Wednesday, May 5, 2010

Lelaki pelat ketua perompak

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
2010/05/05

SERI KEMBANGAN: Biarpun pelat namun seorang lelaki berusia awal 20-an yang menjadi ketua kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng Pelat sudah melakukan lebih 20 rompakan terhadap pelanggan bank.

RAMPAS...Zainal menunjukkan peralatan milik penjenayah yang dirampas, semalam.
RAMPAS...Zainal menunjukkan peralatan milik penjenayah yang dirampas, semalam.
Suspek yang bergerak berkumpulan dikesan menjadikan mangsa di kalangan pelanggan bank yang baru mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai sasaran.


Difahamkan, penjenayah yang mula aktif awal Januari lalu melakukan kes rompakan di kawasan Subang Jaya, dengan bersenjatakan parang dan pisau yang kebiasaannya dilakukan seawal jam 6 pagi hingga 8.30 pagi.


Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata dalam kejadian terbaru 17 April lalu, seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengeluarkan wang dari mesin ATM sebuah bank di bandar Sunway, diugut sekumpulan lelaki menyerahkan wang RM4,000 yang baru dikeluarkannya.


“Mangsa berjaya mencatatkan nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek sebelum polis menjejaki kenderaan terbabit di Subang Jaya, petang kelmarin.


“Polis juga berjaya menahan seorang lelaki ketika hendak ke kereta terbabit.


“Hasil soal siasat, polis menyerbu rumah suspek di sebuah kondominium Bukit Puchong dan menjumpai wang RM6,000 serta beberapa mata wang asing, tiga nombor plat kenderaan palsu, sebilah parang dan pisau serta tiga topi keledar. Seorang lagi rakan suspek turut ditahan,” katanya di sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini.


Katanya, siasatan awal mendapati geng berkenaan terbabit 20 kes rompakan dan samun.


“Kedua-dua suspek berusia 20 dan 27 tahun itu kini direman tujuh hari,” katanya.

Difahamkan, nilai kerugian membabitkan semua mangsa berjumlah lebih RM20,000. “Polis turut merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan dalam beberapa siri rompakan,” katanya.


Zainal berkata, hasil pemeriksaan mendapati ketua geng itu mempunyai empat rekod mencuri dan samun di Lembah Klang serta positif syabu. Seorang lagi rakan mereka berusia 21 tahun masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakipelatketuaperompak/Article

2 hilang ingin bebas

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
2010/05/05

KUALA LUMPUR: Ingin bebas. Ini dilakukan seorang gadis yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata ingin bersama rakan sebaya sejak seminggu lalu walaupun dia sepatutnya meneruskan persekolahan.

Malah, gadis berusia 13 tahun dikenali sebagai Aiza itu tidak membawa sebarang dokumen penting dan hanya berbekalkan RM10 sebagai wang saku.


Dia dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sebayanya sejak Rabu lalu dan masih gagal dikesan sehingga kini.


Gadis terbabit dipercayai termakan pujukan dan janji manis beberapa lagi rakan yang baru dikenalinya, selain didakwa mahu mendapatkan kebebasan tanpa sebarang pengawasan daripada keluarga.


Keluarga mangsa sempat menghubungi telefon bimbit milik rakan mangsa yang dikenali Mimi, 13, tetapi mangsa hanya sempat mengucapkan ‘Helo’ sebelum telefon itu dirampas individu lain dipercayai lelaki.


Kehilangan mangsa didedahkan ibunya yang dikenali Alia, 40, yang sehingga kini runsing memikirkan kehilangan anak kedua daripada tujuh beradik itu. Anaknya itu masih menuntut di sekolah menengah di ibu kota.


Beliau menjelaskan malam sebelum kehilangannya, mangsa menginap di kediaman neneknya di Kampung Baru berbual dengan seorang lelaki dipercayai rakan lelakinya dikenali sebagai Along berusia 16 tahun.


“Bagaimanapun, keesokan harinya dia (Aiza) memaklumkan hendak keluar awal ke sekolah kerana ingin mengikuti program kokurikulum.


“Tanpa mengesyaki sebarang perkara buruk, mangsa diberikan wang saku RM10 sebagai belanja makan,”
katanya.

Bagaimanapun, hingga lewat petang, kelibat mangsa tidak kelihatan dan beberapa hari kemudian satu pesanan ringkas (SMS) diterima daripada mangsa yang memaklumkan dirinya selamat bersama rakannya itu.


Laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Harian Metro difahamkan kes berkenaan kemudian dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Seksual (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.


“Kami sekeluarga berharap Aiza kembali ke pangkuan keluarga dan maklumkan kepada kami sekiranya ada kemahuannya yang tidak kami penuhi kerana selama ini kami sekeluarga tidak pernah menolak sebarang permintaannya semata-mata mahu melihatnya gembira.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan ini atau pernah terserempak dengan dua gadis ini boleh terus menghubungi saya di talian 014-7261975 atau memaklumkan kepada mana-mana polis berhampiran,” katanya sayu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2hilanginginbebas/Article

Minda: Membela nasib pekerja pos

2010/05/05

KUALA LUMPUR: Tahukah anda posmen yang menghantar surat ke rumah anda hanya menerima gaji pokok bermula daripada RM610 sebulan iaitu jauh rendah di bawah garis kemiskinan?

Ini bermakna mereka tergolong dalam kalangan orang miskin dengan pendapatan di bawah RM700 sebulan.


Walaupun terdapat pelbagai rungutan berkenaan kualiti perkhidmatan yang diberikan pekerja pos, ramai tidak menyedari hakikat bahawa pekerja pos menerima gaji lebih rendah daripada penjawat awam yang mempunyai gred yang sama sebanyak 19 peratus.


Sudah tentu hakikat ini boleh melemahkan semangat pekerja pos dan bagi pekerja pos yang bekerja di kaunter Pos Malaysia, gaji mereka lebih rendah daripada rakan sejawatan mereka di sektor kerajaan sebanyak 25 peratus! Kenyataan yang amat mengejutkan ini timbul setelah pengumuman kenakan gaji pekerja pos mulai Julai ini serentak dengan kenaikan tarif perkhidmatan Pos Malaysia.


Ketika ada kalangan merungut kenaikan tarif perkhidmatan itu, adakah mereka sedar kenaikan tarif itu memberi ruang untuk kenaikan gaji pekerja pos yang memang sudah lama dinantikan? Ramai bertanyakan kenapa kenaikan gaji itu tidak dilaksanakan lebih awal. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar jika Pos Malaysia melakukan kenaikan gaji lebih awal, mereka akan mengalami kerugian besar.


“Perkhidmatan pos adalah industri intensif buruh dan kos yang membabitkan petugas merangkumi 61 peratus daripada perbelanjaan syarikat.


“Kami faham ini bukan satu isu ekonomi, tetapi ia isu moral, syarikat senarai awam seperti kami (Pos Malaysia) mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham bagi mencatatkan keuntungan untuk membayar dividen,”
katanya.


Syed Faisal yang dilantik CEO Pos Malaysia 16 bulan lalu sedar pertalian rapat antara gaji dan tahap perkhidmatan.


“Seorang posmen yang baru bekerja hanya akan dapat bertahan selama dua atau tiga bulan sebelum menyedari kerjanya berat walaupun bekerja dengan sebuah badan swasta.

“Mereka kemudian akan meninggalkan kami dan bekerja di sektor awam sebagai pemandu atau kerani dengan mendapat gaji lebih tinggi,” katanya.


Selain itu, ramai pekerja pos menjalankan kerja secara separuh masa untuk menambah pendapatan dan ini boleh memberi kesan terhadap kualiti kerja serta komitmen terhadap Pos Malaysia.


“Kami juga mempunyai masalah dalam aspek motivasi petugas disebabkan gaji rendah,” katanya.


Di Lembah Klang saja, kadar posmen berhenti kerja ialah 20 peratus dan masalah yang timbul dengan posmen baru ialah mereka kerap melakukan kesilapan dalam penghantaran mel.

“Itulah sebabnya bagaimana anda boleh menerima surat yang sepatutnya dihantar untuk rakan anda. Dalam erti kata lain, gaji atau tarif yang rendah boleh memberi kesan walaupun di peringkat perkhidmatan yang mudah.” Syed Faisal memberi jaminan kesilapan dalam menghantar surat jarang berlaku, tetapi memang ada ruang bagi penambahbaikan.


Syed Faisal percaya kenaikan kadar bayaran pos akan membantu menaikkan gaji pekerja pos kepada sekurang-kurangnya sama taraf dengan gaji yang diterima penjawat awam.


