga mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kedua-dua badan itu (jawatankuasa fatwa dan KKM) juga mengesahkan bahawa vaksin itu adalah bebas daripada sumber haram dan bukan daripada sumber haiwan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar Batam PosIndonesia yang melaporkan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan vaksin meningococcal meningitis kepada jemaah haji kerana mengandungi enzim babi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Cuti sekolah jadi musim empat pelajar menyamun


KAWASAN di sekitar Bandar Puchong antara lokasi empat pelajar yang ditahan mencari mangsa samun.


SUBANG JAYA - Jika pelajar lain sibuk memanfaatkan musim cuti sekolah dengan mengulang kaji pelajaran lain pula dengan empat remaja yang sibuk 'buat duit' dengan menyamun.

Kegiatan tiga pelajar yang berusia 17 tahun dan seorang pelajar berusia 18 tahun yang menunggang dua buah motosikal pada pukul 2.30 pagi Sabtu lalu terbongkar apabila mereka dicekup di Kinrara dekat sini.

Semasa ditahan seorang pelajar itu didapati membawa parang dan kumpulan empat sekawan itu dipercayai sedang mencari pejalan kaki untuk disamun.

Jurucakap polis berkata, daripada siasatan kesemua suspek itu berasal dari Kampung Medan di Petaling Jaya dengan tiga pelajar yang berusia 17 tahun belajar di satu sekolah sama.

Keempat-empat pelajar itu mengaku telah melakukan kira-kira 15 kes samun di tepi jalan sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, kegiatan jenayah mereka bertambah aktif pada musim cuti sekolah kerana mereka mempunyai banyak masa.

"Barangan atau wang hasil samun akan digunakan untuk berfoya-foya pada musim cuti sekolah," kata beliau semasa dihubungi di sini semalam.

Jurucakap polis itu memberitahu, daripada soal siasat, kali terakhir kumpulan itu melakukan samun pada Rabu lalu di Bandar Puchong.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Jerebu petanda awal El-Nino




KUALA LUMPUR - Kemerosotan kualiti udara yang menyaksikan cuaca mula berjerebu di beberapa kawasan dianggap petanda awal kedatangan fenomena El-Nino mulai Ogos ini.

Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia, El-Nino sudah terbentuk ekoran cuaca panas dan kering semasa musim Monsun Barat Daya, namun kekuatannya hanya dapat dikenal pasti mulai Ogos ini.

Serentak dengan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu beberapa langkah pencegahan diambil termasuk mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka yang kini meningkatkan jerebu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan akhbarnya semalam telah mengambil beberapa langkah awal membentuk kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan sebagai persediaan awal.

"Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan telah diadakan 23 Februari dan 8 Jun lalu untuk memastikan semua agensi kerajaan bersedia menghadapi fenomena ini,'' jelasnya.

Selain itu, pihak kementerian turut melakukan pemantauan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis Diraja Malaysia dan syarikat penerbangan swasta untuk mengesan pembakaran terbuka di beberapa kawasan berisiko seperti Selangor, Pahang dan Johor.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...