“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kenaikan kadar tarif pos yang boleh diterjemah kepada gaji yang lebih tinggi bagi petugas Pos Malaysia dan ini selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat berpendapatan tinggi dalam Model Ekonomi Baru,” katanya.


Sehingga 2009, terdapat 15,780 petugas Pos Malaysia dengan 97 peratus daripadanya atau 15,280 adalah posmen dan kerani pos.


Satu penstrukturan semula skim gaji bagi pekerja ini akan membabitkan kos operasi RM66 juta setahun. Tanpa kenaikan dalam tarif setem pos domestik, Pos Malaysia terpaksa menanggung kerugian 20 juta setahun mulai tahun ini.


Sejak 1992, Pos Malaysia tidak pernah menaikkan kadar tarif pos walaupun ia telah menceburi sektor swasta sejak 18 tahun lalu.


“Ini membuatkan kadar pos di Malaysia antara yang paling rendah di kalangan negara Asean iaitu yang terendah selepas Thailand,” kata Syed Faisal.


Pengurangan dalam ‘saiz penggunaan’ kaedah mel dan kenaikan ketara kos operasi disebabkan kenaikan harga minyak memburukkan lagi keadaan.


“Kami dapati syarikat pos yang berjaya di dunia telah menaikkan kadar tarif mereka dari semasa ke semasa bagi menampung kos yang melambung serta memberi ganjaran setimpal bagi petugas mereka,” katanya.


Ditanya sama ada dengan kenaikan 10 sen dalam tarif boleh menampung kenaikan gaji antara 15 dan 19 peratus untuk lebih 15,000 petugas, Syed Faisal menjawab ia boleh.


Sebanyak 65 peratus daripada pendapatan Pos Malaysia adalah hasil daripada perkhidmatan mel. Oleh itu, kenaikan kecil ini boleh memberi kesan ketara terhadap pendapatannya.


Kenaikan dalam tarif setem domestik meliputi surat standard di bawah 50 gram, surat bukan standard di bawah 100 gram, bahan mingguan atau bulanan (berkala), dokumen pos, mel berdaftar dan bungkusan di bawah 2 kilogram.


Yang tidak terbabit dalam kenaikan tarif setem ialah surat bukan standard lebih daripada 100 gram hingga 2 kilogram, peti surat persendirian, beg berkunci dan serahan tingkap -
Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Membelanasibpekerjapos/Article

Peragut didakwa, jatuh hukuman pada perbicaraan pertama sesi malam

2010/05/05

IPOH: Seorang peragut bukan saja mencipta rekod tersendiri menghadiri sesi pertama perbicaraan mahkamah pada sebelah malam di Mahkamah Sesyen Ipoh malam tadi, malah turut menjadi tertuduh pertama dijatuhkan hukuman.

Mohammad Azuanizam Shah Mohd Shafie, 22, yang menjadi tertuduh pertama sesi perbicaraan mahkamah sesi malam itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan ragut dilakukannya pada 22 April lalu. Tertuduh berasal dari Kampung Tersusun Tasek, di sini, didakwa melakukan samun terhadap Fong Lai Yean, 34, dengan meragut rantai leher emas bernilai sekitar RM300, pada kira-kira jam 8.45 pagi pada 22 April lalu.


Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak.


Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku bersalah dan merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadapnya.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Tan Hoi Leng, berkata, kesalahan ragut adalah kes jenayah semakin berleluasa di kalangan masyarakat kini dan mereka yang bersalah sepatutnya menerima hukuman setimpal.


Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jasli Mohd Yusuf.


Ketika pertuduhan dibacakan, pihak pendakwa mengemukakan beberapa bukti kes termasuk salinan laporan polis oleh mangsa, laporan polis tangkapan semula tertuduh, rantai leher emas milik mangsa dan dua keping gambar lokasi kejadian samun.


Jasli berkata, pihaknya boleh memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dan berdasarkan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutdidakwa_jatuhhukumanpadaperbicaraanpertamasesimalam/Article

'Raja peragut'

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/05/05

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila seorang lelaki yang disyaki meragut seorang lelaki sehingga maut di Taman Maluri, di sini Disember tahun lalu mengaku melakukan kira-kira 300 kes di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.

Suspek yang berusia 22 tahun dan juga pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor kerana terbabit dalam satu kes bunuh dicekup di sebuah restoran oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di Bandar Tun Razak, di sini dua minggu lalu.


Pemangku Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Osman berkata, hasil maklumat awam dan risikan, suspek yang juga seorang penganggur ditahan berseorangan di restoran berkenaan kira-kira jam 8 malam.


“Siasatan awal ke atas suspek mendapati dia mengaku melakukan 60 kes ragut sekitar Cheras dan menjadikan jenayah terbabit sebagai mata pencariannya.


“Selain itu suspek juga mengaku terbabit dalam kes ragut pada 7 Disember tahun lalu menyebabkan seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki setelah tercampak ke atas jalan apabila motosikal mereka hilang kawalan akibat tindakan suspek meragut rantai leher wanita terbabit,”
katanya pada sidang media semalam.


Menurutnya, suspek dianggap peragut tegar dan berbahaya kerana masih melakukan jenayah itu walaupun mengakibatkan seorang mangsanya maut dan cedera parah.


“Selain itu, maklumat mendapati lelaki itu turut melakukan kegiatan jenayah itu bersama seorang lagi rakannya yang berumur 20 tahun berasal dari Selayang,” katanya. Abdul Rahim berkata, suspek menjadikan penunggang motosikal terutama wanita yang memakai barangan kemas atau beg tangan sebagai sasaran.


“Mereka melakukan kegiatan ini tanpa menggunakan sebarang senjata Malah begitu cepat dan pantas meragut walaupun ketika itu sedang menunggang motosikal.


“Buat masa ini, kita sedang memburu rakan suspek yang juga seorang penganggur bagi membantu siasatan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rajaperagut/Article

Serah diri lepas dipujuk

2010/05/05

KUALA LIPIS: Seorang anggota polis menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk seorang buruh ladang yang disyaki membunuh isterinya dengan kejam di Ladang Selborne, Padang Tengku, petang Ahad lalu.

Kebijaksanaannya itu nyata berkesan apabila lelaki berusia 46 tahun itu akhirnya menyerah diri di Balai Polis Padang Tengku, selepas hampir dua hari menyembunyikan diri di rumah saudaranya di Kampung Kemuning.


Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berkenaan menghubungi lelaki terbabit selepas memperoleh nombor telefon bimbitnya melalui ahli keluarganya.


Menurutnya, selepas dipujuk, lelaki itu yang bersembunyi di rumah ahli keluarganya kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian menyerah diri pada jam 10 malam, kelmarin.


Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan kes terbabit susulan penangkapan lelaki berkenaan.


Abdul Razak berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata, ayahnya mula mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain selepas menemui beberapa keping surat dan gambar wanita itu bersama pasangannya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Serahdirilepasdipujuk/Article

Minta emak cepat datang

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/05/05

TUMPAT: “Sepuluh minit sebelum kejadian, dia menghubungi saya di rumah memberitahu sudah tidak tahan dengan kelakuan suami yang suka memukul. Dia mahu saya segera datang menemaninya di rumah di Ladang Selborne dekat Padang Tengku, Kuala Lipis,” kata Halimah, 66, ibu kepada Rosmawati Abd Rahman yang meninggal dunia akibat dibelasah suaminya sendiri, petang Ahad lalu.

Menurut Halimah, ketika bercakap di telefon, dia sempat meminta anaknya bersabar sebelum dikejutkan berita kematian itu oleh salah seorang cucunya.


Katanya, sebaik menerima berita buruk itu, dia terus pengsan seketika kerana terkejut sebelum sedar semula dan menghubungi suami, Hussin Hamzah, 70, yang ketika itu berada di Kuantan.


“Arwah sering mengadu mengenai kelakuan suaminya yang kuat cemburu, namun saya minta dia bersabar kerana mungkin suaminya terlalu sayangkannya.


“Kejadian ini memang mengejutkan saya sekeluarga kerana tidak menyangka arwah dan suaminya itu menghadapi krisis keluarga yang amat berat sehingga suaminya sanggup bertindak di luar batasan,”
katanya.


Harian Metro semalam, melaporkan Rosmawati maut selepas suaminya bertindak ganas akibat cemburu buta apabila melihat isterinya bersembang dengan lelaki melalui telefon bimbit hingga sanggup memijak perut, dada, kepala dan pahanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Rosmawati, 39, yang mempunyai enam anak berusia dua hingga 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, nasib keenam-enam beradik terbabit akan ditentukan keluarga terdekat termasuk emak dan bapa saudara mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mintaemakcepatdatang/Article

Rahsia suami sengal badan

Oleh Rohaya Bu-za
am@hmetro.com.my
2010/05/05

HULU TERENGGANU: “Selama ini saya ingatkan serbuk putih diambilnya setiap hari sejak beberapa bulan lalu untuk merawat penyakit sengal tubuh. Rupa-rupanya ia dadah,” kata seorang isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Mira, 28, selepas suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah, awal pagi semalam.

Mira ditemui Harian Metro ketika menunggu untuk menjamin suaminya yang berusia 24 tahun di pejabat AADK di sini, mendakwa sejak beberapa bulan lalu pasangannya itu sering mengadu sakit tubuh.


Menurutnya, tubuh suaminya juga semakin kurus berbanding sebelum ini dan apabila ditanya dia menyatakan sakit dan memerlukan rawatan dengan mengambil serbuk khas untuk menambah tenaga sebelum keluar bekerja sebagai buruh kampung.


“Saya terkejut apabila AADK menyerbu rumah kira-kira jam 2 pagi. Saya ingatkan suami bersih tapi selepas ujian air kencing, pegawai berkenaan memaklumkan dia positif dadah jenis methamphetamine,” luah ibu kepada seorang anak itu.


Menurutnya, hanya Tuhan tahu perasaannya kini kerana langsung tidak menyangka suaminya boleh terbabit dengan penagihan dadah sedangkan mereka hidup dalam kemiskinan.


“Bayangkanlah semalam (kelmarin) saya pinjam wang RM10 daripada adik ipar untuk beli makanan, hari ini suami pula buat hal kerana terbabit dengan dadah, anak pula asyik menangis melihat bapanya,” katanya yang berhasrat menjual motosikalnya untuk menjamin suami. Wanita berasal dari Pahang yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki terbabit pada 2006 berkata, dia langsung tidak menyedari suaminya menagih dadah.


Sementara itu, Penolong Pegawai AADK daerah, Anwar Hamid, berkata dalam Ops Senyap itu, AADK bersama anggota Rela menahan 10 lelaki yang positif dadah.


Menurutnya, lima lelaki dibenaskan dengan jaminan AADK membabitkan seorang kakitangan kerajaan sementara empat lagi baru berjinak dengan dadah.


“Lima lagi penagih ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan akan didakwa ke mahkamah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rahsiasuamisengalbadan/Article

Menangis digigit semut

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/05

SEPANG: “Apa jenis manusia yang sanggup membuang bayi sekecil ini di atas lantai sehingga dihurung semut,” kata Nordin Kasbon, 61, antara individu terawal yang menemui bayi lelaki berusia kira-kira sebulan di sebuah wakaf berhampiran surau Kampung Jenderam Hulu di sini, semalam.

Menurutnya, tangisan dipercayai akibat digigit semut itu menyedarkan penduduk berhampiran mengenai kehadiran seorang bayi di situ pada jam 7 pagi.


Nordin berkata, bayi itu yang lengkap berbaju dan seluar serta sarung tangan dibalut dengan kain batik lusuh serta dibaringkan di atas simen tanpa bantal.


“Bayi itu diletakkan di atas simen dan menangis kerana digigit semut dan dahaga selepas ditinggalkan ibunya dengan harapan ada jemaah surau menemui bayi itu.


“Tanpa berlengah, saya meminta jiran menyuapkan susu ke mulut bayi itu yang cukup dahaga selepas ditinggalkan ibu,”
katanya yang juga pengawal keselamatan di sebuah premis di kampung berkenaan.


Nordin berkata, berdasarkan keadaan badan dan tali pusatnya yang sudah dibuang, bayi itu mungkin berusia beberapa minggu.


Dia yakin ibu bayi itu meletakkan anaknya di wakaf berkenaan dengan harapan ditemui jemaah masjid yang selesai menunaikan solat duha di surau berkenaan.


“Selepas bayi itu dijaga penduduk kampung buat sementara, saya menghubungi polis yang kemudian membawa bayi itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Salak sebelum dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk urusan selanjutnya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan bayi itu hasil hubungan terlarang pasangan di kampung berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang membuang bayi berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdigigitsemut/Article

Terdengar ‘bisikan jin'

2010/05/05

MELAKA: Kononnya kerana terdengar ‘bisikan jin’ yang menyatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang anggota tentera tergamak menoreh kemaluan isterinya yang memasak hidangan tengah hari di dapur rumah mereka di Bertam Ulu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di sebuah taman perumahan di Bertam Ulu, dekat sini, lelaki berusia 40-an terbabit dipercayai memeluk isterinya yang juga seorang jururawat dari belakang sebelum mencederakan bahagian sulit wanita itu menggunakan pisau.


Lelaki terbabit dipercayai melakukan perbuatan kejam itu selepas timbul perasaan cemburu selepas dikatakan diberitahu jin dalam rumahnya bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, lalu menoreh kemaluan wanita berkenaan.


Lelaki terbabit yang mendakwa menerima arahan makhluk halus terbabit supaya bertindak demikian, sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah, sebaliknya terus berada di dalam rumah berkenaan, malah memberi bantuan kepada isterinya yang mengerang kesakitan akibat cedera pada bahagian sulitnya.


Dalam keadaan kesakitan itu, wanita berkenaan menghubungi Hospital Melaka (HM) bagi mendapatkan bantuan kecemasan dan enggan dibantu suaminya kerana takut perlakuan luar batasan itu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata mangsa berusia 30-an yang parah dikejarkan ke HM dengan ambulans.


Katanya, suami mangsa diberkas sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh mangsa.


“Suspek tidak melarikan diri, sebaliknya murung serta meracau ketika ditahan.


“Malah, lelaki terbabit mengakui melakukan perbuatan itu serta menunjukkan pisau yang digunakannya kepada anggota polis sebelum senjata itu dirampas untuk siasatan,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terdengar__8216_bisikanjin/Article

Kemalangan selepas menonton filem 3D

Kemalangan selepas menonton filem 3D




PLYMOUTH - Pakar-pakar kesihatan memberi amaran filem tiga dimensi (3D) boleh menyebabkan komplikasi kesihatan seperti keliru, pening kepala dan kekejangan, lapor sebuah akhbar semalam.

Amaran itu dikeluarkan setelah kereta yang dipandu seorang lelaki Josh James (gambar) terbalik dalam perjalanan pulang ke rumahnya, setengah jam selepas dia menonton filem 3D Alice In Wonderland di sini, Britain, pada bulan lalu.

Semasa menonton filem tersebut, James memakai cermin mata 3D yang diberikan kepada penonton dan mendapati alat itu menyebabkan dirinya berasa amat tidak selesa.

"Pemandangan saya berulang kali menjadi kabur dan pelipis saya sakit," kata James yang merupakan seorang pelajar A-Level berusia 18 tahun.

Menyangka kesan sampingan itu hilang, James kemudian memutuskan untuk memandu pulang dan cuma mengingati kenderaannya tersadai di dalam sebuah parit dengan dia mengalami cedera ringan.

Selain pakar-pakar kesihatan, syarikat pengeluar barangan elektronik Samsung turut memberi amaran bahawa wanita hamil, warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mengalami masalah kesihatan serius berisiko menjadi keliru, mendapat kekejangan selain loya dan pening kepala akibat memakai cermin mata 3D. - Agensi

Wanita miliki payu dara gergasi dibedah


MANIHUARI sebelum payu dara besarnya dibedah.


LIMA - Seorang ibu anak empat di utara Peru, Julia Manihuari terlantar di katil selama enam bulan disebabkan payu daranya terlalu besar, lapor sebuah akhbar semalam.

Payu dara Manihuari, 29, berterusan membesar pada setiap hari sehingga menyamai saiz perutnya selepas dia melahirkan anak lelaki ketiga, tujuh tahun lalu.

"Payu dara saya menjadi amat besar sehingga saya berasa sakit kerana kulit saya terlalu tegang dan saya turut mengalami sesak nafas," katanya.

Beberapa doktor kemudian memberitahu, Manihuari menghidap penyakit Bilateral Gynecomastia iaitu pembesaran kelenjar susu selepas dia dibawa ke sebuah hospital di negara itu dengan bantuan pembiayaan daripada media tempatan.

Bimbang payu dara wanita itu akan merosakkan paru-parunya, beberapa doktor melakukan pembedahan selama enam jam pada bulan lalu dan membuang lebih 15 kilogram daging pada buah dada Manihuari.

"Sebelum menjalani pembedahan, saya langsung tidak dapat bergerak, keadaan saya amat teruk selepas payu dara saya dapat menyentuh paha saya," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Pengemis di Teheran dapat RM4,815 sebulan

Pengemis di Teheran dapat RM4,815 sebulan


SEORANG pengemis muda mengira wang yang diperolehnya di sebatang jalan raya di Teheran semalam.


TEHERAN - Pengemis-pengemis di Teheran memperoleh pendapatan AS$1,500 (RM4,815) sebulan, lima kali ganda daripada gaji minimum pekerja di Iran, lapor agensi berita Mehr semalam.

Menurut seorang pegawai yang mengendalikan perkhidmatan sosial di Teheran, Sadegh Avvali, pengemis-pengemis itu memperoleh pendapatan AS$50 (RM160.74) sehari.

Dia berkata, kebanyakan pengemis itu datang dari kampung dan kawasan pekan terpencil tetapi terdapat juga warga asing.

Gaji minimum pekerja di Iran ialah kira-kira AS$300 (RM964.44) sebulan dan kebanyakan penduduk di negara tersebut percaya bahawa memberi sedekah merupakan satu bentuk kebajikan.

Berdasarkan inisiatif pihak perbandaran, pengemis dan golongan tidak berumah akan dihantar ke beberapa pusat perlindungan pada waktu malam. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Duduk dalam keadaan terbalik 20 minit


SEORANG anggota penyelamat cuba mendekati dua orang yang duduk dalam keadaan terbalik apabila rollercoaster yang mereka naiki terhenti dengan tiba-tiba dekat bandar Malton.


NORTHALLERTON, Britain - Dua orang duduk dalam keadaan terbalik selama 20 minit apabila rollercoaster yang mereka naiki terhenti dengan tiba-tiba kerana masalah mekanikal, lapor sebuah akhbar semalam.

Kedua-dua mereka yang tergantung pada ketinggian 15.24 meter diselamatkan oleh beberapa kakitangan taman permainan di Flamingo Land dekat bandar Malton, Yorkshire Utara.

Seorang lelaki, Nigel Warburton telah merakamkan gambar kejadian itu yang berlaku kelmarin.

"Terdapat ramai orang yang menyaksikan kejadian itu," katanya kepada akhbar The Northern Echo.

Taman permainan yang bernilai £4 juta (RM12.85 juta) itu dibuka pada Julai lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Gasak kekasih suami dalam wad

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/05

SUBANG JAYA: Berang selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan cinta terlarang dengan gadis lain, seorang wanita sanggup bergelut dengan kekasih suaminya itu sehingga luka di muka akibat dilibas dengan tapak kasut oleh gadis yang menjadi sasarannya.

Difahamkan, isteri berusia 46 tahun itu terlebih dahulu bertengkar dengan teman wanita suaminya berusia 30-an sebelum pergaduhan kedua-dua mereka berlanjutan sehingga berlaku pergelutan dan aksi tarik menarik rambut dalam wad sebuah hospital swasta di sini.


Ketika kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, suami wanita itu membawa kekasihnya menziarahi seorang saudaranya yang dirawat di hospital berkenaan sebelum terserempak isterinya.


Sumber polis berkata, siasatan mendapati suami wanita terbabit berusia 51 tahun dan juga pesara tentera pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain sebelum ini.


Menurutnya, dalam kejadian itu, lelaki terbabit tidak dapat berbuat apa-apa apabila kedua-dua wanita berkenaan bergelut sehingga mencetuskan kekecohan dalam wad hospital berkenaan.


“Difahamkan lelaki itu yang tiba lebih awal tidak menyangka isterinya turut merancang menziarahi saudara mereka.


“Akibatnya, mereka bertembung. Akibat terlalu marah dan cemburu, si isteri memarahi teman wanita suaminya sebelum berlaku perang mulut,”
katanya.


Menurutnya, akibat tidak dapat menahan marah, kedua-dua wanita terbabit bergelut tanpa menghiraukan orang ramai yang menyaksikan insiden itu.


“Difahamkan, kedua-dua wanita itu tidak hanya memaki-hamun, malah turut bertumbuk dan saling menarik rambut.

“Difahamkan, teman wanita suami mangsa lebih kuat dan dapat menewaskan isteri teman lelakinya itu,” katanya.


Dalam pergelutan itu, kekasih suami mangsa sempat mencabut kasut dipakainya sebelum memukul muka mangsa.


“Muka mangsa luka akibat dilibas dengan kasut sebelum pergaduhan dileraikan.


“Wanita itu terpaksa menerima dua jahitan di muka kerana luka akibat dipukul dengan kasut. “Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gasakkekasihsuamidalamwad/Article

Suami toreh kemaluan isteri


RUMAH di mana seorang suami menoreh kemaluan isterinya dengan sebilah pisau di Taman Bertam Perdana, Pulau Gadong, Melaka semalam.


MELAKA – Bisikan suara jin yang memberitahu konon isterinya berzina dengan orang lain menyebabkan seorang suami menoreh kemaluan wanita malang itu dengan pisau pemotong sayur di rumah mereka di Taman Bertam Perdana, Pulau Gadong di sini kelmarin.

Semasa kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Hashimah Nong, 40, sedang bersiap-siap untuk memasak di dapur sebelum diserang oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera dan berusia dalam lingkungan 40-an.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, mangsa tidak menyangka sama sekali suaminya yang tiba-tiba menerpa dari arah belakang itu bertindak menoreh kemaluannya dengan pisau.

“Ekoran kejadian itu, mangsa rebah di lantai dapur dan lelaki berkenaan pula hanya berdiri di tepi mangsa dalam keadaan terpinga-pinga,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Suami toreh ‘anu’ isteri

Oleh Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my
2010/05/05

MELAKA: “Saya amat terkejut apabila suami tiba-tiba datang dari belakang sebelum merodok bahagian sulit dengan pisau pemotong buah menyebabkan saya menjerit kesakitan,” kata seorang jururawat yang menjadi mangsa kekejaman suami sendiri yang didakwa menoreh kemaluan wanita itu ketika memasak di dapur.

Wanita berkenaan berkata, suaminya, anggota tentera berpangkat sarjan, seolah-olah hilang pertimbangan apabila menoreh kemaluannya dalam kejadian di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Bertam Ulu, dekat sini, kelmarin.


Akibatnya, wanita berkenaan yang parah terpaksa dikejarkan ke hospital dan menerima lebih sembilan jahitan pada kemaluan.


Mangsa yang berusia 40-an berkata, sebelum kejadian dia mahu memasak nasi untuk makan tengah hari dan membongkok untuk mengambil beras dalam tong apabila suaminya tiba-tiba datang dari belakang lalu merodok kemaluannya dengan tidak semena-mena.


Menurutnya, dia yang terkejut, terduduk dan meraung sambil menahan kesakitan manakala darah mula menitik ke lantai.


“Walaupun terkejut dan dalam keadaan kesakitan, saya tidak panik dan sempat mencapai telefon untuk menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan.


“Suami pada masa sama seolah-olah tersedar daripada khayalan lalu cuba menawarkan bantuan untuk menghantar saya ke hospital sambil memujuk berulang kali, tapi saya menolak dengan baik walaupun dia turut menghubungi ambulans kerana sudah trauma dan ketakutan.


“Dalam tempoh 30 minit itu, saya terpaksa menanggung kesakitan sambil menahan darah mengalir kerana turut memikirkan anak bongsu berusia empat tahun yang melihat kejadian,”
katanya ditemui di wad Hospital Melaka di sini, petang semalam.


Terdahulu, mangsa yang berasal dari Muar, Johor, dikunjungi rombongan Pembela BN Negeri Melaka diketuai Ketua Penyelianya, Amir Hamzah Aziz dan Penyelianya, Melvin Tan.

Jururawat berkenaan berkata, dia pelik apabila melihat perubahan tingkah laku suaminya apabila lelaki berkenaan yang tidak pernah memasak, tiba-tiba mengambil jurusan perhotelan di sebuah kolej di negeri ini bagi kursus peralihannya sebelum menamatkan perkhidmatan dalam tentera.


Malah, katanya, seminggu sebelum kejadian suaminya juga menunjukkan sikap berbeza apabila dua kali mencekiknya menyebabkan timbul persoalan kemungkinan dia mengalami tekanan.


“Berikutan itu, saya mungkin tidak akan tinggal bersama suami untuk sementara waktu kerana bimbang kejadian sama berulang.


“Namun, saya masih sayang padanya (suami) dan sudah memaafkan perbuatannya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamitoreh__8216_anu__8217_isteri/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...